Kehidupan

Rumah Tingkat Lima

Dunianya adalah kota sibuk; bangunan pencakar langit, kenderaan kecil besar yang bertali arus, alunan Sungai Klang yang tidak bermaya, manusia dalam kelas sosial yang terlihat pada kulit dan pakaian mereka, juga evolusi kenderaan awam yang dinikmatinya dari tahun ke tahun. Dia sedar dia sudah tua untuk merasai kesegaran angin pagi seperti 30 tahun lalu, di saat dia membonceng motorsikal suaminya untuk ke tempat kerja. Kini, angin pagi yang menampar wajahnya adalah angin yang keras, berbisa dan hilang begitu sahaja.

Dia dilahirkan di kampung, jauh di utara Malaysia. Selepas Peperiksaan SPM Tahun 1990, dia mengikut kakaknya merantau ke Kuala Lumpur dan menjadi pembantu tadika. Keputusan SPMnya tidak begitu cemerlang, hanya melayakkan dia memohon kerja sebagai kerani. Itulah jawatan yang disandangnya selama 30 tahun dia bekerja di sebuah universiti di tengah ibu kota. Dia dan suaminya jatuh cinta pandang pertama ketika sama-sama singgah menunaikan solat di Masjid Negara. Suaminya pemuda kota, tidak sembunyi-sembunyi menyatakan rasa hatinya kepada seorang perempuan.

“Saya mencari wanita untuk saya menumpang teduh matanya, untuk saya meminjam jernih jiwanya dan membasuh segala lara. Saya mahu memperisterikan kamu yang bernama Rozita, sudikah? Faktanya, saya tidak kaya. Tetapi saya kuat bekerja, tengok itu motorsikal yang saya beli hasil titik peluh bekerja sebagai kerani pejabat pos.” Itulah kata-kata yang tidak dilupakannya saat suaminya melamarnya, selepas tiga kali pertemuan di tangga Masjid Negara. Perkahwinan mereka adalah penyatuan dua kerani yang berani-berani tinggal di ibu kota. Kerana rumah sewa mereka sangat sempit, hanya ada satu bilik dan sebuah dapur, bilik air pula berkongsi dengan jiran, dia dihantar suaminya pulang ke kampung untuk melahirkan anak pertama. Jadilah anaknya orang Sintok, Kedah walaupun hanya pada surat beranak.

Suaminya membuat pekerjaan tambahan dengan menggunakan bakat semulajadinya, menulis dan berniaga. Di hari minggu, suaminya rajin menghantar rencana dan kisah-kisah masyarakat ke surat khabar dan majalah. Di malam hari, suaminya keluar ke pelusuk kota menjual secara langsung kismis dan kerepek yang dibuat orang kampung. Suaminya tidak pernah menggunakan wang pendapatan kerja tambahannya. Genap tiga tahun, apabila dia mengandungkan anak kedua, suaminya membuat kejutan besar.

“Kita akan berpindah ke rumah kita sendiri di Sentul. Sayang tak perlu pulang ke Sintok untuk melahirkan anak kedua. Pinjaman perumahan abang dah lulus, cukup duit simpanan abang membayar deposit rumah. Cuma rumah kita tinggi, di tingkat lima,” kata suaminya. Di saat-saat dia ingin melahirkan anak keduanya, terasa bebannya untuk sampai ke tingkat lima.

“Abang akan buat lima kerja lagi untuk beli rumah lain yang bertanah,” kata suaminya melihatkan betapa siksa sang isteri memanjat tangga.

“Tak perlu abang, hikmah rumah kita di tingkat lima, nanti mudahlah saya melahirkan anak,” balasnya. Begitulah yang berlaku saat dia melahirkan anak kedua, ketiga dan keempat. Dia tidak perlu bersusah-payah ketika bersalin, ketiga-tiga anaknya keluar sebelum tiba di hospital.

Suaminya semakin sibuk di hujung minggu. Dia menggunakan sebaik-baiknya masa cuti memburu berita dan bahan menulis rencana. Dengan menggunakan nama pena Tongkat Rakyat, tulisan suaminya menghiasi beberapa ruangan tabloid dan surat khabar arus perdana. Pernah suatu ketika, suaminya tidak tidur malam menyelesaikan karangannya.

“Kalau abang tidak hantar kisah Adik Kalsum ini ke Majalah Masnira, abang rasa berdosa. Abang baru berjumpa dengan ayahnya di Pudu Rakyat. Ayahnya mahu mencari kerja di Kuala Lumpur untuk cari modal hantar Kalsum ke sekolah asrama. Di Pantai Timur, laut sedang bergelora dan ayahnya tidak dapat ke laut, sedangkan Kalsum perlukan duit untuk masuk asrama. Sejak tadika sehingga darjah enam, Kalsum tidak pernah dapat huruf selain A dalam ujiannya. Keputusan UPSRnya 4A tapi malangnya kerana miskin, dia terpaksa tolak tawaran ke asrama penuh. Abang mahu rakyat Malaysia hantar Kalsum ke sekolah terbaik supaya dia ubah nasib keluarganya,” kata suaminya. Selepas mendapat gambar Kalsum yang dikirim melalui pos, kisah Kalsum dimuatkan di Majalah Masnira sebanyak tiga muka surat. Berkah tulisan itu juga, Kalsum dapat memasuki asrama penuh. Cuma umur suaminya tidak panjang untuk melihat Kalsum dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM lima tahun selepas itu.

Suaminya banyak menulis kisah masyarakat, tetapi sangat perahsia mengenai dirinya sendiri. Selama berkahwin, tidak sampai sepuluh kali dia dibawa menziarahi keluarga angkat suaminya. Ibubapa mentuanya meninggal dunia ketika suaminya masih kecil. Suaminya membesar dengan keluarga angkat di Kampung Sungai Penchala. Asbab perselisihan faham mengenai harta pusaka setelah bapa angkatnya meninggal dunia, suaminya membawa diri.

“Abang anak angkat, cuma orang menumpang. Tapi arwah ayah pernah bagitau abang, tanah di Sungai Penchala mahu dihibahkan kepada abang dua ekar. Itulah, dia cuma bercakap tanpa sebarang surat wasiat. Lepas ayah meninggal dunia, arwah emak angkat bahagikan semua tanah itu untuk anak-anaknya. Dia ada surat peguam, jadi abang tak boleh buat apa-apa kecuali usaha sendiri untuk mahligai keluarga kita. Maaf Ita, rumah kita di tingkat lima, bukan di atas tanah,” kata suaminya beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

Hampir 12 tahun suaminya pergi, dia tidak pernah membawa anak-anaknya ke rumah keluarga angkat suaminya. Anak ketiga dan keduanya tidak pernah tahu yang mereka pernah ada kampung di kota besar. Saat melalui Lebuhraya Penchala Link beberapa kali dengan anak-anaknya, mulutnya berat bercerita kepada mereka bahawa kondominium baru di pinggir terowong Penchala Link adalah milik keluarga angkat arwah suaminya. Tanah pusaka itu dijual kepada pelabur bumiputera kerana tanah itu Tanah Rizab Melayu. Adik-beradik angkat suaminya menjadi jutawan asbab tanah yang berada di kawasan antara termahal di ibu kota. Pernah hatinya nakal berbisik, jika ayah angkat suaminya menulis surat wasiat apa yang dikatakannya, rumah mereka mungkin empat atau lima bilik tidur, bukan cuma dua. Segera dia beristigfar dalam hati, menghalau bisikan-bisikan noda yang selalu mengganggu perasaan orang miskin sepertinya. Bayangan menjadi kaya bagaikan irama yang mengasyikkan, setelah irama hilang, kehidupan sebenar kembali dengan desiran ganas dan menakutkan.

Suaminya meninggal dunia dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motorsikalnya dilanggar sebuah lori. Pagi itu, sepatutnya dia turut membonceng suaminya tetapi kerana bayi mereka yang berusia 6 bulan demam panas, dia mengambil cuti. Tuhan memanjangkan umurnya untuk anak-anaknya tidak menjadi yatim piatu serta-merta. Sejak itulah, nyawanya adalah rindu dan rindu adalah nyawanya. Tiada satu detik pun dia tidak merindui suaminya yang baik. Suaminya mungkin tidak berharta, jauh dari kaya. Namun suaminya kuat berusaha dan tidak sesekali putus asa dengan ketentuan Allah. Suaminya meninggalkan banyak buku melebihi pakaiannya, juga sebuah komputer meja. Demi menjarakkan sedikit rindu di hatinya, dia membaca semua buku-buku yang dibeli suaminya. Dalam kenderaan awam, ketika para buruh lain sibuk menatap skrin telefon bimbit, dia pula membaca buku. Tema-tema buku yang dibeli suaminya tidak dapat dijangka. Suaminya seorang peminat bidang linguistik dan sastera.Tidak kurang 20 buah buku teori sastera dimiliki suaminya. Saat semua novel dan buku-buku kehidupan ditelaahnya, dia pun memaksakan dirinya membaca tentang teori sastera klasik sehingga ke Teori Marxism, Psychoanalysis, New Criticsm, Structuralism dan Semiotics. Cuma dia belum berjumpa buku terkait Teori Feminist dalam koleksi suaminya.

Dia yang sememangnya seorang pendiam sejak remaja, menjadi semakin sepi dalam ruang hatinya, lebih-lebih lagi apabila tenggelam dalam buku yang dinikmatinya. Anak-anaknya juga tidak riuh, mengharungi ujian kehilangan tiang seri keluarga secara pasrah. Anak sulungnya adalah bayang-bayang suaminya pada fizikal dan semangatnya. Anak keduanya lebih menurut wajah ibu tapi degil dan sifat bertanggungjawabnya saling tidak tumpah ayahnya. Anak ketiga dan keempatnya bagai layang-layang yang talinya dipegang ramai pemicu. Dia mengakui kekalahan awalnya dalam mendidik anak ketiga dan keempatnya disebabkan rasa penat, sunyi, rindu dan tempang. Dia kurang bercakap dengan mereka, jauh sekali berterus-terang dengan kata-kata, “Ibu sangat sayang Bai dan Irfan.” Dia mahu mereka sendiri mengerti penatnya mengharungi kesesakan jalanraya saban hari, menghadap surat dan timbunan fail serta ego manusia berpangkat adalah kerana dia menyintai anak-anaknya. Gajinya yang kecil itu dipertahankan untuk anak-anaknya cukup makan dan pakai walaupun berhimpit dalam rumah dua bilik di tingkat lima. Dia sendiri berkongsi bilik dengan satu-satunya anak perempuan. Anak pertamanya sejak menjadi remaja, lebih selesa tidur di ruang tamu, memberikan kamar untuk dua adik lelakinya tidur selesa.

Anak pertamanya adalah anugerah tidak ternilai buatnya. Anak itu memberinya hadiah berupa sikap dan tindakan yang tidak pernah disangka akan dilakukan oleh seorang yang baru berumur 12 tahun, dan kini berusia 23 tahun.

“Ibu tak perlu belikan along yang baru. Semua pakaian dan alatan sekolah yang along boleh pakai, along guna lagi tahun ini,” itulah kata-kata wajib anak sulungnya selama berada di sekolah menengah.

“Along puasa hari ini, duit sekolah along ibu boleh guna belikan barang Bai dan Irfan,” kata anak sulungnya, setia dengan sifat mengalah.

“Along mungkin tak dapat berikan ibu duit, tapi ibu tak perlu risau tentang keperluan sekolah dan duit belanja along, ibu fikirkan untuk adik-adik saja. Along akan usaha sendiri,” kata anaknya itu yang mulai berniaga kecil-kecilan sejak berusia 13 tahun. Anaknya masih ingat bagaimana dia membantu ayahnya dulu membungkus kekacang dan kerepek untuk dijual secara langsung. Cara yang sama dilakukan anaknya, membungkus lebih kecil dan menghantar ke kantin sekolah dan penjual-penjual bermotosikal. Sekiranya pelajar lain menghulur tangan menerima wang saku dari ibubapa mereka, anaknya yang bernama Hadi sering memujuknya menerima wang untuk membayar tiket bas dan LRT.

“Hadi ada RM30, ibu ambillah RM15.”

“Tak mahulah ibu, itu duit Hadi jual makanan. Simpan duit itu,” katanya.

“Jika Hadi beri kepada ibu apa yang Hadi dapat, Allah akan lipat kali gandakan rezeki Hadi,” kata anaknya yang waktu itu berusia 14 tahun. Dia sungguh-sungguh membesar dengan akhlak tampang arwah suaminya. Selama empat tahun anaknya belajar di universiti, tidak pernah sekalipun dia meminta wang. Selepas bergraduasi dan bekerja di sebuah syarikat, anaknya tiba-tiba membuat kejutan.

“Ibu, along nak berhenti kerja. Along mahu merantau ke Korea selama tiga bulan, along nak kerja di ladang kubis,” kata anak sulung, intan payungnya.

“Tak sayangkah pekerjaan sekarang? Bukan senang nak kerja di syarikat,” dia membalas dengan rasa gawat, kerana dia tahu apa yang dikatakan anaknya, itulah yang akan dilakukan nanti.

“Along sudah berjanji dengan ibu, bila along habis belajar dan mula kerja, kita akan berpindah dari rumah tingkat lima ini. Along sedang berusaha kotakan janji itu, inilah caranya yang paling cepat. Along tak sanggup lagi lihat ibu tercungap-cungap di pintu rumah. Ibu doakan Along,” kata anaknya itu. Dia melepaskan anaknya dengan angin-angin doa yang menghembus. Dia teringat suaminya yang berusaha keras mendapatkan rumah di tingkat lima ini, dan kini anaknya bertukus-lumus mahu menyediakan rumah yang lebih selesa. Kedua-dua mereka  berjuang habis-habisan untuk dirinya.

Sewaktu kakinya berada di tangga tingkat dua, hatinya berdebar selepas menangkap suara-suara yang mahu dihindarinya. Mereka terlalu banyak masa berbicara tentang jiran-jiran sekeliling, hatta tapak kaki siapapun yang lalu di depan rumah, mereka akan kenal.

“Rozita, akak dengar anak kau berhenti kerja pergi jadi buruh haram, dia tak sayang masa depankah?” Kak Embun menyimbah pertanyaan.

“Walaupun gaji kat sana tinggi, itukan risiko. Macam mana jika kena tangkap imegresen?” tambah Kak Enah. Dia segera memberikan senyuman dan terus berjalan cepat, tanpa membalas pertanyaan dua wanita berusia lewat 70-an.

“Sejak bila tak boleh bercakap Rozita?” Jerit Kak Embun, tidak puas hati. Dia tidak menoleh lagi ke belakang. Nampaknya, berita anaknya bekerja di ladang kubis sudah merebak seluruh kawasan perumahan awam yang merangkumi 10 buah blok flat lima tingkat itu.

Perasaan meluatnya kepada dua wanita berbadan besar dan bermulut luas itu segera dilunakkan dengan ingatan masa lalu. Saat anak-anaknya bersekolah rendah, mereka bermain-main di depan rumah dua wanita itu sementara menunggunya tiba dari tempat kerja. Kak Embun selalu memberikan mereka makanan. Cucur badak, karipap, pengat pisang dan seri muka. Kuih-kuih yang dibuat Kak Embun untuk jualan pagi, bakinya akan disimpan untuk anak-anaknya. Kak Enah pula selalu membuka rumahnya pada bila-bila masa anak-anak lelakinya mahu membuang air kecil. Tidak dapat dibayangkan jika Kak Enah tidak membuka pintu, akan berceceranlah air kencing di tangga sebelum tiba di tingkat lima. Mengingatkan semua itu, dia tidak jadi membenci malah dibisikkan ke hatinya, jika dua wanita itu tidak menegurnya, siapa lagi yang sudi menjaga tepi kainnya. Sebahagian besar orang baru yang datang dan menyewa di situ tidak saling mengenal antara satu sama lain.

Kuala Lumpur sudah menukar balutan tubuhnya, dari selendang yang menyelimuti orang-orang perantau desa sepertinya kepada gebar yang lebih tebal dan besar sehingga mampu memanaskan para pendatang negara luar. Kuala Lumpur menjadi ladang rezeki orang-orang dari dunia ketiga dengan pekerjaan buruh bawahan, juga langit emas buat para pelabur dan konglomerat dari negara maju.

“Tak perlulah ke sana Hadi, bekerja di KL, duduk dengan mak tak payah bayar sewa rumah, itu dah jimat duit gaji Hadi,” katanya kepada si sulung. Dia tahu, dengan gaji pertama anaknya yang berjumlah RM1500, anaknya masih belum mampu mengotakan janji.

“Hadi cuma perlukan tiga bulan bekerja di sana untuk cukupkan wang deposit rumah. Lepas Hadi balik nanti, Hadi akan cari kerja lagi di KL, macam-macam jenis rezeki ada di sini untuk orang yang berusaha-keras, Hadi yakin ibu. Doakan Hadi ibu. Hadi tak sanggup lagi lihat ibu panjat rumah tingkat lima kita.” Terbanglah anaknya itu dengan kecekalan hati yang membalutnya dari kecil. Hati yang diwarisi dari gemulah bapanya. Dia hanya berdoa anaknya selamat di tempat orang.

“Jangan mengutuk kehidupan, miskin kaya seseorang itu tidak dipandang Tuhan melainkan taqwa. Mungkin kesusahan lebih cocok untuk kita mendapatkan taqwa berbanding menjadi kaya. Itulah penentu kita di sisiNya,” kata-kata arwah suaminya adalah pancuran air yang menghidupkan iman dan jiwanya. Kata-kata yang membuatkan dirinya tidak malu berjualan nasi lemak setiap hujung minggu, dan bertemu guru-guru sekolah anaknya untuk meminta tempoh membayar yuran. Malah, kata-kata itu juga menjadikan hatinya pasrah tidak berganti baju baru bertahun-tahun lamanya kecuali jika mendapat bonus tambahan. Dia berjuang habis-habisan menentang keinginan dirinya dengan sabar. Dan tidak dia sangka, kesabaran yang tebal dalam dirinya melantun kepada semua anaknya terutama si sulung.

Apabila dikenangkan kesusahannya membesarkan empat anak di tengah kota, dia memperdalamkan syukur. Rakan-rakannya dari bangsa lain memanggilnya ‘wanita besi.’ Devi yang memilih untuk bujang sehingga tua sering membebel kepadanya, “Saya tak boleh bayangkan hidup di tempat Rozi, anjing saya sakit pun saya rasa menyusahkan, bagaimanalah kamu menjaga empat anak seorang? Saya sanggup tidak kahwin daripada menyusahkan diri sendiri.” Dia senyum sendiri mengenangkan Devi. Bukanlah dirinya yang teguh seperti besi melainkan air matanya yang menghujani tikar sejadah. Saban malam, satu-satunya tempat dia melepaskan segala beban adalah Tuhan Yang Maha Besar. Allah tempat bersandarnya, tempat bersandar arwah suaminya dulu dan dia percaya, anak bangsanya masih ramai yang bertawakal kepada Allah.

Dia semakin takut tinggal di rumah tingkat lima itu sekarang berbanding ketika anak-anaknya masih kecil. Ketakutan itu bukan berpangkal dari kekuatan fizikalnya yang mula merudum, tetapi persekitaran yang tidak pernah difikirkan akan berlaku depan matanya. Suatu petang, saat dia pulang dari kerja, dia melihat sosok tubuh seperti anak ketigaya sedang menghisap vape di tangga. Mujurlah setelah remaja itu menolehnya, wajah itu bukan anaknya. Namun, kerana memikirkan tugasnya sebagai Melayu Muslim, dia terdorong menasihati perbuatan yang salah.

“Tak elok hisap vape begitu. Jika mak ayah kamu tahu, tentu sedih hati mereka. Cukuplah dik, tak baik rosakkan kesihatan dan masa depan kamu yang masih panjang,” tegurnya. Remaja di depannya tinggal beberapa blok dari rumah flatnya, dia sengaja mencari lokasi menghisap vape yang tersorok dari pandangan keluarganya. Remaja itu menjelingnya dan berlalu. Derapan kakinya menjelaskan sang remaja rimas ditegur. Dia pula mengurut dadanya. Berasa sedikit lega kerana bukan Irfan atau Baihaqi yang ditegurnya tadi. Namun begitu, dia masih sedih anak bangsanya mula dihinggapi penyakit sosial di usia awal belasan tahun. Keesokan harinya, ketika dia seperti burung yang keluar dari sarang, dia terpandangkan satu contengan di dinding rumahnya.

‘Tak perlu tegur akulah perempuan tua, kau cermin diri sendiri. Anak kau lagi jahat dari aku, dia ambil ganja!’

Dia bagaikan terkena renjatan elektrik saat membaca tulisan itu. Segera dia teringatkan tiga anak lelakinya; Hadi, Baihaqi dan Irfan. Benarkah anak-anaknya seperti yang ditulis? Dia langsung memutuskan selepas waktu pejabat, dia mahu menjenguk dua anaknya di asrama. Tulisan di dinding itu membuatkan mahu luruh jantungnya. Dan saat dia melangkah turun ke bawah, tanpa sedar dia tersilap langkah lalu melulu jatuh beberapa anak tangga sebelum terlentang dan pengsan. Peristiwa itulah yang membulatkan tekad Hadi mahu mendapatkan wang secepat mungkin. Hadi berasa rumah di tingkat lima itu tidak sesuai lagi untuk mereka sekeluarga.

“Itu tidak benar ibu. Budak itu hanya menggertak ibu. Hadi, Bai dan Irfan tak pernah sentuh benda yang haram. Kami tak merokok apatah lagi ambil ganja. Budak itu tak pernah kami jumpa lagi, hanya kawan bermain masa kanak-kanak.” Ketiga-tiga anak lelakinya menafikan. Dia lega namun tidak lama, kebimbangan masih menghantui hari-harinya. Dia teringat ketika anak-anaknya masih kecil, dia dapat memantau mereka bermain dari balkoni rumahnya di tingkat lima. Waktu itu, jika mendengar mereka menangis di tanah, dia masih mampu berlari dan menuruni tangga sepantas mungkin. Tetapi balkoninya kini hanya tempat pohon-pohon berteduh. Kadang berbulan dia tidak membuka pintu balkoni. Semua di dalam rumah sibuk dengan telefon bimbit, tidak ada masa lagi merenung orang yang lalu-lalang, atau mengerdip kepada bebintang di waktu malam. Dua anak lelakinya dihantar tinggal di asrama bawah jabatan zakat negeri, anak perempuannya pula belajar di universiti di Pantai Timur, si sulungnya Hadi menjadi perantau yang berani.

“Bagaimana keadaan Hadi di Korea? Apakah neon-neon di Seoul lebih indah dari kerlipan cahaya Kuala Lumpur?” tanyanya ketika anaknya menelefonnya selepas sebulan bekerja secara haram.

“Hadi belum melihat wajah Korea yang glamour dan bercahaya. Dunia Hadi sekarang hanyalah ratusan ekar ladang kubis di perbatasan Korea Selatan dengan Korea Utara. Kerja Hadi duduk mencangkung sembilan jam lamanya hanya berhenti untuk makan tengah hari di kantin. Ibu jangan risau, Hadi tidak sentuh makanan tak halal. Hadi tetap tunaikan solat walaupun di celahan pokok-pokok kubis. Hadi dah tak sabar habiskan dua bulan lagi nak balik duduk dengan ibu, “kata Hadi. Anaknya itu perlu menghabiskan sekurangnya tiga bulan bekerja di ladang kerana passportnya kini dipegang tuan ladang.

“Ibu, Hadi sekarang sudah mula menulis cerpen. Ibu tahu, malam-malam Hadi tak boleh tidur kerana kawan sebilik Hadi kuat berdengkur, jadi Hadi gunakan waktu malam menulis dan membaca. Hadi rasa bahagia ibu, Hadi dah mulakan sesuatu yang Hadi nak buat sejak kecil. Dulu Hadi takut nak cuba, tapi Hadi dah tulis 10 puisi dan tiga cerpen tentang para buruh miskin yang datang jauh-jauh ke Korea. Kawan-kawan Hadi dari Nepal, India, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia. Mereka banyak kongsi kesusahan hidup sehingga Hadi rasa Hadi bertuah walaupun rumah kita di tingkat lima, Hadi masih ada rumah sendiri untuk berteduh di tengah kota besar.“ Kata-kata anaknya menjadi embun paginya. Kini dia lebih mengerti kenapa anaknya itu mempunyai fikiran berbeza dari remaja lain. Jiwanya adalah jiwa sasterawan seperti arwah suaminya.

Pagi anaknya menelefonnya, dia tidak memberitahu dia sedang sakit. Badannya terasa lemah untuk melangkah turun dari tingkat lima dan berjalan 500 meter lagi untuk mendapatkan bas menuju ke Stesen MRT. Dia menelan dua biji Panadol tetapi sakit kepalanya tidak hilang. Kalau makin memburuk, dia bercadang memanggil kereta dari aplikasi Grab untuk membawanya ke klinik. Dia tidak kenal tiga jiran yang menyewa di depan dan di sebelah rumahnya di tingkat lima. Semua mereka adalah orang-orang baru yang mencari rezeki di tengah kota. Para  pemilik rumah di situ kebanyakkannya sudah berpindah ke tempat lebih selesa dan menyewakan rumah mereka kepada generasi muda. Flat lama yang tidak mempunyai lif sukar kepada orang tua sepertinya. Dia selalu berdoa, semoga Tuhan tidak mengambil nyawanya   ketika berada di rumah. Tidak dapat dia bayangkan, anak-anak dan jiran-jiran mengusung jenazahnya turun dari tingkat lima. Saat sakit begini, bayangan kematian dan wajah suaminya kerap menerpa ke benak.

Tiba-tiba dia terdengar ketukan di pintu. Hatinya berasa cemas. Siapa yang datang ke rumahnya tanpa memberi mesej atau menelefon dahulu? Kuala Lumpur bukan seperti 30 tahun yang lalu, dipenuhi orang-orang tulus. Kini, lebih ramai yang mahu mengambil kesempatan terutama kepada orang-orang yang lemah. Dia membiarkan ketukan itu berhenti sendiri. Namun selang beberapa minit, terdengar ketukan dan orang memberi salam dari luar. Dia gagahi berjalan ke pintu dan menjawab salam. “Siapa tu?” tanyanya tanpa mahu membuka pintu. Perasaan bimbang masih tebal dalam dirinya. Teringat pesanan anak-anaknya. “Ibu jangan sesekali buka pintu jika didatangi orang misteri. KL sekarang ni bahaya!”

“Ita, ini Kak Aminah, kakak Ramadan, arwah suami Ita,” kata suara di luar. Dia menghela nafas dan terus membuka beberapa kunci yang kukuh di pintunya. Matanya dan mata wanita di luar rumahnya bertembung sebelum dia menarik tangan wanita yang tua dua tahun daripadanya itu ke dalam. Mereka bersalaman. Dia kaget, mengapa buat pertama kalinya kakak angkat suaminya datang ke sini?

“Ita, akak ada hajat besar. Akak nak bawa Ita ke hospital, tengok mak. Dia sekarang tak sedar diri dah seminggu. Akak tahu dia nak sangat jumpa Ita dan tunaikan janjinya sebelum dia pergi. Dia rasa bersalah sangat dengan Arwah Ramadan dan Ita anak beranak. Dia bagitau akak sebelum dia koma, dia nak pulangkan dua ekar tanah yang sepatutnya dihibahkan kepada Arwah Ramadan dulu. Lepas dia langgar janji dengan arwah abah, hidup mak banyak betul masalah dan penyakit. Kondominium yang buat atas tanah tu tak terjual dan rugi. Pelabur tak bayar wang pampasan dan lari begitu saja. Mak macam nak gila. Ita, akak nak bawa Ita ziarah mak dan maafkan dia ya,” suara Kak Aminah kedengaran hiba. Tangannya masih dalam genggaman Kak Aminah.

“Mak dah siapkan surat peguam untuk pulangkan bahagian tanah Arwah Ramadan cuma dia tak sempat jumpa Ita dua minggu lepas, dia jatuh bilik air.” Kali ini Kak Aminah menangis. Dia terus mengusap belakang wanita itu. “Ita nak pergi jumpa mak. Kak Aminah tunggu sekejap ya,” katanya. Dia bangun ke bilik. Entah mengapa, sakit kepalanya mengendur dan dia tidak tahu perasaan sebenar yang muncul di hatinya sekarang.  Yang dia rasakan, dia hanya mahu memeluk anak-anaknya yang berada jauh di mata.

Loading

Merasa ‘Rumah’ di ‘Rumah’ Orang

Dekatnya kita dengan sesuatu disebabkan perasaan selamat dan yakin diri. Dua perasaan ini selalu muncul di rumah; tempat kita bangun tidur dan tidak terfikir untuk bersolek dan bercantik demi malu kepada orang lain, seperti kita di luar rumah. Rumah juga tempat kita meluahkan rasa dan fikiran tanpa perlu menapis atau menggunakan bahasa berlapik. Kita menyusun sendiri acara apa yang mahu kita buat di dalam rumah; bukan pihak lain. Rumah adalah ruang fizikal kita bergerak, juga sebuah kota bagi emosi yang hidup, segar dan malar. Tidak menunggu sebuah rumah yang mewah untuk benar-benar kita menikmati makna rumah, dengan rasa selamat dan yakin, rumah usang pun dapat dinikmati sebagai ‘rumah.’ Sebuah syair Arab menyebutkan, “Al-baitu baitu abihim wa in kana min tin.’ (Rumah itu tetap rumah mereka walaupun hanya diperbuat daripada tanah liat).

Di perantauan, aku melihat makna rumah sebagai perkembangan jiwaku terhadap negara yang kududuki. Semakin rasa ‘selamat’ dan ‘yakin diri’ bertapak dan mengukuh dalam diriku, menjadi alasan mengapa masih betah di sini. Aku bertemu beberapa rakan perantau yang lebih lama datang ke sini. Sepertiku, mereka juga mencari rezeki di ranah kimchi, menyekolahkan anak-anak di sini, berjuang masa dan rasa siang malam dan tinggal di rumah layaknya untuk para perantau seperti kami; dua atau tiga kamar sudah rasa mencukupi.

Rumah di era pasca moden tidak lagi bertapak pada kebangsaan dan negara. Soalan dari negara (rumah) mana kamu datang? kemudiannya akan disusuli dengan soalan, ke negara (rumah) mana kamu selepas ini? Demi mencari rasa selamat dan yakin, para perantau tidak mempunyai perbatasan tanah air tercinta. Negara kelahiran yang dulunya tempat berlari mencari cacing buat menggula-gulakan ikan di kali, yang dulunya tempat mencicipi buah-buah lokal di pohonan belakang rumah, yang menjadi permaidani lumpur atau padang permainan, bertukar menjadi ngeri dan bahaya. Itulah menjadi sebab para perantau mencari rumah di negara-negara luar.

Baru-baru ini, kami sekeluarga dijemput makan malam di rumah sahabat kami dari Sudan. Rumah mereka terletak di puncak bukit Dongdaemon yang indah. Sewaktu makan, mereka berkongsi sebab berhijrah ke Korea.

“Dari tahun ke tahun, rasa mahu kembali ke tanah air begitu kuat. Banyak perkara yang terbatas di Korea. Isteri saya seorang doktor perubatan tidak dapat menjadi doktor di hospital Korea akibat perbezaan bahasa dan sistem peperiksaan kedoktoran. Anak-anak juga tidak menerima sepenuhnya pendidikan Al-Quran, terpaksa ditambah dengan kelas atas talian. Kerja saya juga amat sibuk, sebagai pegawai maklumat di sebuah kedutaan, hingga lewat malam masih dihubungi pegawai atasan. Keadaan di sini belum selesa buat kami. Namun, bila difikirkan untuk pulang ke negara sendiri jauh lebih sulit. Sudan masih berkonflik dengan perang saudara, ramai teman dan keluarga kami tidak mempunyai pekerjaan, malah tidak ada rumah lagi jika diserang. Sistem sosial melumpuh gara-gara konflik yang tidak berkesudahan. Jadi, sulit kami di Korea, sulit lagi keluarga dan kawan-kawan kami di Sudah. Jadi kami pilih bertahan di sini, sambil terus berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT.”

Itulah kata-kata Mr Anwar, kawan Sudan kami yang melekat di fikiran aku sekarang. Aku juga begitu. Daerah perantauan yang sedikit demi sedikit menjadi ‘rumah’ dalam diriku adalah ruang aku bertenang dan bersyukur. Kita semua berada dalam satu rumah besar iaitu bumi ciptaan Allah SWT. Sebagai muslim, rasa selamat dan yakin berputik dari rasa syukur dan tawakal kepada Pencipta. Semakin kita melepaskan apa-apa kemahuan yang tidak dapat digenggam, kita menggantikan dengan rasa cukup. Para perantau punyai senjata diri apabila mereka mendapat ‘rasa cukup’. Sesuatu yang dinikmati sebagai harta berharga.

Berada di ‘rumah’ yang tidak diganggu, menjadi sebab kita aman, biarpun rumah itu adalah ‘rumah’ orang lain hakikatnya.

Loading

Mengenang Cara Anak..

Darda’ dalam bas ikut saya ke University Hankuk of Foreign Studies, Seoul, 2014.

Ada waktu-waktu, fikiran menjadi buntu. Sesekali diselimuti kenangan lama, yang membuatkan kembali segar semangat. Saya ingin mengenang cara anak pertama membesar, dengan fikiran-fikiran kecilnya yang hingga sekarang menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri.

Antara paling besar hikmah penghijrahan kami ke Seoul dahulu (2014-2018) adalah dapat bersama anak-anak setiap masa. Wajah mereka adalah wajah-wajah ahli syurga, tiada dosa. Wajah yang menghilangkan penat saya berjalan kaki, turun naik bas dan subway, memanjat bangunan kelas dan keadaan ekonomi yang terbatas. Namun, apabila saya pandang wajah Darda’ dan Dawud, saya bersyukur pada Allah SWT, merekalah harta yang tidak boleh dibandingkan dengan apapun di dunia. Saya rasa kaya dan lapang hanya melihat wajah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur ya Allah.

Pulang dari kuliah, Darda’ menyambut saya dengan senyum manjanya. Dia semakin petah. Bercerita tentang itu dan ini, tentang adiknya menangis, adiknya berak dan bangga memberitahu, dia kacau adik tanpa rasa bersalah.

Dalam ruang bilik kami yang seorang teman gelarkan ‘Bilik IKEA’ (dek kerana ruangnya seperti show room IKEA termasuklah perabot mesra ruang), di sinilah Darda’ belajar dan membesar. Gurunya adalah abi dan uminya. Gurunya adalah sikap dan akhlak kami sendiri. Jika saya ralit mengulit buku atau laptop, Darda’ pula akan ralit dengan gajetnya. Jika saya hari itu cepat naik angin, Darda’ ikut sama meragam. Seorang ibu sememangnya sekolah pertama anak-anak.

Sewaktu lampu dipadamkan, dan kami sekeluarga mahu tidur (hakikatnya saya belum mengantuk tetapi cara ini sahaja menidurkan Darda’ untuk Dawud tidur aman), suara nyaring Darda’ menyebut, “Hantu…hantu datang dah..” Saya atau suami kemudian membetulkan, “Bukan hantu, kita tak boleh takut hantu, kita mesti takut Allah, Allah Tuhan kita.” Lalu dia bertanya, “Allah mana umi?” saya jawab, “Kita tak nampak Allah tapi Allah nampak kita.” Darda’ diam cuba memahami.

Esoknya, ketika lampu dipadamkan, Darda’ menyebutkan, “Allah..Allah datang dah..” Masya Allah! Rupanya dia membayangkan Allah sebagaimana dia bayangkan hantu semalam. Saya dan suami geleng kepala, bagaimana harus diterangkan pada si kecil ini? Kenakalannya terutama dalam bab menarik perhatian kami makin kreatif. Misalnya, dia sengaja meludahkan biskut yang dimakannya ketika saya sibuk dengan Dawud. Atau menjatuhkan cawan yang diminumnya, atau menarik bantal ketika saya tidurkan adiknya. Tidak mahu marah-marah, saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambil tangan Darda’, nak tak tak ada tangan?” Dia menggeleng bimbang. Atau saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambik kaki tu..” dia takut sebentar . Esoknya, jika dia kembali ‘buat perangai’, dan belum sempat saya menegur, Darda’ sudah berkata, “Nanti Allah ambil gigi Darda’ nanti..eeeee’ “Nanti Allah ambil kaki Darda’ nanti eeee..” dan ayat-ayat tersebut menampak Tuhan dari sisi negatif.

Masya Allah, nampaknya saya tersilap strategi. Terpaksa saya betulkan, yang Allah boleh berinya macam-macam jika jadi orang baik dan ikut cakap umi termasuk kereta robot idamannya.Suatu ketika, saya bawanya ke taman permainan. Darda’ main seorang diri. Mulutnya riuh menyebut, ‘Nanti Sumayyah datang..nanti Sumayyah datang..lari..lari…’ Dia berlakon sendiri. Sumayyah adalah sepupu yang selalu dibulinya di Puteh Garden kerana mengacau permainannya. Sumayyah yang berumur setahun itu sering dianggap tidak layak berkawan dengannya. Kini Darda’ mula rindukan Sumayyah yang comel di kampung.Sekarang perkataan yang paling digemarinya adalah ‘besar’ dan perkataan paling tidak disukainya ‘kecil’. Dia nampak sangat terancam jika saya bergurau, “Adik Dawud besar, abang Darda’ kecil..” Dia bangun berdiri tegak dan menjerit kuat, “Abang Darda’ besar, adik Dawud kecil!” Semoga anak-anak kita semua dalam rahmat Tuhan Yang Maha Esa, di mana sahaja.

Saya mengucapkan syukur pada Allah SWT, mengurniakan kesihatan kepada anak-anak. Kini, sudah 9 tahun usia Darda’, menjadi abang kepada dua adiknya, mudahan dipilih menjadi pemimpin keluarga dan umat yang soleh. Umi sentidas rindukan Darda’, baik ketika bayi, kanak-kanak dan remaja nanti.

Loading

Dua Sisi Turki di Korea

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Makanan yang masuk ke perut kami pada hari pertama tiba di Seoul adalah kebab Turki. Profesor Dr Lim Kim Hui yang sudah empat tahun menjadi Profesor Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies muncul di rumah ‘bilik’ kami dengan senyum mesra. Dia menawarkan diri untuk mengajar kami cara menaiki subway. Tempat pertama yang ditunjukannya kepada kami adalah Itaewon dan masjid. Di situlah juga dia membelikan kami kebab Turki sebagai tanda ‘selamat menjadi penghuni Kota Seoul.’

Setelah itu, Turki antara kalimah popular yang selalu muncul di bibir saya dan suami, gara-gara ‘kebab dan rotinya.’

Sisi Mulia Turki

Membaca fakta perkembangan Islam di Korea abad ke 20, kita akan mengagumi usaha negara Turki. Ketika meletusnya Perang Korea pada 1950 yang menyebabkan negara itu terpecah dua, Turki adalah salah-satu negara yang ditugaskan United Nation (UN) untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Korea Selatan. Rupanya, kemasukan tentera Turki yang beragama Islam ke Korea adalah ‘pintu awal’ kepesatan agama Tauhid di negara soju dan kimci ini. Meneladani hijrah Rasulullah SAW, kerajaan Turki membiayai penubuhan masjid pertama di Korea iaitu Seoul Central Mosque tatkala tenteranya berjumlah lebih 4500 orang di Korea. Bukan itu sahaja, tamat Perang Korea, sebahagian tenteranya memilih tinggal di sini demi misi dakwah.

Allahuakbar! Saya berasa kagum dengan bangsa Turki daripada aspek ini. Mereka tidak putus asa dan berhenti sekerat jalan. Setelah masjid dibina, mereka mengenalkan Islam kepada penduduk tempatan termasuklah mewujudkan ekonomi Islam. Hampir 66 tahun usaha dakwah Turki di Korea, kita dapat melihat organisasi-organisasi sosial dan ekonomi Islam Korea banyak ditaja Kerajaan Turki. Bangsanya mengusahakan produk makanan halal di merata ceruk Korea. Orang-orang Korea juga mempelajari budaya dan Bahasa Turki terutama selepas penubuhan Jabatan Bahasa Turki di Hankuk University of Foreign Studies. Mempelajari tamadun Turki bermakna mempelajari juga tamadun Islam Bani Uthmaniyyah.

Sisi ‘Tidak Sihat’

“Cik, bolehkah kami menemubual anda berkaitan Islam di Korea?” tanya seorang lelaki Korea ketika saya selesai solat di bilik pelajar Antarabangsa. Saya mengangguk dan menyertai perbincangan si lelaki dan rakan-rakannya.

“Saya pensyarah di sini, bahagian politik Asia,” kata si lelaki memperkenalkan diri. Kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah saya menceritakan latar-belakang diri, mereka mula ‘menembak’ soalan ‘kencang’ kepada saya.

“Anda selalu menunaikan solat di Masjid Itaewon?” tanya mereka. Saya menjawab sekurangnya sekali atau dua kali sebulan, tetapi suami saya ke masjid setiap minggu. 

“Anda pernah menyertai aktiviti di masjid yang berunsurkan ‘ekstrim’?” tanya mereka. Saya mulai geram dan mengawal emosi. Saya terangkan bahawa apa sahaja aktiviti di masjid adalah bersifat kasih-sayang dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Menyuruh para penganut Islam menyebarkan cintaNya kepada seluruh manusia, bukan membunuh dan mencederakan orang lain hatta orang bukan Islam.

“Cik, pernahkah anda diganggu lelaki Muslim ketika anda ke masjid? Kami mendapat tahu ada wanita Muslim yang cuba disentuh dan diusik para pemuda Muslim di Itaewon,” kata si pensyarah ini. Saya menggeleng kepala. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami situasi itu.  Kemudian, saya ditanyakan soalan-soalan yang majoritinya mahu dikaitkan dengan keganasan IS. Perbincangan petang itu saya akhiri dengan persoalan lain buat kumpulan ‘prihatin’ ini.

“Jihad dalam Islam itu luas. Bukan seperti yang anda fahami sebaik membacanya dari sumber yang dikaitkan dengan IS. Jihad utama dalam Islam adalah melawan hawa nafsu sendiri untuk menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW. Menjadi orang yang terbaik dalam setiap lapangan terutama ilmu pengetahuan serta memberi manfaat pula kepada manusia lain. Manakala jihad perang itu dianjurkan setelah hak seorang Muslim itu dicabuli dan dirampas. Anda lihat bagaimana umat Islam dijajah dan dizalimi di seluruh dunia terutama di Palestin? Mereka perlu mempertahankan nyawa dan tanah air mereka. Mereka perlu mengangkat senjata!” Mereka mengangguk; entah setuju atau tidak.

Tiba-tiba, terbit di mata saya beberapa sosok lelaki Turki yang saya jumpa di Itaewon. Gaya mereka tidak mencerminkan akhlak Islam. Mereka berpacaran bebas dengan wanita Korea, meninggalkan solat Jemaah di masjid, mengganggu wanita-wanita yang lalu di depan kedai mereka dengan ‘senyum dan mata menggoda.’ Malah, saya pernah melihat modennya seorang gadis Turki; lebih moden dari wanita Ingeris. Benar, bukan bangsa Turki sahaja yang mempunyai dua sisi begini, kerana kelakuan dan perangai tidak boleh dirujukkan kepada bangsa dan negara.

Cuma, dalam kontek penyebaran Islam di Korea, bangsa Turki telah memulai dakwahnya, manakala dalam situasi terkini, segelintir warganya juga yang mencalarkan dakwah Islam. Kerana dua sisi inilah: baik dan buruk menyebabkan orang bukan Islam khususnya orang Korea, menjadi keliru tentang Islam yang sebenar.

Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Berilah kami kekuatan untuk menjadi duta agamaMu di manapun kami berada. 

Loading

Sang Pencatat Yang Tertinggal

Salam Ramadan kelima 1441 Hijrah, dari laman yang masih basah oleh rintik hujan. Sungguh banyak yang Tuhan mahu kita minta padaNya, selebat hujan yang turun. Beburung mula berkicau dini Subuh, mereka berzikir padaNya.

Kicauan jadi garang, ada yang mematuk di bumbung rumah kami sehingga Darda’ bertanya, itu bunyi musang atau burung?

Saya jawab, “Burung..”

Suami menjawab, “Mungkin musang..”

“Musang lebih kasar daripada itu,” balas saya. Baru-baru ini musang melompat-lompat juga atas bumbung kejiranan kami. Jiran kamilah yang memberitahu. Saya tidak tahu apa bentuk musang yang sesat jatuh ke sini.

Akhirnya, bunyi hujan yang jatuh menenggelamkan semua bunyi lain.

Pagi ini saya terjumpa laman-laman web yang pernah saya bina. Ada penyakit suka mencatat, berblog tetapi kemudiannya saya terlupa kata kunci untuk masuk semula rumah maya, terpaksa bina blog yang baharu. Saya berharap laman ini adalah yang paling akhir saya bina untuk keperluan tulis menulis kerana Allah SWT. Amin.

Ini antara blog awal saya, masih umur 20-an waktu ini. Tidak ada cerita suami dan anak tetapi banyak impian-impian si gadis yang bertatih meneroka hidup.

  1. http://hanihassan.blogspot.com

Kemudian, saya beralih ke ummuhani.com tetapi kerana terlepas membayar yuran tahunan, laman itu dibeli pihak lain. Ketika mahu membangunkan kembali, sudah tidak boleh guna domain yang lama. Sayang sungguh! Saya banyak menulis di FB selepas itu. Tetapi selepas berkahwin dan Darda’ lahir, banyak ransangan membuat blog. Muncullah blog ini:

2. http://ummudardak.blogspot.com

Usia blog ini sekitar 2 tahun sahaja. Berakhir ketika mula tiba di Korea. Saya merasakan perlu ada catatan tidak langsung khusus tentang kehidupan di Seoul, dalam selang menjelajah dunia ilmiah. Maka muncul pula blog ini:

3. https://ceritakoreakami.blogspot.com

Tahun pertama di Seoul adalah tahun ‘bermulanya enjin semangat’; semangat belajar, semangat perantau, semangat menjadi ibu dan isteri di rantauan dan semangat seorang penulis. Namun, masuk ke tahun 2015, saya mula sukakan bentuk baharu. Tidak mahu blogspot lagi. Saya tertarik dengan wixsite terutama desain blog yang lebih kontemporari. Saya cuba-cuba selongkar dan akhirnya terbinalah blog ini:

4. http://ummihaniabuhassan.wixsite.com/mysite/blog/date/2016-03

Ada kenangan dalam setiap catatan.

Walau bunyi burung dan musang masih berlegar di bumbung rumah, saya sudah dibawa kenangan lalu yang wujud di tulisan-tulisan maya, yang pernah saya lalui tahun-tahun yang sudah.

Moga sungai kebaikan mengalir di aluran hidup kita semua.

Loading

PKP: Masa Untuk Mendalami Diri

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung sehingga 28 April 2020. Sudah 25 hari saya menjadi seseorang yang ‘banyak berfikir’ tentang masa lalu; memori, cabaran, pengharapan, kesilapan, nikmat, ujian dan titik perubahan. Saya bagai dipertontonkan kisah-kisah yang belum sempurna untuk menjadi novel atau sebuah cerpen pun. Kisah dahulu dan bakal dilalui banyak tersasar dari plot dan pengakhiran yang diharapkan. Sesungguhnya, ada benang-benang kekurangan yang berpunca dari ego, jahil dan mazmumah insani, yang tidak lepas menghantui diri.

Waktu yang tidak ‘laju’ di musim PKP, pelbagai bacaan dapat ditekuni. Al-Quran menjadi penghulu segala sumber jiwa. Al-Quran mendorong kita untuk bermuhasabah. Setiap hari, apakah diri telah menjadi orang yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran? atau manusia yang rugi; tidak berbuat apapun untuk orang lain hatta diri larut dalam angan duniawi. Manusia yang kini berada di depan mata; suami dan anak-anak. Sudahkah saya memperingatkan mereka untuk menjadi hambaNya yang baik?

Musim-musim yang kelapangan waktu bersama suami dan anak-anak begitu ‘luar biasa’, rupanya menuntut muhasabah yang luar biasa juga. Ada hari dapat konsisten untuk menjadi pendengar setia suami dan melayani anak-anak (termasuk membacakan buku dan bercerita kisah teladan sebelum tidur), ada ketika menjadi bayang-bayang singa (walaupun hanya bayangnya tetap menakutkan). Ada hari rumah dirasakan padang kebahagiaan, ada kala seperti ranah kering yang perlukan baja.

Saya cuba kembali ke waktu semua yang ada sekarang hanya wujud dalam doa. Saya ingin mengingatkan diri bahawa saya pernah meminta untuk menjadi isteri dan ibu yang baik kepada suami dan anak-anak. Lalu, apabila Allah SWT telah memberikan jalan, saya perlu berjuang melaksanakan amanah sebaiknya, biar adakala jatuh, perlu cepat bangkit semula!

Wahai diri, ingatkan semula perjalanan awalmu menjadi seorang isteri dan ibu…

TUGAS ISTERI SOLEHAH

Sheikh Muhd Zainul Asri

“Ustaz, ana mohon nasihat ustaz sebagai bekal menjadi seorang isteri,” kata saya kepada al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri Hj Ramli beberapa hari sebelum majlis akad nikah saya pada 16 Disember 2009. Ustaz dalam ketenangannya menyatakan, saya perlu miliki 3 perkara ini untuk ‘hebat’ sebagai seorang isteri.
“Pertama, anti perlu menjadi ‘umman’ (ibu) kepada suami. Kedua, jadilah ‘ukhtan’ (saudara) kepada suami. Dan ketiga, jadilah ‘bintan’ (anak perempuan) kepada suami,” kata Ustaz Zainul (yang kini dikenali sebagai Sheikh Zainul Asri). Selepas itu, Ustaz Zainul menghuraikan tiga peranan tadi buat anak muridnya ini. 

UMMAN

Seorang ibu sarat dengan kasih-sayang kerana satu sifat Allah telah difitrahkan dalam diri mereka iaitu Ar-Rahim. Hanya wanita mempunyai anggota rahim yang tak dimiliki oleh kaum lelaki. Ibu akan melihat anak-anaknya dengan pandangan cinta sekalipun anak-anak tidak ‘membalas’ cinta ibu. Cinta ibu ibarat langit menaungi bumi dan bumi menemani langit, tidak terpisahkan. Ibu tidak sanggup mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak. Jika mereka mampu, seluruh kemahuan hidupnya adalah untuk anak-anaknya. Walaupun ada ibu berkata ‘tidak’ kepada anak-anak, kata itu bukanlah dari hatinya, sebaliknya dia berdoa di sisi yang lain, moga Tuhan memenuhi apa yang terbaik buat si anak.


Untuk anak-anak, ibu sanggup tidak mengeluh ‘penat’ dan ‘lapar’. Dalam kelaparan dan kepenatannya, ibu tetap akan memastikan anak-anak tidak lapar dan sihat. Hati ibu mahu anak-anak sentiasa gembira dan bahagia. Dia berasa menjadi wanita paling bertuah di dunia apabila anak-anak berjaya dalam hidup. Ibu berdoa kepada Tuhan agar dipanjangkan usia, bukanlah untuk dirinya tetapi untuk terus berbakti kepada anak-anaknya. Ibu bimbang sekali, jika dia tiada siapalah yang akan menguruskan keperluan anak-anak, memasak, menemani anak-anak belajar, memberi kata ransangan dan berdoa untuk mereka. Doa seorang ibu lebih laju daripada kilatan halintar. Mustajab dan mujarab. Ibu, sepanjang hidupnya adalah menjaga syurga di bawah tapak kakinya adalah untuk anak-anaknya di akhirat kelak.


Dan, sifat ibu ini perlu ada dalam jiwa seorang isteri kepada suaminya.

UKHTAN DAN BINTAN


Ustaz Zainul tidak menghuraikan sifat uktan dan bintan secara detil. Ukhtan kata ustaz, peranannya adalah menjadi saudara atau sahabat kepada suami dalam perjalanan dan pekerjaannya.

“Berbuallah dengan suami apa sahaja topik ilmu. Jadilah pendengar yang baik kepadanya, berkongsilah cita-cita dan matlamat kebaikan serta menjadi penasihat suami yang ulung. Jangan sesekali berasa ego dengan suami. Jika ada kesilapannya, maka tunggulah waktu yang sesuai (ketika nak tidur) untuk menegurnya. Dan ketika suami marah, jangan sesekali buka mulut. Diam dan dengar sahaja hingga marahnya surut. Jangan melawan atau meleteri suami ketika dia kepenatan,” kata Ustaz Zainul.


Bintan adalah sifat ‘anak perempuan’ yang manja, kaletah, comel dan menceriakan orang lain. Sifat ini perlu ada pada seorang isteri untuk menghiburkan suaminya. Apabila suami melihat isterinya, dia berasa tenang dan bahagia. Rasa terhibur atas keletah isteri yang tidak menjemukan. Dan jangan lupa, pandai ‘bergaya’ dan sentiasa comel keremajaan.

Menghuni Waktu

Begitulah pesanan yang mulia guru saya kira-kira 10 tahun lepas. Malunya saya saat kembali ke masa kini, terasa tiga peranan tadi belum sesungguhnya saya laksanakan. Memang pelbagai alasan boleh disenaraikan, asbab kepada mengapa sukarnya menuruti pesanan guru, tetapi persoalan yang lain, bersediakah saya kembali memulakan langkah baharu, di kala Allah SWT memberikan kelapangan waktu, kehidupan dan nafas serta peluang berada dekat dengan suami dan anak-anak sekarang?

Bantulah diri ini ya Allah.

Loading