Ummu Hani Abu Hassan

Gambar hiasan- Masjid Itaewon, Seoul

Kini kusedari bahawa manusia bukanlah mesin peradaban. Yang membentur diri mereka adalah jiwa dan agama. Namun, apabila jiwa dan agama hilang, mereka menjadi mesin yang kaku, umpama robot yang disetkan untuk suatu kemajuan, dan akan musnah pada satu titik. Fana.

Selama ini, kujumpai ialah manusia yang hanya bertopengkan wajah manusia, hakikatnya diri mereka sebuah mesin. Di manakah manusia sejati? yang matanya basah melihat kesusahan orang lain. Yang membangunkan dunia dengan adil. Yang mengenali Pencipta dan memenuhi hati dengan cintaNya. Yang tidak menyukai keserakahan politik. Yang suka untuk memberi daripada meminta. Yang bukan tujuan hidupnya untuk makan, minum dan memuaskan nafsu. Yang mewah untuk memberi makan orang-orang miskin. Yang mendambakan kesejahteraan ummah bukan semata keluarga dan bangsa. Yang yakin bahawa hidup selepas matinya bukan seperti serangga, debu dan tanah. Yang tahu, setiap amalnya akan diperhitung di depan Pencipta. Yang bersungguh-sungguh di dunia demi sebuah masa depan yang cerah di akhirat. Maha suci Tuhan yang menyediakan panduan untuk mencapai semua ini.

Sesungguhnya cahaya itu satu tetapi kegelapan mempunyai banyak wajah.

Aku mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow setelah lebih tujuh jam penerbangan dari Bahrain. Pada umur 21 tahun, inilah kali pertama aku menatap jantung United Kingdom walaupun aku adalah warga British. Tiada sesiapa yang menungguku, malah aku juga tiada sesiapa untuk dihubungi. Seluruh keluargaku berhimpun di Yokshire, England.  Namun aku yakin, cintaNya sedang menungguku

Apakah keputusanku menjadi Muslim ini adalah keputusan berpatah-balik ke belakang? Dalam Kristian, seseorang yang kembali kepada agama, bermakna berundur. Dunia Barat menjadi maju dan relevan setelah membebaskan sepenuhnya dari pengaruh gereja dan Kristian. Dan seorang Muslim? Menjadi seorang Muslim sejati bermakna mengalungkan kembali mahkota kemajuan, ketamadunan dan kemanusiaan. Bukankah berbeza? Aku tidak membuat keputusan yang silap.

Bas yang membawaku ke Kota London terasa lambat. Badanku letih, fikiranku letih, namun hatiku tidak sabar. Destinasi pertamaku adalah ke Packington Street, tempat yang juga asing bagiku tetapi terletak di tengah Bandar London. Di sana, aku akan mendapatkan peta ke Central Mosque, masjid terbesar di London. Aku kini tidak kekok bertudung walaupun agak asing bagi warga Eropah. Namun, tiada sesiapa mahu menyibuk halku. Perkara ini sudah menjadi fenomena, ramai yang telah meninggalkan Kristian walaupun mereka tidak menganut sebarang agama lain. Aku yakin, orang Kristian sendiri ramai yang murtad tanpa sedar.

Perkara pertama yang perlu kulakukan sebaik turun dari bas ialah mencari bilik rehat. Aku perlu makan sedikit dan membersihkan diri. London sangat sibuk dari apa yang kubayangkan. Kerinduan pada ibu, kakak-kakak dan adikku muncul. Aku sudah tidak jauh dari keluarga tetapi ini bukan masanya aku pulang. Aku ingin mencari cahaya sejati, dan cahaya itu akan kunyalakan dalam keluargaku.

“Maaf mengganggu, kalian tahu laluan ke Central Mosque?” tanyaku kepada dua gadis yang menyewa bilik sebelah. Seorang berbangsa Arab, dan seorang lagi berketurunan Yahudi. Gadis berbangsa Arab itu senang hati memberitahuku jalan menuju ke London Central Mosque atau nama lainnya ICC (Islamic Cultural Centre).

Dari pembacaanku, Kerajaan Inggeris telah memperuntukkan sebanyak 100 ribu pound untuk mendirikan ICC sebagai pusat aktiviti Muslim di sini sekitar tahun 1940-an. Pembinaannya juga ada kaitan dengan penghargaan terhadap ribuan tentera Muslim India yang terkorban ketika membantu Kerajaan Inggeris dalam Perang Dunia Kedua. Namun, sehingga tahun 1970-an, ICC bukan sahaja menerima bantuan tempatan untuk pembesaran dan kemajuan aktivitinya, malah dunia Islam terutama Arab Saudi turut menyumbangkan dana yang besar.

Apakah ramai orang Eropah sepertiku yang datang ke sini dengan tujuan sama, iaitu mengenali Islam dan menjadi Muslim? Di saat gereja kian sunyi dari penganutnya, masjid di tepi Regents Park ini menerima kunjungan lebih 1000 orang seminggu. Malah bukan bangsa Arab sahaja, desain modennya menyatakan masjid ini adalah untuk semua bangsa di dunia ini yang mencari Tuhan Yang Esa. Ku harap kunjunganku buat pertama kali ke sini adalah kenangan paling indah. Ia adalah pertemuan selepas kehilangan. Dan rupanya, yang kucari ada di tanah airku sendiri.

Aku memasuki gerbang utama masjid dan terus menuju ke ruang solat. Agak pelik kerana semuanya Jemaah lelaki, di mana Jemaah wanita? Melihat cara mereka sembahyang, hatiku tertarik untuk belajar. Aku melabuhkan punggung di sebuah kerusi depan pintu ruang solat Jemaah lelaki. Inilah kali pertama aku melihat seorang Muslim khusyuk merendahkan diri di hadapan Yang Maha Esa. Sebelum ini, aku banyak membaca dari buku cara-cara menunaikan solat.

“Hei, kenapa kamu duduk di sini? Pergi, ini adalah kawasan lelaki. Tidak patut seorang wanita ada di sini!” jerkah seorang lelaki Arab yang agak berusia. Aku terkejut dan agak tersinggung apabila menjadi perhatian di situ. Wajarkah dia memarahiku? Tahukah dia, inilah kali pertama aku masuk ke masjid dan tujuanku cuma ingin mempelajari solat? Bayangan bahawa aku akan disambut mesra dan lemah-lembut tidak menjadi kenyataan. Sikap lelaki ini mengingatkan aku pada banyak lelaki ego di luar sana.

Namun, ia tidak melunturkan harapanku mempelajari agama Islam. Kelemahan yang ditunjukkan bukanlah melambangkan agamaNya. Orang Islam yang sempurna adalah yang membawa akhlak Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah menghalau orang kafir yang masuk ke masjid. Cerita sahabatku, seorang Badwi masuk ke masjid ketika Nabi SAW sedang berdiskusi ilmu dengan para sahabat. Si Badwi membuang air kecil di sudut masjid menyebabkan para sahabat bangun dan marah. Jika tidak kerana nasihat Nabi SAW, tentu si Badwi telah dibunuh. Perbuatannya itu adalah penghinaan terhadap rumah Allah.

“Janganlah kalian marah, si Badwi itu masil jahil. Biarlah aku membersihkan najisnya,” kata Baginda SAW bangkit membersihkan sudut yang telah dicemari. Akhlak Nabi SAW sangat terpuji dan indah, mengagumkan para sahabat. Malah Si Badwi turut tertarik memeluk agama Islam.

Ya, aku tidak akan berputus asa mencariNya hanya disebabkan oleh kekasaran lelaki tadi. Aku lalu meminta maaf dan berjalan mencari ruang solat wanita. Mungkinkah Tuhan ingin mengujiku ketika pertama kali bertandang ke rumahNya?

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *