Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Harga diri atau maruah adalah sesuatu yang mahal dalam hidup manusia. Melaluinya, manusia akan dipandang dengan pelbagai cerminan. Yang tertinggi adalah cerminan penghormatan dan kemuliaan. Menerusi empat buah cerpen yang tersiar dalam Majalah Dewan Sastera Bil. 10 2020, para pengarang meletakkan persoalan harga diri sebagai kemenangan watak-watak utama.
Cerpen Pakda Mail karya Mukhtar Mustafa mengangkat watak lelaki petani yang berusaha keras selepas ditimpa bencana sebelumnya. Pengarang memakaikan sikap ‘belajar dari kesilapan’ kepada Pakda Mail, menjadikan protagonis cerpen ini kelihatan hebat di pandangan pembaca. Berikut adalah sifat-sifat yang meninggikan harga diri Pakda Mail:
Dari pengalaman itulah Pakda Mail sentiasa beringat-ingat. Soal makanan tidak boleh dipandang remeh. Wang ringgit tidak banyak tidak mengapa, asalkan beras, ikan dan garam cukup tersimpan buat bekalan. Kesusahan yang melanda keluarga Pakda Mail bukan sekali. Telah banyak kali Pakda Mail tempuhi. Tetapi, Pakda Mail tidak pernah merasai putus asa. Dia mempunyai tali pengikat yang kuat. Semuanya disandarkan pada rezeki Tuhan.
Watak Pakda Mail menjelaskan bahawa harga diri adalah bersifat subjektif. Walaupun dia seorang yang tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat, namun memiliki harga diri yang tinggi disebabkan sikap berdikari dan berusaha keras. Pengarang mewujudkan perasaan ingin dihormati Pakda Mail dengan menghadirkan watak negatif Mat Ropi. Walaupun seorang yang mempunyai harta dan dikatakan ‘penjual kedai runcit yang kaya-raya’, tetapi dalam diri Pakda Mail, Mat Ropi adalah insan yang haloba dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa Mat Ropi menolak permintaan Pakda Mail menjadi titik-tolak dia tidak meminta-minta kepada orang lain. Hal ini dapat dikaitkan dengan pandangan Sigmund Freud bahawa kehidupan individu hampir sepenuhnya melibatkan keadaan bawah sedar dan mendorong tindakan luar kawal untuk memenuhi keinginan dalam diri. Oleh kerana Pakda Mail berasa terkilan dan malu dengan orang kaya seperti Mat Ropi, dia menjadi ‘gila bekerja keras’ tanpa disedarinya. Pakda Mail mengerahkan isteri dan anak-anaknya memanfaatkan tanah pusaka dan tanah kerajaan dengan bercucuk tanam, menternak ayam, itik, ikan dan kambing serta berjualan di pasar tani. Hasil usaha mereka sekeluarga, kerajaan memberikan tanah kepada Jusoh, anak Pakda Mail. Terakhir, pengarang sengaja menyinggung watak- watak yang bertentangan dengan Pakda Mail bagi mengukuhkan lagi harga diri protagonisnya.
Mat Ropi, Che Hassan dan Sidik kelihatan berbisik sesama sendiri. Tetapi mata mereka bertiga terjengkit keluar memerhati Jusoh menerima hak milik tanah dari Datuk Ketua Jajahan. Pakda Mail tersenyum lebar melihat gelagat mereka bertiga.
Seterusnya, harga diri yang sama dikemukakan Maslinah Abdul Malek menerusi cerpen Nyawa Musleha. Pengarang mempertentangkan watak miskin diwakili Leha, dengan watak orang kaya bernama Dali. Kekayaan Dali digambarkan oleh kata-kata Leha, “Duit engkau sudah berkepuk-kepuk. Goyang kaki pun, makan pakai engkau sudah terjamin.”
Konflik berlaku apabila Dali memujuk Leha menjualkan tanahnya kepada pihak pemaju. Di sinilah pengarang memasukkan kekuatan harga diri protagonisnya kepada pembaca. Walaupun Leha adalah janda anak satu dan miskin, tetapi harga dirinya terserlah apabila mempertahankan tanah pusakanya. Malahan karakter Leha lebih berani daripada ketua kampung berdasarkan nasihatnya:
“Tok penghulu, tanah orang kampung mesti dipertahankan. Kalau tanah tumpah darah ini sudah menjadi milik orang, ke manakah anak cucu cicit kita hendak tinggal? Mereka akan merempat di bumi sendiri.”
Keinginan rasa ingin dihormati pada watak Leha menjelaskan bahawa pengarang ingin membela nasib bangsanya yang dihimpit tekanan kemajuan. Isu Tanah Rizab Melayu yang semakin runcing terutama yang membabitkan kawasan bandar dan pinggiran bandar disebutkan secara tidak langsung. Pengarang secara sinis mengangkat karakter janda yang sinonim dengan kelompok lemah sebagai pemberani dalam cerpennya. Bahkan, pemikiran Leha jauh mengatasi kaum lelaki terutama ketua kampung dalam mempertahankan tanah. Walaupun orang kampung mendapat ratusan ribu ringgit hasil menjual tanah, tetapi bagi Leha, nilai tersebut lebih rendah daripada harga pasaran. Malahan, Leha membidas tok penghulu dengan mengatakan pembangunan yang ditawarkan pemaju lebih memberikan keburukan kepada penduduk.
“Tok penghulu, tanah ini mahu dibina hotel mewah. Untuk siapa hotel ini? untuk orang-orang asing yang hidup dengan budaya entah apa-apa. Nanti habis anak muda kita terpalit dengan gaya hidup barat. Gaya hidup orang tidak beragama. Mahukan tok penghulu melihat anak bangsa kita rosak demi menelan buah kemajuan sebegini?”
Watak Dali dan sebahagian penduduk kampung yang menjual tanah merupakan bayangan sebenar dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Pengarang mengemukakan idea Neonostalgia dari sudut pandang Leha yang melihat budaya menjual tanah sebagai sesuatu yang negatif dan merugikan bangsa, bahkan menjual tanah seperti menjual harga diri. Neonostalgia memainkan peranan penting dalam masyarakat pascamoden yang inginkan pengukuhan jatidiri seperti Leha. Pengarang mengangkat suara-suara insan yang dilihat kerdil dalam masyarakat sebenar iaitu Leha dan anak kecilnya, Burhan untuk mengepalai penentangan terhadap kelompok kapitalis. Menurut Hashim Ismail (2018), pemikiran Neonostalgia merupakan satu bentuk pemikiran yang bukan lagi untuk muncul mengenangkan kembali masa silam yang indah tetapi merupakan satu pembentukan pemikiran yang mengangkat pola-pola nostalgia sejarah silam, tradisi kolektif dan moraliti kolektif untuk diberi makna baharu supaya bangsa dapat memahami keagungan silamnya. Leha memperingatkan penduduk kampungnya agar tidak menjual tanah warisan biarpun kemajuan mendesak. Berikut adalah kata-kata yang mengangkat harga diri Leha, guna memperingatkan bangsa Melayu agar tidak ‘menang sorang, kampung tergadai’:
“Bukan sedikit keringat nenek moyang kita yang tumpah. Mereka bersabung nyawa menebas hutan belantara membuka kampung. Menabur benih harapan agar tumbuh pohon kehidupan buat anak cucu cicit menyambung warisan. Ada tanah untuk dipancang batu tanda milik, di sinilah kita hidup dan di sinilah kita bakal disemadi. Belum lagi disirahkan sejarah perjuangan panjang mereka menentang penjajah yang rakus menghirup darah pejuang hingga gugur mempertahankan tanah air. Andai semuanya digenggam orang lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?”
Cerpen berikutnya menawarkan persoalan harga diri seorang pendatang asing. Tukang Kebun Migran karya Uthaya Sankar SB menggunakan sudut pandang ‘saya’ yang membolehkan pembaca menyelami sepenuhnya perasaan dan pemikiran protagonis. Saya ditampilkan sebagai tukang kebun ‘tidak sengaja’ dari negara India. Perkenalan saya dengan tuan tanah iaitu sepasang suami isteri warganegara Malaysia berlaku apabila saya melalui kawasan rumah mereka dan memberikan petua menanam pokok. Pengarang secara sinis menyinggung sikap tuan tanah yang tidak pandai ‘menghargai’ tanah dengan gambaran berikut:
Halaman yang luas, puluhan pasu yang kosong, dan stok tanah berbaja yang terbiar mengujakan saya. Suvarnabhumi; tanah emas. Sia-sia jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Bahkan, sikap tuan tanah yang menyalahkan ketiadaan tukang kebun menggambarkan mereka hanya bergantung kepada orang lain untuk menjaga halaman rumah. Selanjutnya, pengarang mengangkat harga diri warga asing yang mempunyai pelbagai benih tanaman dan bijak memanfaatkan tanah orang lain. Kerajinan saya menyebabkan halaman rumah tuan tanah dipenuhi tanaman bunga dan sayuran. Saya juga tidak mengharapkan apa-apa bayaran daripada tuan tanah sekaligus memperlihatkan harga diri saya yang tinggi.
Para pendatang atau kaum imigran sering dicerminkan sebagai kelompok yang mengancam penduduk sesebuah negara. Namun, dalam cerpen Uthaya Sankar SB menunjukkan layanan dan kepercayaan ‘berlebihan’ rakyat Malaysia kepada pendatang asing. Tuan tanah digambarkan begitu percaya kepada saya sehingga memberikan kunci pagar rumahnya untuk disimpan oleh saya. Ini selaras dengan pandangan Hashim Ismail (2018) bahawa masyarakat pascamoden merupakan masyarakat yang sangat terbuka. Namun begitu, keterbukaan tuan tanah terhadap saya amat berbaloi kerana saya adalah manusia yang jujur dan berstrategi. Saya menyembunyikan identitinya yang sebenar sehingga pembaca dihidangkan dengan tanggapan tipikal masyarakat kepada kaum pendatang iaitu miskin, tidak berpengetahuan tinggi dan lemah. Ini dibuktikan dengan sikap tuan tanah yang tidak mahu bertanya latar-belakang saya kerana menganggap saya adalah pendatang asing biasa.
Harga diri akan menjadi semakin mulia apabila mendapat penentangan luar. Bagi menaikkan lagi imej dan harga diri protagonisnya, pengarang mewujudkan watak jiran kepada tuan tanah yang sering berprasangka buruk kepada saya. Jiran juga adalah pemilik tanah dan mahu saya menjadi tukang kebunnya. Jiran mula memburuk-burukkan saya selepas saya menolak permintaannya.
“Saya tahu apa rancangan awak. Awak boleh menipu mereka tapi saya sudah boleh mengagak niat jahat awak.”
Pengarang mendedahkan identiti sebenar saya di bahagian-bahagian akhir cerpen. Saya adalah pegawai dari Kerala, India yang datang ke Malaysia atas urusan profesional. Saya seorang pencinta tumbuh-tumbuhan dan melihat tanah sebagai anugerah. Peluang berbuat baik kepada tuan tanah dan melestarikan bumi dengan tanaman indah ditanggapi saya sebagai nikmat jiwa. Hal ini menampakkan harga diri saya sangat tinggi kerana mampu membahagiakan orang tanpa dibatasi pesimis bangsa, agama dan warganegara.
Cerpen seterusnya menawarkan kelainan pada watak iaitu sepasang penguin bernama Peni dan Ginu. Jusoh Ahmad menerusi cerpen Pengorbanan menonjolkan semangat perjuangan dua penguin sebagai harga diri yang perlu dicontohi manusia. Peni dan Ginu memaknai kejadian mereka sebagai makhluk Tuhan dengan rasa syukur tanpa berbelah bahagi. Keadaan fitrah mereka amat sukar jika dibandingkan dengan manusia iaitutinggal di kawasan beku sehingga negatif 60 celcius.
“Tuhan Yang Maha Mengetahui. Dia yang mencipta kita tentu ada hikmahnya yang tersembunyi. Kita wajib menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan. Jika kita membantah tidak bersyukur bererti melawan takdir-Nya, pasti kita menerima padahnya. Subhanallah! Kita dikurnia rahmat untuk memohon doa.”
Dialog Peni dan Ginu sarat dengan ucapan syukur dan pasrah kepada Tuhan. Pengarang cuba memanifestasikan ayat-ayat Al-Quran tentang pujian para makhluk kepada Allah SWT. Antaranya dalam Surah Al-Isra’ ayat 44 yang bermaksud:
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Pengarang seolah ingin menyedarkan manusia menerusi sikap dan kata-kata Peni, Ginu dan Negun antaranya adalah menjaga hubungan dengan Tuhan dan para makhlukNya, bersyukur dan redho serta berkorban untuk ahli keluarga. Kemuncaknya, pengorbanan Peni yang sanggup menggadaikan nyawa demi memastikan anak-anaknya hidup adalah harga diri yang paling mulia. Malahan, pesanan si pemimpin kepada ketua-ketua keluarga penguin dapat menjadi teguran kepada para suami. Pengarang secara halus menegur para suami yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan resam penguin jantan sebagai teladan yang boleh dipelajari.
Tiap-tiap pasangan, terutama suami mesti menjaga keluarganya. Mahu atau tidak tetap menjadi tanggungjawabnya. Pengorbanan itu adalah wajib bagi suami. Sebelum musim salji tiba dan kian membeku pastikan kesihatan sentiasa mantap. Sudah hampir tiba waktunya, hidup terpaksa digadai.” Jelas pemimpin mereka.
Kesimpulannya, empat buah cerpen ini menghidangkan perwatakan protagonis yang kaya dengan maruah dan harga diri biarpun mereka berada di posisi rendah dalam masyarakat iaitu petani, janda dan tukang kebun. Watak Pakda Mail mempunyai persamaan dengan watak Peni, seekor penguin dalam perjuangan membebaskan isteri dan anak daripada kesusahan dan ranjau hidup. Pakda Mail mendidik anak-anaknya berusaha keras dan tidak putus asa, sehingga akhirnya berjaya memperolehi tanah iaitu sesuatu yang amat penting dalam kehidupan. Manakala Peni mengorbankan diri agar isterinya dapat melahirkan anak mereka dengan selamat. Watak Leha dan saya dapat ditanggapi sebagai watak yang melambangkan sikap sesebuah bangsa. Berdasarkan pemikiran Neonostalgia, Leha adalah penerus tradisi para pahlawan Melayu mempertahankan tanah warisan di era moden. Manakala watak saya secara tidak langsung menjelmakan nilai-nilai baik dalam masyarakat Kerala, India kepada para pembaca di Malaysia iaitu sifat menghargai tumbuhan, jujur, dan rendah hati.
Persoalan yang boleh dikemukakan, apakah masyarakat di Malaysia semakin hilang harga diri sehingga secara kebetulan, empat buah cerpen ini memberi saran dan pengajaran yang sama?