Kebiasaan itu menjadi penyakit..

Haruki Murakami memulakan ayat magisnya dalam Novel Pinball 1973 dengan kata-kata (terjemahan dari Bahasa Inggeris) berikut: ‘Saya sangat bahagia mendengar kisah tentang tempat-tempat yang jauh sehingga ianya menjadi seperti penyakit. Dahulu, 10 tahun yang lalu, saya berlegar-legar meminta semua orang memberitahu saya tentang tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Pada masa itu, pasti terdapat kekurangan pendengar yang baik, kerana setiap orang yang saya temui bercakap dengan saya penuh semangat. Apabila khabar angin tersebar tentang apa yang saya lakukan, orang yang tidak pernah saya lihat mula muncul hanya untuk menceritakan kisah mereka kepada saya.’

Ayat tersebut membuatkan aku teringat zaman kanak-kanak yang telah memunculkan satu ‘penyakit’ juga iaitu mahu berkelana ke tempat-tempat yang jauh. Dan tentunya keinginan itu berangkat dari cerita-cerita orang yang telah menetap di negara lain. Ketika aku berumur 6 tahun, dua adik ayahku tinggal di luar negara. Maksuku menyambung pengajian di Pakistan dan kemudiannya ke Jordan, manakala Paklang belajar di Kaherah, Mesir. Sewaktu mereka menelefon atau menulis surat kepada keluarga di kampung, aku dapat mendengar cerita-cerita mereka yang jauh. Tanpa sedar, dalam diriku bergelombang kemahuan untuk belajar di luar negara seperti Maksu dan Paklang. Sampai-sampai sewaktu melihat kapal terbang di awan, aku berdoa suatu masa dapat tersenyum dekat dengan awan gemawan.

Ayahku mula membawa kami ke pejabat imigresen untuk membuat passport ketika umurku tujuh tahun. Medan, Indonesia adalah destinasi luar negara yang pertama kepada kami. Pada waktu itu, ayah menjadi guru pengiring bagi anak-anak muridnya di Sekolah Agama Maahad Hamidiah, Kajang untuk rombongan ke Medan, dan ayah turut membawa aku dan dua adik. Kemudiannya, dalam tempoh yang lama aku tidak pernah mengecop apa-apa di passport. Keinginan hanya menjalar di fikiran, tertumpah di buku-buku catatan. Sewaktu aku darjah tiga, aku menulis ‘khayalanku’ di buku, sepucuk surat untuk sahabat ‘imaginasiku’ yang tinggal di Turki. Aku lupa bagaimana aku tahu tentang Turki, barangkali dari buku-buku yang ada di sekolah rendah, memperincikan tentang kisah kewalian Badiuzzaman Said An Nursi juga kejahatan Kamal Attarturk yang berasal dari Turki.

Di era 1990-an, dunia tanpa sempadan hanya bermula dari cerita-cerita orang lain. Ayahku yang bekerja sebagai wartawan dan penulis sering berada di luar negara atas tugasnya. Apabila pulang, ayah bercerita pengalaman-pengalamannya berada di Bosnia, London, Turki, Australia, Kemboja, China, Amerika Syarikat dan lain-lain. Lebih 20 negara telah ayahku lawati. Cerita-cerita itu bagaikan luka berdarah kembali dalam jiwaku untuk pergi ke tempat-tempat jauh. Hamparan sawah padi Kampung Gajah Putih dan hutan-hutan Changlon hanya kekal di mataku tanpa boleh menembusi cintaku untuk berkelana; menyentuh sawah padi di Tsukuba, Jepun atau padang ilalang Pulau Belitung dalam novel Laskar Pelangi. Ketika usia menginjak 20-an, sudah menjadi mahasiswi Universiti Malaya, pada waktu itulah ayahku membuatkan passportku lagi. Aku mengikut ayah sebagai petugas bagi penggambaran Dokumentari Salam Nusantara di Myanmar. Hampir separuh bumi Myanmar kami jelajahi. Dan perkataan Myanmar pertama telah melekat dalam ingatanku sehingga sekarang berbunyi ‘je zu be’ bermaksud terima kasih. Aku terpegun melihat budaya luas yang tidak pernah kutemui misalnya polis trafik memakai kain pelikat hatta ketika mengawal lalu lintas di tengah kota raya Yangon. Masyarakat Myanmar adalah masyarakat pengunyah sireh. Di mana-mana kami temui orang memakan sireh tidak kira tua dan muda, lelaki dan wanita. Tompok-tompok sireh menjadi hiasan kaki-kaki lima. Di Myanmar juga, kami sempat meneroka perkampungan air di Tasik Inle iaitu tasik asal Negeri Shan pada ketinggian 900 meter dari paras laut. Selain menjadi nelayan, penduduk kampung air Tasik Inle membuat tenunan kain untuk pasaran dalam negara. Keterujaan aku dalam perjalanan ini kutuliskan dalam cerpen berjudul Je Zu Be yang tersiar di Majalah Dewan Siswa 2002. Pulang dari Myanmar, aku pernah mengikut ayah membawa pelancong ke Bangkok melalui jalan darat. Dari Bukit Kayu Hitam ke Bangkok dengan van besar memakan masa 10 jam perjalanan. Anehnya, tidak terasa kepenatan kerana sepanjang perjalanan aku ralit mencatat apa yang kutemui selain mendengar ayah berkisah kepada para pelancong tentang sejarah Islam di bumi Thailand khususnya di Selatan Thai. Aku menuliskan cerpen berjudul Sopan Gadis Satun hasil pengembaraan ini dan cerpen ini memenangi hadiah sempena Hari Buku Sedunia 2005.

Kakiku mulai langkah panjang ke negara-negara jauh selepas ayah membawaku ke Myanmar dan Thailand. Aku memutuskan untuk mengembara ke Syria pada hujung Tahun 2005 bersama dua rakan. Ayahku menjadi penyokong tegarku. Dia suka aku mengembara usai tamat pengajian sarjana mudaku di Universiti Malaya. Ayah membelikan aku tiket pesawat dan berpesan agar aku menulis novel dan cerpen hasil kelana ke Bumi Syam. Perjalanan ke Syria adalah perjalanan paling istimewa dalam hidupku sehingga kini. Aku hanya menyerahkan sepenuhnya jadual perjalanan kepada dua temanku yang berpengalaman. Aku bagaikan anak kecil yang mengikut ibunya dengan rasa teruja sehingga perjalanan hampir 10 jam tidak terasa lama. Qatar Airways menjadi pesawat pertamaku bagi laluan timur tengah. Senyum manis pramugari dan keenakan makanan pesawat menambah keinginanku untuk mengulangi detik bahagia ini. Jika orang lain bersedih meninggalkan keluarga di tanah air, aku pula sebaliknya. Tersenyum-senyum kepada gumpalan awan sehingga berkata, “Bertemu lagi kita sayang..”

Bumi Syria menyambut kami di waktu Asar. Untuk melepasi jawwazat (imigresen) sesuatu yang mencabar walaupun mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Inilah perkara ‘unik’ pertama aku di Syria. Berkat kekentalan dan fasihnya Bahasa Arab sahabat musafir aku, maka kami bertiga dapat melepasi imigresen dan kastam. Dari matar (lapangan terbang) kami menaiki van menuju ke Kota Damsyik. Aku tidak menjangkakan yang kota ini akan menyihirku seumur hidup dengan sakit rindu. Boleh ku katakan Damsyik adalah ibu dunia dengan segalan keunikan peradaban yang mengalir dalam jiwa penghuninya dari Zaman Rom, Islam dan Eropah sehingga terbentuk negara pasca moden- sosialis di bawah monarki keluarga Asad. Kerana aku belum mahir berbahasa Arab terutama Arab Ammi, maka semua yang terdengar di telingaku seperti ‘doa-doa’ walaupun para pemandu ‘bergaduh dan memaki-maki’ di jalan raya. Kami bertiga menaiki lori kecil dan duduk bersama barang-barang kami di belakang lori tanpa bumbung. Itulah kenderaan yang membawa kami melerengi ke puncak Jaddat Salamiyeh, sebuah perkampungan atas bukit di Baromkeh, Damsyik. Kami menumpang dulu di rumah keluarga Arab bernama Hasnaa, teman kepada rakan-rakan musafirku sebelum mendapat rumah sewa. Keluarga ini sangat memuliakan tetamu sehingga dilarang membantunya membuat kerja-kerja rumah. Pada minggu-minggu pertama di Damsyik, kami tidak duduk diam. Aku ke pasar dan Universiti Abu Nour. Di sana aku menempah pakaian tebal bernama manto kerana waktu itu musim sejuk. Aku juga bertemu rakan-rakan Malaysia lain di universiti ini dan berkenalan dengan cyber cafe kerana di sana sahaja tempat aku boleh menelefon atau menghantar emel kepada keluarga di Malaysia. Aku jatuh cinta dengan Syria, saban hari aku mencatat apa sahaja yang berlaku dari sekecil perkara sehinggalah masalah besar lain. Selama dua bulan aku di Syria, aku direzekikan Allah SWT berkelana ke Bumi Amman, Jordan dengan bas. Aku bertemu dengan sahabat-sahabat Syria dari ‘syurga’ dengan sifat pemurah dan ikhlas mereka kepadaku antaranya Anisah Muna. Aku dibawa berjalan sehingga ke Bukit Golan yang menjadi sempadan Israhell dan Syria. Seorang pegawai kedutaan yang kami panggil Paksu Sobri membawa kami ke Selatan Syria iaitu Daerah Nawa, tempat lahir dan makam Imam Nawawi R.A. Dari sana kami turut singgah di Bosra, tanah berkah yang pernah dipijak Rasulullah SAW di usia kanak-kanak ketika dibawa berniaga ke Syam. Subhanallah, tidak terjangkau banyaknya pengalaman di Syria yang bagiku berbentuk rezeki dan anugerah kerana aku bukanlah memiliki duit melainkan ada sahaja pihak yang memberiku wang dan peluang. Bumi ini sungguh berkah kerana doa baginda SAW kepadanya “Allahumma barik lana fi Syamina.”

Saat berdoa di dalam Masjid Umawi, hanya perasaan seorang hamba yang meminta-minta. Aku kala itu berumur 24 tahun, belum ada pekerjaan, tidak ada ilmu melainkan segulung ijazah sarjana muda yang baru kudapat beberapa bulan sebelumnya, tidak ada calon suami atau kekasih hati, sedang bertarung dengan sakit misteri (seperti anxiety) dan tidak ada duit sendiri. Aku berdoa bagaikan seorang miskin yang meminta makanan, aku menangis dan berasa amat kerdil dengan nikmat musafir yang dikurniakan Allah SWT. Aku meminta Allah SWT memberiku kehidupan yang baik, suami yang soleh, ilmu yang bermanfaat, pekerjaan yang baik serta apa sahaja kebaikan dunia akhirat. Masjid Umawi yang di dalamnya adalah Makam Nabi Yahya As juga di luarnya adalah Makam Salahuddin Al Ayubi. Di situlah aku menangis dan menangis kepada Dia Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. (Dan sebahagian doaku panjatkan di sana telah Allah SWT kabulkan, Subhanallah). Kisah-kisah Syriaku telah kuabadikan dalam dua novel berjudul Baromkeh, Matamu di Mataku dan Senyum Kota Suriah, juga cerpen yang tersiar di Mingguan Malaysia berjudul Putik Qunaitara.

Aku pulang dari Syria berseorangan. Dari Damsyik ke Doha lalu memasuki ruang udara Malaysia. Aku ditemani awan-awan yang kuyakin mereka juga mendoakan aku dan semua penumpang selamat mendarat di tanah air. Kembali semula bergelar pelajar sarjana pada tahun yang sama; 2006. Kala itu, penyakitku tidak sembuh. Penyakit untuk terbang menyapa awan. Dalam tahun antara 2006 sehingga 2008, aku banyak menulis skrip drama televisyen untuk syarikat ayahku. Dapatan rezeki itu kugunakan untuk berkelana antaranya ke Solo, Ponorogo dan Yogjakarta, Indonesia. Aku membawa emak bersamaku dalam perjalanan ke Indonesia. Novel pertamaku berjudul Ladang Hati Mustika dibicarakan di hadapan ratusan santri di Pondok Pesantren Gontor dan juga Pesantren As Salam, Solo. Inilah permulaannya aku banyak membaca tentang sosio-budaya Indonesia sehingga ketika menyambug PhD, aku memilih untuk mengkaji juga tentang novel Islam Indonesia.

Tanggal 2008 aku tidak melupakan pengalaman umrahku yang pertama dengan transit di Dhaka, Bangladesh. Aku mengikuti rombongan sebuah organisasi muslimat dengan kos umrah hanya RM3999. Perjalanan kali ini adalah perjalanan tarbiah untukku. Melewati negara Bangladesh membuat aku bersyukur dilahirkan di Malaysia. Tidak pernah aku bayangkan saat keluar dari Lapangan Terbang Dhaka (untuk transit umrah), yang menyambut kami adalah tangan-tangan peminta sedekah. Sewaktu menaiki bas secara berhimpit pula ke hotel transit , aku menikmati pemandangan ibu kota Dhaka yang seperti Malaysia di era 1970-an. Aku baru tahu untuk masuk ke pusat membeli-belah di Bangladesh, ada saringan kemasukan. Orang miskin dan peminta sedekah dilarang masuk. Aku juga sempat menaiki beca di Dhaka. Beca-beca di sini sangat ‘berkuasa’ malah berani memberi ‘hon’ kepada kenderaan besar seperti kereta dan bas! Pengalaman-pengalaman unik di Bangladesh aku bawa ke Mekah dan Madinah. Dua bumi yang perasaan hakikinya tidak ada di tempat lain. Aku mengambil peluang mendaki Jabal Tsur dan Jabal Nur bersama Ustazah Noridah, tokoh politik muslimah Malaysia. Beliau banyak berkongsi kisah-kisah hidupnya denganku sepanjang perjalanan ke tempat persembunyian Nabi SAW dengan Saidina Abu Bakar. Pendakian yang mengambil masa selama tiga jam. Ketika itu usiaku 25 tahun, dan menjadi antara peserta umrah termuda. Jadi, aku banyak membantu nenek-nenek dalam rombongan itu sama ada memapah mereka melakukan umrah atau membelikan buah tangan untuk keluarga mereka. Di Kota Madinah pula, Paklong Haji Isa (Allahyarham) menjemput aku dan dua teman di hotel makan malam di rumahnya. Paklong adalah watak penting dalam novel ayahku, Cinta Madinah. Hubungan ayah dengan keluarga Paklong Isa menjadi seperti keluarga. Aku teringat lagi, ketika kami makan tiba-tiba seekor kucing Paklong mendekat. Seorang rakanku menjerit takut dan lari. Paklong kemudian berkata, “Jangan takut dan lari dari kucing. Ada sahabat Nabi SAW yang sangat mencintai kucing sehingga Nabi SAW menggelarkannya Abu Hurairah. Jadi kucing adalah binatang yang perlu didekati bukan dijauhi.” Di lantai Raudah, aku menangis dan berdoa agar aku bertandang lagi ke Bumi Madinah bersama suami dan ahli keluarga (Subhanallah, doa itu dimakbulkan Allah SWT berkah makam kekasihNya yang mulia). Semuanya menjadi kenangan manisku. Alhamdulillah, kesan umrah ini aku tumpahkan dalam Cerpen Teman, Cukuplah Kami yang memenangi Sayembara Hadiah Utusan 2026.

Doa-doaku banyak dimakbulkan selepas aku bertemu awan-awan perantauan. Doa orang musafir antara doa yang tiada hijab. Salah-satu doa yang Allah SWT makbulkan adalah perkahwinan dengan suamiku. Pada Tahun 2009, suamiku datang meminangku dan kami diijabkabulkan pada hari yang sama. Aku kira, selepas berkahwin aku akan berhenti mencari awan dan lebih banyak masa di rumah, namun sebaliknya minatku mengembara juga adalah minat suamiku. Saban minggu kami akan berjalan-jalan menziarahi sanak-saudara serata Malaysia. Kami pernah menaiki bas dari Johor ke Singapura untuk menziarahi sahabat kami, Puan Rohani Din. Beberapa hari di rumah Puan Rohani Din yang kami panggil Cik Anie, kami meneroka Kota Singapura dengan menaiki MRT dan bas awam. Dua tempat yang masih segar di fikiran aku adalah Chua ChuKang dan Toa Payoh serta Masjid Baa’alwi. Hujung 2010, saat aku mengandung anak sulung, aku mendapat tawaran dari pihak Galeri Ilmu untuk menulis biografi seorang muallaf yang tinggal di London bernama Noorah. Pihak penerbit turun menaja suamiku. Jadi bermulalah permusafiran ke negara jauh United Kingdom buat pertama kalinya dengan suami tercinta. Aku muntah dan loya akibat alahan mengandung namun kugagahi demi rindu kepada awan juga amanah penulisan yang kugalas. Selama 10 hari kami tinggal di rumah Sister Noorah di Street Avenue London. Aku dan suami menaiki tren ke Hyde Park atau taman diraja Kota London yang luasnya 350 ekar. Apa yang uniknya kali ini, aku muntah berkali-kali namun tetap semangat bersiar-siar sambil menemubual untuk Buku Noorah. Syukur, buku itu dapat diterbitkan selepas setahun kami meninggalkan Kota London.

Selepas melahirkan anak pertama, aku perlu membentangkan kertas kerja di Brunei. Oleh kerana suamiku tidak dapat cuti, jadi aku membawa anak sulung yang berusia setahun ditemani ibuku dan seorang rakan pembentang. Kami menginap di rumah kenalan ayahku, Makcik Saniah. Brunei menurutku sebuah negara yang sangat kuat tona Melayu-Islam, lebih kuat dari Malaysia. Negara kecil yang aman dinaungi daulat rajanya. Makcik Saniah benar-benar menghargai kami sebagai tetamunya. Kami dibawa bersiar-siar sehingga masuk ke Miri Sarawak melalui Brunei. Sepanjang kami di rumah Makcik Saniah, dia memasak hidangan yang enak sehingga kini masih terbayang sambal tumisnya yang paling sedap pernah saya makan. Rezekiku bertandang dua kali ke Brunei bersama anak sulung dan rumah Makcik Saniahlah yang menjadi penginapan kami.

Pada Tahun 2013, saat aku mengandungkan anak kedua, aku menerima tawaran besar dari Universiti Malaya untuk menyambung pengajian di luar negara. Itulah permulaan jodoh kami sekeluarga dengan Korea. Aku banyak menulis pengalamanku selama tinggal di Korea dari 2014 sehingga 2018 dalam Majalah Anis dan buku Cerita Korea Kami. Kehidupan keduaku bermula di Korea kerana negara ini membuka jurus pandangku terhadap sesuatu terutama makna seorang manusia. Aku kira penyakit ‘suka merantauku’ akan sembuh selepas 4 tahun 6 bulan tinggal di Korea dan pulang bertugas ke Malaysia. Namun, ianya datang dan merebak lagi sehingga pada umrahku yang kedua pada 2022, aku berdoa di depan Kaabah, “Ya Allah, jika ada peluang aku kembali ke Korea, maka Kau bawalah aku sekeluarga ke sana..”

Subhanallah, doa itu makbul. Sepulang umrah, pada tahun yang sama, aku ditawarkan untuk bertugas semula di Hankuk University of Foreign Studies Seoul tempat yang memberiku Ijazah Kedoktoran. Aku dan suami sama-sama menunaikan Istikharah dan jawapan dari hati kami adalah: berangkat! Jika dahulu kami mampir ke Korea dengan dua anak, kini dengan empat orang anak! Cerita penyakit merantauku tidak berhenti. Sepanjang tinggal di Korea fasa kedua ini, aku pernah sendirian bersama empat anak transit dan bersiar di Guangzhou, China sebelum pulang ke Malaysia. Mungkin di mata insan lain ianya satu kepayahan yang sengaja, tetapi padaku ia menyembuhkan sakitku. Dalam tangis dan ragam anak-anak kecilku, aku bersyukur dapat membawa mereka mengenali Tanah Besar China yang ajaib. Bangsa besar ini juga pernah bersentuhan dengan Tamadun Islam. Kami sempat menziarahi Makam Saidina Saad Ibn Waqas dan melihat masjid -masjid yang dijaga Muslim Cina di tengah kota tanpa agama. Aku berdoa moga anak-anakku juga nanti berjiwa pengembara dan menikmati kepelbagaian ciptaan Allah SWT. Tanggal April 2025, aku sekeluarga bersama ibubapa dan ibu saudara menaiki kereta api laju dari Beijing ke Xian, China. Ini adalah pengembaraan paling lengkap. Kami disambut oleh sahabat baik ayahku, Hassan Zhou bagaikan keluarganya sendiri. Jika dahulu, pengalaman-pengalaman kembara sering kutumpahkan dalam tulisan, kali ini aku menukangi video tiktok. Kembara Xian kami menerima lebih 400 ribu penonton!

Akhir Jan 2026, Allah SWT memakbulkan hasrat kami membawa ibubapa dan ibu mentua menunaikan umrah secara DIY. Aku dan suami menyusun jadual perjalanan empat bulan sebelumnya, termasuk menyimpan sebahagian gaji untuk kos umrah ini. Perjalanan kembara ini amat bermakna kerana bermula dengan penyelidikan, membaca pengalaman orang lain dan mencuba sendiri. Suamiku menyewa kereta di Lapangan Terbang Madinah, kemudian membawa kami ke Kota Badar dan tempat-tempat bersejarah utama di Madinah. Biarpun kos umrah DIY ini agak tinggi namun manis kebahagiaannya seumur hidup kerana dapat menunaikan hajat ibubapa dan ibu mentua. Semoga apa yang telah kami keluarkan akan diganti Allah SWT. Aku teringat kata-kata Allahyarhan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam satu kuliahnya, “Tiada sesuatu yang paling hebat dan gembira yang Allah SWT berikan kepada manusia akhir zaman melainkan Nabi Muhammad SAW. Bagindalah kegembiraan sebenar kita.” Ya Allah, sangat kecil apa yang kami keluarkan untuk menziarahi kegembiraan kami Baginda Nabi Muhammad SAW. Jadikan kami orang yang rajin berselawat ke atas baginda SAW agar kelak kami berada dekat dengan Nabi SAW. Madinah adalah kota rindu serindu-rindunya. Kelak, aku mahu membawa anak-anakku semuanya datang menziarahi Nabi SAW. Pulang dari Umrah DIY, aku berkongsi pengalaman kami melalui video dan mendapat tontonan lebih 15 ribu, semoga ada manfaatnya.

Kembali menyelak jadual kembaraku, penyakitku. Tanggal 29 Jun lalu, aku pulang sendirian dari Seoul melalui Qingdoe dan Shanghai bersama dua puteri kecilku. Suami dan anak keduaku akan pulang lebih lewat. Perjalanan memakan masa 16 jam dengan dua kali transit. Aku berdoa semoga permusafiran panjang tanpa suami kali kedua ini dipermudahkan Allah SWT. Kedua anakku ini lebih matang dari kembara ke Guangzhou dulu. Sudah tidak menangis dan meragam, cuma sesekali mahu membeli itu dan ini yang berakhir dengn kata ‘Banyak tak halal sayang.’ Aku mengambil peluang tidak melihat telefon bimbit dan memfokuskan kepada mereka berdua sahaja. Lapangan Terbang Qingdoe amat canggih, setanding Lapangan Terbang Incheon. Banyak perkara sebenarnya tidak memerlukan teknologi barat, hal ini kita boleh belajar dari China. Masuk ke Tanah Besar ini kita sebenarnya memasuki ruang yang melarang penggunaan Google, Whatsapp dan aplikasi peranti Iphone kecuali dengan kod VPN. Imigresen China sangat ketat namun mereka cepat senyum melihat anak-anak kecil. Jika dahulu Ahda Aminah suka menangis dalam pesawat, kali ini mereka ketawa tanpa henti pula sehingga ditegur pramugari dan penumpang lain, aduhai. Saya yang dulu menikmati jendela kecil pesawat untuk melihat awan, kini terhibur melihat Aminah mengerdip-ngerdip mata kepada awan. Akhirnya kami tertidur dan pengumuman paling membahagiakan akan mengejutkan kami : “Tuan dan puan, kita akan tiba di Malaysia dan pakailah tali pinggang keselamatan anda..”

Itulah penyakit saya iaitu mencari ‘cabaran pengembaraan’ kemudian bertawakal sepanjang perjalanan dan berakhir dengan ‘kegembiraan tiba di tanah air’. Penyakit yang ada pada setiap orang pasti berbeza seperti Haruki Murakami yang mencari ‘tempat-tempat jauh’ melalui cerita orang lain.

Penyakit ini saya mahu teruskan seumur hidup, dengan izinNya!

Loading

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *