Sesiapapun tidak menjangkakan Tahun 2022 akan berlangsung seperti yang kita semua, di seluruh dunia mengalaminya sekarang. Hidup menjadi sukar tanpa pelitup muka, vaksinasi, penjarakan sosial dan norma baharu. Jauh lebih parah, kita tidak sebebas ketika Covid 19 belum muncul. Kita semua ibarat banduan yang hanya menerima arahan dari segenap sudut. Antara percaya atau tidak, Malaysia yang beridentitikan negara pelbagai kaum dengan majoritinya beragama Islam sudah mula mengalami krisis psikologi yang parah. Ini dibuktikan dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 1.4 kali ganda berbanding sebelum epidemik Covid 19. Ternyata, tanpa persediaan mental dan jiwa yang kuat, seseorang tanpa mengira latar jantina, umur, bangsa dan status sosial akan tewas dalam peperangan wabak yang belum berakhir ini.
Menerusi karya-karya kesusasteraan Malaysia khususnya cerpen sepanjang tahun 2020 sehingga 2022, para penulis baik generasi baharu dan lama tidak dapat menyabarkan diri merempuh isu kemanusiaan era Covid 19. Kepedulian ini diasaskan kepada pengalaman peribadi dan masyakarat sekeliling. Bahkan disokong media massa yang terus-menerus bertindak sebagai alat sokongan kepada mereka yang rebah. Penulis sebagai pemain fikiran, berkongsikan saujana imaginasi wabah untuk diselami, direnungi dan memujuk pembacanya. Menarik lagi, mereka menggunakan sudut pandang yang variasi, agar kesan Covid 19 dirasai dalam pelbagai bentuk.
Misalnya, Zainal Rashid Ahmad, cerpenis unggul Malaysia mengandaikan Covid 19 sebagai watak ‘syaitan bersayap’ yang boleh menembusi mana-mana tempat di dunia. Beliau antara terawal merakamkan getir Covid 19 menerusi cerpen ‘Senja dalam Lima Ayat Paling Sempurna.’ Penulis yang terpesona dengan Youtubers bernama Kynryyy dari Seoul telah cuba memanfaatkan pengalaman Kynryyy berkomunikasi dengan remaja seluruh dunia menerusi aplikasi Omegle. Dalam naratifnya, Zainal menciptakan dua watak dari Jakarta dan Kuala Lumpur yang masing-masing terkurung dalam bilik kecil tetapi dapat menembusi kisah tragis dunia yang berpunca dari Covid 19 melalui ruang maya. Perkongsian kesunyian menjadikan dua manusia yang jauh saling merenungi hakikat kehidupan dan kematian yang disimpulkan kepada keabadian Tuhan Yang Maha Kuasa.
Selain isu sosial dan ekonomi yang parah seperti kehilangan pekerjaan yang memberi kesan kepada kehilangan tempat tinggal dan keruntuhan rumahtangga, para penulis Malaysia tidak ketinggalan menyelongkar pandangan lain tentang Covid 19. Shangkang, penulis Melayu lulusan Universiti of Manchester, UK dalam bidang kejuruteraan menulis cerpen dengan judul ‘Virus Didale 30’. Penulis membangunkan imaginasi akan wujudnya virus maya yang bakal mengurung manusia sebagaimana Covid 19 memenjarakan kita. Manusia alaf baru dikurung dalam alam digital sehingga perlu solusi untuk kembali ke realiti. Penulis menyinggung perbuatan penjenayah siber yang rakus mengambil kesempatan terhadap ledakan Covid 19 sehingga kesannya lebih dahsyat dari wabah Covid 19 sendiri. Transisi yang sama dicetuskan oleh penulis Lokman Hakim dengan narasinya berjudul ‘Baca Pada Nada Seekor Paus’. Keanehan timbul dengan pertanyaan apa kaitan kisah seekor paus dengan Covid 19? Dari singkap pandang watak ibu, Lokman Hakim memperlihatkan idea Post Truth yang baginya wajar diperhalusi sebelum dilabelkan sebagai fakta auntentik. Disebut ibu dalam cerpen ini bahawa si paus akan datang setelah wabak. Perkara-perkara aneh yang muncul dipercayai sebagai petaka sehingga mengganggu kehidupan normal. Penulis cuba mempertentangkan andaian-andaian berkaitan isu baharu selepas kemunculan Covid 19 telah mengganggu rutin biasa manusia. Baginya, ‘kebenaran separuh masak’ yang diyakini masyarakat adalah virus yang lebih mudah menjangkiti manusia kini.
Tentu banyak lagi kisah-kisah nyata yang terampil dalam kesusasteraan pandemik di Malaysia. Pengalaman yang ngeri, dahsyat, tidak logik dan pilu adalah sesuatu yang mempunyai nilai keindahan tersendiri. Bahkan para penulis seolah memberitahu para pembacanya agar belajar daripada virus yang tentunya lebih cepat berubah, beradaptasi dan bertindak daripada manusia. Selagi mana peperangan wabak ini belum berakhir, manusia perlu bangkit dengan apa sahaja senjatanya terutama akal fikiran. Dan fungsi kesusasteraan sebahagiannya melonggarkan ketegangan yang sedang terjadi di seluruh dunia.