Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Saya disapa oleh mata-mata yang ramah, dengan bibir manis senyuman, walaupun wajah mereka menanggung sakit dan letih. Para pesakit di Wad Kenanga, semuanya wanita. Pelbagai bangsa dan peringkat usia. Seorang wanita berusia awal 30-an kelihatan letih. Dia sedang mengandung dan demamnya tidak kebah. Sebelum ini, dia sudah dua kali keguguran. Bersih wajahnya. Di sebelahnya, wanita Cina berusia awal 40-an sedang mengalami sakit dalam perut. Doktor sedang mencari punca sakitnya. Saya berjalan di katil-katil sekitar, memberi salam kepada yang Muslim.
“Kakak juga sakit fibroid?” tanya saya kepada seorang wanita awal 40-an. Teman-teman lain mengatakan dia mengalami fibroid yang sangat besar. Saya lihat perutnya, seperti buah tembikai bersize besar. Allahuakbar! Wajah si kakak sangat pucat.
“Kakak dah tahu lama ada fibroid tapi tak mahu jumpa doktor, takut. Baru-baru ni akak alami darah rendah yang teruk, suami terus bawa ke klinik dan klinik rujuk akak ke hospital. Sekarang doktor rancang nak buang, akak takut..”
“Insha Allah kak jangan takut, lepas buang akan jadi lebih baik,” saya memujuknya, lebih memujuk diri sebenarnya.
“Puan Ummi boleh duduk di katil depan ini,” kata jururawat meminta saya ke katil yang kosong, beberapa langkah sahaja dari meja jururawat dan doktor. Saya meminta diri dari rakan-rakan pesakit dan mula mengangkat barang-barang ke katil baru. Setiap katil hanya dipisahkan oleh langsir. Waktu siang, setiap langsir diikat, kita boleh melihat wajah ‘jiran-jiran’ pesakit di kiri kanan dan di depan. Saya ingin melelapkan mata seketika tetapi hati tertanya, apakah sakit wanita berusia 60-an di sebelah saya?
“Cik sakit apa? saya Fibroid,” kata saya memperkenalkan diri melalui ‘penyakit’. Makcik itu kelihatan lemah. Matanya layu, perutnya besar. Dia tidur mengiring ke arah katil saya.
“Makcik kanser rahim. Sedang tunggu hospital ini hantar makcik ke Hospital Ampang. Di sini tak boleh rawat kanser,” kata makcik itu. Allahu Allah, simpari saya meluap-luap. Tidak sampai hati saya bertanya lagi.
“Makcik sudah stage 4 Dr cakap. Masa mula makcik tahu baru stage 1. Tapi masa tu makcik tak datang hospital, makcik jaga kakak ipar, dia uzur dan tinggal dengan kami. Tak ada orang jaganya, jadi makciklah jaga dia..” ceritanya.
“Semoga makcik sembuh. Makcik kena jaga kesihatan dulu, baharulah makcik boleh jaga kakak makcik,” kata saya, agak terkejut makcik ini membiarkan kansernya demi menjaga orang lain. Peringatan untuk diri saya juga; yang lama menangguh pembedahan demi hal yang lain.
Saya mahu memejamkan mata, tiba-tiba makcik itu bersuara lagi.
” Malam tadi ada seorang perempuan tua duduk di katil adik tu. Dia menjerit dan meracau sebab sakit sangat, kanser rahimnya pecah. Pagi tadi dia meninggal dunia,” katanya.
Allahuakbar. Mata saya jadi segar bugar.
Emak dan abah bersungguh datang dari Kedah bersama adik kelima saya, Hamdi dan pakcik saya, Cik Lan. Mereka tiba di Temerloh sudah Magrib, waktu lawatan sudah tamat. Jadi saya minta izin jururawat untuk turun ke lobi, menyalami ibubapa. Keluarga berjanji akan datang lagi esok.
“Mak jaga Kak Ummu malam esok,” kata abah. Saya minta ibubapa mendoakan saya, jam 7 pagi akan ditolak ke bilik bedah. Emak memberikan sebuah buku doa-doa kepada saya. Emak saya dan buku-buku agama sukar dipisahkan.
Malam menjelang, sunyi hanya dalam diri. Wad saya meriah dengan ketawa jururawat, suara-suara doktor muda , malah pesakit masih ada bersembang sesama sendiri. Di depan saya, seorang pesakit tua bernafas dengan bantuan mesin. Dia baru menjalani pembedahan. Anaknya, seorang OKU menjaganya. Kasihan saya melihat mereka. Saya melihat seorang wanita 30-an sudah menjalani pembedahan membuang fibroid, dia masih lemah tetapi sudah berjalan ke tandas, kakak iparnya memapahnya. Saya bakal begitu esok, Allahuakbar.
Sebaik masuk ke wad, selera makan hilang. Makanan hospital tidak saya sentuh. Hanya makan sedikit roti. Malam itu saya perlu berpuasa dan makan ubåt bagi mengosongkan perut. Sebaik minum air ubat itu, mulalah perut memulas, beberapa kali saya ke tandas. Saya perasan, seorang wanita berusia 50-an yang akan menjalani pembedahan fibroid selepas saya esok juga berulang-alik ke tandas. Katilnya hanya berselang dua tempat dengan katil saya. Kami telah berkenalan sejak di klinik pakar bius.
“Kenapa cik?” tanya saya.
“Makcik tak boleh kencing, tapi rasa nak kencing sangat,” katanya. Saya berasa sedih. Saya merasai sakitnya tidak boleh kencing ketika di Korea. Akhirnya doktor datang memasang tiub kepada makcik itu.
Banyaknya guru dalam kehidupan kita. Penyakit juga guru. Ia mengingatkan kita kepada keusangan usia, dan juga mengingatkan betapa Allah Tuhan Yang Berkuasa. Saya tidak pernah menyebutkan dalam doa untuk jadi penghuni Wad Kenanga ini, yang saya sebutkan adalah ‘Ya Allah ampunilah dosa-dosaku’ setiap hari . Jadi, cara inilah Allah mengampuni dosa hamba-hambaNya. Melalui ujian kesihatan yang ditarik sedikit. Teringat ketika doktor pelatih mencucuk atas tangan saya bagi memasang branula. Beberapa kali dicucuk, saya sakit, darah terbit banyak. Hati mahu marah tetapi itukan ketentuan Allah. Mahu marah kenapa? Redholah semuanya. Berdoalah. Berusaha menjadi sihat adalah jihad. Allah SWT suka kita sihat.
Saya akhirnya tertidur dalam muhasabah yang paling dalam; kerana para pesakit di sekeliling saya lebih hebat ujian mereka, saya berasa saya tidak apa-apa, sedikit sahaja Allah menguji saya; sesuai iman yang belum mantap.
Sebelum Subuh, saya bangun awal, terus ke bilik air untuk mandi. Saya percaya, sehari dua lepas bedah, saya mungkin tidak mandi seperti orang sihat. Pakaian biru ‘yang menggerunkan’ itu perlu dipakai. Semua barang kemas atau jam tangan akan disimpan. Jam 7 pagi, jururawat dari bilik bedah sudah datang dengan katil khusus.
“Puan Ummi Hani, naik atas katil,” arah mereka. Semua di wad itu (yang sudah bangun tidur) melihat kepada saya. Rakan-rakan pesakit ada yang tersenyum, cara mereka menyuruh saya bersemangat; jangan takut. Hakikatnya, takut saya dilepaskan ke lautan doa dan zikir yang memujuk hati.
Suami tiba, nampak wajahnya sedikit cemas, mungkin takut terlambat. Dia dan dua jururawat menolak saya turun ke dewan bedah utama melalui lift belakang. Saya waktu itu sudah dipakaikan tiub air kencing, berasa tidak selesa. Masuk sahaja ke bilik penuh ‘ketakutan dan perjuangan’, jururawat mengarahkan suami keluar. Saya menyalaminya dan sekali lagi meminta maaf. Hati saya sudah pasrah, hanya Allah SWT tempat pergantungan sekarang. Diikutkan rasa hati, saya mahu terjun dari katil itu dan pergi kepada doktor, menjerit ,” Saya tidak mahu dibedah, biarlah fibroid ini berkawan dengan saya!!’ ah! Itu semua bisikan iblis yang tidak mahu saya sihat. Saya berjuang untuk sihat, kerana Allah SWT.
Dewan bedah sangat sejuk. Ada banyak bilik di dalamnya, dengan pelbagai kes penyakit. Saya disorong ke bilik penantian dengan beberapa pesakit lain yang menunggu giliran, semuanya terlantar dan pasrah. Lelaki perempuan, bercampur. Aduhai auratku; leher dan lengan yang terdedah. Rambut saya bersarung dalam plastik kepala. Saya fokus untuk ingat Allah SWT, zikir menenangkan takut yang amat. Di tepi saya ada kanak-kanak lelaki yang akan menjalani pembedahan kaki, ibunya turut berada atas katil bersama si anak. Ada dua lelaki yang nampak kronik, separuh sedar.
Saya kemudian ditolak ke bilik bedah yang semua doktor pakarnya telah memakai topeng muka. Saya tidak nampak Dr Rukayyah, di mana dia? bisik hati saya. Pembedahan akan diketuai Dr Riduan dan dua pakar wanita berketurunan Sikh dan Cina.
Doktor bius datang, membacakan semula risiko yang telah saya tanda tangani sebelum proses menyuntik ubat bius epidural ke tulang belakang. Saya duduk berlunjur, diberikan bantal untuk dipeluk dengan sedikit menunduk. Terasa perit tulang belakang ketika ubat itu mula meresap. Tiga kali saya dicucuk dan baring semula.
Jururawat mendekat, dia berpesan agar saya mengucap dua kalimah shahadah dalam hati, berselawat ke atas Rasulullah SAW. Kemudian saya diminta menyedut oksigen yang dilekapkan ke hidung dan mulut. Beberapa detik, saya sudah tidak sedar apa-apa lagi.
SEDAR
“Puan dah sedar ke? Kita dah habis bedah ye,” kata seorang jururawat. Saya membuka mata. Allahuakbar, syukur padaMu ya Allah. Tekak rasa perit dan loya, saya muntah dan sakit di bahagian bedah sukar digambarkan. Lemah sekali.
Saya disorong keluar. Wajah pertama saya lihat di luar dewan ‘ngeri’ adalah wajah kekasih hati saya, Ahmad Dhiak Abdul Hashim. Dia mendekati dengan cemas yang belum hilang. Saya pegang tangannya. Saya kembali disorong ke Wad Kenanga. Terlalu lemah untuk bersuara. Saya lihat abah dan emak yang baru tiba. Ya Allah, syukur padaMu atas kasih sayangMu. Ibubapa saya nampak syukur melihat saya selamat.
Saya kehilangan 500cc daráh tetapi tidak ada perkara yang membahayakan ketika pembedahan. Ketumbuhan bukan 10cm atau 11 cm seperti yang discan, namun 15 cm, sebesar bola kecil! berada di kedudukan atas rahim.
Ya Allah, balaslah kebaikan para hambaMu yang bersama-samaku menghadapi ujian kecil ini. Terima kasih Dr Rukayyah @Makda. Dia masuk ke bilik bedah ketika saya sudah dibius penuh, dan keluar dari bilik bedah ketika saya belum sedar. Saya terhutang budi kepadanya.
Tidak ada ubat ketika proses pemulihan. Saya amalkan minum minyak zaitun yang bermutu, buah delima dan oren, sayur dan ikan, selepas dua minggu, saya amalkan minum cuka buah tin. Sehingga kini saya amalkan.
Terlalu banyak kebaikan ibubapa, ibu mentua, suami dan sahabat terdekat. Yang mampu saya lafazkan adalah mendoakan mereka menjadi insan2 yang dicintai Allah SWT dan RasulNya.