AD IDEAS FAMILY

EPISOD 2

KEMBARA ISLAM KATHRYN BENNET

Mozek Luka

OLEH: Ummu Hani Abu Hassan

Ketika aku sudah mengenal apa itu fungsi keluarga dalam masyarakat Inggeris, dan mengetahui perananku sebagai anak dan kakak kepada adik yang masih kecil, aku berhadapan dengan keadaan sebaliknya. Guru sekolah rendahku menyatakan bahawa sebagai anak, kasih sayang utama yang perlu dipupuk dalam diri manusia ialah mencintai Tuhan dan mencintai ibubapa. Agama Kristian sangat erat dengan kasih-sayang sebagaimana Jesus menghargai anak-anak, memeluk mereka dan memberikan kata-kata cinta supaya si kecil membesar dengan penuh keyakinan.

“Luahkan rasa cintamu kepada setiap manusia, pasti Tuhan akan memberimu cintaNYA.” Aku melihat dua kakak dan adikku sebagai jari-jemari di tangan. Aku adalah jari hantu yang berada di tengah, paling tinggi dan bertanggungjawab memantau yang lain. Itulah sebabnya aku memiliki watak yang agak keras, tegas, dan kuat kemahuan kerana aku ini adalah pelindung adik-beradikku yang lain.

Namun, semakin aku cuba bertanggungjawab kepada mereka, seolah-olah ada batu yang jatuh atas kepalaku, menghalang langkahku mendekati semua orang. Batu itu bukan sahaja melukakan fizikalku, malah ia menghancurkan hatiku selumatnya. Batu itu adalah amarah yang meletup-letup tatkala bapa pulang ke rumah sebagai orang luar. Dia pulang tanpa mengenali ibu sebagai isterinya, dan kami sebagai anak-anaknya. Sejak bapa bersahabat dengan buih dajal itu, dia menjadi begitu asing dengan keluarganya sendiri.

“Kamu semua menyusahkan hidupku! Aku tertekan mempunyai isteri dan anak-anak seperti kalian!” jerit bapa ketika ibu membuka pintu rumah. Bau arak yang melekat di tubuhnya dan buih muntah yang bersisa di bibir bapa menyebabkan ibu hilang sabar. “Kau lelaki yang tidak bertanggungjawab!” balas ibu membiarkan bapa jatuh di tengah rumah. Dalam keadaan yang separuh sedar, bapa bangun menarik tangan ibu.

“Apa kata kau? Aku tidak bertanggungjawab. Nah! Ini untukmu!” satu pukulan hinggap di badan ibu menyebabkan ibu tertolak ke belakang. “Kau melampau!” Ibu menangis.  Tangannya mencapai sesuatu kemudian dibalingnya pada bapa. Laku ibu menaikkan amarah bapa. Syaitan terloncat-loncat mengapikan ibu dan bapa. Mereka berhenti bergaduh selepas bapa terjelepuk tidak sedarkan diri dipengaruhi alkohol. Ibu pula masuk ke biliknya dan menangis. Antara kami tiada sesiapa yang dapat mendekati ibu mahupun bapa.

Perkara yang kutuliskan di atas bukan berlaku sekali dua. Ia terjadi hampir berpuluh kali dalam sebulan. Apabila bapa menjejakkan kaki ke rumah, terjadi pergaduhan yang hampir menyerupai Perang Dunia Kedua. Ibu nampaknya tidak dapat bersabar dengan kelakuan bapa, yang termampu olehnya adalah meleteri dan mengherdik bapa sebagai lelaki tidak bertanggungjwab. Sebagai balasan, bapa memukul dan mencaci ibu. Kelakuan bapa telah memberi tekanan kepada ibu. Kini, ibu juga mengasingkan dirinya daripada rutin harian dan anak-anak. Ibu gemar menyendiri dalam bilik dan menangis. Jika antara kami mendekati ibu, dia akan menengking atau mendiamkan diri seolah kami bukan sebahagian dirinya lagi. “Pergi! Kamu semua menambahkan masalahku!” kata ibu, entah dengan sengaja atau tidak.

“Rumah ini macam neraka, aku tidak tahan lagi,” rungut setiap kami.  Kasihan, adikku masih kecil untuk memahami masalah yang terjadi di antara ibu dan ayah. Aku? Relatifnya, usia 11 hingga 12 tahun, aku juga tidak sepatutnya berfikir untuk lari dari rumah kerana benci dan kasihan melihat ibubapaku.

Keadaan di rumah kami juga seperti hutan tempat berlindung binatang buas. Ibu, akibat tindakannya yang suka menyendiri dan menangis, dia mengalami gangguan jiwa. Suatu hari, adikku mengadukan hal ibu yang suka menjerit dan melepaskan tekanannya pada barang-barang di sekelilingnya. Hal itu merunsingkan fikiranku lantas berlari ke bilik ibu.

“Aghh!” Terdengar suara ibu dari dalam bilik. Aku memulas tomol pintu. Ketat. Ibu mengunci dirinya dari dalam. Tanpa lengah, aku dan kakak berusaha mencari kunci dan berjaya membuka pintu bilik. Alangkah terkejutnya kami mendapati ibu terlentang di lantai dengan pisau di tangan. Darah menitik dari pergelangan tangannya yang telah ditoreh. Ibu..ibu cuba membunuh diri!

“Cepat! Panggilkan ambulans!”  jerit kakak padaku. Aku berlari keluar memaklumkan pada jiranku. Kakak merampas pisau dari tangan ibu dan cuba menenangkan keadaan. Aku terduduk di depan rumah kala ibu dibawa pegawai kesihatan ke hospital. Tuhan!  Ibukah yang melakukan perbuatan gila tadi? Bukankah ibu telah mengajar kami tentang kasih sayang dan menghargai keindahan hidup? Mengapa ibu melupakan ajaran Kristian yang mengharamkan perbuatan membunuh diri? Jika ibu membenci ayah sebagai penagih arak, tahukah ibu, membunuh diri juga adalah perbuatan terkutuk? Di manakah kami dalam hati ibu ketika dia cuba melenyapkan nyawanya sendiri?

Loading

Kembara Islam Kathryn Bennet 1

oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tanggal 1961, salji bulan November di langit Yokshire gugur lebat. Wajah bumi yang ceria bertukar warna putih yang pucat. Atap rumah, pohon-pohon di taman, kenderaan yang memadati jalan, padang bola dan kriket, hampir semuanya ditutupi salji putih. Angin mendesir dengan kuat. Tanpa sapaan damai yang selalu ditiupkan kala musim bunga atau musim gugur. Kali ini, walaupun desirnya perlahan, terasa kecut kulit tubuh menahan kesejukan.

Waktu itulah aku lahir ke dunia. Disambut ibu dan kakak-kakak comelku. Mereka mengelilingiku seolah seorang bidadari turun dari syurga. Masing-masing berkata, “Aku tidak pernah berjumpa bayi secomel dia..” “Panggilnya Kathy, ibu telah namakan dia Kathryn Bennett,” kata ibu yang berketurunan Irish. Beberapa minggu kemudian, ibu membawaku ke gereja untuk dibaptiskan.

Daerah kelahiranku dikenali sebagai Hull terletak di Yokshire, United Kingdom. Dalam peta Inggeris, Yokshire adalah bandar terbesar berbanding bandar lain di United Kingdom. Dari Sungai Hull, mengalirlah keringat rezeki para nelayan Inggeris hingga ke Muara Humber, 40 kilometer dari Laut Utara Inggeris. Dari tahun 1299, sejarah Hull telahpun muncul di tangan Raja Edward 1 sebagai pusat pelabuhan tentera Inggeris, pusat perdagangan maritim dan metropolis hingga ke aktiviti menangkap ikan paus.

Bapaku bekerja sebagai nelayan. Dia tidak peramah dengan anak-anak. Walaupun begitu, kami; Jane, Karen dan aku tahu bapa sayangkan kami. Bapa pernah mendukungku sambil menyanyikan lagu yang aku sendiri tidak fahami.

Tetapi matanya berkata, “Aku cintakan kamu anakku..” Aku selalu menangis dalam dakapan bapa, sebaliknya apabila ibu mendukungku, hanya senyum terukir manis.

 “Kamu tidak pandai mengasuh anak,” gurau ibu pada bapa. Hanya rengusan hampa yang dibalas bapa.

Musim sejuk berlangsung hampir lima bulan lamanya, selama itu juga aku menjadi bayi yang kental. Tidak mudah mengalah dengan cuaca dingin walaupun di kalangan orang dewasa mereka kerap merungut, musim sejuk amat membosankan. Di kala salji berguntur lebat, kawasan maritim Yokshire menjadi ais yang keras. Air sungai dan pantai tidak mengalir lagi, kaku dan ngeri. Aku pernah mendengar orang berkata,

“Tahukah kamu, ramai orang bunuh diri ketika musim sejuk?”

“Ya, musim sejuk meningkatkan tekanan hidup. Cuma yang menyeronokkan dalam musim sejuk hanyalah Krismas!” kata orang-orang dewasa. Kala itu, para nelayan seperti bapa tidak turun ke laut. Mereka banyak menghabiskan masa di rumah dan bar. Di malam minggu, sebahagian besar lelaki dewasa seperti bapa akan berparti dan memanaskan badan mereka dengan arak. Lewat pagi, pengunjung bar pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak menyeronokkan semua orang.

Aku tidak mempedulikan semua itu. Setiap hari hidupku semakin seronok dapat melihat kakak-kakak comelku berlarian dan saling merebutkan sesuatu. Aku tidak sabar bergabung dengan mereka. Aku pasti, aku yang akan menjadi pemenangnya. Ibu memarahi dua kakakku kerana berbuat bising. “Diam, nanti adik kamu terjaga, ibu tidak boleh memasak,” kata ibu. Sebenarnya aku sudah lama terjaga dari tidur dan bunyi yang keluar dari mulutku adalah tawa riang. Aku mahu cepat membesar dan turut membuat bising di rumah ini.  

Seperti kebanyakan ibu-ibu Inggeris marhaen lain, ibu melakukan sendiri kerja rumah. Puding manis ibu amat lazat. Mencicipinya membuatkan aku tidak mahu berenggang dengan meja makan. Orang Yokshire amat gemarkan makanan manis seperti tart, dadih, manisan halia, oatmeal dan sirap. Pada hari minggu, manisan ini diserikan lagi dengan daging lembu panggang dan sayuran segar. Bumi Yokshire adalah bumi gula. Kilang-kilang gula dan coklat di Yokhshire dapat menampung permintaan seluruh United Kingdom. Hal ini menambahkan lagi kemanisan dalam setiap makanan yang masuk ke perut warganya.

Ibu aktif ke sana ke mari menjaga kami tiga beradik. Keperluan dapur dibelinya di pasaraya dan pulang memasak sendiri untuk kami. Ibu juga menjahitkan pakaian bulu untuk dipakai di musim sejuk. Amat jarang ibu merehatkan diri. Sesekali dia juga mengeluh kerana bapa tidak begitu pedulikan hal rumahtangga. Namun dalam protesnya, ibu masih menjalankan tanggungjawab, menghantar dan mengambil kakak-kakakku di sekolah, memasak, membasuh dan mengemas rumah. Di waktu malam,ibu tidak lupa membacakan kami buku cerita.

Menurut Ajaran Kristian Katolik yang menjadi pegangan keluargaku, bayi yang dilahirkan ke dunia perlu menjalani amalan baptis bagi tujuan penyucian dosa. Bayi akan dibawa ke gereja untuk dimandikan dan penjaga akan mewakili bayi mereka menyatakan perjanjian hidup dan mati bersama Jesus. Namun, terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa pemandian baptis hanyalah tanda ritual, hakikatnya seseorang pengikut ajaran Kristian perlu meyakini sepenuh jiwa terhadap Jesus sebagai Tuhan.

Aku tidak mengambil berat tentang agama Kristian. Sebagaimana ibu dan bapaku yang sibuk dengan rutin harian, menyebabkan mereka jarang-jarang ke gereja. Ibuku semakin kalut menguruskan rumahtangga. Ketika umurku dua tahun, adikku, Sarah lahir. Aku benar terasa dipinggirkan dan mula mencorak peribadiku sendiri. Sejak kecil, ibu gemar menjeritkan padaku, “Kamu ini seperti budak lelaki Kathy!”

Ya, berbanding saudara perempuanku yang lain, aku sukakan aktiviti lasak. Di musim salji, aku akan membawa bekas luncur ke tempat yang tinggi. Di situ aku menggelongsorkan badanku di atas rel salji yang licin. Aku juga mengajar adikku membuat anak patung salji yang kami gelarkan snow doll. Lahir di musim dingin membuatkan fizikalku betah dengan udara sejuk. Sejam atau dua jam berguling atas hamparan salji tidak memberi apa-apa kesan. Sehinggalah ibu datang dengan wajah yang bengis, mengarahkan aku pulang ke rumah.

Di rumah, aktiviti kami sangat terhad. Aku, anak musim sejuk yang berhati keras tidak akan duduk diam. Jika tidak mengusik Sarah, aku gemar bertukang dan memanjat tempat-tempat tinggi. Beberapa kali aku terjatuh ketika bermain menyebabkan kaki dan tanganku terluka. “Cuba kamu bermain seperti budak perempuan lain Kathy!” arah ibu ketika membelek lukaku. Aku senyap dan berfikir, apa lagi yang boleh kubuat sebagai penghibur hati di rumah ini?

Ketika tanganku mula mengenal pen dan kertas, hatiku berbisik sendiri, “Oh Kathy, kamu sebenarnya pandai melukis.”

Loading