Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Payah melepaskan kenangan yang begitu mahal, yang membezakannya dengan kenangan-kenangan lain adalah kesannya cantik di hati, sukar diulangi lagi. Begitulah yang saya alami pada bulan Ramadan 2018. Tahun itu adalah terakhir kami sekeluarga di Seoul, Korea. Seolah-olah Ramadan membiarkan kami memeluknya dalam suasana sangat sederhana, agar kami rindu dan terus menoleh lagi.

Dalam musim panas, bunga mawar tersenyum melihat tubuh kecil saya diserang debar. Pada minggu pertama Ramadan 2018, saya memulai pembentangan akhir (VIVA) Ph.D di Hankuk University of Foreign Studies. Ada dua pembentangan lanjut tetapi rahmat Ramadan, pasukan penilai memutuskan hanya dua kali pembentangan (kebiasaannya 3 kali VIVA!!)
Kami tahu ianya tahun terakhir. Tempat-tempat istimewa menjadi sangat luhur dan sukar dilepaskan; Masjid Itaewon, Surau Hoegi, Sungai Jungnang, Sungai Han dan laman halal Itaewon. Allah Allah, mahu berderai air mata mengenangkan semua itu bakål berlalu dalam catat pengalaman.

Sepanjang perjalanan dari Dongdaemon Gu ke Hannam Gu dan Itaewon, suami sering memilih jalanan tepian sungai. Berderulah enjin Rezzo menyaingi keluk-keluk angin dan kocak-kocak air, serta ceria beburung dan itik-itik Seoul. Saya menguras masa perjalanan dengan membaca Al-Quran kemudian melayan anak-anak, yang tidak diam tentunya. Ramadan begitu tenang walau masanya panjang, 16 jam. Kami hanya laparkan suasana ibadah di Masjid Itaewon; berbuka puasa dengan para Muslim pelbagai bangsa. Juadah berbuka seringnya buah tembikai atau pisang, sepinggan kurma dan sekotak seorang susu segar. Solat Maghrib berjemaah setelahnya baru dihidangkan nasi (seringnya biryani). Kaum wanita dan kanak-kanak didahulukan, jemaah lelaki beratur panjang. Enaknya masya Allah, makan berebut-rebut begitu.

Dawud dan Darda’ mengelek permainan; satu bekas besar puzzle menapak ke tingkat atas, bahagian solat Muslimah. Ada bilik rehat untuk anak-anak, disitu mereka bermain dengan kanak-kanak Muslim lain (yang tentunya pelbagai bangsa!) Sengaja kami bekalkan permainan, agar kelekaan anak-anak menjadi syurga ralit kaum ibu; dalam solat Isyak dan Terawih. Suara imam dari Indonesia membugar suasana solat di Nusantara, suara imam Korea dan Pakistan tidak kurang menyentuh jiwa kerana bait ayat-ayatNya semua mengajak kepada Taqwa.
Tengah malam, setelah jemaah bersurai, kami turut menuruni lekuk bukit Itaewon. Kadangkala singgah membeli keperluan asas di kedai Muslim. Ada hari terlajak makan ais krim Turki atau roti Pakistan. Suami amat menggemari nasi Arab Egypt. Sebelum tiba di rumah, anak-anak tidur keletihan; seolah mereka telah menunaikan solat terawih penuh malam itu; aduhai anak-anak comel.

Jika tidak cukup waktu ke Masjid Itaewon, kami empat beranak jalan kaki ke Surau Hoegi dari Hufs. Hanya 2 km. Di sana tidak kurang meriah, cuma ruang agak kecil. Hanya satu bilik rehat untuk kaum muslimah berbuka puasa dan menunaikan solat. Makanan berbuka ditaja penuh. Allah Allah, nasi arab dengan sebelah ayam untuk seorang makan! Malah ada non Muslim yang datang ‘duduk’ melihat solat jemaah kemudian makan bersama-sama. Imam warga Bangladesh atau Pakistan. Setiap rakaat menyentuh hati; kesederhanaan, ukhwah Islam, cabaran berjuang di negara non muslim, dakwah yang samar, semua itu menggugah jiwa tunduk padaNya. Allah…rindu.

Terima kasih suami, selalu menemaniku dalam penghijrahan kita di Korea. Tidak ada masa yang berlalu melainkan Allah menghadirkanmu untuk selalu mendorongku, menasihatiku dan kita mengecap nikmat, susah bersama.
juga anak-anak. Moga kalian juga menjadi perantau ilmuNya. Yang selalu sedar bahawa hijrah membuka fikiran kita untuk mengenalNya dan takut padaNya.
Ramadan 2020. Dalam ruang terbatas dalam rumah, saya percaya ada yang lebih istimewa Allah SWT mahu beri kepada kita; di seluruh dunia!