Cerita Korea Kami

Di Atas Langit Incheon

Di Atas Langit Incheon

Salah-satu nikmat yang besar tinggal di perantauan adalah menerima kunjungan ibubapa dan sanak saudara. Bermula dengan kedatangan abah dan emak pada Oktober 2015, kami menyambut ramai tetamu di Seoul. Perkara yang membahagiakan adalah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, berdiri di ruang ketibaan dan menunggu keluarga dari tanah air muncul. Saat itu, hati tersenyum dan rindu berbalas.

Perjalanan dari rumah kami di Hwrangdae ke Incheon mengambil masa 40 minit jika jalanraya tidak sesak. Selalunya, beberapa hari sebelum tetamu jauh tiba, saya sudah mempersiapkan bahan masakan, kelengkapan bilik tidur dan mengemas rumah. Suami membeli ayam untuk stok seminggu. Anak-anak juga sudah dimaklumkan siapa yang akan bertamu menyebabkan mereka sangat teruja.

Incheon, Pintu Masuk ke Korea Selatan

Sebaik kita keluar dari Incheon dan masuk ke perut Seoul, sudah berbeza pamandangannya. Saat pertama kali tiba di Korea, awal Mac 2014, Incheon adalah gambaran pertama kami tentang Korea. Di kiri kanan jalan waktu itu adalah pohon-pohon rontok yang daunnya kering, tinggal beberapa helai. Kami melihat tambakan laut yang muram. Rumput kecil melata di atasnya. Di tengah lautan, ada kapal dan bot nelayan. Lebuhraya Incheon begitu besar dihubungi banyak jambatan berlapis dan salah satu jambatannya mirip Jambatan Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan, jarang sekali ternampak rumah-rumah tinggi dan bangunan. Ianya sebuah pelabuhan yang jauh dari kepadatan kota.

Jambatan yang menghubungkan Incheon dan Seoul antara terindah di dunia, dengan kapal besar boleh berlayar di bawahnya

Berulang-alik beberapa kali ke Incheon, saya didekatkan dengan sejarahnya. Orang Amerika yang memulakan pendaratan kapal terbang di kawasan Incheon sewaktu Perang Korea meletus pada 1950 hingga 1953. Pilihan lokasi pendaratan ini dikatakan amat berisiko namun berjaya menggugat talian bekalan Korea Utara yang mahu menawan Seoul. Sebelumnya, Kota Incheon popular dengan masyarakat Cina dari Tanah Besar. Mereka membuka toko-toko perniagaan sehingga dikenali sebagai Chinatown di Korea. Di zaman pendudukan Jepun di Korea, Incheon disuburkan dengan aktiviti perdagangan. Kedudukannya yang berada di persisiran laut amat strategik untuk aktiviti eksport dan import. Kerja-kerja tambakan laut dimulakan oleh pihak penjajah Jepun. Kini, di atas lapangan tambahan, kilang-kilang berdiri megah.  

Jika kita mengitari seluruh Korea, kawasan paling ramai menghunikan masyarakat Cina adalah Incheon. Kira-kira 3000 orang Cina menetap di Incheon dengan 600 orang tertumpu di Chinatown. Jumlah penduduk Incheon diperkirakan 1 juta orang pada 1979, meningkat 2 juta orang pada 1992 dan data 2014 menyebutkan penduduknya bertambah menjadi 3 juta orang. Fakta ini menggambarkan Incheon sebagai kota yang berkembang dan mesra ‘pendatang’.

Rindu

Seperti kami yang selalu rindu pada tetamu, begitu anak-anak tempatan Incheon yang rindukan kedamaian asli kota mereka. Incheon sebagai bumi di sebelah laut dengan kekayaan sumber lautan yang luar biasa menjadi tumpuan sang kapitalis seluruh dunia. Kang Je Yoon, sasterawan Korea kelahiran Incheon menulis puisi tentang rindunya itu:

Pada pesisir Geomeunnang DI Pulau Daecheong

Jalan setapak menyusuri tebing yang mengarah ke syurga

Dan seorang tua yang akan kembali sendirian ke syurga

Telah tiba saatnya mencicipi  makanan terakhirnya  di bumi

Orang tua itu mengumpulkan tiram yang banyak melekat di bebatuan

Tiram-tiram itu mengembang dan menipis seiring dengan kemilau dan redupnya bulan

Orang-orang pulau juga berkembang dan menjadi layu seperti tiram-tiram itu

Orang-orang pulau ini ialah anak-anak rembulan

Incheon..Tunggu kami

Saat pesawat terbang tinggi, saya mengerdip ke bawah: ke lampu-lampu yang menerangi seluruh Incheon. Saya katakan: Insha Allah kami akan pulang semula ke Korea. Incheon, sabar tunggu kami!

Teringat sebuah pertanyaan kepada saya: “Apa yang paling membahagiakan sejak tinggal di Korea?” Jawab saya, “Yang paling membahagiakan adalah dapat balik ke tanah air!” Dan hakikat ini disaksikan oleh bumi Incheon!

Kebiasaan Tauge..

Tauge antara sayur yang saya kurang gemar. Saya makan tauge ketika tiada pilihan sayur lain. Selama tinggal di Korea lebih 4 tahun, saya menyedari tauge mempunyai kedudukan ‘khusus’ dalam masyarakat Korea terutama di rumah-rumah makannya. Tauge mungkin ‘nampak’ selekeh kerana menjadi hidangan ‘percuma’ atau ‘banchan’; hidangan sampingan yang berulang-kali boleh ditambah, tanpa bayaran.

Tauge diibaratkan sebagai kesatuan masyarakat. Seorang kritikus sosial Korea, Kim Hwa Young mengatakan gelaran ‘kelas tauge’ merujuk kepada kelas-kelas yang padat di sekolah harian Korea, puluhan tahun lalu (Kini, sekolah harian Korea mempunyai 15-20 orang pelajar satu kelas). Lihatlah resam tauge, tidak tumbuh sendiri. Paling tidak jika ditanam dalam pasu kecil, mungkin kita mendapat segenggam tauge, bukan sebatang.

Kerana mudahnya menanam tauge dan mencicip hasilnya; kacang terlebih dahulu direndam dalam air dan kemudian dimasukkan ke dalam balang besar dengan lubang di bahagian bawah. Balang disimpan di tempat teduh dan disiram beberapa kali sehari. Dalam seminggu, tauge dengan kepala kuning dan batang putih memenuhi balang, maka ianya menjadi sayur popular di Asia. Dalam tradisi Korea, tauge dibuat sup untuk melegakan orang-orang mabuk kerana arak, atau menghilangkan lapar orang-orang tidak berduit.

Ketika kecil, saya banyak makan tauge kerana tiada pilihan makanan. Nenek, emak atau emak saudara akan membuat ‘sayur tauge’ untuk masakan yang boleh dicicip pantas; tauge goreng, masak lemak tauge atau kerabu tauge. Selepas berkahwin, hampir tidak pernah saya membeli tauge untuk dimasak. Tetapi, saya masih ingat momen-momen makan tauge yang dimasak oleh mereka tercinta.

Hari ini, selepas pandemik Covid 19 menyerang dunia, resam tauge menjadi kenangan mahal. Norma baharu melarang kedekatan dan sentuhan sebagaimana batang-batang tauge yang hidup ‘berjemaah’. Kita pasti merindukan saat bahu-bahu kita melekat atau dipegang rakan sekolah sewaktu perhimpunan pelajar. Untuk berapa tahun kita tidak boleh mengikut tradisi tauge? Tiada jawapan.

Loading

Sungai-Sungai Rindu..

Setenang Sungai Korea Selatan

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

“Dan Dia mengukuhkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”- an-Nahl ayat 15.

Setiap kali saya menaiki bas untuk ke universiti, pasti akan melalui sungai yang membentengi Pekan Seokgye dan Nowon, hampir di Timur Seoul. Sungai ini antara puluhan sungai kecil yang berarus ke Sungai Han iaitu sungai utama di Seoul. Dari  cermin tingkap bas, saya menatap sungai yang mengalir tenang. Airnya tidak begitu dalam, ternampak bunga-bunga kecil yang melata di kawasan bertanah tepi sungai.

Pandangan dari kejauhan kemudiannya menjadi satu keinginan untuk mendekat. Sewaktu pertukaran bas lain di Stesen Seokgye, saya mula memerhatikan dari balik benteng yang di bawahnya sungai kecil mengalir. Sungguh, tiada sampah dan sisa pencemaran. Yang ada hanyalah kumpulan itik dan beburung riang mengusik air. Masya Allah, saya menjadi terpesona.

Begitupun ketika mengitari Sungai Han yang sudah ditakluk tamadun pada kurun 18 sebelum Masihi, sungainya seolah-olah tidak pernah disentuh perubahan masa. Saya mula nakal membandingkan dengan sungai-sungai di Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara sungai, justerulah nama-nama negerinya (seperti Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak) diambil daripada nama sungai. Malangnya, sungai-sungai di negara kita banyak yang tercemar. Bau di Sungai Klang sahaja cukup membuatkan itik menjauhinya, apatah lagi manusia. Jika begitulah keadaannya, bagaimanalah manusia boleh mendapat petunjuk (hidayah) daripada kebesaran Allah SWT yang menciptakan sungai dan semua makhluk?

Semakin Tunduk 

“Orang Korea majoritinya tidak beragama, tetapi adab mereka kepada alam termasuk sungai menyebabkan kita malu,” saya bercakap kepada diri sendiri. Pentingnya sungai kepada bangsa Korea dapat dilihat melalui usaha kerajaannya yang silih berganti. Dari tahun 2009, Kerajaan Korea telah membelanjakan kira-kira 18 billion US Dolar untuk menjaga alam semulajadi terutama sungai yang menjadi penghubung antara daerah dan kota. Usaha ini turut melibatkan pemindahan kilang dan lokasi yang boleh mencemarkan sungai. Bahkan, menurut pemerintah Korea, mereka membersihkan sungai seolah seperti membersihkan ateri seorang pesakit arteriosclerosis; perlu berhati-hati dan serius!

Allahuakbar! Di manakah pemimpin-pemimpin negara Islam yang mahu ke hadapan bercakap tentang pembersihan sungai dan alam semulajadi, tanpa niat politik atau menaikkan diri sendiri? Dan persoalan lain, mengapakah masyarakat di negara majoriti umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerjasama dengan pemimpin mereka untuk menjaga sungai?

Saya melirik lelaki dan wanita Korea berumur separuh baya, berjalan kaki di tepi sungai. Di sisi mereka, anak anjing berlari terkedek-kedek. Sepasang suami isteri dan dua anak pula mengayuh basikal, girang dan segar dek puputan angin. Bunga ilalang menari-nari sepanjang sisir sungai. Dua pasukan bola jaring sedang berentap di gelanggang yang juga terletak tebing sungai. Rumah-rumah tinggi yang tegap, balkoninya mengadap ke Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeosang: empat sungai yang memartabatkan bangsa Korea. Semuanya seolah-olah ingin melihat ke sungai, ketika melakukan apa-apa sahaja. Seperti lirik Yi Byeong-yeon, “Saat cahaya matahari pagi menari di Sungai Han, aku dapat menyaksikan dengan samar kapal-kapal nelayan di antara puncak gunung.” Kerana sungai seluruh Korea yang indah, semuanya mahu mendekat dan menatap air yang terus mengalir.

Pesan Imam Syafie 

Sungai amat penting kepada perantau seperti saya dulu. Di sungai, saya teringatkan diri sendiri; apakah mahu mengambil iktibar resam air sungai? Kata Imam Syafie, “Jadilah seperti air sungai yang mengalir, bukan yang bertakung kerana air yang mengalir itu memberi manfaat kepada manusia. Manakala air yang bertakung cepat busuk dan mendatangkan mudarat.”

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak berkisah tentang syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Keindahan sungai-sungai di syurga pasti tidak terbayang oleh akal fikiran. Namun, sebagai motivasi kita dapat mengambil ‘semangat’ mahu ke syurga dengan melihat ‘bunga-bunga’ kisahan Allah SWT yang ada di dunia. Di waktu malam, saat kami berpeluang mengitari sisir Sungai Han yang dipercik cahaya lampu-lampu seluruh Kota Seoul, lalu hatipun berbisik, “Ya Allah, bagaimanalah sungai-sungai di syurga nanti, memandang sungai di hadapanku ini sahaja amat indah? Allahuakbar!”

Lalu, saya menyimpul iktibar. Sungai dapat menjembatani manusia kepada hidayahNya. Seperti ayatNya dalam Surah an-Nahl ayat 15 di atas. Kejadian Allah SWT secara fitrahnya sangat indah, cuma tangan-tangan manusialah yang menghancurkan keindahan itu. Di setiap sisi ciptaanNya adalah untuk manusia berfikir.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita (dan negara majoriti umat Islam) telah dirosakkan manusianya sehingga menyebabkan ramai manusia jauh (dek sungai yang kotor) daripada memikirkan kebesaran Allah SWT.

Tetapi sungai-sungai di Seoul ini menyebabkan kami berasa kerdil dan tunduk padaNya.

Allah ya Allah. 

Loading

‘Permata Islam’ di Korea Selatan

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Hati saya berdebar-debar ketika membaca kisah lelaki ini di Majalah Koreana, sebuah majalah tentang budaya dan seni Korea yang berprestij. Sebelumnya, tidak pernah saya lihat fokus majalah ini terhadap agama Islam. Gara-gara si lelaki mempunyai kisah perjuangan Islam yang luar biasa, Koreana mengangkatnya sebagai ‘suara kedamaian di Korea.’

Jang Huseyin dan keluarga

Si lelaki luar biasa: Huseyin Kirdemir atau nama Koreanya Jang Huseyin berasal dari Yozgat,Turki. Kini, dia memilih untuk menjadi warganegara Korea setelah bertandang ke negara gunung laut ini pada 1994. Dia telah menemui ‘kunci’ dakwahnya setelah menguasai bahasa Korea selama sembilan bulan di Seoul National University, yang membawanya sehingga ke peringkat master dan Phd dalam bidang Bahasa Korea di universiti yang sama. Dengan bahasa Korea itulah, Jang Huseyin kini menubuhkan syarikat penerbitan Islam, Jannah Mumin Book dengan niat menulis, menerbit dan menyebarkan buku-buku tentang Islam dalam bahasa Korea

Niat Pertama ke Korea 

“Ayah saya mengidamkan untuk bertugas sebagai tentera Turki di Korea ketika meletusnya Perang Korea. Malangnya, kerana ketinggiannya tidak memenuhi syarat, beliau tidak terpilih,” kata Jang Huseyin membuka cerita bagaimana nama Korea mula muncul dalam dirinya. Minatnya makin menggebu saat menonton filem-filem Korea sehingga mendorongnya belajar Bahasa Korea di Ankara University School of Foreign Languages. 

“Saya ingin pergi ke Korea, melihat negara itu dengan mata kepala sendiri setelah ayah gagal dipilih ke sana suatu masa dulu,” jelas Jang Huseyin. Dia tiba di Seoul pada 1994 saat orang asing masih langka. “Orang Korea tidak begitu tahu tentang Islam. Saya masih ingat, pada bulan Ramadan ketika itu, saya berpuasa dan teman-teman Korea fikir saya diet atau tidak mempunyai duit untuk makan,” tambahnya.

Sebaliknya sekarang, Jang Huseyin menyaksikan perkembangan Islam yang pesat di Korea. Daripada masjid yang dikunjungi ramai Muslim seluruh dunia, restoran-restoran Muslim sehinggalah produk makanan halal yang dijual di banyak pasaraya besar di Korea. 

Membetulkan Salah-Faham

Seakan fenomena di seluruh dunia, apabila orang-orang non-Muslim mula mencari maklumat tentang Islam pasca serangan 9/11 termasuk masyarakat Korea. Mereka ingin tahu apa itu Islam? Lalu, ada pihak yang mengambil kesempatan menerbitkan buku-buku Islam dengan maklumat yang salah.

“Saya pergi ke Kedai Buku Kyobo untuk mencari buku tentang Islam dalam bahasa Korea. Yang saya temui adalah buku-buku yang memberi maklumat ‘sesat’ tentang Islam. Sebahagian besar pengarangnya non-Muslim. Satu kesalahan yang saya tidak lupakan adalah sebuah buku Korea yang menceritakan tentang zakat. Di buku itu tertulis, setiap Muslim perlu mengeluarkan zakat sebanyak 25 peratus harta kepada orang yang berhak. Ini adalah kesalahan yang besar, sepatutnya bukan 25 peratus tetapi 2.5 peratus! Kesalahan seperti ini tidak boleh dimaafkan walaupun si penulisnya ‘tidak sengaja’,” jelas Jang Huseyin.

Beliau kemudian mendapat idea untuk membetulkan salah-faham ini setelah menerima sebuah buku dari rakannya di New York. “Buku itu bertajuk Understanding Islam and Muslimsdengan format soal-jawab bersama foto dan informasi asas tentang Islam. Saya kemudiannya menerjemahkan buku ini ke dalam bahasa Korea,” kata Jang Huseyin tidak menyangka buku tersebut dicetak-ulang selama enam kali. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Korea sangat tertarik mengetahui tentang Islam. Sehingga kini, beliau telah menerjemahkan lebih 20 buah buku tentang Islam ke dalam bahasa Korea.

Bertemu ‘Sayap Kiri’ Perjuangan Islam 

Permata Islam di tanah kimchi

Jang Huseyin menggiatkan usaha dakwahnya dengan mengeluarkan Majalah Beautiful Islam yang kemudian di pindahkan menjadi laman web.

“Seorang wanita Korea Muslim yang sedang belajar di New York menghubunginya saya. Dia mencari maklumat tentang Islam dalam bahasa Korea lalu bertemu dengan laman web tersebut. Setelah beberapa kali berutus emel dan bertemu di Korea, kami berkahwin,” jelas Jang Huseyin yang mengahwini Aliya Eunno Yoon dan dikurniakan dua anak, Jannah, 9 tahun dan Mumin, 6 tahun. Allah SWT menyusun rencana yang terbaik untuk mereka kerana sama-sama mempunyai niat menyebarkan Islam di Korea. Kini, pasangan tersebut membangunkan syarikat penerbitan buku dan laman web bertempat di Paju, luar Seoul Fokus utama syarikat mereka adalah menulis dan menerbitkan buku-buku Islam untuk kanak-kanak, masyarakat Muslim di Korea dan masyarakat umum. Antara judul buku yang telah ditulis dan diterbitkan Jang Huseyin dan isterinya adalahKisah-Kisah Saudara baru Yang Memilih Islam(2012), 40 Hadith Imam Nawawi dan Penerangannya (2014), Jawapan kepada Orang Korea: 40 Soalan Yang Sering ditanyakan Tentang Islam(2014), Hilang di Istanbul:Kisah Jannah dan Mumin(2013). 

Menyebarkan Islam, Menyebarkan Kedamaian 

Jang Huseyin berasa dirinya memikul tanggungjawab besar iaitu membebaskan Islam dari salah-faham dan fitnah. Hari ini, dalam keadaan sebahagian masyarakat Muslim tidak berakhlak sebagai Muslim, tentunya amat mencabar untuk menjelaskan Islam yang sebenar. Di media barat, Islam selalu digambarkan agama aneh dan penuh kekerasan. Hakikatnya, Islam adalah agama penyelesai masalah manusia, ianya bukan agama yang menyempitkan kehidupan. 

“Majoriti umat Islam menyintai kedamaian, mereka adalah orang yang mesra dan terbuka. Saya berharap buku-buku saya dapat memberi manfaat kepada masyarakat Muslim dan non-Muslim di Korea,” katanya mengakhiri bicara.

Kisah Jang Husiyen antara kisah luar-biasa yang kami temui di Korea. Saya berdoa dan berharap agar dapat bersama-sama dengan beliau dan isterinya untuk menyebarkan dakwah melalui penerbitan buku di Korea. Para pembaca bolehlah melayari laman web Jang Huseyin di www.jannahmuminbooks.com dan FBnya .

Loading

Dua Sisi Turki di Korea

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Makanan yang masuk ke perut kami pada hari pertama tiba di Seoul adalah kebab Turki. Profesor Dr Lim Kim Hui yang sudah empat tahun menjadi Profesor Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies muncul di rumah ‘bilik’ kami dengan senyum mesra. Dia menawarkan diri untuk mengajar kami cara menaiki subway. Tempat pertama yang ditunjukannya kepada kami adalah Itaewon dan masjid. Di situlah juga dia membelikan kami kebab Turki sebagai tanda ‘selamat menjadi penghuni Kota Seoul.’

Setelah itu, Turki antara kalimah popular yang selalu muncul di bibir saya dan suami, gara-gara ‘kebab dan rotinya.’

Sisi Mulia Turki

Membaca fakta perkembangan Islam di Korea abad ke 20, kita akan mengagumi usaha negara Turki. Ketika meletusnya Perang Korea pada 1950 yang menyebabkan negara itu terpecah dua, Turki adalah salah-satu negara yang ditugaskan United Nation (UN) untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Korea Selatan. Rupanya, kemasukan tentera Turki yang beragama Islam ke Korea adalah ‘pintu awal’ kepesatan agama Tauhid di negara soju dan kimci ini. Meneladani hijrah Rasulullah SAW, kerajaan Turki membiayai penubuhan masjid pertama di Korea iaitu Seoul Central Mosque tatkala tenteranya berjumlah lebih 4500 orang di Korea. Bukan itu sahaja, tamat Perang Korea, sebahagian tenteranya memilih tinggal di sini demi misi dakwah.

Allahuakbar! Saya berasa kagum dengan bangsa Turki daripada aspek ini. Mereka tidak putus asa dan berhenti sekerat jalan. Setelah masjid dibina, mereka mengenalkan Islam kepada penduduk tempatan termasuklah mewujudkan ekonomi Islam. Hampir 66 tahun usaha dakwah Turki di Korea, kita dapat melihat organisasi-organisasi sosial dan ekonomi Islam Korea banyak ditaja Kerajaan Turki. Bangsanya mengusahakan produk makanan halal di merata ceruk Korea. Orang-orang Korea juga mempelajari budaya dan Bahasa Turki terutama selepas penubuhan Jabatan Bahasa Turki di Hankuk University of Foreign Studies. Mempelajari tamadun Turki bermakna mempelajari juga tamadun Islam Bani Uthmaniyyah.

Sisi ‘Tidak Sihat’

“Cik, bolehkah kami menemubual anda berkaitan Islam di Korea?” tanya seorang lelaki Korea ketika saya selesai solat di bilik pelajar Antarabangsa. Saya mengangguk dan menyertai perbincangan si lelaki dan rakan-rakannya.

“Saya pensyarah di sini, bahagian politik Asia,” kata si lelaki memperkenalkan diri. Kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah saya menceritakan latar-belakang diri, mereka mula ‘menembak’ soalan ‘kencang’ kepada saya.

“Anda selalu menunaikan solat di Masjid Itaewon?” tanya mereka. Saya menjawab sekurangnya sekali atau dua kali sebulan, tetapi suami saya ke masjid setiap minggu. 

“Anda pernah menyertai aktiviti di masjid yang berunsurkan ‘ekstrim’?” tanya mereka. Saya mulai geram dan mengawal emosi. Saya terangkan bahawa apa sahaja aktiviti di masjid adalah bersifat kasih-sayang dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Menyuruh para penganut Islam menyebarkan cintaNya kepada seluruh manusia, bukan membunuh dan mencederakan orang lain hatta orang bukan Islam.

“Cik, pernahkah anda diganggu lelaki Muslim ketika anda ke masjid? Kami mendapat tahu ada wanita Muslim yang cuba disentuh dan diusik para pemuda Muslim di Itaewon,” kata si pensyarah ini. Saya menggeleng kepala. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami situasi itu.  Kemudian, saya ditanyakan soalan-soalan yang majoritinya mahu dikaitkan dengan keganasan IS. Perbincangan petang itu saya akhiri dengan persoalan lain buat kumpulan ‘prihatin’ ini.

“Jihad dalam Islam itu luas. Bukan seperti yang anda fahami sebaik membacanya dari sumber yang dikaitkan dengan IS. Jihad utama dalam Islam adalah melawan hawa nafsu sendiri untuk menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW. Menjadi orang yang terbaik dalam setiap lapangan terutama ilmu pengetahuan serta memberi manfaat pula kepada manusia lain. Manakala jihad perang itu dianjurkan setelah hak seorang Muslim itu dicabuli dan dirampas. Anda lihat bagaimana umat Islam dijajah dan dizalimi di seluruh dunia terutama di Palestin? Mereka perlu mempertahankan nyawa dan tanah air mereka. Mereka perlu mengangkat senjata!” Mereka mengangguk; entah setuju atau tidak.

Tiba-tiba, terbit di mata saya beberapa sosok lelaki Turki yang saya jumpa di Itaewon. Gaya mereka tidak mencerminkan akhlak Islam. Mereka berpacaran bebas dengan wanita Korea, meninggalkan solat Jemaah di masjid, mengganggu wanita-wanita yang lalu di depan kedai mereka dengan ‘senyum dan mata menggoda.’ Malah, saya pernah melihat modennya seorang gadis Turki; lebih moden dari wanita Ingeris. Benar, bukan bangsa Turki sahaja yang mempunyai dua sisi begini, kerana kelakuan dan perangai tidak boleh dirujukkan kepada bangsa dan negara.

Cuma, dalam kontek penyebaran Islam di Korea, bangsa Turki telah memulai dakwahnya, manakala dalam situasi terkini, segelintir warganya juga yang mencalarkan dakwah Islam. Kerana dua sisi inilah: baik dan buruk menyebabkan orang bukan Islam khususnya orang Korea, menjadi keliru tentang Islam yang sebenar.

Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Berilah kami kekuatan untuk menjadi duta agamaMu di manapun kami berada. 

Loading

Ramadan 2018 Dikenang-Kenang

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Payah melepaskan kenangan yang begitu mahal, yang membezakannya dengan kenangan-kenangan lain adalah kesannya cantik di hati, sukar diulangi lagi. Begitulah yang saya alami pada bulan Ramadan 2018. Tahun itu adalah terakhir kami sekeluarga di Seoul, Korea. Seolah-olah Ramadan membiarkan kami memeluknya dalam suasana sangat sederhana, agar kami rindu dan terus menoleh lagi.

Dalam musim panas, bunga mawar tersenyum melihat tubuh kecil saya diserang debar. Pada minggu pertama Ramadan 2018, saya memulai pembentangan akhir (VIVA) Ph.D di Hankuk University of Foreign Studies. Ada dua pembentangan lanjut tetapi rahmat Ramadan, pasukan penilai memutuskan hanya dua kali pembentangan (kebiasaannya 3 kali VIVA!!)

Kami tahu ianya tahun terakhir. Tempat-tempat istimewa menjadi sangat luhur dan sukar dilepaskan; Masjid Itaewon, Surau Hoegi, Sungai Jungnang, Sungai Han dan laman halal Itaewon. Allah Allah, mahu berderai air mata mengenangkan semua itu bakål berlalu dalam catat pengalaman.

Sepanjang perjalanan dari Dongdaemon Gu ke Hannam Gu dan Itaewon, suami sering memilih jalanan tepian sungai. Berderulah enjin Rezzo menyaingi keluk-keluk angin dan kocak-kocak air, serta ceria beburung dan itik-itik Seoul. Saya menguras masa perjalanan dengan membaca Al-Quran kemudian melayan anak-anak, yang tidak diam tentunya. Ramadan begitu tenang walau masanya panjang, 16 jam. Kami hanya laparkan suasana ibadah di Masjid Itaewon; berbuka puasa dengan para Muslim pelbagai bangsa. Juadah berbuka seringnya buah tembikai atau pisang, sepinggan kurma dan sekotak seorang susu segar. Solat Maghrib berjemaah setelahnya baru dihidangkan nasi (seringnya biryani). Kaum wanita dan kanak-kanak didahulukan, jemaah lelaki beratur panjang. Enaknya masya Allah, makan berebut-rebut begitu.

Dawud dan Darda’ mengelek permainan; satu bekas besar puzzle menapak ke tingkat atas, bahagian solat Muslimah. Ada bilik rehat untuk anak-anak, disitu mereka bermain dengan kanak-kanak Muslim lain (yang tentunya pelbagai bangsa!) Sengaja kami bekalkan permainan, agar kelekaan anak-anak menjadi syurga ralit kaum ibu; dalam solat Isyak dan Terawih. Suara imam dari Indonesia membugar suasana solat di Nusantara, suara imam Korea dan Pakistan tidak kurang menyentuh jiwa kerana bait ayat-ayatNya semua mengajak kepada Taqwa.

Tengah malam, setelah jemaah bersurai, kami turut menuruni lekuk bukit Itaewon. Kadangkala singgah membeli keperluan asas di kedai Muslim. Ada hari terlajak makan ais krim Turki atau roti Pakistan. Suami amat menggemari nasi Arab Egypt. Sebelum tiba di rumah, anak-anak tidur keletihan; seolah mereka telah menunaikan solat terawih penuh malam itu; aduhai anak-anak comel.

Masjid Itaewon kami gelarkan sebagai ‘masjid kita’

Jika tidak cukup waktu ke Masjid Itaewon, kami empat beranak jalan kaki ke Surau Hoegi dari Hufs. Hanya 2 km. Di sana tidak kurang meriah, cuma ruang agak kecil. Hanya satu bilik rehat untuk kaum muslimah berbuka puasa dan menunaikan solat. Makanan berbuka ditaja penuh. Allah Allah, nasi arab dengan sebelah ayam untuk seorang makan! Malah ada non Muslim yang datang ‘duduk’ melihat solat jemaah kemudian makan bersama-sama. Imam warga Bangladesh atau Pakistan. Setiap rakaat menyentuh hati; kesederhanaan, ukhwah Islam, cabaran berjuang di negara non muslim, dakwah yang samar, semua itu menggugah jiwa tunduk padaNya. Allah…rindu.

Rumah persinggahan kita di Hwarangdae 2015-2017

Terima kasih suami, selalu menemaniku dalam penghijrahan kita di Korea. Tidak ada masa yang berlalu melainkan Allah menghadirkanmu untuk selalu mendorongku, menasihatiku dan kita mengecap nikmat, susah bersama.

juga anak-anak. Moga kalian juga menjadi perantau ilmuNya. Yang selalu sedar bahawa hijrah membuka fikiran kita untuk mengenalNya dan takut padaNya.

Ramadan 2020. Dalam ruang terbatas dalam rumah, saya percaya ada yang lebih istimewa Allah SWT mahu beri kepada kita; di seluruh dunia!

Loading

Untuk Secawan Coklat

Saya korek-korek kenangan di Korea..

Hari ini, saya masuk ke Keywest Coffe untuk menulis ‘sedikit’ tesis. Tetapi saya memilih minum secawan coklat berharga 3800 won. Untuk harga itu, saya merasai coklat yang nikmat dan beberapa baris tesis dengan jumlah masa hampir 4 jam. 

Ditemani suara-suara unik ciptaan Tuhan. Dengan lebih 10 manusia bertukar ganti duduk di kerusi, lebih 10 nada suara juga yang singgah ke telinga. 

Tiba-tiba, saya berasa mahu menulis novel. Wataknya adalah seorang Korea, mungkin gadis atau ibu rumahtangga, dari golongan pertengahan, punya impian untuk bersendirian beberapa bulan, di negara pengeluar kopi seperti Indonesia. 

Mengapa orang korea? Mengapa Indonesia?

kerana saya perlu mencipta citarasa yang sama untuk pembaca Melayu yang menonton K-Pop dan membeli-belah (untuk kenduri kendara) di Bandung.

Wanita Korea

Saya selalu terilham melihat wanita-wanita di Korea. Ada pelbagai bentuk imej mereka. Suatu ketika dalam tren di Kota Seoul, saya tersentak oleh ketawa sekumpulan wanita yang berpakaian hampir seragam: topi, jaket nipis, seluar dan beg tangan yang semuanya berwarna-warni. Rambut mereka yang sedikit berjurai dari topi kelihatan sama: kerinting. Wajah mereka melambangkan kekentalan Korea yang asli, tidak terusik oleh pembedahan plastik, ada kedutan tetapi ceria. Suara mereka gamat, tidak menghiraukan siapapun yang berada dalam tren. Mereka bercerita, ketawa dan bercerita lagi, terus ketawa tanpa henti. Sebagai pengembara baru, saya tertanya-tanya sendiri, siapakah kumpulan wanita ‘pelik’ ini?

Rupanya, pada hari-hari yang lain, bukan sahaja dalam tren, tetapi di pasar, di taman atau dalam bas, saya bertemu lagi kumpulan seperti ini. Sewaktu mahu melintasi jalan, saya lihat seorang wanita, walaupun tidak dalam kumpulan, imejnya sama. Dia mengayuh basikal dengan baju dan topi berwarna pink. Agakan saya umurnya seperti kumpulan wanita yang saya jumpa, 50-an ke 60-an. Di pasar, melihat kedai-kedai pakaian yang berderetan, minda sudah dapat mengagak ‘untuk siapa’baju, topi, kasut, seluar dan aksesori itu dijual jika desain dan warnanya terang begitu?  Akhirnya, saya menjumpai perkataan yang sesuai merujuk kepada wanita-wanita ‘khas’ ini. Mereka digelarkan ‘ajumma’ (yang bermaksud makcik) di Korea.

Tidak semua wanita Korea mahu digelarkan diri sebagai ‘ajumma’ walaupun mereka adalah ‘makcik’. Ajumma terkenal dengan sifat berani, banyak mulut, berterus-terang, keras hati dan bergerak dalam kumpulan. Pakaian dan aksesori mereka sama. Uniknya mereka ini sehingga seorang penulis Korea menyebutkan dalam tulisannya: Ada tiga jenis manusia di Korea. Pertama lelaki, kedua perempuan dan ketiga Ajumma!

Gadis Korea Yang Garang  

Dalam bas pagi itu, saya memilih berdiri sepanjang perjalanan ke universiti. Ada satu kerusi kosong di tempat duduk belakang, sebelah wanita ‘ajumma’. Tetapi berat hati saya mahu duduk di situ. Bas mengambil penumpang di satu hentian, seorang gadis Korea yang sedikit gempal naik dan terus memilih duduk di sebelah ajumma di belakang. Malangnya, kerana badan gempalnya itu, dia tersinggung tubuh ajumma yang lebih kecil. Itulah permulaan ‘perang mulut’ pagi itu sepanjang saya ke universiti.

“Kamu duduklah baik-baik, tengok beg saya pun dah jatuh!” jerit ajumma kepada si gadis. Kuat. “Ajumma, saya tak sengaja. Janganlah marah!” jerit si gadis, lebih kuat. “Kamu ni kurang ajar betul. Lain kali minta maaf!” jerkah ajumma. “Saya tak sengajalah ajumma. Janganlah menjerit!,” balas si gadis dalam nada tinggi. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan penumpang bas lain. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa dalam kelas di semester kedua.

“Saya pelik bagaimana kamu boleh belajar di Korea tetapi tidak tahu berbahasa Korea?” jerit rakan wanita saya. Kelas kami sedang berhenti rehat. Profesor Lee yang duduk di tempatnya hanya memandang, tidak memberi sebarang respon. Beliau adalah pakar Sastera Perancis, tidak mahir berbahasa Inggeris dan menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Korea. “Saya dimaklumkan tidak perlu bahasa Korea kerana saya dalam bidang Sastera Melayu-Indonesia,” jawab saya. “Kamu sepatutnya pergi belajar bahasa Korea dulu kemudian baru sertai kelas ini,” katanya lagi. Seorang rakan wanita lain turut menyokong, mereka berdua menjerit-jerit ‘meleteri’ saya hari itu. Ya, di depan profesor. Kemudian, saya keluar dari kelas dengan luruhan air mata. Peristiwa itu membuka mata saya bahawa gadis Korea ‘bukan sebarangan beraninya!’

Hati Yang Baik

Peristiwa gugur air mata itu saya ceritakan kepada suami. “Semoga inilah kali terakhir saya jumpa mereka di Korea,” kata saya yang kecewa. Suami memberi semangat, menyuruh saya berdoa yang baik-baik untuk orang lain. Doa saya dimakbulkan Allah Swt pada semester ketiga, saya tidak sekelas dengan gadis-gadis ‘garang’ itu lagi.

Sebaliknya, pada semester keempat saya tiada pilihan. Rupanya Allah SWT tempatkan saya dengan dua gadis ‘yang memarahi’ saya dulu dalam satu kelas. Ya, hanya kami bertiga. Saya kuatkan hati. Ini adalah semester terakhir kelas, selepas ini saya dan mereka akan membawa haluan ‘tesis’ masing-masing. Tidak saya jangka, mereka ‘berubah angin’ dan begitu baik terhadap saya.

Saat saya ingin menduduki peperiksaan akhir kelas Ph.D, merekalah yang menghubungi pihak pengurusan peperiksaan agar menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Salah-seorangnya mencarikan soalan-soalan ‘target’ dan menerjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malah begitu sungguh-sungguh membantu.

“Ummi, kamu tak dapat mesej saya?” si gadis Korea ini menelefon saya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Maafkan saya Onyi (kakak), nombor telefon saya sudah tukar. Jadi, saya tak terima mesej kamu,” terang saya.

“Oh, saya dapat nombor baru kamu ini daripada orang lain. Begini, saya mahu hantar soalan target kepada kamu, berikan emel segera. Kami mahu kamu berjaya, jangan putus asa,” katanya, membuatkan saya terharu. Begitu sekali mereka menyokong saya. Syukur, soalan target yang mereka berikan itulah yang terbit dalam peperiksaan.

Semakin kerap bertemu, makin erat hubungan kami. Kadang-kadang mereka membelikan saya kopi dan kuih, saya membalasnya dengan roti. Saya sudah melupakan riak wajah mereka yang ‘garang’ dulu kerana gadis-gadis Korea suka berterus-terang. Mereka bukan marah tetapi sebenarnya prihatin.

Sporting

Sewaktu ayah saya mencari orang Korea yang mahu berlakon dalam Drama Cinta Teruna Kimci sebagai nenek dan ibu, saya adukan kepada guru bahasa Korea. Dia kemudiannya memberitahu, “Ummi, saya dan ibu saya sendiri akan berlakon watak itu. Ini sungguh luar biasa kepada kami. Pengalaman pertama yang sangat menarik. Kami mahu cuba!”

Begitulah beberapa kisah saya dengan wanita-wanita Korea. Mereka berani dan suka berterus-terang. Mereka jarang ‘malu’ dalam perkara yang mereka fikirkan baik. Semua ini saya lipatkan dalam almari pengalaman.

Benarlah Firman Allah SWT  dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Golongan nenek dipanggil halmeoni. Mereka kebiasaannya sihat dan aktif.
Usia tua bukan alasen untuk duduk di rumah. Bagi wanita Korea, selagi tidak sakit, mereka terus berdikari mencari rezeki.
Ahjumma atau makcik diselalu dijolokkan kepada wanita berusia 40-an.
Saya bersama seorang wanita Korea yang saya sayangi. Nama Melayunya Salmah. Peniaga yang popular di kalangan pelancong Malaysia di Pasar Namdaemon, Seoul.

Loading