2026

Rumah Tingkat Lima

Dunianya adalah kota sibuk; bangunan pencakar langit, kenderaan kecil besar yang bertali arus, alunan Sungai Klang yang tidak bermaya, manusia dalam kelas sosial yang terlihat pada kulit dan pakaian mereka, juga evolusi kenderaan awam yang dinikmatinya dari tahun ke tahun. Dia sedar dia sudah tua untuk merasai kesegaran angin pagi seperti 30 tahun lalu, di saat dia membonceng motorsikal suaminya untuk ke tempat kerja. Kini, angin pagi yang menampar wajahnya adalah angin yang keras, berbisa dan hilang begitu sahaja.

Dia dilahirkan di kampung, jauh di utara Malaysia. Selepas Peperiksaan SPM Tahun 1990, dia mengikut kakaknya merantau ke Kuala Lumpur dan menjadi pembantu tadika. Keputusan SPMnya tidak begitu cemerlang, hanya melayakkan dia memohon kerja sebagai kerani. Itulah jawatan yang disandangnya selama 30 tahun dia bekerja di sebuah universiti di tengah ibu kota. Dia dan suaminya jatuh cinta pandang pertama ketika sama-sama singgah menunaikan solat di Masjid Negara. Suaminya pemuda kota, tidak sembunyi-sembunyi menyatakan rasa hatinya kepada seorang perempuan.

“Saya mencari wanita untuk saya menumpang teduh matanya, untuk saya meminjam jernih jiwanya dan membasuh segala lara. Saya mahu memperisterikan kamu yang bernama Rozita, sudikah? Faktanya, saya tidak kaya. Tetapi saya kuat bekerja, tengok itu motorsikal yang saya beli hasil titik peluh bekerja sebagai kerani pejabat pos.” Itulah kata-kata yang tidak dilupakannya saat suaminya melamarnya, selepas tiga kali pertemuan di tangga Masjid Negara. Perkahwinan mereka adalah penyatuan dua kerani yang berani-berani tinggal di ibu kota. Kerana rumah sewa mereka sangat sempit, hanya ada satu bilik dan sebuah dapur, bilik air pula berkongsi dengan jiran, dia dihantar suaminya pulang ke kampung untuk melahirkan anak pertama. Jadilah anaknya orang Sintok, Kedah walaupun hanya pada surat beranak.

Suaminya membuat pekerjaan tambahan dengan menggunakan bakat semulajadinya, menulis dan berniaga. Di hari minggu, suaminya rajin menghantar rencana dan kisah-kisah masyarakat ke surat khabar dan majalah. Di malam hari, suaminya keluar ke pelusuk kota menjual secara langsung kismis dan kerepek yang dibuat orang kampung. Suaminya tidak pernah menggunakan wang pendapatan kerja tambahannya. Genap tiga tahun, apabila dia mengandungkan anak kedua, suaminya membuat kejutan besar.

“Kita akan berpindah ke rumah kita sendiri di Sentul. Sayang tak perlu pulang ke Sintok untuk melahirkan anak kedua. Pinjaman perumahan abang dah lulus, cukup duit simpanan abang membayar deposit rumah. Cuma rumah kita tinggi, di tingkat lima,” kata suaminya. Di saat-saat dia ingin melahirkan anak keduanya, terasa bebannya untuk sampai ke tingkat lima.

“Abang akan buat lima kerja lagi untuk beli rumah lain yang bertanah,” kata suaminya melihatkan betapa siksa sang isteri memanjat tangga.

“Tak perlu abang, hikmah rumah kita di tingkat lima, nanti mudahlah saya melahirkan anak,” balasnya. Begitulah yang berlaku saat dia melahirkan anak kedua, ketiga dan keempat. Dia tidak perlu bersusah-payah ketika bersalin, ketiga-tiga anaknya keluar sebelum tiba di hospital.

Suaminya semakin sibuk di hujung minggu. Dia menggunakan sebaik-baiknya masa cuti memburu berita dan bahan menulis rencana. Dengan menggunakan nama pena Tongkat Rakyat, tulisan suaminya menghiasi beberapa ruangan tabloid dan surat khabar arus perdana. Pernah suatu ketika, suaminya tidak tidur malam menyelesaikan karangannya.

“Kalau abang tidak hantar kisah Adik Kalsum ini ke Majalah Masnira, abang rasa berdosa. Abang baru berjumpa dengan ayahnya di Pudu Rakyat. Ayahnya mahu mencari kerja di Kuala Lumpur untuk cari modal hantar Kalsum ke sekolah asrama. Di Pantai Timur, laut sedang bergelora dan ayahnya tidak dapat ke laut, sedangkan Kalsum perlukan duit untuk masuk asrama. Sejak tadika sehingga darjah enam, Kalsum tidak pernah dapat huruf selain A dalam ujiannya. Keputusan UPSRnya 4A tapi malangnya kerana miskin, dia terpaksa tolak tawaran ke asrama penuh. Abang mahu rakyat Malaysia hantar Kalsum ke sekolah terbaik supaya dia ubah nasib keluarganya,” kata suaminya. Selepas mendapat gambar Kalsum yang dikirim melalui pos, kisah Kalsum dimuatkan di Majalah Masnira sebanyak tiga muka surat. Berkah tulisan itu juga, Kalsum dapat memasuki asrama penuh. Cuma umur suaminya tidak panjang untuk melihat Kalsum dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM lima tahun selepas itu.

Suaminya banyak menulis kisah masyarakat, tetapi sangat perahsia mengenai dirinya sendiri. Selama berkahwin, tidak sampai sepuluh kali dia dibawa menziarahi keluarga angkat suaminya. Ibubapa mentuanya meninggal dunia ketika suaminya masih kecil. Suaminya membesar dengan keluarga angkat di Kampung Sungai Penchala. Asbab perselisihan faham mengenai harta pusaka setelah bapa angkatnya meninggal dunia, suaminya membawa diri.

“Abang anak angkat, cuma orang menumpang. Tapi arwah ayah pernah bagitau abang, tanah di Sungai Penchala mahu dihibahkan kepada abang dua ekar. Itulah, dia cuma bercakap tanpa sebarang surat wasiat. Lepas ayah meninggal dunia, arwah emak angkat bahagikan semua tanah itu untuk anak-anaknya. Dia ada surat peguam, jadi abang tak boleh buat apa-apa kecuali usaha sendiri untuk mahligai keluarga kita. Maaf Ita, rumah kita di tingkat lima, bukan di atas tanah,” kata suaminya beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

Hampir 12 tahun suaminya pergi, dia tidak pernah membawa anak-anaknya ke rumah keluarga angkat suaminya. Anak ketiga dan keduanya tidak pernah tahu yang mereka pernah ada kampung di kota besar. Saat melalui Lebuhraya Penchala Link beberapa kali dengan anak-anaknya, mulutnya berat bercerita kepada mereka bahawa kondominium baru di pinggir terowong Penchala Link adalah milik keluarga angkat arwah suaminya. Tanah pusaka itu dijual kepada pelabur bumiputera kerana tanah itu Tanah Rizab Melayu. Adik-beradik angkat suaminya menjadi jutawan asbab tanah yang berada di kawasan antara termahal di ibu kota. Pernah hatinya nakal berbisik, jika ayah angkat suaminya menulis surat wasiat apa yang dikatakannya, rumah mereka mungkin empat atau lima bilik tidur, bukan cuma dua. Segera dia beristigfar dalam hati, menghalau bisikan-bisikan noda yang selalu mengganggu perasaan orang miskin sepertinya. Bayangan menjadi kaya bagaikan irama yang mengasyikkan, setelah irama hilang, kehidupan sebenar kembali dengan desiran ganas dan menakutkan.

Suaminya meninggal dunia dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motorsikalnya dilanggar sebuah lori. Pagi itu, sepatutnya dia turut membonceng suaminya tetapi kerana bayi mereka yang berusia 6 bulan demam panas, dia mengambil cuti. Tuhan memanjangkan umurnya untuk anak-anaknya tidak menjadi yatim piatu serta-merta. Sejak itulah, nyawanya adalah rindu dan rindu adalah nyawanya. Tiada satu detik pun dia tidak merindui suaminya yang baik. Suaminya mungkin tidak berharta, jauh dari kaya. Namun suaminya kuat berusaha dan tidak sesekali putus asa dengan ketentuan Allah. Suaminya meninggalkan banyak buku melebihi pakaiannya, juga sebuah komputer meja. Demi menjarakkan sedikit rindu di hatinya, dia membaca semua buku-buku yang dibeli suaminya. Dalam kenderaan awam, ketika para buruh lain sibuk menatap skrin telefon bimbit, dia pula membaca buku. Tema-tema buku yang dibeli suaminya tidak dapat dijangka. Suaminya seorang peminat bidang linguistik dan sastera.Tidak kurang 20 buah buku teori sastera dimiliki suaminya. Saat semua novel dan buku-buku kehidupan ditelaahnya, dia pun memaksakan dirinya membaca tentang teori sastera klasik sehingga ke Teori Marxism, Psychoanalysis, New Criticsm, Structuralism dan Semiotics. Cuma dia belum berjumpa buku terkait Teori Feminist dalam koleksi suaminya.

Dia yang sememangnya seorang pendiam sejak remaja, menjadi semakin sepi dalam ruang hatinya, lebih-lebih lagi apabila tenggelam dalam buku yang dinikmatinya. Anak-anaknya juga tidak riuh, mengharungi ujian kehilangan tiang seri keluarga secara pasrah. Anak sulungnya adalah bayang-bayang suaminya pada fizikal dan semangatnya. Anak keduanya lebih menurut wajah ibu tapi degil dan sifat bertanggungjawabnya saling tidak tumpah ayahnya. Anak ketiga dan keempatnya bagai layang-layang yang talinya dipegang ramai pemicu. Dia mengakui kekalahan awalnya dalam mendidik anak ketiga dan keempatnya disebabkan rasa penat, sunyi, rindu dan tempang. Dia kurang bercakap dengan mereka, jauh sekali berterus-terang dengan kata-kata, “Ibu sangat sayang Bai dan Irfan.” Dia mahu mereka sendiri mengerti penatnya mengharungi kesesakan jalanraya saban hari, menghadap surat dan timbunan fail serta ego manusia berpangkat adalah kerana dia menyintai anak-anaknya. Gajinya yang kecil itu dipertahankan untuk anak-anaknya cukup makan dan pakai walaupun berhimpit dalam rumah dua bilik di tingkat lima. Dia sendiri berkongsi bilik dengan satu-satunya anak perempuan. Anak pertamanya sejak menjadi remaja, lebih selesa tidur di ruang tamu, memberikan kamar untuk dua adik lelakinya tidur selesa.

Anak pertamanya adalah anugerah tidak ternilai buatnya. Anak itu memberinya hadiah berupa sikap dan tindakan yang tidak pernah disangka akan dilakukan oleh seorang yang baru berumur 12 tahun, dan kini berusia 23 tahun.

“Ibu tak perlu belikan along yang baru. Semua pakaian dan alatan sekolah yang along boleh pakai, along guna lagi tahun ini,” itulah kata-kata wajib anak sulungnya selama berada di sekolah menengah.

“Along puasa hari ini, duit sekolah along ibu boleh guna belikan barang Bai dan Irfan,” kata anak sulungnya, setia dengan sifat mengalah.

“Along mungkin tak dapat berikan ibu duit, tapi ibu tak perlu risau tentang keperluan sekolah dan duit belanja along, ibu fikirkan untuk adik-adik saja. Along akan usaha sendiri,” kata anaknya itu yang mulai berniaga kecil-kecilan sejak berusia 13 tahun. Anaknya masih ingat bagaimana dia membantu ayahnya dulu membungkus kekacang dan kerepek untuk dijual secara langsung. Cara yang sama dilakukan anaknya, membungkus lebih kecil dan menghantar ke kantin sekolah dan penjual-penjual bermotosikal. Sekiranya pelajar lain menghulur tangan menerima wang saku dari ibubapa mereka, anaknya yang bernama Hadi sering memujuknya menerima wang untuk membayar tiket bas dan LRT.

“Hadi ada RM30, ibu ambillah RM15.”

“Tak mahulah ibu, itu duit Hadi jual makanan. Simpan duit itu,” katanya.

“Jika Hadi beri kepada ibu apa yang Hadi dapat, Allah akan lipat kali gandakan rezeki Hadi,” kata anaknya yang waktu itu berusia 14 tahun. Dia sungguh-sungguh membesar dengan akhlak tampang arwah suaminya. Selama empat tahun anaknya belajar di universiti, tidak pernah sekalipun dia meminta wang. Selepas bergraduasi dan bekerja di sebuah syarikat, anaknya tiba-tiba membuat kejutan.

“Ibu, along nak berhenti kerja. Along mahu merantau ke Korea selama tiga bulan, along nak kerja di ladang kubis,” kata anak sulung, intan payungnya.

“Tak sayangkah pekerjaan sekarang? Bukan senang nak kerja di syarikat,” dia membalas dengan rasa gawat, kerana dia tahu apa yang dikatakan anaknya, itulah yang akan dilakukan nanti.

“Along sudah berjanji dengan ibu, bila along habis belajar dan mula kerja, kita akan berpindah dari rumah tingkat lima ini. Along sedang berusaha kotakan janji itu, inilah caranya yang paling cepat. Along tak sanggup lagi lihat ibu tercungap-cungap di pintu rumah. Ibu doakan Along,” kata anaknya itu. Dia melepaskan anaknya dengan angin-angin doa yang menghembus. Dia teringat suaminya yang berusaha keras mendapatkan rumah di tingkat lima ini, dan kini anaknya bertukus-lumus mahu menyediakan rumah yang lebih selesa. Kedua-dua mereka  berjuang habis-habisan untuk dirinya.

Sewaktu kakinya berada di tangga tingkat dua, hatinya berdebar selepas menangkap suara-suara yang mahu dihindarinya. Mereka terlalu banyak masa berbicara tentang jiran-jiran sekeliling, hatta tapak kaki siapapun yang lalu di depan rumah, mereka akan kenal.

“Rozita, akak dengar anak kau berhenti kerja pergi jadi buruh haram, dia tak sayang masa depankah?” Kak Embun menyimbah pertanyaan.

“Walaupun gaji kat sana tinggi, itukan risiko. Macam mana jika kena tangkap imegresen?” tambah Kak Enah. Dia segera memberikan senyuman dan terus berjalan cepat, tanpa membalas pertanyaan dua wanita berusia lewat 70-an.

“Sejak bila tak boleh bercakap Rozita?” Jerit Kak Embun, tidak puas hati. Dia tidak menoleh lagi ke belakang. Nampaknya, berita anaknya bekerja di ladang kubis sudah merebak seluruh kawasan perumahan awam yang merangkumi 10 buah blok flat lima tingkat itu.

Perasaan meluatnya kepada dua wanita berbadan besar dan bermulut luas itu segera dilunakkan dengan ingatan masa lalu. Saat anak-anaknya bersekolah rendah, mereka bermain-main di depan rumah dua wanita itu sementara menunggunya tiba dari tempat kerja. Kak Embun selalu memberikan mereka makanan. Cucur badak, karipap, pengat pisang dan seri muka. Kuih-kuih yang dibuat Kak Embun untuk jualan pagi, bakinya akan disimpan untuk anak-anaknya. Kak Enah pula selalu membuka rumahnya pada bila-bila masa anak-anak lelakinya mahu membuang air kecil. Tidak dapat dibayangkan jika Kak Enah tidak membuka pintu, akan berceceranlah air kencing di tangga sebelum tiba di tingkat lima. Mengingatkan semua itu, dia tidak jadi membenci malah dibisikkan ke hatinya, jika dua wanita itu tidak menegurnya, siapa lagi yang sudi menjaga tepi kainnya. Sebahagian besar orang baru yang datang dan menyewa di situ tidak saling mengenal antara satu sama lain.

Kuala Lumpur sudah menukar balutan tubuhnya, dari selendang yang menyelimuti orang-orang perantau desa sepertinya kepada gebar yang lebih tebal dan besar sehingga mampu memanaskan para pendatang negara luar. Kuala Lumpur menjadi ladang rezeki orang-orang dari dunia ketiga dengan pekerjaan buruh bawahan, juga langit emas buat para pelabur dan konglomerat dari negara maju.

“Tak perlulah ke sana Hadi, bekerja di KL, duduk dengan mak tak payah bayar sewa rumah, itu dah jimat duit gaji Hadi,” katanya kepada si sulung. Dia tahu, dengan gaji pertama anaknya yang berjumlah RM1500, anaknya masih belum mampu mengotakan janji.

“Hadi cuma perlukan tiga bulan bekerja di sana untuk cukupkan wang deposit rumah. Lepas Hadi balik nanti, Hadi akan cari kerja lagi di KL, macam-macam jenis rezeki ada di sini untuk orang yang berusaha-keras, Hadi yakin ibu. Doakan Hadi ibu. Hadi tak sanggup lagi lihat ibu panjat rumah tingkat lima kita.” Terbanglah anaknya itu dengan kecekalan hati yang membalutnya dari kecil. Hati yang diwarisi dari gemulah bapanya. Dia hanya berdoa anaknya selamat di tempat orang.

“Jangan mengutuk kehidupan, miskin kaya seseorang itu tidak dipandang Tuhan melainkan taqwa. Mungkin kesusahan lebih cocok untuk kita mendapatkan taqwa berbanding menjadi kaya. Itulah penentu kita di sisiNya,” kata-kata arwah suaminya adalah pancuran air yang menghidupkan iman dan jiwanya. Kata-kata yang membuatkan dirinya tidak malu berjualan nasi lemak setiap hujung minggu, dan bertemu guru-guru sekolah anaknya untuk meminta tempoh membayar yuran. Malah, kata-kata itu juga menjadikan hatinya pasrah tidak berganti baju baru bertahun-tahun lamanya kecuali jika mendapat bonus tambahan. Dia berjuang habis-habisan menentang keinginan dirinya dengan sabar. Dan tidak dia sangka, kesabaran yang tebal dalam dirinya melantun kepada semua anaknya terutama si sulung.

Apabila dikenangkan kesusahannya membesarkan empat anak di tengah kota, dia memperdalamkan syukur. Rakan-rakannya dari bangsa lain memanggilnya ‘wanita besi.’ Devi yang memilih untuk bujang sehingga tua sering membebel kepadanya, “Saya tak boleh bayangkan hidup di tempat Rozi, anjing saya sakit pun saya rasa menyusahkan, bagaimanalah kamu menjaga empat anak seorang? Saya sanggup tidak kahwin daripada menyusahkan diri sendiri.” Dia senyum sendiri mengenangkan Devi. Bukanlah dirinya yang teguh seperti besi melainkan air matanya yang menghujani tikar sejadah. Saban malam, satu-satunya tempat dia melepaskan segala beban adalah Tuhan Yang Maha Besar. Allah tempat bersandarnya, tempat bersandar arwah suaminya dulu dan dia percaya, anak bangsanya masih ramai yang bertawakal kepada Allah.

Dia semakin takut tinggal di rumah tingkat lima itu sekarang berbanding ketika anak-anaknya masih kecil. Ketakutan itu bukan berpangkal dari kekuatan fizikalnya yang mula merudum, tetapi persekitaran yang tidak pernah difikirkan akan berlaku depan matanya. Suatu petang, saat dia pulang dari kerja, dia melihat sosok tubuh seperti anak ketigaya sedang menghisap vape di tangga. Mujurlah setelah remaja itu menolehnya, wajah itu bukan anaknya. Namun, kerana memikirkan tugasnya sebagai Melayu Muslim, dia terdorong menasihati perbuatan yang salah.

“Tak elok hisap vape begitu. Jika mak ayah kamu tahu, tentu sedih hati mereka. Cukuplah dik, tak baik rosakkan kesihatan dan masa depan kamu yang masih panjang,” tegurnya. Remaja di depannya tinggal beberapa blok dari rumah flatnya, dia sengaja mencari lokasi menghisap vape yang tersorok dari pandangan keluarganya. Remaja itu menjelingnya dan berlalu. Derapan kakinya menjelaskan sang remaja rimas ditegur. Dia pula mengurut dadanya. Berasa sedikit lega kerana bukan Irfan atau Baihaqi yang ditegurnya tadi. Namun begitu, dia masih sedih anak bangsanya mula dihinggapi penyakit sosial di usia awal belasan tahun. Keesokan harinya, ketika dia seperti burung yang keluar dari sarang, dia terpandangkan satu contengan di dinding rumahnya.

‘Tak perlu tegur akulah perempuan tua, kau cermin diri sendiri. Anak kau lagi jahat dari aku, dia ambil ganja!’

Dia bagaikan terkena renjatan elektrik saat membaca tulisan itu. Segera dia teringatkan tiga anak lelakinya; Hadi, Baihaqi dan Irfan. Benarkah anak-anaknya seperti yang ditulis? Dia langsung memutuskan selepas waktu pejabat, dia mahu menjenguk dua anaknya di asrama. Tulisan di dinding itu membuatkan mahu luruh jantungnya. Dan saat dia melangkah turun ke bawah, tanpa sedar dia tersilap langkah lalu melulu jatuh beberapa anak tangga sebelum terlentang dan pengsan. Peristiwa itulah yang membulatkan tekad Hadi mahu mendapatkan wang secepat mungkin. Hadi berasa rumah di tingkat lima itu tidak sesuai lagi untuk mereka sekeluarga.

“Itu tidak benar ibu. Budak itu hanya menggertak ibu. Hadi, Bai dan Irfan tak pernah sentuh benda yang haram. Kami tak merokok apatah lagi ambil ganja. Budak itu tak pernah kami jumpa lagi, hanya kawan bermain masa kanak-kanak.” Ketiga-tiga anak lelakinya menafikan. Dia lega namun tidak lama, kebimbangan masih menghantui hari-harinya. Dia teringat ketika anak-anaknya masih kecil, dia dapat memantau mereka bermain dari balkoni rumahnya di tingkat lima. Waktu itu, jika mendengar mereka menangis di tanah, dia masih mampu berlari dan menuruni tangga sepantas mungkin. Tetapi balkoninya kini hanya tempat pohon-pohon berteduh. Kadang berbulan dia tidak membuka pintu balkoni. Semua di dalam rumah sibuk dengan telefon bimbit, tidak ada masa lagi merenung orang yang lalu-lalang, atau mengerdip kepada bebintang di waktu malam. Dua anak lelakinya dihantar tinggal di asrama bawah jabatan zakat negeri, anak perempuannya pula belajar di universiti di Pantai Timur, si sulungnya Hadi menjadi perantau yang berani.

“Bagaimana keadaan Hadi di Korea? Apakah neon-neon di Seoul lebih indah dari kerlipan cahaya Kuala Lumpur?” tanyanya ketika anaknya menelefonnya selepas sebulan bekerja secara haram.

“Hadi belum melihat wajah Korea yang glamour dan bercahaya. Dunia Hadi sekarang hanyalah ratusan ekar ladang kubis di perbatasan Korea Selatan dengan Korea Utara. Kerja Hadi duduk mencangkung sembilan jam lamanya hanya berhenti untuk makan tengah hari di kantin. Ibu jangan risau, Hadi tidak sentuh makanan tak halal. Hadi tetap tunaikan solat walaupun di celahan pokok-pokok kubis. Hadi dah tak sabar habiskan dua bulan lagi nak balik duduk dengan ibu, “kata Hadi. Anaknya itu perlu menghabiskan sekurangnya tiga bulan bekerja di ladang kerana passportnya kini dipegang tuan ladang.

“Ibu, Hadi sekarang sudah mula menulis cerpen. Ibu tahu, malam-malam Hadi tak boleh tidur kerana kawan sebilik Hadi kuat berdengkur, jadi Hadi gunakan waktu malam menulis dan membaca. Hadi rasa bahagia ibu, Hadi dah mulakan sesuatu yang Hadi nak buat sejak kecil. Dulu Hadi takut nak cuba, tapi Hadi dah tulis 10 puisi dan tiga cerpen tentang para buruh miskin yang datang jauh-jauh ke Korea. Kawan-kawan Hadi dari Nepal, India, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia. Mereka banyak kongsi kesusahan hidup sehingga Hadi rasa Hadi bertuah walaupun rumah kita di tingkat lima, Hadi masih ada rumah sendiri untuk berteduh di tengah kota besar.“ Kata-kata anaknya menjadi embun paginya. Kini dia lebih mengerti kenapa anaknya itu mempunyai fikiran berbeza dari remaja lain. Jiwanya adalah jiwa sasterawan seperti arwah suaminya.

Pagi anaknya menelefonnya, dia tidak memberitahu dia sedang sakit. Badannya terasa lemah untuk melangkah turun dari tingkat lima dan berjalan 500 meter lagi untuk mendapatkan bas menuju ke Stesen MRT. Dia menelan dua biji Panadol tetapi sakit kepalanya tidak hilang. Kalau makin memburuk, dia bercadang memanggil kereta dari aplikasi Grab untuk membawanya ke klinik. Dia tidak kenal tiga jiran yang menyewa di depan dan di sebelah rumahnya di tingkat lima. Semua mereka adalah orang-orang baru yang mencari rezeki di tengah kota. Para  pemilik rumah di situ kebanyakkannya sudah berpindah ke tempat lebih selesa dan menyewakan rumah mereka kepada generasi muda. Flat lama yang tidak mempunyai lif sukar kepada orang tua sepertinya. Dia selalu berdoa, semoga Tuhan tidak mengambil nyawanya   ketika berada di rumah. Tidak dapat dia bayangkan, anak-anak dan jiran-jiran mengusung jenazahnya turun dari tingkat lima. Saat sakit begini, bayangan kematian dan wajah suaminya kerap menerpa ke benak.

Tiba-tiba dia terdengar ketukan di pintu. Hatinya berasa cemas. Siapa yang datang ke rumahnya tanpa memberi mesej atau menelefon dahulu? Kuala Lumpur bukan seperti 30 tahun yang lalu, dipenuhi orang-orang tulus. Kini, lebih ramai yang mahu mengambil kesempatan terutama kepada orang-orang yang lemah. Dia membiarkan ketukan itu berhenti sendiri. Namun selang beberapa minit, terdengar ketukan dan orang memberi salam dari luar. Dia gagahi berjalan ke pintu dan menjawab salam. “Siapa tu?” tanyanya tanpa mahu membuka pintu. Perasaan bimbang masih tebal dalam dirinya. Teringat pesanan anak-anaknya. “Ibu jangan sesekali buka pintu jika didatangi orang misteri. KL sekarang ni bahaya!”

“Ita, ini Kak Aminah, kakak Ramadan, arwah suami Ita,” kata suara di luar. Dia menghela nafas dan terus membuka beberapa kunci yang kukuh di pintunya. Matanya dan mata wanita di luar rumahnya bertembung sebelum dia menarik tangan wanita yang tua dua tahun daripadanya itu ke dalam. Mereka bersalaman. Dia kaget, mengapa buat pertama kalinya kakak angkat suaminya datang ke sini?

“Ita, akak ada hajat besar. Akak nak bawa Ita ke hospital, tengok mak. Dia sekarang tak sedar diri dah seminggu. Akak tahu dia nak sangat jumpa Ita dan tunaikan janjinya sebelum dia pergi. Dia rasa bersalah sangat dengan Arwah Ramadan dan Ita anak beranak. Dia bagitau akak sebelum dia koma, dia nak pulangkan dua ekar tanah yang sepatutnya dihibahkan kepada Arwah Ramadan dulu. Lepas dia langgar janji dengan arwah abah, hidup mak banyak betul masalah dan penyakit. Kondominium yang buat atas tanah tu tak terjual dan rugi. Pelabur tak bayar wang pampasan dan lari begitu saja. Mak macam nak gila. Ita, akak nak bawa Ita ziarah mak dan maafkan dia ya,” suara Kak Aminah kedengaran hiba. Tangannya masih dalam genggaman Kak Aminah.

“Mak dah siapkan surat peguam untuk pulangkan bahagian tanah Arwah Ramadan cuma dia tak sempat jumpa Ita dua minggu lepas, dia jatuh bilik air.” Kali ini Kak Aminah menangis. Dia terus mengusap belakang wanita itu. “Ita nak pergi jumpa mak. Kak Aminah tunggu sekejap ya,” katanya. Dia bangun ke bilik. Entah mengapa, sakit kepalanya mengendur dan dia tidak tahu perasaan sebenar yang muncul di hatinya sekarang.  Yang dia rasakan, dia hanya mahu memeluk anak-anaknya yang berada jauh di mata.

Loading

Imun-dong yang melekakan..

Jalanan yang saya lalui setiap pagi, dalam empat tahun ini adalah jalanan yang dipenuhi pohonan dan bunga-bungaan. Kecuali pada Januari sehingga awal Mac, alam sedikit murung dengan pemandangan pohon tanpa daun, juga warna coklat yang meronakan mata. Dalam situasi begitu, fikiran acap dibawa ke memori masa lalu; sempat teringat cucur peniaram bikinan arwah Tok Piah. Saya yang berumur 5- 6 tahun waktu itu akan duduk di tepi arwah tok, tidak berganjak kerana mahu membantunya, lalu diberikan tugas menekap bancuhan tepung dan gula merah. Bentuk kuih peniaram dengan empat lubang di tengah cukup mengecurkan air liur saya sekarang, di mana saya boleh mendapatkan kuih tradisional enak itu di bumi kimchi? Apa yang lebih dirindukan adalah arwah tok tidak pernah memarahi saya apatah lagi menjerkahi saya supaya pergi bermain jauh-jauh dan jangan mengganggunya. Disuakan kepada saya acuan kuih peniaram, agar saya dapat juga membantunya hal yang mudah. Ralitlah saya di dapur sehingga rasa bosan datang, kemudian meninggalkan arwah tok untuk pergi bermain. Arwah tok senyum sahaja tanpa melarang. Begitulah kanak-kanak.

Pemandangan di depan saya banyak membangkitkan memori masa lalu. Sungai Jungnang, tempat saya mengayuh basikal menjadi cermin yang memantulkan wajah kanak-kanak saya. Sebagai seorang yang hyper active dan selalu mempunyai keinginan yang pelbagai, saya berterima kasih kepada semua yang pernah menjaga dan bersabar dengan saya ketika kecil. Bayangkanlah saya pernah terjun dari motorsikal arwah tokwan, sehingga perbuatan saya hampir menyebabkan jari adik saya putus. Peristiwa itu berakhir dengan lebih sebulan adik saya tinggal di hospital kerana jarinya termasuk dalam rantai motor yang dipandu tokwan. Adik saya ingin meniru perbuatan saya terjun ketika motorsikal masih bergerak, tetapi nasibnya malang. Nakalnya saya waktu kecil, namun yang mengeluarkan saya dari sifat-sifat tersebut ke ruang kematangan adalah kelembutan arwah tok dan tokwan, juga ibubapa. Saya dinasihati bukan dijerkahi, saya dimarahi tetapi dengan nada yang sesuai dengan anak kecil. Semua itu menyebabkan saya berasa disayangi dan cuba berubah. Riak di Sungai Jungnang bahkan menggamit ingatan saya ketika umur 4 dan 5 tahun, selalu menangis kuat kerana tidak mahu berpisah dengan arwah tok gara-gara arwah tok sahaja yang memberi sepenuh perhatian kepada saya. Ibu sudah melahirkan 3 adik lagi dan tidak dapat memberi perhatian kepada saya, yang sabar dan menjaga saya adalah arwah tok. Sayangnya saya kepada arwah tok sampai-sampai bercakap pada ‘masa’; ‘Tolonglah jangan cepat berlalu, supaya saya tidak menjadi cepat besar, dengan itu tok tidak menjadi tua, jika tok tua saya tidak mahu tok mati, biar saya yang mati dulu.’ Begitu sekali fikiran kanak-kanak saya, betapa tidak boleh membayangkan hidup tanpa insan yang memberi sepenuh perhatiannya kepada saya.

Alam di bumi Imun-dong bukan hanya damai, tapi mempesona. Bergantian bunga yang muncul; magnolia kepada sakura, azalea kepada ros, poppy kepada bunga raya dan lavender kepada camelia. Semua bunga menerima tugas yang sama, memeluk jiwa manusia dengan liuk lentok dan warna. Tanpa sedar, manusia seperti saya teroleng ke masa-masa kecil. Bunga-bunga mengusap rindu orang perantau.

Saya membandingkan pula cara sendiri memujuk anak. Saat saya sedang sibuk menaip tulisan atau mengedit video, anak-anak kecil datang dan mahu duduk-duduk di atas saya. Saya mencium mereka dan memeluk sebentar, lalu saya katakan saya sedang sibuk, mereka pun faham dan pergi. Kemudian tidak lama, saya mendengar lagu dan suara dari gajet yang mereka buka. Mereka tenggelam di sana tanpa mengganggu lagi.

Dan ketika riak Sungai Jungnang dilimpahi cahaya matahari, saya bertanya; Jika di kemudian hari, apakah anak-anakku akan pernah bercakap kepada masa, agar tidak cepat bergerak supaya aku ibunya tidak tua? Atau mereka tidak pernah terfikirpun hal itu kerana yang memberi waktu dan perhatian kepada mereka, bukanlah aku.

Loading

Catatan Umrah Cinta

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat rasul junjungan, Rasulullah SAW.

Hari ini hari kedua kami pulang dari perjalanan umrah secara ‘do it yourself.’ Jika ditanya kepada saya manakah yang lebih baik; DIY atau dengan agensi travel ? Jawapan saya, jika kali pertama eloklah dengan agensi travel, sedia duit dan fokus ibadah sahaja. Tetapi jika kali kedua, ketiga atau berikutnya nak cuba eksplorasi sendiri, sangat digalakkan.

Umrah DIY ini subjektif. Jika pandai mengurus dan cari tiket penerbangan murah maka akan dapatlah jimat. Sebaliknya pula akan jadi mahal sama seperti pergi dengan agensi travel. Namun, kebanyakan yang pilih secara DIY bukan kerana nak murah tetapi kerana boleh sesuaikan dengan keadaan individu atau keluarga.

Kami terdetik nak mula umrah DIY kerana nak bawa ibubapa dan ibu mentua yang warga emas. Ibu mentua saya berumur 77 tahun. Bila ajak datang rumah kami di Korea, dia menolak. Tapi bila suami tanya, kalau umrah bagaimana? Terus semangat ibu mentua nak ikut. Melihatkan dirinya yang masih sihat cuma perlukan kerusi roda untuk bergerak jauh, kami terus ambil keputusan untuk pergi ketika cuti semester saya paling terdekat. Ibubapa saya juga berhasrat sama dengan ibu mentua. Cara kami, ada duit beli tiket penerbangan dulu. Kemudian beberapa bulan, bayar hotel dan buat visa pelancong. Alhamdulillah Allah SWT permudahkan dengan rezeki dan bantuan yang tidak disangka asbab nak tunaikan hajat ibubapa.

Kami pilih pesawat tambang- murah Air Arabia transit di Sharjah 1 jam ( sangat digalakkan dan saya bg 4/5 bintang untuk servis Air Arabia). Cuma beli seat depan jika bawa warga emas. Kami dapat seat no 4 dan 3, belakang pilot, dekat nak keluar dan ke tandas. Makanan pun akan dapat cepat juga pramugara/ pramugari duduk depan kita saja sebab pesawat tak besar (satu Baris dalam 6 tempat duduk). Ketika balik pula kami ambik tambang murah pesawat Indigo transit di Bangalore dua jam ( sangat tak digalakkan Jika bawa orang tua atau kanak- kanak asbab servis yang rendah 2/5 saya bagi, immigration yang cerewet dan perlu jalan jauh gila nak tukar pesawat😭). Saya pilih Indigo sebab sangat murah dan dapat 30 kg baggage cuma jangan ambil Jika bawa warga emas atau kanak- kanak ya. Untuk tiket penerbangan kami dapat dalam RM2600 seorang ( return).

Hotel Mekah dan Madinah di musim sejuk ( Januari- February) berdekatan Al Haram memang tidak masuk akal🙈 Akhirnya, setelah berpuluh kali memantau harga hotel dan membaca review, saya dan suami setuju ambil hotel di Madinah (Taibah) hanya 3 malam untuk 2 bilik, RM4986). Harganya mahal tapi paling murah di kawasan pintu utama ke Masjid Nabawi dan sangat dekat dengan ruang solat wanita 330. Jadi untuk 3 hari pertama ini memang acara kami iktikaf di Masjid Nabawi dan ziarah Raudah sahaja. Alhamdulillah asbab tolak kerusi roda emak dan ibu mentua, dapat tiga kali saya memasuki ruang Raudah yang mulia dan dirindui para pencinta baginda SAW😭.

Bajet untuk hotel seterusnya tidak boleh mahal lagi kerana tidak sempat kumpul🙈 jadi kami menyewa apartment 3 bilik kira- kira 1.8 km dari Masjid Nabawi iaitu di kawasan Masjid Khandak. Untuk 3 malam harganya RM1192. Untuk berulang- alik dari apartment, suami buat keputusan sewa Kereta dan pandu sendiri 3 hari berbaki di Madinah. Sewa Kereta dalam RM160 sehari termasuk insurance. Lebih jimat daripada kami ambik teksi untuk ke Masjid Nabawi dan ziarah. Suami juga sempat memandu ke Badar, satu peluang yang unik dan bermakna buat kami semua. Setiap kali ke Masjid Nabawi, ada parking bawah tanah dan bayaran parking kira- kira RM2.50/ jam. Hanya naik eskalator sudah tiba di ruang luar solat.

Di Madinah, suami saya diuji sakit tangan dan perlukan pembedahan kecil. Kos rawatan percuma kerana kami ambil Al Khairi care. Ya Allah memang kami galakkan peserta umrah DIY untuk ambik tambahan Al Khairi ini ( dlm RM100+ sorang). Alhamdulillah selepas rawatan, suami sembuh cepat.

Untuk ke Mekah, kami gunakan transport dari Uncle Aslam. Menurut saya, agensi ini yang paling murah berbanding agensi lain. Madinah ke Mekah ( berhenti miqat dan makan) hanya 350 riyal untuk satu van Staria yang baru dan selesa untuk 5 orang. Hotel di Mekah, kami ambil di Kiswah Tower 1 selama 6 malam sebanyak 3 bilik. Harganya RM150 satu bilik satu malam. Dari bilik kami di tingkat 20, pemandangan kami adalah Menara Masjidil Haram dan Menara Jam. Kerana kedudukan hotel yang jauh kira- kira 2km, kami berulang- alik setiap hari ke Masjidil Haram dengan teksi. Untuk turun di bawah tanah Masjidil Haram ( Dari situ hanya naik eskalator sudah sampai di dataran Masjidil Haram kawasan bilik air lelaki WC8 ), hanya teksi hijau dan putih dibenarkan masuk ke terowong bawah tanah. Pergerakan ibu dan ibu mentua sepenuhnya kerusi Roda kecuali Jika naik eskalator, bahkan tandas di Masjidil Haram sangat mesra OKU. Tempat paling strategik untuk jemaah wanita orang tua adalah pintu 91 di tingkat 2. Banyak ruang kosong dan kawasan dalam yg sejuk, tenang sangat sesuai untuk iktikaf lama.

Kami sempat ziarah Taif sehari, juga ambil servis Uncle Aslam (350 riyal). Oleh kerana banyak gunakan teksi harian, banyak juga pengalaman dengan karenah pemandu Pakistan yang memonopoli pekerjaan pemandu teksi di Mekah. Aplikasi Careem pula ada pemandu Arab tempatan tapi tidak meluas. Hanya sekali kami dapat pemandu Arab di Mekah, ketika menziarahi sahabat ayah iaitu Syeikh Rasyid Pattani di kawasan Masjid Aisyah. Untuk kos teksi berulang alik ke Masjidil Haram kira- kira 450 riyal untuk 5 hari di Mekah! Memang mahal tapi masih mampu. kerana hotel di depan Masjidil Haram belum dalam keupayaan kami dan saya berdoa moga Allah luaskan rezeki kami untuk merasa duduk di hotel di depan Masjidil Haram untuk umrah akan datang, amin amin ya Allah.

Makan pula memang subjektif. Jika peserta umrah DIY dapat jimat bab makan, kos akan jadi lebih murah. Oleh kerana kami bawa ibubapa jadi apa yang mereka mahu makan, kami tunaikan. Alhamdulillah dapat merasa makan nasi Indonesia, nasi biryani Bangladesh , Nasi Arab dan masakan Melayu sepanjang 12 hari Madinah dan Mekah. Harga makanan lebih mahal di kawasan Masjid Nabi dan Masjidil Haram berbanding luar haramain. Kerana kami tidak mahu membazir, nasi lebihan akan makan lagi waktu berikutnya😂 Saya rasa, makanan paling istimewa saya makan di Mekah adalah bihun air tangan Hajah Fatimah, isteri Syeikh Rasyid. Hajah Fatimah adalah Sepupu Allahyarham Dato Fadhil Noor, bekas Presiden Pas. Makan di rumah orang soleh, saya dan suami tiga kali tambah🙈( asbab tuan rumah suruh licinkan), Sedapnya masya Allah.

Kelebihan umrah DIY juga kita dapat susun acara sendiri. Ada hari ibubapa tidak begitu kuat , mereka rehat di hotel. Saya dan suami keluar berdua mendaki Jabal Nur. Begitu juga dengan masa. Bila ibubapa rasa cukup iktikaf hari itu, segera kami pulang ke hotel. Cuma, Jika ada rezeki lebih pilihlah hotel yang terdekat dengan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, dapat solat setiap waktu di kedua- dua tempat mulia ini pasti jadi idaman tetamu Allah.

Saya menyimpulkan sendiri pengajaran umrah kali ini adalah tentang khidmat anak kepada ibubapa yang melewati usia emas mereka. Keutamaan adalah keperluan mereka namun tetap dalam batasan kewangan kami. Semoga Allah SWT menggantikan yang lebih baik dan besar lagi di masa akan datang agar dapat bawa ramai lagi ahli keluarga mengenal tanah bermulanya agama dan jatidiri kita. Menziarahi makam Nabi SAW, bercakap dan menangis di Raudah adalah detik paling istimewa bagi setiap tetamu Allah. Rindunya tak tertanggung. Kerana Nabi SAW, kita mengenal Pencipta dan hidup mulia berlandaskan iman kini. Saya rasa bahagia bila menolak kerusi roda ibu dan ibu mentua mendekati Makam baginda SAW, seolah mempertautkan rindu yang dalam selama ini hanya terucap para bilahan selawat setiap hari. Bahkan dalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, saya minta mereka mendoakan saya lagi, banyaknya permintaan diri ini 😭😭

Setiap tetamu Allah punya cerita dan kisah masing- masing. Dalam pesawat pulang, melihat karenah jemaah dari India dan ada kumpulan Cina Muslim yang saya lihat kusut masainya mereka entahkan tidur di mana- mana demi menjadi tetamu Allah, saya insaf🥹 Saya teringat juga ketika satu malam makan di Bangunan Safwah, kami bertemu dua lelaki Melayu separuh baya yang membayar hotel sebanyak lebih RM47,000 demi memburu Ramadan di Mekah dan Madinah. Juga pasangan suami isteri sahabat baik kami, Nad dan Umair ( jumpa di Korea tahun lepas dan minggu lalu kami bertemu di Masjidil Haram!), mereka bawa sendiri Kereta dari Qatar 1000 km ke Mekah, 23 jam perjalanan bersama 4 anak kecil. Allahu, semuanya tentang pengorbanan dalam keupayaan masing- masing demi menjadi hamba yang diredhoi Allah dan umat yang dicintai Rasulullah SAW.

Jadi, bukan persoalan diy atau pakej lagi tapi usaha kita untuk ‘pulang’ ke sana sebentar dan berjuang mempertahankan iman dalam diri yang tidak mudah di Akhir zaman ini. Kita ke sana menjadi tetamuNya hanya untuk kembali ke asal, menjadi hamba Allah SWT dan umat baginda SAW.

Loading

Merasa ‘Rumah’ di ‘Rumah’ Orang

Dekatnya kita dengan sesuatu disebabkan perasaan selamat dan yakin diri. Dua perasaan ini selalu muncul di rumah; tempat kita bangun tidur dan tidak terfikir untuk bersolek dan bercantik demi malu kepada orang lain, seperti kita di luar rumah. Rumah juga tempat kita meluahkan rasa dan fikiran tanpa perlu menapis atau menggunakan bahasa berlapik. Kita menyusun sendiri acara apa yang mahu kita buat di dalam rumah; bukan pihak lain. Rumah adalah ruang fizikal kita bergerak, juga sebuah kota bagi emosi yang hidup, segar dan malar. Tidak menunggu sebuah rumah yang mewah untuk benar-benar kita menikmati makna rumah, dengan rasa selamat dan yakin, rumah usang pun dapat dinikmati sebagai ‘rumah.’ Sebuah syair Arab menyebutkan, “Al-baitu baitu abihim wa in kana min tin.’ (Rumah itu tetap rumah mereka walaupun hanya diperbuat daripada tanah liat).

Di perantauan, aku melihat makna rumah sebagai perkembangan jiwaku terhadap negara yang kududuki. Semakin rasa ‘selamat’ dan ‘yakin diri’ bertapak dan mengukuh dalam diriku, menjadi alasan mengapa masih betah di sini. Aku bertemu beberapa rakan perantau yang lebih lama datang ke sini. Sepertiku, mereka juga mencari rezeki di ranah kimchi, menyekolahkan anak-anak di sini, berjuang masa dan rasa siang malam dan tinggal di rumah layaknya untuk para perantau seperti kami; dua atau tiga kamar sudah rasa mencukupi.

Rumah di era pasca moden tidak lagi bertapak pada kebangsaan dan negara. Soalan dari negara (rumah) mana kamu datang? kemudiannya akan disusuli dengan soalan, ke negara (rumah) mana kamu selepas ini? Demi mencari rasa selamat dan yakin, para perantau tidak mempunyai perbatasan tanah air tercinta. Negara kelahiran yang dulunya tempat berlari mencari cacing buat menggula-gulakan ikan di kali, yang dulunya tempat mencicipi buah-buah lokal di pohonan belakang rumah, yang menjadi permaidani lumpur atau padang permainan, bertukar menjadi ngeri dan bahaya. Itulah menjadi sebab para perantau mencari rumah di negara-negara luar.

Baru-baru ini, kami sekeluarga dijemput makan malam di rumah sahabat kami dari Sudan. Rumah mereka terletak di puncak bukit Dongdaemon yang indah. Sewaktu makan, mereka berkongsi sebab berhijrah ke Korea.

“Dari tahun ke tahun, rasa mahu kembali ke tanah air begitu kuat. Banyak perkara yang terbatas di Korea. Isteri saya seorang doktor perubatan tidak dapat menjadi doktor di hospital Korea akibat perbezaan bahasa dan sistem peperiksaan kedoktoran. Anak-anak juga tidak menerima sepenuhnya pendidikan Al-Quran, terpaksa ditambah dengan kelas atas talian. Kerja saya juga amat sibuk, sebagai pegawai maklumat di sebuah kedutaan, hingga lewat malam masih dihubungi pegawai atasan. Keadaan di sini belum selesa buat kami. Namun, bila difikirkan untuk pulang ke negara sendiri jauh lebih sulit. Sudan masih berkonflik dengan perang saudara, ramai teman dan keluarga kami tidak mempunyai pekerjaan, malah tidak ada rumah lagi jika diserang. Sistem sosial melumpuh gara-gara konflik yang tidak berkesudahan. Jadi, sulit kami di Korea, sulit lagi keluarga dan kawan-kawan kami di Sudah. Jadi kami pilih bertahan di sini, sambil terus berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT.”

Itulah kata-kata Mr Anwar, kawan Sudan kami yang melekat di fikiran aku sekarang. Aku juga begitu. Daerah perantauan yang sedikit demi sedikit menjadi ‘rumah’ dalam diriku adalah ruang aku bertenang dan bersyukur. Kita semua berada dalam satu rumah besar iaitu bumi ciptaan Allah SWT. Sebagai muslim, rasa selamat dan yakin berputik dari rasa syukur dan tawakal kepada Pencipta. Semakin kita melepaskan apa-apa kemahuan yang tidak dapat digenggam, kita menggantikan dengan rasa cukup. Para perantau punyai senjata diri apabila mereka mendapat ‘rasa cukup’. Sesuatu yang dinikmati sebagai harta berharga.

Berada di ‘rumah’ yang tidak diganggu, menjadi sebab kita aman, biarpun rumah itu adalah ‘rumah’ orang lain hakikatnya.

Loading

Selepas ‘Kuasa Lembut’, Kuasa Apa?

Minggu lalu, seluruh Korea berperang kain rentang dan pembesar suara yang bertalu-talu di jalan utama terutama di simpang-siur lampu isyarat. Calon-calon pilihanraya tempatan cuba mendekati para pengundi dengan pelbagai cara. Lampu isyarat di depan pintu utama universiti menjadi medan paling strategik berkempen. Bayangkanlah, dalam kira-kira 5-8 minit menunggu lampu isyarat menjadi hijau (kerana begitu banyaknya simpang), semua pejalan kaki seolah ‘dipaksa’ untuk mendengar kempen para calon daerah masing-masing.

Saya tertarik dengan manifesto seorang calon yang dimuatkan dalam Akhbar Korean Herald. Katanya, “Jika saya menang, saya akan menuntut supaya Kerajaan Korea mengenakan cukai khusus kepada pelancong luar.” Kata-kata tersebut sangat ironi dengan apa yang telah dilakukan Korea sejak tahun 1990-an iaitu soft power atau kuasa lembut dengan dunia antarabangsa. Bermula dengan kebangkitan ekonomi selepas Krisis Ekonomi Dunia pada Tahun 1997, Korea tidak menunggu lama untuk bangkit semula sebagai harimau ekonomi Asia. Rentetan itu, mereka menjadi penasihat sekaligus ‘tukang tawar’ kepakaran dan teknologi kepada negara-negara dunia khususnya di Asia. Korea sebuah negara yang tidak mempunyai sumber alam yang besar untuk keperluan ekonomi jangka masa panjang. Justeru, ‘kuasa lembut’ mereka dipayungi oleh sumber yang berasaskan idealisme penjenamaan pangkal ‘K’ selepas gelombang hallayu. Produk mereka laris sehingga kini; k-pop, k-drama, k-kosmetik, k-food, k- health dan k-literature.

Perlu diingat, kuasa lembut yang diamalkan Korea sangat berbeza dengan kuasa lembut cara hegemoni Amerika. Hampir-hampir dunia lain tidak berasa ‘dipaksakan’ untuk meminati drama Korea, mengekori perkembangan artis-artis k-pop, makan kimchi atau melancong ke Seoul dan Jeju. Semua itu dilakukan oleh jutaan peminat Korea di seluruh dunia dengan rela hati dan cinta. Mereka menangis menonton k-drama bukan kerana akan dibayar, tetapi ada nilai kehidupan yang mengikat mereka menjadi pencandu pangkal K. Kuasa lembut Korea adalah strategi halus yang dirangka penuh sistematik melibatkan pelbagai pihak khususnya kerajaan, pemegang modal dalam kalangan konglomerat, para penyelidik dan pemain industri. Kerajaan dengan bantuan syarikat-syarikat utama Korea melabur jutaan dolar Amerika untuk menghasilkan produk budaya berpangkal K yang telah dikaji, dinilai dan disepakati boleh menggugah persepsi dunia terhadap Korea. Mereka bukan hanya mahu dunia berasa kagum dengan produk-produk Korea, tetapi menjadi pengguna dan pencandu apa sahaja yang dikeluarkan Korea dengan tentunya ‘perasaan tanpa sedar.’ Dan inilah yang terjadi sejak tahun 1990-an sehingga kini. Buktinya, pada Tahun 2025, Korea menerima jumlah pelancong antarabangsa paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 18.7 juta orang!

Jadi, saya berasa sangat pelik apabila calon pilihanraya tersebut mahu mengenakan cukai kepada pelancong luar. Apakah kuasa lembut akan bertukar menjadi pasca kuasa lembut dan Korea sudah berasa stabil jika ‘para pencandunya’ akan kembali tidak begitu ‘Korea’ lagi di tahun-tahun mendatang? Sudah bersediakah mereka mundur ke masa lalu ketika masyarakat tidak menikmati budaya K? Ataukah dalam kalangan masyarakat Korea sekarang melihat kedatangan pelancong sebagai ancaman, dan lebih selesa mengikut jejak ‘saudara musuh’ mereka (Korea Utara) yang tidak peduli pelancongan luar?

Lebih dahsyat lagi, cadangan tersebut muncul di kala peratusan kelahiran masyarakat lokal Korea hanya berjumla 0.80 bagi setiap keluarga Korea pada Tahun 2025 iaitu dalam satu keluarga tidak sampai seorang pun anak lahir, apatah lagi untuk kestabilan penduduk, mereka perlukan sekurangnya 2 anak dalam keluarga, namun masih jauh! Begitu, orang luar tak diperlukan dan orang dalam negara pun tak ingin dilahirkan.

Akhirnya, kuasa lembut bertukar menjadi kuasa serabut.

Loading

Akibat Merahsiakan Kata..

Setelah hampir dua tahun, aku berjaya menyimpan kata dalam diri, tanpa mahu menulis apa-apapun di laman ini. Satu kezaliman tanpa sedar berlaku terhadap bakat anugerahNya, padaku. Ketika mahu memulakan kembali hari ini, kata-kata bagaikan lumut hijau yang melekat di dinding jiwa, sukar kupindahkan menjadi bait-bait yang bersinar. Aku kehilangan ketajaman, semangat dan rentak. Aku seorang penulis yang kalah dalam peperangan arah dan masa.

Aku bangkit lagi, tidak seperti hari-hari sebelumnya, segera kulumati kemahuan untuk membugar semula semak-samun di laman ini. Rumput-rumput panjang telah menenggelamkan minat para pembaca terhadap waktu rehat sang penulis. Tulisanku tidak bergerak, seakan dimasukkan dalam muzium kata dengan tujuan pameran semata-mata. Aku juga malu dengan pendeknya ransanganku terhadap sekeliling, sepertinya aku berkata kepada saudaraku yang sedang menangis sakit, “Oh, saya kasihan melihatmu. Semoga kesakitanmu segera sembuh.” Setelah itu, aku pergi dan tak menoleh lagi, sehingga aku terlupa apakah dia masih menangis atau bahagia. Dan cuma berkata, “Innalillah” atas kematiannya yang muncul di media sosial.

Begitulah aku selama tidak menulis. Aku mematikan jiwa yang baru tumbuh untuk belajar menginsafi apa-apa yang dicerlung mata, direnungi jiwa dan dinikmati akal. Tanpa menulis sebenarnya aku merehatkan akal suburku daripada bekerja keras. Aku bagai seorang ibu yang menyuruh anaknya hanya makan dan tidur, jangan berbuat hal yang lebih penting daripada itu walau sekelilingmu sedang berlaku kiamat-kiamat kecil. Akhirnya akal digemukkan dengan kemahuan bersenang-lenang, berlenggang-lenggok dan mati rasa. Seorang penulis yang kematian rasa adalah orang jahat yang berpura-pura menjadi imam masjid. Terus-menerus aku memabukkan diri dengan ‘sejarah lalu’ bahawa aku pernah menjadi penulis.

pagi ini, aku disergah ‘hidayah’ untuk segera masuk semula ke medan jihad. Yang memujuk aku adalah banyaknya buku-buku yang hadir sekelilingku, ditulis oleh manusia yang tidak celaru oleh simpang-siur waktu dan godaan. Mereka terus berperang dengan pena demi memandaikan anak-bangsa dan manusia. Mereka adalah penulis yang membaca dan tentulah pembaca yang menulis. Mereka tidak pernah merahsiakan kata yang mengungkapkan kesedihan, kebencian, kepedulian dan merangsang jiwa pembaca dengan kemanusiaan. Mereka tidak mabuk untuk berkata, “Saya sungguh sibuk sehingga tiada masa untuk menulis..”

Loading