Kehidupan sebagai Muslim sering menuntut kita menoleh ke belakang, sekalipun sudah berada di baris paling depan. Itulah uniknya agama kita. Menoleh adalah perbuatan melihat kembali jejak-jejak yang ditinggalkan, bukan terus memadam masa lalu dan terus bergerak tanpa melihat kembali tapak-tapak sejarah, tapak-tapak asal usul diri.
Saya membelek kembali makna Sastera Islam setelah menekuninya dari tahun 2012 sehingga kini. Kebanyakan konsep dan teori yang dikemukakan para sarjana menyuruh para sasterawan Islam untuk ‘menoleh’ dan tidak ada masalah jika berundur semula ke belakang, ke akar tradisi.
Kata moden dan tradisi sangat subjektif. Jika dua perkataan tersebut dianggap sebagai tanda ‘kemajuan’ dan ‘kemunduran’, ianya bertentangan dengan amalan ilmu dalam Islam. Antara sarjana yang konsisten tidak bersetuju dengan cara penjajah ini adalah Syed Naquib Al-Attas. Beliau mengatakan cara yang dibawa barat ke alam Melayu khususnya Malaysia dan Indonesia sangat rakus; merobek inti pemikiran dan falsafah sebenar kebudayaan Islam termasuk sastera. Penjajah melekakan orang Melayu bahawa moden itu adalah barat, dan mundur atau istilah tradisional itu adalah adat Melayu Islam.
Justeru, kembali kepada konsep sastera Islam, ianya adalah perbincangan yang membawa transisi dan juga tradisi. Menghubungkan antara masa lalu dengan masa depan. Masa lalu adalah teras yang mendasari ilmu sastera iaitu tauhid dan iman. Masa kini adalah ilmu-ilmu yang berkembang dalam masyarakat dari abad ke 7 sehingga sekarang. Saya tertarik dengan tulisan Adli Hj Yaacob yang mengatakan sastera dalam Islam adalah adab. Apabila menyebut kata adab sudah menampakkan perbezaan cirinya dengan sastera lain. Adab mengandungi nilai akhlak, nilai pujangga yang tinggi, keagungan intelektual yang luhur dan berprinsip. Bukan semata keinginan dan bakat seni. Kata Adli lagi, perkataan sastera Islam hanya muncul setelah negara-negara Islam dijajah barat. Ianya muncul akibat kesedaran para penulis dan sarjana menoleh kembali ke akar tradisi dan keinsafan untuk menggabungkan dengan jaluran sastera barat yang telah ‘dinikmati’ sekian lama.
Begitulah akhirnya sastera Islam berkembang. Seperti juga hidup manusia Muslim. Solat adalah asas untuk kita kembali menyedari hakikat kita sebagai hamba Allah SWT di dunia walaupun kita adalah ‘seseorang’ dalam masyarakat. Transisi kita adalah tradisi untuk menoleh dan melihat ke hadapan secara imbang!