Setenang Sungai Korea Selatan

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

“Dan Dia mengukuhkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”- an-Nahl ayat 15.

Setiap kali saya menaiki bas untuk ke universiti, pasti akan melalui sungai yang membentengi Pekan Seokgye dan Nowon, hampir di Timur Seoul. Sungai ini antara puluhan sungai kecil yang berarus ke Sungai Han iaitu sungai utama di Seoul. Dari  cermin tingkap bas, saya menatap sungai yang mengalir tenang. Airnya tidak begitu dalam, ternampak bunga-bunga kecil yang melata di kawasan bertanah tepi sungai.

Pandangan dari kejauhan kemudiannya menjadi satu keinginan untuk mendekat. Sewaktu pertukaran bas lain di Stesen Seokgye, saya mula memerhatikan dari balik benteng yang di bawahnya sungai kecil mengalir. Sungguh, tiada sampah dan sisa pencemaran. Yang ada hanyalah kumpulan itik dan beburung riang mengusik air. Masya Allah, saya menjadi terpesona.

Begitupun ketika mengitari Sungai Han yang sudah ditakluk tamadun pada kurun 18 sebelum Masihi, sungainya seolah-olah tidak pernah disentuh perubahan masa. Saya mula nakal membandingkan dengan sungai-sungai di Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara sungai, justerulah nama-nama negerinya (seperti Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak) diambil daripada nama sungai. Malangnya, sungai-sungai di negara kita banyak yang tercemar. Bau di Sungai Klang sahaja cukup membuatkan itik menjauhinya, apatah lagi manusia. Jika begitulah keadaannya, bagaimanalah manusia boleh mendapat petunjuk (hidayah) daripada kebesaran Allah SWT yang menciptakan sungai dan semua makhluk?

Semakin Tunduk 

“Orang Korea majoritinya tidak beragama, tetapi adab mereka kepada alam termasuk sungai menyebabkan kita malu,” saya bercakap kepada diri sendiri. Pentingnya sungai kepada bangsa Korea dapat dilihat melalui usaha kerajaannya yang silih berganti. Dari tahun 2009, Kerajaan Korea telah membelanjakan kira-kira 18 billion US Dolar untuk menjaga alam semulajadi terutama sungai yang menjadi penghubung antara daerah dan kota. Usaha ini turut melibatkan pemindahan kilang dan lokasi yang boleh mencemarkan sungai. Bahkan, menurut pemerintah Korea, mereka membersihkan sungai seolah seperti membersihkan ateri seorang pesakit arteriosclerosis; perlu berhati-hati dan serius!

Allahuakbar! Di manakah pemimpin-pemimpin negara Islam yang mahu ke hadapan bercakap tentang pembersihan sungai dan alam semulajadi, tanpa niat politik atau menaikkan diri sendiri? Dan persoalan lain, mengapakah masyarakat di negara majoriti umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerjasama dengan pemimpin mereka untuk menjaga sungai?

Saya melirik lelaki dan wanita Korea berumur separuh baya, berjalan kaki di tepi sungai. Di sisi mereka, anak anjing berlari terkedek-kedek. Sepasang suami isteri dan dua anak pula mengayuh basikal, girang dan segar dek puputan angin. Bunga ilalang menari-nari sepanjang sisir sungai. Dua pasukan bola jaring sedang berentap di gelanggang yang juga terletak tebing sungai. Rumah-rumah tinggi yang tegap, balkoninya mengadap ke Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeosang: empat sungai yang memartabatkan bangsa Korea. Semuanya seolah-olah ingin melihat ke sungai, ketika melakukan apa-apa sahaja. Seperti lirik Yi Byeong-yeon, “Saat cahaya matahari pagi menari di Sungai Han, aku dapat menyaksikan dengan samar kapal-kapal nelayan di antara puncak gunung.” Kerana sungai seluruh Korea yang indah, semuanya mahu mendekat dan menatap air yang terus mengalir.

Pesan Imam Syafie 

Sungai amat penting kepada perantau seperti saya dulu. Di sungai, saya teringatkan diri sendiri; apakah mahu mengambil iktibar resam air sungai? Kata Imam Syafie, “Jadilah seperti air sungai yang mengalir, bukan yang bertakung kerana air yang mengalir itu memberi manfaat kepada manusia. Manakala air yang bertakung cepat busuk dan mendatangkan mudarat.”

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak berkisah tentang syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Keindahan sungai-sungai di syurga pasti tidak terbayang oleh akal fikiran. Namun, sebagai motivasi kita dapat mengambil ‘semangat’ mahu ke syurga dengan melihat ‘bunga-bunga’ kisahan Allah SWT yang ada di dunia. Di waktu malam, saat kami berpeluang mengitari sisir Sungai Han yang dipercik cahaya lampu-lampu seluruh Kota Seoul, lalu hatipun berbisik, “Ya Allah, bagaimanalah sungai-sungai di syurga nanti, memandang sungai di hadapanku ini sahaja amat indah? Allahuakbar!”

Lalu, saya menyimpul iktibar. Sungai dapat menjembatani manusia kepada hidayahNya. Seperti ayatNya dalam Surah an-Nahl ayat 15 di atas. Kejadian Allah SWT secara fitrahnya sangat indah, cuma tangan-tangan manusialah yang menghancurkan keindahan itu. Di setiap sisi ciptaanNya adalah untuk manusia berfikir.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita (dan negara majoriti umat Islam) telah dirosakkan manusianya sehingga menyebabkan ramai manusia jauh (dek sungai yang kotor) daripada memikirkan kebesaran Allah SWT.

Tetapi sungai-sungai di Seoul ini menyebabkan kami berasa kerdil dan tunduk padaNya.

Allah ya Allah. 

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *