June 10, 2026

Rumah Tingkat Lima

Dunianya adalah kota sibuk; bangunan pencakar langit, kenderaan kecil besar yang bertali arus, alunan Sungai Klang yang tidak bermaya, manusia dalam kelas sosial yang terlihat pada kulit dan pakaian mereka, juga evolusi kenderaan awam yang dinikmatinya dari tahun ke tahun. Dia sedar dia sudah tua untuk merasai kesegaran angin pagi seperti 30 tahun lalu, di saat dia membonceng motorsikal suaminya untuk ke tempat kerja. Kini, angin pagi yang menampar wajahnya adalah angin yang keras, berbisa dan hilang begitu sahaja.

Dia dilahirkan di kampung, jauh di utara Malaysia. Selepas Peperiksaan SPM Tahun 1990, dia mengikut kakaknya merantau ke Kuala Lumpur dan menjadi pembantu tadika. Keputusan SPMnya tidak begitu cemerlang, hanya melayakkan dia memohon kerja sebagai kerani. Itulah jawatan yang disandangnya selama 30 tahun dia bekerja di sebuah universiti di tengah ibu kota. Dia dan suaminya jatuh cinta pandang pertama ketika sama-sama singgah menunaikan solat di Masjid Negara. Suaminya pemuda kota, tidak sembunyi-sembunyi menyatakan rasa hatinya kepada seorang perempuan.

“Saya mencari wanita untuk saya menumpang teduh matanya, untuk saya meminjam jernih jiwanya dan membasuh segala lara. Saya mahu memperisterikan kamu yang bernama Rozita, sudikah? Faktanya, saya tidak kaya. Tetapi saya kuat bekerja, tengok itu motorsikal yang saya beli hasil titik peluh bekerja sebagai kerani pejabat pos.” Itulah kata-kata yang tidak dilupakannya saat suaminya melamarnya, selepas tiga kali pertemuan di tangga Masjid Negara. Perkahwinan mereka adalah penyatuan dua kerani yang berani-berani tinggal di ibu kota. Kerana rumah sewa mereka sangat sempit, hanya ada satu bilik dan sebuah dapur, bilik air pula berkongsi dengan jiran, dia dihantar suaminya pulang ke kampung untuk melahirkan anak pertama. Jadilah anaknya orang Sintok, Kedah walaupun hanya pada surat beranak.

Suaminya membuat pekerjaan tambahan dengan menggunakan bakat semulajadinya, menulis dan berniaga. Di hari minggu, suaminya rajin menghantar rencana dan kisah-kisah masyarakat ke surat khabar dan majalah. Di malam hari, suaminya keluar ke pelusuk kota menjual secara langsung kismis dan kerepek yang dibuat orang kampung. Suaminya tidak pernah menggunakan wang pendapatan kerja tambahannya. Genap tiga tahun, apabila dia mengandungkan anak kedua, suaminya membuat kejutan besar.

“Kita akan berpindah ke rumah kita sendiri di Sentul. Sayang tak perlu pulang ke Sintok untuk melahirkan anak kedua. Pinjaman perumahan abang dah lulus, cukup duit simpanan abang membayar deposit rumah. Cuma rumah kita tinggi, di tingkat lima,” kata suaminya. Di saat-saat dia ingin melahirkan anak keduanya, terasa bebannya untuk sampai ke tingkat lima.

“Abang akan buat lima kerja lagi untuk beli rumah lain yang bertanah,” kata suaminya melihatkan betapa siksa sang isteri memanjat tangga.

“Tak perlu abang, hikmah rumah kita di tingkat lima, nanti mudahlah saya melahirkan anak,” balasnya. Begitulah yang berlaku saat dia melahirkan anak kedua, ketiga dan keempat. Dia tidak perlu bersusah-payah ketika bersalin, ketiga-tiga anaknya keluar sebelum tiba di hospital.

Suaminya semakin sibuk di hujung minggu. Dia menggunakan sebaik-baiknya masa cuti memburu berita dan bahan menulis rencana. Dengan menggunakan nama pena Tongkat Rakyat, tulisan suaminya menghiasi beberapa ruangan tabloid dan surat khabar arus perdana. Pernah suatu ketika, suaminya tidak tidur malam menyelesaikan karangannya.

“Kalau abang tidak hantar kisah Adik Kalsum ini ke Majalah Masnira, abang rasa berdosa. Abang baru berjumpa dengan ayahnya di Pudu Rakyat. Ayahnya mahu mencari kerja di Kuala Lumpur untuk cari modal hantar Kalsum ke sekolah asrama. Di Pantai Timur, laut sedang bergelora dan ayahnya tidak dapat ke laut, sedangkan Kalsum perlukan duit untuk masuk asrama. Sejak tadika sehingga darjah enam, Kalsum tidak pernah dapat huruf selain A dalam ujiannya. Keputusan UPSRnya 4A tapi malangnya kerana miskin, dia terpaksa tolak tawaran ke asrama penuh. Abang mahu rakyat Malaysia hantar Kalsum ke sekolah terbaik supaya dia ubah nasib keluarganya,” kata suaminya. Selepas mendapat gambar Kalsum yang dikirim melalui pos, kisah Kalsum dimuatkan di Majalah Masnira sebanyak tiga muka surat. Berkah tulisan itu juga, Kalsum dapat memasuki asrama penuh. Cuma umur suaminya tidak panjang untuk melihat Kalsum dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM lima tahun selepas itu.

Suaminya banyak menulis kisah masyarakat, tetapi sangat perahsia mengenai dirinya sendiri. Selama berkahwin, tidak sampai sepuluh kali dia dibawa menziarahi keluarga angkat suaminya. Ibubapa mentuanya meninggal dunia ketika suaminya masih kecil. Suaminya membesar dengan keluarga angkat di Kampung Sungai Penchala. Asbab perselisihan faham mengenai harta pusaka setelah bapa angkatnya meninggal dunia, suaminya membawa diri.

“Abang anak angkat, cuma orang menumpang. Tapi arwah ayah pernah bagitau abang, tanah di Sungai Penchala mahu dihibahkan kepada abang dua ekar. Itulah, dia cuma bercakap tanpa sebarang surat wasiat. Lepas ayah meninggal dunia, arwah emak angkat bahagikan semua tanah itu untuk anak-anaknya. Dia ada surat peguam, jadi abang tak boleh buat apa-apa kecuali usaha sendiri untuk mahligai keluarga kita. Maaf Ita, rumah kita di tingkat lima, bukan di atas tanah,” kata suaminya beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

Hampir 12 tahun suaminya pergi, dia tidak pernah membawa anak-anaknya ke rumah keluarga angkat suaminya. Anak ketiga dan keduanya tidak pernah tahu yang mereka pernah ada kampung di kota besar. Saat melalui Lebuhraya Penchala Link beberapa kali dengan anak-anaknya, mulutnya berat bercerita kepada mereka bahawa kondominium baru di pinggir terowong Penchala Link adalah milik keluarga angkat arwah suaminya. Tanah pusaka itu dijual kepada pelabur bumiputera kerana tanah itu Tanah Rizab Melayu. Adik-beradik angkat suaminya menjadi jutawan asbab tanah yang berada di kawasan antara termahal di ibu kota. Pernah hatinya nakal berbisik, jika ayah angkat suaminya menulis surat wasiat apa yang dikatakannya, rumah mereka mungkin empat atau lima bilik tidur, bukan cuma dua. Segera dia beristigfar dalam hati, menghalau bisikan-bisikan noda yang selalu mengganggu perasaan orang miskin sepertinya. Bayangan menjadi kaya bagaikan irama yang mengasyikkan, setelah irama hilang, kehidupan sebenar kembali dengan desiran ganas dan menakutkan.

Suaminya meninggal dunia dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motorsikalnya dilanggar sebuah lori. Pagi itu, sepatutnya dia turut membonceng suaminya tetapi kerana bayi mereka yang berusia 6 bulan demam panas, dia mengambil cuti. Tuhan memanjangkan umurnya untuk anak-anaknya tidak menjadi yatim piatu serta-merta. Sejak itulah, nyawanya adalah rindu dan rindu adalah nyawanya. Tiada satu detik pun dia tidak merindui suaminya yang baik. Suaminya mungkin tidak berharta, jauh dari kaya. Namun suaminya kuat berusaha dan tidak sesekali putus asa dengan ketentuan Allah. Suaminya meninggalkan banyak buku melebihi pakaiannya, juga sebuah komputer meja. Demi menjarakkan sedikit rindu di hatinya, dia membaca semua buku-buku yang dibeli suaminya. Dalam kenderaan awam, ketika para buruh lain sibuk menatap skrin telefon bimbit, dia pula membaca buku. Tema-tema buku yang dibeli suaminya tidak dapat dijangka. Suaminya seorang peminat bidang linguistik dan sastera.Tidak kurang 20 buah buku teori sastera dimiliki suaminya. Saat semua novel dan buku-buku kehidupan ditelaahnya, dia pun memaksakan dirinya membaca tentang teori sastera klasik sehingga ke Teori Marxism, Psychoanalysis, New Criticsm, Structuralism dan Semiotics. Cuma dia belum berjumpa buku terkait Teori Feminist dalam koleksi suaminya.

Dia yang sememangnya seorang pendiam sejak remaja, menjadi semakin sepi dalam ruang hatinya, lebih-lebih lagi apabila tenggelam dalam buku yang dinikmatinya. Anak-anaknya juga tidak riuh, mengharungi ujian kehilangan tiang seri keluarga secara pasrah. Anak sulungnya adalah bayang-bayang suaminya pada fizikal dan semangatnya. Anak keduanya lebih menurut wajah ibu tapi degil dan sifat bertanggungjawabnya saling tidak tumpah ayahnya. Anak ketiga dan keempatnya bagai layang-layang yang talinya dipegang ramai pemicu. Dia mengakui kekalahan awalnya dalam mendidik anak ketiga dan keempatnya disebabkan rasa penat, sunyi, rindu dan tempang. Dia kurang bercakap dengan mereka, jauh sekali berterus-terang dengan kata-kata, “Ibu sangat sayang Bai dan Irfan.” Dia mahu mereka sendiri mengerti penatnya mengharungi kesesakan jalanraya saban hari, menghadap surat dan timbunan fail serta ego manusia berpangkat adalah kerana dia menyintai anak-anaknya. Gajinya yang kecil itu dipertahankan untuk anak-anaknya cukup makan dan pakai walaupun berhimpit dalam rumah dua bilik di tingkat lima. Dia sendiri berkongsi bilik dengan satu-satunya anak perempuan. Anak pertamanya sejak menjadi remaja, lebih selesa tidur di ruang tamu, memberikan kamar untuk dua adik lelakinya tidur selesa.

Anak pertamanya adalah anugerah tidak ternilai buatnya. Anak itu memberinya hadiah berupa sikap dan tindakan yang tidak pernah disangka akan dilakukan oleh seorang yang baru berumur 12 tahun, dan kini berusia 23 tahun.

“Ibu tak perlu belikan along yang baru. Semua pakaian dan alatan sekolah yang along boleh pakai, along guna lagi tahun ini,” itulah kata-kata wajib anak sulungnya selama berada di sekolah menengah.

“Along puasa hari ini, duit sekolah along ibu boleh guna belikan barang Bai dan Irfan,” kata anak sulungnya, setia dengan sifat mengalah.

“Along mungkin tak dapat berikan ibu duit, tapi ibu tak perlu risau tentang keperluan sekolah dan duit belanja along, ibu fikirkan untuk adik-adik saja. Along akan usaha sendiri,” kata anaknya itu yang mulai berniaga kecil-kecilan sejak berusia 13 tahun. Anaknya masih ingat bagaimana dia membantu ayahnya dulu membungkus kekacang dan kerepek untuk dijual secara langsung. Cara yang sama dilakukan anaknya, membungkus lebih kecil dan menghantar ke kantin sekolah dan penjual-penjual bermotosikal. Sekiranya pelajar lain menghulur tangan menerima wang saku dari ibubapa mereka, anaknya yang bernama Hadi sering memujuknya menerima wang untuk membayar tiket bas dan LRT.

“Hadi ada RM30, ibu ambillah RM15.”

“Tak mahulah ibu, itu duit Hadi jual makanan. Simpan duit itu,” katanya.

“Jika Hadi beri kepada ibu apa yang Hadi dapat, Allah akan lipat kali gandakan rezeki Hadi,” kata anaknya yang waktu itu berusia 14 tahun. Dia sungguh-sungguh membesar dengan akhlak tampang arwah suaminya. Selama empat tahun anaknya belajar di universiti, tidak pernah sekalipun dia meminta wang. Selepas bergraduasi dan bekerja di sebuah syarikat, anaknya tiba-tiba membuat kejutan.

“Ibu, along nak berhenti kerja. Along mahu merantau ke Korea selama tiga bulan, along nak kerja di ladang kubis,” kata anak sulung, intan payungnya.

“Tak sayangkah pekerjaan sekarang? Bukan senang nak kerja di syarikat,” dia membalas dengan rasa gawat, kerana dia tahu apa yang dikatakan anaknya, itulah yang akan dilakukan nanti.

“Along sudah berjanji dengan ibu, bila along habis belajar dan mula kerja, kita akan berpindah dari rumah tingkat lima ini. Along sedang berusaha kotakan janji itu, inilah caranya yang paling cepat. Along tak sanggup lagi lihat ibu tercungap-cungap di pintu rumah. Ibu doakan Along,” kata anaknya itu. Dia melepaskan anaknya dengan angin-angin doa yang menghembus. Dia teringat suaminya yang berusaha keras mendapatkan rumah di tingkat lima ini, dan kini anaknya bertukus-lumus mahu menyediakan rumah yang lebih selesa. Kedua-dua mereka  berjuang habis-habisan untuk dirinya.

Sewaktu kakinya berada di tangga tingkat dua, hatinya berdebar selepas menangkap suara-suara yang mahu dihindarinya. Mereka terlalu banyak masa berbicara tentang jiran-jiran sekeliling, hatta tapak kaki siapapun yang lalu di depan rumah, mereka akan kenal.

“Rozita, akak dengar anak kau berhenti kerja pergi jadi buruh haram, dia tak sayang masa depankah?” Kak Embun menyimbah pertanyaan.

“Walaupun gaji kat sana tinggi, itukan risiko. Macam mana jika kena tangkap imegresen?” tambah Kak Enah. Dia segera memberikan senyuman dan terus berjalan cepat, tanpa membalas pertanyaan dua wanita berusia lewat 70-an.

“Sejak bila tak boleh bercakap Rozita?” Jerit Kak Embun, tidak puas hati. Dia tidak menoleh lagi ke belakang. Nampaknya, berita anaknya bekerja di ladang kubis sudah merebak seluruh kawasan perumahan awam yang merangkumi 10 buah blok flat lima tingkat itu.

Perasaan meluatnya kepada dua wanita berbadan besar dan bermulut luas itu segera dilunakkan dengan ingatan masa lalu. Saat anak-anaknya bersekolah rendah, mereka bermain-main di depan rumah dua wanita itu sementara menunggunya tiba dari tempat kerja. Kak Embun selalu memberikan mereka makanan. Cucur badak, karipap, pengat pisang dan seri muka. Kuih-kuih yang dibuat Kak Embun untuk jualan pagi, bakinya akan disimpan untuk anak-anaknya. Kak Enah pula selalu membuka rumahnya pada bila-bila masa anak-anak lelakinya mahu membuang air kecil. Tidak dapat dibayangkan jika Kak Enah tidak membuka pintu, akan berceceranlah air kencing di tangga sebelum tiba di tingkat lima. Mengingatkan semua itu, dia tidak jadi membenci malah dibisikkan ke hatinya, jika dua wanita itu tidak menegurnya, siapa lagi yang sudi menjaga tepi kainnya. Sebahagian besar orang baru yang datang dan menyewa di situ tidak saling mengenal antara satu sama lain.

Kuala Lumpur sudah menukar balutan tubuhnya, dari selendang yang menyelimuti orang-orang perantau desa sepertinya kepada gebar yang lebih tebal dan besar sehingga mampu memanaskan para pendatang negara luar. Kuala Lumpur menjadi ladang rezeki orang-orang dari dunia ketiga dengan pekerjaan buruh bawahan, juga langit emas buat para pelabur dan konglomerat dari negara maju.

“Tak perlulah ke sana Hadi, bekerja di KL, duduk dengan mak tak payah bayar sewa rumah, itu dah jimat duit gaji Hadi,” katanya kepada si sulung. Dia tahu, dengan gaji pertama anaknya yang berjumlah RM1500, anaknya masih belum mampu mengotakan janji.

“Hadi cuma perlukan tiga bulan bekerja di sana untuk cukupkan wang deposit rumah. Lepas Hadi balik nanti, Hadi akan cari kerja lagi di KL, macam-macam jenis rezeki ada di sini untuk orang yang berusaha-keras, Hadi yakin ibu. Doakan Hadi ibu. Hadi tak sanggup lagi lihat ibu panjat rumah tingkat lima kita.” Terbanglah anaknya itu dengan kecekalan hati yang membalutnya dari kecil. Hati yang diwarisi dari gemulah bapanya. Dia hanya berdoa anaknya selamat di tempat orang.

“Jangan mengutuk kehidupan, miskin kaya seseorang itu tidak dipandang Tuhan melainkan taqwa. Mungkin kesusahan lebih cocok untuk kita mendapatkan taqwa berbanding menjadi kaya. Itulah penentu kita di sisiNya,” kata-kata arwah suaminya adalah pancuran air yang menghidupkan iman dan jiwanya. Kata-kata yang membuatkan dirinya tidak malu berjualan nasi lemak setiap hujung minggu, dan bertemu guru-guru sekolah anaknya untuk meminta tempoh membayar yuran. Malah, kata-kata itu juga menjadikan hatinya pasrah tidak berganti baju baru bertahun-tahun lamanya kecuali jika mendapat bonus tambahan. Dia berjuang habis-habisan menentang keinginan dirinya dengan sabar. Dan tidak dia sangka, kesabaran yang tebal dalam dirinya melantun kepada semua anaknya terutama si sulung.

Apabila dikenangkan kesusahannya membesarkan empat anak di tengah kota, dia memperdalamkan syukur. Rakan-rakannya dari bangsa lain memanggilnya ‘wanita besi.’ Devi yang memilih untuk bujang sehingga tua sering membebel kepadanya, “Saya tak boleh bayangkan hidup di tempat Rozi, anjing saya sakit pun saya rasa menyusahkan, bagaimanalah kamu menjaga empat anak seorang? Saya sanggup tidak kahwin daripada menyusahkan diri sendiri.” Dia senyum sendiri mengenangkan Devi. Bukanlah dirinya yang teguh seperti besi melainkan air matanya yang menghujani tikar sejadah. Saban malam, satu-satunya tempat dia melepaskan segala beban adalah Tuhan Yang Maha Besar. Allah tempat bersandarnya, tempat bersandar arwah suaminya dulu dan dia percaya, anak bangsanya masih ramai yang bertawakal kepada Allah.

Dia semakin takut tinggal di rumah tingkat lima itu sekarang berbanding ketika anak-anaknya masih kecil. Ketakutan itu bukan berpangkal dari kekuatan fizikalnya yang mula merudum, tetapi persekitaran yang tidak pernah difikirkan akan berlaku depan matanya. Suatu petang, saat dia pulang dari kerja, dia melihat sosok tubuh seperti anak ketigaya sedang menghisap vape di tangga. Mujurlah setelah remaja itu menolehnya, wajah itu bukan anaknya. Namun, kerana memikirkan tugasnya sebagai Melayu Muslim, dia terdorong menasihati perbuatan yang salah.

“Tak elok hisap vape begitu. Jika mak ayah kamu tahu, tentu sedih hati mereka. Cukuplah dik, tak baik rosakkan kesihatan dan masa depan kamu yang masih panjang,” tegurnya. Remaja di depannya tinggal beberapa blok dari rumah flatnya, dia sengaja mencari lokasi menghisap vape yang tersorok dari pandangan keluarganya. Remaja itu menjelingnya dan berlalu. Derapan kakinya menjelaskan sang remaja rimas ditegur. Dia pula mengurut dadanya. Berasa sedikit lega kerana bukan Irfan atau Baihaqi yang ditegurnya tadi. Namun begitu, dia masih sedih anak bangsanya mula dihinggapi penyakit sosial di usia awal belasan tahun. Keesokan harinya, ketika dia seperti burung yang keluar dari sarang, dia terpandangkan satu contengan di dinding rumahnya.

‘Tak perlu tegur akulah perempuan tua, kau cermin diri sendiri. Anak kau lagi jahat dari aku, dia ambil ganja!’

Dia bagaikan terkena renjatan elektrik saat membaca tulisan itu. Segera dia teringatkan tiga anak lelakinya; Hadi, Baihaqi dan Irfan. Benarkah anak-anaknya seperti yang ditulis? Dia langsung memutuskan selepas waktu pejabat, dia mahu menjenguk dua anaknya di asrama. Tulisan di dinding itu membuatkan mahu luruh jantungnya. Dan saat dia melangkah turun ke bawah, tanpa sedar dia tersilap langkah lalu melulu jatuh beberapa anak tangga sebelum terlentang dan pengsan. Peristiwa itulah yang membulatkan tekad Hadi mahu mendapatkan wang secepat mungkin. Hadi berasa rumah di tingkat lima itu tidak sesuai lagi untuk mereka sekeluarga.

“Itu tidak benar ibu. Budak itu hanya menggertak ibu. Hadi, Bai dan Irfan tak pernah sentuh benda yang haram. Kami tak merokok apatah lagi ambil ganja. Budak itu tak pernah kami jumpa lagi, hanya kawan bermain masa kanak-kanak.” Ketiga-tiga anak lelakinya menafikan. Dia lega namun tidak lama, kebimbangan masih menghantui hari-harinya. Dia teringat ketika anak-anaknya masih kecil, dia dapat memantau mereka bermain dari balkoni rumahnya di tingkat lima. Waktu itu, jika mendengar mereka menangis di tanah, dia masih mampu berlari dan menuruni tangga sepantas mungkin. Tetapi balkoninya kini hanya tempat pohon-pohon berteduh. Kadang berbulan dia tidak membuka pintu balkoni. Semua di dalam rumah sibuk dengan telefon bimbit, tidak ada masa lagi merenung orang yang lalu-lalang, atau mengerdip kepada bebintang di waktu malam. Dua anak lelakinya dihantar tinggal di asrama bawah jabatan zakat negeri, anak perempuannya pula belajar di universiti di Pantai Timur, si sulungnya Hadi menjadi perantau yang berani.

“Bagaimana keadaan Hadi di Korea? Apakah neon-neon di Seoul lebih indah dari kerlipan cahaya Kuala Lumpur?” tanyanya ketika anaknya menelefonnya selepas sebulan bekerja secara haram.

“Hadi belum melihat wajah Korea yang glamour dan bercahaya. Dunia Hadi sekarang hanyalah ratusan ekar ladang kubis di perbatasan Korea Selatan dengan Korea Utara. Kerja Hadi duduk mencangkung sembilan jam lamanya hanya berhenti untuk makan tengah hari di kantin. Ibu jangan risau, Hadi tidak sentuh makanan tak halal. Hadi tetap tunaikan solat walaupun di celahan pokok-pokok kubis. Hadi dah tak sabar habiskan dua bulan lagi nak balik duduk dengan ibu, “kata Hadi. Anaknya itu perlu menghabiskan sekurangnya tiga bulan bekerja di ladang kerana passportnya kini dipegang tuan ladang.

“Ibu, Hadi sekarang sudah mula menulis cerpen. Ibu tahu, malam-malam Hadi tak boleh tidur kerana kawan sebilik Hadi kuat berdengkur, jadi Hadi gunakan waktu malam menulis dan membaca. Hadi rasa bahagia ibu, Hadi dah mulakan sesuatu yang Hadi nak buat sejak kecil. Dulu Hadi takut nak cuba, tapi Hadi dah tulis 10 puisi dan tiga cerpen tentang para buruh miskin yang datang jauh-jauh ke Korea. Kawan-kawan Hadi dari Nepal, India, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia. Mereka banyak kongsi kesusahan hidup sehingga Hadi rasa Hadi bertuah walaupun rumah kita di tingkat lima, Hadi masih ada rumah sendiri untuk berteduh di tengah kota besar.“ Kata-kata anaknya menjadi embun paginya. Kini dia lebih mengerti kenapa anaknya itu mempunyai fikiran berbeza dari remaja lain. Jiwanya adalah jiwa sasterawan seperti arwah suaminya.

Pagi anaknya menelefonnya, dia tidak memberitahu dia sedang sakit. Badannya terasa lemah untuk melangkah turun dari tingkat lima dan berjalan 500 meter lagi untuk mendapatkan bas menuju ke Stesen MRT. Dia menelan dua biji Panadol tetapi sakit kepalanya tidak hilang. Kalau makin memburuk, dia bercadang memanggil kereta dari aplikasi Grab untuk membawanya ke klinik. Dia tidak kenal tiga jiran yang menyewa di depan dan di sebelah rumahnya di tingkat lima. Semua mereka adalah orang-orang baru yang mencari rezeki di tengah kota. Para  pemilik rumah di situ kebanyakkannya sudah berpindah ke tempat lebih selesa dan menyewakan rumah mereka kepada generasi muda. Flat lama yang tidak mempunyai lif sukar kepada orang tua sepertinya. Dia selalu berdoa, semoga Tuhan tidak mengambil nyawanya   ketika berada di rumah. Tidak dapat dia bayangkan, anak-anak dan jiran-jiran mengusung jenazahnya turun dari tingkat lima. Saat sakit begini, bayangan kematian dan wajah suaminya kerap menerpa ke benak.

Tiba-tiba dia terdengar ketukan di pintu. Hatinya berasa cemas. Siapa yang datang ke rumahnya tanpa memberi mesej atau menelefon dahulu? Kuala Lumpur bukan seperti 30 tahun yang lalu, dipenuhi orang-orang tulus. Kini, lebih ramai yang mahu mengambil kesempatan terutama kepada orang-orang yang lemah. Dia membiarkan ketukan itu berhenti sendiri. Namun selang beberapa minit, terdengar ketukan dan orang memberi salam dari luar. Dia gagahi berjalan ke pintu dan menjawab salam. “Siapa tu?” tanyanya tanpa mahu membuka pintu. Perasaan bimbang masih tebal dalam dirinya. Teringat pesanan anak-anaknya. “Ibu jangan sesekali buka pintu jika didatangi orang misteri. KL sekarang ni bahaya!”

“Ita, ini Kak Aminah, kakak Ramadan, arwah suami Ita,” kata suara di luar. Dia menghela nafas dan terus membuka beberapa kunci yang kukuh di pintunya. Matanya dan mata wanita di luar rumahnya bertembung sebelum dia menarik tangan wanita yang tua dua tahun daripadanya itu ke dalam. Mereka bersalaman. Dia kaget, mengapa buat pertama kalinya kakak angkat suaminya datang ke sini?

“Ita, akak ada hajat besar. Akak nak bawa Ita ke hospital, tengok mak. Dia sekarang tak sedar diri dah seminggu. Akak tahu dia nak sangat jumpa Ita dan tunaikan janjinya sebelum dia pergi. Dia rasa bersalah sangat dengan Arwah Ramadan dan Ita anak beranak. Dia bagitau akak sebelum dia koma, dia nak pulangkan dua ekar tanah yang sepatutnya dihibahkan kepada Arwah Ramadan dulu. Lepas dia langgar janji dengan arwah abah, hidup mak banyak betul masalah dan penyakit. Kondominium yang buat atas tanah tu tak terjual dan rugi. Pelabur tak bayar wang pampasan dan lari begitu saja. Mak macam nak gila. Ita, akak nak bawa Ita ziarah mak dan maafkan dia ya,” suara Kak Aminah kedengaran hiba. Tangannya masih dalam genggaman Kak Aminah.

“Mak dah siapkan surat peguam untuk pulangkan bahagian tanah Arwah Ramadan cuma dia tak sempat jumpa Ita dua minggu lepas, dia jatuh bilik air.” Kali ini Kak Aminah menangis. Dia terus mengusap belakang wanita itu. “Ita nak pergi jumpa mak. Kak Aminah tunggu sekejap ya,” katanya. Dia bangun ke bilik. Entah mengapa, sakit kepalanya mengendur dan dia tidak tahu perasaan sebenar yang muncul di hatinya sekarang.  Yang dia rasakan, dia hanya mahu memeluk anak-anaknya yang berada jauh di mata.

Loading