Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Untuk menulis tentang mak, saya tercari-cari perkataan yang sesuai. Sulit menemukan satu kata yang boleh menjelaskan kasih-sayang, pengorbanan, cinta dan anugerah seorang ibu. Satu-satunya manusia yang paling banyak dicintai manusia lain adalah seorang ibu. Dalam Islam, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya mendahulukan ibu daripada ayah melalui sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu. (HR. Al Bukhari).
Emakku seperti emak orang lain, wanita sederhana yang tidak menonjolkan diri. Kesederhanaan itulah yang paling kurasakan menjadi kelebihan emakku. Dia telah melahirkan 11 orang anak, justeru masa mudanya penuh dengan proses melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anak. Sewaktu kemelesetan ekonomi 1998, ayahku terpaksa menghantar emak dan kami pulang duduk di Kedah. Ayahku meneruskan perjuangan cari rezeki di Kuala Lumpur. PJJ ini berlangsung lebih 10 tahun dan masa aku adik-beradik lebih banyak dengan emak berbanding ayah.
Emakku telah menyaksikan pelbagai kenakalanku. Banyak air matanya tumpah kerana aku sering memberontak sepanjang aku mencari kematangan diri. Tetapi tidak pernah sekalipun dia memukulku atau menjerkahiku. Paling tidak, dia merajuk dan menangis dan aku akhirnya akan minta maaf pada emakku. Aku hanya rapat dengan emakku ketika masuk ke universiti. Waktu itu sudah banyak rahsia hatiku dapat kukongsikan dengan emakku.
Emakku adalah wanita yang cekal dan tenang. Dia tidak suka memikirkan perkara yang dianggapnya remeh-temeh. Dia tidak suka mengumpat orang lain. Apa yang dikatakan orang selalu dibiarkan berlalu begitu saja. Dia tidak suka melakukan sesuatu kerana orang. Dia berbuat sesuatu kerana prinsipnya walaupun bertentangan dengan orang lain.
Aku sangat terhutang budi dengan emak. Dalam banyak keputusan hidupku, emak akan membantunya dengan caranya tersendiri. Misalnya, ketika aku mahu mencari jodoh, emakku telah membacakan Yasin dan solat hajat sebanyak 40 hari berturut-turut khas untuk Allah memakbulkan hajatku. Ketika aku mahu bersalin anak pertama secara pembedahan, emakku memberikan kata semangat, “Bila masuk bilik pembedahan, Kak Ummu dapat pengalaman kena bedah nanti nak menulis (tentang pengalaman itu) mudah..” Ketika aku ternanti-nanti jawapan belajar di Korea, emakku memberikan doa-doa mustajab untuk aku amalkan dan menyuruhku yakin kepada Allah SWT. Waktu aku melakukan pembedahan buang Fibroid, emakku telah menunaikan solat hajat khusus kepadaku agar selamat dalam pembedahan.
Sebenarnya, bukanlah untuk aku seorang. Untuk semua anaknya, emakku akan membantu dengan doa dan solat hajat. Itulah caranya yang paling berkesan mendidik kami, bukan rotan, herdikan atau marah-marah. Susah sekali melihat emakku marah kecuali jika berkaitan larangan dan syariat Allah, emakku amat tegas,
Aku berdoa kepada Allah agar sifat-sifat baik dan amalan baik emakku dapat kepada kami anak-anaknya antaranya solat Tahajud dan membaca Al-Quran. Kedua amalan ini sangat dicintai emakku dan tidak pernah lekang dalam hidup hariannya. Dia juga sangat menjaga solat fardhu secara berjemaah, dengan anak-anak perempuan.
Di hari lahir ke 60 emakku, kudoakan Allah SWT memanjangkan usia emak, memberi emak kesihatan, keberkatan umur dan rezeki serta taqwa kepada Allah SWT. Kerana hanya orang bertaqwa sahaja mendapat kemenangan yang besar dunia akhirat.