Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Kira-kira 83 tahun lalu, Allahyarham Abdul Karim Amrullah atau Hamka meninggalkan fenomena novel cinta Islami yang kemudiannya diikuti sebahagian penulis Malaysia dan Indonesia sehingga kini. Bermula pada 1936 sehingga 1939, Hamka telah menulis tiga buah novel yang berfokuskan cinta dan Islam. Novelnya yang pertama, Di Bawah Lindungan Kaabah (Balai Pustaka, 1936) mengisahkan percintaan tragis yang diakhiri dengan kematian sepasang kekasih. Novel ini menjadikan agama Islam sebagai misi tanpa mengandungi persentuhan antara watak yang saling jatuh cinta. Tahun-tahun kelahiran novel Hamka adalah tahun kesukaran masyarakat Indonesia termasuk di Padang Panjang, sebuah pekan kecil di Sumatera Barat.
Sejak novel cinta diperkenalkan di Sumatera, ianya menjadi bacaan popular dan digemari ramai. Para penerbit di Indonesia ketika itu menggalakkan penulisan cerita bertemakan cinta dan krisis masyarakat. Justeru, Hamka sebagai pendakwah menggunakan strategi kisah cinta untuk menarik masyarakat kepada Islam dengan tidak menyinggung dasar penjajahan Belanda secara terangan termasuk dalam novel beliau berikutnya iaitu Tenggelamnya Kapal Van de Wijck(Balai Pustaka,1937) dan Merantau ke Deli(Cerdas Medan, 1941). Beliau melihat cinta adalah kekuatan dalam diri seseorang individu. Hamid dan Zainab, Zainudin dan Hayati, Leman dan Poniem adalah watak remaja Indonesia yang mempunyai komitmen dan tekad memerdekakan Indonesia tetapi akhirnya menjadi orang yang kalah dan terkorban akibat dikecewakan cinta. Hamka berpandangan keadaan ini sebagai merugikan muslim Indonesia dan satu-satunya cara mengubati kekecewaan cinta adalah kembali pada ajaran Islam.
Akhir 1990-an, novel bertemakan cinta Islam kembali menjadi fenomena di Indonesia ekoran kemunculan ‘sastra wangi’ selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1999. Kumpulan penulis sastra wangi yang membariskan nama seperti Ayu Utami, Djenar Maesa Ayu dan Dewi Sartika berjaya mengumpulkan jumlah pembaca yang ramai berdasarkan catatan jualan yang tinggi. Sebagai tindak-balasnya, para penulis daripada kumpulan Forum Lingkar Pena (FLP) mengenengahkan novel cinta Islam yang mencabar tema-tema cinta seksual ‘sastra wangi’ sehingga mencetuskan wacana baru iaitu Novel Remaja Islam atau NORI. Kemuncaknya, penerbitan novel Ayat-Ayat Cinta(2003) oleh Habiburrahman El-Shirazy mempengaruhi kemunculan novel-novel popular Islam di Malaysia dengan penjenamaan pada judul, ilustrasi, nama pengarang dan kulit novel. Persoalannya, apakah para penulis novel popular Islam ini meneruskan hasrat dakwah Hamka atau lebih kepada agenda keuntungan?
Para pengkaji budaya seperti Andrew Weintraub (2011) dan Dominik M. Muller (2013) mengatakan kebangkitan pasca Islam di Malaysia dan Indonesia termasuk dalam gelombang kedua Islamisasi (second wave Islamism) yang berbeza daripada pasca Islam pertama seperti di Iran, Mesir dan Turki yang berfokuskan gerakan politik Islam. Di dua negara ini, proses Islamisasi era moden dikaitkan dengan budaya kepenggunaan (consumption) dan nilai pasaran (marketisation). Islam sebagai cara hidup masyarakat majoriti di Malaysia dan Indonesia turut mengalami penjenamaan globalisasi dalam banyak aspek termasuk kesusasteraan. Suara Islam disederhanakan secara tidak langsung, malah isu tabu seperti aksi seksual turut digambarkan secara Islamik. Saya petik dari novel Ayat-Ayat Cinta 2 karya Habiburrahman El-Shirazy:
Fahri begitu sabar dan telaten mengiringinya memasuki mihrab-mihrab kenikmatan ibadah (seks) yang menggetarkan seluruh syaraf-syarafnya. Berulang-ulang kali ia memekikkan tasbih di telinga Fahri dengan kedua mata terpejam. Harum kesturi mengiringi merekahnya jutaan bunga mawar yang indah di dalam batinnya(Halaman, 610).
Dalam satu wawancara saya dengan Habiburrahman El-Shirazy pada Disember 2015, beliau mengatakan sengaja mewujudkan babak seksualiti Islam kerana ingin memberi pengajaran kepada pembaca Muslim. Buku-buku beliau terjual lebih 500,000 naskah dengan Novel Ayat-Ayat Cintamelebihi 800,000 naskah di Asia Tenggara. Jumlah jualan menunjukkan para pembaca nusantara ‘selesa’ dengan tema cinta romantisme dengan kehadiran tipa utama yang berpakej kacak, jelita serta soleh dan solehah. Pengarang novel ini turun menjenamakan dirinya melalui media sosial khususunya Twitter, Facebook dan Instagram. Bagi Habiburrahman El-Shirazy, cinta adalah tema paling ampuh menyampaikan dakwah Islamnya di nusantara, sama seperti yang telah dilakukan oleh Hamka.
Kita semua maklum bahawa Islam memasuki Alam Melayu seawal abad ke 8, secara halus, sistematik dan bijaksana. Tiada peperangan dilancar oleh para pendakwah Islam untuk memasuki bumi yang kini bernama Malaysia dan Indonesia. Hal ini menyuburkan suasana harmoni dan aman untuk mempraktiskan Islam, sehingga kini. Banyak karya sastera Islam memperjuangkan isu masyarakat dengan cinta romantik sebagai terasnya. Apabila globalisasi menjarah, para pengarang nusantara tidak mengabaikan unsur-unsur komersial dengan pengiklanan terus di media sosial. Walaupun kecenderungan menegakkan sepenuhnya syariat Islam di Malaysia dan Indonesia tetap subur, prosesnya bergandingan dengan budaya popular yang disuaikan dengan imej Islam. Mungkin mustahil kita menemukan novel versi ‘I am Malala’di negara ini. Tetapi sesuatu harus difikirkan agar bias popular tidak mengganggu pengkaryaan yang mampu meletakkan negara ini sebagai negara para pemikir dunia, bukan hanya cinta romantik semata-mata.