(Disiarkan di Berita Minggu, 10 Mei 2020)

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

SATU

Namaku Anis Kemboja. Gadis biasa yang luar biasa. Luar biasa itu kerana aku mempunyai lima orang kakak dan tiga orang abang, tetapi hanya aku seorang yang tidak masuk universiti. Aku dilahirkan di Kuala Lumpur pada saat ekonomi dan politik Malaysia sedang gawat. Ayahku diberhentikan kerja, lalu membawa emak dengan sembilan orang anak pulang ke Utara Malaysia untuk memulakan kehidupan sebagai petani. Tahun 1998 itu menyaksikan lima orang kakakku dimasukkan ke sekolah pondok di Kedah. Jadi, aku banyak dijaga oleh abang-abangku yang berusia 11, 10 dan tujuh tahun.

Walaupun kehidupan sukar, ibubapaku sangat mementingkan pendidikan agama anak-anaknya. Di sekolah pondok, kakak-kakakku tinggal dalam satu rumah kayu yang disewa ayah RM100 sebulan. Dari situ, mereka pergi ke sekolah agama di sebelah pagi dan mengaji kitab kuning di masjid sebelah malamnya. Pada hujung minggu, ayah membawa emak dan anak-anak yang lain menziarahi mereka. Emak mengambil peluang meletakkan kuih tradisional Melayu dan maruku buatannya di kantin dan kedai runcit sekolah pondok.

Dalam kesemua adik-beradikku, aku paling rapat dengan abangku yang keenam. Sejak kecil, dia menjadi pembelaku apabila abang ketujuh dan abang kelapan membuliku. Emak kurang memperhatikan aku sejak dia bergelumang dengan perniagaan IKS. Terlalu banyak yang perlu difikirkan ibubapaku untuk memberi kami makan setiap hari, membiayai sekolah kami dan keperluan asas lain, berbanding menatangku seperti minyak penuh. Pakaian seharianku ketika kanak-kanak adalah pakaian bekas abang-abangku dan jilbab lama kakak-kakakku. Aku hanya dengar perkataan baju baharu adalah ketika pada Hari Raya Aidilfitri.

Ayah dan emak begitu mengharapkan kakak sulungku berjaya menjadi guru agama. Banyak yang dikorbankan mereka untuk memastikan kakak sulungku mencapai cita-cita tersebut. Ketika kakak sulung mendapat tawaran belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir, ayah menjual sebahagian tanah kebunnya, emak pula menggadai barang-barang kemasnya. Ayah membawa kami semua ke Kuala Lumpur untuk memberi semangat kepada kakak sulung yang akan menjadi perantau ilmu. Rupanya, ada peristiwa besar berlaku saat pertama kali aku memijak lantai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Aku berumur lima tahun ketika itu. Jika bukan emak memakaikan aku gaun labuh, tentu orang menyangka aku budak lelaki. Aku berlari dan meninggalkan semua orang sesuka hati sehingga abang-abangku bergilir memegang tanganku. Kakak-kakakku berlepas tangan, tidak tahan dengan kenakalanku. Ayah dan emak pula sibuk menguruskan dokumen kakak sulung. Emak sedih kerana anak yang disayanginya akan terbang jauh, sehingga tidak mempedulikan anak bongsunya. Hanya abangku yang keenam tidak menjerkahi dan mencubit tanganku. Aku cuma terleka sekejap apabila semua orang memeluk kakak sulung saat dirinya akan masuk ke ruang perlepasan bersama rombongan sekolahnya. Kakak sulung mendukung dan mencium pipiku berkali-kali. “Kakak akan rindukan Anis,” katanya dengan mata yang merah. 

Selepas kakak sulung melepasi kaunter imegresen, kami semua berjalan ke ruang parkir. Ayah memandu keretanya sendiri, sebahagian kakak dan abang pula menumpang Pakngah Fauzi, adik ayah yang tinggal di Shah Alam. Tanganku sebenarnya digenggam abang keenam tetapi tiba-tiba dia mahu ke tandas, dia meminta abang ketujuh menjagaku. Abang ketujuhku pada mulanya memegang jemariku tetapi mulai leka apabila terlihat kedai gajet. Aku ditinggalkannya di pintu kedai, dari situ aku berjalan seorang diri sehinggalah seorang lelaki Cina menegurku.

“Adik, mana keluarga?” tanyanya. Aku menggeleng kepala dan mula takut. 

“Jangan menangis adik. Uncle orang baik. Mari kita cari keluarga adik,” katanya sambil mendukungku, mengharungi hiruk KLIA. Aku dihantar ke kaunter pelayan. Melihat wajah-wajah asing, aku menjerit lebih kuat sehinggalah para petugas di situ membelikan aku ais krim. Selepas 30 minit, baharulah ayah dan abang keenamku muncul.

“Encik tidak sepatutnya meninggalkan anak kecil di sini. Bahaya! Mujurlah Tuan Lim yang jumpa anak encik dan serahkan pada kami,” leter seorang petugas kepada ayah. Abang keenam mendukungku. Wajah ayah dan abang sangat cemas tetapi lega. Ayah mengangguk, mengakui salahnya biarpun dimarahi orang yang lebih muda. Aku ketawa girang ketika bertemu semula keluargaku. Emak menangis gembira tetapi aku tidak mahu pergi kepadanya, mahu terus duduk di pangkuan abang keenamku.

Begitulah cerita permulaanku mengenali dunia yang lebih luas.

DUA

Tahun-tahun berlalu dengan pantas. Ayah dan emak tidak segagah dahulu. Empat orang kakakku telah berkahwin dan berhijrah mengikut suami mereka. Aku menjadi remaja matang, lebih berani dan degil. Dalam usia 18 tahun, aku masih tinggal sebumbung dengan ibubapa, tidak pernah pergi jauh daripada mereka. Bagaimanakah aku boleh pergi jauh?

Suatu hari, emak sedang menggoreng kuih peniaram untuk dijual di pasar tani, dalam masa yang sama dia menyiapkan tepung kuih siput. Aku menggetel tepung di sebelahnya sambil membaca nota-nota SPM. Emak tiba-tiba hampir pitam dan aku sempat menyambar tubuhnya daripada terjatuh ke dalam minyak kuali yang sedang menggelegak. Peristiwa itu benar-benar membuatku trauma membiarkan emak sendirian. Emak mempunyai penyakit darah rendah. Namun, kebiasaan mudanya tidak dapat dilenturkan. Dia sudah biasa bangun awal pagi dan membuat pelbagai kuih jualan. Tiga orang abangku sedang menuntut ilmu di universiti awam dan kolej swasta, itulah alasannya mengapa dia mahu bekerja keras lagi. 

“Cukuplah mak, abang-abang tu dapat biasiswa, mereka ada duit di universiti. Mak berehatlah,” kataku.

“Aniskan nanti nak masuk universiti juga, nak guna duit banyak,” balas emak. 

“Mak jangan risau tentang Anis. Anis tak mahu masuk universiti kalau terpaksa susahkan mak. Lebih baik Anis kerja dan bagi mak duit,” kataku, jujur. Sejak kecil aku melihat betapa ibubapaku berkorban tenaga dan tubuh mencari wang untuk anak-anak. Aku juga adalah mangsa pengorbanan mereka. Aku tidak mendapat perhatian dan kasih sayang ibubapaku kerana sibuknya mereka mencari wang. Setelah kakak-kakakku selesai belajar, bertemu jodoh dan mengikut suami masing-masing, mereka juga tidak punya waktu yang banyak lagi untuk emak dan ayah. Aku terkilan. Tetapi ibubapaku tidak pernah menunjukkan kekesalan.

“Itulah kehidupan Anis. Ayah emak tidak pernah meminta balasan kerana tugas membalas perbuatan kita adalah kerja Tuhan. Anis belajarlah rajin-rajin seperti semua kakakmu, ayah akan tanggung Anis belajar, ayah masih kuat lagi,” kata ayah.

Kerana kata-kata itu jugalah aku tidak bersungguh-sungguh dalam peperiksaan SPM. Aku tidak mahu mengulangi kitaran kakak-kakakku. Jika masa mudaku tidak dihabiskan bersama ibubapa, tidak akan ada lagi peluang kedua. Keputusan SPMku seperti yang dirancang, tidak cemerlang. Ayah dan emak tidak memaksaku untuk masuk ke mana-mana kolej. Ketiadaanku di rumah, satu kesulitan buat mereka.

Sebenarnya, aku bercita-cita besar. Peristiwa di KLIA 15 tahun dahulu masih kuat di ingatan. Saat kakak sulungku masuk ke balai perlepasan, aku merasa kagum. Beraninya kakak meninggalkan keluarga. Alangkah seronoknya dapat terbang, melihat awan nun di puncak. Keberanian kakak menginspirasikan aku. Sebab itulah, aku juga berani berjalan seorang diri hingga terpisah daripada keluargaku saat itu. Hari ini, perasaan mahu berkelana datang lagi. Tetapi, apa yang melayakkanku untuk ‘terbang tinggi’?

Ayah membeli pacuan empat roda terpakai. Kenderaan ini digunakan mengangkut hasil tanaman ke pasar tani. Sebahagiannya juga adalah sayuran import dari Thailand. Akulah yang membantu ayah, menjadi jurujual dan juruwangnya. Jika ayah tidak sihat, aku sendiri dapat menguruskan barang-barang jualan. 

“Anis tu perempuan, tak manislah buat kerja lasak macam ni,” kata emak.

“Kita sudah di Tahun 2020 mak, orang perempuan dah jadi pilotkapal terbang,” balasku.

“Mak tak mahu Anis angkat benda-benda berat, bahaya.”

“Memang Anis tak angkat, ada pekerja Pattani yang tolong di pasar tu, ayah bagi dia upah untuk bantu Anis,” kataku. Emak diam. Tahu aku mewarisi sifat ‘keras kemahuannya’. Setiap malam, aku mencatat wang yang keluar masuk hasil dari membantu ayah. Aku bercita-cita menunaikan haji di usia muda, mungkin itulah caranya aku membanggakan ayah dan emak.

Kepulangan abang keenamku membawa berita yang mengejutkan. Aku tidak menjangka awal Tahun 2020, Tuhan memakbulkan doaku untuk terbang tinggi.

“Kawan abang minta sangat Anis jaga dua anak kecilnya. Dia dan isterinya sekarang bekerja di Derby, UK. Inilah peluang Anis terbang tinggi. Abang tahu impian adik abang..” 

“Tapi siapa nak jaga mak dan ayah?” kataku.

“Abang akan ganti tempat Anis. Abang dah hantar projek akhir abang. Selepas enam bulan nanti Anis balik jaga emak ayah pula.” 

Cadangan abangku rupanya mendorong aku berusaha sebaik mungkin untuk sampai ke bumi United Kingdom. Daripada soal penyediaan dokumen perjalanan, wang simpanan dan cara menjaga anak kecil, semuanya aku persiapkan dalam diri. Bakal majikanku, sepasang suami isteri Melayu yang telah menetap di Derby 10 tahun. Mereka berjaya mendapat Ijazah sarjana dan kedoktoran dalam bidang teknologi maklumat, dan kini masing-masing bekerja di syarikat perisian komputer antarabangsa. 

“Jika melihat si mata biru, jangan lupakan kedut di muka ayah,” pesan ayah dalam sedihnya.

“Pergilah Anis. Lupakan sekejap tanah kebun dan pasar tani, Allah ada untuk jaga mak,” kata emak. 

TIGA

Tiada sesiapa yang menghantarku ke KLIA. Jam 11 malam, 1 Mac 2020, aku masuk ke balai perlepasan. Setiap pergerakanku dipandu bakal majikanku melalui aplikasi Whatsapp. Dokumen-dokumen penting rapi di dalam beg. Dulu, kakak pertamaku menitiskan air mata melambai kepada keluarga, kini aku senyum lebar, menoleh orang-orang yang tidak peduli sekeliling. Aku bakal pengembara, si pemberani yang kental jiwa.

Derby adalah daerah cocok dengan para pujangga. Hutan dan sungainya mengalirkan sihir cinta. Walaupun baharu tiga hari aku di Pekan Mickleover, keserasianku pada daerah ini adalah tenangnya, seakan aku berada di Sintok, rumah keluargaku. Anak-anak kecil, Noah, 6 tahun dan adiknya Hud, 3 tahun menyambutku bagai bidadari dari langit. Mereka seperti aku ketika kecil, berkongsi cinta kasih dengan kesibukan ibubapa. Selepas tiga jam pertama melihatku, anak-anak itu sudah mahu duduk atas pangkuanku. Aku belum bertemu ayah anak-anak ini yang berada di Italy atas urusan kerja. Ibu mereka yang kupanggil Kak Zue, seorang perempuan yang ceria tetapi tegas. Aku teringatkan kakak sulungku ketika berhadapan dengan Kak Zue.

Minggu pertama berlalu pantas. Bangun pagi itu, aku resah tiba-tiba. Abangku menghantar mesej, “Jagalah diri Anis, Covid 19 bagaikan tsunami sekarang ini. Emak dan ayah risaukan Anis.”

Aku keluar dari bilik jam 2 pagi untuk mengambil wudhuk, mahu menghilangkan resah dengan Tahajud. Wajah emak dan ayah sangat kuat di fikiran.

“Kak Zue, kenapa menangis?” Aku melihat majikanku berdiri di jendela, dengan mata merah. Dia memelukku.

“Anis, suami kakak sekarang di hospital di Itali, dia positif Covid 19. Dia tidak boleh pulang ke sini. Anis jangan tinggalkan kami. kakak takut..” hibanya membuatkan aku juga menangis.

Aku merenung diri. Namaku Anis Kemboja bermaksud gadis bunga. Selalu menjadi pelindung orang-orang yang sunyi. Sekarang, makhluk baharu muncul. Sizenya sekecil 125 nanometer atau 800 kali lebih halus daripada rambut, ianya membuatkan dunia menjadi lebih sunyi. Aku memeluk Noah, Hud tidur di depanku. Kak Zue belum pulang dari hospital. Pihak syarikatnya membuat ujian Covid 19 ke atas semua staf mereka. Aku teringat emak dan ayah, sekarang pandemik ini telah menutup laluan antara negara.

“Duduklah di sana Anis. Memang Allah hantar Anis kepada Kak Zue dan anak-anak untuk menjaga mereka. Cuma, jangan keluar dari rumah. Jauhi perkumpulan. Berikan kasih sayang pada anak-anak itu, kasihan bapa mereka entah bila boleh pulang..” begitulah emak akhirnya membuat keputusan.

“Nampaknya Anis telah masuk ke universiti yang lebih besar, universiti pandemik! Berjuanglah dengan memberi sebanyaknya kebaikan. Ayah bangga dengan Anis,” kata ayah, pertama kali mengeluarkan ‘kata bangganya’ kepadaku. 

EMPAT

Kak Zue masuk ke rumah ketika semua anaknya sudah kularikan ke bilik mereka. Aku mengajak Noah dan Hud bernasyid sambil melukis bunga-bunga Azalea. Saat itu juga, hatiku menangis seperti air siraman bunga kemboja di tanah perkuburan.

“Anis..Kak Zue..” Wanita itu menangis kuat dalam talian.

“Kak Zue kenapa? Kak Zue di mana sekarang?”

“Kak Zue ada di depan pintu tapi Anis jangan buka. Bawa anak-anak ke bilik dulu. Untuk 14 hari ini, Kak Zue tidak boleh dekat dengan Anis dan anak-anak,” katanya.

“Allah….” Aku memegang dadaku. Selama dua bulan aku belajar tentang penjagaan anak-anak di banyak laman sesawang, tetapi tiada satupun yang menunjukkan cara melayani anak selama 24 jam untuk tempoh dua minggu. Bagaimanalah aku boleh menjadi ayah dan ibu sekaligus kepada Noah dan Hud, sedang aku baru mengenali mereka lima hari? Inikah ‘universiti luar negara’ yang Tuhan rezekikan untukku? 

“Mama suka bunga Azalea. Saya rindulah mama, kenapa mama belum pulang?” rengek Noah tiba-tiba.

“Mama..mama.. saya mahu mama!” Hud melepaskan kertas di tangannya. Mahu berjalan ke pintu bilik. Aku segera mendakapnya.

“Cik Anis akan tunjuk kambing Cik Anis, jeng..jeng..” Lalu aku membuat panggilan video ke nombor ayah. Muncul wajah ayah dan kambing-kambingnya di skrin. Ayah bercakap-cakap dengan dua anak kecil itu berseli dengan rengekan anak kambing di pangkuannya. Noah dan Hud sangat teruja, hingga terlupa mama mereka. Aku meraup muka, mengesat air mata. Pada minit seterusnya, apa yang perlu aku lakukan untuk mengunci ingatan anak-anak ini kepada ibubapa mereka?

Allah Ar-Rahman, Allah Ar- Rahim. Mengapa dari banyak sifat-sifatNya, dua sifat ini paling ditonjolkanNya? Dalam Bismillilah, dalam al-Fatehah, diulang-ulang setiap waktu bagai baja yang menyuburkan tanaman, bagai air yang menghidupkan tanah gersang. Pemurahnya Allah memberiku jantung yang mengalirkan darah ke seluruh jasad. Penyayangnya Allah tidak pernah tidur, menjagaku setiap saat. Wahai Allah, apakah Kau sedang mengajariku untuk menumpang dua sifatMu ini? Untuk menjadi pemurah dan penyayang kepada manusia-manusia di sisiku saat ini?

Aku meletakkan bubur ayam di depan bilik Kak Zue bersama segelas limau madu hangat. Kuketuk pintu biliknya dan lekas masuk semula ke dapur. Kak Zue dilarang berjalan-jalan di dalam rumah. Tentulah yang paling menyakitkan dirinya sekarang ini adalah penjarakkan dengan anak-anak. Walaupun belum pasti Kak Zue mengalami Covid 19, tetapi dia perlu berhati-hati.

Ketika Noah dan Hud sudah tidur, Kak Zue menelefonku. Dia menangis semahunya, air matanya seakan membanjiri bahuku.

“Anis..maafkan Kak Zue, Kak Zue tidak pernah terfikir nak susahkan Anis seperti sekarang. Allah Allah, Kak Zue sendiri tidak boleh buat apapun. Suami Kak Zue masih di hospital, entah bila boleh pulang..”

“Ini kerja Tuhan Kak Zue. Saya hanya alat Tuhan untuk memudahkan ujian Kak Zue. Di kala sebegini payah, Allah hantar saya untuk ringankan Kak Zue kerana Kak Zue wanita solehah. Insha Allah, semua akan baik-baik. Tuhan yang mengawasi Sars -Cov -2 adalah Tuhan yang sama mengikat hati manusia,” aku memujuknya. Kata-kata itu sebenarnya adalah kata-kata semangat dari emak pagi tadi, ketika aku menghambur tangisan kepada emakku. Aku bukanlah kuat.

Fikiranku melantun-lantun. Tanah kebun ayah di Kampung Changlon dijaga sebuah keluarga Pattani. Sepasang suami isteri dengan 11 anak dan lima cucu. Aku membantah mereka tinggal di tanah ayah. Mereka berbuat sesuka hati di tanah itu. Menjaga kebersihan jauh sekali. Senyap-senyap aku berjumpa ketua keluarganya dan ‘berbohong sunat.’

“Tanah ini ayah sudah beri kepada saya. Kalau pakcik nak duduk di sini lagi, ada syaratnya. Ikut undang- undang saya. Tolong asingkan anak lelaki dan perempuan dalam bilik berbeza, pastikan kawasan ini bersih. Jangan buat rumah atas pokok-pokok tapi boleh besarkan rumah sekarang. Dan jangan tinggal sembahyang! Kalau pakcik tak boleh ikut peraturan ini, saya tidak boleh bagi muka. Saya akan maklumkan kepada pihak keselamatan..”

“Tolong Cik Anis, saya janji akan ikut cakap Cik Anis. Kami tidak tahu pergi ke mana lagi. Di tempat kami, saya tidak ada kerja untuk bagi keluarga makan. Di sini, kami boleh memotong getah dan jadi kuli pasar,” katanya. Aku menerima rayuan itu dengan pemantauan. Setiap minggu, aku datang memastikan mereka benar-benar menunaikan janji. Malah, salah seorang anak perempuannya kubawa pulang ke rumah dan mengajari asas seorang Muslim. Moga-moga, dia dapat pula mendidik keluarganya sendiri.

Ya Allah, jika benar tindakanku, Kau bantulah aku menyelesaikan masalah Kak Zue dan anak-anaknya sekarang ini. Sedangkan anak kambingku tidak boleh hidup tanpa ibunya, inikan pula anak manusia.

Noah dan Hud mengapitku. Tidak sabar melihatku melukis ‘makhluk jahat.’ Sebelum tidur, aku telah bercerita bahawa dunia ini mempunyai makhluk-makhluk kecil dan besar, baik dan jahat, boleh dilihat dan tersembunyi. Semuanya adalah ciptaan Tuhan Yang Maha Agung. Kini makhluk jahat datang beramai-ramai, mereka sangat kecil dan tidak boleh dilihat. Manusia sedang berjuang dalam pertempuran yang dahsyat.

“Jadi virus itu akan pergi kalau kita berani?” tanya Noah. Aku mengangguk.

“Saya mahu beranilah. Sayakan hebat!” katanya, petah.

“Saya pun hebat,” tambah adiknya.

Aku menarik nafas dalam. Berdoa agar misiku tercapai.

“Noah..sekarang virus tu sedang kacau mama dan papa. Papa tak boleh balik selagi virus itu ganggu rumah kita. Jadi, kalau Noah nak jumpa mama hari ini, Noah dan adik kena basuh tangan dan pakai topeng muka. Tapikan, virus tu akan cepat mati jika Noah dan adik tak pegang mama lagi. Boleh cakap dengan mama, tapi jauh-jauh. Noah dan adik hebatkan? Nak virus tu matikan?”

Noah mengangguk. Hud bangun dan mula memanggil mamanya.

“Noah cakaplah pada adik apa yang Cik Anis cakap tadi..”

“Adik kalau nak jumpa mama, jangan pegang mama. Kita bunuh virus dulu,” kata Noah. Hud mengangguk, air matanya bertakung. Aku mengesat pipiku.

Kak Zue berdiri di luar bilik, hanya melihat anak-anaknya dalam jarak dua meter. Hud tidak merapati ibunya seperti yang kudoakan sejak semalam. Noah terkedip-kedip. Aku tahu dia amat rindu untuk memeluk Kak Zue, tetapi ceritaku telah masuk ke fikirannya.

“Mama jangan risau, Noah akan suruh virus pergi cepat. Mama duduk di situ saja ya. Nanti Noah bawakan mama makanan. Bila virus dah mati, cepatlah papa boleh balik rumah,” kata si kecil 6 tahun. Tangisan Kak Zue pecah. Aku memandang luar jendela. Sejauh ini aku datang untuk menonton babak paling sedih dalam hidupku.

LIMA

“Hanya beberapa bulan awal Tahun 2020 berlalu, saat diriku melewati 10 ribu orang di Kota Milan yang indah, mengamati takjub Parco Sempione dan kehebatan Castello Sforzesco. Jalanan sibuk dengan kerumunan manusia tua dan muda, elegan menghirup udara luar kafe mewah. Para pembeli sibuk memilih keju dari Molise, basiate dari Sicily dan ikan sardin dari Venice. Aku memasuki Duomo, terlihat manusia-manusia yang asyik menghirup Prosecco yang mahal. Sayangnya kini telah berubah, dihancurkan oleh kesepian dan sunyi manusia. Yang tinggal di sana hanya para askar yang memegang senapang mereka.”

Kak Zue mengirim kepadaku catatan suaminya dari Itali. Aku tidak terbayang sunyinya jalanan kala ini, kerana hatiku terlalu riuh setiap saat. Riuh memikirkan apakah cara terbaik menghubungkan empat beranak yang terpisah tiba-tiba. Lagipun aku belum sempat menghayati jalanan Pekan Mickleover, apatah lagi Kota Derby seluruhnya. Bayangan-bayangan indah sebelum aku tiba di sini, bertukar cemas dan suram. 

Di luar rumah, siren ambulans mengejutkan orang-orang dari lena. Aku baru menyelesaikan solat Subuh. Dari balik jendela, kulihat sebuah ambulans berhenti di depan rumah jiran, berselang tiga buah rumah dari tempatku berdiri. Para petugas kesihatan dalam pakaian PPE mengusung keluar mayat yang ditutup kain putih. Aku tidak keruan, membaca sebanyak mungkin Ayat Kursi. Setelah ambulans berangkat, kulihat dua pemuda menangis. Salah-seorangnya mengetuk-ngetuk dinding. Siapa yang mati? Ibu atau ayah mereka? Aku teringatkan ayah dan emakku.  

Kak Zue memanggilku ke biliknya. Dari jarak 1 meter, dia duduk menekup mukanya. Setiap hari dia menangis. Dia belum tersenyum lagi sejak dikuarantin 7 hari lepas. 

“Jiran Kak Zue mati pagi ni. Namanya Madam Gloria, baik sangat orangnya. Dia bekas jururawat. Kak Zue selalu rujuk dia jika anak-anak tak sihat.”

“Sebab Covid 19?” tanyaku. Kak Zue mengesat pipinya.

“Ya Anis. Tuhan nampaknya mahu mengambil ramai manusia dengan Covid 19. Kita tak tahu rahsiaNya. Kita tak tahu bila kita akan dijemputNya. Madam Gloria tidak pergi ke mana-manapun, dia dapat jangkitan Covid 19 dari anak sulungnya yang balik dari Berlin. Anaknya tak sihat, jadi dialah yang jaga, ingatkan demam dan batuk biasa rupanya Covid 19. Madam Gloria ada athma, tak sempat ke hospital.” Aku diam. Terbayang angka kematian ‘tercatat’ yang kuhitung setiap kali bangun dari tidur. Hari ini, kematian akibat Covid 19 di seluruh United Kingdom adalah 32000 orang. Esok angkanya akan bertambah. Pandemik adalah Matematik yang menerangkan hubungan antara entiti tambah, tolak, darab dan bahagi yang akhirnya membentuk jumlah tertentu; sama ada melegakan atau mencemaskan manusia.

Akhirnya aku mula memahami tentang biji-biji guli yang menjadi permainanku dengan abang-abangku ketika kecil. Guli bukanlah bola yang cukup satu untuk mewujudkan sebuah permainan. Tetapi guli bergerak dalam bilangan. Semakin banyak seseorang mengumpul biji-biji guli, dia akan juara. Guli melambangkan globalisasi. Satu guli yang menyentuh guli yang lain menyebabkan pergerakan besar yang saling bersentuhan. Sekiranya dahulu, pandemik Spanish Flu melanda dunia lebih lambat dan lebih lama kerana wabaknya ibarat sebiji bola yang dibawa oleh kapal laut. Tetapi Covid 19 adalah guli-guli pandemik yang dibawa oleh kapal terbang, merentasi pelbagai benua dalam tempoh masa lebih singkat. Selagi tidak ada vaksin menangani Sars-Cov-2, dunia harus memisahkan guli-guli. Jika hanya ada satu guli yang jatuh dalam sesebuah negara, ia akan cepat dihilangkan. Tetapi malangnya, banyak negara menjadi ‘pengumpul biji-biji guli’ dan berlumba menjadi ‘juara’. Bolehkah permainan guli yang cocok dengan penyatuan, bertukar kepada pemisahan?

Setiap hari berita-berita kematian dipaparkan di Akhbar The Guardianyang sampai ke rumah Kak Zue. Tidak kurang 100 kisah ngeri setiap hari. Kematian yang tidak mengenal bangsa, agama, umur dan warna kulit. Apakah aku datang ke sini untuk menatap kisah kematian? Umurku sudah 22 tahun, hanya enam kali aku keluar jauh dari Negeri Kedah, paling jauh ke Singapura, mengikut rombongan sekolahku. Aku tidak boleh meninggalkan rutinku di pasar tani dan pasar malam. Di situlah aku membantu ayah menjual sayur-sayuran. Jauh lebih mendalam, di situlah lubuk rezeki kami menyara abang-abangku yang belum selesai belajar. Hanya untuk mencari angin baru, aku terima pelawaan ke Derby yang kulihat dari laman sesawang, jernih anak sungainya menarik itik-itik comel, hutan dan pusaka muzium British bagai gerbang cendiakawan. Aku terpana oleh taman-taman yang digerhanai rimbunan pohon. Tetapi semua itu belum nampak lagi di mata fizikalku. Allah SWT sedang menyimpannya untukku. Setelah aku menginsafi bahawa hidup dan mati manusia, terlalu mudah bagiNya. Dan sekiranya aku dipilih mati di sini, mudahan sebagai insan yang sedang memudahkan urusan manusia lain.

ENAM

Kak Zue bebas jangkitan Covid 19. Itulah berita paling gembira kukongsikan dengan keluargaku di Malaysia. keluarga ini bagaikan sebahagian keluarga besar kami lebih-lebih lagi Noah dan Hud. Setiap hari aku menelefon keluargaku, secara bergilir. Selain emak dan ayah, aku menghubungi kakakku seramai lima orang, abangku seramai 3 orang dan anak-anak saudaraku yang sudah berjumlah sembilan orang, semuanya terlibat mengalihkan perhatian Noah dan Hud kepada ibu mereka. 

Aku tidak kenal Kak Zue sesungguhnya. Aku tiba di sini lima hari sebelum dia menjalani kuarantin di biliknya. Tetapi pemerhatianku terhadap anak-anaknya, susun atur rumahnya dan Al-Quran yang tersusun rapi di rak buku, aku meyakini dia muslimah yang baik. Petang itu, Kak Zue mengajakku berbual di halaman rumah, menikmati musim bunga yang muncul lebih indah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bunga tulip melata di tanah, aku menjerit keseronokan, tetapi cuma dalam hati. Aku tidak pernah keluar dari pintupun kerana mendengar nasihat emakku, “Jangan sesekali keluar dari rumah.” 

Petang ini, surianya hangat. Jiran-jiran mula keluar membawa anjing mereka berjalan-jalan di taman. “Kita tak perlu ikut cara Mat Saleh, mereka memang susah ditegah. Bagi kebanyakan mereka, kebebasan hak asasi lebih tinggi daripada apapun undang-undang di dunia. Tapi, Kak Zue nak juga bercakap dengan Anis di laman. Tak perlu bimbang, selamat,” kata Kak Zue.

“10 tahun kakak merantau, kakak merasakan inilah juzuk bumi paling baik membesarkan anak-anak. Kakak dan abang berusaha keras untuk kukuh di sini. Bagi kami, segala-galanya di sini lebih baik dari tanah air. Rupanya kami silap, tiada tempat yang lebih baik pun di dunia ini, semuanya sama. Abang suka Itali, kakak cinta pada Derby tetapi ketika musibah datang, satu-satunya tempat kedamaian kita adalah Allah SWT. Kakak orang jahil Anis. Terlalu fikir cari rezeki. Sebelum Anis datang, bersilih-ganti pengasuh anak tinggal di rumah kakak. Cukup 14 hari Allah menghadkan fitrah seorang ibu, kakak hampir gila Anis. Setiap malam kakak bertaubat. Kakak hubungi seluruh keluarga dan kenalan untuk mohon maaf. Kakak bernazar Anis, jika Allah pulangkan suami kakak dengan selamat, kakak berjanji tak tinggalkan solat dan buka tudung lagi. Anis, tolonglah bimbing kakak,” kata Kak Zue.

Aku menyentuh tulip di tanah. Dalam lima anak perempuan ayah, aku satu-satunya tidak pergi ke sekolah agama dan menjadi ustazah. Akulah paling lasak dan keras. Tetapi kerana aku tinggal sebumbung dengan ayah dan emak selama 22 tahun, banyak ilmu mereka tertumpah padaku, secara tidak sengaja. Aku malu untuk berkata ‘ya’ pada Kak Zue. Aku belum dapat membaca dengan tepat, apakah tujuannya Allah SWT menghantarku ke sini di musim pandemik? Adakah secara kebetulan atau seperti kata ayah, “Pilihan untuk manusia hanya dua, menjadi lebih dekat pada Allah SWT, atau mengkufuriNya.”  

“Imam Pusat Islam di sini meninggal dunia hari ini kerana Covid 19. Dia pendakwah  hebat. Ketika awal pandemik muncul, dia menguruskan penghantaran stok makanan ke setiap rumah di kawasan kita, tidak kira Muslim dan non Muslim. Dia pergi dengan amal kebaikan. Kakak tidak boleh bayang, jika kakak dan abang dipanggil Tuhan sekarang, apakah bukti kerja dakwah kami selama 10 tahun di sini?” Kak Zue memeluk Hud yang leka dengan kereta mainannya.

Sekarang aku mendapat jawapannya. Bukanlah aku didatangkan untuk menjadi ‘guru agama’ Kak Zue tetapi apa yang diucapkan Kak Zue tadi, sangat ‘memukulku’. Aku berada dalam lingkungan Melayu-Muslim, jarang berfikir untuk jadi pendakwah. Cukup jadi Muslim yang taat. Kemampuan menyampaikan Islam kepada non- Muslim tidak pernah kufikirkan lagi. Tetapi petang ini, Kak Zue membuka fikiranku, pada tugas yang sangat besar, tugas para rasulNya.

Si virus, ia sangat halus, sangat licik dan sukar dijangka. Ianya menjadikan manusia memperhitungkan angka; berapa ramai yang mati? Berapa ramai yang sembuh? Berapa ramai yang hilang pekerjaan? Berapa ramai perlukan makanan? Berapa banyak industri yang hancur? Berapa cepat masa untuk pulih? Berapa lama tempoh had pergerakan? Berapa jumlah ICU dan mesin ventilator yang sepatutnya? Berapa ramai lagi akan dijangkiti? Semuanya memiliki jawapan yang tidak pasti. Tetapi jawapan yang jelas adalah, kematian manusia adalah pasti. Si virus didatangkan untuk mengingatkan aku, Kak Zue dan seluruh umat.

Telefon tanganku berbunyi. Tertera wajah abang keenamku di skrin. Kak Zue mengisyaratkan aku menjawab panggilan dahulu.

“Anis, Kak Zue ada di situkah?” tanya abangku.

“Ya, kami bersembang di laman rumah. Hari ini matahari panas, nikmat yang besar,” kataku.

“Oh patutlah Kak Zue tak pegang hp ya? Suami Kak Zue minta abang sampaikan. Dia dah tiba di London, nanti pihak syarikat akan hantar dia balik rumah,” kata abangku, turut didengar Kak Zue.

Belum sempat aku meletakkan telefon bimbit, kulihat Kak Zue sujud syukur di tanah. Bunga-bunga tulip di tepinya bergerak dihembus angin petang.

Loading

2 Replies

  1. Lawren – Penggunaan sudut pandangan serba tahu didapati dalam cerpen ini. Hal ini demikian kerana pengarang menonjol watak dengan menggunakan kata ganti nama ketiga. Selain itu, pengarang mengisahkan (telling) mengenai kehidupannya pada masa yang lampau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *