Di Atas Langit Incheon

Salah-satu nikmat yang besar tinggal di perantauan adalah menerima kunjungan ibubapa dan sanak saudara. Bermula dengan kedatangan abah dan emak pada Oktober 2015, kami menyambut ramai tetamu di Seoul. Perkara yang membahagiakan adalah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, berdiri di ruang ketibaan dan menunggu keluarga dari tanah air muncul. Saat itu, hati tersenyum dan rindu berbalas.

Perjalanan dari rumah kami di Hwrangdae ke Incheon mengambil masa 40 minit jika jalanraya tidak sesak. Selalunya, beberapa hari sebelum tetamu jauh tiba, saya sudah mempersiapkan bahan masakan, kelengkapan bilik tidur dan mengemas rumah. Suami membeli ayam untuk stok seminggu. Anak-anak juga sudah dimaklumkan siapa yang akan bertamu menyebabkan mereka sangat teruja.

Incheon, Pintu Masuk ke Korea Selatan

Sebaik kita keluar dari Incheon dan masuk ke perut Seoul, sudah berbeza pamandangannya. Saat pertama kali tiba di Korea, awal Mac 2014, Incheon adalah gambaran pertama kami tentang Korea. Di kiri kanan jalan waktu itu adalah pohon-pohon rontok yang daunnya kering, tinggal beberapa helai. Kami melihat tambakan laut yang muram. Rumput kecil melata di atasnya. Di tengah lautan, ada kapal dan bot nelayan. Lebuhraya Incheon begitu besar dihubungi banyak jambatan berlapis dan salah satu jambatannya mirip Jambatan Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan, jarang sekali ternampak rumah-rumah tinggi dan bangunan. Ianya sebuah pelabuhan yang jauh dari kepadatan kota.

Jambatan yang menghubungkan Incheon dan Seoul antara terindah di dunia, dengan kapal besar boleh berlayar di bawahnya

Berulang-alik beberapa kali ke Incheon, saya didekatkan dengan sejarahnya. Orang Amerika yang memulakan pendaratan kapal terbang di kawasan Incheon sewaktu Perang Korea meletus pada 1950 hingga 1953. Pilihan lokasi pendaratan ini dikatakan amat berisiko namun berjaya menggugat talian bekalan Korea Utara yang mahu menawan Seoul. Sebelumnya, Kota Incheon popular dengan masyarakat Cina dari Tanah Besar. Mereka membuka toko-toko perniagaan sehingga dikenali sebagai Chinatown di Korea. Di zaman pendudukan Jepun di Korea, Incheon disuburkan dengan aktiviti perdagangan. Kedudukannya yang berada di persisiran laut amat strategik untuk aktiviti eksport dan import. Kerja-kerja tambakan laut dimulakan oleh pihak penjajah Jepun. Kini, di atas lapangan tambahan, kilang-kilang berdiri megah.  

Jika kita mengitari seluruh Korea, kawasan paling ramai menghunikan masyarakat Cina adalah Incheon. Kira-kira 3000 orang Cina menetap di Incheon dengan 600 orang tertumpu di Chinatown. Jumlah penduduk Incheon diperkirakan 1 juta orang pada 1979, meningkat 2 juta orang pada 1992 dan data 2014 menyebutkan penduduknya bertambah menjadi 3 juta orang. Fakta ini menggambarkan Incheon sebagai kota yang berkembang dan mesra ‘pendatang’.

Rindu

Seperti kami yang selalu rindu pada tetamu, begitu anak-anak tempatan Incheon yang rindukan kedamaian asli kota mereka. Incheon sebagai bumi di sebelah laut dengan kekayaan sumber lautan yang luar biasa menjadi tumpuan sang kapitalis seluruh dunia. Kang Je Yoon, sasterawan Korea kelahiran Incheon menulis puisi tentang rindunya itu:

Pada pesisir Geomeunnang DI Pulau Daecheong

Jalan setapak menyusuri tebing yang mengarah ke syurga

Dan seorang tua yang akan kembali sendirian ke syurga

Telah tiba saatnya mencicipi  makanan terakhirnya  di bumi

Orang tua itu mengumpulkan tiram yang banyak melekat di bebatuan

Tiram-tiram itu mengembang dan menipis seiring dengan kemilau dan redupnya bulan

Orang-orang pulau juga berkembang dan menjadi layu seperti tiram-tiram itu

Orang-orang pulau ini ialah anak-anak rembulan

Incheon..Tunggu kami

Saat pesawat terbang tinggi, saya mengerdip ke bawah: ke lampu-lampu yang menerangi seluruh Incheon. Saya katakan: Insha Allah kami akan pulang semula ke Korea. Incheon, sabar tunggu kami!

Teringat sebuah pertanyaan kepada saya: “Apa yang paling membahagiakan sejak tinggal di Korea?” Jawab saya, “Yang paling membahagiakan adalah dapat balik ke tanah air!” Dan hakikat ini disaksikan oleh bumi Incheon!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *