Baru-baru ini saya didatangi pelajar yang mahu lakukan Ph.D dengan saya. Dia pelajar yang baik, masih sangat muda, mendapat nilai kredit yang melayakkannya buat Ph.D tanpa perlu sarjana. Saya tidak tahu mengapa dia mahu lakukan Ph.D di bawah seliaan saya; seorang pensyarah yang ‘muda’ ilmu dan pengalaman. Moga-moga bukan kerana ‘aura’ negara Korea.
Dia terlebih dahulu menghantar proposal kajiannya kepada saya sebelum datang bertemu minggu lepas. Ini proposalnya yang kedua. Kali pertama dulu saya minta ubah banyak perkara. Kali ini nampak ada kemajuan tetapi masih longgar. Dia mahu mengkaji tentang Sastera Islam. Mahu membuat kajian bandingan novel Islam Malaysia dan Indonesia. Saya ‘menembak’ proposalnya dan minta dia datang ke bilik pejabat jika ada waktu. Esoknya, begitu gigih dia memandu dari Seremban ke UM untuk bertemu saya.
Yang pertama saya menyoalnya, apa isu kajiannya yang membuatkan dia tertarik memilih pengarang dan novel-novel itu? Adakah dia membaca mana-mana berita terkini dan menemukan fakta bahawa orang Malaysia mengalami masalah yang ingin diterokainya?
Yang kedua, apa latar-belakang kepada novel dan pengarang kajian? Apa peristiwa yang menyebabkan novel-novel yang dipilih itu muncul? Apa motif penulisan pengarang (yang kita dapat mengetahui dengan membaca biografi atau kajian pemikiran sekiranya pengarang itu adalah tokoh seperti Hamka). Kerana hal-hal di luar novel penting sebelum membandingkan mana-mana pengarang.
Yang ketiga, mengapa teori yang dipilih itu menjadi pilihan? Apakah teori yang senada tidak dapat mencerminkan hasil analisis lebih baik (nanti)?Dan berapa banyak teori yang sealiran telah dibaca?
Banyak lagi soalan yang lain…
Sebenarnya, ketika saya memberi banyak soalan, bukanlah menunjukkan saya benar-benar ‘menguasai jawapan’. Saya hanya mengulangi cara yang sama pernah dibuat guru-guru Ph.D saya dulu. Mulailah kajian dengan mencari isu, memahami kontek teks dan pengarang serta mengenal pasti sebanyak mungkin teori sealiran.
Dan semua itu memerlukan pembacaan dan kesaksamaan berfikir.
Di akhir pertemuan saya ‘memujuk’nya.
“Dulu saya menulis tesis dua kali. Tesis yang kedua saya tulis ketika berada di tahun keempat Ph.D, tukar teori, analisis semula dan memenatkan. Adalah lebih baik penat pada tahun pertama kamu mendaftar Ph.D.”
Lalu, saya minta dia balik dan ubah semula kertas proposalnya dengan (mungkin) : isu baharu, pengarang lain, novel yang lain serta teori yang benar-benar dipilihnya setelah membaca, memahami teori sealiran yang ada.
Pelajar tersebut pulang. Saya terbayangkan guru-guru saya. Semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan kepada mereka.