Pengalaman

Hijrah Kedua

Kami mulai langkah baharu dengan Bismillah. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mengapa pergi?

Jawapannya adalah mencari Cinta di atas cinta. Merawat diri dan hati. Mengembara, berkelana dengan tawakal paling dalam.

Sebenarnya, ianya tidak semudah itu. Bilah-bilah hari berlalu antara tahun 2020 hingga akhir 2022 saya lalui dengan payah. Kekuatan pada masa itu adalah melihat orang lain terutama keluarga terdekat, sahabat-taulan dan rakan media sosial yang menerima ujian lebih dahsyat berbanding saya. Misalnya, seorang rakan baik sejak kecil, suaminya meninggal dunia mengejut, pergi selamanya dari sisi sang isteri dan tiga anak lelaki. Saya begitu terkesan dengan kehilangan suami adinda A apabila saya melihat situasi sendiri. Suami saya saat itu kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia kemudian berdikit-dikit berniaga. Justeru, sebahagian besar kewangan kami di ibu kota saya yang menanggung, kadangkala memunculkan rasa berat dan payah. Ujian hebat untuk suami di kala ekonomi negara saat Covid 19 dan pasca Covid 19 mencorot. Saya kuatkan jiwa dengan berkata kepada diri, “Adinda A kehilangan suaminya, tetapi saya masih mempunyai suami yang pekerjaan tetapnya hilang tetapi pasti Allah akan meluaskan rezekiNya dalam bentuk yang pelbagai..”

Jika kalian tinggal di tengah kota Kuala Lumpur, kalian akan faham mengapa begitu berat ujian kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

Dalam tahun-tahun mengujikan, kami dikurniakan dua anak perempuan, masya Allah; nikmat yang amat besar. Saya kemudiannya bertarung dengan peperangan ‘masa’ yang dahsyat. Antara tuntutan KPI pekerjaaan saya yang tinggi, anak-anak dan perjalanan ke tempat kerja yang mengujikan (kesesakan luar biasa). Saya menjadi bingung dan selalu lelah. Apa-apa yang ingin dilakukan (terutama menulis artikel dan menulis kreatif) padam apabila tiba di rumah. Anak-anak kecil tidak mahu melepaskan saya sehingga ruang (untuk diri sendiri) di rumah tinggal untuk tidur menghilangkan lelah.

KPI akademik menjunam dari 90++ ke 70++ dan kemudian 60++ gara-gara ‘lemah’ mengurus masa. Saya cintakan pekerjaan saya sebagai guru dan penyelidik namun keadaan menghambat saya untuk menyoal diri; wajarkah aku berhenti kerja untuk fokus kepada anak dan penulisan kreatif, di mana masaku sekarang amat terbatas?!

Ketika rencah-rencah hidup mulai berbeza rasa, penyedapnya adalah bermuhasabah, berdoa dan memasang impian. Kerap kali muncul di fikiran untuk berhijrah ke daerah yang memberi ruang lebih baik untuk saya menjadi isteri, ibu, guru dan penulis dengan keadaan yang tidak menekan dan menindas.

Ke Korea semula? Ah..angan-angan.

Impianmu, Doamu

Itulah suratannya. Saat diri hampir dirempuh kawanan resah, saya mendapat tawaran dari ayahanda guruku, Prof Dr Koh Young Hun, “Jika umi mau mengajar di Hufs, saya tidak akan menawarkan kepada orang lain,” katanya. Saya berbincang dengan suami. Serta-merta dia kembali mendapat nyawanya untuk bergerak lebih maju sebagai ketua keluarga. Dia mahu saya memberinya peluang di perantauan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik, untuk keluarga kami yang kini berjumlah 6 orang.

“Jika pilihan kita ke Korea itu baik, semoga Allah SWT permudahkan,” itulah iltizam kami selepas melakukan Istikharah.

Proses itu berlangsung baik, tepat pada waktunya. Saya meninggalkan pekerjaan, rakan-rakan dan pelajar-pelajar di saat semester selesai. SESUATU YANG KAMI ANGAN-ANGANKAN WAKTU GURUH DAN HALINTAR MUNCUL, KINI MENJADI DOA YANG MAKBUL.

PERJALANAN

27 Februari 2023. Jam 6 pagi kami tiba, lebih awal 30 minit. Saya dan suami sudah membuat keputusan, kami akan turun paling lewat (seperti sebelum-sebelum ini kami tiba di Seoul pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dan terakhir 2018). Kedua anak lelaki kami (Dardak dan Dawud) yang dulunya kami kendong dan kejar, kini bergandingan menjaga adik-adiknya Ahda dan Aminah. Beberapa kali suami bercakap kepada saya, “Kita seperti membawa Darda dan Dawud yang dulu” merujuk Ahda dan Aminah sekarang, memang persis, masya Allah!

Tempat pertama kami tuju adalah bilik air (hwajangsil). Suami dan anak-anak lelaki mengambil wudhuk dulu, langsung menunaikan solat Subuh, biarpun bukan kawasan surau. Saya menukar lampin pakai buang Ahda, sementara Aminah yang terkurung dalam baju tebal kelihatan masih mengantuk. Kami perlahan-lahan berjalan ke stesen tren yang akan membawa kami ke ruang imegresen dan ketibaan. Saya melihat lapangan terbang ini sedikit menyusut jumlah pelancongnya berbanding Oktober 2019, bulan terakhir saya mendarat di sini.

Bibir menguntum senyum saat menulis borang-borang wajib untuk masuk ke ruang ketibaan. Tarikh perlu bermula dengan tahun, bulan dan hari (di Malaysia kita bermula dengan hari, bulan dan tahun). Syukurlah urusan di kaunter imegresen mudah. Kali ini terlihat Darda’ lebih matang, membantu ayahnya mengumpulkan semula bagasi-bagasi kami yang berat keseluruhannya 80 kg. Sebelum sampai ke pintu keluar, satu beg kami ditahan dan perlu pemeriksaan teliti. Rupanya telur masin yang dikirim emak menerima lampu amaran. Allahuakbar, telur itu kemudiannya diizinkan masuk ke Korea (berkah ikhlas emak saya mahu kami makan di Seoul).

Desir 0 celcius mulai menyapa. Dawud dan Darda’ yang sudah biasa sebelum ini tersenyum ceria, menghembus-hembus nafas dan teruja melihat asap dari mulut masing-masing. Ahda dan Aminah diam dan pasif, terkejut cuaca. Sahabat kami Nasriah mengirimkan pekerjanya menyambut kami dengan van Starex (dari airport ke rumah dalam 100 ribu won). Sepanjang perjalanan saya merakam video. Saya tidak tahu untuk mengucapkan betapa saya tidak percaya sampai ke sini lagi, dengan suami dan 4 anak. hanya hati bertasbih dan bertahmid. Saat mentari meliuk di atas Sungai Han, saya ingin menangis. Sungai Han..kuatnya jodoh kita lagi.

“Darda’, kita sudah kembali ke Korea, Darda’ ingat tak lagi?” banyak kali saya ulang kepada Darda’. Saya maklum, perasaannya kala itu mungkin tidak terlalu teruja, seperti ibunya. Mungkin masih teringat-ingat keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya di tanah air. Masuk sahaja ke ruang HUFS, suami mula bersuara, mengingati jalan-jalan yang kami tinggal seakan tidak berubah. Saya sudah menerima kata kunci untuk masuk ke unit kediaman kami. Anak-anak murid Korea sudah menanti (Hyunso dan rakan-rakan) untuk membawa barang-barang kami ke rumah, kali ini di lantai 11 (2017-2018 kami dilantai 6).

rumah cinta

Setelah selesai meletakkan barang-barang, saya perlu ke pejabat pentadbiran HUFS untuk urusan sign kontrak dan membuat akaun bank. Kami bercadang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon; biarpun jauh dan perlu mengharungi banjiran manusia dalam subway, tetapi kami mesti pergi untuk menyatakan syukur kami kepada ALLAH SWT di rumahNya.

hari pertama itu, kami tidak sedar yang kami bergerak sehingga jam 11.30 malam, untuk bangun esok pagi dan berkata pada diri; kami sudah menjadi sebahagian yang kami doakan, tinggal menyempurnakan dengan baik segala amanah, segala ujian dan nikmah yang di depannya adalah redha ALLAH SWT dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Kami mahu hijrah kedua kami di sini, akan lebih baik dari sebelumnya dalam hubungan kami sesama manusia, dengan alamNya dan tentunya dengan Pencipta.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Loading

Cerita Sebelum Bersalin

Pengalaman mengandung dan bersalin tidak boleh dibandingkan dengan orang lain. Sebagaimana Allah SWT menciptakan kehidupan seorang manusia, tidak akan sama dengan manusia lain hatta mereka adalah pasangan kembar. Itulah lambang kebesaran Allah SWT. Dia menciptakan sesuatu yang berbeza untuk memilih yang paling sempurna (taqwa):

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). ” (Surah Al-Hujurat: 13).

Tanggal Oktober 2019, saya disahkan mengandung anak ketiga setelah enam tahun ‘tiada rezeki’ atau istilah lainnya Tuhan merehatkan saya untuk memfokuskan hal yang lebih penting; ilmu dan hijrah. Pada tahun 2015, Saya diberitahu pakar sakit puan Hospital Seoul Medical Centre, Bongwahsan bahawa saya mempunyai ketumbuhan fibroid luar rahim. Ianya menjadi salah satu alasan mengapa ‘saya susah mengandung’ selepas melahirkan anak kedua pada tahun 2014.

“Apa perasaan mengandung dalam usia akhir 30-an?” tanya seorang sahabat. Perasaannya sama, seperti dua kandungan sebelum ini, bersyukur dan sangat gembira. Cuma, persediaan jiwa dan fizikal mungkin ada sedikit perbezaan.

ANAK PERTAMA

Saya berumur 26 tahun ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu bertugas sebagai pensyarah kontrak di UITM Lendu, Melaka . Suami masih di tahun akhir pengajian di UTHM, Johor. Setiap minggu dia pulang ke Masjid Tanah, Melaka. Saya banyak berdikari apabila keadaan kami yang jarak jauh. Tabahkan hati dan berjimat-cermat. Gaji saya tidak besar, RM1600. Dengan wang itulah kami suami isteri hidup seadanya. Saya tidak membuat persiapan mewah untuk melahirkan anak. Pakaian dan alatan dibeli berdasarkan harganya murah, bukan kualiti. Waktu itu juga saya bertarung menyelesaikan tesis sarjana dan syukurlah, dua hari sebelum pembedahan bersalin, saya sempat ‘submit’ tesis tersebut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian dapat masuk hospital (Hospital Besar, Melaka) dengan separuh bebanan ilmu terlerai.

Mengapa pembedahan? Ramai yang gusar apabila saya memaklumkan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan termasuklah ketua fakulti kami di CITU, Allahyarham Ustaz Sulaiman. Sebaik tahu kedudukan anak dalam perut saya sonsang, dia menyuruh isterinya membuat urutan kepada saya. Namun, siapakah dapat menolak takdir Allah SWT? Saya memang ditakdirkan menjalani pengalaman dalam dewan bedah.

Semuanya serba baharu dan serba pertama kali. Tidak ada ilmu tetapi saya membaca beberapa buah buku dan blog orang lain. Allah SWT memahamkan saya rezekiNya tidak dapat diukur dengan nilai gaji. Secara logik, gaji saya kecil dan suami masih belajar tetapi Allah SW mengurniakan pelbagai nikmat rezeki sepanjang proses saya mengandungkan anak pertama. Bermula dengan penajaan sebuah syarikat penerbitan untuk kami suami isteri ke London selama 10 hari (untuk buku Noorah), kemudian saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT menulis buku, skrip drama televisyen dan menyelesaikan tesis sarjana. Allah ya Allah, syukur padaMu.

Dalam kesederhanaan mengharungi hidup baharu sebagai ibu, Allah SWT juga datangkan sahabat yang berkongsi alatan penyusuannya dengan saya. Malah, banyak lagi pemberian kawan-kawan yang menyebabkan semuanya lengkap untuk anak pertama. Ketika usia anak masuk bulan kelima (atau keenam) saya mendapat tawaran menyambung Ph.D dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya. Maka saya dan suami (yang telah menyelesaikan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal) membuat keputusan pindah ke Kuala Lumpur. Saya meletakkan jawatan sebagai pensyarah kontrak di UITM, Lendu.

ANAK KEDUA

Saya mengetahui sedang berbadan dua selepas menjalani kursus Biro Tata Negara (BTN) pada hujung 2013. Kehadirannya dalam tubuh saya mengejutkan sekaligus menggembirakan kami. Anak pertama sudah berusia dua tahun lebih, tempoh yang cukup baik untuk saya mengandung semula selepas pembedahan bersalin pada 2011. Waktu itu juga, saya sedang bergelut mencari tempat pengajian baharu di luar negara. Pihak Universiti Malaya mengarahkan saya menyambung Ph.D di luar negara dan pilihan yang saya ada antaranya Negara Jerman dan Korea Selatan.

Saya meyakini bahawa proses mengandung adalah nikmat yang berseli ujian. Nikmatnya adalah doa-doa mudah dimakbulkan Tuhan, rezeki mencurah-curah dan datang tanpa disangka. Ujian pula agak hebat kerana saya melalui proses ‘mabuk’ yang agak dahsyat. Kami telah membeli rumah jenis kondominium lama di Damansara Damai. Suami bekerja sebagai jurutera dan saya masih sebagai penyelidik di Universiti Malaya. Angin-angin alahan begitu kuat sehingga saya tidak mahu duduk di rumah sendiri, berhenti dari UM dan ajak suami pulang ke kampung sementara kami berhijrah ke luar negara.

Disember 2013, saya, suami, anak pertama dan anak dalam kandungan pulang ke Kedah. Rumah kami berjaya disewakan sebelum pulang. Kami bertawakal padaNya mudahan perancangan ke luar negara Allah SWT makbulkan pada tahun 2014. Dua bulan lebih kami menumpang teduh di rumah ibubapa saya di Kedah. Dalam keadaan diri yang masih alahan, nenek saya dijemput Ilahi. Kemudian, saya mendapat panggilan dari Hankuk University of Foreign Studies, Seoul agar segera mendaftarkan diri. Mereka memberikan saya biasiswa berbentuk penajaan yuran, manakala Universiti Malaya bersetuju memberikan saya biasiswazah sebanyak RM2800 sebulan. (Kami tidak dapat bayangkan lagi yang hidup di Seoul kos hidupnya sangat tinggi, RM2800 tu bernilai kira-kira 800 duit Korea). Dengan meyakini bahawa rezeki Allah SWT itu Maha Luas tidak bertepi, maka terbanglah kami termasuk anak kedua dalam kandungan ke Seoul tanggal 2 Mac 2014.

Hari-kari kandungan membesar dalam perut adalah hari-hari sibuk saya sebagai pelajar di HUFS, Seoul. Rumah kami adalah sebuah bilik seperti bilik hotel dengan sewa 200,000 won (dalam RM600). Saya menaiki subway dan bas ke universiti. Memanjat bangunan 4-5 tingkat yang tiada lif. Hidup di Seoul sangat mahal. Wang simpanan yang kami bawa juga menyusut cepat. Suami dan anak berkorban untuk saya. Tetapi, kami sudah nekad dan sama-sama bersabar.

Dalam keadaan begitu, tidak banyak persediaan untuk anak kedua. Malahan, kadang saya terlupa saya ‘sedang mengandung’ akibat kehidupan ‘sengit’ di kota besar seperti Seoul. Berjalan laju dan berjalan tanpa henti kerana kaki adalah kenderaan utama kami. Saya memperbanyakkan doa agar kali ini saya bersalin normal bukan pembedahan.

Sewaktu kandungan memasuki bulan ke tujuh, profesor membenarkan saya pulang bersalin di Malaysia. Ini kerana, kos bersalin di Seoul yang mahal dan amat menyedihkan, University Malaya belum memberi saya wang bulanan. Maka kami pulang ke Malaysia dan tinggal di Kedah sementara saya melahirkan anak. Alhamdulillah, anak kedua ini Allah rezekikan saya merasai kesakitan bersalin normal. Malah, selepas dua bulan, Allah SWT memudahkan kami 4 beranak pulang semula ke Seoul. Saya meyakini, setiap anak akan ada bahagian rezeki mereka. Sekembali ke Seoul, saya mendapat tawaran mengajar sambilan di HUFS sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Melayu-Indonesia, HUFS (2015-2018).

ANAK KETIGA

Keadaan diri tidak secergas dahulu. Alahan yang dialami juga kuat. Umur sudah 37 tahun. Saya dimaklumkan awal oleh pakar sakit puan agar bersalin secara pembedahan ekoran sejarah pembedahan fibroid pada Januari 2019. Allah, sebenarnya saya takut bila bayangkan bilik bedah dan alatannya, ngeri.

Tetapi di sebalik ujian, ada hikmah yang besar. Pandemik melanda dunia, PKP dilaksana dan WFH (work from home) menjadi norma baharu. Waktu-waktu mengandung kali ini sebahagian besarnya dalam rumah, bersama keluarga. Justeru, tidak perlu bersesak di jalan raya, bersibuk antara tugas pejabat dan rumahtangga dan semua dilakukan secara tenang. Ibadah juga lebih tersusun; solat jemaah awal waktu, membaca al-Quran lebih lama dan membaca buku. Alhamdulillah, saya dapat hasilkan empat buah cerpen dan dua buah artikel kali ini. Semuanya saya kembalikan kepada Allah SWT yang menitipkan nikmat masa, kesihatan, semangat dan peluang.

Waktu-waktu PKP memberikan saya peluang membuat persediaan bersalin lebih awal. Membeli pakaian bayi secara online, mengumpul barangan yang diperlukan seperti katil bayi, alatan penyusuan, tilam bantal, car seat dan mencatat setiap hal yang perlu dilakukan sebelum dan selepas bersalin. Saya kira, inilah kali pertama saya betul-betul ‘bersedia’ ekonomi berbanding keadaan diri ketika mahu melahirkan anak pertama dan kedua. Namun, semua itu tidak boleh diukur kerana rezeki Allah SWT untuk setiap anak sangat luas. Ibubapalah yang menumpang rezeki anak-anak. Dan, beberapa hari lagi saya akan masuk ke dewan pembedahan, saya terus berdoa agar Allah SWT memberi keselamatan, kemudahan dan kekuatan untuk menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anak, kerana mereka adalah amanah dariNya.

Insha Allah saya akan teruskan catatan pada masa akan datang terutama dalam tempoh berpantang. Banyak yang perlu dicatatkan untuk tujuan ‘menyampaikan kebaikan’ bagi ibu-ibu muda yang lain. Yakinlah, rezeki Allah jangan sesekali diukur dengan wang gaji kita atau suami, kerana setiap anak akan membawa rahmah dalam kehidupan ibubapanya.

Loading

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Jalan di Medan Mahyudin setiap hari dipadati ragam makhluk yang hidup dalam dunia masing-masing. 

Seorang lelaki tua, keluar dari Jamik Hanabilah, di tangannya adalah tongkat dan tasbih. Dalam pakaian musim sejuk, terhinggut-hinggut membawa kakinya mendaki lereng Suq Jumaat. Rumahnya terletak di jadat yang agak tinggi. Tetapi dia percaya, setiap gerakan kaki, sepicing sedutan nafas, dan patah-patah zikir di bibirnya akan dikira ibadah. Ketuaan dan keuzuran akan memberi bonus kepadanya. Pandangan Pencipta kepadanya adalah rasa belas dan cinta. Dia tidak menghiraukan apapun di sekelilingnya melainkan dia mencintai Penciptanya dan PenciptaNya membalas cintanya.

Seorang lelaki, berusia 50 tahun, pagi-pagi sudah tercegat di hadapan kedai kasutnya. Sewaktu berjalan menuju ke kedainya yang berada di pusat Suq Jumaat, dia sempat menjeritkan, “Pergilah kau hutang!!” Masalah hutang telah membelengu dirinya selama dia berkahwin. Dia berkahwin pada umur 35 tahun, bermakna dia telah menanggung hutang selama 15 tahun. Dia berhutang kerana mahu berkahwin. Harga hantaran isterinya 80 ribu lirah, tidak termasuk rumah, perabot, kenderaan dan hadiah-hadiah sampingan lain yang ke semuanya berjumlah hampir 200 ribu lirah. Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menamatkan hutangnya itu; pagi hingga ke tengah hari mencuci kasut, petang hingga ke malam membawa teksi dan pada hari minggu menjadi pemandu pelancong. Rasanya, jika isterinya seorang yang rajin dan berilmu, tidaklah dia berkeluh-kesah dengan pekerjaan yang banyak tetapi masih tidak mengurangkan hutangnya. Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.

Seorang kanak-kanak berlari laju hampir-hampir melanggar si tua yang sedang berzikir, terkedek mendaki bukit. “Ya Allah..cintaku..cintaku..” kata si tua tergigil bila tongkatnya terlepas dari tangan. Kanak-kanak itu mengetap bibir. Apabila pandangannya bersatu dengan pandangan lelaki di depan kedai kasut, kanak-kanak itu segera menghampiri si tua. “Datuk, maafkan saya. Hari ini saya akan mendapat keputusan peperiksaan, hati saya telah sampai dulu di sekolah, saya mengejarnya,” kata kanak-kanak membetulkan tangan si tua agar menggenggam tongkat dengan betul. “Pasangkan mata di kakimu!” jerit lelaki si pencuci kasut kepada kanak-kanak tersebut.  Lelaki tua mengangkat tangan, menyabarkan. “Kanak-kanak begitulah. Allah…Allah..” Si tua kembali berjalan dan berzikir. Si lelaki pencuci kasut masuk semula ke dalam fikirannya; hutang dan isterinya yang malas di rumah. Dia sempat mengerling kanak-kanak yang kini berlari laju tanpa menghiraukan khoruf (kambing biri-biri) yang baru tiba dari ladang.

Mata seekor daripada 50 ekor khoruf kelihatan sayu. Ia berasa sedih kerana telah dipisahkan daripada kampung halamannya di Utara Syria. Rumput-rumput segar di sana tidak sepadan dengan udara kering Damsyik. Memanglah dirinya diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Rasanya, ia antara makhluk yang tidak dapat ditandingi manusia dari sudut berbuat baik kepada makhluk lain. Selama ini ia tidak pernah menggariskan apa khidmatnya yang telah diberikan kepada manusia. Hari ini, kalbu biri-birinya terdesak berfikir. Apabila ia disembelih sebentar nanti, pertama, manusia akan melapah kulit daripada isinya. Kulitnya akan dibuat pakaian atau tilam. Isinya akan dimakan dengan pelbagai menu; sup, kari, sate, dan kebab. Bahagian kaki dan tulangnya akan dipanggang. Tinggal apa lagi? Ada juga kepercayaan dari kalangan manusia lelaki bahawa ekornya boleh meningkatkan nafsu batin mereka, maka ekornya turut direbuti. Gigi dan matanya? Ia turut dimasukkan dalam kawah sup. Ia tidak mensia-siakan satu incipun daripada badannya untuk dikuburkan. Terbukti maruah dan nilai dirinya adalah tinggi untuk manusia. Tetapi berbaloikah jika ketika menyantapi tubuhnya nanti, manusia tidak bersyukur dengan membaca bismillah? Si khoruf berasa mahu menangis.    

“Ke tepilah..ini tempatku,” jerit seorang wanita Badwi (pedalaman) yang sarat menjinjit kubis di atas kepalanya. Kubis itu sendiri lebih besar daripada kepala wanita tersebut menyebabkan tengkuknya sekejap senget sekejap tegak. Lelaki si penjual khoruf menjengil. Memang wanita-wanita tua dari kampung suka bersikap biadap. Apa sahaja yang kali pertama ditemui dan disenanginya, maka itu dianggap kepunyaannya. “Makcik, kau tidak pernah membayar harga tempat inipun, bagaimanalah kau boleh mendakwa ia kepunyaanmu? Di sana tukan ada tempat kosong, berjualanlah di sana. “Tidak mahu, aku sudah menandakan kerusi yang kau duduk itu. Tengok, khoruf-khorufmu yang tidak pernah mandi itu, buat nafasku tersepit!” jerkah wanita Badwi memperlihatkan barisan giginya yang kuning. Lelaki penjual khoruf bangun, adalah pantang baginya ada sesiapa yang menghina khoruf-khorufnya. “Allah ya’khuz umrak![1]” doanya pada si wanita Badwi. Ketika dia menghalau khoruf-khorufnya ke tempat yang lebih selesa, wanita Badwi itu menjerit lagi kepadanya. “Biadap kau anak muda.”

“Siapa yang lebih biadap? Datang lambat kemudian halau orang,” lelaki penjual khoruf masih sempat membalas. “Kau tidak menghormati wanita yang sebaya ibumu.” “Kau tidak layak menjadi ibu. Tugas ibu sangat mulia untukmu..” “Kau berkawan dengan khoruf dan berperangai seperti mereka..” “Hei..khoruf-khorufku lebih sopan dari kau makcik!” “heei…”

Wanita Badwi itu tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila seorang wanita berfurdah hitam menggosok bahunya. Di tangan wanita berfurdah hitam itu adalah seorang anak kecil. Jika tidak kerana hingus yang mengalir dari lurah hidungnya, anak kecil lelaki itu boleh dikatakan ‘anak patung hidup’. Matanya bulat dengan bulu-bulu yang melentik. Keningnya lebat tercantum di atas hidung tirus yang mancung. “Ya ummi, mengapa marah pagi-pagi begini?” tegur wanita berfurdah. Hati wanita badwi berasa sejuk, baru sebentar tadi lelaki penjual khoruf menyatakan dia tidak layak dipanggil ‘ummi’. “Berselawatlah ke atas rasul, nescaya hatimu akan tenang dan perniagaanmu akan untung,” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi itu menganggukkan kepalanya. Hatinya terus membisikkan selawat. “Aku dan anakku beberapa hari tidak makan, bolehkah kau memberi sedikit simpatimu pada kami?” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi yang sudah faham sebaik melihat anak kecil berhingus itu, menyeluk sakunya. Disuakannya 10 lirah kepada wanita berfurdah. “Syukran, Allah tawal umrak[2]!” kata wanita berfurdah mengheret anaknya ke tempat peniaga lain pula. Wanita badwi melepas lelah di depan sawi-sawinya sambil terfikir, pagi ini sahaja dia sudah mendapat doa yang berlainan. Moga Tuhan memilih doa yang diucapkan si wanita berfurdah, katanya sempat mengerling seorang lelaki  muda yang runsing depan kedai mencuci rambut.

Anak muda bernama Nadir itu sejak jam 9 pagi sudah tercegat di depan Kedai Abu Dhiak. Hatinya mengeluh bimbang, mengapa Abu Dhiak, satu-satunya pencuci rambut lelaki di Pasar Jumaat ini tidak muncul-muncul lagi? Sebentar lagi dia mempunyai temuduga dengan pihak stesen televisyen untuk satu jawatan pegawai keselamatan di sana. Selepas temuduga tersebut, dia mempunyai temujanji pula dengan gadis tercintanya, Maryam. Kedua itu; temuduga dan temujanji amat penting baginya. Rambut adalah satu-satunya aset yang dapat meningkatkan keyakinan dirinya berhadapan dengan orang lain terutama Maryam. ‘Abu Dhiak ke mana kau? Apakah tidur lebih penting daripada mendapat duit?’ hatinya berdecit kecewa. Dia menekan telefon tangannya. Matanya merenung nombor Abu Dhiak yang tertulis di depan kedai. Beberapa kali mendail, baharulah terbit suara si penjawab. “Abu Dhiak, mengapa kedaimu masih berkunci?” “Maaf, Abu Dhiak tiada,” jawab seorang perempuan. “Ke mana perginya orang tua itu? Dia tidak tahukah yang pelanggan sedang menunggunya? Jika tak mahu duit lebih baik jangan buka kedai!” bentak Nadir bawah sedar. Perempuan di sebelah sana mendengus nafas kencang. “Apa? kau panggil bapaku orang tua? Celupar betul mulutmu marah-marahkan bapaku. Jika aku berada di depanmu sekarang sudah tentu kau sudah pengsan!” jerit si perempuan. Nadir tergamam. Dia seperti kenal suara itu. Suara yang selalu dijeritkan oleh teman wanitanya jika dia lambat dalam temujanji mereka. “Aku berjanji inilah kali terakhir aku datang ke kedai bapamu yang pemalas,” balas Nadir. “Kurang ajar kau lelaki, bapaku bukan pemalas tetapi dia telah dijangkiti penyakit gout, dia tak boleh berjalan. Aku mendoakan mulutmu akan ditumbuhi kudis kerana mengejek bapaku yang sakit!” kata si perempuan di sebalik telefon. “Maryam…siapa tu?” seseorang di sebalik telefon yang lain menambah. “Lelaki yang gila ayah!” Sejurus Nadir tidak mendengar apa-apa lagi di sebalik telefonnya. Hatinya gemuruh. Maryamkah tadi? Betullah, bukankah Maryam mempunyai abang bernama Dhiak? Justeru bapanya dipanggil Abu Dhiak. Nadir mengusap mulutnya, tidak lama lagi kudis akan tumbuh di situ.

Maryam tidak puas hati bapanya dihina orang lain. Dia mahu lelaki yang dihina itu pengsan di depannya. Maryam menjengukkan kepalanya ke jalanraya. Kedai mencuci rambut mereka terletak di bahagian bawah rumah sahaja. Dia mahu turun dan mengetuk lelaki yang mengejek bapanya tadi dengan batu pengiling rempah. Maryam memastikan bapanya memejamkan mata terlebih dahulu, jika bapanya tahu tujuannya membalas dendam, bapanya akan mengarahkan ibunya mengunci pintu rumah. Ibu bapanya telah mendapat kepercayaan bahawa gadis yang berusia lewat 20-an, jika didatangi sifat marah, amat membahayakan keadaan sekeliling. Barangkali faktor terlalu memikirkan soal jodoh menyebabkan emosi mereka seperti bom jangka. “Maryam, kau nak ke mana dengan batu pengiling itu?” tegur Ummu Dhiak. “Saya nak pinjamkannya pada Ummu Hakim di bawah sana,” bohong Maryam sebelum ibunya mengangguk. Mariam lekas berlari turun ke depan kedai.

 Wanita badwi melihat Nadir berjalan di depannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok sekitar mulutnya. Apabila mata mereka bertemu, Nadir mencebikkan bibirnya. Wanita badwi hanya tersenyum, “Kau pergi cuci rambutmu di bandarlah. Di pasar ini, habis mencuci rambut, bau-bau khoruf (bibir wanita badwi menjuih kepada khoruf-khoruf di depannya) meresap kembali ke rambutmu,” kata wanita badwi. Nadir mengangkat bahu dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Nah! Ini balasan untuk orang yang mengejek bapaku,” kata Maryam mengetuk belakang seorang lelaki kurus yang tinggi lampai. Lelaki itu, tanpa sempat berkata apa-apa jatuh tersepuk seperti kain buruk. Dia pengsan tetapi kelihatan seperti tidur. Orang ramai yang memadati pasar terkejut. Semua mata  beralih pada Maryam yang sedang terpaku melihat lelaki kurus terbaring atas kakinya. “Hei budak perempuan, berani kau pukul suamiku!? Kau mempunyai hubungan sulit dengannya ya?” Seorang wanita gemuk bertubuh pendek mendekati suaminya. Tubuh Maryam ditolak. Mata kecilnya dibesarkan. Dia mencapai batu pengiling di tangan Maryam dan tersengih. “Terima kasih, aku baharu saja berniat mengajar suamiku dan nampaknya kau telah mendahuluiku. Engkaukah isteri keduanya?” tanya wanita gemuk itu. Maryam menggeleng kepala. Wajahnya berona kegelian. “Suamimu telah mengejek bapaku. Dia mengatakan bapaku pemalas walhal bapaku sedang sakit,” jelas Maryam. Orang ramai mula mengerumuni mereka. “Gila! Bagaimana suamiku boleh mengejek bapamu sedangkan dia seorang yang bisu?” Wajah Maryam memerah. Dia hampir pengsan mendengar kata-kata si wanita gemuk. Dia telah memukul orang yang salah. Dalam fikiran Maryam ketika itu hanyalah Nadir. Bolehkah Nadir, bakal suaminya membantunya lari dari masalah ini?

“Bumi sudah tua, sudah nyanyuk seperti apa?” badannya ditolak ke kanan, hampir-hampir tertiarap atas bekas jeruk zaitun. Air jeruk memercik ke mukanya. Dia sempat menjilat beberapa titis yang berdekatan bibirnya. “Hush, pergilah. Jangan main di sini!” penjual jeruk zaitun menarik tangannya dan menolak tubuhnya ke kiri pula. “Seperti apa? Kau jawablah!” Dia ketawa. “Seperti kaulah! Pergi!” Penjual jeruk zaitun tidak memandang wajahnya lagi. Dia menggaru-garu kepalanya. Mengapa orang gemar bercakap sopan seperti penjual jeruk itu? Tidak bolehkah mereka bercakap kasar sedikit, “Hai ibu yang manis, rasailah jeruk itu, ia lazat tetapi beracun!” Dia ketawa lagi. Penjual jeruk itu bengang apabila seorang wanita tidak jadi membeli jeruknya sebaik mendengar kata-kata tadi. “Jangan ganggu aku lagi orang gila!” jerkah penjual jeruk.

Dia melompat-lompat di tengah orang ramai. Tiada sesiapa yang menghiraukannya kecuali beberapa orang kanak-kanak. Mereka telah menyorokkan wajah ke dalam jubah ibu masing-masing kerana takutkannya. “Ya hilwa[3], mari sini, kita lumba lari. Siapa menang, dia akan dapat dunia. Siapa kalah, jadi gila sepertiku,” katanya cuba mendekati seorang kanak-kanak perempuan. Belum sempat dia menyentuh, kanak-kanak itu meraung ketakutan. “Tolong..tolong..dia kacau anakku,” jerit si ibu. Dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di situ mencekak kolar bajunya. Dia di heret keluar dari kawasan Pasar Jumaat. “Jangan masuk ke kawasan ini lagi.” Pengawal itu menolaknya di depan pintu Jamik Hanabilah. Dia terduduk di situ.

Ketika dia bangun untuk meneruskan perjuangannya; menyedarkan orang-orang tentang usia dunia. Dia ternampak seorang pemuda, memakai kopiah dan berkaca mata sedang khusyuk mencatat sesuatu. Dia mendapat satu idea untuk berbuat sesuatu terhadap si pemuda. “Masya Allah!” kata si pemuda terkejut apabila lelaki yang kurang siuman itu tiba-tiba mengambil pennya. “Kaulah rupanya ya..” “Pulangkan pen saya wahai saudaraku,” kata pemuda itu. “Tidak, kau akan menulis tentangku nanti,” kata lelaki kurang siuman memusing-musingkan pen tersebut. Pemuda itu menarik nafas. “Baiklah, jika kau tidak mahu memulangkannya, tidak mengapa. Aku masih ada alat yang boleh membaca semua orang. Itu kau tidak boleh mencurinya,” kata si pemuda masuk ke dalam masjid.

“Terima kasih kerana mengambil pen itu. Aku sudah terlambat menunaikan solat fardhu. Fikiranku telah masuk ke dalam orang-orang di pasar itu,” sambung pemuda lagi. Namun, sebelum kakinya melangkah, lelaki kurang siuman itu menggamitnya.  “Apakah kau yakin ketika kau sembahyang nanti, akalmu tidak menerobos orang-orang yang kau lihat tadi?” Pemuda itu menggaru-garu kopiahnya. Ya, penulis sepertinya selalu mengalami masalah itu. 


[1]Maksudnya- Allah ambil umur kamu.

[2]Maksudnya, Allah panjangkan umurmu.

[3]manis

Loading

Ayahku

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Jika berkaitan apa apa sahaja dalam hidupku, orang yang paling mempengaruhinya adalah ibubapaku lebih-lebih lagi ayahku. Dia membuât keputusan untukku sejak kecil sehinggalah diserahkannya aku kepada suami pada usiaku 26 tahun. Selepas itu, aku banyak membuat keputusan atas perbincangan dengan suami, tetapi ibubapaku tetap menyokongnya dari belakang.

Aku ingat lagi masa kecilku. Bagaimana ayahku memupuk minat membaca dan menulis kepadaku sebagai anak sulungnya. Dia tidak membeli televisyen. Aku hidup dalam sebuah rumah yang tidak ada televisyen sehinggalah umurku 12 tahun. Apa yang diberikan ayahku adalah majalah kanak-kanak, novel kanak-kanak, buku mewarna dan alat tulis. Itulah yang menjadi mainan dan hiburanku. Ayahku mula melatihku menulis sejak umurku lapan dan sembilan tahun. Caranya dengan memaksaku mencatat apa-apa sahaja yang aku nampak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, dari Kuala Lumpur ke Kedah. Dia memberiku dan adik buku kecil dan pen. Lalu kami tulis sehingga bosan tetapi ayahku tidak marah, diambilnya buku itu.

Ayahku paling kerap membawaku ke kedai buku dan majlis sastera yang dihadirinya. Setiap buku yang kupilih untuk dibeli akan ditapis dulu. Ayah akan mencadangkan buku-buku yang ditulis oleh kawan-kawan penulisnya. Malah tahun 1990-an, ayahku aktif menulis novel. Banyak novelnya memenangi hadiah sastera. Sebelum dia menghantar karya-karnyanya, biasanya dia memberi kepada emak untuk membaca dahulu dan aku akan curi-curi membaca manuskrip di atas mejanya.

Antologi cerpenku dan ayah

Ada sesuatu yang ingin kukongsikan tentang namaku. Aku didaftarkan dengan nama Ummu Hani saat aku dilahirkan. Dalam surat beranakku tertulis nama Ummu Hani binti Abu Hassan. Waktu umur 12 tahun, ayah membawaku ke pejabat pendaftaran untuk membuat kad pengenalan. Dialah yang mengisi borang. Ayah berbisik kepadaku yang dia ingin mengubah sedikit namaku menjadi Ummi Hani. Lalu aku menerima kad pengenalan yang tertulis nama Ummi Hani bint Abu Hassan. Aku menerima kedua nama itu : Ummu Hani dan Ummi Hani sebagai namaku. Tetapi ianya menyulitkan bagi orang lain. Ramai yang bertanya, nama aku sebenarnya ummi atau ummu? Aku jawab keduanya namaku.

Ketika aku mula menulis kreatif, aku menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan. Nama itu tercetus saat pensyarahku, Allahyarham Dr Othman Putih menyuruh kami pada kelas pertama Penulisan Cerpen (di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya) mencari nama pena. Katanya nama pena amat penting kepada seorang penulis. Nama itu akan menjadi identiti penulis sepanjang pengkaryaannya. Pensyarahku berkata, dia mengekalkan nama ayahnya supaya orang maklum dia adalah anak kepada Puteh. Lalu, tanpa ragu-ragu lagi aku terus meletakkan nama penaku sebagai Ummu Hani Abu Hassan. Aku mahu semua orang tahu yang aku adalah anak Abu Hassan, seperti alasan pensyarahku. Nama itulah yang membawaku dalam pelayaran dunia penulisan kreatif; cerpen, novel, kisah benar, puisi dan skrip drama televisyen.

Sewaktu memasuki alam penulisan akademik, aku tidak boleh menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan lagi. Namaku perlulah mengikut nama formal yang tercatat di kad pengenalanku. Dunia kerjayaku berbeza sedikit dari dunia kreatif. Anak-anak muridku memanggilku Dr Ummi. Rakan-rakan sekerjaku juga memanggilku Ummi berbanding Ummu. Aku tidak ralat kerana keduanya adalah nama yang diberikan oleh ibubapaku terutama ayahku (yang telah mengubahnya ketika aku berusia 12 tahun).

Sungguh tidak terhitung banyaknya jasa ayahku membentuk aku sebagai penulis dan pensyarah. Waktu mencari-cari peluang masuk ke universiti, ayah menyuruhku memilih bidang Pengajian Islam walaupun aku berminat dengan bidang komunikasi. Katanya bidang Pengajian Islam adalah asas kepada bidang-bidang yang lain. Aku tidak membantah keputusannya. Ada hikmahnya, walaupun aku mengambil jurusan Usuluddin, ada jalan yang membolehkan aku mengikuti kursus penulisan kreatif secara minor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya tempat ayahku mendapatkan Ijazah Sarjananya.

Sewaktu bergelar mahasiswa, ayah pernah membawaku ke Myanmar bersama anak buah syarikatnya untuk rakaman Dokumentari Salam Nusantara. Ayah mendedahkanku tentang dunia penerbitan dokumentari. Aku ditugaskan menulis catatan kembara. Selepas itu, aku juga didedahkan dengan penulisan skrip drama televisyen. Walaupun banyak kekuranganku, ayah tidak pernah jemu memberiku peluang dan kata-kata semangat. Novel pertamaku berjudul Ladang Hati Mustika diterbitkan oleh ayah dan adikku.

Aku insan biasa yang melalui waktu-waktu sukar. Seingatku, ujian paling hebatku adalah duji kesakitan dalaman atau gangguan makhluk halus. Hampir dua bulan aku hilang semangat hidup. Menangis dan ketakutan. Ibubapaku runsing. Satu kata-kata ayah yang membuatkan semangatku kembali bersinar , “Percayalah, Allah SWT sedang menyucikan dirimu dan mahu menjadikanmu orang yang bermanfaat kepada ummah. Berfikir positif kepada Allah SWT.” Sejak itu aku tidak menoleh ke belakang lagi. Aku mahu menjadi diriku yang baharu, insan yang memberi manfaat walaupun sedikit. Kemudian ayah membelikan tiket pesawat untuk aku memulakan pencarian diriku di bumi Damsyik, Syria.

Saya dengan dua insan paling penting dalam hidup. rahmatilah kedua ibubapaku ya Allah

Apabila usiaku menginjak 30-an, mempunyai suami dan anak, aku merantau jauh berkat doa ibubapaku yang menginginkan aku mencari ilmu di luar negara. Di Korea, ayahku mula diuji sakit iaitu gangguan saraf menyebabkan dia mengalami bell palsy atau minor strok. Kesihatannya merosot sedikit. Hal ini turut mengganggu pekerjaannya dan aktiviti menulisnya. Aku tahu ayahku berjuang untuk pulih sepenuhnya walau ianya sangat sukar.

Hari-hari tua ayahku menjelang. Dia tétap bersemangat seperti zaman mudanya tetapi kesihatannya tidak seperti dahulu. Juga emosinya. Tetapi syukur Allah SWT selalu menjaga dan memudahkan urusan ayahku. Dia seorang yang kuat bertawakal kepada Allah SWT.

Aku ingin mengucapkan tahniah kepada ayahku kerana bulan April 2020, dia terpilih menjadi karyawan untuk Majalah Dewan Sastera. Sewaktu diberi peluang oleh editor, Puan Zaharanum menulis artikel dan catatan, ayahku berjuang dalam kekangan kesihatan yang tidak seperti dulu. Semoga diriku yang menjejaki ayah sebagai penulis dikira sebagai saham akhirat ayah. Dia telah memodali diriku bukan hanya dengan wang ringgit tetapi dorongan, latihan, galakan dan peluang kepadaku sejak kecil.

Semoga Allah SWT merahmati ayah dan ibuku.

Loading

Mangkuk-Mangkuk Pengalaman

Pengalaman. terkandung di dalamnya kerinduan, kebencian, pahit, ketakutan, kesakitan, kemanisan,

Saya teringat ketika tidur di sebelah tok. Saya menyuruh tok berbaring hanya mengadap saya, bukan adik saya. Umur waktu itu 4 atau 5 tahun. Kini Tok Piah sudah di sisi Allah SWT. 

Saya kenangkan waktu-waktu sakit dulu, pahitnya masih berbekas. Saya lari peluk tokwan dan mak, saya benar-benar takut, rasa mahu mati. Emak menasihati saya banyakkan ingat kasih sayangNya.

Saya tiba-tiba kenangkan saat berdiskusi dengan ‘bakal suami’ di satu sudut Masjid Shah Alam, ada seorang pengawal wanita menemani kami. Kini, bakal suami telah menjadi suami yang amat penyayang. 

Saya ingat lagi ketika saya menolak kereta sorong Darda’, suami mengendong Dawud. Kami berjalan pulang dari Bongwahsan ke Taerung, di tahun awal di Korea. sangat susah. Kini Allah SWT menghadiahkan kami kereta, saya memandu ke HUFS. Allah…

Saya malu kenangkan sifat tidak sabar dalam hidup. Banyak yang jadi ‘haru-biru’ kerana sifat ini. Ingin putar kembali mustahil. Cuma saya dapat bisikkan ‘Ah, tanpa yang bernama ‘silap’ tentu tidak boleh jadi ‘terbaik’.

pengalaman. Terkandung dalamnya perasaan. Di saat kita tidak mahu ia hadir, ia tetap hadir.

Saya mendengar nasyid Sudah Sunnah Orang Berjuang alunan Nadamurni. Tiba-tiba sahaja teringat waktu saya dipaksa abah bernasyid dalam bas di Kota Medan, bersama anak-anak murid abah (SMKA Maahad Hamidiah Kajang), saya berumur 9 tahun waktu itu. Nasyid itu terus mengingatkan saya pengalaman 23 tahun dulu.

Itulah Struktur Perasaan (The Structure of Feeling). Teori yang diperkenalkan Raymond Williams berkait dengan seorang pengarang: di belakang, di depan, di mana-manapun dia dipengaruhi oleh pengalaman masa lalunya yang tidak lepas daripada ‘sosialisasi’.

Pengalaman. Ia lebih melampaui diri fizikal kita.

Ph.D Dengan ‘Fibroid’ (4)

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Saya disapa oleh mata-mata yang ramah, dengan bibir manis senyuman, walaupun wajah mereka menanggung sakit dan letih. Para pesakit di Wad Kenanga, semuanya wanita. Pelbagai bangsa dan peringkat usia. Seorang wanita berusia awal 30-an kelihatan letih. Dia sedang mengandung dan demamnya tidak kebah. Sebelum ini, dia sudah dua kali keguguran. Bersih wajahnya. Di sebelahnya, wanita Cina berusia awal 40-an sedang mengalami sakit dalam perut. Doktor sedang mencari punca sakitnya. Saya berjalan di katil-katil sekitar, memberi salam kepada yang Muslim.

“Kakak juga sakit fibroid?” tanya saya kepada seorang wanita awal 40-an. Teman-teman lain mengatakan dia mengalami fibroid yang sangat besar. Saya lihat perutnya, seperti buah tembikai bersize besar.  Allahuakbar! Wajah si kakak sangat pucat.

“Kakak dah tahu lama ada fibroid tapi tak mahu jumpa doktor, takut. Baru-baru ni akak alami darah rendah yang teruk, suami terus bawa ke klinik dan klinik rujuk akak ke hospital. Sekarang doktor rancang nak buang, akak takut..”

“Insha Allah kak jangan takut, lepas buang akan jadi lebih baik,” saya memujuknya, lebih memujuk diri sebenarnya. 

“Puan Ummi boleh duduk di katil depan ini,” kata jururawat meminta saya ke katil yang kosong, beberapa langkah sahaja dari meja jururawat dan doktor. Saya meminta diri dari rakan-rakan pesakit dan mula mengangkat barang-barang ke katil baru. Setiap katil hanya dipisahkan oleh langsir. Waktu siang, setiap langsir diikat, kita boleh melihat wajah ‘jiran-jiran’ pesakit di kiri kanan dan di depan. Saya ingin melelapkan mata seketika tetapi hati tertanya, apakah sakit wanita berusia 60-an di sebelah saya? 

“Cik sakit apa? saya Fibroid,” kata saya memperkenalkan diri melalui ‘penyakit’. Makcik itu kelihatan lemah. Matanya layu, perutnya besar. Dia tidur mengiring ke arah katil saya.

“Makcik kanser rahim. Sedang tunggu hospital ini hantar makcik ke Hospital Ampang. Di sini tak boleh rawat kanser,” kata makcik itu. Allahu Allah, simpari saya meluap-luap. Tidak sampai hati saya bertanya lagi.

“Makcik sudah stage 4 Dr cakap. Masa mula makcik tahu baru stage 1. Tapi masa tu makcik tak datang hospital, makcik jaga kakak ipar, dia uzur dan tinggal dengan kami. Tak ada orang jaganya, jadi makciklah jaga dia..” ceritanya.

“Semoga makcik sembuh. Makcik kena jaga kesihatan dulu, baharulah makcik boleh jaga kakak makcik,” kata saya, agak terkejut makcik ini membiarkan kansernya demi menjaga orang lain. Peringatan untuk diri saya juga; yang lama menangguh pembedahan demi hal yang lain.

Saya mahu memejamkan mata, tiba-tiba makcik itu bersuara lagi.

” Malam tadi ada seorang perempuan tua duduk di katil adik tu. Dia menjerit dan meracau sebab sakit sangat, kanser rahimnya pecah. Pagi tadi dia meninggal dunia,” katanya.

Allahuakbar. Mata saya jadi segar bugar.

Emak dan abah bersungguh datang dari Kedah bersama adik kelima saya, Hamdi dan pakcik saya, Cik Lan. Mereka tiba di Temerloh sudah Magrib, waktu lawatan sudah tamat. Jadi saya minta izin jururawat untuk turun ke lobi, menyalami ibubapa. Keluarga berjanji akan datang lagi esok. 

“Mak jaga Kak Ummu malam esok,” kata abah. Saya minta ibubapa mendoakan saya, jam 7 pagi akan ditolak ke bilik bedah. Emak memberikan sebuah buku doa-doa kepada saya. Emak saya dan buku-buku agama sukar dipisahkan.

Malam menjelang, sunyi hanya dalam diri. Wad saya meriah dengan ketawa jururawat, suara-suara doktor muda , malah pesakit masih ada bersembang sesama sendiri. Di depan saya, seorang pesakit tua bernafas dengan bantuan mesin. Dia baru menjalani pembedahan. Anaknya, seorang OKU menjaganya. Kasihan saya melihat mereka. Saya melihat seorang wanita 30-an sudah menjalani pembedahan membuang fibroid, dia masih lemah tetapi sudah berjalan ke tandas, kakak iparnya memapahnya. Saya bakal begitu esok, Allahuakbar.

Sebaik masuk ke wad, selera makan hilang. Makanan hospital tidak saya sentuh. Hanya makan sedikit roti. Malam itu saya perlu berpuasa dan makan ubåt bagi mengosongkan perut. Sebaik minum air ubat itu, mulalah perut memulas, beberapa kali  saya ke tandas. Saya perasan, seorang wanita berusia 50-an yang akan menjalani pembedahan fibroid selepas saya esok juga berulang-alik ke tandas. Katilnya hanya berselang dua tempat dengan katil saya. Kami telah berkenalan sejak di klinik pakar bius.

“Kenapa cik?” tanya saya.

“Makcik tak boleh kencing, tapi rasa nak kencing sangat,” katanya. Saya berasa sedih. Saya merasai sakitnya tidak boleh kencing ketika di Korea. Akhirnya doktor datang memasang tiub kepada makcik itu. 

Banyaknya guru dalam kehidupan kita. Penyakit juga guru. Ia mengingatkan kita kepada keusangan usia, dan juga mengingatkan betapa Allah Tuhan Yang Berkuasa. Saya tidak pernah menyebutkan dalam doa untuk jadi penghuni Wad Kenanga ini, yang saya sebutkan adalah ‘Ya Allah ampunilah dosa-dosaku’ setiap hari . Jadi, cara inilah Allah mengampuni dosa hamba-hambaNya. Melalui ujian kesihatan yang ditarik sedikit. Teringat ketika doktor pelatih mencucuk atas tangan saya bagi memasang branula. Beberapa kali dicucuk, saya sakit, darah terbit banyak. Hati mahu marah tetapi itukan ketentuan Allah. Mahu marah kenapa? Redholah semuanya. Berdoalah. Berusaha menjadi sihat adalah jihad. Allah SWT suka kita sihat.

Saya akhirnya tertidur dalam muhasabah yang paling dalam; kerana para pesakit di sekeliling saya lebih hebat ujian mereka, saya berasa saya tidak apa-apa, sedikit sahaja Allah menguji saya; sesuai iman yang belum mantap.

Sebelum Subuh, saya bangun awal, terus ke bilik air untuk mandi. Saya percaya, sehari dua lepas bedah, saya mungkin tidak mandi seperti orang sihat. Pakaian biru ‘yang menggerunkan’ itu perlu dipakai. Semua barang kemas atau jam tangan akan disimpan. Jam 7 pagi, jururawat dari bilik bedah sudah datang dengan katil khusus.

“Puan Ummi Hani, naik atas katil,” arah mereka. Semua di wad itu (yang sudah bangun tidur) melihat kepada saya. Rakan-rakan pesakit ada yang tersenyum, cara mereka menyuruh saya bersemangat; jangan takut. Hakikatnya, takut saya dilepaskan ke lautan doa dan zikir yang memujuk hati. 

Suami tiba, nampak wajahnya sedikit cemas, mungkin takut terlambat. Dia dan dua jururawat menolak saya turun ke dewan bedah utama melalui lift belakang. Saya waktu itu sudah dipakaikan tiub air kencing, berasa tidak selesa. Masuk sahaja ke bilik penuh ‘ketakutan dan perjuangan’, jururawat mengarahkan suami keluar. Saya menyalaminya dan sekali lagi meminta maaf.  Hati saya sudah pasrah, hanya Allah SWT tempat pergantungan sekarang. Diikutkan rasa hati, saya mahu terjun dari katil itu dan pergi kepada doktor, menjerit ,” Saya tidak mahu dibedah, biarlah fibroid ini berkawan dengan saya!!’ ah! Itu semua bisikan iblis yang tidak mahu saya sihat. Saya berjuang untuk sihat, kerana Allah SWT.  

Dewan bedah sangat sejuk.  Ada banyak bilik di dalamnya, dengan pelbagai kes penyakit. Saya disorong ke bilik penantian dengan beberapa pesakit lain yang menunggu giliran, semuanya terlantar dan pasrah. Lelaki perempuan, bercampur. Aduhai auratku; leher dan lengan yang terdedah. Rambut saya bersarung dalam plastik kepala. Saya fokus untuk ingat Allah SWT, zikir menenangkan takut yang amat. Di tepi saya ada kanak-kanak lelaki yang akan menjalani pembedahan kaki, ibunya turut berada atas katil bersama si anak. Ada dua lelaki yang nampak kronik, separuh sedar.

Saya kemudian ditolak ke bilik bedah yang semua doktor pakarnya telah memakai topeng muka. Saya tidak nampak Dr Rukayyah, di mana dia? bisik hati saya.  Pembedahan akan diketuai Dr Riduan dan dua pakar wanita berketurunan Sikh dan Cina.

Doktor bius datang, membacakan semula risiko yang telah saya tanda tangani sebelum proses menyuntik ubat bius epidural ke tulang belakang. Saya duduk berlunjur, diberikan bantal untuk dipeluk dengan sedikit menunduk. Terasa perit tulang belakang ketika ubat itu mula meresap. Tiga kali saya dicucuk dan baring semula.

Jururawat mendekat, dia berpesan agar saya mengucap dua kalimah shahadah dalam hati, berselawat ke atas Rasulullah SAW.  Kemudian saya diminta menyedut oksigen yang dilekapkan ke hidung dan mulut. Beberapa detik, saya sudah tidak sedar apa-apa lagi.

SEDAR

“Puan dah sedar ke? Kita dah habis bedah ye,” kata seorang jururawat. Saya membuka mata. Allahuakbar, syukur padaMu ya Allah. Tekak rasa perit dan loya, saya muntah dan sakit di bahagian bedah sukar digambarkan. Lemah sekali.

Saya disorong keluar. Wajah pertama saya lihat di luar dewan ‘ngeri’ adalah wajah kekasih hati saya, Ahmad Dhiak Abdul Hashim. Dia mendekati dengan cemas yang belum hilang. Saya pegang tangannya. Saya kembali disorong ke Wad Kenanga. Terlalu lemah untuk bersuara. Saya lihat abah dan emak yang baru tiba. Ya Allah, syukur padaMu atas kasih sayangMu. Ibubapa saya nampak syukur melihat saya selamat.

Saya kehilangan 500cc daráh tetapi tidak ada perkara yang membahayakan ketika pembedahan. Ketumbuhan bukan 10cm atau 11 cm seperti yang discan, namun 15 cm, sebesar bola kecil! berada di kedudukan atas rahim.

Ya Allah, balaslah kebaikan para hambaMu yang bersama-samaku menghadapi ujian kecil ini. Terima kasih Dr Rukayyah @Makda. Dia masuk ke bilik bedah ketika saya sudah dibius penuh, dan keluar dari bilik bedah ketika saya belum sedar. Saya terhutang budi kepadanya.

Tidak ada ubat ketika proses pemulihan. Saya amalkan minum minyak zaitun yang bermutu, buah delima dan oren, sayur dan ikan, selepas dua minggu, saya amalkan minum cuka buah tin. Sehingga kini saya amalkan.

Terlalu banyak kebaikan ibubapa, ibu mentua, suami dan sahabat terdekat. Yang mampu saya lafazkan adalah mendoakan mereka menjadi insan2 yang dicintai Allah SWT dan RasulNya.

Ph.D Dengan ‘Fibroid’ (3)

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Ujian, seperti juga kita melihat air hujan. Lebatnya hujan menyebabkan kita tidak mahu berjalan di bawahnya. Kita fikir, kita sakit bila badan lencun di bawah hujan. Waktu kita ada pilihan, kita menunggu hujan teduh dulu, atau kita meredahnya dengan payung melindungi tubuh. Kadang, di saat luar jangka, hujan turun lebat, kita pula perlu cepat, tanpa ada pilihan selain meredahnya hingga ke destinasi yang dituju, mungkin dekat, mungkin jauh. Di akhirnya, kalaupun sakit, kita masih selamat. Kadang dengan rahmatNya, kita selamat bahkan sihat!

Begitulah saya melihat fibroid ini. Ianya bukan penyakit. Ianya seperti hujan lebat yang tiba-tiba turun ketika kaki perlu meredah tanpa sebarang payung dan baju basahan. Tetapi dengan rahmat Allah SWT, para pembawa fibroid insha Allah akan selamat, majoritinya dengan cara pembedahan, dan sebahagian dengan cara alami.

Saya menerima panggilan dari Hospital Besar Temerloh di suatu petang, kata doktor pelatih itu, tarikh pembedahan saya perlu dianjakkan kerana bilik pembedahan hospital akan ditutup selama dua minggu; proses hujung tahun. Saya menghantar mesej kepada Dr Rukayyah.

“Makda, tak boleh ye saya bedah 14 Disember ?”

“Ya Ummu. Kita kena decide tarikh baru. 14 Januari boleh?” tanya Dr Rukayyah.

“Oh, boleh saja.”

“Tapi jika Ummu nak buat lebih awal, Makda boleh keluarkan surat rujuk ke PPUM, boleh buat di PPUM,” katanya, mencadangkan. Saya minta masa untuk fikirkan.

Entah kenapa, hati saya kuat mahu dibedah oleh Dr Rukayyah, insan yang saya lihat amat solehah, dan amat menjaga kebajikan ibu yang sudah tua. Saya rasa ada keberkatan, bila berdekatan dengannya.

“Makda, Ummu buat dengan Makdalah. confirm 14 Januari,” kata saya.

“Ok, nanti 13 Januari boleh datang ke wad terus. Bagitau nama kat staf nurse di wad,” katanya.

Saya dengan fibroid ini mengundang pelbagai persepsi orang. Ramai berkata saya mengandung. Malah, waktu saya letak gambar di Facebook, ada rakan-rakan ‘membawang’ bahawa besarnya perut saya mungkin ‘dia mengandung’ atau ‘buncit’. Tetapi mereka tidak mesej personal kepada saya. Waktu saya mengajar di kelas, ada mahasiswa sangka saya akan cuti bersalin tidak lama lagi bila saya memberitahu, akan bercuti panjang. Sebenarnya, dengan fibroid juga, saya gagal  mengandung lagi.

Ada hikmahnya tarikh dilewatkan, walaupun tubuh makin resah. Saya kerap buang air kecil, sukar tidur dengan satu posisi dan cepat ‘marah’.  Kelewatan itu membolehkan saya menghadiri beberapa majlis ilmu antaranya mendengar bicara al-Fadhil Dr Afifi al-Akiti, seorang ilmuan muda yang amat saya kagumi.  Dapat menadah ilmunya secara ‘talaqi’ adalah hadiah buat saya. Pulang dari majlisnya, saya membuka Youtube, mencari kuliah-kuliah beliau dan mendengar. Satu kuliahnya yang menusuk jiwa adalah huraian doa ini:

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  ءَامِنــَّـا مِمَّا نــَخَافُ

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  سَلِّمْنــَا مِمَّا نــَخَافُ

يَا أَمَانَ اْلخَائِفِيْنَ  نــَجِّنــَا مِمَّا نــَـخَافُ

Wahai (Tuhai) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Berikanlah kami aman (di dunia) terhadap apa sahaja yang kami takut..

Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Berikanlah kami sejahtera (di akhirat) terhadap apa sahaja yang kami takut..

Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,

Keluarkanlah kami dari apa sahaja yang kami takut..

Saya mengulangi doa ini sepanjang masa sehingga tarikh 14 Januari 2019.

Masuk Hospital

Kepada anak-anak saya berpesan jangan nakal. Mereka tinggal dengan ibu mentua sepanjang saya masuk wad nanti. Sahabat dan jiran kami, Kak Ummu Assiem telah menyenaraikan beberapa barang yang perlu saya bawa ke hospital. Dia dan adiknya  pernah menjalani pembedahan  membuang fibroid. Pengalaman mereka diturunkan kepada saya. Pagi Ahad, 13 Januari, suami yang turut mengambil cuti (Alhamdulillah, suami kembali bekerja sebagai jurutera senior di syarikat robotik Bumiputera di Cyberjaya) menghantar saya ke hospital. Kami singgah membeli kasut dan bekas air panas. Dalam kereta, saya memohon maaf dari suami, sungguh banyak dosa saya padanya. Dosa selalu berdebat dan membantahlah paling banyak. Itulah cabaran belajar tinggi, makin bijak berhujah dan kebanyakan hujah digunakan dalam percakapan dengan suami. Aduhai.

Wad Kenanga adalah wad wanita. Penyakit berkaitan rahim akan dikumpulkan dalam wad itu. Waktu saya masuk, semua katil penuh, hanya ada katil sementara. Bau wad sahaja sudah cukup mendebarkan, belum lagi saya berganti pakaian hospital yang berwarna pink. Saya teringat tahun 2011, saya ‘check in’ di Hospital Besar Melaka juga pagi Ahad, 10.7.11 tarikhnya. Saya menjalani pembedahan melahirkan anak pertama kerana kedudukan bayi songsang. Waktu itu saya ditempatkan dalam bilik khas, wad kelas pertama.

Hari itu, suami bertanya pihak jururawat jika saya boleh ditempatkan di wad kelas satu atas GL sebagai pensyarah IPTA. Jururawat menggeleng kepala. Katanya bukan saya tidak layak, tetapi bilik itu jauh. Selepasnya baharulah saya tahu, saya bakal diletakkan di katil bahagian paling dekat dengan jururawat dan doktor bertugas kerana pembedahan saya adalah ‘MAJOR SURGERY’ dan BESAR (LAPAROTOMI). Jadi mereka perlu pantau saya 24 jam selepas bedah.

Saya berganti baju seragam pesakit Wad Kenanga. Wajah-wajah di katil pesakit melihat saya, ramai memberi senyum, dalam kesakitan. “Sakit apa?” itulah soalan pertama. Bukan lagi ‘Nama apa?” atau “Dari mana?” seperti di tempat selain hospital. “Fibroid,” balas saya. “Oh, itu fibroidlah, ingatkan mengandung.”

“Dr mahu scan puan,” kata jururawat. Suami menunggu seketika, tidak boleh lama kerana wad perempuan. Beberapa orang pakar dan doktor pelatih mengerumuni saya sebaik saya baring di katil bilik pemeriksaan. Ada seorang Dr pakar lelaki, saya segan tetapi pasrah. 

“Size fibroid 12 cm, kita bedah menegak. Insha Allah tidak ada apa,” kata doktor pakar lelaki, kelihatan paling senior di situ. “Esok kawan saya yang bedah puan, saya tak ada sebab ke sekolah anak,” katanya. Di luar bilik, suami berbual dengan Doktor itu. Saya tiada ‘perasaan’ untuk berbual, masya Allah takut. 

Kemudian, saya dan tiga wanita diarahkan ke bilik pakar bius untuk dinilai, apakah kesihatan kami membolehkan kami dibedah pagi esok. Saya mendapat giliran pertama pembedahan iaitu jam 8 pagi, 14 Januari 2019. Sewaktu berjalan ke bilik pakar bius, saya bertanya tiga wanita tadi. Soalan lumrah, “sakit apa?” Dua wanita berusia 50-an, seorang lagi lewat 20-an, saya kira. Tiga daripada kami ada masalah fibroid, si adik disyaki mengidap kanser rahim. Allahuakbar, ujian si adik lebih hebat. Saya insaf, berdoa pada Allah moga tidak ditimpakan ujian yang tak mampu saya tanggung.

Hasil pemeriksaan doktor bius, saya dibenarkan menjalani pembedahan. Doktor menerangkan risiko pembedahan 1. tumpah darah. 2. Serangan kuman di paru-paru yang boleh mengakibatkan koma dan meninggal dunia. Allahuakbar. KepadaMu Allah aku bertawakal. Saya perlu berpuasa malam itu, dan diberikan ubåt mengosongkan usus.

Ph.D Dengan ‘Fibroid’ (2)

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Badan saya mengalami perubahan terutama di bahagian perut. Awal tahun 2018, perut saya kelihatan seperti mengandung 4 bulan, dan Disember 2018, saya perasan seperti 7 atau 8 bulan mengandung! (baca tentang fibroid)

Pernah ketika saya mengajar para pegawai Samsung yang akan dihantar bekerja di Malaysia, saya tiba-tiba mengalami sakit (seperti senggugut) yang amat, terasa kejang kaki dan pinggang. Saya minta izin berhentikan kelas dan suruh suami datang ambil di universiti. Biasanya terjadi sehari dua sebelum kedatangan haid. Namun, ianya tidak berlaku setiap bulan. Tiga kali saya membuat pemeriksaan fibroid di Seoul Medical Centre, daripada 9 cm, ianya membesar jadi 10 cm. Doktor menawarkan untuk melakukan pembedahan. Katanya pembedahan fibroid adalah biasa di Korea. Kos pembedahan antara RM3500- RM5000 jika mempunyai insuran (di Malaysia, kos pembedahan di hospital swasta antara RM10000-RM20000).

Saya masih lagi mempertimbangkan untuk ‘menyerah’ diri kepada doktor di Korea. Yang pertama di fikiran adalah menyelesaikan Ph.D dan mengajar di Hufs dengan baik. Pembedahan akan menyebabkan saya perlu bercuti dari tanggungjawab, bahkan membebani suami untuk menjaga saya.

“Bolehkah ummu bedah lepas habis Ph.D?”

“Ummu ada rasa sakit?” tanya Dr Rukayyah dalam mesejnya.

“Tak sakit tapi makin besar..”tulis saya

“Tak apa, nanti balik Malaysia terus buang..”

Saya selesai viva dan menghantar tesis  lengkap pada hujung Mei dan awal Jun 2018. Ketika dunia diselimuti rahmat Ramadan, ketika doa-doa tanpa hijab berjalan ke langit, saya memohon agar Allah SWT memudahkan titik Ph.D dan menyembuhkan Fibroid.  Ogos 2018 datang. Kami membawa ibubapa dan ibu mentua ‘makan ångin’ di daerah Gyeonggi, timur Korea. Ianya hasrat kami membalas pengorbanan mereka walaupun langsung tidak setimpal. Saya terfikir jika melakukan pembedahan, tidak dapatlah saya melayani ibubapa sebaiknya di Korea.

Meninggalkan Korea adalah titik kesedihan yang besar, buat saya dan anak-anak. Tetapi kami akur, waktu kami sudah berakhir untuk menghidu kimci ajumma, untuk bersibuk atas garis laluan pejalan kaki yang biasanya ada 6 sampai 7 lorong di jalan besar. Malah meninggalkan ‘si Rezzo putih’ yang sangat budiman, seperti meninggalkan kucing manja yang bertahun tinggal dengan kita. Saya abaikan dulu rasa-rasa sedih bagi memfokuskan pembedahan fibroid yang akan saya lakukan sebaik pulang ke tanah air.

Hospital Kerajaan dan Prosesnya…

Waktu mendaftarkan diri sebagai pensyarah baru di Universiti Malaya (sebenarnya saya dengan UM dah berjalin sejak tahun 2001-2012 tetapi sebagai mahasiswa), saya menghantar mesej mahu bertemu Dr Rukayyah.

Allahuakbar, tidak saya sangka, Dr Rukayyah yang saya panggil Makda itu baharu dua minggu ditukarkan ke Jabatan Sakit Puan, Hospital Besar Temerloh dari Hospital Besar Tawau, Sabah. Saya terus berkata padanya, “Saya nak bedah dengan Makda!”

Bulan September, saya membuat pemeriksaan dengan Makda di hospital. Syukurlah, temujanji saya melalui mesej Whatsapp dengan Makda. Walaupun dari Kuala Lumpur ke Temerloh ambil masa 2 jam lebih, tetapi perasaan berhadapan dengan Makda, seperti dengan ibu saudara sendiri, bukan doktor (haha, saya takut doktor sejak keil). Dia membuat scan dan ternyata fibroid saya sudah 11-12 cm.

“Besar, tak boleh bedah melintang, kena menegak sebab kedudukan fibroid agak ke belakang,”katanya. Saya berdebar.

“Makda nak cuba kecilkan dengan cara ‘stopkan’ dulu haid untuk sebulan. Kita cucuk ubat (saya lupa nama ubat tu). Nanti kita lihat jika makin kecil, kita cuba 3 bulan cucuk ubat.”

“Tapi tétap kena bedahkan?” tanya saya.

“Ya, memang kena bedah cuma sekarang nak usahakan bagi kecil sikit supaya pembedahan tu tak besar sangat,” katanya.

Data-data saya dimasukkan dalam sistem hospital. Saya menerima satu suntikan ubat menghentikan haid (untuk tempoh sebulan) sebelum pulang. Kesan suntikan tidak saya jangka, agak dahsyat. Saya mengalami rasa lenguh luar biasa. Lenguh di belakang, di lengan kiri kanan, sukar tidur dan cepat letih. Selalu juga saya keluh sebelum tidur, saya tidak mahu ambil lagi suntikan ini, biarlah terus ke pembedahan. Senggugut juga berganda sakitnya. Begitulah apabila kita menidakkan fitrah badan yang sepatutnya mengeluarkan darah kotor.

“Makda, Ummu nak terus kepada pembedahan, tak mahu suntik dah..” kata saya sebaik Dr Rukayyah memaklumkan bahawa ubat itu tidak disediakan lagi di hospital kerajaan. Saya perlu membeli sendiri dan sekali cucuk kosnya Rm300.

“Kalau macam tu Ummu datang hospital dan kita decide tarikh bedah,” katanya. Bulan November saya datang ke Hospital Temerloh berjumpa Makda. Hasil scan menunjukkan fibroid saya bersize 10 cm, lebih kecil sedikit. Saya tetap dengan keputusan mahu ‘menyerah kepada pembedahan.’

Dr Rukayyah menetapkan tarikh 14 Disember sebagai tarikh pembedahan saya. 

“Nanti ambil kad untuk masuk wad. Masa tarikh ni bawa saja kad ke Wad Kenanga, tak perlu daftar di klinik dah,” katanya.

Bersediakah saya dengan tarikh 14 Disember 2018?

Ya Allah berdebarnya..

Ph.D Dengan ‘Fibroid’ (1)

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Dalam kehidupan ini, saya tidak pernah menjangkakan dengan serius akan tenggelam dalam dua perkara ‘kronik’ iaitu melakukan Ph.D dan mendapat ketumbuhan tumor luar rahim (Fibroid Myomas). Keduanya terjadi di Seoul, Korea Selatan. Begitulah perancangan Allah SWT ke atas saya, agar dengan cara itu, saya menghargai kehidupan, memperbaikinya setiap hari dan bersyukur.

Hari ini, dua perkara kronik itu telah berlalu (secara fizikalnya) dari kehidupan saya. Secara maknawinya pula, ianya tidak pernahpun meninggalkan alam sedar saya; sentiasa menjadi tukang loceng, mengingatkan bahawa ‘sihat itu alatan iman’.

Saya kongsikan buat mereka yang mahu menyelami bagaimana rasanya berenang di lautan ujian Ph.D dengan Fibroid.

Ph.D. Kedengaran megah di telinga kita. Tetapi ianya tidak bermakna apa-apa tanpa proses yang sarat pengorbanan terutama masa dan disiplin. Ph.D lebih menyakitkan apabila kita terpaksa pula mengambil masa ahli keluarga terdekat. Contohnya saya, suami berhenti kerja mahu menemani saya di Korea. Dia bukan sekadar menemani, tetapi menjaga dan mengasuh (menjaga dan mengasuh dua tugas berbeza) bayi dan anak kecil. Bukan sahaja saya terpaksa mendisplinkan diri bangun awal pagi dan tidur lewat malam untuk belajar dan menguruskan rumahtangga, tetapi suami juga mendisplinkan dirinya mengurangkan masa untuk diri sendiri, lebih banyak untuk mendidik anak-anak dalam negara not yet Muslim, Korea Selatan. Dia berusaha mendisplinkan diri belajar huruf Hangeul dan bercakap Korea untuk memudahkan kami sekeluarga di perantauan. Walaupun saya mendaftar Ph.D, tempiasnya menusuk kepada suami dan anak-anak.

Saya memulakan semester pertama di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul pada Mac, 2014. Sedang mengandungkan anak kedua. Dia lahir ketika saya akan masuk ke semester kedua, tanggal Jun 2014. Saya melalui hari-hari pengajian dengan santai. Saya fikir saya yang santai; bangun 5 pagi, solat Subuh, menyusukan anak, menyiapkan makanan, bersiap ke universiti, berjalan ke stesen tren, naik tren atau bas 20 minit, berjalan kaki lagi ke kelas (boleh dapat 1000 langkah rasanya pergi balik), selesai kelas terus ambil tren atau bas pulang ke rumah kerana perlu menyusukan anak, melayani si sulung dan bayi dulu sebelum mula masak untuk makan malam, tidurkan anak sebelum boleh siapkan kerja kursus daripada pensyarah, waktu tidur tidak menentu. Syukur, saya tidak terbeban dengan jadual begitu. Saya lebih terbeban jika mereka jauh dari saya. 

Letih? Sebenarnya ya. Emosi jadi turun naik. Anak pertama yang berumur 3 tahun mula lasak dan meragam. Ruang bilik kami hanya sebuah bilik, bukan rumah yang normal.  Bayi saya hanya mahukan saya bila ibunya ada di depan mata. Suami yang penyabar, kadang perlu menambah lagi sabar, sehingga bila sabarnya habis, dia minta izin bawa diri di luar rumah. Saya tahu dia juga berjuang. Saya terkenang warga asing yang datang ke Malaysia untuk cari kehidupan, begitulah agaknya kami sekarang. Tidak ada wang, tidak ada kebebasan yang ada cuma tawakal. Ada Allah SWT dalam hati.

Musim berganti. Dingin bertukar damai. Bunga-bunga berkelopak meriah.  Bersambung pula dengan warna-warna pohon beragam.Serasa dalam bayangan syurga . Hanya setitik bayang-bayang jannah, tetapi menghilangkan semua letih dan perit saya di negara orang.  Suatu malam, saya dan suami menapak ke sebuah pasaraya terletak di Bongwahsan. Dari rumah kami di Taereung, harus melalui perumahan di Hwarangdae. Jalan kaki mengambil masa 20 minit, kami bersembang dalam cuaca hawa dingin (aircond). Si sulung tidur dalam kereta sorong, adiknya nyenyak dalam beg ‘carrier’ yang melekap di dada suami. 

“Hampir setahun kita di sini..tidak percayakan?” kata saya.

“Alhamdulillah..” suami membalas.

“Saya tidak berfikir banyak (yang susah-susah) sehingga tiada satu pun yang menyebabkan saya ‘benci’ tinggal di Korea. Malah semakin hari semakin cinta pada negara ini. Mungkin susah telah menjadi hiburan kita.”

Syukur itulah yang menghadirkan banyak nikmat selepasnya. Jangan mengecilkan ujian. Pemilik langit dan bumi sentiasa mendambakan doa kita. Doa. Doa. Doa. Mustajabnya doa ibubapa kepada kami. mustajabnya doa para pemusafir ilmu Allah SWT.  Kami dibukakan pintu nikmat yang bertalu-talu: saya mendapat kerja, pensyarah di Korea! Mendapat rumah, mendapat insuran untuk keluarga, peluang demi peluang. Saya dan suami, dari berjalan kaki, lelah mengejar tren dan bas, kami direzekikan membeli kereta terpakai dan memandu sendiri. Allahuakbar. 

Setahun di Korea, ketika berada dalam zon ‘middle class’ yang sebelumnya kami adalah rakyat ‘marhaen tidak diperhatikan’, waktu itulah saya diuji kesihatan. 

Saya perasan yang perut sedikit buncit, tetapi tidak sakit. Saya yakin hanya buncit normal, selepas bersalin. Tuntutan membuat proposal Ph. D dan peperiksaan akhir membuatkan saya perlu kepada makanan tambahan. Saya pesan dari kawan produk berasaskan herba lingzhi. saya mengambil pil-pil herba itu atas nasihatnya dan kemuncaknya, saya gagal buang air kecil di suatu Subuh Mei, tahun 2015. Masya Allah sakitnya membuatkan saya berjalan mengelilingi perumahan Hufs agar air kencing terit tetapi gagal . Akhirnya suami membawa saya ke Seoul Medical Centre yang terletak berdekatan rumah. Waktu doktor memasang tiub air kencing, baharulah senak hilang. Doktor membuat scan dan mengesyaki saya mempunyai tumor Myoma. Dia mengarahkan saya berjumpa pakar sakit puan selepas dua minggu.

Ternyata myoma itu sudah besar; 9cm.

If myomas cause symptoms, surgery

If myomas are small and do not cause any symptoms, no treatment is needed.

If myomas cause symptoms, they are surgically removed if possible (a procedure called myomectomy). If only the myoma is removed, women can still bear children. However, if myomas are large, removal of the entire uterus (hysterectomy) may be necessary. Either procedure can be done by making a large incision in the abdomen (laparotomy). Sometimes these procedures can be done with instruments inserted through one or more small incisions near the navel (laparoscopy).

If a myoma prolapses, it is removed with instruments inserted through the vagina (transvaginally) if possible.

Saya tidak menghadapi kesakitan senggugut yang teruk, juga tidak ada masalah haid. Hasil pembacaan, faktor penyumbang tumor ini kemungkinan dari hormon estrogen yang berlebihan, akibat mengandung, tekanan (stress) dan pemakanan yang tidak seimbang. Saya akui, ketiga hal itu ada selama saya melakukan Ph.D. Doktor menyarankan pembedahan secepat mungkin, saya runsing kerana sedang belajar, mengajar dan jauh dari keluarga. Saya ambil masa berfikir dulu.

Keluarga menyarankan saya bedah di Malaysia. Lagipula cuti semester bakal menjelang, kami pulang bercuti di Malaysia.  Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan Dr Rukayyah ketika kami menziarahi ibu mentua di Temerloh, Pahang. Dr Rukayyah adalah sepupu Allahyarham ayah mentua saya. Beliau adalah pakar sakit puan. Segera saya bercerita kepadanya tentang fibroid myoma, dan memento pandangannya tentang pembedahan.

“Ummu ada alami sakit tak?” tanyanya

“Tak ada Mak Da (panggilan Dr Rukayyah,” balas saya.

Beliau menekan perut saya untuk melihat kedudukan myoma.

Di Malaysia, kita ambil pendekatan lama. Jika pesakit tak alami perkara membahayakan seperti sakit atau pendarahan, boleh biar lagi myoma tu. Tetapi pembedahan tetap perlu bila ia makin besar.” Jawapan Dr Rukayyah membuatkan saya tekad dengan satu keputusan lain; selesaikan Ph.D dulu.