March 2020

Ayahku

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Jika berkaitan apa apa sahaja dalam hidupku, orang yang paling mempengaruhinya adalah ibubapaku lebih-lebih lagi ayahku. Dia membuât keputusan untukku sejak kecil sehinggalah diserahkannya aku kepada suami pada usiaku 26 tahun. Selepas itu, aku banyak membuat keputusan atas perbincangan dengan suami, tetapi ibubapaku tetap menyokongnya dari belakang.

Aku ingat lagi masa kecilku. Bagaimana ayahku memupuk minat membaca dan menulis kepadaku sebagai anak sulungnya. Dia tidak membeli televisyen. Aku hidup dalam sebuah rumah yang tidak ada televisyen sehinggalah umurku 12 tahun. Apa yang diberikan ayahku adalah majalah kanak-kanak, novel kanak-kanak, buku mewarna dan alat tulis. Itulah yang menjadi mainan dan hiburanku. Ayahku mula melatihku menulis sejak umurku lapan dan sembilan tahun. Caranya dengan memaksaku mencatat apa-apa sahaja yang aku nampak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, dari Kuala Lumpur ke Kedah. Dia memberiku dan adik buku kecil dan pen. Lalu kami tulis sehingga bosan tetapi ayahku tidak marah, diambilnya buku itu.

Ayahku paling kerap membawaku ke kedai buku dan majlis sastera yang dihadirinya. Setiap buku yang kupilih untuk dibeli akan ditapis dulu. Ayah akan mencadangkan buku-buku yang ditulis oleh kawan-kawan penulisnya. Malah tahun 1990-an, ayahku aktif menulis novel. Banyak novelnya memenangi hadiah sastera. Sebelum dia menghantar karya-karnyanya, biasanya dia memberi kepada emak untuk membaca dahulu dan aku akan curi-curi membaca manuskrip di atas mejanya.

Antologi cerpenku dan ayah

Ada sesuatu yang ingin kukongsikan tentang namaku. Aku didaftarkan dengan nama Ummu Hani saat aku dilahirkan. Dalam surat beranakku tertulis nama Ummu Hani binti Abu Hassan. Waktu umur 12 tahun, ayah membawaku ke pejabat pendaftaran untuk membuat kad pengenalan. Dialah yang mengisi borang. Ayah berbisik kepadaku yang dia ingin mengubah sedikit namaku menjadi Ummi Hani. Lalu aku menerima kad pengenalan yang tertulis nama Ummi Hani bint Abu Hassan. Aku menerima kedua nama itu : Ummu Hani dan Ummi Hani sebagai namaku. Tetapi ianya menyulitkan bagi orang lain. Ramai yang bertanya, nama aku sebenarnya ummi atau ummu? Aku jawab keduanya namaku.

Ketika aku mula menulis kreatif, aku menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan. Nama itu tercetus saat pensyarahku, Allahyarham Dr Othman Putih menyuruh kami pada kelas pertama Penulisan Cerpen (di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya) mencari nama pena. Katanya nama pena amat penting kepada seorang penulis. Nama itu akan menjadi identiti penulis sepanjang pengkaryaannya. Pensyarahku berkata, dia mengekalkan nama ayahnya supaya orang maklum dia adalah anak kepada Puteh. Lalu, tanpa ragu-ragu lagi aku terus meletakkan nama penaku sebagai Ummu Hani Abu Hassan. Aku mahu semua orang tahu yang aku adalah anak Abu Hassan, seperti alasan pensyarahku. Nama itulah yang membawaku dalam pelayaran dunia penulisan kreatif; cerpen, novel, kisah benar, puisi dan skrip drama televisyen.

Sewaktu memasuki alam penulisan akademik, aku tidak boleh menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan lagi. Namaku perlulah mengikut nama formal yang tercatat di kad pengenalanku. Dunia kerjayaku berbeza sedikit dari dunia kreatif. Anak-anak muridku memanggilku Dr Ummi. Rakan-rakan sekerjaku juga memanggilku Ummi berbanding Ummu. Aku tidak ralat kerana keduanya adalah nama yang diberikan oleh ibubapaku terutama ayahku (yang telah mengubahnya ketika aku berusia 12 tahun).

Sungguh tidak terhitung banyaknya jasa ayahku membentuk aku sebagai penulis dan pensyarah. Waktu mencari-cari peluang masuk ke universiti, ayah menyuruhku memilih bidang Pengajian Islam walaupun aku berminat dengan bidang komunikasi. Katanya bidang Pengajian Islam adalah asas kepada bidang-bidang yang lain. Aku tidak membantah keputusannya. Ada hikmahnya, walaupun aku mengambil jurusan Usuluddin, ada jalan yang membolehkan aku mengikuti kursus penulisan kreatif secara minor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya tempat ayahku mendapatkan Ijazah Sarjananya.

Sewaktu bergelar mahasiswa, ayah pernah membawaku ke Myanmar bersama anak buah syarikatnya untuk rakaman Dokumentari Salam Nusantara. Ayah mendedahkanku tentang dunia penerbitan dokumentari. Aku ditugaskan menulis catatan kembara. Selepas itu, aku juga didedahkan dengan penulisan skrip drama televisyen. Walaupun banyak kekuranganku, ayah tidak pernah jemu memberiku peluang dan kata-kata semangat. Novel pertamaku berjudul Ladang Hati Mustika diterbitkan oleh ayah dan adikku.

Aku insan biasa yang melalui waktu-waktu sukar. Seingatku, ujian paling hebatku adalah duji kesakitan dalaman atau gangguan makhluk halus. Hampir dua bulan aku hilang semangat hidup. Menangis dan ketakutan. Ibubapaku runsing. Satu kata-kata ayah yang membuatkan semangatku kembali bersinar , “Percayalah, Allah SWT sedang menyucikan dirimu dan mahu menjadikanmu orang yang bermanfaat kepada ummah. Berfikir positif kepada Allah SWT.” Sejak itu aku tidak menoleh ke belakang lagi. Aku mahu menjadi diriku yang baharu, insan yang memberi manfaat walaupun sedikit. Kemudian ayah membelikan tiket pesawat untuk aku memulakan pencarian diriku di bumi Damsyik, Syria.

Saya dengan dua insan paling penting dalam hidup. rahmatilah kedua ibubapaku ya Allah

Apabila usiaku menginjak 30-an, mempunyai suami dan anak, aku merantau jauh berkat doa ibubapaku yang menginginkan aku mencari ilmu di luar negara. Di Korea, ayahku mula diuji sakit iaitu gangguan saraf menyebabkan dia mengalami bell palsy atau minor strok. Kesihatannya merosot sedikit. Hal ini turut mengganggu pekerjaannya dan aktiviti menulisnya. Aku tahu ayahku berjuang untuk pulih sepenuhnya walau ianya sangat sukar.

Hari-hari tua ayahku menjelang. Dia tétap bersemangat seperti zaman mudanya tetapi kesihatannya tidak seperti dahulu. Juga emosinya. Tetapi syukur Allah SWT selalu menjaga dan memudahkan urusan ayahku. Dia seorang yang kuat bertawakal kepada Allah SWT.

Aku ingin mengucapkan tahniah kepada ayahku kerana bulan April 2020, dia terpilih menjadi karyawan untuk Majalah Dewan Sastera. Sewaktu diberi peluang oleh editor, Puan Zaharanum menulis artikel dan catatan, ayahku berjuang dalam kekangan kesihatan yang tidak seperti dulu. Semoga diriku yang menjejaki ayah sebagai penulis dikira sebagai saham akhirat ayah. Dia telah memodali diriku bukan hanya dengan wang ringgit tetapi dorongan, latihan, galakan dan peluang kepadaku sejak kecil.

Semoga Allah SWT merahmati ayah dan ibuku.

Loading

Makhluk Sekecil Covid 19 Buat Manusia..

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Makhluk kecil ini adalah pengajaran paling besar untuk manusia di Zaman 2020.

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Allah adalah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada keduanya. Dan Dia Mahakuasa mengumpulkan semuanya apabila Dia kehendaki. Dan musibah apapun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura: 29-30).

Kini malam-malam kita dan manusia dunia diusik satu makhluk Allah yang sangat kecil iaitu bersize 125 nanometer (satu nanometer adalah 1 meter dibahagi seribu juta) atau 800 kali lebih halus dari sehelai rambut). Ianya bernama Covid 19 iaitu sejenis virus dari keluarga Coronavirus yang muncul pada 1960-an. Coronavirus mempunyai 7 ciri, 4 daripadanya ada pada manusia dan 3 yang lain datang dari haiwan. Covid 19 adalah jenis coronavirus yang berpunca dari genetik haiwan yang terjadi di pasar makanan haiwan liar Wuhan, China.

Dari 7 orang pertama yang dijangkiti Covid 19 pada awal Disember 2019, hari ini (30 Mac 2020), jangkitannya merebak ke seluruh dunia dengan jumlah yang dicatatkan 723140 kes dengan 34034 kematian. Allah…

Sebanyak 202 negara diganggu si kecil ini. Dunia globalisasi terhenti secara fizikal. Manusia diperintahkan berkurung dalam rumah agar tidak bertembung dengan manusia lain dalam kumpulan ramai. Mengapa? Si virus amat lemah di luar badan manusia, tetapi sebaik memasuki tubuh manusia, ia akan membunuh sesiapa tanpa mengira kelas sosial, agama, ras dan umur (tentu dengan kuasa Allah SWT). Setakat hari ini, majoriti mangsa adalah golongan tua dan kaum lelaki. Saintis mengatakan, golongan tua mempunyai 180 kali ganda dibaham Covid 19 berbanding orang muda. Kerana belum ada senjata ampuh membunuhnya (antara ubat yang cuba digunakan adalah antiparasitic untuk penyakit Malaria, antiviral untuk Virus HIV, Ebola, ubat flu dan antibiotic), maka kebanyakkan negara hanya mampu membuat undang-undang seperti lockdown, kawalan jarak, pemakaian topeng muka dan pembersihan diri

rumah mayat sementara di Amerika Syarikat

Sebagai Muslim, makin kita yakin bahawa Tuhan sedang menegur manusia. Dalam sejarah Islam, banyak makhluk-makhluk kecil didatangkan untuk meruntuh kesombongan manusia. Namrud mati dengan serangan seekor nyamuk, Abrahah dan gerombolan besar tentera bergajahnya mati dengan burung-burung tentera Allah SWT. Penangan Covid 19 menyaksikan kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah terutama Itali jatuh ke masalah menakutkan iaitu kematian penduduk dan ekonomi secara mendadak. Negara Itali mempunyai sistem kesihatan bertaraf dunia namun Covid 19 tidak terusik dengan kecanggihan itu. Hari ini, Itali terpaksa memanggil doktor-doktor dari negara luar bahkan sampai menerbangkan para pesakitnya ke luar negara akibat hospital yang terhad dibandingkan jumlah jangkitan dan kematian tinggi. Amerika Syarikat terkenal dengan teknologi dan kajian sains untuk dunia, tetapi hari ini terpaksa membina khemah-khemah rumah mayat di luar hospital. China berhadapan isu rasis yang tinggi. Seluruh dunia menghukumi warga China yang dikatakan pemula kepada Covid 19. Banyak negara takut menerima pelancong China, dan wujud teori bahawa Covid 19 adalah ciptaan komunis China yang jahatnya lebih atau setaraf Nazi. China akan dibenci sebahagian penduduk dunia.

Apapun realiti dan teori yang berlegar, setiap minit kita adalah ruang muhasabah bagi orang yang beriman. Kita percaya bahawa dunia ini akan berakhir dan sebelum berakhirnya dunia, datangnya imam Mahdi, dajjal, Nabi Isa AS dan para tentera Allah yang dijanjikan. Dunia kelihatannya sangat tua dan diperkudakan tangan-tangan manusia dengan kezaliman dan sikap melampau batas. Kemodenan dan teknologi yang kita nikmati dalam hidup seharian, jarang dikaitkan dengan tauhid kepadaNya. Kita bekerja bukan untuk berdakwah, tetapi mengumpul harta untuk anak cucu. Kita melihat kemaksiatan dengan gelengan tanpa usaha mengubahnya kepada kebaikan. Caci-maki sesama manusia menjadi makanan. Orang tidak adil diangkat menjadi pemimpin dan artis dipuja-puja. Kita pejam mata terhadap hak orang miskin, anak yatim dan asnaf. Kita hidup dalam semua kerosakan itu dengan ketenangan dan senyuman. Justeru, Allah SWT datangkan makhluk sehalus Covid 19 untuk kita duduk diam seketika, bermuhasabah, bermunajat, bertaubat nasuha dan membanyakkan simpati dan doa kepada orang lain. 

Baharulah kita sedar, kita hanyalah makhluk. Dan taraf amalan kita entah lebih teruk dan bahaya daripada kejahatan makhluk Covid 19 itu jika Allah SWT tidak menegur dengan cara seperti yang kita lalui sekarang ini.

Loading

Bulan Madu Yang Tertangguh

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Tahun 2020 hadir dengan pelbagai perancangan dan salah-satunya adalah menunaikan umrah dan berkelana ke bumi Istanbul dengan suami. Saya berdoa agar hajat ini dimakbulkan Allah SWT. Mengapa Tahun 2020? Pada 14 Januari 2019, saya telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan luar rahim. Saya telah bernazar, jika pembedahan selamat, saya mahu mengerjakan umrah berdua dengan suami. Allah SWT menyelamatkan saya bahkan selepas enam bulan pembedahan, Dia mentakdirkan saya mengandung kali ketiga. Nikmat yang tidak dapat saya ungkapkan selepas enam tahun saya tidak mengandung. Justeru, waktu terbaik untuk bermusafir jauh adalah sebelum saya bersalin.

Pihak Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya akan mengadakan seminar di Universiti Fateh, Istanbul pada 25 dan 26 Mac 2020. Saya dilantik menjadi sebahagian ahli jawatankuasa. Saya lihat ada susunan cantik jika saya menunaikan umrah dan langsung ke Istanbul menyertai seminar. Maka, saya dan suami membeli tiket secara DIY. Saya menyusun jadual perjalanan, melihat senarai hotel di Madinah dan Mekah, melayari blog-blog pengembara DIY, mencatat petua-petua penting sepanjang perjalanan. Bahkan, sudah mencarikan pengasuh untuk menjaga dua anak yang bakal ditinggalkan selama 17 hari! (umrah 10 hari dan Istanbul 5 hari, perjalanan pergi balik 2 hari).

Saya menangis dalam doa dan munajat. Benar-benar mengharapkan Allah SWT membawa kami ke rumahNya, Baitullah. Saya dan suami menghadiri dua kali kursus umrah. Kami telah membeli tiket serta membuat tempahan hotel, kini tinggal bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Saya yakin, jika belum benar-benar melihat Kaabah dan Masjid Nabawi, maka tidak boleh terlalu gembira. Apa sahaja boleh berlaku dalam ketentuanNya.

Dalam debar menanti tarikh penerbangan pada 12 Mac 2020, saya sudah mengikuti berita tentang Virus Covid 19. Sejak awal Januari 2020, virus ini menjadi percakapan akhbar antarabangsa. Saya baca kolum seorang wartawan CNA (Channel News Asia) menceritakan hari-hari suramnya meraikan Tahun Baru Cina. Perjalanan yang panjang antara wilayah-wilayah negara China dan perintah lockdownyang menyebabkan jutaan rakyat tersekat. Ada yang tidak sempat pulang ke kampung, dan ada yang terkandas di tengah jalan. Penulis sendiri ralat kerana baginya Tahun Baru Cina adalah satu-satunya perayaan yang menghubungkan anak dengan ibubapa yang tinggal berjauhan. Bahkan, dalam budaya kerja di China, adalah sukar mereka mendapat cuti dalam satu-satu tahun kecuali Tahun Baru Cina. Dan tahun ini paling menyedihkan dalam hidupnya.

Saya sekadar simpati kepada si penulis tetapi tidak membayangkan bahawa Malaysia bakal menemui nasib yang sama, atau sekurangnya akan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku saat saya menulis catatan ini. Dalam tempoh akhir Januari dan Februari, hujung minggu kami sibuk pulang ke kampung di Pahang dan Kedah, serta membuat temujanji dengan doktor yang akan menguruskan kelahiran anak ketiga nanti. Salah seorang doktor sangat gembira mendengar perancangan umrah DIY kami. Dia sendiri baharu pulang dari Mekah dan Madinah, memberikan saya tips umrah secara mandiri.

Mac 2020 tiba dengan berita-berita suram. Malaysia sudah mula diterbaki Covid 19, dibawa oleh para pelancong negara China. Tetapi kami tetap optimis menjadi tetamuNya, virus dirasakan tidak sampai membenam perjalanan harian dunia. Saya juga telah menempah penginapan di Istanbul. Seperti merangka perjalanan bulan madu kali kedua dengan suami. Musafir yang saya harapkan dapat memperkukuhkan kasih sayang kami. Walaupun kami telah merantau ke Seoul, hampir lima tahun lamanya, tetapi tidak pernah kami berjalan jauh tanpa anak-anak. Di tanah air, setiap masa luang adalah masa bersama anak-anak. Saya berdoa perjalanan umrah dan trip Istanbul adalah perjalanan cinta kerana Allah. 

Pertambahan pesakit mula terjadi bahkan sudah menjangkiti orang tempatan. Dalam Facebook, ramai menyuarakan agar kerajaan Malaysia menyekat penerbangan dari negara China. Satu catatan di FB begitu menyentak fikiran saya apabila si penulis mencadangkan agar kerajaan memulakan lockdownselama 14 hari. Begitu sekalikah ancaman Covid 19 di Malaysia walaupun jumlah jangkitan belum sebanyak Singapura dan Thailand waktu itu? Pada 28 Februari 2020, Malaysia mencatatkan sebanyak 25 kes jangkitan tanpa ada kematian (dan saat catatan ini ditulis, Malaysia sudah mempunyai 2320 kes dengan 27 kematian). Paling menyuramkan saya awal Mac 2020, Kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan penutupan penerbangan seluruh dunia. Maka, terkuburlah hasrat kami ke tanah suci. 

Teman-teman sekerja masih yakin meneruskan trip ke Istanbul. Pada waktu itu, Turki baru mencatatkan 6 kes positif Covid 19. Ketua rombongan kami mengatakan keadaan di Turki terkawal, malah belum ada sekatan penerbangan. Saya memindahkan rasa sedih tidak dapat menunaikan umrah kepada perasaan ingin beriktikaf di masjid-masjid di Istanbul. Saya begitu berharap ianya menjadi perjalanan yang mengukuhkan rasa cinta kami suami isteri. Namun, Tuhan mempunyai cara yang lain memakbulkan niat saya.

15 Mac 2020, pihak penerbangan menghantar emel bahawa tiada lagi perjalanan ke Istanbul. Kami diminta mengisi borang bagi tujuan mendapatkan semula duit tiket. Saya dan suami berkejaran ke pejabat Emirates Airlines di tengah Kuala Lumpur. Kami tidak menangis, tidak juga tersenyum. Kami pasrah dan yakin itulah yang terbaik. Bukan rezeki untuk bermusafir berdua tahun ini. Malamnya, Perdana Menteri membuat pengumuman perintah PKP, berkuatkuasa 17 Mac 2020.

Saat catatan ini ditulis, selepas hampir dua minggu, penularan pandemik Covid 19 di Turki naik mendadak iaitu 9217 kes dengan 131 kematian. Malah terdapat satu kematian di Malaysia yang berpunca daripada perjalanan ke Turki. Allah ya Allah.

Akhirnya kami akur pada Qada’ dan Qadar Allah SWT.

Rezeki kami adalah menikmati hari-hari penuh cinta di dalam rumah. Pasti ada hikmah!

Loading

Mencermati Cerpen Malaysia dan Korea

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Awal Mac 2014, saya memulakan semester pertama pengajian sastera bandingan di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Seoul. Ia adalah tahun yang memperkenalkan saya pada budaya ‘pali-pali’ (cepat-cepat), sampo sedae(generasi kahwin lewat), sigdang(makan luar) dan hansang(berpacaran). Ini antara empat budaya utama yang terpapar dalam masyarakat Korea baik secara nyata, fiksi sastera mahupun digital. Berjalan cepat-cepat menunjukkan kesungguhkan melakukan sesuatu, amat berkaitan dengan amalan menjaga masa. Persaingan 50 juta penduduk dengan 13 juta orang berpusat di Seoul menyebabkan pekerjaan lebih penting daripada jodoh. Akibat lain, anak muda Korea selesa menyewa bilik atau ‘bang’, makan di kedai-kedai dan berpacaran tanpa ada rancangan untuk berkahwin sebelum 30-an. Majalah Koreana edisi musim panas 2019 menyebutkan perubahan masyarakat Korea ditentukan ekonomi pasaran bebasnya. 

Inilah persamaan besar Malaysia dan Korea iaitu hegemoni neoliberalisme dalam jagat masyarakatnya, dari akar bawahan hingga ke pucuk atasan. Neoliberalisme ditafsirkan  sebagai wajah baru kepada kapitalisme global yang mencengkam juzuk-juzuk sebuah negara baik dalam ekonomi, politik, masyarakat, pendidikan, sastera dan kebudayaan. Korea dan Malaysia, sama-sama berlutut kepada kepentingan pasar dan ekonomi. Sumber alam dan manusianya dikerahkan untuk memacukan ekonomi negara semaksimumnya. Lebih-lebih lagi Korea yang berada dalam perkumpulan yang dinamakan Global North.

Kim Ae Ran

Saya menekuni sebuah cerpen tulisan Kim Ae Ran, penulis mapan Korea yang lahir tahun 1980. Cerpen berjudul ‘Aku ke Kedai 24 Jam’ (terbit di Majalan Koreana edisi musim sejuk 2017) menceritakan sisi individualistik yang membarah dalam kalangan warga Seoul, seiring pertumbuhan ekonomi yang disingkapkan melalui ‘munculnya kedai-kedai 24 jam’ bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kebergantungan individu kepada kedai 24 jam seperti kebergantungan negara dunia ketiga kepada kuasa besar. Kedai 24 jam menyediakan sekecil barang seperti ‘gula-gula, rameyon dan aiskrim sehinggalah barang yang penting seperti tisu toilet, tuala wanita dan pengecas telefon. Konflik cerpen digerakkan oleh kelakuan tipa utama yang bertukar-tukar kedai 24 jam atas alasan pelik iaitu dia ‘benci’ dengan penjaga kedai yang sering bertanyakan soalan- soalan seperti ‘di mana kamu belajar?’ kamu belajar bidang apa? Umurmu berapa? Sekaligus mempamerkan generasi muda Korea yang suka menyendiri dalam rumah fikiran, tanpa mahu diganggu sesiapapun.

Hafizah Iszahanid

Cerpen ini meninggalkan kesan kehairanan kepada saya. Saya mencari-cari cerpen Malaysia yang boleh menjawab kehairanan saya terhadap cerpen Kim Ae Ran. Lalu saya mencocokkan dengan cerpen ‘Ulangtahun Bonda’ karya Hafizah Iszahanid (terbit di Mingguan Malaysia 7 September 2014) yang juga penulis wanita yang lahir awal 1980-an. Hafizah memposisikan kesan utama neoliberalisme di Malaysia melalui cerpennya iaitu kerapuhan hubungan kekeluargaan. Sikap individual ditonjolkan melalui watak anak-anak yang mengabaikan ibu yang tua. Saya mencatat kembali tulisan Hafizah, “Untuk mereka, bonda adalah perempuan yang semakin dimamah usia dan tidak lagi berada dalam arus masa.” Golongan tua menjadi mangsa zaman pasca moden (postmodernisme) kerana tidak dapat memahami kesibukan golongan muda dengan gaya celaru. Watak Bonda melihat anak-anaknya larut dalam pencarian materi, bercakaran sesama sendiri atas kebebasan dan demokrasi. Walau bagaimanapun, kematian anak-anak Bonda dalam kecelakaan kapal terbang, menyebabkan anak-anak yang masih hidup mula bersatu. Penulis Malaysia seperti Hafizah menerobos hikmah di sebalik ujian yang berlaku. Hal ini kerana ianya sebahagian daripada ajaran Islam. Jika disingkap, watak Bonda adalah negara Malaysia, manakala watak anak-anak adalah bangsa Melayu yang menjadi majoriti di Malaysia. Hafizah secara tidak langsung menghamburkan kegusaran terhadap anak bangsanya yang semakin individualistik dan rapuh nilai.

Sebaliknya, Kim Ae Ran tidak mempunyai resolusi seperti Hafizah. Dia sekadar ‘perakam realiti’ tetapi bukan seorang hakim atau penilik bangsanya. Dia menyatakan kini ‘individualistiklah’ raja masyarakatnya. Watak utamanya berjaya menyingkapkan akal fikiran seorang manusia yang bahagia hanya dengan akalnya, bukan dengan hubungan sosial. Di akhir cerpen, dia terpukul oleh kebohongan akalnya sendiri. Sungguhpun Kim Ae Ran tidak melanjutkan kepada hikmah di sebalik kemalangan yang ditonton oleh watak utamanya, tetapi bila dibandingkan dengan cerpen Hafizah Iszahanid, saya percaya sebenarnya Kim Ae Ran juga mahu mengutuk bahana neo liberalism yang menjarah masyarakat Korea kini. Hafizah mengungkapkan pengajaran positif secara terus-terang, manakala Kim Ae Ran menyiratkannya secara halus dengan cara beliau sendiri.

Individualistik adalah pesona Revolusi Industri ke 3 dan 4 selepas wujudnya sistem yang dipanggil dunia tanpa batas. Dengan kecanggihan telefon pintar dan IOT (internet of thing), manusia berkomunikasi dalam dunia yang senyap. Manusia terarah kepada kecanggihan yang mereka cipta, salah-satunya adalah robot. Apakah manusia mula mengambil ciri robot ke dalam peribadi mereka, dan ciri manusia pula diaplikasikan kepada robot? Hal ini tidak mustahil kerana telah diungkapkan dengan baik oleh penulis Generasi Y seperti Kim Ae Ran dan Hafizah Iszahanid. Sifat robot yang utama telah masuk ke jiwa manusia adalah individualistik. Lihatlah watak Aku yang menjauhi Kedai 24 Jam jika penjualnya seorang yang ramah, serta karakter anak-anak yang sinis melihat Bonda terkurung dalam kesunyian.

Sepulangnya saya ke Malaysia pada Ogos 2018, saya mendapati negara ini dilandai kedai-kedai dobi; baik di bandar mahupun desa. Orang-orang yang pergi ke kedai dobi, tidak berbual sesama sendiri waktu menunggu pakaian dibasuh. Dengan telefon bimbit, mereka tenggelam dalam fikirannya. Begitu juga ketika saya masuk ke kedai serbaneka Family Mart yang mula bercambah di Kuala Lumpur. Para pengunjung tidak lagi mencari nasi lemak atau bihun goreng yang dibungkus dalam bekas kecil tetapi, orang Malaysia baik Melayu, Cina dan India sudah mula ketagihkan kimbab tiga segi iaitu nasi yang dibungkus dengan rumpai laut, sushi dan udon. Semua makanan itu popular di Korea dan negara pemulanya adalah Jepun. Ketika beratur di kaunter pembayaran, orang-orang tidak berbual atau senyum sesama sendiri. Dengan makanan di tangan, mereka boleh duduk di kerusi tinggi, menikmati udon panas tanpa peduli orang sekeliling. Saya akhiri kolum ini dengan serangkap puisi Sasterawan Negara Baha Zain:


Apa yang harus kuucapkan lagi?
Antara kami, segalanya sepi,
Kecuali I-phone, dan dia dengan I-padnya.

(Baha Zain, “Monolog Kecil”, Dewan Sastera, November 2013)

Sastera Post Islamism atau Pop Islamism?

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Kira-kira 83 tahun lalu, Allahyarham Abdul Karim Amrullah atau Hamka meninggalkan fenomena novel cinta Islami yang kemudiannya diikuti sebahagian penulis Malaysia dan Indonesia sehingga kini. Bermula pada 1936 sehingga 1939, Hamka telah menulis tiga buah novel yang berfokuskan cinta dan Islam. Novelnya yang pertama, Di Bawah Lindungan Kaabah (Balai Pustaka, 1936) mengisahkan percintaan tragis yang diakhiri dengan kematian sepasang kekasih. Novel ini menjadikan agama Islam sebagai misi tanpa mengandungi persentuhan antara watak yang saling jatuh cinta. Tahun-tahun kelahiran novel Hamka adalah tahun kesukaran masyarakat Indonesia termasuk di Padang Panjang, sebuah pekan kecil di Sumatera Barat. 

Sejak novel cinta diperkenalkan di Sumatera, ianya menjadi bacaan popular dan digemari ramai. Para penerbit di Indonesia ketika itu menggalakkan penulisan cerita bertemakan cinta dan krisis masyarakat. Justeru, Hamka sebagai pendakwah menggunakan strategi kisah cinta untuk menarik masyarakat kepada Islam dengan tidak menyinggung dasar penjajahan Belanda secara terangan termasuk dalam novel beliau berikutnya iaitu Tenggelamnya Kapal Van de Wijck(Balai Pustaka,1937) dan Merantau ke Deli(Cerdas Medan, 1941). Beliau melihat cinta adalah kekuatan dalam diri seseorang individu. Hamid dan Zainab, Zainudin dan Hayati, Leman dan Poniem adalah watak remaja Indonesia yang mempunyai komitmen dan tekad memerdekakan Indonesia tetapi akhirnya menjadi orang yang kalah dan terkorban akibat dikecewakan cinta. Hamka berpandangan keadaan ini sebagai merugikan muslim Indonesia dan satu-satunya cara mengubati kekecewaan cinta adalah kembali pada ajaran Islam.

Akhir 1990-an, novel bertemakan cinta Islam kembali menjadi fenomena di Indonesia ekoran kemunculan ‘sastra wangi’ selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1999. Kumpulan penulis sastra wangi yang membariskan nama seperti Ayu Utami, Djenar Maesa Ayu dan Dewi Sartika berjaya mengumpulkan jumlah pembaca yang ramai berdasarkan catatan jualan yang tinggi. Sebagai tindak-balasnya, para penulis daripada kumpulan Forum Lingkar Pena (FLP) mengenengahkan novel cinta Islam yang mencabar tema-tema cinta seksual ‘sastra wangi’ sehingga mencetuskan wacana baru iaitu Novel Remaja Islam atau NORI. Kemuncaknya, penerbitan novel Ayat-Ayat Cinta(2003) oleh Habiburrahman El-Shirazy mempengaruhi kemunculan novel-novel popular Islam di Malaysia dengan penjenamaan pada judul, ilustrasi, nama pengarang dan kulit novel. Persoalannya, apakah para penulis novel popular Islam ini meneruskan hasrat dakwah Hamka atau lebih kepada agenda keuntungan?

Para pengkaji budaya seperti Andrew Weintraub (2011) dan Dominik M. Muller (2013) mengatakan kebangkitan pasca Islam di Malaysia dan Indonesia termasuk dalam gelombang kedua Islamisasi (second wave Islamism) yang berbeza daripada pasca Islam pertama seperti di Iran, Mesir dan Turki yang berfokuskan gerakan politik Islam. Di dua negara ini, proses Islamisasi era moden dikaitkan dengan budaya kepenggunaan (consumption) dan nilai pasaran (marketisation). Islam sebagai cara hidup masyarakat majoriti di Malaysia dan Indonesia turut mengalami penjenamaan globalisasi dalam banyak aspek termasuk kesusasteraan. Suara Islam disederhanakan secara tidak langsung, malah isu tabu seperti aksi seksual turut digambarkan secara Islamik. Saya petik dari novel Ayat-Ayat Cinta 2 karya Habiburrahman El-Shirazy:

Fahri begitu sabar dan telaten mengiringinya memasuki mihrab-mihrab kenikmatan ibadah (seks) yang menggetarkan seluruh syaraf-syarafnya. Berulang-ulang kali ia memekikkan tasbih di telinga Fahri dengan kedua mata terpejam. Harum kesturi mengiringi merekahnya jutaan bunga mawar yang indah di dalam batinnya(Halaman, 610).

Dalam satu wawancara saya dengan Habiburrahman El-Shirazy pada Disember 2015, beliau mengatakan sengaja mewujudkan babak seksualiti Islam kerana ingin memberi pengajaran kepada pembaca Muslim. Buku-buku beliau terjual lebih 500,000 naskah dengan Novel Ayat-Ayat Cintamelebihi 800,000 naskah di Asia Tenggara. Jumlah jualan menunjukkan para pembaca nusantara ‘selesa’ dengan tema cinta romantisme dengan kehadiran tipa utama yang berpakej kacak, jelita serta soleh dan solehah. Pengarang novel ini turun menjenamakan dirinya melalui media sosial khususunya Twitter, Facebook dan Instagram. Bagi Habiburrahman El-Shirazy, cinta adalah tema paling ampuh menyampaikan dakwah Islamnya di nusantara, sama seperti yang telah dilakukan oleh Hamka.

Kita semua maklum bahawa Islam memasuki Alam Melayu seawal abad ke 8, secara halus, sistematik dan bijaksana. Tiada peperangan dilancar oleh para pendakwah Islam untuk memasuki bumi yang kini bernama Malaysia dan Indonesia. Hal ini menyuburkan suasana harmoni dan aman untuk mempraktiskan Islam, sehingga kini. Banyak karya sastera Islam memperjuangkan isu masyarakat dengan cinta romantik sebagai terasnya. Apabila globalisasi menjarah, para pengarang nusantara tidak mengabaikan unsur-unsur komersial dengan pengiklanan terus di media sosial. Walaupun kecenderungan menegakkan sepenuhnya syariat Islam di Malaysia dan Indonesia tetap subur, prosesnya bergandingan dengan budaya popular yang disuaikan dengan imej Islam. Mungkin mustahil kita menemukan novel versi ‘I am Malala’di negara ini. Tetapi sesuatu harus difikirkan agar bias popular tidak mengganggu pengkaryaan yang mampu meletakkan negara ini sebagai negara para pemikir dunia, bukan hanya cinta romantik semata-mata. 

Para Doktor Adalah Wira Kita

Doktor Shirin Rouhani. Al-Fatehah.

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Seperti polis yang memburu penjenayah dan askar yang menewaskan musuh negara, begitulah peranan seorang doktor selepas Virus Covid 19 tersebar di seluruh dunia. Para doktor kini menjadi panglima perang di barisan hadapan, menangani musuh yang tidak nampak di mata. Pandemik Covid 19 ibarat  penjahat baharu dengan taktik yang lebih halus, meresapi tamadun manusia moden. Virus ini bukan sahaja mencantas umur manusia, tetapi mengacau-bilaukan sistem globalisasi terutama ekonomi kapitalis serta meruntuhkan kasta negara. Manusia kini disatukan dalam bentuk pemisahan. Berpisah untuk selamat kerana sang virus menyukai kedekatan untuknya melakukan pembunuhan.

Kira-kira 4 bulan Covid 19 meratah imunisasi manusia,  hampir 70 orang doktor di seluruh dunia yang menjadi tonggak pertahanan tewas. Di itali, seramai 45 orang doktor meninggal dunia dengan 6000 pekerja kesihatan dijangkiti Covid-19. Di Pakistan, doktor berusia 26 tahun dikenali sebagai Riaz Usama juga ‘syahid’ dalam peperangan membasmi virus bahaya ini. Pasukan doktor dan pegawai kesihatan bekerja 5 hingga 10 jam sehari menangani para pesakit baharu. Merekalah askar-askar yang terlatih untuk berhadapan musuh bernama penyakit. Mereka tidak boleh berundur ke belakang untuk menyelamatkan diri, sebaliknya berjuang hingga ke hujung nyawa.

Dr Li Wenliang, meningeal dunia pada 7 Februari 2020

Pada 30 Disember 2019, Doktor Li Wenliang, doktor pertama dari Wuhan Central Hospital yang mengumumkan kemunculan virus baru dari kotanya tetapi mendapat respon negatif daripada pihak keselamatan China ekoran menimbulkan panik awam. Doktor Li akhirnya meninggal dunia selepas menjadi ‘perwira pertama’ yang menyedari gejala dan bentuk serangan Covid 19. Bayangkan, ketika beliau merawat kumpulan pertama yang datang dengan Covid 19 tanpa persediaan keselamatan diri, beliau dijangkiti dan mulai tenat sejak 30 Januari 2020 dan meninggal dunia pada 7 Februari 2020. Pada 4 Mac 2020, rakan sekerjanya, Dr Mei Zhongming turut tewas dijangkiti Covid 19 selepas menangani para pesakit yang telah masuk ke angka puluhan ribu di seluruh China di hari kematiannya. Sehingga kini, 13 orang doktor mati di China akibat pandemik Covid 19.

Sekitar Februari 2020, apabila angka jangkitan dan kematian naik di Iran, saya menjangkakan Iran mungkin tidak mempunyai teknologi canggih berhadapan Covid 19. Jangkaan saya benar malah banyak negara maju seperti Italy, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat sendiri tidak mampu menghalang penularan wabak sehingga membaham ribuan bahkan puluhan ribu rakyat mereka. Amat tersentuh hati melihat gambar Dr Shirin Rouhani yang terpaksa melayani pesakit dalam keadaan dirinya juga telah dijangkiti Covid 19. Beliau meninggal dunia dalam keadaan Iran menyaksikan 6400 rakyatnya meninggal dunia akibat Covid 19.

Mengapa Simpati Kepada Doktor?

Tugas doktor berbeza daripada askar. Pekerjaan askar adalah menjaga keselamatan negara daripada musuh, sering dikaitkan dengan politik dan ideologi negara. Justeru, askar akan berperang dengan kumpulan musuh yang ditetapkan oleh negara. Tetapi doktor, mereka menyelamatkan nyawa manusia hatta manusia itu adalah musuh negara sekallpun. Pekerjaan mereka tidak dibatasi oleh perbezaan ideologi, agama, ras dan kasta. Secara hakikinya, doktor bekerja untuk memberi kehidupan kepada manusia.

Siapa sangka Tahun 2020 adalah tahun peperangan antara manusia dengan virus? Para doktor meninggalkan keselesaan, keluarga dan keselamatan diri untuk membanteras penularan pandemik Covid 19. Mereka ke hospital sebagai orang sihat, dan tahu ada risiko tinggi bakal dihadapi, tetapi kerana tujuannya menyelamatkan nyawa manusia, mereka menjadi pemberani yang ikhlas. Begitu juga para petugas kesihatan lain seperti jururawat dan pembantu makmal. Semuanya bekerja untuk keselamatan manusia lain.

Sekiranya kita mempunyai anak, mahukah kita mendidik mereka menjadi doktor? Kerana doktor adalah pekerjaan paling penting di era virus dan wabak begitu memusuhi manusia moden yang melampaui batas.  

 

Loading

Maafkan Kami Kumbang

Tuhan memberi kami pengajaran supaya tidak menzalimi makhlukNya walaupun sikecil kumbang.

kami memujuk Darda’ agar melepaskan dua ekor kumbang yang dibeli di pasaraya.

“Darda’ jika ada orang ambil Darda’ dan pisahkan daripada abi dan umi, Darda’ menangis tak?” Dia mengangguk. “Begitulah juga kumbang tu, dia pun sedih sebab dipisahkan daripada anak-anaknya..”

Hati anak kecil yang suci. Darda’ mengajak kami lepaskan kumbang di belakang rumah.

Maafkan kami kumbang. Pergilah ke manapun yang kamu mahu. Doakan kami ya!

Mangkuk-Mangkuk Pengalaman

Pengalaman. terkandung di dalamnya kerinduan, kebencian, pahit, ketakutan, kesakitan, kemanisan,

Saya teringat ketika tidur di sebelah tok. Saya menyuruh tok berbaring hanya mengadap saya, bukan adik saya. Umur waktu itu 4 atau 5 tahun. Kini Tok Piah sudah di sisi Allah SWT. 

Saya kenangkan waktu-waktu sakit dulu, pahitnya masih berbekas. Saya lari peluk tokwan dan mak, saya benar-benar takut, rasa mahu mati. Emak menasihati saya banyakkan ingat kasih sayangNya.

Saya tiba-tiba kenangkan saat berdiskusi dengan ‘bakal suami’ di satu sudut Masjid Shah Alam, ada seorang pengawal wanita menemani kami. Kini, bakal suami telah menjadi suami yang amat penyayang. 

Saya ingat lagi ketika saya menolak kereta sorong Darda’, suami mengendong Dawud. Kami berjalan pulang dari Bongwahsan ke Taerung, di tahun awal di Korea. sangat susah. Kini Allah SWT menghadiahkan kami kereta, saya memandu ke HUFS. Allah…

Saya malu kenangkan sifat tidak sabar dalam hidup. Banyak yang jadi ‘haru-biru’ kerana sifat ini. Ingin putar kembali mustahil. Cuma saya dapat bisikkan ‘Ah, tanpa yang bernama ‘silap’ tentu tidak boleh jadi ‘terbaik’.

pengalaman. Terkandung dalamnya perasaan. Di saat kita tidak mahu ia hadir, ia tetap hadir.

Saya mendengar nasyid Sudah Sunnah Orang Berjuang alunan Nadamurni. Tiba-tiba sahaja teringat waktu saya dipaksa abah bernasyid dalam bas di Kota Medan, bersama anak-anak murid abah (SMKA Maahad Hamidiah Kajang), saya berumur 9 tahun waktu itu. Nasyid itu terus mengingatkan saya pengalaman 23 tahun dulu.

Itulah Struktur Perasaan (The Structure of Feeling). Teori yang diperkenalkan Raymond Williams berkait dengan seorang pengarang: di belakang, di depan, di mana-manapun dia dipengaruhi oleh pengalaman masa lalunya yang tidak lepas daripada ‘sosialisasi’.

Pengalaman. Ia lebih melampaui diri fizikal kita.

Untuk Secawan Coklat

Saya korek-korek kenangan di Korea..

Hari ini, saya masuk ke Keywest Coffe untuk menulis ‘sedikit’ tesis. Tetapi saya memilih minum secawan coklat berharga 3800 won. Untuk harga itu, saya merasai coklat yang nikmat dan beberapa baris tesis dengan jumlah masa hampir 4 jam. 

Ditemani suara-suara unik ciptaan Tuhan. Dengan lebih 10 manusia bertukar ganti duduk di kerusi, lebih 10 nada suara juga yang singgah ke telinga. 

Tiba-tiba, saya berasa mahu menulis novel. Wataknya adalah seorang Korea, mungkin gadis atau ibu rumahtangga, dari golongan pertengahan, punya impian untuk bersendirian beberapa bulan, di negara pengeluar kopi seperti Indonesia. 

Mengapa orang korea? Mengapa Indonesia?

kerana saya perlu mencipta citarasa yang sama untuk pembaca Melayu yang menonton K-Pop dan membeli-belah (untuk kenduri kendara) di Bandung.