Pengalaman mengandung dan bersalin tidak boleh dibandingkan dengan orang lain. Sebagaimana Allah SWT menciptakan kehidupan seorang manusia, tidak akan sama dengan manusia lain hatta mereka adalah pasangan kembar. Itulah lambang kebesaran Allah SWT. Dia menciptakan sesuatu yang berbeza untuk memilih yang paling sempurna (taqwa):

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). ” (Surah Al-Hujurat: 13).

Tanggal Oktober 2019, saya disahkan mengandung anak ketiga setelah enam tahun ‘tiada rezeki’ atau istilah lainnya Tuhan merehatkan saya untuk memfokuskan hal yang lebih penting; ilmu dan hijrah. Pada tahun 2015, Saya diberitahu pakar sakit puan Hospital Seoul Medical Centre, Bongwahsan bahawa saya mempunyai ketumbuhan fibroid luar rahim. Ianya menjadi salah satu alasan mengapa ‘saya susah mengandung’ selepas melahirkan anak kedua pada tahun 2014.

“Apa perasaan mengandung dalam usia akhir 30-an?” tanya seorang sahabat. Perasaannya sama, seperti dua kandungan sebelum ini, bersyukur dan sangat gembira. Cuma, persediaan jiwa dan fizikal mungkin ada sedikit perbezaan.

ANAK PERTAMA

Saya berumur 26 tahun ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu bertugas sebagai pensyarah kontrak di UITM Lendu, Melaka . Suami masih di tahun akhir pengajian di UTHM, Johor. Setiap minggu dia pulang ke Masjid Tanah, Melaka. Saya banyak berdikari apabila keadaan kami yang jarak jauh. Tabahkan hati dan berjimat-cermat. Gaji saya tidak besar, RM1600. Dengan wang itulah kami suami isteri hidup seadanya. Saya tidak membuat persiapan mewah untuk melahirkan anak. Pakaian dan alatan dibeli berdasarkan harganya murah, bukan kualiti. Waktu itu juga saya bertarung menyelesaikan tesis sarjana dan syukurlah, dua hari sebelum pembedahan bersalin, saya sempat ‘submit’ tesis tersebut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian dapat masuk hospital (Hospital Besar, Melaka) dengan separuh bebanan ilmu terlerai.

Mengapa pembedahan? Ramai yang gusar apabila saya memaklumkan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan termasuklah ketua fakulti kami di CITU, Allahyarham Ustaz Sulaiman. Sebaik tahu kedudukan anak dalam perut saya sonsang, dia menyuruh isterinya membuat urutan kepada saya. Namun, siapakah dapat menolak takdir Allah SWT? Saya memang ditakdirkan menjalani pengalaman dalam dewan bedah.

Semuanya serba baharu dan serba pertama kali. Tidak ada ilmu tetapi saya membaca beberapa buah buku dan blog orang lain. Allah SWT memahamkan saya rezekiNya tidak dapat diukur dengan nilai gaji. Secara logik, gaji saya kecil dan suami masih belajar tetapi Allah SW mengurniakan pelbagai nikmat rezeki sepanjang proses saya mengandungkan anak pertama. Bermula dengan penajaan sebuah syarikat penerbitan untuk kami suami isteri ke London selama 10 hari (untuk buku Noorah), kemudian saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT menulis buku, skrip drama televisyen dan menyelesaikan tesis sarjana. Allah ya Allah, syukur padaMu.

Dalam kesederhanaan mengharungi hidup baharu sebagai ibu, Allah SWT juga datangkan sahabat yang berkongsi alatan penyusuannya dengan saya. Malah, banyak lagi pemberian kawan-kawan yang menyebabkan semuanya lengkap untuk anak pertama. Ketika usia anak masuk bulan kelima (atau keenam) saya mendapat tawaran menyambung Ph.D dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya. Maka saya dan suami (yang telah menyelesaikan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal) membuat keputusan pindah ke Kuala Lumpur. Saya meletakkan jawatan sebagai pensyarah kontrak di UITM, Lendu.

ANAK KEDUA

Saya mengetahui sedang berbadan dua selepas menjalani kursus Biro Tata Negara (BTN) pada hujung 2013. Kehadirannya dalam tubuh saya mengejutkan sekaligus menggembirakan kami. Anak pertama sudah berusia dua tahun lebih, tempoh yang cukup baik untuk saya mengandung semula selepas pembedahan bersalin pada 2011. Waktu itu juga, saya sedang bergelut mencari tempat pengajian baharu di luar negara. Pihak Universiti Malaya mengarahkan saya menyambung Ph.D di luar negara dan pilihan yang saya ada antaranya Negara Jerman dan Korea Selatan.

Saya meyakini bahawa proses mengandung adalah nikmat yang berseli ujian. Nikmatnya adalah doa-doa mudah dimakbulkan Tuhan, rezeki mencurah-curah dan datang tanpa disangka. Ujian pula agak hebat kerana saya melalui proses ‘mabuk’ yang agak dahsyat. Kami telah membeli rumah jenis kondominium lama di Damansara Damai. Suami bekerja sebagai jurutera dan saya masih sebagai penyelidik di Universiti Malaya. Angin-angin alahan begitu kuat sehingga saya tidak mahu duduk di rumah sendiri, berhenti dari UM dan ajak suami pulang ke kampung sementara kami berhijrah ke luar negara.

Disember 2013, saya, suami, anak pertama dan anak dalam kandungan pulang ke Kedah. Rumah kami berjaya disewakan sebelum pulang. Kami bertawakal padaNya mudahan perancangan ke luar negara Allah SWT makbulkan pada tahun 2014. Dua bulan lebih kami menumpang teduh di rumah ibubapa saya di Kedah. Dalam keadaan diri yang masih alahan, nenek saya dijemput Ilahi. Kemudian, saya mendapat panggilan dari Hankuk University of Foreign Studies, Seoul agar segera mendaftarkan diri. Mereka memberikan saya biasiswa berbentuk penajaan yuran, manakala Universiti Malaya bersetuju memberikan saya biasiswazah sebanyak RM2800 sebulan. (Kami tidak dapat bayangkan lagi yang hidup di Seoul kos hidupnya sangat tinggi, RM2800 tu bernilai kira-kira 800 duit Korea). Dengan meyakini bahawa rezeki Allah SWT itu Maha Luas tidak bertepi, maka terbanglah kami termasuk anak kedua dalam kandungan ke Seoul tanggal 2 Mac 2014.

Hari-kari kandungan membesar dalam perut adalah hari-hari sibuk saya sebagai pelajar di HUFS, Seoul. Rumah kami adalah sebuah bilik seperti bilik hotel dengan sewa 200,000 won (dalam RM600). Saya menaiki subway dan bas ke universiti. Memanjat bangunan 4-5 tingkat yang tiada lif. Hidup di Seoul sangat mahal. Wang simpanan yang kami bawa juga menyusut cepat. Suami dan anak berkorban untuk saya. Tetapi, kami sudah nekad dan sama-sama bersabar.

Dalam keadaan begitu, tidak banyak persediaan untuk anak kedua. Malahan, kadang saya terlupa saya ‘sedang mengandung’ akibat kehidupan ‘sengit’ di kota besar seperti Seoul. Berjalan laju dan berjalan tanpa henti kerana kaki adalah kenderaan utama kami. Saya memperbanyakkan doa agar kali ini saya bersalin normal bukan pembedahan.

Sewaktu kandungan memasuki bulan ke tujuh, profesor membenarkan saya pulang bersalin di Malaysia. Ini kerana, kos bersalin di Seoul yang mahal dan amat menyedihkan, University Malaya belum memberi saya wang bulanan. Maka kami pulang ke Malaysia dan tinggal di Kedah sementara saya melahirkan anak. Alhamdulillah, anak kedua ini Allah rezekikan saya merasai kesakitan bersalin normal. Malah, selepas dua bulan, Allah SWT memudahkan kami 4 beranak pulang semula ke Seoul. Saya meyakini, setiap anak akan ada bahagian rezeki mereka. Sekembali ke Seoul, saya mendapat tawaran mengajar sambilan di HUFS sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Melayu-Indonesia, HUFS (2015-2018).

ANAK KETIGA

Keadaan diri tidak secergas dahulu. Alahan yang dialami juga kuat. Umur sudah 37 tahun. Saya dimaklumkan awal oleh pakar sakit puan agar bersalin secara pembedahan ekoran sejarah pembedahan fibroid pada Januari 2019. Allah, sebenarnya saya takut bila bayangkan bilik bedah dan alatannya, ngeri.

Tetapi di sebalik ujian, ada hikmah yang besar. Pandemik melanda dunia, PKP dilaksana dan WFH (work from home) menjadi norma baharu. Waktu-waktu mengandung kali ini sebahagian besarnya dalam rumah, bersama keluarga. Justeru, tidak perlu bersesak di jalan raya, bersibuk antara tugas pejabat dan rumahtangga dan semua dilakukan secara tenang. Ibadah juga lebih tersusun; solat jemaah awal waktu, membaca al-Quran lebih lama dan membaca buku. Alhamdulillah, saya dapat hasilkan empat buah cerpen dan dua buah artikel kali ini. Semuanya saya kembalikan kepada Allah SWT yang menitipkan nikmat masa, kesihatan, semangat dan peluang.

Waktu-waktu PKP memberikan saya peluang membuat persediaan bersalin lebih awal. Membeli pakaian bayi secara online, mengumpul barangan yang diperlukan seperti katil bayi, alatan penyusuan, tilam bantal, car seat dan mencatat setiap hal yang perlu dilakukan sebelum dan selepas bersalin. Saya kira, inilah kali pertama saya betul-betul ‘bersedia’ ekonomi berbanding keadaan diri ketika mahu melahirkan anak pertama dan kedua. Namun, semua itu tidak boleh diukur kerana rezeki Allah SWT untuk setiap anak sangat luas. Ibubapalah yang menumpang rezeki anak-anak. Dan, beberapa hari lagi saya akan masuk ke dewan pembedahan, saya terus berdoa agar Allah SWT memberi keselamatan, kemudahan dan kekuatan untuk menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anak, kerana mereka adalah amanah dariNya.

Insha Allah saya akan teruskan catatan pada masa akan datang terutama dalam tempoh berpantang. Banyak yang perlu dicatatkan untuk tujuan ‘menyampaikan kebaikan’ bagi ibu-ibu muda yang lain. Yakinlah, rezeki Allah jangan sesekali diukur dengan wang gaji kita atau suami, kerana setiap anak akan membawa rahmah dalam kehidupan ibubapanya.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *