
Jalanan yang saya lalui setiap pagi, dalam empat tahun ini adalah jalanan yang dipenuhi pohonan dan bunga-bungaan. Kecuali pada Januari sehingga awal Mac, alam sedikit murung dengan pemandangan pohon tanpa daun, juga warna coklat yang meronakan mata. Dalam situasi begitu, fikiran acap dibawa ke memori masa lalu; sempat teringat cucur peniaram bikinan arwah Tok Piah. Saya yang berumur 5- 6 tahun waktu itu akan duduk di tepi arwah tok, tidak berganjak kerana mahu membantunya, lalu diberikan tugas menekap bancuhan tepung dan gula merah. Bentuk kuih peniaram dengan empat lubang di tengah cukup mengecurkan air liur saya sekarang, di mana saya boleh mendapatkan kuih tradisional enak itu di bumi kimchi? Apa yang lebih dirindukan adalah arwah tok tidak pernah memarahi saya apatah lagi menjerkahi saya supaya pergi bermain jauh-jauh dan jangan mengganggunya. Disuakan kepada saya acuan kuih peniaram, agar saya dapat juga membantunya hal yang mudah. Ralitlah saya di dapur sehingga rasa bosan datang, kemudian meninggalkan arwah tok untuk pergi bermain. Arwah tok senyum sahaja tanpa melarang. Begitulah kanak-kanak.

Pemandangan di depan saya banyak membangkitkan memori masa lalu. Sungai Jungnang, tempat saya mengayuh basikal menjadi cermin yang memantulkan wajah kanak-kanak saya. Sebagai seorang yang hyper active dan selalu mempunyai keinginan yang pelbagai, saya berterima kasih kepada semua yang pernah menjaga dan bersabar dengan saya ketika kecil. Bayangkanlah saya pernah terjun dari motorsikal arwah tokwan, sehingga perbuatan saya hampir menyebabkan jari adik saya putus. Peristiwa itu berakhir dengan lebih sebulan adik saya tinggal di hospital kerana jarinya termasuk dalam rantai motor yang dipandu tokwan. Adik saya ingin meniru perbuatan saya terjun ketika motorsikal masih bergerak, tetapi nasibnya malang. Nakalnya saya waktu kecil, namun yang mengeluarkan saya dari sifat-sifat tersebut ke ruang kematangan adalah kelembutan arwah tok dan tokwan, juga ibubapa. Saya dinasihati bukan dijerkahi, saya dimarahi tetapi dengan nada yang sesuai dengan anak kecil. Semua itu menyebabkan saya berasa disayangi dan cuba berubah. Riak di Sungai Jungnang bahkan menggamit ingatan saya ketika umur 4 dan 5 tahun, selalu menangis kuat kerana tidak mahu berpisah dengan arwah tok gara-gara arwah tok sahaja yang memberi sepenuh perhatian kepada saya. Ibu sudah melahirkan 3 adik lagi dan tidak dapat memberi perhatian kepada saya, yang sabar dan menjaga saya adalah arwah tok. Sayangnya saya kepada arwah tok sampai-sampai bercakap pada ‘masa’; ‘Tolonglah jangan cepat berlalu, supaya saya tidak menjadi cepat besar, dengan itu tok tidak menjadi tua, jika tok tua saya tidak mahu tok mati, biar saya yang mati dulu.’ Begitu sekali fikiran kanak-kanak saya, betapa tidak boleh membayangkan hidup tanpa insan yang memberi sepenuh perhatiannya kepada saya.
Alam di bumi Imun-dong bukan hanya damai, tapi mempesona. Bergantian bunga yang muncul; magnolia kepada sakura, azalea kepada ros, poppy kepada bunga raya dan lavender kepada camelia. Semua bunga menerima tugas yang sama, memeluk jiwa manusia dengan liuk lentok dan warna. Tanpa sedar, manusia seperti saya teroleng ke masa-masa kecil. Bunga-bunga mengusap rindu orang perantau.

Saya membandingkan pula cara sendiri memujuk anak. Saat saya sedang sibuk menaip tulisan atau mengedit video, anak-anak kecil datang dan mahu duduk-duduk di atas saya. Saya mencium mereka dan memeluk sebentar, lalu saya katakan saya sedang sibuk, mereka pun faham dan pergi. Kemudian tidak lama, saya mendengar lagu dan suara dari gajet yang mereka buka. Mereka tenggelam di sana tanpa mengganggu lagi.
Dan ketika riak Sungai Jungnang dilimpahi cahaya matahari, saya bertanya; Jika di kemudian hari, apakah anak-anakku akan pernah bercakap kepada masa, agar tidak cepat bergerak supaya aku ibunya tidak tua? Atau mereka tidak pernah terfikirpun hal itu kerana yang memberi waktu dan perhatian kepada mereka, bukanlah aku.
![]()

