Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Tidak ada satu cerpen pun saya tulis ketika merantau selama empat tahun enam bulan di Seoul, Korea. Setelah kembali ke tanah air, saya telah menulis enam buah cerpen dan sebuah novel berlatar-belakangkan negara yang digelarkan ‘sejuta payung’ di musim hujan. Tidak menulis bukan bermaksud saya melepaskan perca-perca idea, tetapi ianya adalah bebenang ilham yang disimpan untuk dituangkan. Ya, di saat rindu menjadi sungai.
Saya ingin berkongsikan tiga pengalaman kreatif saya, guna ‘melindungi’ makna kembara bagi seorang penulis. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam tempoh tidak lebih seminggu, setelah melalui proses ‘pengeraman’ bertahun-tahun.
K-isteri dan ‘Sihir’ Seoul
Cerpen K-Isteri telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, April 2019. Cerpen ini mengisahkan perngorbanan seorang isteri yang mengikut suaminya menyambung pengajian Ph.D di Seoul bersama dua anak kecil. Realitinya, cerita ini hasil renungan dalam saya terhadap kenangan tahun pertama tiba di Seoul. Korea adalah penjajah kita dari segi ekonomi dan budaya. Gara-gara gelombang hebatnya yang menjadikan huruf ‘K’ di depan banyak keinginan duniawi kita seperti K-pop, K-beauty, K-drama, K-food, tidak kurang juga ‘K-halal’, maka negara ini menjadi kegilaan muda-mudi di seluruh dunia. Saya diberitahu seorang Profesor dari Mesir, ramai gadis Arab ingin datang dan berkahwin dengan lelaki Korea akibat menonton drama Korea.
Sebagai perantau ilmu, tahun pertama di Korea bagi kami adalah tahun penuh pengajaran. Rumah yang mampu kami sewa adalah sebuah bilik di tingkat enam, terletak di kota kecil bernama Taereung. Daerah ini menjadi pintu keluar Seoul di bahagian timur, tidak sampai 100 KM menuju sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Bilik yang kami sewa cocok untuk individu bujang atau tinggal berdua, bukan yang membawa anak-anak kecil. Anak sulung yang berusia 3 tahun, turun dan naik katil kerana kecilnya ruang untuk bermain. Malam-malam kami ‘diserikan’ dengan teriakan-teriakan peminum soju kerana bangunan tersebut dibentengi restoran dan kedai 24 jam. Saya yang ‘buta’ bahasa Korea menjadikan ‘bahasa isyarat’ sebagai bahasa utama apabila ke pasar dan berselisih dengan golongan tua.
Orang Korea amat peramah dan pemarah. Pada hari pertama di Seoul, suami saya dimarahi pengawal bangunan kerana salah menggunakan plastik sampah. Setiap daerah di Korea mempunyai undang-undang sendiri dalam pengurusan sampah. Justeru plastik yang digunakan juga berbeza. Kami perlu membeli plastik sampah di kedai 24 jam berdekatan, mengasingkan jenis sampah dan meletakkan sampah di tempat yang khusus. Setiap pagi dan petang, akan ada golongan gelandangan (biasanya orang tua berumur 70-an ke atas) menguruskan pembersihan tempat sampah dan diberikan bayaran oleh pihak penguasa daerah. Walaupun Seoul mempunyai lebih 10 juta penduduk, sampah-sampah yang ada di jalanan tidak menunjukkan jumlah penduduk seramai itu. Boleh dikatakan tiada sampah-sarap di tempat awam. Bagi tuan-tuan anjing, mereka membawa plastik atau bekas najis binatang ketika bersiar-siar luar rumah.
Oleh kerana anak saya begitu memerlukan rakan sebaya, saya mencari tadika lokal yang sesuai dengannya. Baharulah saya tahu bahawa yuran taska amat mahal dan proses memasukinya sulit. Saya perlu mendaftar atas talian, menunggu kekosongan dan yuran tadika antara RM1200 sehingga RM1500 sebulan dalam nilai RM. “Kami hanya mampu memiliki anak paling ramai dua orang kerana kos membesarkan seorang anak lebih sejuta ringgit (dalam nilai Malaysia),” kata rakan Korea saya yang telah membuat pengiraan membesarkan anak. Saya terkejut kerana seumur hidup saya, tidak pernah ‘mengira’ begitu. Sebagai Muslim, saya diajar bahawa setiap anak adalah rezeki yang besar. Sisi kesukaran ini saya masukkan dalam cerpen K-Isteri. Saya menyimpulkan dalam cerpen ini:
‘Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya.’
Cerpen Rindu Seorang Seon Mi
Di tahun kedua saya di Korea, ibubapa datang berziarah. Sebelum pulang ke tanah air, ayah saya menyatakan hasratnya mahu melihat suasana ‘kampung’ Korea Selatan. Hasil risikan kami menemukan Daerah Pocheon yang berdekatan dengan Kota Paju, bahagian utara Korea Selatan. Kira-kira 50KM dari perumahan kami. Cuaca Oktober memperlihatkan Pocheon sebagai tubuh Korea yang paling awal menerima suhu sejuk. Kami menyewa sebuah chalet atas Gunung Myengseong milik keluarga angkat rakan. Malam itu, kami kesejukan dalam suhu 0 celcius, sedangkan di Seoul, waktu malamnya sekitar 6 celcius. Deruan helikopter menjadi ‘unggas’ percutian kami. Rupanya, Pocheon adalah salah satu pusat latihan tentera Korea Selatan yang bersedia jika berlakunya serangan musuh dari Korea Utara.
Pocheon terkenal dengan keindahan alami terutama Tasik Sanjeong. Dikunjungi pelawat seluruh Korea sepanjang tahun dek puputan angin segar gunung. Keindahan tasik saya gambarkan dalam cerpen Rindu Seorang Seon Mi yang tersiar di Majalah Tunas Cipta, 2019:
‘Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalang yang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.’
Saya tidak ingat, apakah saya pernah berdoa untuk kerap datang ke Pocheon sehingga saya dibawa ke sini enam atau tujuh kali selama tinggal di Seoul. Cerpen ini berlatar-belakangkan Pocheon kerana latarnya melekat di fikiran, seolah-olah itulah ‘kampung’ saya di Korea. Idea utama cerpen ini bukanlah semata-mata cantiknya Pocheon namun ada nilai kekeluargaan moden Korea. Suatu hari, saya pernah bertanyakan rakan Korea saya, Boh Yuen. Berapa kali dia menelefon ibubapanya yang tinggal luar Seoul. Jawab Boh Yuen yang cantik itu, “Saya jarang telefon ibubapa kerana tradisi keluarga kami, jika ada masalah sahaja kami saling menelefon. Kalau saya tidak menelefon ibu atau ibu menelefeon saya bermakna kami sihat dan baik-baik.” Jawapan itu saya cantumkan dengan cerita pemilik sebuah chalet di Pocheon, wanita berusia 60-an. Anak-anaknya sangat sibuk di Seoul, untuk ubat hatinya, dia membuat perniagaan chalet di gunung yang memberi udara terbaik kepadanya, menjadi terapi hari tuanya.
Cerpen ini mengangkat kasih sayang antara nenek dan cucu, yang tidak berubah seperti hutan dan sungai Korea walaupun diterjah pembangunan zaman:
Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.
Para Pencari Rumah
Cerpen ini disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, Mei 2019. Ianya bongkah-bongkah pengalaman saya berinteraksi dengan para pendatang luar ke Korea. Kisah begini jarang (atau tidak pernah) diangkat dalam drama dan filem Korea. Kisah-kisah terpinggir tentang hak asasi dan kemiskinan. Itaewon adalah pintu ‘belakang’ mengenali Korea Selatan. Bagi pelancong Muslim, Masjid Itaewon adalah pusat gerakan Islam utama di Seoul. Kawasan sekitar masjid adalah tempat makanan halal terbesar dan terpadat. Di sini jugalah, para pendatang Muslim baik pekerja profesional, diplomat, buruh dan pelajar akan bertemu khususnya ketika sesi Solat Jumaat. Seramai 40 ribu orang Indonesia bekerja di Korea dan merekalah kumpulan Muslim paling ramai membina masjid di seluruh Korea. Bagaimana pekerja buruh dari Malaysia?
Secara legalnya, Malaysia tidak pernah membekalkan tenaga buruh kepada Korea Selatan. Namun, terdapat 5000 pekerja tanpa permit dari Malaysia yang bekerja di kilang-kilang dan ladang-ladang seluruh Korea. Akibat melanggar undang-undang, kumpulan pekerja tanpa izin ini sering mengelakkan diri daripada rakan senegara. Situasi ini saya gambarkan dalam cerpen:
‘Kami ‘para pencari rumah’ selalu mengelak diri untuk menjawab soalan, “Dari mana kamu datang?” oleh orang-orang yang kami temui di Masjid Itaewon, Seoul. Kami adalah para pendatang dari negara yang memiliki peradaban agung sebelum dirakus ketamakan kuasa besar. Lutfi dari Yaman, Yousef dari Syria, Iman dari Bangladesh dan aku sendiri dari Malaysia. Pertemuan kami akan berlaku sekali seminggu di Masjid Itaewon. Walaupun cuba mengelak dari soalan di atas, tetapi persaudaraan kami berempat turut bermula dengannya: “Dari (negara) mana saudara datang?’
Seorang pekerja Malaysia tanpa izin berkongsikan dengan saya, sebab dia terjerumus bekerja di kilang kimci dan kilang besi di Korea. “Saya datang cari duit untuk bayar hutang PTPTN. Di Malaysia susah kerja walaupun saya ada diploma kejuruteraan. Keluarga saya pun susah sekarang,” kata F yang berusia awal 20-an. F bertuah kerana dilayan baik oleh tauke Korea dan dibayar gaji mengikut jam kerja. Sebahagian rakan-rakannya dimanipulasi pihak majikan Korea seperti mendapat bayaran rendah dan duduk berhimpit dengan pendatang asing negara lain. Keadaan ini saya jelaskan dalam Cerpen Para Pencari Rumah:
“Bagaimanalah aku tidak kotor? Berkerja di kilang besi 15 jam sehari dengan peraturan tidak boleh menunaikan solat, bukan seluruh tubuh hitam dan berbau, hati juga kelam,” balas Lutfi, disokong aku kerana kami bekerja di tempat yang sama, secara haram. Biasanya, perkumpulan kami terjadi pada hari Ahad; satu hari kemanusiaan yang diberikan tauke-tauke kapitalis negara ini kepada para pekerja haram seperti kami. Satu-satunya tempat yang menjadi pilihan utama kami adalah Masjid Itaewon. Aku tidak tahu, nenek moyangku generasi ke berapakah yang mendoakan anak cucunya menjadi pencinta Tuhan. Sekurangnya, dalam hatiku ada rasa berdosa kerana sering terlewat solat. Di kilang yang dipenuhi bau mesin dan manusia marhaen, aku tetap mencuri solat hatta tempatnya adalah tandas. Pada hari Ahad dan cuti umum, aku mengambil subway jalur 1 dan 6 dari Incheon untuk sampai ke Itaewon. Perjalanan kira-kira satu jam, tetapi kerana aku berasa nyawaku berada di masjid, wang upah dua jam berkerja sebagai buruh kilang besi kukorbankan.’
Kerlipan neon Seoul bukan sebarangan. Ianya kota sihir. Berada dalamnya membuatkan diri tidak mahu berganjak. Bahkan, kelip-kelip lampu menjadikan Seoul bak gadis jelita. Kota yang melimpahkan orang kaya di puncak dengan kaum pekerja menatang mereka. Sesungguhnya, kemewahan Seoul menyirnakan tapak-tapak kaki para gelandangan yang tidur berbumbungkan langit.
Bebenang Ilham
Begitulah tiga cerpen yang terikat dalam bebenang pengalaman saya yang panjang. Pastinya, selepas ini saya akan terus menulis karya kreatif yang berakarkan Korea. Sebagai pengakhiran, saya petik terjemahan puisi berjudul Ais, karya penyair Korea Chang Sung Hui.
Suatu hari ketika aku sakit dan sendiri
Aku melebur dalam dingin dan kehilangan bentuk
Aku bukan diriku
Aku benamkan kakiku setelah perjalanan panjang
Dalam sepatu berujung kotak
Dinginku tercinta pun memudar
Saat sepatuku berdetak dengan riuh
Nama yang panjang tidak kuasa kuucapkan
Tertahan kelu di lidahku
Saya menitis airmata membaca catatan dr ni🥺🥺🥺
alhamdulillah syukran Suhana
Pengalaman yang bermakna. Mungkin pengalam ini saya boleh gunakan ketika saya berada di korea nanti.
ya, nanti kamu jatuh cinta di sana memang payah haha
Terbaik dr.
terima kasih aMMAR
saya suka baca penulisan Dr. bukan setakat dapat mengetahui pengalaman yang Dr pernah lalui tapi dapat mengambil sedikit pengajaran, teladan yang boleh diterapkan dalam kehidupan.
terima kasih moga bermanfaat