Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung sehingga 28 April 2020. Sudah 25 hari saya menjadi seseorang yang ‘banyak berfikir’ tentang masa lalu; memori, cabaran, pengharapan, kesilapan, nikmat, ujian dan titik perubahan. Saya bagai dipertontonkan kisah-kisah yang belum sempurna untuk menjadi novel atau sebuah cerpen pun. Kisah dahulu dan bakal dilalui banyak tersasar dari plot dan pengakhiran yang diharapkan. Sesungguhnya, ada benang-benang kekurangan yang berpunca dari ego, jahil dan mazmumah insani, yang tidak lepas menghantui diri.
Waktu yang tidak ‘laju’ di musim PKP, pelbagai bacaan dapat ditekuni. Al-Quran menjadi penghulu segala sumber jiwa. Al-Quran mendorong kita untuk bermuhasabah. Setiap hari, apakah diri telah menjadi orang yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran? atau manusia yang rugi; tidak berbuat apapun untuk orang lain hatta diri larut dalam angan duniawi. Manusia yang kini berada di depan mata; suami dan anak-anak. Sudahkah saya memperingatkan mereka untuk menjadi hambaNya yang baik?
Musim-musim yang kelapangan waktu bersama suami dan anak-anak begitu ‘luar biasa’, rupanya menuntut muhasabah yang luar biasa juga. Ada hari dapat konsisten untuk menjadi pendengar setia suami dan melayani anak-anak (termasuk membacakan buku dan bercerita kisah teladan sebelum tidur), ada ketika menjadi bayang-bayang singa (walaupun hanya bayangnya tetap menakutkan). Ada hari rumah dirasakan padang kebahagiaan, ada kala seperti ranah kering yang perlukan baja.
Saya cuba kembali ke waktu semua yang ada sekarang hanya wujud dalam doa. Saya ingin mengingatkan diri bahawa saya pernah meminta untuk menjadi isteri dan ibu yang baik kepada suami dan anak-anak. Lalu, apabila Allah SWT telah memberikan jalan, saya perlu berjuang melaksanakan amanah sebaiknya, biar adakala jatuh, perlu cepat bangkit semula!
Wahai diri, ingatkan semula perjalanan awalmu menjadi seorang isteri dan ibu…
TUGAS ISTERI SOLEHAH
“Ustaz, ana mohon nasihat ustaz sebagai bekal menjadi seorang isteri,” kata saya kepada al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri Hj Ramli beberapa hari sebelum majlis akad nikah saya pada 16 Disember 2009. Ustaz dalam ketenangannya menyatakan, saya perlu miliki 3 perkara ini untuk ‘hebat’ sebagai seorang isteri.
“Pertama, anti perlu menjadi ‘umman’ (ibu) kepada suami. Kedua, jadilah ‘ukhtan’ (saudara) kepada suami. Dan ketiga, jadilah ‘bintan’ (anak perempuan) kepada suami,” kata Ustaz Zainul (yang kini dikenali sebagai Sheikh Zainul Asri). Selepas itu, Ustaz Zainul menghuraikan tiga peranan tadi buat anak muridnya ini.
UMMAN
Seorang ibu sarat dengan kasih-sayang kerana satu sifat Allah telah difitrahkan dalam diri mereka iaitu Ar-Rahim. Hanya wanita mempunyai anggota rahim yang tak dimiliki oleh kaum lelaki. Ibu akan melihat anak-anaknya dengan pandangan cinta sekalipun anak-anak tidak ‘membalas’ cinta ibu. Cinta ibu ibarat langit menaungi bumi dan bumi menemani langit, tidak terpisahkan. Ibu tidak sanggup mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak. Jika mereka mampu, seluruh kemahuan hidupnya adalah untuk anak-anaknya. Walaupun ada ibu berkata ‘tidak’ kepada anak-anak, kata itu bukanlah dari hatinya, sebaliknya dia berdoa di sisi yang lain, moga Tuhan memenuhi apa yang terbaik buat si anak.
Untuk anak-anak, ibu sanggup tidak mengeluh ‘penat’ dan ‘lapar’. Dalam kelaparan dan kepenatannya, ibu tetap akan memastikan anak-anak tidak lapar dan sihat. Hati ibu mahu anak-anak sentiasa gembira dan bahagia. Dia berasa menjadi wanita paling bertuah di dunia apabila anak-anak berjaya dalam hidup. Ibu berdoa kepada Tuhan agar dipanjangkan usia, bukanlah untuk dirinya tetapi untuk terus berbakti kepada anak-anaknya. Ibu bimbang sekali, jika dia tiada siapalah yang akan menguruskan keperluan anak-anak, memasak, menemani anak-anak belajar, memberi kata ransangan dan berdoa untuk mereka. Doa seorang ibu lebih laju daripada kilatan halintar. Mustajab dan mujarab. Ibu, sepanjang hidupnya adalah menjaga syurga di bawah tapak kakinya adalah untuk anak-anaknya di akhirat kelak.
Dan, sifat ibu ini perlu ada dalam jiwa seorang isteri kepada suaminya.
UKHTAN DAN BINTAN
Ustaz Zainul tidak menghuraikan sifat uktan dan bintan secara detil. Ukhtan kata ustaz, peranannya adalah menjadi saudara atau sahabat kepada suami dalam perjalanan dan pekerjaannya.
“Berbuallah dengan suami apa sahaja topik ilmu. Jadilah pendengar yang baik kepadanya, berkongsilah cita-cita dan matlamat kebaikan serta menjadi penasihat suami yang ulung. Jangan sesekali berasa ego dengan suami. Jika ada kesilapannya, maka tunggulah waktu yang sesuai (ketika nak tidur) untuk menegurnya. Dan ketika suami marah, jangan sesekali buka mulut. Diam dan dengar sahaja hingga marahnya surut. Jangan melawan atau meleteri suami ketika dia kepenatan,” kata Ustaz Zainul.
Bintan adalah sifat ‘anak perempuan’ yang manja, kaletah, comel dan menceriakan orang lain. Sifat ini perlu ada pada seorang isteri untuk menghiburkan suaminya. Apabila suami melihat isterinya, dia berasa tenang dan bahagia. Rasa terhibur atas keletah isteri yang tidak menjemukan. Dan jangan lupa, pandai ‘bergaya’ dan sentiasa comel keremajaan.
Menghuni Waktu
Begitulah pesanan yang mulia guru saya kira-kira 10 tahun lepas. Malunya saya saat kembali ke masa kini, terasa tiga peranan tadi belum sesungguhnya saya laksanakan. Memang pelbagai alasan boleh disenaraikan, asbab kepada mengapa sukarnya menuruti pesanan guru, tetapi persoalan yang lain, bersediakah saya kembali memulakan langkah baharu, di kala Allah SWT memberikan kelapangan waktu, kehidupan dan nafas serta peluang berada dekat dengan suami dan anak-anak sekarang?
Bantulah diri ini ya Allah.
Sungguh terkesan dihati ini bila membaca coretan ummu.teruskan dakwahmu dan nukilan dari hati mu yg murni.tiada kalam yg lebih indah selain wahyu ilahi.goodjob utk Ummu!
Terima kasih kekandaku kak Husni yang dirindui selalu, moga ada rezeki kita berjumpa na. terima kasih kak sudi baca dan bagi semangat