Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Jalan di Medan Mahyudin setiap hari dipadati ragam makhluk yang hidup dalam dunia masing-masing. 

Seorang lelaki tua, keluar dari Jamik Hanabilah, di tangannya adalah tongkat dan tasbih. Dalam pakaian musim sejuk, terhinggut-hinggut membawa kakinya mendaki lereng Suq Jumaat. Rumahnya terletak di jadat yang agak tinggi. Tetapi dia percaya, setiap gerakan kaki, sepicing sedutan nafas, dan patah-patah zikir di bibirnya akan dikira ibadah. Ketuaan dan keuzuran akan memberi bonus kepadanya. Pandangan Pencipta kepadanya adalah rasa belas dan cinta. Dia tidak menghiraukan apapun di sekelilingnya melainkan dia mencintai Penciptanya dan PenciptaNya membalas cintanya.

Seorang lelaki, berusia 50 tahun, pagi-pagi sudah tercegat di hadapan kedai kasutnya. Sewaktu berjalan menuju ke kedainya yang berada di pusat Suq Jumaat, dia sempat menjeritkan, “Pergilah kau hutang!!” Masalah hutang telah membelengu dirinya selama dia berkahwin. Dia berkahwin pada umur 35 tahun, bermakna dia telah menanggung hutang selama 15 tahun. Dia berhutang kerana mahu berkahwin. Harga hantaran isterinya 80 ribu lirah, tidak termasuk rumah, perabot, kenderaan dan hadiah-hadiah sampingan lain yang ke semuanya berjumlah hampir 200 ribu lirah. Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menamatkan hutangnya itu; pagi hingga ke tengah hari mencuci kasut, petang hingga ke malam membawa teksi dan pada hari minggu menjadi pemandu pelancong. Rasanya, jika isterinya seorang yang rajin dan berilmu, tidaklah dia berkeluh-kesah dengan pekerjaan yang banyak tetapi masih tidak mengurangkan hutangnya. Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.

Seorang kanak-kanak berlari laju hampir-hampir melanggar si tua yang sedang berzikir, terkedek mendaki bukit. “Ya Allah..cintaku..cintaku..” kata si tua tergigil bila tongkatnya terlepas dari tangan. Kanak-kanak itu mengetap bibir. Apabila pandangannya bersatu dengan pandangan lelaki di depan kedai kasut, kanak-kanak itu segera menghampiri si tua. “Datuk, maafkan saya. Hari ini saya akan mendapat keputusan peperiksaan, hati saya telah sampai dulu di sekolah, saya mengejarnya,” kata kanak-kanak membetulkan tangan si tua agar menggenggam tongkat dengan betul. “Pasangkan mata di kakimu!” jerit lelaki si pencuci kasut kepada kanak-kanak tersebut.  Lelaki tua mengangkat tangan, menyabarkan. “Kanak-kanak begitulah. Allah…Allah..” Si tua kembali berjalan dan berzikir. Si lelaki pencuci kasut masuk semula ke dalam fikirannya; hutang dan isterinya yang malas di rumah. Dia sempat mengerling kanak-kanak yang kini berlari laju tanpa menghiraukan khoruf (kambing biri-biri) yang baru tiba dari ladang.

Mata seekor daripada 50 ekor khoruf kelihatan sayu. Ia berasa sedih kerana telah dipisahkan daripada kampung halamannya di Utara Syria. Rumput-rumput segar di sana tidak sepadan dengan udara kering Damsyik. Memanglah dirinya diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Rasanya, ia antara makhluk yang tidak dapat ditandingi manusia dari sudut berbuat baik kepada makhluk lain. Selama ini ia tidak pernah menggariskan apa khidmatnya yang telah diberikan kepada manusia. Hari ini, kalbu biri-birinya terdesak berfikir. Apabila ia disembelih sebentar nanti, pertama, manusia akan melapah kulit daripada isinya. Kulitnya akan dibuat pakaian atau tilam. Isinya akan dimakan dengan pelbagai menu; sup, kari, sate, dan kebab. Bahagian kaki dan tulangnya akan dipanggang. Tinggal apa lagi? Ada juga kepercayaan dari kalangan manusia lelaki bahawa ekornya boleh meningkatkan nafsu batin mereka, maka ekornya turut direbuti. Gigi dan matanya? Ia turut dimasukkan dalam kawah sup. Ia tidak mensia-siakan satu incipun daripada badannya untuk dikuburkan. Terbukti maruah dan nilai dirinya adalah tinggi untuk manusia. Tetapi berbaloikah jika ketika menyantapi tubuhnya nanti, manusia tidak bersyukur dengan membaca bismillah? Si khoruf berasa mahu menangis.    

“Ke tepilah..ini tempatku,” jerit seorang wanita Badwi (pedalaman) yang sarat menjinjit kubis di atas kepalanya. Kubis itu sendiri lebih besar daripada kepala wanita tersebut menyebabkan tengkuknya sekejap senget sekejap tegak. Lelaki si penjual khoruf menjengil. Memang wanita-wanita tua dari kampung suka bersikap biadap. Apa sahaja yang kali pertama ditemui dan disenanginya, maka itu dianggap kepunyaannya. “Makcik, kau tidak pernah membayar harga tempat inipun, bagaimanalah kau boleh mendakwa ia kepunyaanmu? Di sana tukan ada tempat kosong, berjualanlah di sana. “Tidak mahu, aku sudah menandakan kerusi yang kau duduk itu. Tengok, khoruf-khorufmu yang tidak pernah mandi itu, buat nafasku tersepit!” jerkah wanita Badwi memperlihatkan barisan giginya yang kuning. Lelaki penjual khoruf bangun, adalah pantang baginya ada sesiapa yang menghina khoruf-khorufnya. “Allah ya’khuz umrak![1]” doanya pada si wanita Badwi. Ketika dia menghalau khoruf-khorufnya ke tempat yang lebih selesa, wanita Badwi itu menjerit lagi kepadanya. “Biadap kau anak muda.”

“Siapa yang lebih biadap? Datang lambat kemudian halau orang,” lelaki penjual khoruf masih sempat membalas. “Kau tidak menghormati wanita yang sebaya ibumu.” “Kau tidak layak menjadi ibu. Tugas ibu sangat mulia untukmu..” “Kau berkawan dengan khoruf dan berperangai seperti mereka..” “Hei..khoruf-khorufku lebih sopan dari kau makcik!” “heei…”

Wanita Badwi itu tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila seorang wanita berfurdah hitam menggosok bahunya. Di tangan wanita berfurdah hitam itu adalah seorang anak kecil. Jika tidak kerana hingus yang mengalir dari lurah hidungnya, anak kecil lelaki itu boleh dikatakan ‘anak patung hidup’. Matanya bulat dengan bulu-bulu yang melentik. Keningnya lebat tercantum di atas hidung tirus yang mancung. “Ya ummi, mengapa marah pagi-pagi begini?” tegur wanita berfurdah. Hati wanita badwi berasa sejuk, baru sebentar tadi lelaki penjual khoruf menyatakan dia tidak layak dipanggil ‘ummi’. “Berselawatlah ke atas rasul, nescaya hatimu akan tenang dan perniagaanmu akan untung,” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi itu menganggukkan kepalanya. Hatinya terus membisikkan selawat. “Aku dan anakku beberapa hari tidak makan, bolehkah kau memberi sedikit simpatimu pada kami?” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi yang sudah faham sebaik melihat anak kecil berhingus itu, menyeluk sakunya. Disuakannya 10 lirah kepada wanita berfurdah. “Syukran, Allah tawal umrak[2]!” kata wanita berfurdah mengheret anaknya ke tempat peniaga lain pula. Wanita badwi melepas lelah di depan sawi-sawinya sambil terfikir, pagi ini sahaja dia sudah mendapat doa yang berlainan. Moga Tuhan memilih doa yang diucapkan si wanita berfurdah, katanya sempat mengerling seorang lelaki  muda yang runsing depan kedai mencuci rambut.

Anak muda bernama Nadir itu sejak jam 9 pagi sudah tercegat di depan Kedai Abu Dhiak. Hatinya mengeluh bimbang, mengapa Abu Dhiak, satu-satunya pencuci rambut lelaki di Pasar Jumaat ini tidak muncul-muncul lagi? Sebentar lagi dia mempunyai temuduga dengan pihak stesen televisyen untuk satu jawatan pegawai keselamatan di sana. Selepas temuduga tersebut, dia mempunyai temujanji pula dengan gadis tercintanya, Maryam. Kedua itu; temuduga dan temujanji amat penting baginya. Rambut adalah satu-satunya aset yang dapat meningkatkan keyakinan dirinya berhadapan dengan orang lain terutama Maryam. ‘Abu Dhiak ke mana kau? Apakah tidur lebih penting daripada mendapat duit?’ hatinya berdecit kecewa. Dia menekan telefon tangannya. Matanya merenung nombor Abu Dhiak yang tertulis di depan kedai. Beberapa kali mendail, baharulah terbit suara si penjawab. “Abu Dhiak, mengapa kedaimu masih berkunci?” “Maaf, Abu Dhiak tiada,” jawab seorang perempuan. “Ke mana perginya orang tua itu? Dia tidak tahukah yang pelanggan sedang menunggunya? Jika tak mahu duit lebih baik jangan buka kedai!” bentak Nadir bawah sedar. Perempuan di sebelah sana mendengus nafas kencang. “Apa? kau panggil bapaku orang tua? Celupar betul mulutmu marah-marahkan bapaku. Jika aku berada di depanmu sekarang sudah tentu kau sudah pengsan!” jerit si perempuan. Nadir tergamam. Dia seperti kenal suara itu. Suara yang selalu dijeritkan oleh teman wanitanya jika dia lambat dalam temujanji mereka. “Aku berjanji inilah kali terakhir aku datang ke kedai bapamu yang pemalas,” balas Nadir. “Kurang ajar kau lelaki, bapaku bukan pemalas tetapi dia telah dijangkiti penyakit gout, dia tak boleh berjalan. Aku mendoakan mulutmu akan ditumbuhi kudis kerana mengejek bapaku yang sakit!” kata si perempuan di sebalik telefon. “Maryam…siapa tu?” seseorang di sebalik telefon yang lain menambah. “Lelaki yang gila ayah!” Sejurus Nadir tidak mendengar apa-apa lagi di sebalik telefonnya. Hatinya gemuruh. Maryamkah tadi? Betullah, bukankah Maryam mempunyai abang bernama Dhiak? Justeru bapanya dipanggil Abu Dhiak. Nadir mengusap mulutnya, tidak lama lagi kudis akan tumbuh di situ.

Maryam tidak puas hati bapanya dihina orang lain. Dia mahu lelaki yang dihina itu pengsan di depannya. Maryam menjengukkan kepalanya ke jalanraya. Kedai mencuci rambut mereka terletak di bahagian bawah rumah sahaja. Dia mahu turun dan mengetuk lelaki yang mengejek bapanya tadi dengan batu pengiling rempah. Maryam memastikan bapanya memejamkan mata terlebih dahulu, jika bapanya tahu tujuannya membalas dendam, bapanya akan mengarahkan ibunya mengunci pintu rumah. Ibu bapanya telah mendapat kepercayaan bahawa gadis yang berusia lewat 20-an, jika didatangi sifat marah, amat membahayakan keadaan sekeliling. Barangkali faktor terlalu memikirkan soal jodoh menyebabkan emosi mereka seperti bom jangka. “Maryam, kau nak ke mana dengan batu pengiling itu?” tegur Ummu Dhiak. “Saya nak pinjamkannya pada Ummu Hakim di bawah sana,” bohong Maryam sebelum ibunya mengangguk. Mariam lekas berlari turun ke depan kedai.

 Wanita badwi melihat Nadir berjalan di depannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok sekitar mulutnya. Apabila mata mereka bertemu, Nadir mencebikkan bibirnya. Wanita badwi hanya tersenyum, “Kau pergi cuci rambutmu di bandarlah. Di pasar ini, habis mencuci rambut, bau-bau khoruf (bibir wanita badwi menjuih kepada khoruf-khoruf di depannya) meresap kembali ke rambutmu,” kata wanita badwi. Nadir mengangkat bahu dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Nah! Ini balasan untuk orang yang mengejek bapaku,” kata Maryam mengetuk belakang seorang lelaki kurus yang tinggi lampai. Lelaki itu, tanpa sempat berkata apa-apa jatuh tersepuk seperti kain buruk. Dia pengsan tetapi kelihatan seperti tidur. Orang ramai yang memadati pasar terkejut. Semua mata  beralih pada Maryam yang sedang terpaku melihat lelaki kurus terbaring atas kakinya. “Hei budak perempuan, berani kau pukul suamiku!? Kau mempunyai hubungan sulit dengannya ya?” Seorang wanita gemuk bertubuh pendek mendekati suaminya. Tubuh Maryam ditolak. Mata kecilnya dibesarkan. Dia mencapai batu pengiling di tangan Maryam dan tersengih. “Terima kasih, aku baharu saja berniat mengajar suamiku dan nampaknya kau telah mendahuluiku. Engkaukah isteri keduanya?” tanya wanita gemuk itu. Maryam menggeleng kepala. Wajahnya berona kegelian. “Suamimu telah mengejek bapaku. Dia mengatakan bapaku pemalas walhal bapaku sedang sakit,” jelas Maryam. Orang ramai mula mengerumuni mereka. “Gila! Bagaimana suamiku boleh mengejek bapamu sedangkan dia seorang yang bisu?” Wajah Maryam memerah. Dia hampir pengsan mendengar kata-kata si wanita gemuk. Dia telah memukul orang yang salah. Dalam fikiran Maryam ketika itu hanyalah Nadir. Bolehkah Nadir, bakal suaminya membantunya lari dari masalah ini?

“Bumi sudah tua, sudah nyanyuk seperti apa?” badannya ditolak ke kanan, hampir-hampir tertiarap atas bekas jeruk zaitun. Air jeruk memercik ke mukanya. Dia sempat menjilat beberapa titis yang berdekatan bibirnya. “Hush, pergilah. Jangan main di sini!” penjual jeruk zaitun menarik tangannya dan menolak tubuhnya ke kiri pula. “Seperti apa? Kau jawablah!” Dia ketawa. “Seperti kaulah! Pergi!” Penjual jeruk zaitun tidak memandang wajahnya lagi. Dia menggaru-garu kepalanya. Mengapa orang gemar bercakap sopan seperti penjual jeruk itu? Tidak bolehkah mereka bercakap kasar sedikit, “Hai ibu yang manis, rasailah jeruk itu, ia lazat tetapi beracun!” Dia ketawa lagi. Penjual jeruk itu bengang apabila seorang wanita tidak jadi membeli jeruknya sebaik mendengar kata-kata tadi. “Jangan ganggu aku lagi orang gila!” jerkah penjual jeruk.

Dia melompat-lompat di tengah orang ramai. Tiada sesiapa yang menghiraukannya kecuali beberapa orang kanak-kanak. Mereka telah menyorokkan wajah ke dalam jubah ibu masing-masing kerana takutkannya. “Ya hilwa[3], mari sini, kita lumba lari. Siapa menang, dia akan dapat dunia. Siapa kalah, jadi gila sepertiku,” katanya cuba mendekati seorang kanak-kanak perempuan. Belum sempat dia menyentuh, kanak-kanak itu meraung ketakutan. “Tolong..tolong..dia kacau anakku,” jerit si ibu. Dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di situ mencekak kolar bajunya. Dia di heret keluar dari kawasan Pasar Jumaat. “Jangan masuk ke kawasan ini lagi.” Pengawal itu menolaknya di depan pintu Jamik Hanabilah. Dia terduduk di situ.

Ketika dia bangun untuk meneruskan perjuangannya; menyedarkan orang-orang tentang usia dunia. Dia ternampak seorang pemuda, memakai kopiah dan berkaca mata sedang khusyuk mencatat sesuatu. Dia mendapat satu idea untuk berbuat sesuatu terhadap si pemuda. “Masya Allah!” kata si pemuda terkejut apabila lelaki yang kurang siuman itu tiba-tiba mengambil pennya. “Kaulah rupanya ya..” “Pulangkan pen saya wahai saudaraku,” kata pemuda itu. “Tidak, kau akan menulis tentangku nanti,” kata lelaki kurang siuman memusing-musingkan pen tersebut. Pemuda itu menarik nafas. “Baiklah, jika kau tidak mahu memulangkannya, tidak mengapa. Aku masih ada alat yang boleh membaca semua orang. Itu kau tidak boleh mencurinya,” kata si pemuda masuk ke dalam masjid.

“Terima kasih kerana mengambil pen itu. Aku sudah terlambat menunaikan solat fardhu. Fikiranku telah masuk ke dalam orang-orang di pasar itu,” sambung pemuda lagi. Namun, sebelum kakinya melangkah, lelaki kurang siuman itu menggamitnya.  “Apakah kau yakin ketika kau sembahyang nanti, akalmu tidak menerobos orang-orang yang kau lihat tadi?” Pemuda itu menggaru-garu kopiahnya. Ya, penulis sepertinya selalu mengalami masalah itu. 


[1]Maksudnya- Allah ambil umur kamu.

[2]Maksudnya, Allah panjangkan umurmu.

[3]manis

Loading

2 Replies

  1. Pengarang menggunakan sudut pandangan serba tahu.
    Pengarang juga menerangka mengenai watak ‘Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.’ Selain itu pengarang gemar menceritakan watak yang ada. contohnya sikap maryam yang sangat panas baran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *