Tokyo dan Bangunan Seluas Mata Memandang.
Sabtu lalu, kami lima beranak bermusafir ke Tokyo. Jarak masa hanya dua jam dengan pesawat dari Incheon, Korea tapi rezeki itu muncul selepas lebih 8 tahun kami tinggal di Seoul.
Yang menolak untuk kami pergi juga ke Tokyo adalah undangan daripada Puan Faridah, pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Tokyo University of Foreign Studies untuk tidur di rumahnya, juga minta saya berkongsi tentang Pengajian Melayu di Korea kepada para pelajar Jepunnya. Kebetulan, saya juga sedang menulis tentang budaya Jepun.
Mengapa sebelum ini tidak terlintas (lagi) mahu travel ke Jepun? Kerana setiap kali cuti semester, kami pilih pulang ke tanah air. Kos pergi Jepun sebenarnya hampir sama kos balik ke Malaysia๐ซฃ.
Kami turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita sekitar jam 12 tengah hari. Kami antara 114,000 orang penumpang harian yang turun di airport antara tersibuk di dunia. Kami beratur lama di imigresen serta bagasi diperiksa ketat oleh anjing pengesan (esoknya saya baca berita tentang hari yang sama kami tiba 5 rakyat Malaysia ditangkap bawa dadah kokain di Airport Haneda, Jepun๐ญ๐ก). Perjalanan ke Tokyo pula dengan Kereta Api Narita Ekspres ke Stesen Shinjuku selama 1 jam 15 minit. Kami siap- siap makan tengah hari di restoran halal dalam lapangan terbang, udon dan tempura!
Tiba di Stesen Shinjuku, yang menyambut kami adalah kelkatu manusia. Besar stesen ini tiga kali ganda dari Stesen Seoul, khabarnya jutaan orang menggunakan kereta api di stesen ini dengan 12 jalur kereta api dari syarikat yang berbeza๐ Kami perlu membeli tiket berulang- kali atau membuat โadjustmentโ perjalanan di mesin bila tukar jalur. Sangat berbeza dengan subway Korea, beli sekali sahaja untuk satu perjalanan panjang.

Rumah Puan Faridah terletak di Kunitachi, barat Tokyo. Kami ambil Chuo Line dan ambil masa satu jam perjalanan. Saya ralit melihat pohonan yang menguning dan merah, juga rumah- rumah Muji yang sekata warnanya; coklat, abu- abu, kuning air atau putih. Kala tiba, malam menjengah walaupun baru 6 petang. Puan Faridah begitu gembira melihat kami, terus membahasakan dirinya โnenekโ kepada anak- anak saya.
Kami berjalan kaki sejauh 1.3 km dari stesen ke rumah Puan Faridah. Nyaman angin serta indah panorama ( walaupun malam hari, apatah lagi siang hari๐) menyingkir rasa penatnya berjalan. Puan Faridah sudah 30 tahun mengajar Bahasa Melayu di Jepun!
Rumah itu dua tingkat dalam kejiranan yang tersusun kemas. Rupanya Puan Faridah sudah masak hidangan makan malam yang istimewa. Ada sup ayam, ayam masak kicap dan nasi beras Jepun. Kami makan seperti makan di rumah saudara sendiri, malu- malu tapi bertambah! Kata Puan Faridah, dia meneruskan amalan baik arwah suaminya yang suka melayan tetamu dengan makanan yang enak, mudahan jariah sampai kepada suaminya. Amin.
Malam itu kami tidur awal, walaupun sebenarnya saya terasa nak menaip sesuatu dek terujanya saya dapat merasa tidur di rumah Jepun yang kecil, kemas, teratur bersih dan berdekatan jiran ( rasanya jika main baling- baling boleh masuk ke tingkap rumah jiran๐ ) tapi saya tertidur di celah dua puteri pengembara lebih dulu.
Esok pagi, akibat jahil membaca peta Tokyo yang besar, kami berangkat lewat ke Gunung Fuji. lTokyo dan bandar pinggiran di utara, selatan, timur dan baratnya mempunyai populasi 38 juta orang! (lebih dari jumlah rakyat Malaysia!), luasnya adalah tiga kali besar dari Seoul, Korea. Saya telah tempah kenderaan untuk kami pandu ke Gunung Fuji dari Aplikasi Trip. Com dan letak tempat pengambilan di Stesen Tokyo. Rupanya kami seperti patah balik ke belakang kerana Gunung Fuji jika dari Kota Tama yg kami tumpangi lebih dekat. Seperti biasa saya memujuk diri dengan berkata; pengalaman bukan percuma! Berputar- putarlah kami di atas belitan lebuhraya di pusat bandar sebelum ke susur Gunung Fuji. Google Map dibaca Dawud dan abinya yang memandu, saya pula sibuk merakam gambar dan video. Suami mengakui yang pemanduan di Jepun lebih sopan dan berdisplin berbanding Korea apatah lagi Malaysia๐.
Tiga jam perjalanan baru kami sampai di Kawaguchi. kami pilih ke sana kerana mahu ke Masjid Kawaguchi untuk solat dan makan. Kerana jam 5 petang suasana bertukar gelap, tidak ada masa yang panjang menatap Gunung Fuji yang subhanallah indah nian. Jarang suami saya puji gunung tapi bila dia cakap Gunung Fuji sangat indah seperti dia bercakap itulah gunung paling indah yang dia pernah lihat. Dawud minta saya mengambil gambarnya berlatarkan Lawson dan Gunung Fuji. Bukan main ramai pelancong asing di situ!

Kami tunaikan solat Magrib- Isyak secara jamak di masjid sebelum pulang, tanpa kami tahu bakal mengulangi perjalanan balik kampung ketika hari raya. 5 jam kami terperangkap dalam kesesakan, dibawa masuk ke jalan- jalan kampung luar Tokyo oleh Google Map. Sehingga kami pasrah dengan kenangan mahal melihat rumah- rumah cantik tak berpenghuni seperti yang ditonton di Youtube. Banyak tuan rumah yang mati tapi rumahnya tak diwarisi. Kerajaan pula tidak boleh sebarangan meruntuhkan rumah- rumah atas tanah persendirian. Kata Puan Faridah, kadang orang beli rumah di Jepun supaya senang nak letak barang- barang selepas mereka mati. Jika tiada rumah, semua barang akan dilupuskan.
Kami tiba di rumah Puan Faridah tengah malam. Dua puteri sudah tidur kepenatan. Suami pula terpaksa mencari tempat parkir awam di kawasan sekitar, bukan sebarangan parkir tepi jalan. Sungguh terharu kerana Puan Faridah menyiapkan makanan yang banyak, kari ayam dan sambal bilis. Kami cadang akan makan esok hari akibat terlalu letih penangan jammed!
Esok pagi saya bangun awal dan panaskan semua lauk dan sarapan tanpa tuan rumah. Kami bercadang mengitari pusat Tokyo dengan kereta api. Lokasi pertama kami adalah Shibuya Sky. Saya telah membeli tiket awal di Trip. com dan waktunya 12.40 tengah hari, jika terlewat tak dimaafkan untuk masuk. Setelah turun naik kereta api, kami tiba betul- betul pada jam 12.50 dan dibenarkan naik ke tingkat 46. Sebenarnya kami juga sudah pasrah jika tak dapat naik๐ญ๐ญ

Di atas tingkat menara, dapat kami lihat Tokyo dari semua arah. Bangunan- bangunan kelihatan sejauh mata memandang, subhanallah. Negara ini berpenduduk 128 juta, Tokyo dan bandar sekitarnya 38 juta. Shibuya dan Shinjuku antara kota- kota tersibuk Tokyo dengan jutaan pengunjung harian! Angin bertiup damai, anak- anak berlari dan mengambil gambar. Kalau ditanya apa tempat wajib jika ke Tokyo, salah satunya Shibuya Sky! Dari atas ini kita boleh lihat bangunan- bangunan yang popular seperti Tokyo Tower, Stadium Tokyo dan Shibuya Cross Line, jadi jika tak sempat pergi semua sekurangnya kita sudah lihat atasnya!
Destinasi seterusnya mencari makanan halal Tokyo yang dirujuk di Tiktok. Aduhai, akibat memburu restoran ramyeon dan sushi halal, jumlah langkah kami hari itu antara 18,000-21,000 langkah๐คฃ๐คฃ Sebelum malam, sempat kami ke Pokemon Centre kerana Dawud mahu membeli kad Pokemon namun kami
pasrah awal melihat pembeli seluruh dunia beratur panjang. Dawud bertanya saya, โKenapa orang tua pun nak beli barang Pokemon?โ jawab saya, โMungkin itu keinginan dari masa kecil yang dibawa sampai tua.. โ

Kami pulang malam itu dengan sepoi- sepoi ragam dua puteri yang penat. Tiba di Kunitachi dengan saya yang masih tidak jemu memotret semua yang dipandang termasuk halaman rumah dan tanaman orang. Jika ada rezeki buat rumah di tanah sendiri, rumah konsep Muji yang saya nak buat, berangan itu doa dan percuma pula!
Malam itu setelah anak- anak tidur, saya mengemas- kinikan slide untuk pembentangan di kelas Puan Faridah esok. Suami pula mengemas dapur dan barang- barang kerana esok pagi kami akan ke universiti dan tidak kembali lagi ke rumah Puan Faridah. Malam terasa amat pendek dan esoknya sekali lagi kami mengemas ruang rumah yang kami gunakan. Puan Faridah sudah beberapa hari tinggal di kamarnya di TUFS.

Selamat tinggal Kunitachi yang bersih dan segar! Kami mengusung 3 beg luggage ke TUFS dengan sekali penukaran jalur. Saya akan bercakap di kelas Puan Faridah dan membuat penelitian pengajaran untuk pedoman saya di HUFS dan penulisan artikel. Anak- anak dan suami menunggu di bilik kerja yang menurut Puan Faridah โsyurganya.โ Bunyi sahaja loceng, Puan Faridah mengajak saya berjalan laju hampir berlari masuk ke kelasnya. Di TUFS, sistem loceng digunakan untuk masuk dan keluar kelas tepat waktu baik pensyarah mahupun pelajar. Jika lambat 1-2 minit pun seolah salah yang besar! Jabatan Bahasa Melayu di TUFS sudah berusia lebih 100 tahun!
Pengalaman bersama pelajar- pelajar Jepun dari Jab Bahasa Melayu amat istimewa. Mereka semua mempunyai nama- nama Melayu dan diingati Puan Faridah setiap satunya, Subhanallah! Dengan tekun belajar di kelas tanpa melihat perkara lain, hanya fokus kepada pengajaran sensei! Puan Faridah mengajar bak ibu guru yang memastikan tidak ada seorang pun yang tercicir faham!

Selepas menikmati bubur ayam yang dimasak Puan Faridah ketika kami menunaikan Solat Zohor di surau TUFS. Dia mahu kami pergi dalam keadaan perut kenyang๐ญ๐ญ Kami bergerak keluar dari TUFS dan terus ke Camii Tokyo, masjid Turki yang besar di Tokyo. Ikutkan rasa penat berjalan dan penat perasaan dek anak- anak yang meragam kami mahu ke hotel saja di Shinjuku. Tapi bila lagi akan melihat pusat penyebaran Islam di Tokyo? Para pendakwah telah bersusah payah membina masjid, tinggal kami datang melawat dan solat di dalamnya, tidak dapat pergi banyak masjid, dapat satu pun sungguh nikmat yang besar.
Selepas pulang dari masjid yang bercirikan binaan Era Uthmaniah, kami singgah membeli makanan halal di kedai sekitar dan berhasrat makan di hotel. Kami perlu bergerak ke lapangan terbang seawal jam 5.50 pagi menggunakan Narita Ekspress.
Saya tutup catatan ini dengan pandangan Dawud, katanya โDawud suka pemandangan Jepun tapi jika kereta api, Dawud lebih suka Korea!โ
Sebenarnya saya juga sama. Tidak dapat kami lupakan gara- gara penjaga kaunter di Stesen Shinjuku yang sambil- lewa membantu kami mendapatkan tiket di mesin, kami hampir terlepas tren. Barangkali kerana jutaan orang dilihatnya setiap hari sehingga hilang empati si penjaga kaunter kepada kami yang bawa 3 anak dengan barang yang banyak๐คจ
Saya ingin melancong lagi ke Jepun, alamnya alami indah, dijaga tangan-tangan yang ajaib dan 1001 seni budaya yang memeluk kita untuk bersyukur akan nikmat mata dan jiwaโค๏ธ

![]()



