“Senyum pada awan” adalah ayat pertama saya dalam Novel Baromkeh, Matamu di Mataku (2008). Pertengahan Disember 2005, saya dan dua rakan terbang ke Damsyik, Syria untuk belajar Bahasa Arab selama dua bulan. Syria ketika itu belum terlibat dalam konflik perang saudara. Kembara di Damsyik adalah permulaan ‘ketagihan’ saya untuk melihat awan dan memaknai hikmah musafir.

Ramai bertanyakan saya bagaimanakah mendapatkan wang untuk mengembara di banyak negara? Jawapannya adalah dengan menulis. Pada usia 27 tahun, saya telah melawat 9 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Myanmar, Syria, Jordan, Arab Saudi, Bangladesh dan United Kingdom. Sebahagian besar perjalanan didanai wang kemenangan sayembara sastera, wang menulis skrip drama televisyen serta buku kisah benar. Tulisan kali ini saya ingin berkongsikan pengalaman menjejaki Tanah Haramain sehingga memunculkan cerpen Teman, Cukuplah Kami  yang telah memenangi  Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 kategori cerpen remaja.  

Dhaka Yang Duka

Awal tahun 2008, saya menyertai perjalanan umrah dengan menaiki Pesawat Biman Air milik negara Bangladesh. Dalam jadual sebenar, tidak ada rancangan akan bermalam di Dhaka, ibu negara Bangladesh. Gara-gara kelewatan penerbangan, saya dan rombongan umrah berkesempatan melihat Kota Dhaka lebih dekat. Sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, kami dimaklumkan akan bermalam di salah sebuah hotel tiga bintang di tengah Kota Dhaka. Yang menyambut kami di luar lapangan terbang adalah ratusan tangan peminta sedekah dari kalangan kanak-kanak, wanita dan orang tua. Saya dan ahli rombongan mampu memerhatikan mereka dengan pandangan simpati dan doa, kerana begitu ramai yang menagih wang dan makanan.

Dhaka mempunyai 17 juta penduduk, kepadatannya menyebabkan pemandangan dipenuhi manusia. Saya melihat kanak-kanak peminta sedekah sebagai golongan  paling malang. Bayangkan untuk makan seharian mereka perlu meminta sedekah, bagaimana pula dengan keperluan lain seperti pendidikan dan tempat tinggal yang baik? Perjalanan ke hotel menghidangkan tinggi rendahnya status ekonomi bangsa Bengali melalui tempat tinggal. Golongan kaya dan pertengahan tinggal di apartment dan teres, manakala golongan miskin tinggal di kawasan kotor dan sesak. Mata saya terarah ke rumah-rumah seperti bangsal yang hanya ditutupi papan dan kain. Kelihatan suami isteri dengan anak-anak tinggal di dalamnya.

Sepetang di Dhaka, saya dan seorang rakan mengambil kesempatan mengitari kota padat ini dengan beca. Kayuhan si pengayuh beca membuatkan pesona Bangladesh muncul. Bayangkan, tiada siapa dapat menahan pengayuh beca melaju di jalanraya walaupun anda seorang pemandu kereta atau lori. Saya dan rakan terawang-awang gayat. Mungkin inilah beca paling ekspres pernah kami nikmati di dunia! Namun, perasaan seronok itu pudar tatkala kaki memasuki sebuah pasaraya besar. Beberapa lelaki berpakaian tentera dengan tangan memegang senapang berdiri di pintu masuk. Rupanya, mereka ditugaskan untuk menghalang para peminta sedekah masuk ke dalam pasaraya. Begitu sekali golongan miskin dianak-tirikan di sebuah negara yang memiliki 145 juta orang Islam. Perasaan sedih itu saya gambarkan dalam cerpen:

Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Wajah Yang Sama, Karakter Berbeza

Warga Bangladesh sering saya temui di mana-mana di Malaysia, namun tidak pernah membaca sejarah mereka. Kunjungan ‘tanpa sengaja’ ke Tanah Banggala Timur membuka sedikit pengetahuan tentang mereka. Bangladesh adalah wilayah bangsa yang menerima ‘air tangan’ British-India dan Pakistan sebelum mandiri sebagai negara. Walaupun penduduknya memiliki raut fizikal yang mirip dengan penduduk India Muslim dan Pakistan, tetapi budaya hidup dan bahasa mereka berbeza.  Penduduk Pakistan Barat lebih berorientasikan pengaruh dari Timur Tengah, penduduk Bangladesh pula terdedah kepada pengaruh Hindu-Buddha, Islam dan Bristish.

Pengaruh luar ini menjadikan rakyat Bangladesh cepat beradaptasi dengan dunia luar. Sebahagian besarnya telah berhijrah ke seluruh dunia termasuk Malaysia untuk bekerja profesional atau buruh. Seperti bumi alaminya yang indah, orang-orang Bangladesh memiliki pesona kecantikan khususnya kaum wanitanya. Saya berkesempatan membeli –belah dan melihat sisi kemodenan Bangladesh di dalam pasaraya besar, restoran dan hotel.  Dek jurang ekonomi golongan miskin dan kaya yang luas, menjadikan hati turut berduka.

Bangladesh adalah negara berdelta luas yang dicorakkan Sungai Gangga dan Brahmaputra. Setiap tahun, apabila banjir besar meletus, ianya mengorbankan ribuan penduduk. Kepadatannya menyebabkan penduduk  miskin tidak mempunyai pilihan selain tinggal di kampung-kampung bersebelahan tebing sungai. Fakta menyebutkan sebanyak 700 aliran sungai dari pelbagai penempatan yang berarus ke Teluk Benggala di selatan Bangladesh. Panjang aliran sungai di Bangladesh adalah 15,000 batu menjadikannya antara terpanjang di dunia. Dari atas pesawat, kita dapat mengesani bahawa sungai adalah pancaran jiwa warga Bangladesh.

Rumah Allah

Kedamaian utama negara Bangladesh adalah banyaknya masjid di seluruh negara. Di Dhaka, terdapat  27 buah masjid utama dan puluhan masjid kecil melambangkan 90 peratus penduduknya beragama Islam. Masjid juga menjadi tarikan pelancong luar datang ke Bangladesh antaranya Masjid Mukarram, salah satu daripada 10 masjid terbesar di dunia. Masjid tersebut dapat menampung jumlah jemaah seramai 40 ribu orang dalam satu-satu masa. Azan bertalu-talu dari menara masjid ketika masuk waktu solat. Sebagai penulis, saya cuba mengaitkan keadaan kemiskinan dengan sesuatu yang dapat menyembuhkan jiwa.

Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang. Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.”

Perjalanan umrah saya begitu mengharukan dengan ‘jodoh’ tanpa sengaja ini. Walaupun kurang 10 jam saya berada di Dhaka, namun kesan perasaannya melekat sehingga kini. Saya berbual dengan beberapa pemuda Bangladesh yang pernah bekerja di Malaysia. Kesusahan mengajar seseorang untuk berubah dengan apa cara sekalipun. Misalnya, ramai warga Bangla yang menjual tanah sebagai cagaran bekerja di luar negara. Dalam perjalanan ke Jeddah, saya dan rombongan berada dalam pesawat yang penuh buruh-buruh Bangladesh. Mereka antara kumpulan yang berterusan diambil bekerja oleh Kerajaan Arab Saudi untuk membangunkan Mekkah dan Madinah. Ianya salah satu cara membantu penduduk Bangla keluar dari warisan kemiskinan.

Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami. Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda Bangladesh lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama Kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan Kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah.

Menggali Hikmah

Hari-hari terakhir di Mekah, saya mengambil kesempatan mengunjungi kedai aksesori yang terletak di Abraj Al-Bait Towers. Salah-satu kedai dimiliki anak muda berusia 20-an dari India. Dalam perbualan kami, si pemuda mengatakan dia datang ke Arab Saudi sebagai buruh binaan pada usianya 15 tahun. Hasil wang simpanan, pemuda ini nekad membuka perniagaan berdekatan Masjidil Haram dengan kadar sewa RM15000 sebulan.

“Mekah adalah satu-satunya tempat di dunia yang menerima kunjungan pelancong sepanjang tahun terutama di musim haji dan umrah. Justeru, saya tidak takut menyewa dengan kadar tinggi kerana pulangannya berbaloi,” jalas si pemuda. Semangat tersebut saya kaitkan dengan peristiwa yang saya temui di Bangladesh. Kemiskinan bukanlah warisan. Sebaliknya kemiskinan adalah titik-tolak seseorang untuk mengerah potensi dirinya menjadi manusia berjaya. Saya menutup cerpen tersebut dengan kata-kata ini:

Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami di Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya

Begitulah kembara memberikan ‘kehidupan’ lain kepada para penulis. Dengan meletakkan diri sebagai bahagian menusia yang ditemui sepanjang perjalanan, baharulah penulis menikmati pengajaran dan menuangkan semula kepada para pembaca. Sungguhpun telah 10 tahun berlalu, saya menantikan jika ada jodoh lagi dengan negara Bangladesh yang kini menumpangkan jutaan pelarian Rohingya di negaranya. Walau negara ini padat dengan golongan miskin, keterbukaan mereka menerima saudara pelarian membuatkan negara ini dipandang kaya dan mulia.

admin Ceritalah Bangladesh, TRAVELOG UMMI HANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *