Katil itu, tiada sesiapa menginginkannya. Hanya insan yang ditakdirkan untuk bermalam di atasnya, akan merelakan diri.
Di atas katil itulah, aku duduk, tenang. Di atas katil itu juga, aku berbaring damai. Di katil itu, pada jam 1 pagi 11 Jun 2020, aku mula merasa aneh, rasa tidak enak di perut dan pundi hingga aku berulang-kali masuk tandas. Di atas katil itu, aku sudah merasakan kesakitan untuk melahirkan.
Aku sudah tidak boleh melelapkan mata, apatah lagi tidur atas katil itu, katil di wad bersalin tingkat 2B, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Rasa sakit menyucuk-nyucuk perutku. Di situlah aku mundar-mandir mahu menghilangkan siksa sakit yang kurasakan paling sakit pernah dialami. Mulutku hanya boleh menyebut-nyebut Allah Allah, berselawat dan beristigfar. Di tepi katil itu, aku menunaikan solat terakhir sebelum aku bersalin. Solat dalam keadaan sakit contraction yang makin kerap.Hari ini, ketika aku membayangkan kembali katil itu, rasa sakit seperti satu helaian kenangan yang jauh, yang seperti aku tidak pernah mengalaminya.
Hari-hari seterusnya akan terus menggantikan jurus pandangku terhadap kehidupan. Pastinya, katil itu akan memperingatkan aku bahawa aku hanya seorang hamba yang tidak punya apa-apa, semua padaku akan diambil Tuhan pada bila-bila masa kehendakNya.