
Perlahan-lahan daku menyedari bahawa masa begitu pantas. Paradoks ini berpunca dari tidak siapnya daku terhadap keutamaan meletakkan yang utama di atas hak yang lain. Namun, kuasa niat atau kuasa doa memang telah dijanjikanNya kepada manusia Muslim, mafhum Hadith Baginda Mulia Nabi Muhammad SAW, ‘Doa itu adalah senjata mukmin.’
Baru-baru ini, aku berkenalan dengan Jannah. Dia wanita Korea Muslim. Cara dia mendapatkan hidayahNya begitu unik kerana dia mencarinya sejak awal. Lalu pada usia 18 tahun, tanpa pengetahuan keluarganya atau kawan-kawan dekatnya, dia nekad masuk Islam. Sekarang usianya 24 tahun. Dia masih bersembunyi dalam jaga. Dia tinggal bersama ibubapa di Suwon, namun tiada keluarga yang tahu dia memeluk Islam dan dia memberitahu aku; dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun secara sembunyi-sembunyi. Jannah mempraktikkan hijab hanya selepas keluar dari rumah, juga kerana tidak mahu ibubapanya tahu.
Bagaimana Jannah menjaga pemakanannya dari daging yang tidak halal? Sejak sebelum Muslim, Jannah lebih dahulu menjadi vegetarian. Dia tidak makan sebarang daging dan ini diketahui ibubapanya. Perkara ini menyelamatkannya selepas menjadi Muslim kerana Jannah tidak berjauhan dengan ibubapa. Pertemuan pertama kami di Hongdae, Seoul mencetuskan kemahuan ‘lamaku’ untuk melamar Jannah. “Mahukah kamu belajar Al-Quran dengan saya? Saya mempunyai masa yang percuma untuk kamu?” soalku. Jannah bersetuju lalu kami bertukar nombor telefon.
Satu-satunya motivasiku untuk mengajar Jannah adalah bahasa. Dia bertutur Inggeris dengan baik. Jurang bahasalah penyebab aku terbatas mempraktiskan seruan dakwah secara langsung di Korea.
Jannah bukan non-Muslim untuk diajak beriman, dia terang-terang sudah Muslim lebih lima tahun. Jannah bukan menjauhi agama Islam malah mempraktikkan secara sendirian dengan panduan dari pelbagai laman web Islam. Jannah hanya perlukan kawan Muslim yang baik untuk sama-sama ‘berpesan kepada kebenaran dan kesabaran’.
Sebelum daku terlambat lagi memaknai sebab mengapa aku datang duduk di Korea jauh-jauh dari keluarga tercinta di tanah air.