Apabila membelek buku-buku baharu di pasaran, hati berasa kagum kepada sang penulis, sekalipun belum membaca kandungannya. Tambahan jika penulis dapat menghasilkan 2-3 buku baharu dalam tahun yang sama. Hanya yang luar biasa mampu melakukannya!
Menulis buku; genre ilmiah atau kreatif akan melalui ‘proses berat’ yang sama. Proses ini dinamakan sebagai ‘Proses Kreatif’ dengan dua elemennya iaitu sensitiviti dan kreativiti. Ianya tentang bagaimana idealisme yang berada di otak, diterjemahkan menjadi ‘bentuk dan bait’ yang boleh dinikmati pula orang lain.
Ramai sarjana membahagikan proses penulisan kreatif kepada dua; dalaman dan luaran. Jika direnungkan proses-proses yang berlaku ia berkaitan dengan psikologi manusia iaitu kebiasaan-kebiasaan penulis/ calon penulis menyediakan diri mereka sebelum, ketika dan selepas berkarya. Sudah tentunya tidak akan sama seorang penulis dengan penulis yang lain cara dan kaedah pengkaryaan mereka. Di sinilah keunikan yang dapat dipelajari oleh calon-calon penulis sehingga mereka nanti memiliki pula kebiasaan sendiri.
Dalam tulisannya di Majalah Dewan Sastera ( April 2021), Zaen Kasturi menuliskan tentang bagaimana proses penulisan kreatif berfungsi kepada penulis dan pembacanya. Zaen menekankan bahawa seorang penulis tidak boleh mengabaikan ‘proses penukangan’ tulisannya bermula dari hal sekecil mendapatkan idea sehingga proses yang lebih rumit, menulis dan menyunting karya. Hanya penulis ‘teruk’ yang memiliki sikap menulis (apa sahaja) kemudian membiarkan tulisannya nanti disunting atau dibaiki orang lain.
Ada banyak ‘teladan mulia’ ditunjukkan para penulis di seluruh dunia tentang gaya dan cara menulis mereka. Kebiasaan saya sendiri membaca pengalaman menulis para penulis Malaysia, antara terawal ialah Buku Kuras-Kuras Kreatif karya Allahyarham Azizi Abdullah. Beliau adalah penulis yang serius dengan ‘ruang prosesnya’ sehingga akan melarikan diri ke bilik hotel untuk berkarya. Malah pernah menjerkahi anaknya yang mengganggu meja menulisnya. Aminah Mokhtar banyak mendapat ilham di bilik pembedahan, katil pesakit dan ruang hospital tempat beliau menjadi jururawat. SM Zakir berkongsi pengalaman kembali ke lubang ingatan zaman kanak-kanak dalam Cerpen Paya Purnama. Zakir menggunakan teori Carl Gustav Jung tentang kejadian-kejadian zaman infatile yang samar-samar dalam ingatan atau kata lainnya bentuk psikiprimitif yang hilang daripada diri manusia. Teori itu membawanya menulis cerpen bertemakan kanak-kanak yang menarik.
Saya ingin berkongsikan kutipan Zaen Kasturi tentang proses kreatif penulis dunia yang ditekuninya.
- Jacques Hadamard
Penulis ini memfokuskan ‘rasa’ dalam diri sebagai punca utama proses kreatif. Lazimnya, rasa indah terhadap sesuatu atau cinta membuatkan penulis berkarya. Menerusi tulisan, penulis ingin memenuhi kehendak sebenarnya yang dilihat ‘belum terisi’ di dunia nyata.
2. Jalaluddin Rumi
Tokoh penyair sufi ini akan duduk menulis ditemani kucing kesayangannya. Kucing ini amat rapat dengan Rumi sehingga dia juga mati selepas seminggu Rumi meninggal dunia.
3. Samuel Johnson
Pengarang ini juga memerlukan seekor kucing berdengkur, kulit buah limau dan teh yang banyak untuk berkarya. Tanpa semua itu, beliau tidak dapat menulis dengan baik.
4. Honore de Balzac
Pengarang ini hanya boleh menulis pada waktu malam dan memerlukan beberapa cawan kopi O pekat. Beliau dapat menulis sehingga 15-16 jam sehari dengan bercawan-cawan kopi O sebagai ‘baterinya’. Beliau juga sangat mementingkan kesempurnaan pada karyanya.
5. Emile Zola
Penulis ini hanya boleh berkarya pada waktu siang, tetapi menurunkan semua tirai tingkap kerana bergantung kepada cahaya buatan.
6. Thomas Carlyle
Penulis ini membuat bilik yang kalis bunyi untuk berkarya.
7. Friedrich Schiller
Penulis ini hanya menulis selepas lacinya dipenuhi epal busuk. Bau dari laci yang busuk memberikannya ilham. Antara karya besarnya yang dikatakan dipengaruhi tabiat pelik ini adalah naskah drama pentas ‘William Tell’, ‘Mary Stuart’, ‘Wallenstein’ dan ‘Ode to Joy’.
8. Hart Crane
Penulis ini tidak boleh menulis puisi selain berada di bilik yang bising dan bermuzik. Perasaan marah kepada ‘Keadaan hingar-bingar’ akan membantunya untuk berkarya dengan ‘tepat’
Zaen Kasturi membuat kesimpulan bahawa tiada satu pun cara yang salah atau benar untuk menulis karya yang baik. Walau bagaimanapun, sikap penulislah yang menentukan keberkesanan karya. Penulis tidak boleh mengambil jalan mudah, jalan pintas, serta mempunyai banyak dalil untuk berkarya. Jika sikap-sikap ‘hodoh’ ini dikekalkan, maka perangai itulah mencerminkan dirinya.
Sebenarnya kerja menulis adalah mulia dan sempurna ‘Kecuali Diri Kita Sendiri…’ (sambung sendiri).