Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Pandemik Covid 19 bukan hanya satu makhluk yang lebih nipis 8 kali ganda dari rambut kita, tetapi dia juga penjahat yang meratah antibodi manusia tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan status sosial. Kerananya, kita semua (bahkan manusia di dunia) terpaksa melewati hari-hari di rumah. Covid 19 nampaknya mempertemukan kita dengan makhluk yang sama dahsyat dengannya (jika tidak diuruskan dengan baik) iaitu nafsu ammarah.

Saya termasuk golongan ibu-ibu yang baharu menyedari bahawa tidak mudah menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Sebagai pekerja yang waktu kami terbahagi dua (di pejabat dan rumah), tugas hakiki dapat dilaksanakan ketika berada di rumah (kebiasannya jam 5 petang sehingga jam 9 pagi esoknya). Perlaksanaan PKP yang bermula 17 Mac lepas telah mengubah sudut pandang saya sendiri terhadap peranan sebagai isteri dan ibu sebenar, iaitu 24 jam masa untuk suami dan anak-anak.

Bukanlah mudah menghadapinya. Anak-anak yang sedang membesar perlu disusun waktu mereka sebaik mungkin. Mana mungkin menggantikan masa persekolahan dengan hiburan gajet dan televisyen. Dalam waktu yang sama, rumah dan keperluan lain perlu ditangani serentak. Ada satu mutiara kata yang menyebutkan: “Sesungguhnya suami-isteri ibarat satu bait syair. Tidaklah cantik sebuah syair jika hanya baris pertama mempunyai kata-kata indah, sedangkan baris keduanya buruk..” Ini menggambarkan bahawa bukan hanya seorang isteri dan ibu perlu menguruskan rumahtangga, tetapi berganding bahulah dengan suami.

Minggu pertama PKP, emosi menjadi turun naik. Anak-anak gelisah tidak boleh keluar rumah, suatu pengalaman pelik buat mereka. Lalu, keinginan mereka diluahkan dengan pelbagai cara antaranya menyepahkan rumah, bergaduh sesama sendiri dan mahukan perhatian ibubapa (jika boleh 12 jam mahu kita melayani mereka tanpa henti). Beberapa kali saya menjerkahi mereka dan akhirnya berasa sesal dengan tindakan luar sedar. Masuk minggu kedua, suami mengajak anak sulung membuat jadual harian yang dipersetujui bersama. Bahkan anak-anak perlu patuh pada jadual. Saya membuka kembali buku-buku motivasi diri. Saya perlu mempersiapkan semula jiwa untuk menjadi ‘sekolah’ anak-anak.

Bacaan yang baik untuk ibubapa juga

Satu kisah Rasulullah SAW menjadi pedoman. Saya temui dalam buku kanak-kanak Himpunan 30 Kisah Kasih Sayang Nabi Muhammad SAW oleh Waqiuddin Chan. Zaid bin Harithah ketika umurnya 8 tahun telah dilarikan sekumpulan penjahat dan dijual di Pasar Ukaz. Lalu, anak saudara Saidatina Khadijah, Hakim bin Hazam membeli Zaid dan dibawanya Zaid ke Mekah. Sewaktu Khadijah menziarahi Hakim, anak saudaranya menawarkan kepada Khadijah beberapa kanak-kanak yang dimilikinya (untuk dijadikan hamba). Khadijah memilih Zaid bin Harithah.

Selepas berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW, Khadijah tergerak menghadiahkan Zaid kepada suaminya kerana Zaid adalah seorang hamba yang baik dan paling disayangi Khadijah. Bermulalah kehidupan Zaid bin Harithah yang masih kanak-kanak itu di sisi manusia paling agung, Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah memandang dan melayani Zaid sebagai hamba tetapi seperti anaknya sendiri. Baginda amat lembut dan tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepada Zaid.

Suatu waktu, ibubapa Zaid mendapat tahu anak mereka berada di Mekah. Mereka mahu membawa Zaid pulang ke kota halaman. Pergilah mereka ke rumah Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai hadiah dan barang-barang gantian untuk mendapatkan Zaid. Nabi Muhammad SAW tidak terus membuat keputusan agar Zaid kembali ke pangkuan ibubapanya, sebaliknya memberi kebebasan kepada Zaid untuk memilih siapa yang ingin diikutinya. Alangkah terkejutnya kerana Zaid memilih untuk tinggal bersama Nabi Muhammad SAW! Maka, ibubapa Zaid akur dengan keputusan itu. Mereka bahagia melihat kebahagiaan Zaid, bukan seperti gambaran mereka sebelum bertemu Nabi Muhammad SAW. Mereka bimbang jika Zaid dilayan seperti layaknya hamba sahaya.

Nabi Muhammad SAW lemah-lembut, tiada yang lebih lembut hatta anak gadispun boleh dibandingkan dengan lembutnya baginda berkata-kata, lembutnya baginda dalam kelakuan dan pergaulan dengan manusia.

Nabi Muhammad seorang yang berhikmah. Tidak sesekali baginda menyuruh orang lain membuat sesuatu kalau bukan baginda dahulu yang memulakannya sebagai teladan umatnya. Baginda menyuruh orang bersabar atas kemiskinan kerana baginda sendiri memilih hidup susah. Baginda sendiri menyuruh orang bekerja keras kerana baginda juga seorang usahawan berjaya.

Zaid bin Harithah tiada alasan lain memilih Nabi Muhammad SAW sebagai pelindungnya kerana pada sosok mulia itu terdapat rahmat bagi sekalian manusia. Cinta kasihnya kepada insan agung itu lebih daripada rasa kasihnya terhadap ibubapa.

Ya Allah..adakah anak-anak kita mendapat kelembutan daripada kita? Adakah anak-anak kita berasa terlindung dengan kasih sayang kita? Adakah kita memulakan hari dengan memeluk dan mencium anak-anak kita? Adakah kita bermuhasabah jika anak-anak kita degil mematuhi arahan kita? Adakah kita mencontohi kelembutan Nabi Muhammad SAW dalam tugas kita sebagai ibu dan isteri?

Covid 19 sedang mengganas di luar sana. Marilah kita lembutkan hati agar rumahtangga kita terdidik, tenang dan menjadi penawar untuk ahli-ahli syurga kita.

Salah satu cara kita mencari kelembutan adalah membelek kembali pedoman yang ditunjukkan oleh baginda rasul mulia, Nabi Muhammad SAW.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *