Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Seorang teman pernah menulis padaku ketika aku bujang dulu.
Tentang tiga wanita mulia yang boleh kujadikan rujukan dalam hidup.
Pertama, sekiranya aku berkahwin dan suamiku nanti seorang yang jahat maka ambillah Asiah isteri Firaun sebagai teladan.
Asiah tetap taat pada suami yang mengaku Tuhan dan membunuh orang. Tetapi suami kita tak mungkin sejahat Firaunkan? Asiah tidak bercerita pada orang tentang kejahatan suaminya tetapi al Quranlah yang bercerita tentang kezaliman Firaun. Dan al Quran juga menaikkan martabat Asiah.
Justeru kawan, tak perlu kita menghebahkan peri jahatnya suami kita terutama di media sosial kerana ianya bukan penyelesaian. Sabar dan mengadu pada Tuhan. Sabar dan tingkatkan keimanan padaNya. Sesungguhnya Allah SWT berjanji akan mengasihi orang yang sabar.
Janji siapa lagi boleh dipercayai 100 peratus kalau bukan
janji Allah SWT. Kisah Asiah boleh diiktibari kawan.
Dan ingatlah kawan, sekalipun suamimu zalim padamu, tidak berhak kamu melafaz cinta pada lelaki lain. Hanya tunggulah kesabaranmu diangkat dan dimuliakan Allah SWT melalui perancanganNya, bukan kehendak nafsu dan emosi kita yang lemah.
Tidak mustahil bagi Allah SWT menjadikan iman dan sabar kita seperti Asiahkan bila diuji suami yang jahat dan zalim ini? Allah SWT Maha Tahu kemampuan hambaNya.
Kedua, kau boleh meniru Khadijah isteri Nabi Muhammad SAW. Suaminya insan pilihan dan paling baik akhlaknya. Kau mungkin mendapat suami yang baik sekalipun tidak sebaik baginda SAW.
Khadijah tidak mengambil kesempatan atas kebaikan suaminya. Dia malah berkorban jiwa, harta dan nyawa kepada suami. Dia memelihara kehormatan diri dan mendidik anak-anak dengan baik.
Jadi jika suamimu sudah baik terutama agama dan akhlaknya janganlah kau memalukannya dengan sikap kejimu seperti mengumpat di media sosial, mendedahkan aurat, menayangkan kekayaan, bahkan dalam perkara kebaikan pun mohonlah izin suamimu.
Berusahalah memperbaiki dirimu agar sebaik suamimu seperti Khadijah yang amat cocok dengan peribadi suaminya. Bersama-samalah dalam perjuangan menegakkan syiar Islam walaupun akhirnya salah seorang akan pergi dulu mengadap Pencipta.
Ketiga, jika kamu masih belum bertemu jodohmu, bacalah kisah Maryam.
Peliharalah kesucianmu seperti Maryam. Walaupun kau takkan diuji seperti Maryam yang mengandungkan Nabi Isa, kau akan diuji perkara lain namun kesucian dan keimanan adalah dua perkara yang dipertahankan Maryam yang wajib kau ikuti.
Tiga kisah ini pasti berlaku padamu sekarang atau akan datang. Ambillah manfaatnya kawan.
Terima kasih Mbak Afifah Afra Satu yang mencoret tiga kisah ini untuk rujukan anak bujang seperti saya dulu. Sekarang kuhebahkan untuk setiap teman-teman pula.