Damsyik

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Jalan di Medan Mahyudin setiap hari dipadati ragam makhluk yang hidup dalam dunia masing-masing. 

Seorang lelaki tua, keluar dari Jamik Hanabilah, di tangannya adalah tongkat dan tasbih. Dalam pakaian musim sejuk, terhinggut-hinggut membawa kakinya mendaki lereng Suq Jumaat. Rumahnya terletak di jadat yang agak tinggi. Tetapi dia percaya, setiap gerakan kaki, sepicing sedutan nafas, dan patah-patah zikir di bibirnya akan dikira ibadah. Ketuaan dan keuzuran akan memberi bonus kepadanya. Pandangan Pencipta kepadanya adalah rasa belas dan cinta. Dia tidak menghiraukan apapun di sekelilingnya melainkan dia mencintai Penciptanya dan PenciptaNya membalas cintanya.

Seorang lelaki, berusia 50 tahun, pagi-pagi sudah tercegat di hadapan kedai kasutnya. Sewaktu berjalan menuju ke kedainya yang berada di pusat Suq Jumaat, dia sempat menjeritkan, “Pergilah kau hutang!!” Masalah hutang telah membelengu dirinya selama dia berkahwin. Dia berkahwin pada umur 35 tahun, bermakna dia telah menanggung hutang selama 15 tahun. Dia berhutang kerana mahu berkahwin. Harga hantaran isterinya 80 ribu lirah, tidak termasuk rumah, perabot, kenderaan dan hadiah-hadiah sampingan lain yang ke semuanya berjumlah hampir 200 ribu lirah. Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menamatkan hutangnya itu; pagi hingga ke tengah hari mencuci kasut, petang hingga ke malam membawa teksi dan pada hari minggu menjadi pemandu pelancong. Rasanya, jika isterinya seorang yang rajin dan berilmu, tidaklah dia berkeluh-kesah dengan pekerjaan yang banyak tetapi masih tidak mengurangkan hutangnya. Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.

Seorang kanak-kanak berlari laju hampir-hampir melanggar si tua yang sedang berzikir, terkedek mendaki bukit. “Ya Allah..cintaku..cintaku..” kata si tua tergigil bila tongkatnya terlepas dari tangan. Kanak-kanak itu mengetap bibir. Apabila pandangannya bersatu dengan pandangan lelaki di depan kedai kasut, kanak-kanak itu segera menghampiri si tua. “Datuk, maafkan saya. Hari ini saya akan mendapat keputusan peperiksaan, hati saya telah sampai dulu di sekolah, saya mengejarnya,” kata kanak-kanak membetulkan tangan si tua agar menggenggam tongkat dengan betul. “Pasangkan mata di kakimu!” jerit lelaki si pencuci kasut kepada kanak-kanak tersebut.  Lelaki tua mengangkat tangan, menyabarkan. “Kanak-kanak begitulah. Allah…Allah..” Si tua kembali berjalan dan berzikir. Si lelaki pencuci kasut masuk semula ke dalam fikirannya; hutang dan isterinya yang malas di rumah. Dia sempat mengerling kanak-kanak yang kini berlari laju tanpa menghiraukan khoruf (kambing biri-biri) yang baru tiba dari ladang.

Mata seekor daripada 50 ekor khoruf kelihatan sayu. Ia berasa sedih kerana telah dipisahkan daripada kampung halamannya di Utara Syria. Rumput-rumput segar di sana tidak sepadan dengan udara kering Damsyik. Memanglah dirinya diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Rasanya, ia antara makhluk yang tidak dapat ditandingi manusia dari sudut berbuat baik kepada makhluk lain. Selama ini ia tidak pernah menggariskan apa khidmatnya yang telah diberikan kepada manusia. Hari ini, kalbu biri-birinya terdesak berfikir. Apabila ia disembelih sebentar nanti, pertama, manusia akan melapah kulit daripada isinya. Kulitnya akan dibuat pakaian atau tilam. Isinya akan dimakan dengan pelbagai menu; sup, kari, sate, dan kebab. Bahagian kaki dan tulangnya akan dipanggang. Tinggal apa lagi? Ada juga kepercayaan dari kalangan manusia lelaki bahawa ekornya boleh meningkatkan nafsu batin mereka, maka ekornya turut direbuti. Gigi dan matanya? Ia turut dimasukkan dalam kawah sup. Ia tidak mensia-siakan satu incipun daripada badannya untuk dikuburkan. Terbukti maruah dan nilai dirinya adalah tinggi untuk manusia. Tetapi berbaloikah jika ketika menyantapi tubuhnya nanti, manusia tidak bersyukur dengan membaca bismillah? Si khoruf berasa mahu menangis.    

“Ke tepilah..ini tempatku,” jerit seorang wanita Badwi (pedalaman) yang sarat menjinjit kubis di atas kepalanya. Kubis itu sendiri lebih besar daripada kepala wanita tersebut menyebabkan tengkuknya sekejap senget sekejap tegak. Lelaki si penjual khoruf menjengil. Memang wanita-wanita tua dari kampung suka bersikap biadap. Apa sahaja yang kali pertama ditemui dan disenanginya, maka itu dianggap kepunyaannya. “Makcik, kau tidak pernah membayar harga tempat inipun, bagaimanalah kau boleh mendakwa ia kepunyaanmu? Di sana tukan ada tempat kosong, berjualanlah di sana. “Tidak mahu, aku sudah menandakan kerusi yang kau duduk itu. Tengok, khoruf-khorufmu yang tidak pernah mandi itu, buat nafasku tersepit!” jerkah wanita Badwi memperlihatkan barisan giginya yang kuning. Lelaki penjual khoruf bangun, adalah pantang baginya ada sesiapa yang menghina khoruf-khorufnya. “Allah ya’khuz umrak![1]” doanya pada si wanita Badwi. Ketika dia menghalau khoruf-khorufnya ke tempat yang lebih selesa, wanita Badwi itu menjerit lagi kepadanya. “Biadap kau anak muda.”

“Siapa yang lebih biadap? Datang lambat kemudian halau orang,” lelaki penjual khoruf masih sempat membalas. “Kau tidak menghormati wanita yang sebaya ibumu.” “Kau tidak layak menjadi ibu. Tugas ibu sangat mulia untukmu..” “Kau berkawan dengan khoruf dan berperangai seperti mereka..” “Hei..khoruf-khorufku lebih sopan dari kau makcik!” “heei…”

Wanita Badwi itu tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila seorang wanita berfurdah hitam menggosok bahunya. Di tangan wanita berfurdah hitam itu adalah seorang anak kecil. Jika tidak kerana hingus yang mengalir dari lurah hidungnya, anak kecil lelaki itu boleh dikatakan ‘anak patung hidup’. Matanya bulat dengan bulu-bulu yang melentik. Keningnya lebat tercantum di atas hidung tirus yang mancung. “Ya ummi, mengapa marah pagi-pagi begini?” tegur wanita berfurdah. Hati wanita badwi berasa sejuk, baru sebentar tadi lelaki penjual khoruf menyatakan dia tidak layak dipanggil ‘ummi’. “Berselawatlah ke atas rasul, nescaya hatimu akan tenang dan perniagaanmu akan untung,” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi itu menganggukkan kepalanya. Hatinya terus membisikkan selawat. “Aku dan anakku beberapa hari tidak makan, bolehkah kau memberi sedikit simpatimu pada kami?” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi yang sudah faham sebaik melihat anak kecil berhingus itu, menyeluk sakunya. Disuakannya 10 lirah kepada wanita berfurdah. “Syukran, Allah tawal umrak[2]!” kata wanita berfurdah mengheret anaknya ke tempat peniaga lain pula. Wanita badwi melepas lelah di depan sawi-sawinya sambil terfikir, pagi ini sahaja dia sudah mendapat doa yang berlainan. Moga Tuhan memilih doa yang diucapkan si wanita berfurdah, katanya sempat mengerling seorang lelaki  muda yang runsing depan kedai mencuci rambut.

Anak muda bernama Nadir itu sejak jam 9 pagi sudah tercegat di depan Kedai Abu Dhiak. Hatinya mengeluh bimbang, mengapa Abu Dhiak, satu-satunya pencuci rambut lelaki di Pasar Jumaat ini tidak muncul-muncul lagi? Sebentar lagi dia mempunyai temuduga dengan pihak stesen televisyen untuk satu jawatan pegawai keselamatan di sana. Selepas temuduga tersebut, dia mempunyai temujanji pula dengan gadis tercintanya, Maryam. Kedua itu; temuduga dan temujanji amat penting baginya. Rambut adalah satu-satunya aset yang dapat meningkatkan keyakinan dirinya berhadapan dengan orang lain terutama Maryam. ‘Abu Dhiak ke mana kau? Apakah tidur lebih penting daripada mendapat duit?’ hatinya berdecit kecewa. Dia menekan telefon tangannya. Matanya merenung nombor Abu Dhiak yang tertulis di depan kedai. Beberapa kali mendail, baharulah terbit suara si penjawab. “Abu Dhiak, mengapa kedaimu masih berkunci?” “Maaf, Abu Dhiak tiada,” jawab seorang perempuan. “Ke mana perginya orang tua itu? Dia tidak tahukah yang pelanggan sedang menunggunya? Jika tak mahu duit lebih baik jangan buka kedai!” bentak Nadir bawah sedar. Perempuan di sebelah sana mendengus nafas kencang. “Apa? kau panggil bapaku orang tua? Celupar betul mulutmu marah-marahkan bapaku. Jika aku berada di depanmu sekarang sudah tentu kau sudah pengsan!” jerit si perempuan. Nadir tergamam. Dia seperti kenal suara itu. Suara yang selalu dijeritkan oleh teman wanitanya jika dia lambat dalam temujanji mereka. “Aku berjanji inilah kali terakhir aku datang ke kedai bapamu yang pemalas,” balas Nadir. “Kurang ajar kau lelaki, bapaku bukan pemalas tetapi dia telah dijangkiti penyakit gout, dia tak boleh berjalan. Aku mendoakan mulutmu akan ditumbuhi kudis kerana mengejek bapaku yang sakit!” kata si perempuan di sebalik telefon. “Maryam…siapa tu?” seseorang di sebalik telefon yang lain menambah. “Lelaki yang gila ayah!” Sejurus Nadir tidak mendengar apa-apa lagi di sebalik telefonnya. Hatinya gemuruh. Maryamkah tadi? Betullah, bukankah Maryam mempunyai abang bernama Dhiak? Justeru bapanya dipanggil Abu Dhiak. Nadir mengusap mulutnya, tidak lama lagi kudis akan tumbuh di situ.

Maryam tidak puas hati bapanya dihina orang lain. Dia mahu lelaki yang dihina itu pengsan di depannya. Maryam menjengukkan kepalanya ke jalanraya. Kedai mencuci rambut mereka terletak di bahagian bawah rumah sahaja. Dia mahu turun dan mengetuk lelaki yang mengejek bapanya tadi dengan batu pengiling rempah. Maryam memastikan bapanya memejamkan mata terlebih dahulu, jika bapanya tahu tujuannya membalas dendam, bapanya akan mengarahkan ibunya mengunci pintu rumah. Ibu bapanya telah mendapat kepercayaan bahawa gadis yang berusia lewat 20-an, jika didatangi sifat marah, amat membahayakan keadaan sekeliling. Barangkali faktor terlalu memikirkan soal jodoh menyebabkan emosi mereka seperti bom jangka. “Maryam, kau nak ke mana dengan batu pengiling itu?” tegur Ummu Dhiak. “Saya nak pinjamkannya pada Ummu Hakim di bawah sana,” bohong Maryam sebelum ibunya mengangguk. Mariam lekas berlari turun ke depan kedai.

 Wanita badwi melihat Nadir berjalan di depannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok sekitar mulutnya. Apabila mata mereka bertemu, Nadir mencebikkan bibirnya. Wanita badwi hanya tersenyum, “Kau pergi cuci rambutmu di bandarlah. Di pasar ini, habis mencuci rambut, bau-bau khoruf (bibir wanita badwi menjuih kepada khoruf-khoruf di depannya) meresap kembali ke rambutmu,” kata wanita badwi. Nadir mengangkat bahu dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Nah! Ini balasan untuk orang yang mengejek bapaku,” kata Maryam mengetuk belakang seorang lelaki kurus yang tinggi lampai. Lelaki itu, tanpa sempat berkata apa-apa jatuh tersepuk seperti kain buruk. Dia pengsan tetapi kelihatan seperti tidur. Orang ramai yang memadati pasar terkejut. Semua mata  beralih pada Maryam yang sedang terpaku melihat lelaki kurus terbaring atas kakinya. “Hei budak perempuan, berani kau pukul suamiku!? Kau mempunyai hubungan sulit dengannya ya?” Seorang wanita gemuk bertubuh pendek mendekati suaminya. Tubuh Maryam ditolak. Mata kecilnya dibesarkan. Dia mencapai batu pengiling di tangan Maryam dan tersengih. “Terima kasih, aku baharu saja berniat mengajar suamiku dan nampaknya kau telah mendahuluiku. Engkaukah isteri keduanya?” tanya wanita gemuk itu. Maryam menggeleng kepala. Wajahnya berona kegelian. “Suamimu telah mengejek bapaku. Dia mengatakan bapaku pemalas walhal bapaku sedang sakit,” jelas Maryam. Orang ramai mula mengerumuni mereka. “Gila! Bagaimana suamiku boleh mengejek bapamu sedangkan dia seorang yang bisu?” Wajah Maryam memerah. Dia hampir pengsan mendengar kata-kata si wanita gemuk. Dia telah memukul orang yang salah. Dalam fikiran Maryam ketika itu hanyalah Nadir. Bolehkah Nadir, bakal suaminya membantunya lari dari masalah ini?

“Bumi sudah tua, sudah nyanyuk seperti apa?” badannya ditolak ke kanan, hampir-hampir tertiarap atas bekas jeruk zaitun. Air jeruk memercik ke mukanya. Dia sempat menjilat beberapa titis yang berdekatan bibirnya. “Hush, pergilah. Jangan main di sini!” penjual jeruk zaitun menarik tangannya dan menolak tubuhnya ke kiri pula. “Seperti apa? Kau jawablah!” Dia ketawa. “Seperti kaulah! Pergi!” Penjual jeruk zaitun tidak memandang wajahnya lagi. Dia menggaru-garu kepalanya. Mengapa orang gemar bercakap sopan seperti penjual jeruk itu? Tidak bolehkah mereka bercakap kasar sedikit, “Hai ibu yang manis, rasailah jeruk itu, ia lazat tetapi beracun!” Dia ketawa lagi. Penjual jeruk itu bengang apabila seorang wanita tidak jadi membeli jeruknya sebaik mendengar kata-kata tadi. “Jangan ganggu aku lagi orang gila!” jerkah penjual jeruk.

Dia melompat-lompat di tengah orang ramai. Tiada sesiapa yang menghiraukannya kecuali beberapa orang kanak-kanak. Mereka telah menyorokkan wajah ke dalam jubah ibu masing-masing kerana takutkannya. “Ya hilwa[3], mari sini, kita lumba lari. Siapa menang, dia akan dapat dunia. Siapa kalah, jadi gila sepertiku,” katanya cuba mendekati seorang kanak-kanak perempuan. Belum sempat dia menyentuh, kanak-kanak itu meraung ketakutan. “Tolong..tolong..dia kacau anakku,” jerit si ibu. Dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di situ mencekak kolar bajunya. Dia di heret keluar dari kawasan Pasar Jumaat. “Jangan masuk ke kawasan ini lagi.” Pengawal itu menolaknya di depan pintu Jamik Hanabilah. Dia terduduk di situ.

Ketika dia bangun untuk meneruskan perjuangannya; menyedarkan orang-orang tentang usia dunia. Dia ternampak seorang pemuda, memakai kopiah dan berkaca mata sedang khusyuk mencatat sesuatu. Dia mendapat satu idea untuk berbuat sesuatu terhadap si pemuda. “Masya Allah!” kata si pemuda terkejut apabila lelaki yang kurang siuman itu tiba-tiba mengambil pennya. “Kaulah rupanya ya..” “Pulangkan pen saya wahai saudaraku,” kata pemuda itu. “Tidak, kau akan menulis tentangku nanti,” kata lelaki kurang siuman memusing-musingkan pen tersebut. Pemuda itu menarik nafas. “Baiklah, jika kau tidak mahu memulangkannya, tidak mengapa. Aku masih ada alat yang boleh membaca semua orang. Itu kau tidak boleh mencurinya,” kata si pemuda masuk ke dalam masjid.

“Terima kasih kerana mengambil pen itu. Aku sudah terlambat menunaikan solat fardhu. Fikiranku telah masuk ke dalam orang-orang di pasar itu,” sambung pemuda lagi. Namun, sebelum kakinya melangkah, lelaki kurang siuman itu menggamitnya.  “Apakah kau yakin ketika kau sembahyang nanti, akalmu tidak menerobos orang-orang yang kau lihat tadi?” Pemuda itu menggaru-garu kopiahnya. Ya, penulis sepertinya selalu mengalami masalah itu. 


[1]Maksudnya- Allah ambil umur kamu.

[2]Maksudnya, Allah panjangkan umurmu.

[3]manis

Loading

Putik Qunaitara

Oleh :Ummu Hani Abu Hassan

“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.

“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.” Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan  meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.

Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam servicesempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundiSyria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.

Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah  kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu  meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.

Banjaran Beludan ditutupi salji putih. Aku meletak telunjuk ke cermin service,tersengih mengerdip ibu. “Sudah empat kali demam masih tidak serik?” Ibu menggeleng kepala. “Budak-budak..” balas seorang nenek di belakang kami. Dia memerhati aku sahaja sejak naik kenderaan berdebu ini. Nenek itu senyum-senyum manja menggodaku. Gelember mukanya tambah menggelikan hati. Aku ketawa berdecit sambil menyorok lagi ke dada ibu bila tangan si nenek mula gatal mahu menyentuh. “ Ya hilwa..” katanya. Ibu mengerling perempuan tua itu. “Dia kanak-kanak pemalu puan,” kata ibu menerang dudukku. “Ana banat,” bisik nenek ke telinga ibu. Ibu ketawa spontan. “Kasihan, dia tidak pernah berkahwin pun. Mahukah kamu jadi cucunya?” ibu membisik pula ke telingaku. Tidak mahu!!! Aku menjerit di dalam hati.

Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali  ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.

Aku memijat tangga perlahan. Di tepi lubang bersegi empat yang mengadap Jabal Beludan, aku perhati ibu. Dia berjalan kemudian berhenti sekejap, menarik nafas kemudian berjalan semula. Lebih daripada enam kali ibu begitu. Runtun hati menyebabkan aku berlari semula mendapatkan ibu, menggenggam jemarinya. “Ah! Aku sewaktu kanak-kanak dahulu berlari lebih kuat daripada kamu,” kata ibu. Kami beriringan semula. Derap aku menderapi langkah ibu.

Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddatmelelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.

Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil. Aku menguis, memicit lengan berbulu itu. Sejurus mata itu terbuka, dia bingkas menarikku dan mencium berkali-kali sebelum mendekap aku ke dadanya. “Rindu..” kata bapa. Dia juga mengerling ibu yang baru masuk ke dalam kamar. “Rindu…” kata bapa lagi sambil memandang ibu. Senyuman ibu meleret dan manis daripada biasa. “Sebentar,” kata ibu. Dia keluar membawa mantonya kemudian tiba semula dengan skirt dan t-shirt sendat. Ibu menghampiri kami, duduk di sisi bapa. Pipi merah ibu semakin meranum diusap bibir bapa. Spontan dadaku berombak kemudian menyua pipi kepada bapa. “Dia cemburu,” kata bapa sebelum mengucup pipiku berkali-kali.

Malam itu, ibu menyediakan hidangan lebih daripada hari biasa. Ada khubuz, jubneh, kusa, nasi, ikan goreng, falafel dan halib jagung. Ibu tidak lupa menyapu khubuz dengan minyak zaitun dan lada putih. Jeruk zaitun semangkuk diletak depan bapa. Bersungguh kami makan hingga perutku terasa santak. Kambing masywi kegemaran bapa semangkuk licin. “Malam ni badan lebih panas dengan kambing ini,” kata bapa. “Kamu tidur dengan ibu dahulu,” kata ibu menarikku ke bilik. Tanganku keduanya sudah berlekap di mata. Entah pukul berapa, aku sudah terlelap bawah ketiak ibu.

“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.”“Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?”

Aku membuka mata. Suara ibu dan bapa mendesah di kuping. Aku mencari ibu. Mencari bapa. Oh! Rupanya aku tidur seorang atas tilam bulu kambing. Sampai hati ibu. Aku mulai menangis dan mendekat pada ibu. “Dia sudah jaga,” kata bapa. Dia beralih ke tepi, memberi ruang aku tidur di tengah, memeluk ibu. “Sudah kukatakan, kamu tidak cukup untuk sediakan tempat tinggal yang lebih besar. Selagi itu, Jabir tidak berteman,” balas ibu. Dia memeluk kepalaku yang tersorok di lehernya.

Pagi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku. 

Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya. Abangnya, Hammudeh mampir ke arah kami. “Lepaskan tangan adikku,” katanya. Sejurus, tangan Salmi terlepas dari pegangan. Mengapa Hammudeh perlu marah? “Kau mahu berkahwin dengan adikku?” Tanya Hammudeh memandangku tajam. Berkahwin? Apakah seperti bapa dan ibu? Selalu bila bapa pulang, ibu akan berpakaian cantik dan bapa selalu menyebut, ‘rindu..’.Apakah nanti jika berkahwin dengan Salmi, dia berpakaian secantik ibu dan aku mengucap pada Salmi, ‘rindu..’. Spontan aku mengangguk. “Begitu, kau boleh pegang tangan adikku,” balas Hammudeh yang baru masuk darjah satu di madrasah ibtida’ie. Belum sempat kucapai tangan kecil Salmi, dia lebih dahulu mengait jemariku. “Kita bermain anak patung di rumahku.” Aku mengerut dahi. Anak patung adalah permainan yang paling kubenci. Aku tegak membatu. “Kau mahu kahwin denganku bukan? Mari main anak patung.” Salmi menekan suaranya. Aku menggeleng kepala. Salmi garang, lebih baik aku tidak berkahwin dengannya. Pantas aku berlari naik ke rumah, meninggalkan Salmi yang mula menangis sambil dipujuk abangnya, Hammudeh.

“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir  mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat. Aku lari masuk ke dalam rumah. Bagaimana ibu? “Jabir, ke sini kamu..” panggil bapa. Aku tidak menghiraukannya. “Ibu, buka pintu…!” aku menjerit kuat di depan pintu bilik.

“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas  Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa.  Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?

Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.

“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.

“Kau tahu apa makna cinta terlarang? Menyentuh, mengusap dari jauh. Merindu hanya dalam hati, memiliki tidak sekali. Ah! aku tidak akan berputus asa walaupun aku sudah mati. Kau masih ada untuk menyambung doa-doaku semoga tanah Qunaitara kembali aman ke tangan penduduk Islam,” akhiri ibu. Dia memelukku erat. “Kita pulang, walaupun bapamu itu kedekut, dialah yang menyelamatkan aku,” kata ibu terus.

            Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!

Glosari

1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik 

2. Banat- kanak-kanak perempuan

3. Jaddat – Kawasan bukit

4. Jundi – tentera

5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah

6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria

7.Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.

8. Ya hilwa- Yang Manis

Loading