Telah banyak kali aku diperingatkan oleh buku-buku yang dibaca bahawa seorang penulis besar tidak tumbuh tiba-tiba. Displin dan latihan adalah perkara asas seorang penulis. Cara mereka menulis seperti seorang pahlawan yang mempersiapkan sebuah peperangan, dan hasil peperangan itu mereka menang dan dapat mengubah masyarakat. ‘Writers should be champions of social progress and a participant in the social life of his time..”
Belajar dari Pramoedya Ananta Toer.
Sebelum belajar dari penghujung kerja keras mereka, belajar dulu bagaimana pengarang besar memulakan tulisan-tulisan mereka. SN Abdullah Hussain (Allahyarham) menyusun jadual menulisnya seperti masuk ke pejabat. Menulis sedari jam 8 pagi sehingga jam 6 petang tanpa gangguan. Azizi hj Abdullah (Allahyarham) kadangkala menyewa hotel untuk menyelesaikan novelnya tanpa diganggu.
Baru-baru ini saya membaca Buku Sebuah Hikayat Diri tulisan Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh, beliau mengatakan mengapa dapat menulis tiap kenangannya dari kecil sehingga berusia lebih 70 tahun kini adalah kerana buku catatan harian. Beliau memiliki lebih 100 buku catatan dari muda. Segala yang dialami dicatat sempurna dan disimpan elok. Apabila mahu menulis autobiografi, buku catatan ini menjadi stor kenangan dan pengalaman dirinya.
Aku melihat kepada diriku sendiri yang culas dan lupa pula. Tanpa mahu menghurai panjang, jika aku tidak menyontohi perkara kecil besar menjadi penulis, aku tidak dapat menghasilkan karya yang berkesan mengubah bangsa.
Dalam menjelaskan tentang Negara Malaysia dan Indonesia kepada para mahasiswa Korea, saya menekankan kepada dua kata kunci utama iaitu ‘kinship’ (persaudaraan) dan daulat. Kerana dua perkara ini , kedua-dua negara dilihat mempunyai hubungan yang istimewa di balik pelbagai isu yang rencam dan tidak menyeronokkan. Ada banyak negara yang mempunyai ‘hubungan istimewa’ lebih sekadar diplomatik antaranya US dan UK, US dan Canada, US dan Israhell (laknatullah), Perancis dan negara-negara Afrika, Sepanyol dan Amerika Latin. Hubungan istimewa bermaksud bukan sahaja diplomatik tetapi persahabatan yang erat antara dua negara.
Malaysia dan Indonesia memiliki sejarah perkembangan Islam, budaya nusantara dan Bahasa Melayu dalam jaluran yang sama sebelum penjajahan, namun setelah menjadi sebuah negara berdaulat dan punya undang-undang sendiri, wujudlah perbezaan dasar yang berpaksikan kebangsaan masing-masing. Kerana itu saya berkata kepada mahasiswa, “Apa khabar?” sama maksudnya dengan “Apa kabar?” “Selamat petang..” juga persis “Selamat sore..”
Di mata mahasiswa-mahasiswaku, bagaimana ‘berbeza’ atau ‘berbeda’ pun masyarakat Malaysia dan Indonesia, mereka adalah saudara besar Pulau Melayu. Dan apabila saya bertanya, “Apakah Korea Selatan dan Korea Utara mempunyai ‘hubungan istimewa’ kerana kinship dan daulat juga?”
Masing-masing menggeleng kepala dan saya dengar jawapan, “Mustahil!”
Kita melihat manusia yang bergerak di sekeliling. Yang berjalan. Yang memandu. Yang duduk dan yang berdiri; mereka semua dalam keadaan yang sama iaitu hidup dalam fikiran mereka masing-masing. Dalam bentuk-bentuk fikiran inilah menerjemahkan pilihan yang mahu mereka jalani sebagai the way of life atau cara hidup.
Dalam kajian-kajian budaya dan politik (yang asasnya daripada barat) sering menyorot manusia dalam kepungan sejarah moden seperti pasca kolonial dan pasca Islam (post Islamism) bagi negara majoriti umat Islam. Pemilihan kontek ini akhirnya mengaitkan situasi masyarakat Islam dengan perkembangan sosial yang tidak lepas dari kepungan barat. Umat Islam dilabel dengan kecenderungan gerakan politik Islam yang ditekuni mereka; tradisionalis Islam, Islam liberal, salafis, Islamic fundamentalis antaranya.
Dalam masyarakat Post Islamism pula, masyarakat Islam disorot dengan juzuk pandang yang berkait dengan soal pasaran kapitalis seperti penjenamaan dan selera massa. Islam yang dipertontonkan telah dikatakan sebagai produk dan fesyen. Kritikan dan sorot pandang begini mengurangkan penghormatan terhadap agama sebagai wahyu Ilahi dan tentunya, masyarakat Islam yang menjadi bahan sorotan, tidak pernah sedar kelakuan mereka memberi imej kepada agama.
Kembali melihat ke dalam nurani Islam yang intinya adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mulia, diterjemahkan melalui 4 mazhab utama dengan aliran Sunni sufi yang mengakari tradisi Islam Nusantara. Islam adalah cara hidup yang membentuk manusia, bukan manusia yang membentuknya untuk dijadikan citarasa mereka sendiri. Kini, mengamalkan Islam sebagai sesuatu yang syumul dan bersifat mutlak (syariat Allah SWT) diterjah sebagai asing dan pelik.
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing.” (HR Muslim No: 208) Status: Hadis Sahih
Kita melihat manusia, sebenarnya kita akan kembali melihat diri kita. Biarlah terus menjadi yang asing.
Harga diri atau maruah adalah sesuatu yang mahal dalam hidup manusia. Melaluinya, manusia akan dipandang dengan pelbagai cerminan. Yang tertinggi adalah cerminan penghormatan dan kemuliaan. Menerusi empat buah cerpen yang tersiar dalam Majalah Dewan Sastera Bil. 10 2020, para pengarang meletakkan persoalan harga diri sebagai kemenangan watak-watak utama.
Cerpen Pakda Mail karya Mukhtar Mustafa mengangkat watak lelaki petani yang berusaha keras selepas ditimpa bencana sebelumnya. Pengarang memakaikan sikap ‘belajar dari kesilapan’ kepada Pakda Mail, menjadikan protagonis cerpen ini kelihatan hebat di pandangan pembaca. Berikut adalah sifat-sifat yang meninggikan harga diri Pakda Mail:
Dari pengalaman itulah Pakda Mail sentiasa beringat-ingat. Soal makanan tidak boleh dipandang remeh. Wang ringgit tidak banyak tidak mengapa, asalkan beras, ikan dan garam cukup tersimpan buat bekalan. Kesusahan yang melanda keluarga Pakda Mail bukan sekali. Telah banyak kali Pakda Mail tempuhi. Tetapi, Pakda Mail tidak pernah merasai putus asa. Dia mempunyai tali pengikat yang kuat. Semuanya disandarkan pada rezeki Tuhan.
Watak Pakda Mail menjelaskan bahawa harga diri adalah bersifat subjektif. Walaupun dia seorang yang tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat, namun memiliki harga diri yang tinggi disebabkan sikap berdikari dan berusaha keras. Pengarang mewujudkan perasaan ingin dihormati Pakda Mail dengan menghadirkan watak negatif Mat Ropi. Walaupun seorang yang mempunyai harta dan dikatakan ‘penjual kedai runcit yang kaya-raya’, tetapi dalam diri Pakda Mail, Mat Ropi adalah insan yang haloba dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa Mat Ropi menolak permintaan Pakda Mail menjadi titik-tolak dia tidak meminta-minta kepada orang lain. Hal ini dapat dikaitkan dengan pandangan Sigmund Freud bahawa kehidupan individu hampir sepenuhnya melibatkan keadaan bawah sedar dan mendorong tindakan luar kawal untuk memenuhi keinginan dalam diri. Oleh kerana Pakda Mail berasa terkilan dan malu dengan orang kaya seperti Mat Ropi, dia menjadi ‘gila bekerja keras’ tanpa disedarinya. Pakda Mail mengerahkan isteri dan anak-anaknya memanfaatkan tanah pusaka dan tanah kerajaan dengan bercucuk tanam, menternak ayam, itik, ikan dan kambing serta berjualan di pasar tani. Hasil usaha mereka sekeluarga, kerajaan memberikan tanah kepada Jusoh, anak Pakda Mail. Terakhir, pengarang sengaja menyinggung watak- watak yang bertentangan dengan Pakda Mail bagi mengukuhkan lagi harga diri protagonisnya.
Mat Ropi, Che Hassan dan Sidik kelihatan berbisik sesama sendiri. Tetapi mata mereka bertiga terjengkit keluar memerhati Jusoh menerima hak milik tanah dari Datuk Ketua Jajahan. Pakda Mail tersenyum lebar melihat gelagat mereka bertiga.
Seterusnya, harga diri yang sama dikemukakan Maslinah Abdul Malek menerusi cerpen Nyawa Musleha. Pengarang mempertentangkan watak miskin diwakili Leha, dengan watak orang kaya bernama Dali. Kekayaan Dali digambarkan oleh kata-kata Leha, “Duit engkau sudah berkepuk-kepuk. Goyang kaki pun, makan pakai engkau sudah terjamin.”
Konflik berlaku apabila Dali memujuk Leha menjualkan tanahnya kepada pihak pemaju. Di sinilah pengarang memasukkan kekuatan harga diri protagonisnya kepada pembaca. Walaupun Leha adalah janda anak satu dan miskin, tetapi harga dirinya terserlah apabila mempertahankan tanah pusakanya. Malahan karakter Leha lebih berani daripada ketua kampung berdasarkan nasihatnya:
“Tok penghulu, tanah orang kampung mesti dipertahankan. Kalau tanah tumpah darah ini sudah menjadi milik orang, ke manakah anak cucu cicit kita hendak tinggal? Mereka akan merempat di bumi sendiri.”
Keinginan rasa ingin dihormati pada watak Leha menjelaskan bahawa pengarang ingin membela nasib bangsanya yang dihimpit tekanan kemajuan. Isu Tanah Rizab Melayu yang semakin runcing terutama yang membabitkan kawasan bandar dan pinggiran bandar disebutkan secara tidak langsung. Pengarang secara sinis mengangkat karakter janda yang sinonim dengan kelompok lemah sebagai pemberani dalam cerpennya. Bahkan, pemikiran Leha jauh mengatasi kaum lelaki terutama ketua kampung dalam mempertahankan tanah. Walaupun orang kampung mendapat ratusan ribu ringgit hasil menjual tanah, tetapi bagi Leha, nilai tersebut lebih rendah daripada harga pasaran. Malahan, Leha membidas tok penghulu dengan mengatakan pembangunan yang ditawarkan pemaju lebih memberikan keburukan kepada penduduk.
“Tok penghulu, tanah ini mahu dibina hotel mewah. Untuk siapa hotel ini? untuk orang-orang asing yang hidup dengan budaya entah apa-apa. Nanti habis anak muda kita terpalit dengan gaya hidup barat. Gaya hidup orang tidak beragama. Mahukan tok penghulu melihat anak bangsa kita rosak demi menelan buah kemajuan sebegini?”
Watak Dali dan sebahagian penduduk kampung yang menjual tanah merupakan bayangan sebenar dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Pengarang mengemukakan idea Neonostalgia dari sudut pandang Leha yang melihat budaya menjual tanah sebagai sesuatu yang negatif dan merugikan bangsa, bahkan menjual tanah seperti menjual harga diri. Neonostalgia memainkan peranan penting dalam masyarakat pascamoden yang inginkan pengukuhan jatidiri seperti Leha. Pengarang mengangkat suara-suara insan yang dilihat kerdil dalam masyarakat sebenar iaitu Leha dan anak kecilnya, Burhan untuk mengepalai penentangan terhadap kelompok kapitalis. Menurut Hashim Ismail (2018), pemikiran Neonostalgia merupakan satu bentuk pemikiran yang bukan lagi untuk muncul mengenangkan kembali masa silam yang indah tetapi merupakan satu pembentukan pemikiran yang mengangkat pola-pola nostalgia sejarah silam, tradisi kolektif dan moraliti kolektif untuk diberi makna baharu supaya bangsa dapat memahami keagungan silamnya. Leha memperingatkan penduduk kampungnya agar tidak menjual tanah warisan biarpun kemajuan mendesak. Berikut adalah kata-kata yang mengangkat harga diri Leha, guna memperingatkan bangsa Melayu agar tidak ‘menang sorang, kampung tergadai’:
“Bukan sedikit keringat nenek moyang kita yang tumpah. Mereka bersabung nyawa menebas hutan belantara membuka kampung. Menabur benih harapan agar tumbuh pohon kehidupan buat anak cucu cicit menyambung warisan. Ada tanah untuk dipancang batu tanda milik, di sinilah kita hidup dan di sinilah kita bakal disemadi. Belum lagi disirahkan sejarah perjuangan panjang mereka menentang penjajah yang rakus menghirup darah pejuang hingga gugur mempertahankan tanah air. Andai semuanya digenggam orang lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?”
Cerpen berikutnya menawarkan persoalan harga diri seorang pendatang asing. Tukang Kebun Migran karya Uthaya Sankar SB menggunakan sudut pandang ‘saya’ yang membolehkan pembaca menyelami sepenuhnya perasaan dan pemikiran protagonis. Saya ditampilkan sebagai tukang kebun ‘tidak sengaja’ dari negara India. Perkenalan saya dengan tuan tanah iaitu sepasang suami isteri warganegara Malaysia berlaku apabila saya melalui kawasan rumah mereka dan memberikan petua menanam pokok. Pengarang secara sinis menyinggung sikap tuan tanah yang tidak pandai ‘menghargai’ tanah dengan gambaran berikut:
Halaman yang luas, puluhan pasu yang kosong, dan stok tanah berbaja yang terbiar mengujakan saya. Suvarnabhumi; tanah emas. Sia-sia jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Bahkan, sikap tuan tanah yang menyalahkan ketiadaan tukang kebun menggambarkan mereka hanya bergantung kepada orang lain untuk menjaga halaman rumah. Selanjutnya, pengarang mengangkat harga diri warga asing yang mempunyai pelbagai benih tanaman dan bijak memanfaatkan tanah orang lain. Kerajinan saya menyebabkan halaman rumah tuan tanah dipenuhi tanaman bunga dan sayuran. Saya juga tidak mengharapkan apa-apa bayaran daripada tuan tanah sekaligus memperlihatkan harga diri saya yang tinggi.
Para pendatang atau kaum imigran sering dicerminkan sebagai kelompok yang mengancam penduduk sesebuah negara. Namun, dalam cerpen Uthaya Sankar SB menunjukkan layanan dan kepercayaan ‘berlebihan’ rakyat Malaysia kepada pendatang asing. Tuan tanah digambarkan begitu percaya kepada saya sehingga memberikan kunci pagar rumahnya untuk disimpan oleh saya. Ini selaras dengan pandangan Hashim Ismail (2018) bahawa masyarakat pascamoden merupakan masyarakat yang sangat terbuka. Namun begitu, keterbukaan tuan tanah terhadap saya amat berbaloi kerana saya adalah manusia yang jujur dan berstrategi. Saya menyembunyikan identitinya yang sebenar sehingga pembaca dihidangkan dengan tanggapan tipikal masyarakat kepada kaum pendatang iaitu miskin, tidak berpengetahuan tinggi dan lemah. Ini dibuktikan dengan sikap tuan tanah yang tidak mahu bertanya latar-belakang saya kerana menganggap saya adalah pendatang asing biasa.
Harga diri akan menjadi semakin mulia apabila mendapat penentangan luar. Bagi menaikkan lagi imej dan harga diri protagonisnya, pengarang mewujudkan watak jiran kepada tuan tanah yang sering berprasangka buruk kepada saya. Jiran juga adalah pemilik tanah dan mahu saya menjadi tukang kebunnya. Jiran mula memburuk-burukkan saya selepas saya menolak permintaannya.
“Saya tahu apa rancangan awak. Awak boleh menipu mereka tapi saya sudah boleh mengagak niat jahat awak.”
Pengarang mendedahkan identiti sebenar saya di bahagian-bahagian akhir cerpen. Saya adalah pegawai dari Kerala, India yang datang ke Malaysia atas urusan profesional. Saya seorang pencinta tumbuh-tumbuhan dan melihat tanah sebagai anugerah. Peluang berbuat baik kepada tuan tanah dan melestarikan bumi dengan tanaman indah ditanggapi saya sebagai nikmat jiwa. Hal ini menampakkan harga diri saya sangat tinggi kerana mampu membahagiakan orang tanpa dibatasi pesimis bangsa, agama dan warganegara.
Cerpen seterusnya menawarkan kelainan pada watak iaitu sepasang penguin bernama Peni dan Ginu. Jusoh Ahmad menerusi cerpen Pengorbanan menonjolkan semangat perjuangan dua penguin sebagai harga diri yang perlu dicontohi manusia. Peni dan Ginu memaknai kejadian mereka sebagai makhluk Tuhan dengan rasa syukur tanpa berbelah bahagi. Keadaan fitrah mereka amat sukar jika dibandingkan dengan manusia iaitutinggal di kawasan beku sehingga negatif 60 celcius.
“Tuhan Yang Maha Mengetahui. Dia yang mencipta kita tentu ada hikmahnya yang tersembunyi. Kita wajib menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan. Jika kita membantah tidak bersyukur bererti melawan takdir-Nya, pasti kita menerima padahnya. Subhanallah! Kita dikurnia rahmat untuk memohon doa.”
Dialog Peni dan Ginu sarat dengan ucapan syukur dan pasrah kepada Tuhan. Pengarang cuba memanifestasikan ayat-ayat Al-Quran tentang pujian para makhluk kepada Allah SWT. Antaranya dalam Surah Al-Isra’ ayat 44 yang bermaksud:
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Pengarang seolah ingin menyedarkan manusia menerusi sikap dan kata-kata Peni, Ginu dan Negun antaranya adalah menjaga hubungan dengan Tuhan dan para makhlukNya, bersyukur dan redho serta berkorban untuk ahli keluarga. Kemuncaknya, pengorbanan Peni yang sanggup menggadaikan nyawa demi memastikan anak-anaknya hidup adalah harga diri yang paling mulia. Malahan, pesanan si pemimpin kepada ketua-ketua keluarga penguin dapat menjadi teguran kepada para suami. Pengarang secara halus menegur para suami yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan resam penguin jantan sebagai teladan yang boleh dipelajari.
Tiap-tiap pasangan, terutama suami mesti menjaga keluarganya. Mahu atau tidak tetap menjadi tanggungjawabnya. Pengorbanan itu adalah wajib bagi suami. Sebelum musim salji tiba dan kian membeku pastikan kesihatan sentiasa mantap. Sudah hampir tiba waktunya, hidup terpaksa digadai.” Jelas pemimpin mereka.
Kesimpulannya, empat buah cerpen ini menghidangkan perwatakan protagonis yang kaya dengan maruah dan harga diri biarpun mereka berada di posisi rendah dalam masyarakat iaitu petani, janda dan tukang kebun. Watak Pakda Mail mempunyai persamaan dengan watak Peni, seekor penguin dalam perjuangan membebaskan isteri dan anak daripada kesusahan dan ranjau hidup. Pakda Mail mendidik anak-anaknya berusaha keras dan tidak putus asa, sehingga akhirnya berjaya memperolehi tanah iaitu sesuatu yang amat penting dalam kehidupan. Manakala Peni mengorbankan diri agar isterinya dapat melahirkan anak mereka dengan selamat. Watak Leha dan saya dapat ditanggapi sebagai watak yang melambangkan sikap sesebuah bangsa. Berdasarkan pemikiran Neonostalgia, Leha adalah penerus tradisi para pahlawan Melayu mempertahankan tanah warisan di era moden. Manakala watak saya secara tidak langsung menjelmakan nilai-nilai baik dalam masyarakat Kerala, India kepada para pembaca di Malaysia iaitu sifat menghargai tumbuhan, jujur, dan rendah hati.
Persoalan yang boleh dikemukakan, apakah masyarakat di Malaysia semakin hilang harga diri sehingga secara kebetulan, empat buah cerpen ini memberi saran dan pengajaran yang sama?
Baru-baru ini saya didatangi pelajar yang mahu lakukan Ph.D dengan saya. Dia pelajar yang baik, masih sangat muda, mendapat nilai kredit yang melayakkannya buat Ph.D tanpa perlu sarjana. Saya tidak tahu mengapa dia mahu lakukan Ph.D di bawah seliaan saya; seorang pensyarah yang ‘muda’ ilmu dan pengalaman. Moga-moga bukan kerana ‘aura’ negara Korea.
Dia terlebih dahulu menghantar proposal kajiannya kepada saya sebelum datang bertemu minggu lepas. Ini proposalnya yang kedua. Kali pertama dulu saya minta ubah banyak perkara. Kali ini nampak ada kemajuan tetapi masih longgar. Dia mahu mengkaji tentang Sastera Islam. Mahu membuat kajian bandingan novel Islam Malaysia dan Indonesia. Saya ‘menembak’ proposalnya dan minta dia datang ke bilik pejabat jika ada waktu. Esoknya, begitu gigih dia memandu dari Seremban ke UM untuk bertemu saya.
Yang pertama saya menyoalnya, apa isu kajiannya yang membuatkan dia tertarik memilih pengarang dan novel-novel itu? Adakah dia membaca mana-mana berita terkini dan menemukan fakta bahawa orang Malaysia mengalami masalah yang ingin diterokainya?
Yang kedua, apa latar-belakang kepada novel dan pengarang kajian? Apa peristiwa yang menyebabkan novel-novel yang dipilih itu muncul? Apa motif penulisan pengarang (yang kita dapat mengetahui dengan membaca biografi atau kajian pemikiran sekiranya pengarang itu adalah tokoh seperti Hamka). Kerana hal-hal di luar novel penting sebelum membandingkan mana-mana pengarang.
Yang ketiga, mengapa teori yang dipilih itu menjadi pilihan? Apakah teori yang senada tidak dapat mencerminkan hasil analisis lebih baik (nanti)?Dan berapa banyak teori yang sealiran telah dibaca?
Meja belajar saya di rumah Hwarangdae, Seoul 2015-2017
Banyak lagi soalan yang lain…
Sebenarnya, ketika saya memberi banyak soalan, bukanlah menunjukkan saya benar-benar ‘menguasai jawapan’. Saya hanya mengulangi cara yang sama pernah dibuat guru-guru Ph.D saya dulu. Mulailah kajian dengan mencari isu, memahami kontek teks dan pengarang serta mengenal pasti sebanyak mungkin teori sealiran.
Dan semua itu memerlukan pembacaan dan kesaksamaan berfikir.
Di akhir pertemuan saya ‘memujuk’nya.
“Dulu saya menulis tesis dua kali. Tesis yang kedua saya tulis ketika berada di tahun keempat Ph.D, tukar teori, analisis semula dan memenatkan. Adalah lebih baik penat pada tahun pertama kamu mendaftar Ph.D.”
Lalu, saya minta dia balik dan ubah semula kertas proposalnya dengan (mungkin) : isu baharu, pengarang lain, novel yang lain serta teori yang benar-benar dipilihnya setelah membaca, memahami teori sealiran yang ada.
Pelajar tersebut pulang. Saya terbayangkan guru-guru saya. Semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan kepada mereka.
Bachelard (1969) mengatakan rumah atau kediaman adalah alam semesta pertama manusia. Bagaimanapun rupa bentuk dan ruang fizikalnya, rumah menumbuhkan akar dan tunas pengalaman, semangat, cita-cita, keinginan, perasaan dan kenangan kita. Manusia memiliki pelbagai maksud rumah sesuai dengan latar-belakang dan usia mereka. Tetapi, rumah yang sebenar adalah tempat atau tujuan di mana mereka berusaha untuk kembali. Di rumah itu, manusia menemukan keinginan dan diri mereka sendiri. Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) membahagikan keinginan manusia kepada keinginan yang berunsurkan ketuhanan dengan keinginan yang berunsurkan kebinatangan.
Inilah pencarian utama dalam empat buah cerpen yang tersiar di Dewan Sastera(Bil. 04). Para pengarang ibarat pengembara yang mencari rumah keinginan mereka melalui perjalanan panjang. Dimulai cerpen “Laluan Penuh” karya Regina Ibrahim. Pengarang membawa pembaca menyelami keinginan seorang wanita berusia 75 tahun untuk memiliki rumah sepanjang hidupnya. Sejak lahir, watak aku ditinggalkan kepada orang luar sehingga merasakan dirinya sinonim dengan gelaran ‘orang menumpang’. Aku berpindah dari satu rumah ke satu rumah kerana dihalau secara ‘sopan’ oleh keluarga angkatnya. Selepas kematian suami, aku membesarkan dua anak kecilnya di tanah wakaf yang digelarkan ‘rumah janda belakang surau’.
Di rumah barunya, aku berkeinginan membesarkan anak-anaknya dengan tulang empat keratnya. Dia percaya, walaupun tidak mempunyai tanah sendiri tetapi bumi Tuhan amat luas untuk mereka yang berusaha. Aku menjual hasil hutan dan hasil tangkapan ikan sungai, membuat jeruk mempelam dan menanam ubi kayu. Tetapi usaha aku tidak disenangi masyarakat setempat. Kekecewaan aku digambarkan dengan ayat berikut:
Manusia ini, aku rasakan pelik. Kadang-kadang mereka boleh naik meluat melihat kita yang berusaha. Menangkap ikan darat juga dimarahi, ceroboh tali air orang. Ikan bukan dari Tuhankah? Baguskah tanah dibiarkan pada lalang? Dua tiga kejadian khianat cabut tunas anak pokok dan curi telur ayam didiamkan. Namanya juga reda menumpang.
Keinginan-keinginan aku selepas berlakunya konflik dengan orang kampung adalah membebaskan diri daripada mendengar cercaan masyarakat.. Aku pesimis terhadap wanita kampung yang mahu menjodohkannya dengan duda tua, teruna terlajak, lelaki bodoh dan cacat tubuh. Wanita kampung menurut aku amat takut jika suami mereka jatuh cinta kepada janda sepertinya. Aku juga mencarikan pasangan hidup untuk anak sulungnya dari kalangan keluarga yang miskin. Aku percaya, orang miskin lebih memahami keadaan diri mereka yang tidak memiliki harta terutama rumah sendiri. Tindakan-tindakan ini menunjukkan aku cuba mewujudkan rumah kedamaian dalam dirinya sendiri.
Apabila aku menginjak tua, aku tidak lagi memfokuskan untuk memiliki rumah fizikal. Aku merasakan perkara yang lebih penting adalah mengajarkan kepada anak cucunya sifat berusaha keras. Aku tidak mahu anak cucunya duduk bergoyang kaki dan mengabaikan warisan bangsa seperti katanya:
Kuajar anak cucu membuat sambal goreng, rempah giling dan acar manis. Resepi lama, bukan apa-apa takut hilang lesap begitu sahaja ditelan masa.
Penulis menutup cerpen ‘Laluan Penuh’ dengan keinginan terakhir aku untuk mendapatkan rumah abadi di sisi Allah SWT. Setelah 75 tahun dia gagal memiliki rumah fizikal walaupun telah berusaha sepanjang hayat, aku akhirnya pasrah. Ayat ‘aku telah bersedia dan tidak ada air mata’ menunjukkan bahawa aku menyerahkan segala penjuangan hidupnya kepada Tuhan dan yakin Tuhan akan mengganjari syurga iaitu rumah sebenar yang diimpikannya.
Dari segi teknik penceritaan, pengarang menggunakan bahasa komunikatif dan padat seolah-olah sedang berbual dengan pembaca. Misalnya, dengan satu perkataan tertentu, pembaca dapat menangkap keadaan emosi watak tanpa perlu penjelasan detil. Ayat ‘pagi yang berbahagia’ amat menarik kerana aku menganggap pagi dia terjatuh dan nazak adalah hari yang menyenangkan. Ini membuktikan lagi bahawa aku berasa tidak sabar bertemu Penciptanya setelah melalui kehidupan yang penuh. Kata penuh dapat ditamsilkan sebagai kepuasan mengharungi pancaroba dunia.
Selanjutnya, Khafiz Bahari menerusi cerpen ‘Awan’ memperlihatkan watak aku yang menemukan keinginannya di sebalik kenangan hidup. Sewaktu aku melewati sebuah kebun, fikirannya kembali ke masa lalu. Awan dijadikan lambang sebuah rumah yang wujud di dalamnya abah, emak dan segala pengorbanan mereka ketika membesarkan aku. Paparan wajah abah dan emak di awan menyebabkan aku berilusi untuk mengejar, memanjat dan menyentuh awan. Aku ingin mengabadikan awan sebagai sesuatu yang boleh disimpan selamanya.
Dalam fikirannya, aku melihat abah membangunkan kebun dengan titik peluhnya sendiri. Setiap perlakuan abah dapat dilihat dengan jelas ‘di mata’ aku.
Ada imej abah menghentakkan kayu ke atas tiang pagar. Dadanya bergegar menahan kesan hentakan itu. Ada imej abah memaku zink dengan memijak mata tangga, kaki dan tangannya terketar-ketar ketika mengetuk paku ke alang kayu. Ada imej abah mencangkung sambil mencabut satu demi satu rumput liar sementara tunas jagung baru bercambah. Imej abah menimba air dari longkang lalu membawa air yang ditimbangan di dalam bekas penyiram. Imej abah menyiram anak-anak jagung yang hampir layu kerana cuaca panas terik.
Aku terpegun seolah pertama kali melihat abah berkerja-keras mengusahakan tanah kebun. Setiap imej terasa mahal membuatkan aku berasa cemas apabila ilusi abah melalui gumpalan awan berguguran. Fikiran aku kemudiannya meneroka lebih mendalam tentang abah. Aku dibawa melewati tiga peristiwa malang yang mempamerkan kejahatan manusia. Peristiwa pertama menunjukkan pertolongan yang dibalas dengan kezaliman, peristiwa kedua pula adalah gambaran sikap manusia yang mahu mencegah kejahatan tetapi dengan cara yang salah, sehingga kejahatan semakin menjadi-jadi. Peristiwa ketiga pula memberikan tanda kerosakan dalam masyakat begitu parah.
Dalam rumah fikirannya, aku dilihat tidak bersetuju dengan beberapa tindakan abah. Aku tidak dibenarkan abah untuk menyoal dan melakukan apa-apa pergerakan.
Aku semakin sangsi tentang setiap yang aku lihat, apatah lagi abah tidak membenarkan aku menyoal apa-apa. Malah jika aku cuba-cuba mencubit-cubit dinding awan yang berbentuk tidak sempurna bulat ini, aku segera dimarahi dan diherdik dengan bengis. Aku takut.
Aku memasang keinginan untuk melawan abah kerana merasakan tindakan abah dapat membahayakan mereka. Lalu, terjadi pergelutan fizikal antara aku dan abah mengakibatkan mereka saling berkelahi. Waktu itulah, imej emak terlayar di awan fikiran aku. Emak kelihatan murung dan menanggung derita. Aku menonton kembali perbuatan emak menyuapkan aku nasi yang berlaukkan kicap dan marjerin. Aku melihat parut hitam di pipi emak kerana jatuh motor sewaktu berjualan kuih. Emak menjadikan rumah fikiran aku diasak kesedihan dengan pengorbanannya menggembirakan orang lain. Aku belajar daripada emak cara menangani kesedihan dengan berdoa. Emak menangis bersungguh-sungguh dalam doanya, meminta kepada Tuhan.
Emak berdoa di hadapan Kaabah ketika angin kuat membawa pasir halus lalu menyingkap kain kiswah.
Rumah fikiran aku diasak rindu kepada emak dan abah membuatkan dirinya tidak berpijak di bumi nyata. Aku membawa keinginan menyatukan keluarga mereka dalam ilusinya. Aku tidak mahu imej ibubapanya hilang. Saat aku tersedar dari imbauan kenangan, aku merasakan dirinya seperti sepelepah bulu burung yang jatuh di atas tanah. Waktu itulah aku memberitahu bahawa rumah sebenar yang ingin dimilikinya adalah ibubapanya.
Dari segi struktur, cerpen ini menampilkan teknik yang meminimalkan dialog. Khafiz Bahari memanfaatkan imaginasi kreatifnya dengan menongkah konvensi biasa. Secara normal, aku memiliki kisah hidup seperti orang lain iaitu mempunyai ibubapa yang berkorban apa sahaja demi anaknya tetapi pergerakan cerita yang tidak megikut kronologi dan sarat perlambangan, menuntut fikiran dan renungan dalam. Kata awan dapat ditafsirkan sebagai sesuatu yang istimewa dan tinggi, kelihatan megah dan cantik malah bersifat menaungi, tetapi awan apabila disentuh akan hilang dan kosong. Justeru, pengarang ingin mengaitkan sifat awan dengan kerinduan kepada ibubapa yang telah tiada.
Menerusi cerpen ‘Nama Saya Orang Utan’, penulisnya, Peter Augustine Goh memposisikan rumah keinginan yang lebih unik iaitu identiti diri. Watak saya dikemukakan bagi mewakili manusia yang memiliki nama- nama unsur alam. Saya mengalami pelbagai insiden buruk akibat namanya tetapi dia tetap berasa bangga.
Sebaliknya saya bangga. Bangga mempunyai nama Orang Utan. Nama yang telah diberikan oleh bapa saya, Orang Minyak tiga puluh lima tahun yang lalu.
Saya dan keluarganya yang terdiri daripada ibubapa dan adik perempuannya baru berpindah ke Daerah Maju Jaya dengan tujuan mencari rezeki. Keinginan mendapatkan kehidupan lebih baik adalah fitrah insan. Imam Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) memasukkan pencarian harta sebagai antara keperluan utama manusia. Dengan harta, manusia dapat melaksanakan kehidupan yang terbaik dan menggalakkan ekonomi umat. Saya dan keluarganya yakin Daerah Maju Jaya adalah daerah makmur dan kaya peluang. Malangnya, firasat tersebut salah. Saya dirompak lelaki bertopeng di daerah tersebut. Lebih malang, para pegawai polis di situ tidak mempercayainya dan memperlekehkan namanya. Saya ditahan atas alasan tidak mempunyai identiti diri sebagai warganegara. Bermula dari itu, saya ingin menjelaskan keistimewaan identitinya kepada pembaca.
Nama bukan menjadi lambang keperibadian saya dan masyarakat di daerah asalnya, sebaliknya kejujuranlah yang menentukan nilai diri manusia. Saya menyebutkan nama-nama ‘unik’ yang digunakan manusia di Daerah Murni antaranya Gajah, Tikus, Musang Berjambang, Singa Lapar, Atas Pagar, Murah Hati dan Tepi Gunung. Saya ingin mematikan tanggapan biasa bahawa manusia perlu memiliki nama yang indah. Sebaliknya, apa sahaja nama yang digunakan seseorang walaupun dalam kategori binatang dan tumbuhan, ianya tidak mengubah nilai kemanusiaan. Saya jelek dengan manusia yang bertopengkan hipokrasi. Mereka memiliki nama yang hebat tetapi melakukan kezaliman.
Saya mendedahkan sikap buruk golongan yang memiliki nama ‘normal’. Mereka terdiri dari golongan berpendidikan dan berstatus pegawai tetapi memandang rendah kepada orang lain.
Saya berasa amat malas hendak meningkah kata-kata kerasnya. Saya tidak tahu siapa yang kurang ajar. Cuma orang seperti dia harus meneroka jauh ke daerah lain dan melihat dunia. Jangan jadi macam katak di bawah tempurung.
Saya dan tahanan-tahanan yang memiliki nama ‘luar biasa’ hanya mampu menahan marah. Kata-kata mereka dianggap bohong dek kejahilan pihak pegawai keselamatan. Justeru, saya merasakan sistem demokrasi masih belum menjamin kebebasan hak asasi manusia sekiranya masyarakat terutama para penjawat awam masih tebal kejahilan.
Saya tertanya-tanya adakah kami ada hak dalam daerah yang mengamalkan hak asasi dan demokrasi. Demokrasi yang mengikut undang-undang yang luhur. Luhur yang membawa makna mulia. Mulia berkuasa yang tidak boleh disalah guna. Salah guna kuasa memacukan kezaliman, sesuatu yang pantang pada mata rakyat yang tidak mahu jiwa mereka terbebat dan fikiran mereka berselirat. Fikiran yang kacau dan terpusing tidak boleh membuat mereka berfikiran lurus. Situasi ini tidak boleh dibiarkan dalam sebuah masyarakat yang dahagakan kemajuan yang bercambah dalam semua bidang kehidupan.
Pengarang secara sindiran menghadirkan watak yang bernama Orang Halus, seorang peguam berkaliber untuk menyelamatkan saya dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa rompakan. Identiti saya menjadi semakin kuat selepas peristiwa tersebut. Saya meyakini bahawa nama tidak melambangkan kemuliaan seseorang. Satu-satunya yang dapat mengangkat martabat mereka adalah hati yang baik.
Walaupun pengarang berjaya menyampaikan keinginan watak untuk menjelaskan latar-belakang namanya, tetapi teknik penceritaannya agak longgar. Pengarang melantunkan suara emosi watak yang menindas dan tertindas tanpa perbincangan yang lebih serius dan bermaklumat. Misalnya, pegawai keselamatan digambarkan jahil tentang etnik dan kaum di sesuatu tempat seolah-olah mereka tidak pernah diberi penerangan sebelum dilantik bekerja. Bahkan, seruan watak saya agar masyarakat memberikan nama ‘yang lebih jujur’ kepada waris terutama nama-nama binatang dilihat tidak sesuai dalam masyarakat Muslim yang mementingkan nama-nama mulia. Ini kerana, setiap nama adalah doa kepada pemiliknya. Terakhir, tanpa fakta yang lebih serius berkaitan latar tempat dan masa menunjukkan pengarang hanya mahu pembaca menanggapi karyanya sebagai satira biasa.
Cerpen pilihan keempat berjudul ‘Di bawah Pohon Maple’ karya Amelia Hashim mengungkapkan pencarian rumah keinginan yang bersifat keakuan. Menariknya, watak aku menemukan kemahuan yang dicarinya selama ini dalam diri seorang tokoh yang dikaguminya iaitu pengarang besar dalam sejarah Jepun, Murasaki Shikibu.
Aku adalah penulis wanita Melayu yang telah lama mengkaji Hikayat Genjisehingga membawanya ke Kuil Isyiyama di Danau Biwa. Aku merasakan seolah-olah bertemu Murasaki Shikibu secara nyata saat menatap lukisan-lukisannya. Keinginan aku telah dipersiapkan dengan pengetahuan dan latihan seperti katanya:
Aku sudah belajar bagaimana cara duduk bertimpuh menghadap meja rendah itu. Mereka sudah biasa kerana itu seni budayanya, sedangkan aku akan terpaksa menahan diri bersikap tertib.
Aku merasakan dirinya mempunyai banyak persamaan dengan Murasaki Shikibu dalam kehidupan harian dan kehidupan sebagai penulis. Mereka sama-sama kematian ibu ketika kecil. Yang berbezanya, aku dibesarkan oleh nenek dan Murasaki Shikibu dibesarkan oleh ayahnya. Dalam ilusinya, aku mengulas hubungan Murasaki Shikibu dengan lelaki-lelaki penting dalam hidupnya iaitu ayah dan suami. Kedua mereka memberi pengaruh besar terhadap perjalanan kesusasteraannya.
“Aku merasai hidup bersuami hanya empat tahun. Ketika aku mengahwininya, dia mempunyai banyak rumah dan banyak isteri. Juga dia mempunyai banyak anak. Engkaupun tahu perasaanku sebagai perempuan. Namun, hal itu kuanggap sebagai takdir kerana aku terlahir sebagai perempuan. Kemudian suamiku meninggal dunia. Empat tahun dia mendampingiku sebagai suami, tentulah aku berasa kehilangan apabila dia meninggal dunia! Sukar juga aku menyesuaikan diri tanpa suami. Aku mengatasinya dengan membaca dan menulis!”
Aku terus menemukan dirinya dalam sejarah Murasaki Shikibu. Wanita ternama itu gemarkan warna-warna lembut dan tidak menonjol. Dia juga menolak hiburan yang berunsurkan pesta dan arak. Aku mengatakan tokoh impiannya seperti sebutir mutiara di tengah pecahan kaca. Walaupun dilimpahi kemasyuran dan kemewahan, dia memilih menjadi penulis yang merakam sejarah zaman.
Dalam kehidupan seorang sasterawan, Murasaki Shikibu adalah wanita sederhana tetapi mempunyai kelicikan halus dalam tulisannya sehingga boleh menjatuhkan lawan. Di sinilah aku menemukan cita-citanya sebagai penulis. Aku ingin memutar cerita sebagaimana yang telah dibuat tokoh impiannya terhadap watak Panglima Genji. Perasaan aku diungkapkan dalam pernyataan ini:
Yang memikatku untuk bertemu dengannya ialah kepintarannya melukiskan permainan asmara yang rumit. Panglima Genji itu pemain cinta asmara dengan banyak perempuan sepanjang hidupnya.
Aku memperlihatkan hasratnya untuk menghayati cinta romantisme yang rumit. Panglima Genji mempunyai hubungan sulit dengan lebih lima wanita. Antara wanita itu ada yang mati menderita dan hidup dalam kekecewaan. Aku bersetuju dengan pandangan Murasaki Shikibu bahawa seorang isteri akan tetap mencintai suaminya walau seteruk manapun layanan suami terhadapnya. Bahkan, seorang wanita juga mencintai kekasihnya tanpa berbelah bahagi. Aku berasa nasib wanita terbela di tangan penulis wanita, bukan penulis lelaki. Dengan merujuk Sejarah Melayu, aku menyatakan kekecewaannya terhadap gambaran wanita yang ditulis pengarang lelaki seperti Tun Kudu, Tun Fatimah dan Tun Manda. Baginya, watak kewanitaan diwujudkan untuk kepentingan politik dan kekuasaan kaum lelaki. Dalam bicara ilusinya dengan Murasaki Shikibu, aku tidak mendapat kesimpulan yang memihak kaum wanita. Masing-masing mengakui wanita sering menjadi mangsa perasaan mereka sendiri terhadap seorang lelaki.
Walau bagaimanapun, kajian mengesani kekaguman aku terhadap Murasaki Shikibu lebih menonjol terhadap kehidupan peribadinya berbanding sisi sasterawi. Tambahan, setiap yang ditulis Murasaki ditanggapi aku sebagai kisah nyata. Aku percaya, gabungan nilai emosi, intelektual, kekeluargaan dan politik yang terjalin dalam Hikayat Genjiadalah pancaran pengetahuan pengarangnya sendiri. Aku juga tidak dapat mengawal dirinya menelaah bentuk wajah dan cara pembawaan Murasaki yang halus dan sopan. Walaupun penulis sejarah itu hidup di abad yang berbeza, aku berasa dekat dan rapat kerana keinginan yang wujud dalam diri aku telah dijelmakan Murasaki Shikibu baik dalam karyanya mahupun kehidupan peribadinya. Justeru, kedatangan aku ke daerah asing dan jauh, ditambah pemandangan pohon maple yang tidak ada di negara aku, namun aku seolah kembali ke halaman rumahnya sendiri.
Amelia Hashim menyampaikan pemikirannya yang sarat mesej kewanitaan dengan cara baharu. Pengarang melepaskan wataknya berilusi dengan tokoh yang telah lama meninggal dunia hanya melalui dialog dan penceritaan mendatar. Namun, atas pengalaman pengarang, beliau berjaya membangkitkan suasana jiwa wanita yang saling menyokong antara satu sama lain walaupun dipisahkan oleh tirai zaman. Amelia juga sedar, walau sebanyak manapun inspirasi yang dikutip aku daripada Murasaki Shibiku, tetapi ada perkara yang menjadi batasan mereka iaitu kepercayaan hidup. Ini ditegaskan Amelia Hashim di akhir cerpennya:
Bertahun-tahun juga aku menelusuri jejaknya, memerhati penulis Hikayat Genji di dalam hati dan jantung para pelukis. Imaginasi mereka terimbau jauh mendekati Murasaki Shikibu dengan kelincahan jejari bermain warna. Aku juga sebagai penulis dan memiliki imaginasi tersendiri walaupun berbeza cara pengabdian.
Demikianlah sekilas ulasan empat buat cerpen yang masing-masing memiliki rumah keinginan yang tersendiri. Menarik untuk ditekankan apabila para penulis secara kebetulan memfokuskan keinginan yang bersifat dalaman dan spiritual seperti kebahagiaan hakiki (syurga), cinta ibubapa, maruah diri dan kehormatan wanita. Bahkan, semua cerpen menggunakan sudut pandangan pertama iaitu aku dan saya yang membolehkan mereka berimaginasi penuh. Apa yang menjadi persoalan, mampukah suara aku diperhalusi lebih mendalam, matang dan memberikan impak besar kepada masyarakat sesuai dengan revolusi pemikiran yang sedang berlaku di tahun 2019? Kerana itulah rumah yang bakal didepani seluruh masyarakat terutama anak bangsa Malaysia.
Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu-Islam di Asia Tenggara, Habiburrahman El Shirazy merupakan salah seorang pengarang yang mempunyai keunikan tersendiri. Pengarang berusia 40 tahun ini telah menghasilkan 10 buah novel berunsurkan Islam. Kesemua novelnya terjual melebihi 50 ribu naskah dan beredar di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Habiburrahman El Shirazy telah mengulangi sejarah pengarang- ulamak, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka yang mempunyai khalayak pembaca di seluruh nusantara khususnya di Malaysia. Kedua pengarang ini mempunyai latar pendidikan Islam yang kuat dan menjadikan novel sebagai alat untuk menyebarkan dakwah.
Sumbangan Habiburrahman El Shirazy dalam penulisan novel terserlah melalui novel keduanya, Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan pada tahun 2004. Novel ini telah dicetak lebih 800 ribu naskhah dan menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia. Kejayaan beliau seterusnya adalah mengangkat novel-novelnya ke layar perak dan televisyen. Hal ini secara tidak langsung mempromosikan peribadinya sebagai pengarang Islam dan meningkatkan penjualan karya-karyanya.
Saya suka melihat awan. Hanya pengembara atau perantau yang boleh melihat awan dari dekat. Awan meneduhkan bumi. Awan menyaksikan para makhluk bergerak dan diam. Melihat awan dari dekat telah menyedarkan saya bahawa tugas menjadi seorang guru berhubungan dengan awan. Awan-awan ibarat ilmu pengetahuan dalam diri seorang guru. Awan yang manakah kita mahu teduhkan ke fikiran para pelajar kita.
Saya pencari awan, belajar menjadi awan. Mengapa?
Ketika saya baru memulai tugas sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada Oktober 2018, saya bingung. Gara-gara tidak cukup persediaan baik maklumat, pengalaman dan kaedah pengajaran. Justeru, saya menerima komen yang tidak baik daripada pelajar. Sejak itu, saya merasakan paling penting bergelar seorang pensyarah adalah persediaan pengajaran yang tepat dengan pelajar. Pensyarah perlukan awan maklumat sebagaimana awan di langit membumbungi manusia di bumi.
Kesusasteraan Melayu adalah bidang yang mencabar bagi Generasi Z yang peka digital. Mengajar mereka tidak boleh dengan cara lama. Mestilah menggunakan alat-alat digital dan visual. Saya tekad memahirkan diri dengan kaedah pengajaran berteraskan medium internet dan teknologi agar para pelajar berasa cinta dengan bidang mereka iaitu Sastera Melayu. Saya wujudkan laman web ini sebagai mengumpul awan-awan maklumat, dan para pelajar boleh menyontohinya nanti. Kesusasteraan bukanlah hanya kerja membaca, berfikir dan menikmati tetapi bidang ini memerlukan seseorang untuk menulis serentak, sama ada kreatif atau kritikan ilmiah.
Sebelum ini saya hanya penulis yang berinteraksi dengan buku dan alat tulis. Tetapi kini saya seorang guru. Saya adalah penghubung para pelajar dengan ilmu pengetahuan. Saya berhadapan manusia yang sebenar. Awan-awan amanah menjadi banyak dalam diri saya; terus menulis kreatif, membaca dan mengajar manusia untuk mengenal makna sastera dan membuahkan fikiran baharu untuk dunia ini.
Saya setiap hari melihat awan. Saya berdoa Allah SWT Merestui niat saya menjadi seperti makhluk awan untuk manusia yang lain.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Saya mulakan kembara diri menjadi awan kepada orang lain.