Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Awal Mac 2014, saya memulakan semester pertama pengajian sastera bandingan di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Seoul. Ia adalah tahun yang memperkenalkan saya pada budaya ‘pali-pali’ (cepat-cepat), sampo sedae(generasi kahwin lewat), sigdang(makan luar) dan hansang(berpacaran). Ini antara empat budaya utama yang terpapar dalam masyarakat Korea baik secara nyata, fiksi sastera mahupun digital. Berjalan cepat-cepat menunjukkan kesungguhkan melakukan sesuatu, amat berkaitan dengan amalan menjaga masa. Persaingan 50 juta penduduk dengan 13 juta orang berpusat di Seoul menyebabkan pekerjaan lebih penting daripada jodoh. Akibat lain, anak muda Korea selesa menyewa bilik atau ‘bang’, makan di kedai-kedai dan berpacaran tanpa ada rancangan untuk berkahwin sebelum 30-an. Majalah Koreana edisi musim panas 2019 menyebutkan perubahan masyarakat Korea ditentukan ekonomi pasaran bebasnya. 

Inilah persamaan besar Malaysia dan Korea iaitu hegemoni neoliberalisme dalam jagat masyarakatnya, dari akar bawahan hingga ke pucuk atasan. Neoliberalisme ditafsirkan  sebagai wajah baru kepada kapitalisme global yang mencengkam juzuk-juzuk sebuah negara baik dalam ekonomi, politik, masyarakat, pendidikan, sastera dan kebudayaan. Korea dan Malaysia, sama-sama berlutut kepada kepentingan pasar dan ekonomi. Sumber alam dan manusianya dikerahkan untuk memacukan ekonomi negara semaksimumnya. Lebih-lebih lagi Korea yang berada dalam perkumpulan yang dinamakan Global North.

Kim Ae Ran

Saya menekuni sebuah cerpen tulisan Kim Ae Ran, penulis mapan Korea yang lahir tahun 1980. Cerpen berjudul ‘Aku ke Kedai 24 Jam’ (terbit di Majalan Koreana edisi musim sejuk 2017) menceritakan sisi individualistik yang membarah dalam kalangan warga Seoul, seiring pertumbuhan ekonomi yang disingkapkan melalui ‘munculnya kedai-kedai 24 jam’ bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kebergantungan individu kepada kedai 24 jam seperti kebergantungan negara dunia ketiga kepada kuasa besar. Kedai 24 jam menyediakan sekecil barang seperti ‘gula-gula, rameyon dan aiskrim sehinggalah barang yang penting seperti tisu toilet, tuala wanita dan pengecas telefon. Konflik cerpen digerakkan oleh kelakuan tipa utama yang bertukar-tukar kedai 24 jam atas alasan pelik iaitu dia ‘benci’ dengan penjaga kedai yang sering bertanyakan soalan- soalan seperti ‘di mana kamu belajar?’ kamu belajar bidang apa? Umurmu berapa? Sekaligus mempamerkan generasi muda Korea yang suka menyendiri dalam rumah fikiran, tanpa mahu diganggu sesiapapun.

Hafizah Iszahanid

Cerpen ini meninggalkan kesan kehairanan kepada saya. Saya mencari-cari cerpen Malaysia yang boleh menjawab kehairanan saya terhadap cerpen Kim Ae Ran. Lalu saya mencocokkan dengan cerpen ‘Ulangtahun Bonda’ karya Hafizah Iszahanid (terbit di Mingguan Malaysia 7 September 2014) yang juga penulis wanita yang lahir awal 1980-an. Hafizah memposisikan kesan utama neoliberalisme di Malaysia melalui cerpennya iaitu kerapuhan hubungan kekeluargaan. Sikap individual ditonjolkan melalui watak anak-anak yang mengabaikan ibu yang tua. Saya mencatat kembali tulisan Hafizah, “Untuk mereka, bonda adalah perempuan yang semakin dimamah usia dan tidak lagi berada dalam arus masa.” Golongan tua menjadi mangsa zaman pasca moden (postmodernisme) kerana tidak dapat memahami kesibukan golongan muda dengan gaya celaru. Watak Bonda melihat anak-anaknya larut dalam pencarian materi, bercakaran sesama sendiri atas kebebasan dan demokrasi. Walau bagaimanapun, kematian anak-anak Bonda dalam kecelakaan kapal terbang, menyebabkan anak-anak yang masih hidup mula bersatu. Penulis Malaysia seperti Hafizah menerobos hikmah di sebalik ujian yang berlaku. Hal ini kerana ianya sebahagian daripada ajaran Islam. Jika disingkap, watak Bonda adalah negara Malaysia, manakala watak anak-anak adalah bangsa Melayu yang menjadi majoriti di Malaysia. Hafizah secara tidak langsung menghamburkan kegusaran terhadap anak bangsanya yang semakin individualistik dan rapuh nilai.

Sebaliknya, Kim Ae Ran tidak mempunyai resolusi seperti Hafizah. Dia sekadar ‘perakam realiti’ tetapi bukan seorang hakim atau penilik bangsanya. Dia menyatakan kini ‘individualistiklah’ raja masyarakatnya. Watak utamanya berjaya menyingkapkan akal fikiran seorang manusia yang bahagia hanya dengan akalnya, bukan dengan hubungan sosial. Di akhir cerpen, dia terpukul oleh kebohongan akalnya sendiri. Sungguhpun Kim Ae Ran tidak melanjutkan kepada hikmah di sebalik kemalangan yang ditonton oleh watak utamanya, tetapi bila dibandingkan dengan cerpen Hafizah Iszahanid, saya percaya sebenarnya Kim Ae Ran juga mahu mengutuk bahana neo liberalism yang menjarah masyarakat Korea kini. Hafizah mengungkapkan pengajaran positif secara terus-terang, manakala Kim Ae Ran menyiratkannya secara halus dengan cara beliau sendiri.

Individualistik adalah pesona Revolusi Industri ke 3 dan 4 selepas wujudnya sistem yang dipanggil dunia tanpa batas. Dengan kecanggihan telefon pintar dan IOT (internet of thing), manusia berkomunikasi dalam dunia yang senyap. Manusia terarah kepada kecanggihan yang mereka cipta, salah-satunya adalah robot. Apakah manusia mula mengambil ciri robot ke dalam peribadi mereka, dan ciri manusia pula diaplikasikan kepada robot? Hal ini tidak mustahil kerana telah diungkapkan dengan baik oleh penulis Generasi Y seperti Kim Ae Ran dan Hafizah Iszahanid. Sifat robot yang utama telah masuk ke jiwa manusia adalah individualistik. Lihatlah watak Aku yang menjauhi Kedai 24 Jam jika penjualnya seorang yang ramah, serta karakter anak-anak yang sinis melihat Bonda terkurung dalam kesunyian.

Sepulangnya saya ke Malaysia pada Ogos 2018, saya mendapati negara ini dilandai kedai-kedai dobi; baik di bandar mahupun desa. Orang-orang yang pergi ke kedai dobi, tidak berbual sesama sendiri waktu menunggu pakaian dibasuh. Dengan telefon bimbit, mereka tenggelam dalam fikirannya. Begitu juga ketika saya masuk ke kedai serbaneka Family Mart yang mula bercambah di Kuala Lumpur. Para pengunjung tidak lagi mencari nasi lemak atau bihun goreng yang dibungkus dalam bekas kecil tetapi, orang Malaysia baik Melayu, Cina dan India sudah mula ketagihkan kimbab tiga segi iaitu nasi yang dibungkus dengan rumpai laut, sushi dan udon. Semua makanan itu popular di Korea dan negara pemulanya adalah Jepun. Ketika beratur di kaunter pembayaran, orang-orang tidak berbual atau senyum sesama sendiri. Dengan makanan di tangan, mereka boleh duduk di kerusi tinggi, menikmati udon panas tanpa peduli orang sekeliling. Saya akhiri kolum ini dengan serangkap puisi Sasterawan Negara Baha Zain:


Apa yang harus kuucapkan lagi?
Antara kami, segalanya sepi,
Kecuali I-phone, dan dia dengan I-padnya.

(Baha Zain, “Monolog Kecil”, Dewan Sastera, November 2013)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *