Kami mulai langkah baharu dengan Bismillah. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mengapa pergi?

Jawapannya adalah mencari Cinta di atas cinta. Merawat diri dan hati. Mengembara, berkelana dengan tawakal paling dalam.

Sebenarnya, ianya tidak semudah itu. Bilah-bilah hari berlalu antara tahun 2020 hingga akhir 2022 saya lalui dengan payah. Kekuatan pada masa itu adalah melihat orang lain terutama keluarga terdekat, sahabat-taulan dan rakan media sosial yang menerima ujian lebih dahsyat berbanding saya. Misalnya, seorang rakan baik sejak kecil, suaminya meninggal dunia mengejut, pergi selamanya dari sisi sang isteri dan tiga anak lelaki. Saya begitu terkesan dengan kehilangan suami adinda A apabila saya melihat situasi sendiri. Suami saya saat itu kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia kemudian berdikit-dikit berniaga. Justeru, sebahagian besar kewangan kami di ibu kota saya yang menanggung, kadangkala memunculkan rasa berat dan payah. Ujian hebat untuk suami di kala ekonomi negara saat Covid 19 dan pasca Covid 19 mencorot. Saya kuatkan jiwa dengan berkata kepada diri, “Adinda A kehilangan suaminya, tetapi saya masih mempunyai suami yang pekerjaan tetapnya hilang tetapi pasti Allah akan meluaskan rezekiNya dalam bentuk yang pelbagai..”

Jika kalian tinggal di tengah kota Kuala Lumpur, kalian akan faham mengapa begitu berat ujian kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

Dalam tahun-tahun mengujikan, kami dikurniakan dua anak perempuan, masya Allah; nikmat yang amat besar. Saya kemudiannya bertarung dengan peperangan ‘masa’ yang dahsyat. Antara tuntutan KPI pekerjaaan saya yang tinggi, anak-anak dan perjalanan ke tempat kerja yang mengujikan (kesesakan luar biasa). Saya menjadi bingung dan selalu lelah. Apa-apa yang ingin dilakukan (terutama menulis artikel dan menulis kreatif) padam apabila tiba di rumah. Anak-anak kecil tidak mahu melepaskan saya sehingga ruang (untuk diri sendiri) di rumah tinggal untuk tidur menghilangkan lelah.

KPI akademik menjunam dari 90++ ke 70++ dan kemudian 60++ gara-gara ‘lemah’ mengurus masa. Saya cintakan pekerjaan saya sebagai guru dan penyelidik namun keadaan menghambat saya untuk menyoal diri; wajarkah aku berhenti kerja untuk fokus kepada anak dan penulisan kreatif, di mana masaku sekarang amat terbatas?!

Ketika rencah-rencah hidup mulai berbeza rasa, penyedapnya adalah bermuhasabah, berdoa dan memasang impian. Kerap kali muncul di fikiran untuk berhijrah ke daerah yang memberi ruang lebih baik untuk saya menjadi isteri, ibu, guru dan penulis dengan keadaan yang tidak menekan dan menindas.

Ke Korea semula? Ah..angan-angan.

Impianmu, Doamu

Itulah suratannya. Saat diri hampir dirempuh kawanan resah, saya mendapat tawaran dari ayahanda guruku, Prof Dr Koh Young Hun, “Jika umi mau mengajar di Hufs, saya tidak akan menawarkan kepada orang lain,” katanya. Saya berbincang dengan suami. Serta-merta dia kembali mendapat nyawanya untuk bergerak lebih maju sebagai ketua keluarga. Dia mahu saya memberinya peluang di perantauan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik, untuk keluarga kami yang kini berjumlah 6 orang.

“Jika pilihan kita ke Korea itu baik, semoga Allah SWT permudahkan,” itulah iltizam kami selepas melakukan Istikharah.

Proses itu berlangsung baik, tepat pada waktunya. Saya meninggalkan pekerjaan, rakan-rakan dan pelajar-pelajar di saat semester selesai. SESUATU YANG KAMI ANGAN-ANGANKAN WAKTU GURUH DAN HALINTAR MUNCUL, KINI MENJADI DOA YANG MAKBUL.

PERJALANAN

27 Februari 2023. Jam 6 pagi kami tiba, lebih awal 30 minit. Saya dan suami sudah membuat keputusan, kami akan turun paling lewat (seperti sebelum-sebelum ini kami tiba di Seoul pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dan terakhir 2018). Kedua anak lelaki kami (Dardak dan Dawud) yang dulunya kami kendong dan kejar, kini bergandingan menjaga adik-adiknya Ahda dan Aminah. Beberapa kali suami bercakap kepada saya, “Kita seperti membawa Darda dan Dawud yang dulu” merujuk Ahda dan Aminah sekarang, memang persis, masya Allah!

Tempat pertama kami tuju adalah bilik air (hwajangsil). Suami dan anak-anak lelaki mengambil wudhuk dulu, langsung menunaikan solat Subuh, biarpun bukan kawasan surau. Saya menukar lampin pakai buang Ahda, sementara Aminah yang terkurung dalam baju tebal kelihatan masih mengantuk. Kami perlahan-lahan berjalan ke stesen tren yang akan membawa kami ke ruang imegresen dan ketibaan. Saya melihat lapangan terbang ini sedikit menyusut jumlah pelancongnya berbanding Oktober 2019, bulan terakhir saya mendarat di sini.

Bibir menguntum senyum saat menulis borang-borang wajib untuk masuk ke ruang ketibaan. Tarikh perlu bermula dengan tahun, bulan dan hari (di Malaysia kita bermula dengan hari, bulan dan tahun). Syukurlah urusan di kaunter imegresen mudah. Kali ini terlihat Darda’ lebih matang, membantu ayahnya mengumpulkan semula bagasi-bagasi kami yang berat keseluruhannya 80 kg. Sebelum sampai ke pintu keluar, satu beg kami ditahan dan perlu pemeriksaan teliti. Rupanya telur masin yang dikirim emak menerima lampu amaran. Allahuakbar, telur itu kemudiannya diizinkan masuk ke Korea (berkah ikhlas emak saya mahu kami makan di Seoul).

Desir 0 celcius mulai menyapa. Dawud dan Darda’ yang sudah biasa sebelum ini tersenyum ceria, menghembus-hembus nafas dan teruja melihat asap dari mulut masing-masing. Ahda dan Aminah diam dan pasif, terkejut cuaca. Sahabat kami Nasriah mengirimkan pekerjanya menyambut kami dengan van Starex (dari airport ke rumah dalam 100 ribu won). Sepanjang perjalanan saya merakam video. Saya tidak tahu untuk mengucapkan betapa saya tidak percaya sampai ke sini lagi, dengan suami dan 4 anak. hanya hati bertasbih dan bertahmid. Saat mentari meliuk di atas Sungai Han, saya ingin menangis. Sungai Han..kuatnya jodoh kita lagi.

“Darda’, kita sudah kembali ke Korea, Darda’ ingat tak lagi?” banyak kali saya ulang kepada Darda’. Saya maklum, perasaannya kala itu mungkin tidak terlalu teruja, seperti ibunya. Mungkin masih teringat-ingat keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya di tanah air. Masuk sahaja ke ruang HUFS, suami mula bersuara, mengingati jalan-jalan yang kami tinggal seakan tidak berubah. Saya sudah menerima kata kunci untuk masuk ke unit kediaman kami. Anak-anak murid Korea sudah menanti (Hyunso dan rakan-rakan) untuk membawa barang-barang kami ke rumah, kali ini di lantai 11 (2017-2018 kami dilantai 6).

rumah cinta

Setelah selesai meletakkan barang-barang, saya perlu ke pejabat pentadbiran HUFS untuk urusan sign kontrak dan membuat akaun bank. Kami bercadang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon; biarpun jauh dan perlu mengharungi banjiran manusia dalam subway, tetapi kami mesti pergi untuk menyatakan syukur kami kepada ALLAH SWT di rumahNya.

hari pertama itu, kami tidak sedar yang kami bergerak sehingga jam 11.30 malam, untuk bangun esok pagi dan berkata pada diri; kami sudah menjadi sebahagian yang kami doakan, tinggal menyempurnakan dengan baik segala amanah, segala ujian dan nikmah yang di depannya adalah redha ALLAH SWT dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Kami mahu hijrah kedua kami di sini, akan lebih baik dari sebelumnya dalam hubungan kami sesama manusia, dengan alamNya dan tentunya dengan Pencipta.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Loading

13 Replies

  1. MasyaAllah Alhamdulillah coretan yang sangat mendamaikan hati yang membacanya. Barokallahu fik sahabat. Semoga Allah Ya Wadud Ya Hafiz Ya Muhaimin menjaga sahabat sekeluarga di sana, dipermudahkan urusan. Tiber rasa ingin mengembara melihat kebesaran Allah swt di muka alam ni semakin kuat. Tahniah sahabat. 🥰❤️

    Salam ukhuwah dari sahabat di Malaysia,
    Idah Arbai
    (Lama juga jd friend di fb namun tidak mengenali)

  2. Semoga Allah permudahkan urusan Ummu sekeluarga ye. Setelah sekian lama say atak membaca blog, zaman² UM dulu. Ni baru baca semula coretan Ummu.. terima kasih sudi berkongsi 🙂

  3. Alhamdulillah,semoga Allah kurniakan yang terbaik buat Ummi Hani sekeluarga.

    dari kak siti…umrah bersama TG ZA…mac 2022

  4. Boleh ke saya menangis membaca coretan kak ummu? Allahuu.
    Saya turut merasa perasaan rindu Yang kak ummu bawa Dan pun sedang peluk erat itu.

  5. Masya-Allah, umu. Hijrah yang penuh ibrah. Allah bentangkan hamparan terbaik buat dirimu dan keluarga. ❤️❤️

  6. Ummu, didoakan perjalanan hijrah kali ini lebih baik daripada dulu, malah menyuntik semangat baru buat Ummu dan suami.

  7. Jauh perjalanan Dr Ummi sekeluarga. Semoga diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan di bumi Korea Selatan buat kali kedua 🙂

  8. seronoknya penulisan bersahaja..memukau penuh sarat dgn kalam memuji pencipta dan menginsafi diri..terkesan utk diri yg kerdil ini

  9. Alhamdulillah..disaat Ummi dan suami bergelut dengan kesukaran dan ketidakpastian, Allah telah hamparkan jalan penyelesaian…

    Kak Rin bangga dengan Ummi.. Dalam masa yg sama, turut mengharapkan agar Kak Rin dapat belajar utk tak putus asa seperti Ummi..

    Semoga sentiasa success di bumi Korea…

  10. Pergilah ke tempat ‘kita’ biar pun ia jauh dan terasing. Ia lebih baik berada di tempat yang seolahnya milik sendiri, sedang hakikatnya ia begitu terasing dan tak mengenal siapa kita. Terbanglah tinggi di sana. Kami melihatnya jauh dengan rasa bangga.
    FF

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *