Aku menuliskan hal ini kerana aku mahu, di tahun-tahun ke hadapan jika umur masih panjang, aku masih ingat aku yang sekarang ini. Ada sisi yang ‘tidak menyeronokkan’ pada diriku.
Aku tidak ‘sepenuhnya’ boleh menerima seseorang yang dalam kata Inggerisnya ‘perfectionist’. Kebetulan tiada orang bersifat sebegitu dalam keluargaku mahupun keluarga mentuaku. Bagiku, orang yang kemas dan bersih tidak semestinya ‘sangat sempurna.’ Keadaan juga berbeza kerana orang yang pentingkan kesempurnaan selalu diiringi mata dan mulut yang tajam.
Aku teringat lagi ketika zaman kanak-kanak. Emak melahirkan adik-adikku dalam julat yang dekat. Ketika umurku 9 tahun, aku sudah mempunyai 6 orang adik. Jadi, emakku tidak sempat menyiapkan anak-anak dengan sempurna. Misalnya, aku ketika kecil menguruskan pakaianku sendiri. Sewaktu tadika, aku pakai baju lain, kain pula corak yang lain. Tiada d ingatanku, emak pernah mengikat atau menyisir rambutku, semuanya aku lakukan sendiri atau ada ibu saudara yang membantu menyiapkan aku dan adik yang ramai. Namun, aku teringat lagi mulut-mulut yang menyindir atau mengumpat emakku. Mereka waktu itu mungkin merasakan aku kanak-kanak yang tidak memahami bahasa orang dewasa. Mereka mencela ibuku yang menurutnya ‘tidak sempurna’ menjaga anak-anak terutama pemakaian kami yang selekeh. Aku adik beradik dibanding-bandingkan pula dengan sepupu-sepupu kami yang lebih kemas menurut mereka.
Aku tidak pernah menyalahkan emakku. Biarpun ada mulut-mulut yang mencelanya, aku faham situasi emakku yang bersendirian membesarkan kami kerana ayah sangat sibuk. Aku cuma mampu simpan di ingatan kata-kata jahat terhadap emak. Barangkali kerana peristiwa masa kecil ini, ianya membekas dalam hatiku sehingga kini; umur 40-an.
Aku jenis orang yang baik dengan semua orang, tetapi bukan rapat dengan banyak orang. Aku hanya betul-betul ‘menjadi diriku sendiri’ dengan adik-adikku sahaja. Ada beberapa kawan yang muncul bersifat ‘mementingkan kesempurnaan.’ Mungkin mereka tidak mahu menunjukkan tapi bila berdekatan mereka, aku tahu sifat itu dan aku mula membataskan untuk terlalu rapat dengan kelompok ini.
Bahasa merekalah yang menjadikan aku ‘resah’ walaupun tahu nilai ukhwah itu indah. Misalnya, ada rakanku dari kelompok ini mengadukan kepadaku “Saya geramlah suami saya itu ambil mudah bila lihat rumah kurang kemas. Memanglah sudah kemas tapi bagi saya itu belum betul-betul bersih lagi..” Kata-kata seumpama ini telah menjadikan fikiranku membayangkan pelbagai kemungkin.
‘Bagaimanalah dia datang ke rumahku dan melihat keadaan rumahku (yang padaku sudah kemas) tapi di pandangannya pastilah bukan level kemasnya.’
‘Bagaimanalah jika dia masuk ke ruang dapurku yang biasa-biasa itu.’
‘Bagaimanalah jika dia melihat contengan-contengan anak-anakku di dinding rumah.’
Aku juga sangat sensitif walaupun tidak kutunjukkan secara luaran tapi ada ayat-ayat yang terbit dari kumpulan yang mahu sempurna ini tergores di hati, sukar dipadam.
Pernah seorang kenalanku, tanpa sengaja berkata apabila melihat anakku yang kecil tubuhnya, “Jika tinggal dengan saya ni, berisi budak ini,” merujuk anakku. Tahukah dia, saat dia mengungkapkan kata itu (walaupun tanpa tujuan memerli) tapi aku sendiri sudah sakit hati seolah ‘aku tidak memberi anak makan’. Ah, aku sangat sensitif kerana masa kecilku sering dihujani kata-kata sebegitu kepada emakku.
Baru-baru ini, ada kenalanku lagi secara tiba-tiba menelefon untuk menumpang tandas rumahku; pada saat aku belum tiba untuk memastikan tandas itu sesuai dengan level kebersihannya. Aku menjadi malu dan risau kerana mengingatkan dirinya yang mementingkan kesempurnaan. Aku takut sehingga terkeluar di bibirku, “Maafkan saya, mungkin kamu boleh pergi tandas umum di bawah rumah saya dulu…”
Ya, itulah aku; diri yang terlalu takut berhadapan dengan manusia ‘serba-serbi mahu sempurna.’
Dan bila kukongsikan dengan manusia paling dekat denganku iaitu suamiku, dia berkata ; “Ummi yang terlalu berfikir bukan-bukan (tentang pandangan orang terhadap kami)”
Mungkin juga!
![]()
