OLEH : UMMU HANI ABU HASSAN

Ke Penjara Juvenil

Kenakalanku makin memuncak apabila pihak berkuasa mendapati aku mempunyai rekod hitam di kebanyakan rumah kebajikan kanak-kanak yang kuhuni. Akhirnya, pada umur awal belasan tahun, aku dimasukkan ke penjara kanak-kanak England. Ia sebahagian pengalaman hitam yang ingin kupadam. Berbeza dengan dua kakakku, mereka telah bebas mencorak hidup sendiri. Di usia 16 dan 17 tahun, kakak-kakakku mempunyai kerjaya yang boleh menampung hidup mereka. Aku dan adik masih dalam seliaan pihak jabatan kebajikan masyarakat. Sepanjang masa, hidupku adalah kemuraman.

“Ibu, mengapakah kita sekeluarga tidak boleh berkumpul seperti dulu?” tanyaku kala melawat ibu di pusat pemulihannya.

“Kebahagiaan ibu sudah mati,” jawabnya lemah.

“Kami bukankah kebahagiaan ibu?” Aku berusaha menaikkan semangat ibu. Matanya memberi gambaran dia kecewa meneruskan kehidupan. Tetapi, aku tidak boleh mengalah dengan kejatuhan ibu.

“Kamu menyusahkan diriku. Pergi..pergi..!” jerit ibu. Pegawai kesihatan menyuruh aku pulang. “Ibumu akan sembuh nanti, kami akan usahakan,” katanya entah kali ke berapa. Aku tidak menaruh harapan tinggi lagi melihat ibu bangkit semula. Memang ibu ingin membuang kami yang menjadi sebahagian sejarahnya bersama bapa. Adilkah begitu? Tiba-tiba naluri kasih terhadap ibu berubah menjadi amarah dan dendam.

Akan kubuktikan kepada dunia bahawa aku lebih jahat daripada bapa atau ibu. Kasih sayang dan cinta hanyalah ilusi guru-guruku. Mereka sendiri tidak pernah melihat Jesus dan sifat cintanya, bagaimana mungkin mereka menggambarkan begitu detail ke telinga kami. Ah! Itu semua pembohongan untuk menundukkan potensi jahat yang wujud dalam diriku dan teman-teman.

“Ibu sama seperti bapa. Dia juga menjadi penagih alkohol sekarang. Dia langsung tidak mempedulikan aku dan adik!” aduku pada seorang kaunselor yang cuba menyelidik punca masalah juvenilku di sekolah.

“Kamu tidak boleh mengulangi perbuatan itu lagi. Ia bertentangan dengan ajaran Kristian kita.”

“Tidak! Aku tidak pernah percayakan agama. Orang dewasa hanya pandai bercakap tetapi mereka tidak melaksanakan. Kamu dan orang lain ingin melihat aku dan kanak-kanak lain baik kerana kepentingan diri. Kalian takut kami mencuri harta kalian dan merosakkan imejmu sebagai guru. Tetapi siapa mempedulikan jiwa kami ketika bapa dan ibu kami membaling kata-kata najis, ‘kalian menyusahkan hidupku!’” Aku memberontak keras.

Hidup yang terpenjara kini benar-benar di dalam penjara. Di hadapanku, bukan lagi kanak-kanak pemberontak yang selau menjerit dan menengking sahaja, tetapi mereka adalah kumpulan jahat seperti yang kutonton dalam filem mafia. Walaupun semuanya bawah 18 tahun, namun jenayah yang dilakukan hampir-hampir tidak pernah difikirkan orang dewasa. Aku tidak sangka akan termasuk dalam kumpulan ini. Walaupun pelbagai perkara nakal telah kupraktiskan, tetapi tidak sampai terfikir untuk membunuh atau mencabul orang lain. Adakah jalan keluarku dari tempat seperti neraka ini?

Penyelia di sini juga berbeza daripada guru-guru di rumah kebajikan kanak-kanak. Mereka memanggil kami seperti menghalau anjing kurap. “Hoi budak jahat!” atau “Si jahat!” menggantikan “Sayang” dan “Anakku” yang pernah dipertuturkan paderi di gereja. Bagiku, penjara bukanlah tempat yang baik untuk remaja  bawah umur 18 tahun membesar. Walaupun pihak berkuasa mempunyai undang-undang khusus kepada para juvenil, kata penjara itu sendiri merosakkan masa depan mereka setelah dibebaskan. Malahan, bagi sesetengah remaja nakal yang terperangkap dengan undang-undang, apabila mendengar pengalaman jenayah banduan lain yang lebih berat, mereka mendapat taktik kejahatan baru. Oleh itu, penjara yang sepatutnya berfungsi memulihkan setiap juvenil bertukar menjadi sekolah mempelajari taktik jenayah.

Adalah tidak adil menempatkan aku di sini kerana masalah sering melarikan diri dari rumah kebajikan sosial. Aku bukan penjenayah yang boleh mengancam keselamatan dan harta benda orang lain seperti juvenil di sini. Sikapku yang agak bengis hanyalah satu protes kepada ibubapaku. Mengapakah hidupku menjadi lebih buruk dari hari ke hari? Jika begini malang nasibku, apakah alasan Tuhan menciptakan aku ke dunia ini?

Di balik tembok besi, kami tidak bebas bermain di taman atau membeli sesuatu yang disukai di pasaraya. Pakaian yang dikenakan juga adalah seragam dan membosankan. Di ruang tidur, setiap tahanan remaja diberikan tilam dan bantal, malah diberi kebebasan untuk menampal poster yang disukai di dinding. Hiburanku setiap hari adalah melukis di kertas. Wajah bapa, ibu, dan tiga saudaraku yang lain tidak mungkin kulupuskan walaupun keadaan tidak memihak kepada kami untuk menjadi sebuah keluarga.

“Kau berdoalah pada Tuhan agar boleh keluar dari tempat ini. Aku lihat, kau lebih baik dari kami semua Kathy, kau berhak mendapat kebebasan,” cadang rakan banduanku. Aku ketawa kuat.

“Entahlah. Jika aku berdoa, Tuhan akan mendengarkah? Selama inipun, tidak pernah satu yang Tuhan berikan pada kami bersifat kebahagiaan. Semuanya semakin buruk. Kalaulah aku tidak waras seperti ibuku, sudah lama aku bunuh diri. Tapi aku ingin membahagiakan adikku. Aku tidak mahu mati lagi sekarang,” jelasku yang kini berusia 16 tahun.

“Jika begitu, kau bayangkan adikmu setiap masa. Mungkin boleh menghentikan tangisanmu dalam tahanan ini. Walaupun aku jahat dan pernah mencuri, tetapi aku tidak mahu menyalahkan orang lain. Suatu masa, aku mahu berubah menjadi orang berguna.” Kata-kata itu memberiku semangat baru biarpun kadar kestabilan jiwaku tidak tetap. Para juvenil yang pernah ketagihan dadah atau ganja tentu lebih teruk untuk berubah. Tetapi, di kalangan mereka masih menyimpan harapan untuk bebas daripada ketagihan. Aku? Aku hanya perlu berfikir positif dan berkelakuan baik agar cepat dibebaskan dari penjara juvenil ini.

Beberapa tahun dalam tahanan, pihak penjara membenarkan aku belajar di Kolej Hull dengan pantauan mereka setelah mendapati aku berkelakuan baik. Peluang ini kugunakan sebaiknya untuk belajar dan melupakan masalah peribadiku buat seketika. Kemahiranku dalam bidang lukisan dan kraftangan diasah dengan latihan oleh pihak kolej selama setahun. Walau bagaimanapun, aku tidak sempat mengambil peperiksaan akhir.

Aku tidak sedar kelakuanku sentiasa diperhatikan oleh seseorang. Dialah lelaki berhati malaikat yang ingin menyelamatkan aku dari situasi gila ini. Mr Don, seorang pekerja sosial yang selalu datang melakukan kerja di penjara ini perasan karakterku berbeza dari seorang yang dipanggil juvenil. Dia turun naik berjumpa para pegawai penjara dan pusat kebajikan kanak-kanak untuk menjadikan aku anak angkat keluarganya. “Aku yakin Kathy tidak seperti juvana lain. Dia remaja yang baik. Aku ingin mengambilnya sebagai anak angkat,” kata Mr Don.

“Tidak, kau tidak boleh begitu Don. Dia sangat nakal,” kata seorang pegawai. Mr Don terus meyakinkan mereka dan akhirnya kata putus diberi.

“Kau berhak membawanya ke rumahmu tetapi, inilah saat terakhir kau bekerja di pusat ini!” Mr Don, dengan penuh keyakinan menganggukkan kepala.

“Aku percaya Kathy akan menjadi orang yang baik jika tinggal di tempat selain penjara ini. Aku terima dengan senang hati keputusan kalian. Aku akan pergi dari sini bersamanya,” kata Mr Don.

Oh! Pada hari itu aku seolah mendapat gambaran tentang Jesus yang memeluk anak-anak dengan sikap Mr Don. Tidak pernah dalam kehidupanku, ada orang yang sanggup berkorban demi kebahagiaanku. Dan di hadapan Mr Don juga aku berjanji untuk tidak mengulangi segala kenakalanku selama ini. Aku akan malu padanya dan seisi dunia jika ditakdirkan kembali ke sekolah yang kugelarkan ‘pusat kejahatan baru’ itu.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *