Kembara Islam Noorah Kathryn Bennet

oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Penghuni Rumah Kebajikan

Di England, rumah kebajikan kanak-kanak terbahagi kepada dua kategori. Pertama adalah kategori penjagaan sementara. Ibubapa yang mengalami masalah kewangan dan kesihatan boleh meletakkan anak mereka di rumah kebajikan untuk satu tempoh tertentu sehingga mereka pulih. Kedua, jika anak-anak langsung tidak mempunyai keluarga, mereka akan dipelihara oleh jabatan kebajikan sehingga mampu berdikari. Aku tidak pernah bermimpi akan dimasukkan di kedua-dua rumah kebajikan ini. Tetapi keadaan mencaturkan sebaliknya.

Selepas kelahiran Sarah, ibu disahkan berpenyakit mental dan tidak boleh menguruskan rumahtangga. Setiap daripada kami diarahkan tinggal di rumah kebajikan kanak-kanak yang berasingan. Hubunganku dengan bapa juga terputus. Dia membawa diri dan tidak mahu bertangunggjawab kepada ibu dan anak-anaknya. Kerajaan British mengambil alih tanggungjawab sosial terhadap keluarga kami dengan menyediakan rumah, makanan, sekolah dan pembiayaan peribadi secara percuma. Sejak dimasukkan ke pusat kebajikan kanak-kanak, aku bagaikan hidup sebatang kara di dunia ini.

Mungkin keadaan di rumah kebajikan kanak-kanak tidak terlalu buruk. Di sana, kami diberikan pendidikan dan kaunseling. Setiap daripada kami diyakinkan bahawa hidup adalah positif dan menyeronokkan. Guru-guru menghiburkan kami dengan nyanyian dan puisi kasih sayang. Aku dan rakan-rakan yang berusia bawah 12 tahun digalakkan untuk berinteraksi sesama sendiri sebagai terapi komunikasi awam kami. Namun, Ia tidak semudah seperti tadika atau sekolah harian biasa. Setiap kanak-kanak yang datang ke sini membawa kisah luka dan trauma. Melihat guru-guru, barangkali dapat memadamkan sebentar kesedihan itu. Tetapi kami akan kembali ke dalam diri sendiri pula pada banyak saat selepas itu.

Agak menjengkelkan kelakuanku di takah umur kanak-kanak ini. Aku gemar memberontak, pemarah dan akan bangkit melawan sekiranya ditekan. Gambaran kelakuan ganas bapa terhadap ibu dan cubaan ibu membunuh dirinya mendorongku berkelakuan yang sama. Aku menganggap semua manusia akan menjadi jahat apabila sampai waktunya. Kebaikan itu bersifat sementara dan sifat semulajadi manusia adalah kejahatan.

Kisah luka teman-temanku tidak jauh berbeza dari gambaranku di atas. Malahan, terdapat di kalangan mereka yang menghadapi cubaan dibunuh ibubapa sendiri. Itulah realitinya bumi England yang dibanggakan di dunia ini. Banyak keluarga menghadapi masalah apabila negara semakin pesat maju. Taraf hidup menjadi tinggi dalam keadaan manusia masih tidak bersedia dari sudut jiwa, pemikiran dan pendapatan keluarga. Apabila masalah muncul, penyelesaiannya amat mudah. Sama ada menelan buih-buih arak, dadah atau menamatkan riwayat sendiri.

“Ayahku penagih alkohol, ibuku berubah watak dan mengasingkan diri.  Kami adik-beradik terbiar dan dipungut pihak berkuasa untuk ditempatkan di sini.” Hampir sama sinopsis jalan hidupku dengan semua kanak-kanak di sini.

“Ibu pernah mahu membunuhku kerana benci pada ayahku,” kata seorang kanak-kanak.“Ibu menjadi pelacur kerana kesempitan hidup tinggal di kotaraya. Aku hampir menjadi mangsa teman lelakinya,” cerita kanak-kanak lain pula. “Ayahku bekas tentera dalam Perang Dunia Kedua, dia mengalami gangguan jiwa kerana terlalu banyak orang dibunuh depan matanya. Aku ditinggalkan di sini kerana takut menjadi mangsanya ,” adu rakan yang lain.

Ya! Kami semua adalah mangsa ketidak adilan ibubapa dan persekitaran. Yang menjadi persoalan, mengapakah kerajaan tidak mengharamkan minuman yang menjadi punca masalah rumahtangga Inggeris itu? Mengapa arak dijual di setiap mini market dan pasaraya? Dan mengapa bar dan kelab hiburan bagaikan cendawan tumbuh di setiap pelusuk daerah England, malahan seluruh United Kingdom? Gambaran masyarakat metropolis semakin jauh dari kisah-kisah Bible yang diperdendangkan kepada kami.

Rakan-rakanku di sini tidak harus dipersalahkan atas kelakuan seharian mereka. Sebahagian besar daripada kami menjadi kanak-kanak hiper aktif dan sukar dikawal. Bayangkan jika anda berada di tempat kami? Bolehkah anda menahan rindu kepada ibu sedangkan anda tahu dia masih hidup? Ibu yang dulu memasakkan puding yang manis dan sering berkisah tentang kepahlawanan tentera Rom dan Brigantes yang saling berebutan wilayah Yokshire untuk membangkitkan keberanian kami, kini sepi dalam daerahnya sendiri. Tiada siapa yang menjenguk kami di rumah kebajikan ini. Guru-guru yang menyapa sayang seolah penglipur lara yang wujud dalam kisah pari-pari sahaja. Kasih sayang sejati sudah mati.

Rakan-rakanku ada pengalaman menjadi pencuri dan jenayah juvenil lain. Daripada mereka aku mengutip sedikit sebanyak kisah gelap kanak-kanak gelandangan. Bahasa mereka yang kasar seperti bahasa kumpulan mafia turut mempengaruhi percakapanku. Kadang kami meniru kembali lagak bapa-bapa kami yang ganas ketika dipengaruhi alkohol dan beraksi sesama kami.

Aku tidak betah lama di rumah kebajikan kanak-kanak, percubaan melarikan diri  berjaya. Kemudian aku diambil semula oleh pegawai kebajikan untuk dimasukkan ke rumah sosial lain. Dalam tempoh tersebut, ada beberapa kali aku pergi mencari ibu di hospital. Rupanya ibu ditempatkan di komplek pemulihan yang sangat kondusif dan privasi. Ia terletak di sebuah kampung kecil yang hanya mempunyai beberapa buah rumah, sebuah kedai,  pejabat pos dan sekolah. Ibu dipantau oleh pihak hospital setiap masa kerana penyakitnya belum pulih. Dia masih cuba membunuh diri akibat trauma dengan perbuatan bapa. Oleh itu, kami anak-anak tidak boleh hidup bersama ibu. Di waktu yang lain, makcik datang menjenguk, namun kami tidak dapat menumpang kasihnya kerana dia juga mempunyai keluarganya sendiri.

Aku tiada pilihan selain menghabiskan umurku di rumah kebajikan kanak-kanak. Di sana, walaupun gamat dengan kemeriahan dan kebaikan guru-guru, aku tetap terpinggir sepi. Bilakah semua ini akan kembali seperti dulu? Rumah kebajikan kanak-kanak tidak memberikan kebahagiaan sejati seperti sebuah keluarga yang sebenar. Itu menjadi alasan mengapa aku mempunyai pengalaman di 21 buah pusat kebajikan ketika musim kanak-kanak dan remaja awalku.

Loading

admin Ceritalah London ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *