Manusia adalah makhluk bernostalgia. Sungguh hebat ciptaan Allah SWT menjadikan manusia punya pancainderanya yang enam; penglihatan, pendengaran, rasaan, sentuhan, bauan dan mata hati. Bahkan dibaluti pula dengan emosi pada setiap gerak pancainderanya.
Saat mendengar azan, yang terpancar di fikiran tiba-tiba adalah kubah-kubah masjid di penempatan Jaddat Salamiyeh, Damsyik. Pagi Hari Raya Aidiladha tahun 2006, saya bersama dua sahabat berkejaran ke Masjid Abu Nour dan malangnya kami ketinggalan menunaikan solat hari raya berjemaah. Kami terlambat dan disåpa peniaga-peniaga khoruf (kambing biri-biri) di pasar. Kedai-kedai lain semuanya tutup. Pada hari itu juga kami bertembung dengan Allahyarham Tuan Haji Azmil Mustafa, bekas pelakon terkenal Malaysia. Dia bersama tiga anaknya memang tinggal di Syria, mendalami ilmu agama dan bahasa Arab.
Hanya pancaindera ‘mendengar’, fikiran akan terbang ke juzuk-juzuk kenangan di sepanjang hidup, secara silih ganti. Azan Magrib pada Khamis, 23 April 2020 sangat menyentuh perasaan. Dalam perancangan, kami tidak berada di rumah untuk mengucapkan ‘ahlan wasahlan Ya Ramadan’ tetapi berada di Kedah, bersama tokwan, ibubapa, adik-adik dan anak-anak saudara untuk berterawih di Surau An Nur, Kampung Gajah Putih. Begitulah perancangan makhluk; bukan sesuatu yang wajib bagi Tuhan untuk meluluskannya.
Darda’ menyentuh tubuh saya, ingin tidur di sisi emaknya; sesuatu yang sukar kerana perlu berebut dengan adiknya Dawud. Berkah Ramadan, Dawud lembut hati memberikan peluang abangnya tidur sebelah saya. ‘Sentuhan’ anak sungguh mengelus kenangan saya masa kecil. Saya dan adik kedua berebutan mahu tidur sebelah Almarhumah Tok Piah. Bukan sekadar tidur tetapi mahu wajah tok juga menghadap kami. Saya selalu menang. Saat saya memeluk Darda’, terasa begitu cepat masa terbang. Dia makin besar, hari ini 9 tahun usianya, tahun depan entah dia sudah malu tidur memeluk saya. Sebelum tidur, kami membaca Majalah Asuh bersama-sama. Saya bacakan sejarah Ibnu Sina sehingga saya yang tertidur dahulu.
Bangun di waktu sahur, mata melihat dapur yang agak berkecah. Syukurlah, suamiku sudi menggorengkan nasi untuk kami tiga beranak. Mata saya kurang gemar melihat dapur berselerak tetapi melihat kesungguhan suami, saya tidak akan menegurnya untuk mengemas semula dapur apatah lagi marah. Saya terimbau satu memori di Salatiga, Indonesia. Kata kak Muyasaratun Saidah, isteri Ustaz Habiburrahman el-Shirazy, “Suami saya tidak pernah menegur apa yang saya masak kerana baginya bukan tugas isteri jadi tukang masak rumah. Jika isteri sudi memasak itu adalah yang patut disyukuri walau apapun rasanya makanan itu.” Allahuakbar. Saya ambil pengajaran dari kata-kata itu. Jadi, di saat suami sudi memasak, saya tidak lagi mengharapkan dia membuât kerja lain di dapur. Biarlah, nanti saya kemaskan semula.
Pagi 1 Ramadan 1441 Hijrah merupakan hari ke 36 rakyat Malaysia menjalani PKP. Rambut suami agak panjang, dia tidak selesa, mencari-cari minyak rambut. Saya menyuakan minyak kelapa dara. Sebaik menyapu di kepala, suami berkata, “Bau ini mengingatkan abang ketika dalam bas ke sekolah rendah dulu. Budak-budak India guna minyak kelapa sapu rambut mereka.” Begitulah bauan membawa memori terbang ke masa lalu.
Mata hati adalah mata sebenarnya ketika Ramadan. Mata fizikal tidak mampu menafsirkan setiap hadiah ‘saat’ kepada kita untuk memaksimumkan ibadah kepada Allah SWT. Saat saya cuba menghabiskan Surah Al-Kahfi di pagi Jumaat 1 Ramadan, anakanda Dawud yang sudah mandi mendekat. Saya maklum dia lapar. Lalu, saya berhentikan bacaan dan bangun melayan si kecil 6 tahun itu. Saya percaya, itu juga ibadah. Emosi anak dalam PKP ini sukar dijangka. Ibubapalah perlu bijak antara mengisi masa peribadi dengan melayani anak-anak. Keduanya amanah yang membolehkan Ramadan kita menjadi ibadah.
1 Ramadan ini, saya mengucapkan selamat bermusafir ke istana cinta Allah. Dia Menunggu kita. Dia akan Memeluk kita. Dia amat Pengasih dan Penyayang kepada kita. Dia memahami diri kita lebih daripada kita memahami diri kita sendiri. Dia Memberi kita enam pancaindera untuk kita menikmati hidup dunia yang sementara.
Ramadan kareem.