Angin Keresahan Dunia
“Umi, bila abi boleh hantar Dawud dengan van pergi sekolah macam sebelum ini?” tanya Dawud, anak kedua kami. Sejak Mac lalu, hampir setiap hari dia menggunakan subway Seoul dan berjalan kaki yang memakan masa 40 minit dari HUFS ke Prince Sultan Islamic School, Itaewon. Dia bersendiri pergi dan pulang ke sekolah, kadang ditemani ayahnya. Saya dapat merasai perasaan dan kepenatannya, tambah pula sekolahnya terletak di puncak bukit Itaewon.
“Minyak masih mahal ke umi?” tanyanya kerana sebab utama kami memberitahunya tidak boleh menaiki van lagi adalah harga minyak meningkat di seluruh dunia, termasuk Korea. “Ya Dawud, kesan minyak mahal menyebabkan kita perlu berjimat-cermat semua aspek,” kata saya diiringi mimik mukanya yang tidak begitu gembira. Saya berdoa dalam hati moga Dawud terus tabah menghadapi hari-hari sebagai perantau dan penuntut ilmu.
Saya merenung kembali, sejak Mac 2026 tanpa sedar kami menjalani hidup berkadar sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kami hanya berbelanja yang penting dan tidak membuat perjalanan ke luar kota dengan kerap. Hari minggu lebih banyak mengitari taman-taman percuma di Seoul bersama anak-anak, cuba mengelakkan bermalam di rumah inap manapun. Saya tahu, bukan kami sahaja sedang meniti di jambatan ‘resah’ ini, jiwa-jiwa lain juga berjuang. Rakan pensyarah asing dari Jerman berkata, “Cuti musim panas kali ini kami di Korea sahaja, takda rencana pulang ke negara asal.” Seorang rakan Korea memberitahu,” Usahkan berjalan-jalan di luar negara, tiket ke Jeju sahaja mahal sungguh!” Kenaikan harga minyak akibat perang bukan hal sepele yang akan berlalu begitu sahaja. Ianya memberi tekanan emosi. Bayangkan seorang ibu tua di Jerman yang menanti kepulangan anak dari Korea, tiba-tiba anak itu berkata, “Maafkan saya ibu, kami tidak boleh pulang musim panas ini kerana tiket mahal sekali. Mungkin musim sejuk pula kami pulang.” Si ibu pasti menyambutnya dengan kecewa. Setelah beberapa bulan menanti, perlu menambah sabar bertemu anak menantu dan cucu pada bulan-bulan berikutnya.
Dan kerana saya tidak mahu ibu dan ibu mentua saya juga kecewa yang sama, maka teruslah kami berhemat tanpa membeli pakaian baru, berjalan-jalan di pelosok Korea atau sering menggunakan kenderaan peribadi. Kami menyimpan wang untuk pulang menziarahi ibubapa dan sanak-saudara seperti kami janjikan setiap cuti semester.
Anak-Anak Mangsa Perang
Beberapa hari lalu, sebelum perjanjian damai berlaku antara Amerika Syarikat dengan Iran, saya membaca beberapa keratan akhbar mengenai kemiskinan di Iran yang memuncak selepas perang. Kemiskinan yang memberi kesan dahsyat sehingga anak-anak tidak dapat ke sekolah, perlu bekerja dan mencari sumber makanan. Kanak-kanak bukan sahaja meminta sedekah di jalanan kota, mereka bekerja di ladang ternakan, pusat penyembelihan, bengkel dan kilang. Keadaan ini bercambah selepas perang. Ibubapa sebagai pelindung anak-anak terpaksa melepaskan tali tanggungjawab akibat diri mereka juga dirempuh kesulitan. Di kota besar seperti Tehran, kaum pekerja yang mempunyai pendapatan terpaksa ikat perut kerana harga makanan melambung tinggi. Dari boleh makan tiga kali sehari, menjadi dua kali atau sekali sehari. Orang yang sebelum ini sudah biasa makan daging, sudah menukar menu yang lebih murah atau berpuasa. Orang yang sedia miskin, pasti lebih melarat dan itulah sebab mengapa buruh dalam kalangan kanak-kanak Iran meningkat berkali-ganda.
Untuk Dawud
Ingin sangat saya berkata padanya, walau tanpa pakaian baru, kami masih menghantarmu ke sekolah dengan memelukmu di pintu, mengucap ‘i love you.’ Dan saat kakimu melangkah berbelas kilometer, sekelilingmu adalah pohonan redup, dengan tiup angin segar. Kau masih makan ayam bergizi, bukan saki-baki kerak nasi. Ketika kau memanjat ke puncak bukit, yang menunggumu adalah guru penyayang, bukan mandur kilang. Terus berjuang anakku kerana hidup ini keras. Namun keras yang kita rasai takkan sama dengan mereka yang diuji perang. Anak-anak di Iran, anak-anak di Gaza, mereka adalah contoh teladan dan semangat hidup kita.
Ujian di Akhirat
Keresahan yang kita alami di dunia takkan sesekali sama dengan gambaran Padang Mahsyar. Saat manusia tidak lagi mempedulikan sesiapapun akibat terlalu takut dengan nasib diri seperti yang disebutkan dalam Surah A’basa ayat 34-37 bermaksud:Pada hari ketika seseorang lari dari saudaranya, dan dari ibubapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan (hitungan amalan) yang cukup menyibukkannya.
![]()