Motivasi Menulis, Korea, Rindu

Teach You a Lesson, Sebuah Gegaran Ekonomi Budaya.


oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Saya menontonnya beberapa hari sebelum menjadi bualan dunia gara- gara satu komen di Tiktok saya (berkenaan saya menunggu pelajar di kelas) dan mencapai 554200 view. Komen tersebut secara bergurau menyuruh saya mengadu kepada Na Hwa Jin dan BPHP dalam Teach You a Lesson. Saya pula belum pernah mendengar drama itu terus menontonnya, terjebak!

Kini Teach You a Lesson menduduki tempat teratas dalam senarai drama Netflix bukan berbahasa Inggeris dengan capaian hampir 7 juta penonton bagi minggu pertama siaran. Persoalannya, mengapa begitu bergelombang?

Budaya Sebagai Produk Ekonomi

Saya ingin berangkat dari kenyataan bahawa produk budaya Korea telah dijenamakan dengan pangkal K menjadikan semua budayanya mendapat cop mohor untuk dikomersialkan. Kpop, Kdrama, Kfood, Kbeauty, Khealth dan Kliterature berada dalam seliaan Kementerian Budaya, Sukan dan Pelancongan Korea. Setiap tahun puluhan juta dolar USD dibelanjakan negara bagi keperluan ‘menjual aspek budaya’ kepada dunia. Untuk budaya menjadi produk, negara bukan main tangkap muat membelanjakan duit rakyat. Mereka gunakan untuk tubuhkan pusat penyelidikan yang menjadi tapak kepakaran renovasi budaya termasuklah drama dan filem. Setiap drama yang dikeluarkan atas jenama K adalah produk yang telah diuji dalam makmal dan panggung penyelidikan. Hal ini melibatkan ratusan penggerak dari pengeluar modal, penyelidik, penulis, pemain industri dan penonton yang menyokong produk tempatan. Bagaimana boleh keluarkan produk yang akan menggoncang dunia jika masyarakat tempatan sendiri menolak?

Drama Teach You a Lesson sebenarnya sudah berada atas landasan gelombangnya, seperti rancangan- rancangan sebelum ini; Running Man, Squid Game, Crash Landing on You, Goblin dan lain- lain. Namun, kali ini lebih berani kerana mereka mengemukakan isu yang paling mengakari bangsa iaitu pendidikan. Mereka menggali realiti kebobrokan pendidikan Korea untuk menjadi produk dan perbincangan dunia!

Drama 10 episod ini berasal dari webtoon berjudul Get Schooled. Barangkali kerana drama ini penuh dengan masalah, keganasan dan aksi menyebabkan menontonnya seperti menonton drama triler distopia (thriller distopia) tetapi sarat pengajaran yang melibatkan kehidupan awal manusia iaitu pendidikan. Saya membaca komen- komen penonton Korea. Mereka mengakui pendidikan Korea sedang mengalami masa suramnya apabila guru mula kendur semangat mengajarnya, hukuman dibekukan dan ruang untuk pelajar dan ibubapa ‘naik kepala’ sangat besar.

Biro Perlindungan Hak Pendidikan Korea (BPHP) dalam drama ini adalah kuasa ‘fantasi’ bagi ekosistem sekolah- sekolah Korea yang bermasalah. Namun, kerana 10 episod drama ini mengangkat isu yang brutal seperti buli, rogol, pembunuhan, penjualan dan penggunaan dadah, penyalahgunaan kuasa dalam kalangan guru, ibubapa dan ahli politik serta kesalahan yang berakhir di penjara juvana. Watak hero ganas Na Hwa Jin lakonan Kim Moo Yul dibantu Im Han Lim yang gila (untuk memukul pelajar- pelajar jahat) serta Bong Geun dae yang kelihatan naif tapi genius sistem komputer serta Menteri Pendidikan Choi Kang seok yang berlawanan arus membuatkan penonton seluruh dunia tersihir dengan ‘kepalsuan kuasa baru’ dalam sistem pendidikan Korea.

Berfikir ke Belakang

Drama Teach You a Lesson ini membawa penonton kembali ke masa lalu secara emosinya. Semua orang bersetuju bahawa guru adalah pemegang kuasa sebenar di sekolah, bukan pelajar dan ibubapa. Hak guru selagi mereka berperanan sebagai pembimbing dan pelindung pelajar, mereka boleh melaksanakan apa yang patut untuk pelajarnya jadi manusia termasuklah dengan cara memukul fizikal. Majoriti penonton menerima hal ini.

Oleh sebab itu, sewaktu tim BPHP datang dengan kekerasan (kadangkala melampau batas) menangani pelajar jahat (bukan nakal lagi), penonton rasa ‘dendam’ mereka terbalas sehingga terkeluar kata ‘sepatutnya inilah yang perlu ada di sekolah kita.’

Semua ini diterima kerana masalah pendidikan yang ditonjolkan dalam drama ini berlaku di sekolah-sekolah seluruh dunia. Hanya sahaja Korea berani memposisikannya dengan baik sebagai produk kdrama yang memberikan pulangan ekonomi kepada negara mereka.

Alang- Alang Menyeluk Kimchi..

Pepatah Melayu kita menyebutkan, alang- alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Namun Korea tidak ada pekasam, mereka ada kimchi yang prosesnya membuatkan orang menyinting lengan baju. Meneruskan tradisi kuasa lembut (soft power) Korea yang dimulai sejak tahun 1990-an, Korea terus mara dengan maraknya. Alang- alang membuat produk budaya, mereka buat apa sahaja demi pendapatan negara. Semua realiti sosial diangkat dan dikomersialkan dengah lebih tragik dan heroik bersama teknologi dan mutu lakonan. Penonton dunia terpaku dan tidak sedar dalam hati mereka sudah masuk ‘sihir Korea’. Yang mereka tunggu adalah munculnya ribuan ‘review’ kontemporari, artikel akademik, hujah dan fatwa akhirnya berhujung dengan khalayak global kenal, membeli dan kekal dengan apa sahaja produk berpangkal K.

Mereka sudah tahu bahawa guru- guru seluruh dunia akan memperkatakan drama ini, para pelajar dan ibubapa akan menontonnya, masyarakat global akan bercakap di media sosial masing- masing dan gelombang K akan meningkat ganas.

Ini bukan tentang adab, akhlak dan kesopanan dalam pendidikan melainkan realiti pendidikan sebagai kandungan produk ekonomi Korea yang baru!

Loading

Imun-dong yang melekakan..

Jalanan yang saya lalui setiap pagi, dalam empat tahun ini adalah jalanan yang dipenuhi pohonan dan bunga-bungaan. Kecuali pada Januari sehingga awal Mac, alam sedikit murung dengan pemandangan pohon tanpa daun, juga warna coklat yang meronakan mata. Dalam situasi begitu, fikiran acap dibawa ke memori masa lalu; sempat teringat cucur peniaram bikinan arwah Tok Piah. Saya yang berumur 5- 6 tahun waktu itu akan duduk di tepi arwah tok, tidak berganjak kerana mahu membantunya, lalu diberikan tugas menekap bancuhan tepung dan gula merah. Bentuk kuih peniaram dengan empat lubang di tengah cukup mengecurkan air liur saya sekarang, di mana saya boleh mendapatkan kuih tradisional enak itu di bumi kimchi? Apa yang lebih dirindukan adalah arwah tok tidak pernah memarahi saya apatah lagi menjerkahi saya supaya pergi bermain jauh-jauh dan jangan mengganggunya. Disuakan kepada saya acuan kuih peniaram, agar saya dapat juga membantunya hal yang mudah. Ralitlah saya di dapur sehingga rasa bosan datang, kemudian meninggalkan arwah tok untuk pergi bermain. Arwah tok senyum sahaja tanpa melarang. Begitulah kanak-kanak.

Pemandangan di depan saya banyak membangkitkan memori masa lalu. Sungai Jungnang, tempat saya mengayuh basikal menjadi cermin yang memantulkan wajah kanak-kanak saya. Sebagai seorang yang hyper active dan selalu mempunyai keinginan yang pelbagai, saya berterima kasih kepada semua yang pernah menjaga dan bersabar dengan saya ketika kecil. Bayangkanlah saya pernah terjun dari motorsikal arwah tokwan, sehingga perbuatan saya hampir menyebabkan jari adik saya putus. Peristiwa itu berakhir dengan lebih sebulan adik saya tinggal di hospital kerana jarinya termasuk dalam rantai motor yang dipandu tokwan. Adik saya ingin meniru perbuatan saya terjun ketika motorsikal masih bergerak, tetapi nasibnya malang. Nakalnya saya waktu kecil, namun yang mengeluarkan saya dari sifat-sifat tersebut ke ruang kematangan adalah kelembutan arwah tok dan tokwan, juga ibubapa. Saya dinasihati bukan dijerkahi, saya dimarahi tetapi dengan nada yang sesuai dengan anak kecil. Semua itu menyebabkan saya berasa disayangi dan cuba berubah. Riak di Sungai Jungnang bahkan menggamit ingatan saya ketika umur 4 dan 5 tahun, selalu menangis kuat kerana tidak mahu berpisah dengan arwah tok gara-gara arwah tok sahaja yang memberi sepenuh perhatian kepada saya. Ibu sudah melahirkan 3 adik lagi dan tidak dapat memberi perhatian kepada saya, yang sabar dan menjaga saya adalah arwah tok. Sayangnya saya kepada arwah tok sampai-sampai bercakap pada ‘masa’; ‘Tolonglah jangan cepat berlalu, supaya saya tidak menjadi cepat besar, dengan itu tok tidak menjadi tua, jika tok tua saya tidak mahu tok mati, biar saya yang mati dulu.’ Begitu sekali fikiran kanak-kanak saya, betapa tidak boleh membayangkan hidup tanpa insan yang memberi sepenuh perhatiannya kepada saya.

Alam di bumi Imun-dong bukan hanya damai, tapi mempesona. Bergantian bunga yang muncul; magnolia kepada sakura, azalea kepada ros, poppy kepada bunga raya dan lavender kepada camelia. Semua bunga menerima tugas yang sama, memeluk jiwa manusia dengan liuk lentok dan warna. Tanpa sedar, manusia seperti saya teroleng ke masa-masa kecil. Bunga-bunga mengusap rindu orang perantau.

Saya membandingkan pula cara sendiri memujuk anak. Saat saya sedang sibuk menaip tulisan atau mengedit video, anak-anak kecil datang dan mahu duduk-duduk di atas saya. Saya mencium mereka dan memeluk sebentar, lalu saya katakan saya sedang sibuk, mereka pun faham dan pergi. Kemudian tidak lama, saya mendengar lagu dan suara dari gajet yang mereka buka. Mereka tenggelam di sana tanpa mengganggu lagi.

Dan ketika riak Sungai Jungnang dilimpahi cahaya matahari, saya bertanya; Jika di kemudian hari, apakah anak-anakku akan pernah bercakap kepada masa, agar tidak cepat bergerak supaya aku ibunya tidak tua? Atau mereka tidak pernah terfikirpun hal itu kerana yang memberi waktu dan perhatian kepada mereka, bukanlah aku.

Loading