
Saya suka melihat awan. Hanya pengembara atau perantau yang boleh melihat awan dari dekat. Awan meneduhkan bumi. Awan menyaksikan para makhluk bergerak dan diam. Melihat awan dari dekat telah menyedarkan saya bahawa tugas menjadi seorang guru berhubungan dengan awan. Awan-awan ibarat ilmu pengetahuan dalam diri seorang guru. Awan yang manakah kita mahu teduhkan ke fikiran para pelajar kita.
Saya pencari awan, belajar menjadi awan. Mengapa?
Ketika saya baru memulai tugas sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada Oktober 2018, saya bingung. Gara-gara tidak cukup persediaan baik maklumat, pengalaman dan kaedah pengajaran. Justeru, saya menerima komen yang tidak baik daripada pelajar. Sejak itu, saya merasakan paling penting bergelar seorang pensyarah adalah persediaan pengajaran yang tepat dengan pelajar. Pensyarah perlukan awan maklumat sebagaimana awan di langit membumbungi manusia di bumi.
Kesusasteraan Melayu adalah bidang yang mencabar bagi Generasi Z yang peka digital. Mengajar mereka tidak boleh dengan cara lama. Mestilah menggunakan alat-alat digital dan visual. Saya tekad memahirkan diri dengan kaedah pengajaran berteraskan medium internet dan teknologi agar para pelajar berasa cinta dengan bidang mereka iaitu Sastera Melayu. Saya wujudkan laman web ini sebagai mengumpul awan-awan maklumat, dan para pelajar boleh menyontohinya nanti. Kesusasteraan bukanlah hanya kerja membaca, berfikir dan menikmati tetapi bidang ini memerlukan seseorang untuk menulis serentak, sama ada kreatif atau kritikan ilmiah.
Sebelum ini saya hanya penulis yang berinteraksi dengan buku dan alat tulis. Tetapi kini saya seorang guru. Saya adalah penghubung para pelajar dengan ilmu pengetahuan. Saya berhadapan manusia yang sebenar. Awan-awan amanah menjadi banyak dalam diri saya; terus menulis kreatif, membaca dan mengajar manusia untuk mengenal makna sastera dan membuahkan fikiran baharu untuk dunia ini.
Saya setiap hari melihat awan. Saya berdoa Allah SWT Merestui niat saya menjadi seperti makhluk awan untuk manusia yang lain.

Saya mulakan kembara diri menjadi awan kepada orang lain.