Korea

Selepas ‘Kuasa Lembut’, Kuasa Apa?

Minggu lalu, seluruh Korea berperang kain rentang dan pembesar suara yang bertalu-talu di jalan utama terutama di simpang-siur lampu isyarat. Calon-calon pilihanraya tempatan cuba mendekati para pengundi dengan pelbagai cara. Lampu isyarat di depan pintu utama universiti menjadi medan paling strategik berkempen. Bayangkanlah, dalam kira-kira 5-8 minit menunggu lampu isyarat menjadi hijau (kerana begitu banyaknya simpang), semua pejalan kaki seolah ‘dipaksa’ untuk mendengar kempen para calon daerah masing-masing.

Saya tertarik dengan manifesto seorang calon yang dimuatkan dalam Akhbar Korean Herald. Katanya, “Jika saya menang, saya akan menuntut supaya Kerajaan Korea mengenakan cukai khusus kepada pelancong luar.” Kata-kata tersebut sangat ironi dengan apa yang telah dilakukan Korea sejak tahun 1990-an iaitu soft power atau kuasa lembut dengan dunia antarabangsa. Bermula dengan kebangkitan ekonomi selepas Krisis Ekonomi Dunia pada Tahun 1997, Korea tidak menunggu lama untuk bangkit semula sebagai harimau ekonomi Asia. Rentetan itu, mereka menjadi penasihat sekaligus ‘tukang tawar’ kepakaran dan teknologi kepada negara-negara dunia khususnya di Asia. Korea sebuah negara yang tidak mempunyai sumber alam yang besar untuk keperluan ekonomi jangka masa panjang. Justeru, ‘kuasa lembut’ mereka dipayungi oleh sumber yang berasaskan idealisme penjenamaan pangkal ‘K’ selepas gelombang hallayu. Produk mereka laris sehingga kini; k-pop, k-drama, k-kosmetik, k-food, k- health dan k-literature.

Perlu diingat, kuasa lembut yang diamalkan Korea sangat berbeza dengan kuasa lembut cara hegemoni Amerika. Hampir-hampir dunia lain tidak berasa ‘dipaksakan’ untuk meminati drama Korea, mengekori perkembangan artis-artis k-pop, makan kimchi atau melancong ke Seoul dan Jeju. Semua itu dilakukan oleh jutaan peminat Korea di seluruh dunia dengan rela hati dan cinta. Mereka menangis menonton k-drama bukan kerana akan dibayar, tetapi ada nilai kehidupan yang mengikat mereka menjadi pencandu pangkal K. Kuasa lembut Korea adalah strategi halus yang dirangka penuh sistematik melibatkan pelbagai pihak khususnya kerajaan, pemegang modal dalam kalangan konglomerat, para penyelidik dan pemain industri. Kerajaan dengan bantuan syarikat-syarikat utama Korea melabur jutaan dolar Amerika untuk menghasilkan produk budaya berpangkal K yang telah dikaji, dinilai dan disepakati boleh menggugah persepsi dunia terhadap Korea. Mereka bukan hanya mahu dunia berasa kagum dengan produk-produk Korea, tetapi menjadi pengguna dan pencandu apa sahaja yang dikeluarkan Korea dengan tentunya ‘perasaan tanpa sedar.’ Dan inilah yang terjadi sejak tahun 1990-an sehingga kini. Buktinya, pada Tahun 2025, Korea menerima jumlah pelancong antarabangsa paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 18.7 juta orang!

Jadi, saya berasa sangat pelik apabila calon pilihanraya tersebut mahu mengenakan cukai kepada pelancong luar. Apakah kuasa lembut akan bertukar menjadi pasca kuasa lembut dan Korea sudah berasa stabil jika ‘para pencandunya’ akan kembali tidak begitu ‘Korea’ lagi di tahun-tahun mendatang? Sudah bersediakah mereka mundur ke masa lalu ketika masyarakat tidak menikmati budaya K? Ataukah dalam kalangan masyarakat Korea sekarang melihat kedatangan pelancong sebagai ancaman, dan lebih selesa mengikut jejak ‘saudara musuh’ mereka (Korea Utara) yang tidak peduli pelancongan luar?

Lebih dahsyat lagi, cadangan tersebut muncul di kala peratusan kelahiran masyarakat lokal Korea hanya berjumla 0.80 bagi setiap keluarga Korea pada Tahun 2025 iaitu dalam satu keluarga tidak sampai seorang pun anak lahir, apatah lagi untuk kestabilan penduduk, mereka perlukan sekurangnya 2 anak dalam keluarga, namun masih jauh! Begitu, orang luar tak diperlukan dan orang dalam negara pun tak ingin dilahirkan.

Akhirnya, kuasa lembut bertukar menjadi kuasa serabut.

Loading

Tiada ‘Soft Power’

Dalam menjelaskan tentang Negara Malaysia dan Indonesia kepada para mahasiswa Korea, saya menekankan kepada dua kata kunci utama iaitu ‘kinship’ (persaudaraan) dan daulat. Kerana dua perkara ini , kedua-dua negara dilihat mempunyai hubungan yang istimewa di balik pelbagai isu yang rencam dan tidak menyeronokkan. Ada banyak negara yang mempunyai ‘hubungan istimewa’ lebih sekadar diplomatik antaranya US dan UK, US dan Canada, US dan Israhell (laknatullah), Perancis dan negara-negara Afrika, Sepanyol dan Amerika Latin. Hubungan istimewa bermaksud bukan sahaja diplomatik tetapi persahabatan yang erat antara dua negara.

Malaysia dan Indonesia memiliki sejarah perkembangan Islam, budaya nusantara dan Bahasa Melayu dalam jaluran yang sama sebelum penjajahan, namun setelah menjadi sebuah negara berdaulat dan punya undang-undang sendiri, wujudlah perbezaan dasar yang berpaksikan kebangsaan masing-masing. Kerana itu saya berkata kepada mahasiswa, “Apa khabar?” sama maksudnya dengan “Apa kabar?” “Selamat petang..” juga persis “Selamat sore..”

Di mata mahasiswa-mahasiswaku, bagaimana ‘berbeza’ atau ‘berbeda’ pun masyarakat Malaysia dan Indonesia, mereka adalah saudara besar Pulau Melayu. Dan apabila saya bertanya, “Apakah Korea Selatan dan Korea Utara mempunyai ‘hubungan istimewa’ kerana kinship dan daulat juga?”

Masing-masing menggeleng kepala dan saya dengar jawapan, “Mustahil!”

Loading

Berjalan dan Menoleh di Gunung Cheongjang

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Aku banyak berjalan sejak menghuni Dongdaemon Gu, salah satu kota besar di Seoul. Pernah suatu petang, aku tersesat jalan dan memakan hampir (atau lebih) 5 kilometer untuk sampai ke rumah. Perjalanan petang ini tidak dapat kulupakan dan paling bersejarah sejak aku menetap di Seoul. Aku rupanya dibawa arah ke Gunung Cheongjang dan mendaki gunung tersebut bagai mimpi, dibawah rintik hujan. Ketika berada di puncak gunung, aku menoleh jika kembali ke jalan asal (Hoegi-ro) aku perlu berjalan sejauh 500 meter kemudian mengambil teksi pulang ke rumah dalam 2 kilometer dan jika kuteruskan jalan ke depan, kakiku akan melangkah sejauh 1.7 kilometer untuk sampai di rumah. Akhirnya, kerana ketampawanan alam yang pertama kali kurenung dari puncak, maka kuteruskan perjalanan ke depan.

Gambar di atas adalah ‘penyihir’ yang membawaku pertama kali ‘sesat’ setinggi hari itu; 12 Jun 2023. Aku nampak hutan hijau damai, tidak menggerunkan. Aku kemudiannya nampak laluan kayu, cantik dan berbudaya tinggi serasa di atasnya. Itulah aku akhirnya menjadi penikmat kaki. Saat berjalan pulang, fikiran-fikiranku sempat serabut sebentar. Mengingat anak-anakku saat itu sudah berkumpul di rumah, dengan aku masih mendaki dan menuruni puncak. Aku terbayang juga suamiku yang kewalahan melayan mereka semua, dan aku belum memasak apa-apapun hari itu untuk mereka.

Aku sempat mengembara kembali apa yang telah aku lakukan selama 4 bulan hijrah kedua di Seoul, dan aku temukan diriku dengan banyak watak dan ‘pekerjaan’; bergelar pensyarah, bergelar penulis, bergelar usahawan dan chef. Satu kali seminggu sekurangnya aku mengunjungi Pasar Namdaemon, mendapatkan ‘barang Korea’ untuk dijual ke Malaysia. Pasar itu dengan manusia-manusia peniaganya semacam menjuih bibir padaku, untuk menjadi ‘seperti mereka’ yang begitu ‘penat’ di mataku. Tetapi begitulah cara Tuhan mengajar aku menjadi seorang wanita ibu, dan mungkin wanita yang menanggung banyak amanah ekonomi. Sehingga-hingga aku tidak peduli lagi ‘apa kata orang’ untuk menjadi seseorang yang bermanfaat. Aku mengetap bibir saat fikiranku kembali bersedih, tugas-tugas penulisan yang belum ‘husnul khotimah’. Terutama novelku, kajian akademik dan artikel yang perlu dibaiki.

Aku teringat yang memenangkan kita dengan waktu adalah fokus. Seperti hari ini, aku berlawan dengan kepenatan, ketinggian, hujan dan penyesalan adalah fokus untuk sampai ke rumah secepat mungkin. Jika tentangan fizikal ini kuhadapi cekal, gandaan cekal kuperlukan untuk menyelesaikan semua amanah penulisanku. Fokuslah senjata yang perlu kubeli dari diri sendiri. Sudah berapa lama gunung ini hanya berfokus menjaga dan melindungi manusia-manusia Dongdaemon? Dengan setiap zamannya mengalami perubahan yang memanfaatkan warga alam. Tiba-tiba aku tersedar, aku bakal menuruni cerun gunung dan manusia-manusia yang berselisih denganku mungkin sudah tiba di kaki gunung, sama ada di Hoegi Ro atau Cheongnyang ro. Aku teringin tahu apa wajah jalan yang menghubungkan gunung dengan rumahku; supaya nanti aku datang lagi dengan suami. Alasannya, aku boleh ada seseorang yang mendengar apa yang bertalu-talu di fikiranku, dan seseorang yang boleh mengambil fotoku untuk ruang media sosialku meriah dengan komen : Subhanallah..indahnya.

Oh rupanya di sinilah jalur-jalur lorong yang menjodohkan Universiti Kyung Hee dengan banyak gunung, air bukit, tasik dan bangunan agam sekitar. Bunga-bungaan menjalar dan tumbuh tanpa silu, hanya gangguan cuaca membunuhnya. Sewaktu aku tiba di tanah landai, berjalan menjauhi kaki gunung, aku tidak menoleh lagi dengan mataku ke arah tempat aku berjalan, mendaki dan menuruni tadi. Namun, dalam atmaku, aku nampak Gunung Cheongjang tersenyum dan menyuruh aku ‘tersesat’ lagi.

Loading

Ruang Ramadan di Seoul

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Sudah kami lalui dua tahap Ramadan menuju ke minggu terakhir, sungguh pantas dan mencemaskan. Kereta KIA Morning yang kami sewa sebulan ini benar-benar kami manfaatkan, sering membawa kami ke laman Masjid Itaewon, mengusir desir dingin yang belum menghilang.

Saya dan suami sebaik mungkin mencermati permintaan Darda’ terutamanya untuk makanan pilihan berbuka puasa. Alhamdulillah, dia kuat jiwa untuk berpuasa penuh walaupun terpaksa ‘ganjil’ di depan guru dan kawan-kawan. Saat semua rakan makan di kantin, dia hanya diam memerhati mereka makan. Waktu berpuasa yang panjang juga mengujikan tetapi syukur Darda’ bertahan. Hadiahnya, kami membawanya ke tempat menarik berbuka puasa antaranya Halal Yellow Chicken, Eid Restaurant , Ankara Kebab, Little India dan Pak India, selain berbuka di Masjid Itaewon dengan rakan Muslim pelbagai negara.

Saya mencermati dan membandingkan Korea yang kami hidupi sekarang dengan lima tahun yang lepas. Perbezaan utamanya adalah harga keperluan dan perkhidmatan naik dua kali ganda mahalnya. Jika dulu (antara tahun 2014-2018) makan di restoran ‘tepi jalan’ (bukan restoran mewah) untuk empat orang dalam 20,000 won ke 30,000 won (kira-kira RM100) kini normal empat orang makan harganya menjadi 50,000 won ke 60,000 won (RM168- 200). Inflasi yang memeluk dunia menyebabkan di Seoul, warganya semakin individualistik. Sifat ini tanpa sedar menghakis nilai-nilai lokal yang selama ini sangat mengambil berat orang lain.

Hidup menjadi ‘nafsi-nafsi’ atau istilah utaranya ‘hang-hang, aku-aku.’ Di kelas, anak-anak murid Korea lebih memilih untuk membuat tugasan secara individu berbanding kumpulan. Tiada masa bertemu, itulah alasannya. Apabila diselidik, baharulah saya tahu bahawa sebahagian besar mahasiswa Korea bekerja sambilan ketika belajar. Ada yang bekerja dari jam 5 petang sehingga 1 pagi, kemudian jam 8 pagi pergi ke universiti untuk kuliah. Dan rutinnya begitu selama 6 hari seminggu. Di peringkat umur 20-an, mereka sudah bergelumang angin keras akibat keadaan ekonomi yang zalim. Bayangkan, kos makanan asas yang mereka cicipi setiap hari antara 10,000-20,000 won (3 kali makan) atau dalam RM nya ialah RM70 sehari! Belum kos keperluan yang lain sehingga fikiran mereka dibelengu untuk bekerja dan hidup atau hidup dan bekerja. Di saat yang seharusnya, mereka hanya perlu fikirkan belajar dan berjaya. Tetapi bukan begitu sekarang di Korea.

Arus keras ini turut merenjat kami. Biaya taska yang tinggi untuk Ahda dan Aminah (800000 won sebulan atau RM2700) membuatkan saya dan suami membuat perniagaan kecil-kecilan (saya menjual brooch dan suami membuat travel guide/ airport tranfer). Pulang dari mengajar, dalam keadaan yang masih penat cepat-cepat pergi ke Pasar Namdaemon mengambil stok brooch yang telah dipesan, kemudian pulang dan menguruskan anak-anak berbuka puasa sehingga malam, mereka tidur. Berjagalah saya dan suami untuk urusan mengepos dan mengirim pesanan.

Suatu hari, suami membawa Dawud menemaninya hantar pelancong Malaysia yang memakai perkhidmatan airport tranfernya. Dalam perjalanan Seoul-Incheon, Incheon-Seoul, Dawud tidur di kereta, belum sempat makan banyak selepas berbuka puasa. Itulah saya berkata kepada suami, bagaimana dulu ibubapa kita berkorban membesarkan kita seluruh upaya mereka, dan kini giliran kita membuat apa sahaja yang halal untuk membesarkan anak-anak di manca negara antara termahal dunia. Semoga nanti, mereka juga akan membesarkan anak-anak dengan seluruh daya dan sepenuh tawakal pada Yang Maha Esa.

Akhir-akhir ini Ahda nampak dikuasai emosi gembira dan marah yang sukar dikawal. Jika gembira, amat gembira dan jika sedih atau marah akan menjerit nyaring. Saya fikir itu proses alami anak-anak perempuan dan tentunya ada yang dia ‘turun’ daripada ibunya (seorang yang emotif). Gara-gara kerap membuat nyaring suara (menjerit), kami disapa dengan satu notis amaran oleh pelajar yang tinggal di sebelah rumah kami. Kami dikatakan mengganggunya dengan suara alarm dan suara anak. Ini benar-benar membuktikan sifat individualistik sangat penuh pada diri orang di kejiranan kami.

Di ambang akhir Ramadan ini, saya membuka buku sejarah Muhammad, Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin. Di bahagian awalnya, beliau membuka tulisannya dengan susur galur Bani Quraisy yang bermula dengan Nabi Ibrahim AS. Pembinaan Kaabah telah menarik penduduk Tanah Arab melakukan ibadah haji dan umrah mengikut peraturan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Malah keturunan Nabi Ishak AS turut memuliakan Kaabah sebagai rumah suci yang dibina bapanya, Nabi Ibrahim AS. Bagi mereka semua itu adalah tempat menyembah Allah SWT. Namun setelah lama, kemurnian ibadah di sekitar Kaabah mulai tercemar apabila keturunan Nabi Ismail AS berkembang terlalu banyak sehingga ke luar Kota Mekah. Ketika mereka berpindah jauh dari bumi Mekah, mereka turut membawa batu-batu dari kawasan Kaabah dan mula melakukan acara tertentu bagi memuliakannya. Bahkan, mereka mulai dipengaruhi tradisi puak penyembah berhala di kawasan kejiranan mereka, sehingga tahap akhirnya, mereka membawa berhala ke Mekah dan diletakkan sekitar Kaabah. Fahaman bahawa berhala menjadi perantara antara manusia dengan Tuhan mula meresapi masyarakat Mekah. Cara ibadah yang terus kepada Allah SWT diganti dengan perantara berhala. Cara ini akhirnya menjadi sebati, dan totalnya mereka semakin menjauhi kebenaran, dan memakai kesesatan dan kebatilan syirik.

Begitulah saya merenung diri bahawa individualistik adalah berhala baharu dunia moden, yang kini amat dirasakan di Seoul. Semua orang hidup dalam dunianya tersendiri, menolak hidup orang lain yang dianggap sebagai gangguan jika menyentuh kehidupan mereka. Terngiang lagi kata-kata seorang pelajar saya bahawa dia sangat merindukan hidup seorang diri dalam kamar selama Covid 19 dan, rindu melihat jalanan Imun-Dong (di HUFS) ini sepi tiada orang. Kini apabila keadaan kembali asal, orang-orang seperti kelkatu di jalanan, dan suara manusia sudah bergema, dia seakan meluat semua itu kerana merampas waktu dirinya sendiri.

Dan doa yang paling kerap kini adalah Allah SWT memberikan kami peluang untuk membina hidup baharu dalam biah Solehah di akhir zaman, serta datangkanlah ‘penyelamat’ umat manusia sebagaimana Nabi Muhammad SAW telah datang mengubah Mekah menjadi tanah suci umat Islam kembali persis di zaman moyang baginda SAW iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS.

Ramadan 2023, antara yang paling ‘kental’ pernah kami jalani dalam hidup. Subhanallah, bunga-bunga menyerikan suram kami untuk terus melekat padaNya.

Loading

Hijrah Kedua

Kami mulai langkah baharu dengan Bismillah. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mengapa pergi?

Jawapannya adalah mencari Cinta di atas cinta. Merawat diri dan hati. Mengembara, berkelana dengan tawakal paling dalam.

Sebenarnya, ianya tidak semudah itu. Bilah-bilah hari berlalu antara tahun 2020 hingga akhir 2022 saya lalui dengan payah. Kekuatan pada masa itu adalah melihat orang lain terutama keluarga terdekat, sahabat-taulan dan rakan media sosial yang menerima ujian lebih dahsyat berbanding saya. Misalnya, seorang rakan baik sejak kecil, suaminya meninggal dunia mengejut, pergi selamanya dari sisi sang isteri dan tiga anak lelaki. Saya begitu terkesan dengan kehilangan suami adinda A apabila saya melihat situasi sendiri. Suami saya saat itu kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia kemudian berdikit-dikit berniaga. Justeru, sebahagian besar kewangan kami di ibu kota saya yang menanggung, kadangkala memunculkan rasa berat dan payah. Ujian hebat untuk suami di kala ekonomi negara saat Covid 19 dan pasca Covid 19 mencorot. Saya kuatkan jiwa dengan berkata kepada diri, “Adinda A kehilangan suaminya, tetapi saya masih mempunyai suami yang pekerjaan tetapnya hilang tetapi pasti Allah akan meluaskan rezekiNya dalam bentuk yang pelbagai..”

Jika kalian tinggal di tengah kota Kuala Lumpur, kalian akan faham mengapa begitu berat ujian kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

Dalam tahun-tahun mengujikan, kami dikurniakan dua anak perempuan, masya Allah; nikmat yang amat besar. Saya kemudiannya bertarung dengan peperangan ‘masa’ yang dahsyat. Antara tuntutan KPI pekerjaaan saya yang tinggi, anak-anak dan perjalanan ke tempat kerja yang mengujikan (kesesakan luar biasa). Saya menjadi bingung dan selalu lelah. Apa-apa yang ingin dilakukan (terutama menulis artikel dan menulis kreatif) padam apabila tiba di rumah. Anak-anak kecil tidak mahu melepaskan saya sehingga ruang (untuk diri sendiri) di rumah tinggal untuk tidur menghilangkan lelah.

KPI akademik menjunam dari 90++ ke 70++ dan kemudian 60++ gara-gara ‘lemah’ mengurus masa. Saya cintakan pekerjaan saya sebagai guru dan penyelidik namun keadaan menghambat saya untuk menyoal diri; wajarkah aku berhenti kerja untuk fokus kepada anak dan penulisan kreatif, di mana masaku sekarang amat terbatas?!

Ketika rencah-rencah hidup mulai berbeza rasa, penyedapnya adalah bermuhasabah, berdoa dan memasang impian. Kerap kali muncul di fikiran untuk berhijrah ke daerah yang memberi ruang lebih baik untuk saya menjadi isteri, ibu, guru dan penulis dengan keadaan yang tidak menekan dan menindas.

Ke Korea semula? Ah..angan-angan.

Impianmu, Doamu

Itulah suratannya. Saat diri hampir dirempuh kawanan resah, saya mendapat tawaran dari ayahanda guruku, Prof Dr Koh Young Hun, “Jika umi mau mengajar di Hufs, saya tidak akan menawarkan kepada orang lain,” katanya. Saya berbincang dengan suami. Serta-merta dia kembali mendapat nyawanya untuk bergerak lebih maju sebagai ketua keluarga. Dia mahu saya memberinya peluang di perantauan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik, untuk keluarga kami yang kini berjumlah 6 orang.

“Jika pilihan kita ke Korea itu baik, semoga Allah SWT permudahkan,” itulah iltizam kami selepas melakukan Istikharah.

Proses itu berlangsung baik, tepat pada waktunya. Saya meninggalkan pekerjaan, rakan-rakan dan pelajar-pelajar di saat semester selesai. SESUATU YANG KAMI ANGAN-ANGANKAN WAKTU GURUH DAN HALINTAR MUNCUL, KINI MENJADI DOA YANG MAKBUL.

PERJALANAN

27 Februari 2023. Jam 6 pagi kami tiba, lebih awal 30 minit. Saya dan suami sudah membuat keputusan, kami akan turun paling lewat (seperti sebelum-sebelum ini kami tiba di Seoul pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dan terakhir 2018). Kedua anak lelaki kami (Dardak dan Dawud) yang dulunya kami kendong dan kejar, kini bergandingan menjaga adik-adiknya Ahda dan Aminah. Beberapa kali suami bercakap kepada saya, “Kita seperti membawa Darda dan Dawud yang dulu” merujuk Ahda dan Aminah sekarang, memang persis, masya Allah!

Tempat pertama kami tuju adalah bilik air (hwajangsil). Suami dan anak-anak lelaki mengambil wudhuk dulu, langsung menunaikan solat Subuh, biarpun bukan kawasan surau. Saya menukar lampin pakai buang Ahda, sementara Aminah yang terkurung dalam baju tebal kelihatan masih mengantuk. Kami perlahan-lahan berjalan ke stesen tren yang akan membawa kami ke ruang imegresen dan ketibaan. Saya melihat lapangan terbang ini sedikit menyusut jumlah pelancongnya berbanding Oktober 2019, bulan terakhir saya mendarat di sini.

Bibir menguntum senyum saat menulis borang-borang wajib untuk masuk ke ruang ketibaan. Tarikh perlu bermula dengan tahun, bulan dan hari (di Malaysia kita bermula dengan hari, bulan dan tahun). Syukurlah urusan di kaunter imegresen mudah. Kali ini terlihat Darda’ lebih matang, membantu ayahnya mengumpulkan semula bagasi-bagasi kami yang berat keseluruhannya 80 kg. Sebelum sampai ke pintu keluar, satu beg kami ditahan dan perlu pemeriksaan teliti. Rupanya telur masin yang dikirim emak menerima lampu amaran. Allahuakbar, telur itu kemudiannya diizinkan masuk ke Korea (berkah ikhlas emak saya mahu kami makan di Seoul).

Desir 0 celcius mulai menyapa. Dawud dan Darda’ yang sudah biasa sebelum ini tersenyum ceria, menghembus-hembus nafas dan teruja melihat asap dari mulut masing-masing. Ahda dan Aminah diam dan pasif, terkejut cuaca. Sahabat kami Nasriah mengirimkan pekerjanya menyambut kami dengan van Starex (dari airport ke rumah dalam 100 ribu won). Sepanjang perjalanan saya merakam video. Saya tidak tahu untuk mengucapkan betapa saya tidak percaya sampai ke sini lagi, dengan suami dan 4 anak. hanya hati bertasbih dan bertahmid. Saat mentari meliuk di atas Sungai Han, saya ingin menangis. Sungai Han..kuatnya jodoh kita lagi.

“Darda’, kita sudah kembali ke Korea, Darda’ ingat tak lagi?” banyak kali saya ulang kepada Darda’. Saya maklum, perasaannya kala itu mungkin tidak terlalu teruja, seperti ibunya. Mungkin masih teringat-ingat keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya di tanah air. Masuk sahaja ke ruang HUFS, suami mula bersuara, mengingati jalan-jalan yang kami tinggal seakan tidak berubah. Saya sudah menerima kata kunci untuk masuk ke unit kediaman kami. Anak-anak murid Korea sudah menanti (Hyunso dan rakan-rakan) untuk membawa barang-barang kami ke rumah, kali ini di lantai 11 (2017-2018 kami dilantai 6).

rumah cinta

Setelah selesai meletakkan barang-barang, saya perlu ke pejabat pentadbiran HUFS untuk urusan sign kontrak dan membuat akaun bank. Kami bercadang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon; biarpun jauh dan perlu mengharungi banjiran manusia dalam subway, tetapi kami mesti pergi untuk menyatakan syukur kami kepada ALLAH SWT di rumahNya.

hari pertama itu, kami tidak sedar yang kami bergerak sehingga jam 11.30 malam, untuk bangun esok pagi dan berkata pada diri; kami sudah menjadi sebahagian yang kami doakan, tinggal menyempurnakan dengan baik segala amanah, segala ujian dan nikmah yang di depannya adalah redha ALLAH SWT dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Kami mahu hijrah kedua kami di sini, akan lebih baik dari sebelumnya dalam hubungan kami sesama manusia, dengan alamNya dan tentunya dengan Pencipta.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Loading

Korea, Negara Bebenang Ilham

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tidak ada satu cerpen pun saya tulis ketika merantau selama empat tahun enam bulan di Seoul, Korea. Setelah kembali ke tanah air, saya telah menulis enam buah cerpen dan sebuah novel berlatar-belakangkan negara yang digelarkan ‘sejuta payung’ di musim hujan. Tidak menulis bukan bermaksud saya melepaskan perca-perca idea, tetapi ianya adalah bebenang ilham yang disimpan untuk dituangkan. Ya, di saat rindu menjadi sungai.

Saya ingin berkongsikan tiga pengalaman kreatif saya, guna ‘melindungi’ makna kembara bagi seorang penulis. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam tempoh tidak lebih seminggu, setelah melalui proses ‘pengeraman’ bertahun-tahun.

K-isteri dan ‘Sihir’ Seoul

Cerpen K-Isteri telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, April 2019. Cerpen ini mengisahkan perngorbanan seorang isteri yang mengikut suaminya menyambung pengajian Ph.D di Seoul bersama dua anak kecil. Realitinya, cerita ini hasil renungan dalam saya terhadap kenangan tahun pertama tiba di Seoul. Korea adalah penjajah kita dari segi ekonomi dan budaya. Gara-gara gelombang hebatnya yang menjadikan huruf ‘K’ di depan banyak keinginan duniawi kita seperti K-pop, K-beauty, K-drama, K-food, tidak kurang juga ‘K-halal’, maka negara ini menjadi kegilaan muda-mudi di seluruh dunia. Saya diberitahu seorang Profesor dari Mesir, ramai gadis Arab ingin datang dan berkahwin dengan lelaki Korea akibat menonton drama Korea.

Sebagai perantau ilmu, tahun pertama di Korea bagi kami adalah tahun penuh pengajaran. Rumah yang mampu kami sewa adalah sebuah bilik di tingkat enam, terletak di kota kecil bernama Taereung. Daerah ini menjadi pintu keluar Seoul di bahagian timur, tidak sampai 100 KM menuju sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Bilik yang kami sewa cocok untuk individu bujang atau tinggal berdua, bukan yang membawa anak-anak kecil. Anak sulung yang berusia 3 tahun, turun dan naik katil kerana kecilnya ruang untuk bermain. Malam-malam kami ‘diserikan’ dengan teriakan-teriakan peminum soju kerana bangunan tersebut dibentengi restoran dan kedai 24 jam. Saya yang ‘buta’ bahasa Korea menjadikan ‘bahasa isyarat’ sebagai bahasa utama apabila ke pasar dan berselisih dengan golongan tua.

Orang Korea amat peramah dan pemarah. Pada hari pertama di Seoul, suami saya dimarahi pengawal bangunan kerana salah menggunakan plastik sampah. Setiap daerah di Korea mempunyai undang-undang sendiri dalam pengurusan sampah. Justeru plastik yang digunakan juga berbeza. Kami perlu membeli plastik sampah di kedai 24 jam berdekatan, mengasingkan jenis sampah dan meletakkan sampah di tempat yang khusus. Setiap pagi dan petang, akan ada golongan gelandangan (biasanya orang tua berumur 70-an ke atas) menguruskan pembersihan tempat sampah dan diberikan bayaran oleh pihak penguasa daerah. Walaupun Seoul mempunyai lebih 10 juta penduduk, sampah-sampah yang ada di jalanan tidak menunjukkan jumlah penduduk seramai itu. Boleh dikatakan tiada sampah-sarap di tempat awam. Bagi tuan-tuan anjing, mereka membawa plastik atau bekas najis binatang ketika bersiar-siar luar rumah.

Oleh kerana anak saya begitu memerlukan rakan sebaya, saya mencari tadika lokal yang sesuai dengannya. Baharulah saya tahu bahawa yuran taska amat mahal dan proses memasukinya sulit. Saya perlu mendaftar atas talian, menunggu kekosongan dan yuran tadika antara RM1200 sehingga RM1500 sebulan dalam nilai RM. “Kami hanya mampu memiliki anak paling ramai dua orang kerana kos membesarkan seorang anak lebih sejuta ringgit (dalam nilai Malaysia),” kata rakan Korea saya yang telah membuat pengiraan membesarkan anak. Saya terkejut kerana seumur hidup saya, tidak pernah ‘mengira’ begitu. Sebagai Muslim, saya diajar bahawa setiap anak adalah rezeki yang besar. Sisi kesukaran ini saya masukkan dalam cerpen K-Isteri. Saya menyimpulkan dalam cerpen ini:

‘Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya.’

Cerpen Rindu Seorang Seon Mi

Di tahun kedua saya di Korea, ibubapa datang berziarah. Sebelum pulang ke tanah air, ayah saya menyatakan hasratnya mahu melihat suasana ‘kampung’ Korea Selatan. Hasil risikan kami menemukan Daerah Pocheon yang berdekatan dengan Kota Paju, bahagian utara Korea Selatan. Kira-kira 50KM dari perumahan kami. Cuaca Oktober memperlihatkan Pocheon sebagai tubuh Korea yang paling awal menerima suhu sejuk. Kami menyewa sebuah chalet atas Gunung Myengseong milik keluarga angkat rakan. Malam itu, kami kesejukan dalam suhu 0 celcius, sedangkan di Seoul, waktu malamnya sekitar 6 celcius. Deruan helikopter menjadi ‘unggas’ percutian kami. Rupanya, Pocheon adalah salah satu pusat latihan tentera Korea Selatan yang bersedia jika berlakunya serangan musuh dari Korea Utara.

Pocheon terkenal dengan keindahan alami terutama Tasik Sanjeong. Dikunjungi pelawat seluruh Korea sepanjang tahun dek puputan angin segar gunung. Keindahan tasik saya gambarkan dalam cerpen Rindu Seorang Seon Mi yang tersiar di Majalah Tunas Cipta, 2019:

‘Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalang yang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.’

Saya tidak ingat, apakah saya pernah berdoa untuk kerap datang ke Pocheon sehingga saya dibawa ke sini enam atau tujuh kali selama tinggal di Seoul. Cerpen ini berlatar-belakangkan Pocheon kerana latarnya melekat di fikiran, seolah-olah itulah ‘kampung’ saya di Korea. Idea utama cerpen ini bukanlah semata-mata cantiknya Pocheon namun ada nilai kekeluargaan moden Korea. Suatu hari, saya pernah bertanyakan rakan Korea saya, Boh Yuen. Berapa kali dia menelefon ibubapanya yang tinggal luar Seoul. Jawab Boh Yuen yang cantik itu, “Saya jarang telefon ibubapa kerana tradisi keluarga kami, jika ada masalah sahaja kami saling menelefon. Kalau saya tidak menelefon ibu atau ibu menelefeon saya bermakna kami sihat dan baik-baik.” Jawapan itu saya cantumkan dengan cerita pemilik sebuah chalet di Pocheon, wanita berusia 60-an. Anak-anaknya sangat sibuk di Seoul, untuk ubat hatinya, dia membuat perniagaan chalet di gunung yang memberi udara terbaik kepadanya, menjadi terapi hari tuanya.

Cerpen ini mengangkat kasih sayang antara nenek dan cucu, yang tidak berubah seperti hutan dan sungai Korea walaupun diterjah pembangunan zaman:

Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.

Para Pencari Rumah

Cerpen ini disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, Mei 2019. Ianya bongkah-bongkah pengalaman saya berinteraksi dengan para pendatang luar ke Korea. Kisah begini jarang (atau tidak pernah) diangkat dalam drama dan filem Korea. Kisah-kisah terpinggir tentang hak asasi dan kemiskinan. Itaewon adalah pintu ‘belakang’ mengenali Korea Selatan. Bagi pelancong Muslim, Masjid Itaewon adalah pusat gerakan Islam utama di Seoul. Kawasan sekitar masjid adalah tempat makanan halal terbesar dan terpadat. Di sini jugalah, para pendatang Muslim baik pekerja profesional, diplomat, buruh dan pelajar akan bertemu khususnya ketika sesi Solat Jumaat. Seramai 40 ribu orang Indonesia bekerja di Korea dan merekalah kumpulan Muslim paling ramai membina masjid di seluruh Korea. Bagaimana pekerja buruh dari Malaysia?

Secara legalnya, Malaysia tidak pernah membekalkan tenaga buruh kepada Korea Selatan. Namun, terdapat 5000 pekerja tanpa permit dari Malaysia yang bekerja di kilang-kilang dan ladang-ladang seluruh Korea. Akibat melanggar undang-undang, kumpulan pekerja tanpa izin ini sering mengelakkan diri daripada rakan senegara. Situasi ini saya gambarkan dalam cerpen:

‘Kami ‘para pencari rumah’ selalu mengelak diri untuk menjawab soalan, “Dari mana kamu datang?” oleh orang-orang yang kami temui di Masjid Itaewon, Seoul. Kami adalah para pendatang dari negara yang memiliki peradaban agung sebelum dirakus ketamakan kuasa besar. Lutfi dari Yaman, Yousef dari Syria, Iman dari Bangladesh dan aku sendiri dari Malaysia. Pertemuan kami akan berlaku sekali seminggu di Masjid Itaewon. Walaupun cuba mengelak dari soalan di atas, tetapi persaudaraan kami berempat turut bermula dengannya: “Dari (negara) mana saudara datang?’

Seorang pekerja Malaysia tanpa izin berkongsikan dengan saya, sebab dia terjerumus bekerja di kilang kimci dan kilang besi di Korea. “Saya datang cari duit untuk bayar hutang PTPTN. Di Malaysia susah kerja walaupun saya ada diploma kejuruteraan. Keluarga saya pun susah sekarang,” kata F yang berusia awal 20-an. F bertuah kerana dilayan baik oleh tauke Korea dan dibayar gaji mengikut jam kerja. Sebahagian rakan-rakannya dimanipulasi pihak majikan Korea seperti mendapat bayaran rendah dan duduk berhimpit dengan pendatang asing negara lain.  Keadaan ini saya jelaskan dalam Cerpen Para Pencari Rumah:

“Bagaimanalah aku tidak kotor? Berkerja di kilang besi 15 jam sehari dengan peraturan tidak boleh menunaikan solat, bukan seluruh tubuh hitam dan berbau, hati juga kelam,” balas Lutfi, disokong aku kerana kami bekerja di tempat yang sama, secara haram. Biasanya, perkumpulan kami terjadi pada hari Ahad; satu hari kemanusiaan yang diberikan tauke-tauke kapitalis negara ini kepada para pekerja haram seperti kami. Satu-satunya tempat yang menjadi pilihan utama kami adalah Masjid Itaewon. Aku tidak tahu, nenek moyangku generasi ke berapakah yang mendoakan anak cucunya menjadi pencinta Tuhan. Sekurangnya, dalam hatiku ada rasa berdosa kerana sering terlewat solat. Di kilang yang dipenuhi bau mesin dan manusia marhaen, aku tetap mencuri solat hatta tempatnya adalah tandas. Pada hari Ahad dan cuti umum, aku mengambil subway jalur 1 dan 6 dari Incheon untuk sampai  ke Itaewon. Perjalanan kira-kira satu jam, tetapi kerana aku berasa nyawaku berada di masjid, wang upah dua jam berkerja sebagai buruh kilang besi kukorbankan.’

Kerlipan neon Seoul bukan sebarangan. Ianya kota sihir. Berada dalamnya membuatkan diri tidak mahu berganjak. Bahkan, kelip-kelip lampu menjadikan Seoul bak gadis jelita. Kota yang melimpahkan orang kaya di puncak dengan kaum pekerja menatang mereka. Sesungguhnya, kemewahan Seoul menyirnakan tapak-tapak kaki para gelandangan yang tidur berbumbungkan langit.

Bebenang Ilham

Begitulah tiga cerpen yang terikat dalam bebenang pengalaman saya yang panjang. Pastinya, selepas ini saya akan terus menulis karya kreatif yang berakarkan Korea. Sebagai pengakhiran, saya petik terjemahan puisi berjudul Ais, karya penyair Korea Chang Sung Hui.

Suatu hari ketika aku sakit dan sendiri
Aku melebur dalam dingin dan kehilangan bentuk

Aku bukan diriku

Aku benamkan kakiku setelah perjalanan panjang
Dalam sepatu berujung kotak
Dinginku tercinta pun memudar
Saat sepatuku berdetak dengan riuh

Nama yang panjang tidak kuasa kuucapkan
Tertahan kelu di lidahku

Loading

Air Terjun di Korea..

Hari ini bawa anak-anak mandi air terjun di Yangpyeong kira- kira 63km dari rumah. Berjanji dengan keluarga Kak Siti dan Kak Sal dari Daejon. Bertemu tiga keluarga di kaki gunung Chungwon dengan 8 kanak-kanak dan 1 bayi😂 Provinsi Gyeongggi yang menjadi tempat tadahan hujan di Korea sangat kaya dengan sumber alami.

Di daerah ini ada gunung, sungai, air terjun, tasik, pulau (termasuk Pulau Nami) dan perbatasan Korea Selatan- Utara. Kami bertuah kerana rumah berada di hujung urat Seoul, masuk ke daging Gyeonggi😊Jadi kami dekat kepada dunia moden dan tradisional hanya sahaja rajin berjalan.

Berbalik kepada cerita air terjun, oleh kerana ini pengalaman pertama maka saya catatkan beberapa perbezaan air terjun di Korea dan Malaysia.

1. Air terjun di Korea berpunca dari gunung-gunung tinggi maka airnya lebih sejuk dan segar.

2. Walaupun Korea punyai banyak air terjun tetapi kebanyakannya tidak boleh mandi bagi menjaga air terus jernih dan bersih. Air terjun menjadi sumber ekonomi Korea dalam bidang pelancongan dan industri filem.

3. Orang Korea mandi air terjun hanya pada musim panas, mustahil pada musim sejuk.

4. Orang Korea bukan sekadar mandi, tetapi ada juga yang pasang khemah besar dalam air, duduk ramai- ramai sambil mengopi dan minum soju!

5. Anjing turut dimandikan dalam air terjun😞

6. Ada orang dewasa datang ke air terjun sekadar rendam kaki dan baca novel.

7. Boleh dikatakan semua kanak- kanak dan lelaki dewasa memakai baju mandi seperti satu peraturan. Namun itu bukan peraturan melainkan fesyen dan pengaruh pasaran termasuk iklan baju mandi di televisyen😂

8. Nenek-nenek dan datuk- datuk berusia 60 an, 70 an bahkan mungkin 80 an antara pengunjung paling ramai ke air terjun!

Di Atas Langit Incheon

Di Atas Langit Incheon

Salah-satu nikmat yang besar tinggal di perantauan adalah menerima kunjungan ibubapa dan sanak saudara. Bermula dengan kedatangan abah dan emak pada Oktober 2015, kami menyambut ramai tetamu di Seoul. Perkara yang membahagiakan adalah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, berdiri di ruang ketibaan dan menunggu keluarga dari tanah air muncul. Saat itu, hati tersenyum dan rindu berbalas.

Perjalanan dari rumah kami di Hwrangdae ke Incheon mengambil masa 40 minit jika jalanraya tidak sesak. Selalunya, beberapa hari sebelum tetamu jauh tiba, saya sudah mempersiapkan bahan masakan, kelengkapan bilik tidur dan mengemas rumah. Suami membeli ayam untuk stok seminggu. Anak-anak juga sudah dimaklumkan siapa yang akan bertamu menyebabkan mereka sangat teruja.

Incheon, Pintu Masuk ke Korea Selatan

Sebaik kita keluar dari Incheon dan masuk ke perut Seoul, sudah berbeza pamandangannya. Saat pertama kali tiba di Korea, awal Mac 2014, Incheon adalah gambaran pertama kami tentang Korea. Di kiri kanan jalan waktu itu adalah pohon-pohon rontok yang daunnya kering, tinggal beberapa helai. Kami melihat tambakan laut yang muram. Rumput kecil melata di atasnya. Di tengah lautan, ada kapal dan bot nelayan. Lebuhraya Incheon begitu besar dihubungi banyak jambatan berlapis dan salah satu jambatannya mirip Jambatan Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan, jarang sekali ternampak rumah-rumah tinggi dan bangunan. Ianya sebuah pelabuhan yang jauh dari kepadatan kota.

Jambatan yang menghubungkan Incheon dan Seoul antara terindah di dunia, dengan kapal besar boleh berlayar di bawahnya

Berulang-alik beberapa kali ke Incheon, saya didekatkan dengan sejarahnya. Orang Amerika yang memulakan pendaratan kapal terbang di kawasan Incheon sewaktu Perang Korea meletus pada 1950 hingga 1953. Pilihan lokasi pendaratan ini dikatakan amat berisiko namun berjaya menggugat talian bekalan Korea Utara yang mahu menawan Seoul. Sebelumnya, Kota Incheon popular dengan masyarakat Cina dari Tanah Besar. Mereka membuka toko-toko perniagaan sehingga dikenali sebagai Chinatown di Korea. Di zaman pendudukan Jepun di Korea, Incheon disuburkan dengan aktiviti perdagangan. Kedudukannya yang berada di persisiran laut amat strategik untuk aktiviti eksport dan import. Kerja-kerja tambakan laut dimulakan oleh pihak penjajah Jepun. Kini, di atas lapangan tambahan, kilang-kilang berdiri megah.  

Jika kita mengitari seluruh Korea, kawasan paling ramai menghunikan masyarakat Cina adalah Incheon. Kira-kira 3000 orang Cina menetap di Incheon dengan 600 orang tertumpu di Chinatown. Jumlah penduduk Incheon diperkirakan 1 juta orang pada 1979, meningkat 2 juta orang pada 1992 dan data 2014 menyebutkan penduduknya bertambah menjadi 3 juta orang. Fakta ini menggambarkan Incheon sebagai kota yang berkembang dan mesra ‘pendatang’.

Rindu

Seperti kami yang selalu rindu pada tetamu, begitu anak-anak tempatan Incheon yang rindukan kedamaian asli kota mereka. Incheon sebagai bumi di sebelah laut dengan kekayaan sumber lautan yang luar biasa menjadi tumpuan sang kapitalis seluruh dunia. Kang Je Yoon, sasterawan Korea kelahiran Incheon menulis puisi tentang rindunya itu:

Pada pesisir Geomeunnang DI Pulau Daecheong

Jalan setapak menyusuri tebing yang mengarah ke syurga

Dan seorang tua yang akan kembali sendirian ke syurga

Telah tiba saatnya mencicipi  makanan terakhirnya  di bumi

Orang tua itu mengumpulkan tiram yang banyak melekat di bebatuan

Tiram-tiram itu mengembang dan menipis seiring dengan kemilau dan redupnya bulan

Orang-orang pulau juga berkembang dan menjadi layu seperti tiram-tiram itu

Orang-orang pulau ini ialah anak-anak rembulan

Incheon..Tunggu kami

Saat pesawat terbang tinggi, saya mengerdip ke bawah: ke lampu-lampu yang menerangi seluruh Incheon. Saya katakan: Insha Allah kami akan pulang semula ke Korea. Incheon, sabar tunggu kami!

Teringat sebuah pertanyaan kepada saya: “Apa yang paling membahagiakan sejak tinggal di Korea?” Jawab saya, “Yang paling membahagiakan adalah dapat balik ke tanah air!” Dan hakikat ini disaksikan oleh bumi Incheon!

Kebiasaan Tauge..

Tauge antara sayur yang saya kurang gemar. Saya makan tauge ketika tiada pilihan sayur lain. Selama tinggal di Korea lebih 4 tahun, saya menyedari tauge mempunyai kedudukan ‘khusus’ dalam masyarakat Korea terutama di rumah-rumah makannya. Tauge mungkin ‘nampak’ selekeh kerana menjadi hidangan ‘percuma’ atau ‘banchan’; hidangan sampingan yang berulang-kali boleh ditambah, tanpa bayaran.

Tauge diibaratkan sebagai kesatuan masyarakat. Seorang kritikus sosial Korea, Kim Hwa Young mengatakan gelaran ‘kelas tauge’ merujuk kepada kelas-kelas yang padat di sekolah harian Korea, puluhan tahun lalu (Kini, sekolah harian Korea mempunyai 15-20 orang pelajar satu kelas). Lihatlah resam tauge, tidak tumbuh sendiri. Paling tidak jika ditanam dalam pasu kecil, mungkin kita mendapat segenggam tauge, bukan sebatang.

Kerana mudahnya menanam tauge dan mencicip hasilnya; kacang terlebih dahulu direndam dalam air dan kemudian dimasukkan ke dalam balang besar dengan lubang di bahagian bawah. Balang disimpan di tempat teduh dan disiram beberapa kali sehari. Dalam seminggu, tauge dengan kepala kuning dan batang putih memenuhi balang, maka ianya menjadi sayur popular di Asia. Dalam tradisi Korea, tauge dibuat sup untuk melegakan orang-orang mabuk kerana arak, atau menghilangkan lapar orang-orang tidak berduit.

Ketika kecil, saya banyak makan tauge kerana tiada pilihan makanan. Nenek, emak atau emak saudara akan membuat ‘sayur tauge’ untuk masakan yang boleh dicicip pantas; tauge goreng, masak lemak tauge atau kerabu tauge. Selepas berkahwin, hampir tidak pernah saya membeli tauge untuk dimasak. Tetapi, saya masih ingat momen-momen makan tauge yang dimasak oleh mereka tercinta.

Hari ini, selepas pandemik Covid 19 menyerang dunia, resam tauge menjadi kenangan mahal. Norma baharu melarang kedekatan dan sentuhan sebagaimana batang-batang tauge yang hidup ‘berjemaah’. Kita pasti merindukan saat bahu-bahu kita melekat atau dipegang rakan sekolah sewaktu perhimpunan pelajar. Untuk berapa tahun kita tidak boleh mengikut tradisi tauge? Tiada jawapan.

Loading

Rindu Seorang Seon Mi

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Satu

Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. 

Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalangyang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.

Rumah nenek adalah rumah kelahiranku. Terletak tidak jauh dari tasik, membolehkan ahli keluargaku berjalan kaki ke sana bila-bila masa. Neneklah yang paling kerap mengitari tasik yang luasnya sepanjang 4 kilometer. Tangan nenek yang lembut memegang tangan kecilku yang halus, berjalan di perbarisan rumput ilalang, sewaktu-waktu aku sedih. Di situ, nenek memujukku dengan katanya, “Kampung kita unik sekali cucu. Tiga gunung dengan satu tasik ini membuat kita kaya. Selama 60 tahun aku di sini, aku tidak pernah sakit berat. Ini kerana hembusan alami yang masuk ke paru-paruku paling bersih di Korea. Janganlah menangis, ilalang akan memujukmu. Cubalah kau dengar desirnya..” nenek mendudukkan aku di batang kayu, telingaku didekatkan kepada rumput berbulu itu. Bersuling-suling tiupan angin, ilalang pun meliuk-liuk. Aku terdengar bunyi yang sangat halus tetapi cekal pada rerumput panjang yang setia mengawal tasik.

“Ilalang sedang bernyanyi untukmu,” senyum nenek. Aku membesarkan mata. Benarkah rumput boleh menyanyi?

“Rindu datang, rindu datang, adik jangan sedih, jangan sedih.

Tasik menjagamu, tiap waktu, tiap waktu.”

Sebenarnya, neneklah yang menyanyikan untukku. Mendayu-dayu rentak suaranya, membuang rasa sedihku. Lupa kepada emak dan ayah yang tidak dapat pulang hari itu. Nenek membelai-belai rambut lurusku dan terus menyanyi. Suaranya makin manis dalam jiwaku. Aku ketawa.

“Nenek selalu pergi bilik karaoke?” tanyaku.

“Ah kamu! Umurmu baru 6 tahun mahu menanya-nanya hal peribadiku. Kenapa kalau memang nenek selalu menyanyi di sana? Tidak boleh?” tanya nenek, mengujiku.

“Aku selalu ketawa kalau ke bilik karaoke dengan ayah. Suara nenek-nenek di sana seperti suara gajah dan cengkerik,” kataku merujuk suara besar dan nyaring yang tidak senada.

“Ah! Ah! Nenek di Seoul tidak sama dengan nenek di Pocheon yang masih berperibadi tinggi dan sopan. Aku tidak suka menjerit-jerit di bilik karaoke. Lebih baik aku naik ke Gunung Myeongseng, berteriak di sana. Tidak ada anak kecil yang bergosip tentangku kepada ‘neneknya’,” nenek terus ketawa. 

Kami berjalan mengelilingi tasik sehingga terasa penat kakiku. Waktu itu, aku tidak mahu bercakap lagi. Nenek menawarkan belakang badannya untuk mengampu tubuh montelku. Aku menggeleng kepala. Jika ayah tahu, dia akan memarahiku. Dan jika emak melihat aku didukung nenek, dia terus mencubitku.

“Nenek masih kuat seperti tiga raksasa penjaga tasik,” kata nenek menunding gunung-gunung.

“Tetapi itu tidak baik kerana nenek sudah tua,” kataku.

“Tua bukan masalah jika nenek sihat,” katanya mengepak-ngepak dua sikunya.

“Orang tua tidak boleh mendukung orang lagi, nanti mereka cepat sakit dan mati. Seon Mi tidak mahu nenek mati..” jawabku sambil membayangkan mata dan hidung emak ketika dia marah.

“Oh, emakmu salah. Orang tua dahulu tidak seperti orang-orang sekarang. Kimci mereka tidak banyak gula dan garam,” gerutu nenek.

“Orang sekarang siapa nenek? Bukankah kita bercakap sekarang, bukan dahulu. Maksud Seon Mi, kitalah orang sekarangkan?” tanyaku dengan rasa pelik. Nenek mengeleng kepala. “Ahhhh! Pening kepalaku dengan mulut murai dan badan gemukmu. Mari nenek tarikmu ke kedai aiskrim,” nenek berjalan pantas, rambutku teroleng oleh angin senja. 

Nenek membuka pintu rumah kayunya. Dia menyuruhku masuk dahulu.

“Nenek mahu membakar kayu api di kebun, biar nyamuk-nyamuk kembali ke hutan. Kamu jangan keluar dari rumah,” arah nenek. Aku mengangguk faham. Nenek menutup pintu, aku pula berlari ke dapur, menarik langsir jendelanya. Dari balik cermin, kulihat nenek terbongkok menghidupkan api. Bibir nenek bercakap sesuatu; mungkinkah kepada nyamuk supaya jangan lagi kembali? Dua tiga kali nenek mengangkat potongan kayu sebesar betisku, disorongkannya ke bawah anak api yang mula terbit dari bara lama. Asap berkepulan dan nenek menjauh. Apakah ketika aku tua, aku juga akan menghalau nyamuk seperti nenek?  

“Seon Mi..” tiba-tiba nenek sudah menepuk bahu kecilku. 

“Mengintai api?” tanyanya. 

“Nenek, bila Seon Mi tua, Seon Mi pun perlu nyalakan api untuk halau nyamuk?” tanyaku. Nenek ketawa kuat. 

“Seon Mi pernah lihat emak dan ayahmu nyalakan kayu api?” Aku menggeleng kepala.

“Engkau 10 kali akan mengikut jejak mereka,” nenek senyum sinis. Menarikku ke depan. Nenek mahu memandikan aku sebelum langit gelap.

“Waktu itu kukira Korea sudah mengharamkan pemotongan kayu. Zaman sekarang pun sulit menebas pohon kecil dan besar, 60 tahun lagi, pokok-pokok umpama mutiara di lautan dalam. Negara ini sangat memuja pohon-pohon. Ekonomi Korea baik ketika pohon-pohonnya meninggi ke langit. Jika ada tangan yang memotong pohon, itu seperti mematahkan kemajuan ekonomi. Ah! Ah! Aku lupa. Kenapalah aku bercakap seperti profesor di hadapan anak tadika?” nenek ketawa. Aku mengerut tidak faham, tetapi ingin terus bertanya.

“Tadi nenek sebut ekonomi? Itu apa? Sejenis kayu?” tanyaku.

“Bukanlah.. bukanlah,” nenek mengetuk kepalanya.

“Mari mandi. Tak usah fikir lagi, yang penting ketika tua, tidak ada nyamuk yang gigit Seon Mi. Nyamuk tidak berani masuk ke kota penuh dengan kedai-kedai penyembur racun serangga!” nenek menarikku ke bilik air. 

Di meja makan, kami saling berhadapan. Nenek menyuruhku duduk dengan dua siku kaki dirapatkan. Nenek pula duduk bersila. “Lututku tidak sesopan dulu,” kata nenek. “Lutut yang sopan itu seperti Seon Mi ini?” tanyaku. Nenek ketawa kuat.

“Dulu, nenekku memaksa duduk seperti itu. Katanya wanita yang baik tidak memisahkan dua lutut ketika duduk,” kata nenek.

“Nenek tidak mahu jadi wanita baik sekarang?” tanyaku lagi.

“Aduhh..aduh..melayanmu, perutku menyanyi terus. Seon Mi, nenekku dulu marah sekali jika kita bertanya banyak hal. Sudah, sekarang makan!” arah nenek sambil mengajukan chopstik.

Aku mencungkil nasi dalam mangkuk kecil. Sup kacang soya nenek sangat enak. Tetapi jika ada rumpai laut yang dipanggil ‘kim’ di depanku, itulah yang kumakan dulu sehingga nenek berdehem, “Makan nasi juga Seon Mi, baharulah kenyang,” katanya.

“Waktu umurku 7 tahun, sulit sekali mendapat rumpai laut. Jika ayahku membelinya, kami tidak makan selalu. Emakku akan memasaknya sedikit untuk dibuat kimbab, itupun nasinya lebih tebal sehingga menenggelamkan rasa rumpai laut. Aku pernah sepertimu, kutarik helaian kering rumpai laut dan meratah-ratah. Bila emakku lihat, dipegangnya tanganku, “Jika kau makan kim dengan cara ini, bulan depan tidak ada kimbab di rumah kita!” ugut emakku.”

“Oh emak nenek sungguh kedekut!” spontan aku membalas. Mata nenek membesar, terkejut dengan perkataan kedekut dari mulutku. Dia berhenti mengunyah.

“Moyangmu bukan kedekut tetapi saat itu hidup di Korea sangat-sangat sulit. Bunyi Ilalang boleh sampai ke sini kerana mereka pun menangis melihat keadaan kami orang-orang Korea. Harga rumpai laut pula menyamai harga beras untuk empat hari…” cerita nenek, senyumnya menguntum kembali.  

Dua

Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.

Nenek sudah tiada, pergi bersama senyum dan sejarah keluarga. Suaranya yang bagai guruh dan bagai angin lembut terus memeriahkan hatiku yang kusut sekarang. Aku gagal mendapat pekerjaan yang baik selepas hampir dua tahun bergraduasi. Pekerjaanku sebagai pelayan restoran tidak cukup menampung fitrah wanitaku. Kecantikan lebih penting daripada makanan. Untuk itu, nenek tidak pernah bersetuju tetapi aku pasti, jika nenek masih hidup dia akan menyaksikan betapa kecantikanlah yang mendatangkan makanan dalam negara kapitalis seperti Korea. Rakan-rakanku memilih berhijrah ke luar negara terutama ke Eropah dan Amerika, tetapi aku berat meninggalkan gunung-gunung Korea. Siulan ilalang Pocheon tidak mengizinkan aku terbang jauh.

Aku terkenang ibu ayahku yang jauh di Selatan Korea. Negara ini terus maju dan memerah keringat tiap warganya. Dalam usia 50-an, ibu dan ayah masih bekerja keras. Tidak ada yang percuma. Rumah dan diriku sama mahalnya.

“Ibu..bila kita boleh tinggal bersama? Sudah 20 tahun, ibu ayah sibuk terus-terusan,” tanyaku waktu percutian keluarga, setahun sekali dalam liburan Hari Chuseok. Ibu mengangkat bahunya.

“Soalan itu hanya boleh dijawab apabila Seon Mi menjadi seorang ibu” balas ibu. Aku ingin berbicara lebih banyak dengan ibu tetapi ruang masa amat terbatas. Ibu tidak seperti nenek yang mahu melayan cerita-cerita remehku.

“Lelaki yang meninggalkanmu adalah musim kemarau yang berlalu dengan cepat. Tak usah sedih, gembiralah Seon Mi. Tidak perlu menghabiskan daya dirimu untuk orang itu.” Begitulah selalu jawapan ibu jika aku mengadukan tentang dunia remajaku. Ayat-ayat pertamanya adalah pujukan, amaran dan solusi sekaligus. Ibu tidak punya waktu untuk meneliti sebab aku menyukai seseorang lelaki, sebab aku bertukar-tukar pekerjaan dan sebab aku masih menziarahi pusara nenek di Pocheon.

“Mengapa perlu Seon Mi menelefon ayah dan ibu jika keadaanmu baik-baik? Fokuslah bekerja dan perbaiki bahasa Inggerismu, itu paling penting sekarang!” kata ayah, tidak suka aku menelefonnya hanya untuk bertanya khabar. Jika mereka sakit, mereka akan menelefonku sendiri. Aku juga perlu begitu. Masa sihat hanya untuk mencari wang dan peluang. 

Mungkin nenek telah berpesan kepada alam, untuk sentiasa berbisik mengingatkanku tentang kemanusiaan dan cinta. Dalam kereta api bawah tanah, aku melihat orang-orang menatap skrin telefon mereka, dan aku merenung wajah seorang tua, persis nenekku. Dia juga tersenyum padaku, tiada telefon di tangannya, hanya sebuah buku sastera Korea lama. 

Negara ini telah menjadi mangsa zaman. Peperangan dan konflik ideologi menjadikan warga kami mahu melangkaui apa sahaja titik-titik yang menghubungkan ke dua garis tersebut. Pusat tengahnya adalah kemiskinan. Semua orang takut menjadi miskin. Walaupun tidak menjadi kaya, jangan sesekali menjadi miskin. Kemiskinanlah yang akan membawa seseorang mati dengan cara yang ngeri. Ayah dan ibu tidak hanya mahu mati seperti ibubapa mereka yang hanya meninggalkan sebidang tanah di Utara Korea, mereka bahkan tidak mahu berfikir tentang mati. Ingin memegang wang dan peluang selama masih hidup. Aku diajarkan untuk terus bergerak ke hadapan, jangan menoleh lagi. Tetapi, nenek meninggalkan aku kesan nostalgia yang mengalihkan pandanganku ke belakang. Aku bahagia dengan cara itu.

Tiga

Aku bersiap-siap menghadiri wawancara pekerjaanku yang ke 30 pagi ini. Jika berjaya, aku akan dihantar ke Malaysia untuk menjadi pengurus pemasaran syarikat besar ini. Aku bersedia meninggalkan gunung, tasik dan sungai di Korea. Rakan Malaysiaku mengirimkan foto keluarganya. Mengagumkan kerana mereka masih tinggal bersama dalam tiga generasi. Wajah neneknya membuatku jatuh cinta meninggalkan negaraku untuk mencari rezeki.

Telefon bimbitku bergetar saat aku duduk dalam kereta api bawah tanah. Aku pelik kerana nama ibu tertera di skrin. Tentu ada sesuatu yang besar berlaku.

“Seon Mi..” kedengaran suara ibu menangis.

“Ibu dan ayah akan pulang ke Pocheon hari ini. Perniagaan ayahmu gagal lagi. Rumah kita di Seoul akan dilelong. Bersiaplah nanti kita bertemu di rumah nenekmu, mujurlah rumah itu masih ada…”

Aku menutup muka. Lagu yang dinyanyikan nenek tiba-tiba bergema.

“Rindu datang, rindu datang, adik jangan sedih, jangan sedih.

Tasik menjagamu, tiap waktu, tiap waktu.”

Loading