Ada waktu-waktu, fikiran menjadi buntu. Sesekali diselimuti kenangan lama, yang membuatkan kembali segar semangat. Saya ingin mengenang cara anak pertama membesar, dengan fikiran-fikiran kecilnya yang hingga sekarang menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri.
Antara paling besar hikmah penghijrahan kami ke Seoul dahulu (2014-2018) adalah dapat bersama anak-anak setiap masa. Wajah mereka adalah wajah-wajah ahli syurga, tiada dosa. Wajah yang menghilangkan penat saya berjalan kaki, turun naik bas dan subway, memanjat bangunan kelas dan keadaan ekonomi yang terbatas. Namun, apabila saya pandang wajah Darda’ dan Dawud, saya bersyukur pada Allah SWT, merekalah harta yang tidak boleh dibandingkan dengan apapun di dunia. Saya rasa kaya dan lapang hanya melihat wajah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur ya Allah.
Pulang dari kuliah, Darda’ menyambut saya dengan senyum manjanya. Dia semakin petah. Bercerita tentang itu dan ini, tentang adiknya menangis, adiknya berak dan bangga memberitahu, dia kacau adik tanpa rasa bersalah.
Dalam ruang bilik kami yang seorang teman gelarkan ‘Bilik IKEA’ (dek kerana ruangnya seperti show room IKEA termasuklah perabot mesra ruang), di sinilah Darda’ belajar dan membesar. Gurunya adalah abi dan uminya. Gurunya adalah sikap dan akhlak kami sendiri. Jika saya ralit mengulit buku atau laptop, Darda’ pula akan ralit dengan gajetnya. Jika saya hari itu cepat naik angin, Darda’ ikut sama meragam. Seorang ibu sememangnya sekolah pertama anak-anak.
Sewaktu lampu dipadamkan, dan kami sekeluarga mahu tidur (hakikatnya saya belum mengantuk tetapi cara ini sahaja menidurkan Darda’ untuk Dawud tidur aman), suara nyaring Darda’ menyebut, “Hantu…hantu datang dah..” Saya atau suami kemudian membetulkan, “Bukan hantu, kita tak boleh takut hantu, kita mesti takut Allah, Allah Tuhan kita.” Lalu dia bertanya, “Allah mana umi?” saya jawab, “Kita tak nampak Allah tapi Allah nampak kita.” Darda’ diam cuba memahami.
Esoknya, ketika lampu dipadamkan, Darda’ menyebutkan, “Allah..Allah datang dah..” Masya Allah! Rupanya dia membayangkan Allah sebagaimana dia bayangkan hantu semalam. Saya dan suami geleng kepala, bagaimana harus diterangkan pada si kecil ini? Kenakalannya terutama dalam bab menarik perhatian kami makin kreatif. Misalnya, dia sengaja meludahkan biskut yang dimakannya ketika saya sibuk dengan Dawud. Atau menjatuhkan cawan yang diminumnya, atau menarik bantal ketika saya tidurkan adiknya. Tidak mahu marah-marah, saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambil tangan Darda’, nak tak tak ada tangan?” Dia menggeleng bimbang. Atau saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambik kaki tu..” dia takut sebentar . Esoknya, jika dia kembali ‘buat perangai’, dan belum sempat saya menegur, Darda’ sudah berkata, “Nanti Allah ambil gigi Darda’ nanti..eeeee’ “Nanti Allah ambil kaki Darda’ nanti eeee..” dan ayat-ayat tersebut menampak Tuhan dari sisi negatif.
Masya Allah, nampaknya saya tersilap strategi. Terpaksa saya betulkan, yang Allah boleh berinya macam-macam jika jadi orang baik dan ikut cakap umi termasuk kereta robot idamannya.Suatu ketika, saya bawanya ke taman permainan. Darda’ main seorang diri. Mulutnya riuh menyebut, ‘Nanti Sumayyah datang..nanti Sumayyah datang..lari..lari…’ Dia berlakon sendiri. Sumayyah adalah sepupu yang selalu dibulinya di Puteh Garden kerana mengacau permainannya. Sumayyah yang berumur setahun itu sering dianggap tidak layak berkawan dengannya. Kini Darda’ mula rindukan Sumayyah yang comel di kampung.Sekarang perkataan yang paling digemarinya adalah ‘besar’ dan perkataan paling tidak disukainya ‘kecil’. Dia nampak sangat terancam jika saya bergurau, “Adik Dawud besar, abang Darda’ kecil..” Dia bangun berdiri tegak dan menjerit kuat, “Abang Darda’ besar, adik Dawud kecil!” Semoga anak-anak kita semua dalam rahmat Tuhan Yang Maha Esa, di mana sahaja.
Saya mengucapkan syukur pada Allah SWT, mengurniakan kesihatan kepada anak-anak. Kini, sudah 9 tahun usia Darda’, menjadi abang kepada dua adiknya, mudahan dipilih menjadi pemimpin keluarga dan umat yang soleh. Umi sentidas rindukan Darda’, baik ketika bayi, kanak-kanak dan remaja nanti.