Salam Ramadan kelima 1441 Hijrah, dari laman yang masih basah oleh rintik hujan. Sungguh banyak yang Tuhan mahu kita minta padaNya, selebat hujan yang turun. Beburung mula berkicau dini Subuh, mereka berzikir padaNya.
Kicauan jadi garang, ada yang mematuk di bumbung rumah kami sehingga Darda’ bertanya, itu bunyi musang atau burung?
Saya jawab, “Burung..”
Suami menjawab, “Mungkin musang..”
“Musang lebih kasar daripada itu,” balas saya. Baru-baru ini musang melompat-lompat juga atas bumbung kejiranan kami. Jiran kamilah yang memberitahu. Saya tidak tahu apa bentuk musang yang sesat jatuh ke sini.
Akhirnya, bunyi hujan yang jatuh menenggelamkan semua bunyi lain.
Pagi ini saya terjumpa laman-laman web yang pernah saya bina. Ada penyakit suka mencatat, berblog tetapi kemudiannya saya terlupa kata kunci untuk masuk semula rumah maya, terpaksa bina blog yang baharu. Saya berharap laman ini adalah yang paling akhir saya bina untuk keperluan tulis menulis kerana Allah SWT. Amin.
Ini antara blog awal saya, masih umur 20-an waktu ini. Tidak ada cerita suami dan anak tetapi banyak impian-impian si gadis yang bertatih meneroka hidup.
Kemudian, saya beralih ke ummuhani.com tetapi kerana terlepas membayar yuran tahunan, laman itu dibeli pihak lain. Ketika mahu membangunkan kembali, sudah tidak boleh guna domain yang lama. Sayang sungguh! Saya banyak menulis di FB selepas itu. Tetapi selepas berkahwin dan Darda’ lahir, banyak ransangan membuat blog. Muncullah blog ini:
Usia blog ini sekitar 2 tahun sahaja. Berakhir ketika mula tiba di Korea. Saya merasakan perlu ada catatan tidak langsung khusus tentang kehidupan di Seoul, dalam selang menjelajah dunia ilmiah. Maka muncul pula blog ini:
Tahun pertama di Seoul adalah tahun ‘bermulanya enjin semangat’; semangat belajar, semangat perantau, semangat menjadi ibu dan isteri di rantauan dan semangat seorang penulis. Namun, masuk ke tahun 2015, saya mula sukakan bentuk baharu. Tidak mahu blogspot lagi. Saya tertarik dengan wixsite terutama desain blog yang lebih kontemporari. Saya cuba-cuba selongkar dan akhirnya terbinalah blog ini:
Walau bunyi burung dan musang masih berlegar di bumbung rumah, saya sudah dibawa kenangan lalu yang wujud di tulisan-tulisan maya, yang pernah saya lalui tahun-tahun yang sudah.
Moga sungai kebaikan mengalir di aluran hidup kita semua.
“Jangan main- main, ustaz tu..” kata Man kepada wanita lorong di akhir episod 1 Drama Nur 2.
Drama Nur mengangkat tema cinta romantisme antara ustaz (orang yang belajar agama) dengan wanita lorong (yang ditampilkan dengan pakaian penggoda) iaitu Adam dan Nur. Nur 2 juga meneruskan tema utama yang sama.
Godaan wanita datang pelbagai bentuk. Dalam drama mungkin wanita penggoda berpakaian seksi, di luar drama, wanita bertudung bahkan berfurdah boleh jadi menggoda ustaz- ustaz. Syaitan sangat kreatif dalam matlamat mereka.
Jika kita (penulis skrip, penerbit dan stesen tv) berpegang kepada realiti sekarang untuk ‘’berdakwah’ maka kita mengambil kerja- kerja orientalis barat yang terus- terusan memburukkan imej Islam secara halus dalam tulisan dan karya mereka. Tak perlu mengatakan Islam itu kolot, cukuplah pakaikan seorang pemalas, pengkhianat dan pencandu wanita dengan serban atau jubah. Seorang penipu dan tukang carut ditutup dengan tudung labuh.
Sudah lebih 60 tahun Islam sebagai agama rasmi negara kita, namun cara drama kita menghidangkan Islam seperti menghidangkan kepada seorang muallaf yang tercari- cari identiti agama dalam timbunan adat, budaya dan masalah peribadi. Akhirnya tanpa wacana yang kuat untuk mempromosikan ‘Al- haq’ dan ‘hikmah’, maka realitilah yang menjadi hakim. Jika realitinya ustaz sudah berjaya digoda, kita tidak perlu lagi kepada drama- drama.
Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka, seperti menyambut ketibaan orang yang kita cinta.
Manusia adalah makhluk bernostalgia. Sungguh hebat ciptaan Allah SWT menjadikan manusia punya pancainderanya yang enam; penglihatan, pendengaran, rasaan, sentuhan, bauan dan mata hati. Bahkan dibaluti pula dengan emosi pada setiap gerak pancainderanya.
Saat mendengar azan, yang terpancar di fikiran tiba-tiba adalah kubah-kubah masjid di penempatan Jaddat Salamiyeh, Damsyik. Pagi Hari Raya Aidiladha tahun 2006, saya bersama dua sahabat berkejaran ke Masjid Abu Nour dan malangnya kami ketinggalan menunaikan solat hari raya berjemaah. Kami terlambat dan disåpa peniaga-peniaga khoruf (kambing biri-biri) di pasar. Kedai-kedai lain semuanya tutup. Pada hari itu juga kami bertembung dengan Allahyarham Tuan Haji Azmil Mustafa, bekas pelakon terkenal Malaysia. Dia bersama tiga anaknya memang tinggal di Syria, mendalami ilmu agama dan bahasa Arab.
Hanya pancaindera ‘mendengar’, fikiran akan terbang ke juzuk-juzuk kenangan di sepanjang hidup, secara silih ganti. Azan Magrib pada Khamis, 23 April 2020 sangat menyentuh perasaan. Dalam perancangan, kami tidak berada di rumah untuk mengucapkan ‘ahlan wasahlan Ya Ramadan’ tetapi berada di Kedah, bersama tokwan, ibubapa, adik-adik dan anak-anak saudara untuk berterawih di Surau An Nur, Kampung Gajah Putih. Begitulah perancangan makhluk; bukan sesuatu yang wajib bagi Tuhan untuk meluluskannya.
Darda’ menyentuh tubuh saya, ingin tidur di sisi emaknya; sesuatu yang sukar kerana perlu berebut dengan adiknya Dawud. Berkah Ramadan, Dawud lembut hati memberikan peluang abangnya tidur sebelah saya. ‘Sentuhan’ anak sungguh mengelus kenangan saya masa kecil. Saya dan adik kedua berebutan mahu tidur sebelah Almarhumah Tok Piah. Bukan sekadar tidur tetapi mahu wajah tok juga menghadap kami. Saya selalu menang. Saat saya memeluk Darda’, terasa begitu cepat masa terbang. Dia makin besar, hari ini 9 tahun usianya, tahun depan entah dia sudah malu tidur memeluk saya. Sebelum tidur, kami membaca Majalah Asuh bersama-sama. Saya bacakan sejarah Ibnu Sina sehingga saya yang tertidur dahulu.
Bangun di waktu sahur, mata melihat dapur yang agak berkecah. Syukurlah, suamiku sudi menggorengkan nasi untuk kami tiga beranak. Mata saya kurang gemar melihat dapur berselerak tetapi melihat kesungguhan suami, saya tidak akan menegurnya untuk mengemas semula dapur apatah lagi marah. Saya terimbau satu memori di Salatiga, Indonesia. Kata kak Muyasaratun Saidah, isteri Ustaz Habiburrahman el-Shirazy, “Suami saya tidak pernah menegur apa yang saya masak kerana baginya bukan tugas isteri jadi tukang masak rumah. Jika isteri sudi memasak itu adalah yang patut disyukuri walau apapun rasanya makanan itu.” Allahuakbar. Saya ambil pengajaran dari kata-kata itu. Jadi, di saat suami sudi memasak, saya tidak lagi mengharapkan dia membuât kerja lain di dapur. Biarlah, nanti saya kemaskan semula.
Pagi 1 Ramadan 1441 Hijrah merupakan hari ke 36 rakyat Malaysia menjalani PKP. Rambut suami agak panjang, dia tidak selesa, mencari-cari minyak rambut. Saya menyuakan minyak kelapa dara. Sebaik menyapu di kepala, suami berkata, “Bau ini mengingatkan abang ketika dalam bas ke sekolah rendah dulu. Budak-budak India guna minyak kelapa sapu rambut mereka.” Begitulah bauan membawa memori terbang ke masa lalu.
Mata hati adalah mata sebenarnya ketika Ramadan. Mata fizikal tidak mampu menafsirkan setiap hadiah ‘saat’ kepada kita untuk memaksimumkan ibadah kepada Allah SWT. Saat saya cuba menghabiskan Surah Al-Kahfi di pagi Jumaat 1 Ramadan, anakanda Dawud yang sudah mandi mendekat. Saya maklum dia lapar. Lalu, saya berhentikan bacaan dan bangun melayan si kecil 6 tahun itu. Saya percaya, itu juga ibadah. Emosi anak dalam PKP ini sukar dijangka. Ibubapalah perlu bijak antara mengisi masa peribadi dengan melayani anak-anak. Keduanya amanah yang membolehkan Ramadan kita menjadi ibadah.
1 Ramadan ini, saya mengucapkan selamat bermusafir ke istana cinta Allah. Dia Menunggu kita. Dia akan Memeluk kita. Dia amat Pengasih dan Penyayang kepada kita. Dia memahami diri kita lebih daripada kita memahami diri kita sendiri. Dia Memberi kita enam pancaindera untuk kita menikmati hidup dunia yang sementara.
Payah melepaskan kenangan yang begitu mahal, yang membezakannya dengan kenangan-kenangan lain adalah kesannya cantik di hati, sukar diulangi lagi. Begitulah yang saya alami pada bulan Ramadan 2018. Tahun itu adalah terakhir kami sekeluarga di Seoul, Korea. Seolah-olah Ramadan membiarkan kami memeluknya dalam suasana sangat sederhana, agar kami rindu dan terus menoleh lagi.
Dalam musim panas, bunga mawar tersenyum melihat tubuh kecil saya diserang debar. Pada minggu pertama Ramadan 2018, saya memulai pembentangan akhir (VIVA) Ph.D di Hankuk University of Foreign Studies. Ada dua pembentangan lanjut tetapi rahmat Ramadan, pasukan penilai memutuskan hanya dua kali pembentangan (kebiasaannya 3 kali VIVA!!)
Kami tahu ianya tahun terakhir. Tempat-tempat istimewa menjadi sangat luhur dan sukar dilepaskan; Masjid Itaewon, Surau Hoegi, Sungai Jungnang, Sungai Han dan laman halal Itaewon. Allah Allah, mahu berderai air mata mengenangkan semua itu bakål berlalu dalam catat pengalaman.
Sepanjang perjalanan dari Dongdaemon Gu ke Hannam Gu dan Itaewon, suami sering memilih jalanan tepian sungai. Berderulah enjin Rezzo menyaingi keluk-keluk angin dan kocak-kocak air, serta ceria beburung dan itik-itik Seoul. Saya menguras masa perjalanan dengan membaca Al-Quran kemudian melayan anak-anak, yang tidak diam tentunya. Ramadan begitu tenang walau masanya panjang, 16 jam. Kami hanya laparkan suasana ibadah di Masjid Itaewon; berbuka puasa dengan para Muslim pelbagai bangsa. Juadah berbuka seringnya buah tembikai atau pisang, sepinggan kurma dan sekotak seorang susu segar. Solat Maghrib berjemaah setelahnya baru dihidangkan nasi (seringnya biryani). Kaum wanita dan kanak-kanak didahulukan, jemaah lelaki beratur panjang. Enaknya masya Allah, makan berebut-rebut begitu.
Dawud dan Darda’ mengelek permainan; satu bekas besar puzzle menapak ke tingkat atas, bahagian solat Muslimah. Ada bilik rehat untuk anak-anak, disitu mereka bermain dengan kanak-kanak Muslim lain (yang tentunya pelbagai bangsa!) Sengaja kami bekalkan permainan, agar kelekaan anak-anak menjadi syurga ralit kaum ibu; dalam solat Isyak dan Terawih. Suara imam dari Indonesia membugar suasana solat di Nusantara, suara imam Korea dan Pakistan tidak kurang menyentuh jiwa kerana bait ayat-ayatNya semua mengajak kepada Taqwa.
Tengah malam, setelah jemaah bersurai, kami turut menuruni lekuk bukit Itaewon. Kadangkala singgah membeli keperluan asas di kedai Muslim. Ada hari terlajak makan ais krim Turki atau roti Pakistan. Suami amat menggemari nasi Arab Egypt. Sebelum tiba di rumah, anak-anak tidur keletihan; seolah mereka telah menunaikan solat terawih penuh malam itu; aduhai anak-anak comel.
Masjid Itaewon kami gelarkan sebagai ‘masjid kita’
Jika tidak cukup waktu ke Masjid Itaewon, kami empat beranak jalan kaki ke Surau Hoegi dari Hufs. Hanya 2 km. Di sana tidak kurang meriah, cuma ruang agak kecil. Hanya satu bilik rehat untuk kaum muslimah berbuka puasa dan menunaikan solat. Makanan berbuka ditaja penuh. Allah Allah, nasi arab dengan sebelah ayam untuk seorang makan! Malah ada non Muslim yang datang ‘duduk’ melihat solat jemaah kemudian makan bersama-sama. Imam warga Bangladesh atau Pakistan. Setiap rakaat menyentuh hati; kesederhanaan, ukhwah Islam, cabaran berjuang di negara non muslim, dakwah yang samar, semua itu menggugah jiwa tunduk padaNya. Allah…rindu.
Rumah persinggahan kita di Hwarangdae 2015-2017
Terima kasih suami, selalu menemaniku dalam penghijrahan kita di Korea. Tidak ada masa yang berlalu melainkan Allah menghadirkanmu untuk selalu mendorongku, menasihatiku dan kita mengecap nikmat, susah bersama.
juga anak-anak. Moga kalian juga menjadi perantau ilmuNya. Yang selalu sedar bahawa hijrah membuka fikiran kita untuk mengenalNya dan takut padaNya.
Ramadan 2020. Dalam ruang terbatas dalam rumah, saya percaya ada yang lebih istimewa Allah SWT mahu beri kepada kita; di seluruh dunia!
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu kendatipun kamu (berada) di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh”. (Surah An -Nisa : 78).
Hujung Disember 2019, ketika salju sedang jatuh di negara-negara bercuaca empat musim, ianya bagai hawa dingin yang menyejukkkan warga dunia tentang kehadiran makhluk ‘kecil’ yang berukuran 800 kali lebih halus daripada sehelai rambut. Wuhan, tempat pertama yang ‘diziarahi’ si halus ini menjadi gempar, berita tentangnya tersebar pantas. Selain China dan Taiwan, negara-negara lain menilai ‘si halus’ sebagai ‘tidak begitu berbahaya.’
Masakan tidak, para pelancong China termasuk dari Wuhan masih dapat melakukan perjalanan ke seluruh dunia, tanpa sekatan sehingga 23 Januari 2020. Ketika perintah ‘lockdown’ di Wuhan, warganya bertebaran di pelbagai negara. Mereka inilah yang menjadi ejen-ejen ‘perangkap maut’ yang terus mengganas sehingga sekarang.
Berikut adalah cara virus ini merebak:
Virus-ridden particles are inhaled by others and come into contact with cells lining the throat and larynx. These cells have large numbers of receptors – known as Ace-2 receptors – on their surfaces. (Cell receptors play a key role in passing chemicals into cells and in triggering signals between cells.) “This virus has a surface protein that is primed to lock on that receptor and slip its RNA into the cell,” says virologist Professor Jonathan Ball of Nottingham University.
Once inside, that RNA inserts itself into the cell’s own replication machinery and makes multiple copies of the virus. These burst out of the cell, and the infection spreads. Antibodies generated by the body’s immune system eventually target the virus and in most cases halt its progress.
“A Covid-19 infection is generally mild, and that really is the secret of the virus’s success,” adds Ball. “Many people don’t even notice they have got an infection and so go around their work, homes and supermarkets infecting others. (Sumber)
Beberapa kisah dapat dijadikan iktibar bahawa kematian itu pasti datang walaupun puncanya ribuan kilometer jauhnya daripada seseorang.
Pada pertengahan Februari 2020, seorang lelaki berusia 38 tahun dari wilayah Codogno, selatan Milan pergi ke hospital kerana flu. Tanggal 20 Februari 2020, dia disahkan positif Covid-19. Beberapa minggu si lelaki ini bergantung kepada ventilator sehinggalah dia sembuh pada 22 Mac 2020. Lelaki ini adalah pesakit pertama di Itali, kesembuhannya menjadi kekuatan kepada 105418 pesakit Covid 19 yang sedang berjuang di Itali sekarang ini. Walaupun si lelaki ini sembuh tetapi meninggalkan jejak kesedihan yang bertimpa-timpa. Ketika dia dirawat, ayahnya telah meninggal dunia akibat Covid 19 dan isterinya yang sedang mengandung juga positif. Jejak penyebaran si lelaki ini bukan sahaja di rumahnya, tetapi dia telah menyebabkan kakitangan hospital dan rakan-rakan hariannya turut tersenarai sebagai mangsa pandemik Covid 19.
Dari manakah lelaki ini mendapat jangkitan? Soalan yang sangat misteri dijawab. Media membuat pelbagai justifikasi antaranya Covid 19 disebarkan dua warganegara China yang menghadiri pertunjukan fesyen di Milan sekitar Januari 2020. Virus ini kemudiannya merebak tanpa si mangsa mengetahui sebelum mendapat simptom dan ujian saringan. Bermula daripada dua (jangkaan media tetapi Tuhan Maha Mengetahui) dan kini pandemik tersebut menyebabkan kematian 22,170 orang (di Itali setakat 17 April 2020).
Amerika Syarikat sebuah negara yang besar dengan penduduk lebih 328 juta orang. Presidennya, Trump telah menggelarkan Covid 19 sebagai ‘Virus China’ atau ‘Virus Wuhan’. Apapun gelarannya, virus ini telah membarah, membenam dan memeluk warga Amerika dengan dahsyat. Kebanyakan mangsa bermula dengan simptom-simptom ringan tetapi tetap meneruskan kehidupan harian biasa; pergi ke tempat kerja, minum-minum di restoran dan bar, menaiki kenderaan awam dan ketika tubuh lemah (tidak dapat bernafas elok) baharulah ke hospital. Di saat mangsa-mangsa sedang menggunakan bantuan ventilator, sudah puluhan bahkan ratusan orang yang terjangkit oleh mereka; mengulangi kitaran yang sama. Hospital akhirnya menjadi kilang; sama ada mengeluarkan produk yang baik (pesakit yang sembuh) atau mengalami kerugian (pesakit yang meninggal dunia). Setakat ini, kematian yang dicatatkan oleh Amerika Syarikat adalah setinggi 35, 395 orang!
Hari ini kisah-kisah kematian seakan seperti helaian novel, tetapi ia sesungguhnya bukan rekaan. Di Malaysia, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah mereka yang sebenarnya tinggal di rumah, hanya didatangi tubuh bervirus dan akhirnya menarik mereka kepada kematian.
Kisah Encik A yang membuat majlis perkahwinan anaknya. Salah-seorang tetamu adalah anak saudaranya yang menghadiri Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari 2020. Beliau dijangkiti lelaki ini dan selepas bertarung beberapa hari, beliau meninggal dunia akibat Covid 19.
Seorang penduduk Sarawak melancong ke Itali, pulang ke negerinya tanpa menunjukkan simptom awal. Dia pergi ke pejabat seperti biasa, bergaul dengan rakan sekerja. Akhirnya, virus memasuki 37 tubuh lain, 5 orang daripadanya meninggal dunia. Rakan-rakan di tempat kerja yang terjangkit membawa virus pulang ke rumah mereka, mengenai ibubapa dan adik-beradik. Malang lagi keluarga ada yang sudah tua dan berpenyakit. Rantaian kematian terjadi walaupun mangsa hanya tinggal di dalam rumah.
Kisah-kisah yang lain sentiasa mencengkam jiwa kita. Di sudut dunia, kerana besarnya gelombang kematian secara mendadak, negara tidak dapat menguruskan mayat dengan baik. Mayat-mayat dibakar atau ditanam dalam satu lubang besar; seperti sampah-sampah yang berbau busuk dan berbahaya.
Ada juga jenazah yang dimuliakan Allah SWT iaitu jenazah para Muslim. Walaupun jenazah ditebuk si halus berbahaya, tetap juga diuruskan dengan mulia; pembersihan secara tayamum, pemakaian kain kafan dan disolatkan sebelum disemadikan di liang lahad, namun ahli keluarga hanya melihatnya secara jauh.
Para pembaca boleh menekuni kisah-kisah tragis lain di sini. Semoga kisah-kisah begini dapat menjadikan Ramadan kita paling halus dan terbaik, kerana kita hanyalah hambaNya yang bakal dijemput pulang; tidak tahu dengan cara yang bagaimana Tuhan kehendaki.
Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi.
Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalangyang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.
Rumah nenek adalah rumah kelahiranku. Terletak tidak jauh dari tasik, membolehkan ahli keluargaku berjalan kaki ke sana bila-bila masa. Neneklah yang paling kerap mengitari tasik yang luasnya sepanjang 4 kilometer. Tangan nenek yang lembut memegang tangan kecilku yang halus, berjalan di perbarisan rumput ilalang, sewaktu-waktu aku sedih. Di situ, nenek memujukku dengan katanya, “Kampung kita unik sekali cucu. Tiga gunung dengan satu tasik ini membuat kita kaya. Selama 60 tahun aku di sini, aku tidak pernah sakit berat. Ini kerana hembusan alami yang masuk ke paru-paruku paling bersih di Korea. Janganlah menangis, ilalang akan memujukmu. Cubalah kau dengar desirnya..” nenek mendudukkan aku di batang kayu, telingaku didekatkan kepada rumput berbulu itu. Bersuling-suling tiupan angin, ilalang pun meliuk-liuk. Aku terdengar bunyi yang sangat halus tetapi cekal pada rerumput panjang yang setia mengawal tasik.
“Ilalang sedang bernyanyi untukmu,” senyum nenek. Aku membesarkan mata. Benarkah rumput boleh menyanyi?
Sebenarnya, neneklah yang menyanyikan untukku. Mendayu-dayu rentak suaranya, membuang rasa sedihku. Lupa kepada emak dan ayah yang tidak dapat pulang hari itu. Nenek membelai-belai rambut lurusku dan terus menyanyi. Suaranya makin manis dalam jiwaku. Aku ketawa.
“Nenek selalu pergi bilik karaoke?” tanyaku.
“Ah kamu! Umurmu baru 6 tahun mahu menanya-nanya hal peribadiku. Kenapa kalau memang nenek selalu menyanyi di sana? Tidak boleh?” tanya nenek, mengujiku.
“Aku selalu ketawa kalau ke bilik karaoke dengan ayah. Suara nenek-nenek di sana seperti suara gajah dan cengkerik,” kataku merujuk suara besar dan nyaring yang tidak senada.
“Ah! Ah! Nenek di Seoul tidak sama dengan nenek di Pocheon yang masih berperibadi tinggi dan sopan. Aku tidak suka menjerit-jerit di bilik karaoke. Lebih baik aku naik ke Gunung Myeongseng, berteriak di sana. Tidak ada anak kecil yang bergosip tentangku kepada ‘neneknya’,” nenek terus ketawa.
Kami berjalan mengelilingi tasik sehingga terasa penat kakiku. Waktu itu, aku tidak mahu bercakap lagi. Nenek menawarkan belakang badannya untuk mengampu tubuh montelku. Aku menggeleng kepala. Jika ayah tahu, dia akan memarahiku. Dan jika emak melihat aku didukung nenek, dia terus mencubitku.
“Nenek masih kuat seperti tiga raksasa penjaga tasik,” kata nenek menunding gunung-gunung.
“Tetapi itu tidak baik kerana nenek sudah tua,” kataku.
“Tua bukan masalah jika nenek sihat,” katanya mengepak-ngepak dua sikunya.
“Orang tua tidak boleh mendukung orang lagi, nanti mereka cepat sakit dan mati. Seon Mi tidak mahu nenek mati..” jawabku sambil membayangkan mata dan hidung emak ketika dia marah.
“Oh, emakmu salah. Orang tua dahulu tidak seperti orang-orang sekarang. Kimci mereka tidak banyak gula dan garam,” gerutu nenek.
“Orang sekarang siapa nenek? Bukankah kita bercakap sekarang, bukan dahulu. Maksud Seon Mi, kitalah orang sekarangkan?” tanyaku dengan rasa pelik. Nenek mengeleng kepala. “Ahhhh! Pening kepalaku dengan mulut murai dan badan gemukmu. Mari nenek tarikmu ke kedai aiskrim,” nenek berjalan pantas, rambutku teroleng oleh angin senja.
Nenek membuka pintu rumah kayunya. Dia menyuruhku masuk dahulu.
“Nenek mahu membakar kayu api di kebun, biar nyamuk-nyamuk kembali ke hutan. Kamu jangan keluar dari rumah,” arah nenek. Aku mengangguk faham. Nenek menutup pintu, aku pula berlari ke dapur, menarik langsir jendelanya. Dari balik cermin, kulihat nenek terbongkok menghidupkan api. Bibir nenek bercakap sesuatu; mungkinkah kepada nyamuk supaya jangan lagi kembali? Dua tiga kali nenek mengangkat potongan kayu sebesar betisku, disorongkannya ke bawah anak api yang mula terbit dari bara lama. Asap berkepulan dan nenek menjauh. Apakah ketika aku tua, aku juga akan menghalau nyamuk seperti nenek?
“Seon Mi..” tiba-tiba nenek sudah menepuk bahu kecilku.
“Mengintai api?” tanyanya.
“Nenek, bila Seon Mi tua, Seon Mi pun perlu nyalakan api untuk halau nyamuk?” tanyaku. Nenek ketawa kuat.
“Seon Mi pernah lihat emak dan ayahmu nyalakan kayu api?” Aku menggeleng kepala.
“Engkau 10 kali akan mengikut jejak mereka,” nenek senyum sinis. Menarikku ke depan. Nenek mahu memandikan aku sebelum langit gelap.
“Waktu itu kukira Korea sudah mengharamkan pemotongan kayu. Zaman sekarang pun sulit menebas pohon kecil dan besar, 60 tahun lagi, pokok-pokok umpama mutiara di lautan dalam. Negara ini sangat memuja pohon-pohon. Ekonomi Korea baik ketika pohon-pohonnya meninggi ke langit. Jika ada tangan yang memotong pohon, itu seperti mematahkan kemajuan ekonomi. Ah! Ah! Aku lupa. Kenapalah aku bercakap seperti profesor di hadapan anak tadika?” nenek ketawa. Aku mengerut tidak faham, tetapi ingin terus bertanya.
“Tadi nenek sebut ekonomi? Itu apa? Sejenis kayu?” tanyaku.
“Bukanlah.. bukanlah,” nenek mengetuk kepalanya.
“Mari mandi. Tak usah fikir lagi, yang penting ketika tua, tidak ada nyamuk yang gigit Seon Mi. Nyamuk tidak berani masuk ke kota penuh dengan kedai-kedai penyembur racun serangga!” nenek menarikku ke bilik air.
Di meja makan, kami saling berhadapan. Nenek menyuruhku duduk dengan dua siku kaki dirapatkan. Nenek pula duduk bersila. “Lututku tidak sesopan dulu,” kata nenek. “Lutut yang sopan itu seperti Seon Mi ini?” tanyaku. Nenek ketawa kuat.
“Dulu, nenekku memaksa duduk seperti itu. Katanya wanita yang baik tidak memisahkan dua lutut ketika duduk,” kata nenek.
“Nenek tidak mahu jadi wanita baik sekarang?” tanyaku lagi.
“Aduhh..aduh..melayanmu, perutku menyanyi terus. Seon Mi, nenekku dulu marah sekali jika kita bertanya banyak hal. Sudah, sekarang makan!” arah nenek sambil mengajukan chopstik.
Aku mencungkil nasi dalam mangkuk kecil. Sup kacang soya nenek sangat enak. Tetapi jika ada rumpai laut yang dipanggil ‘kim’ di depanku, itulah yang kumakan dulu sehingga nenek berdehem, “Makan nasi juga Seon Mi, baharulah kenyang,” katanya.
“Waktu umurku 7 tahun, sulit sekali mendapat rumpai laut. Jika ayahku membelinya, kami tidak makan selalu. Emakku akan memasaknya sedikit untuk dibuat kimbab, itupun nasinya lebih tebal sehingga menenggelamkan rasa rumpai laut. Aku pernah sepertimu, kutarik helaian kering rumpai laut dan meratah-ratah. Bila emakku lihat, dipegangnya tanganku, “Jika kau makan kim dengan cara ini, bulan depan tidak ada kimbab di rumah kita!” ugut emakku.”
“Oh emak nenek sungguh kedekut!” spontan aku membalas. Mata nenek membesar, terkejut dengan perkataan kedekut dari mulutku. Dia berhenti mengunyah.
“Moyangmu bukan kedekut tetapi saat itu hidup di Korea sangat-sangat sulit. Bunyi Ilalang boleh sampai ke sini kerana mereka pun menangis melihat keadaan kami orang-orang Korea. Harga rumpai laut pula menyamai harga beras untuk empat hari…” cerita nenek, senyumnya menguntum kembali.
Dua
Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.
Nenek sudah tiada, pergi bersama senyum dan sejarah keluarga. Suaranya yang bagai guruh dan bagai angin lembut terus memeriahkan hatiku yang kusut sekarang. Aku gagal mendapat pekerjaan yang baik selepas hampir dua tahun bergraduasi. Pekerjaanku sebagai pelayan restoran tidak cukup menampung fitrah wanitaku. Kecantikan lebih penting daripada makanan. Untuk itu, nenek tidak pernah bersetuju tetapi aku pasti, jika nenek masih hidup dia akan menyaksikan betapa kecantikanlah yang mendatangkan makanan dalam negara kapitalis seperti Korea. Rakan-rakanku memilih berhijrah ke luar negara terutama ke Eropah dan Amerika, tetapi aku berat meninggalkan gunung-gunung Korea. Siulan ilalang Pocheon tidak mengizinkan aku terbang jauh.
Aku terkenang ibu ayahku yang jauh di Selatan Korea. Negara ini terus maju dan memerah keringat tiap warganya. Dalam usia 50-an, ibu dan ayah masih bekerja keras. Tidak ada yang percuma. Rumah dan diriku sama mahalnya.
“Ibu..bila kita boleh tinggal bersama? Sudah 20 tahun, ibu ayah sibuk terus-terusan,” tanyaku waktu percutian keluarga, setahun sekali dalam liburan Hari Chuseok. Ibu mengangkat bahunya.
“Soalan itu hanya boleh dijawab apabila Seon Mi menjadi seorang ibu” balas ibu. Aku ingin berbicara lebih banyak dengan ibu tetapi ruang masa amat terbatas. Ibu tidak seperti nenek yang mahu melayan cerita-cerita remehku.
“Lelaki yang meninggalkanmu adalah musim kemarau yang berlalu dengan cepat. Tak usah sedih, gembiralah Seon Mi. Tidak perlu menghabiskan daya dirimu untuk orang itu.” Begitulah selalu jawapan ibu jika aku mengadukan tentang dunia remajaku. Ayat-ayat pertamanya adalah pujukan, amaran dan solusi sekaligus. Ibu tidak punya waktu untuk meneliti sebab aku menyukai seseorang lelaki, sebab aku bertukar-tukar pekerjaan dan sebab aku masih menziarahi pusara nenek di Pocheon.
“Mengapa perlu Seon Mi menelefon ayah dan ibu jika keadaanmu baik-baik? Fokuslah bekerja dan perbaiki bahasa Inggerismu, itu paling penting sekarang!” kata ayah, tidak suka aku menelefonnya hanya untuk bertanya khabar. Jika mereka sakit, mereka akan menelefonku sendiri. Aku juga perlu begitu. Masa sihat hanya untuk mencari wang dan peluang.
Mungkin nenek telah berpesan kepada alam, untuk sentiasa berbisik mengingatkanku tentang kemanusiaan dan cinta. Dalam kereta api bawah tanah, aku melihat orang-orang menatap skrin telefon mereka, dan aku merenung wajah seorang tua, persis nenekku. Dia juga tersenyum padaku, tiada telefon di tangannya, hanya sebuah buku sastera Korea lama.
Negara ini telah menjadi mangsa zaman. Peperangan dan konflik ideologi menjadikan warga kami mahu melangkaui apa sahaja titik-titik yang menghubungkan ke dua garis tersebut. Pusat tengahnya adalah kemiskinan. Semua orang takut menjadi miskin. Walaupun tidak menjadi kaya, jangan sesekali menjadi miskin. Kemiskinanlah yang akan membawa seseorang mati dengan cara yang ngeri. Ayah dan ibu tidak hanya mahu mati seperti ibubapa mereka yang hanya meninggalkan sebidang tanah di Utara Korea, mereka bahkan tidak mahu berfikir tentang mati. Ingin memegang wang dan peluang selama masih hidup. Aku diajarkan untuk terus bergerak ke hadapan, jangan menoleh lagi. Tetapi, nenek meninggalkan aku kesan nostalgia yang mengalihkan pandanganku ke belakang. Aku bahagia dengan cara itu.
Tiga
Aku bersiap-siap menghadiri wawancara pekerjaanku yang ke 30 pagi ini. Jika berjaya, aku akan dihantar ke Malaysia untuk menjadi pengurus pemasaran syarikat besar ini. Aku bersedia meninggalkan gunung, tasik dan sungai di Korea. Rakan Malaysiaku mengirimkan foto keluarganya. Mengagumkan kerana mereka masih tinggal bersama dalam tiga generasi. Wajah neneknya membuatku jatuh cinta meninggalkan negaraku untuk mencari rezeki.
Telefon bimbitku bergetar saat aku duduk dalam kereta api bawah tanah. Aku pelik kerana nama ibu tertera di skrin. Tentu ada sesuatu yang besar berlaku.
“Seon Mi..” kedengaran suara ibu menangis.
“Ibu dan ayah akan pulang ke Pocheon hari ini. Perniagaan ayahmu gagal lagi. Rumah kita di Seoul akan dilelong. Bersiaplah nanti kita bertemu di rumah nenekmu, mujurlah rumah itu masih ada…”
Aku menutup muka. Lagu yang dinyanyikan nenek tiba-tiba bergema.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung sehingga 28 April 2020. Sudah 25 hari saya menjadi seseorang yang ‘banyak berfikir’ tentang masa lalu; memori, cabaran, pengharapan, kesilapan, nikmat, ujian dan titik perubahan. Saya bagai dipertontonkan kisah-kisah yang belum sempurna untuk menjadi novel atau sebuah cerpen pun. Kisah dahulu dan bakal dilalui banyak tersasar dari plot dan pengakhiran yang diharapkan. Sesungguhnya, ada benang-benang kekurangan yang berpunca dari ego, jahil dan mazmumah insani, yang tidak lepas menghantui diri.
Waktu yang tidak ‘laju’ di musim PKP, pelbagai bacaan dapat ditekuni. Al-Quran menjadi penghulu segala sumber jiwa. Al-Quran mendorong kita untuk bermuhasabah. Setiap hari, apakah diri telah menjadi orang yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran? atau manusia yang rugi; tidak berbuat apapun untuk orang lain hatta diri larut dalam angan duniawi. Manusia yang kini berada di depan mata; suami dan anak-anak. Sudahkah saya memperingatkan mereka untuk menjadi hambaNya yang baik?
Musim-musim yang kelapangan waktu bersama suami dan anak-anak begitu ‘luar biasa’, rupanya menuntut muhasabah yang luar biasa juga. Ada hari dapat konsisten untuk menjadi pendengar setia suami dan melayani anak-anak (termasuk membacakan buku dan bercerita kisah teladan sebelum tidur), ada ketika menjadi bayang-bayang singa (walaupun hanya bayangnya tetap menakutkan). Ada hari rumah dirasakan padang kebahagiaan, ada kala seperti ranah kering yang perlukan baja.
Saya cuba kembali ke waktu semua yang ada sekarang hanya wujud dalam doa. Saya ingin mengingatkan diri bahawa saya pernah meminta untuk menjadi isteri dan ibu yang baik kepada suami dan anak-anak. Lalu, apabila Allah SWT telah memberikan jalan, saya perlu berjuang melaksanakan amanah sebaiknya, biar adakala jatuh, perlu cepat bangkit semula!
Wahai diri, ingatkan semula perjalanan awalmu menjadi seorang isteri dan ibu…
TUGAS ISTERI SOLEHAH
Sheikh Muhd Zainul Asri
“Ustaz, ana mohon nasihat ustaz sebagai bekal menjadi seorang isteri,” kata saya kepada al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri Hj Ramli beberapa hari sebelum majlis akad nikah saya pada 16 Disember 2009. Ustaz dalam ketenangannya menyatakan, saya perlu miliki 3 perkara ini untuk ‘hebat’ sebagai seorang isteri. “Pertama, anti perlu menjadi ‘umman’ (ibu) kepada suami. Kedua, jadilah ‘ukhtan’ (saudara) kepada suami. Dan ketiga, jadilah ‘bintan’ (anak perempuan) kepada suami,” kata Ustaz Zainul (yang kini dikenali sebagai Sheikh Zainul Asri). Selepas itu, Ustaz Zainul menghuraikan tiga peranan tadi buat anak muridnya ini.
UMMAN
Seorang ibu sarat dengan kasih-sayang kerana satu sifat Allah telah difitrahkan dalam diri mereka iaitu Ar-Rahim. Hanya wanita mempunyai anggota rahim yang tak dimiliki oleh kaum lelaki. Ibu akan melihat anak-anaknya dengan pandangan cinta sekalipun anak-anak tidak ‘membalas’ cinta ibu. Cinta ibu ibarat langit menaungi bumi dan bumi menemani langit, tidak terpisahkan. Ibu tidak sanggup mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak. Jika mereka mampu, seluruh kemahuan hidupnya adalah untuk anak-anaknya. Walaupun ada ibu berkata ‘tidak’ kepada anak-anak, kata itu bukanlah dari hatinya, sebaliknya dia berdoa di sisi yang lain, moga Tuhan memenuhi apa yang terbaik buat si anak.
Untuk anak-anak, ibu sanggup tidak mengeluh ‘penat’ dan ‘lapar’. Dalam kelaparan dan kepenatannya, ibu tetap akan memastikan anak-anak tidak lapar dan sihat. Hati ibu mahu anak-anak sentiasa gembira dan bahagia. Dia berasa menjadi wanita paling bertuah di dunia apabila anak-anak berjaya dalam hidup. Ibu berdoa kepada Tuhan agar dipanjangkan usia, bukanlah untuk dirinya tetapi untuk terus berbakti kepada anak-anaknya. Ibu bimbang sekali, jika dia tiada siapalah yang akan menguruskan keperluan anak-anak, memasak, menemani anak-anak belajar, memberi kata ransangan dan berdoa untuk mereka. Doa seorang ibu lebih laju daripada kilatan halintar. Mustajab dan mujarab. Ibu, sepanjang hidupnya adalah menjaga syurga di bawah tapak kakinya adalah untuk anak-anaknya di akhirat kelak.
Dan, sifat ibu ini perlu ada dalam jiwa seorang isteri kepada suaminya.
UKHTAN DAN BINTAN
Ustaz Zainul tidak menghuraikan sifat uktan dan bintan secara detil. Ukhtan kata ustaz, peranannya adalah menjadi saudara atau sahabat kepada suami dalam perjalanan dan pekerjaannya.
“Berbuallah dengan suami apa sahaja topik ilmu. Jadilah pendengar yang baik kepadanya, berkongsilah cita-cita dan matlamat kebaikan serta menjadi penasihat suami yang ulung. Jangan sesekali berasa ego dengan suami. Jika ada kesilapannya, maka tunggulah waktu yang sesuai (ketika nak tidur) untuk menegurnya. Dan ketika suami marah, jangan sesekali buka mulut. Diam dan dengar sahaja hingga marahnya surut. Jangan melawan atau meleteri suami ketika dia kepenatan,” kata Ustaz Zainul.
Bintan adalah sifat ‘anak perempuan’ yang manja, kaletah, comel dan menceriakan orang lain. Sifat ini perlu ada pada seorang isteri untuk menghiburkan suaminya. Apabila suami melihat isterinya, dia berasa tenang dan bahagia. Rasa terhibur atas keletah isteri yang tidak menjemukan. Dan jangan lupa, pandai ‘bergaya’ dan sentiasa comel keremajaan.
Menghuni Waktu
Begitulah pesanan yang mulia guru saya kira-kira 10 tahun lepas. Malunya saya saat kembali ke masa kini, terasa tiga peranan tadi belum sesungguhnya saya laksanakan. Memang pelbagai alasan boleh disenaraikan, asbab kepada mengapa sukarnya menuruti pesanan guru, tetapi persoalan yang lain, bersediakah saya kembali memulakan langkah baharu, di kala Allah SWT memberikan kelapangan waktu, kehidupan dan nafas serta peluang berada dekat dengan suami dan anak-anak sekarang?
Jalan di Medan Mahyudin setiap hari dipadati ragam makhluk yang hidup dalam dunia masing-masing.
Seorang lelaki tua, keluar dari Jamik Hanabilah, di tangannya adalah tongkat dan tasbih. Dalam pakaian musim sejuk, terhinggut-hinggut membawa kakinya mendaki lereng Suq Jumaat. Rumahnya terletak di jadat yang agak tinggi. Tetapi dia percaya, setiap gerakan kaki, sepicing sedutan nafas, dan patah-patah zikir di bibirnya akan dikira ibadah. Ketuaan dan keuzuran akan memberi bonus kepadanya. Pandangan Pencipta kepadanya adalah rasa belas dan cinta. Dia tidak menghiraukan apapun di sekelilingnya melainkan dia mencintai Penciptanya dan PenciptaNya membalas cintanya.
Seorang lelaki, berusia 50 tahun, pagi-pagi sudah tercegat di hadapan kedai kasutnya. Sewaktu berjalan menuju ke kedainya yang berada di pusat Suq Jumaat, dia sempat menjeritkan, “Pergilah kau hutang!!” Masalah hutang telah membelengu dirinya selama dia berkahwin. Dia berkahwin pada umur 35 tahun, bermakna dia telah menanggung hutang selama 15 tahun. Dia berhutang kerana mahu berkahwin. Harga hantaran isterinya 80 ribu lirah, tidak termasuk rumah, perabot, kenderaan dan hadiah-hadiah sampingan lain yang ke semuanya berjumlah hampir 200 ribu lirah. Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menamatkan hutangnya itu; pagi hingga ke tengah hari mencuci kasut, petang hingga ke malam membawa teksi dan pada hari minggu menjadi pemandu pelancong. Rasanya, jika isterinya seorang yang rajin dan berilmu, tidaklah dia berkeluh-kesah dengan pekerjaan yang banyak tetapi masih tidak mengurangkan hutangnya. Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.
Seorang kanak-kanak berlari laju hampir-hampir melanggar si tua yang sedang berzikir, terkedek mendaki bukit. “Ya Allah..cintaku..cintaku..” kata si tua tergigil bila tongkatnya terlepas dari tangan. Kanak-kanak itu mengetap bibir. Apabila pandangannya bersatu dengan pandangan lelaki di depan kedai kasut, kanak-kanak itu segera menghampiri si tua. “Datuk, maafkan saya. Hari ini saya akan mendapat keputusan peperiksaan, hati saya telah sampai dulu di sekolah, saya mengejarnya,” kata kanak-kanak membetulkan tangan si tua agar menggenggam tongkat dengan betul. “Pasangkan mata di kakimu!” jerit lelaki si pencuci kasut kepada kanak-kanak tersebut. Lelaki tua mengangkat tangan, menyabarkan. “Kanak-kanak begitulah. Allah…Allah..” Si tua kembali berjalan dan berzikir. Si lelaki pencuci kasut masuk semula ke dalam fikirannya; hutang dan isterinya yang malas di rumah. Dia sempat mengerling kanak-kanak yang kini berlari laju tanpa menghiraukan khoruf (kambing biri-biri) yang baru tiba dari ladang.
Mata seekor daripada 50 ekor khoruf kelihatan sayu. Ia berasa sedih kerana telah dipisahkan daripada kampung halamannya di Utara Syria. Rumput-rumput segar di sana tidak sepadan dengan udara kering Damsyik. Memanglah dirinya diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Rasanya, ia antara makhluk yang tidak dapat ditandingi manusia dari sudut berbuat baik kepada makhluk lain. Selama ini ia tidak pernah menggariskan apa khidmatnya yang telah diberikan kepada manusia. Hari ini, kalbu biri-birinya terdesak berfikir. Apabila ia disembelih sebentar nanti, pertama, manusia akan melapah kulit daripada isinya. Kulitnya akan dibuat pakaian atau tilam. Isinya akan dimakan dengan pelbagai menu; sup, kari, sate, dan kebab. Bahagian kaki dan tulangnya akan dipanggang. Tinggal apa lagi? Ada juga kepercayaan dari kalangan manusia lelaki bahawa ekornya boleh meningkatkan nafsu batin mereka, maka ekornya turut direbuti. Gigi dan matanya? Ia turut dimasukkan dalam kawah sup. Ia tidak mensia-siakan satu incipun daripada badannya untuk dikuburkan. Terbukti maruah dan nilai dirinya adalah tinggi untuk manusia. Tetapi berbaloikah jika ketika menyantapi tubuhnya nanti, manusia tidak bersyukur dengan membaca bismillah? Si khoruf berasa mahu menangis.
“Ke tepilah..ini tempatku,” jerit seorang wanita Badwi (pedalaman) yang sarat menjinjit kubis di atas kepalanya. Kubis itu sendiri lebih besar daripada kepala wanita tersebut menyebabkan tengkuknya sekejap senget sekejap tegak. Lelaki si penjual khoruf menjengil. Memang wanita-wanita tua dari kampung suka bersikap biadap. Apa sahaja yang kali pertama ditemui dan disenanginya, maka itu dianggap kepunyaannya. “Makcik, kau tidak pernah membayar harga tempat inipun, bagaimanalah kau boleh mendakwa ia kepunyaanmu? Di sana tukan ada tempat kosong, berjualanlah di sana. “Tidak mahu, aku sudah menandakan kerusi yang kau duduk itu. Tengok, khoruf-khorufmu yang tidak pernah mandi itu, buat nafasku tersepit!” jerkah wanita Badwi memperlihatkan barisan giginya yang kuning. Lelaki penjual khoruf bangun, adalah pantang baginya ada sesiapa yang menghina khoruf-khorufnya. “Allah ya’khuz umrak![1]” doanya pada si wanita Badwi. Ketika dia menghalau khoruf-khorufnya ke tempat yang lebih selesa, wanita Badwi itu menjerit lagi kepadanya. “Biadap kau anak muda.”
“Siapa yang lebih biadap? Datang lambat kemudian halau orang,” lelaki penjual khoruf masih sempat membalas. “Kau tidak menghormati wanita yang sebaya ibumu.” “Kau tidak layak menjadi ibu. Tugas ibu sangat mulia untukmu..” “Kau berkawan dengan khoruf dan berperangai seperti mereka..” “Hei..khoruf-khorufku lebih sopan dari kau makcik!” “heei…”
Wanita Badwi itu tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila seorang wanita berfurdah hitam menggosok bahunya. Di tangan wanita berfurdah hitam itu adalah seorang anak kecil. Jika tidak kerana hingus yang mengalir dari lurah hidungnya, anak kecil lelaki itu boleh dikatakan ‘anak patung hidup’. Matanya bulat dengan bulu-bulu yang melentik. Keningnya lebat tercantum di atas hidung tirus yang mancung. “Ya ummi, mengapa marah pagi-pagi begini?” tegur wanita berfurdah. Hati wanita badwi berasa sejuk, baru sebentar tadi lelaki penjual khoruf menyatakan dia tidak layak dipanggil ‘ummi’. “Berselawatlah ke atas rasul, nescaya hatimu akan tenang dan perniagaanmu akan untung,” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi itu menganggukkan kepalanya. Hatinya terus membisikkan selawat. “Aku dan anakku beberapa hari tidak makan, bolehkah kau memberi sedikit simpatimu pada kami?” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi yang sudah faham sebaik melihat anak kecil berhingus itu, menyeluk sakunya. Disuakannya 10 lirah kepada wanita berfurdah. “Syukran, Allah tawal umrak[2]!” kata wanita berfurdah mengheret anaknya ke tempat peniaga lain pula. Wanita badwi melepas lelah di depan sawi-sawinya sambil terfikir, pagi ini sahaja dia sudah mendapat doa yang berlainan. Moga Tuhan memilih doa yang diucapkan si wanita berfurdah, katanya sempat mengerling seorang lelaki muda yang runsing depan kedai mencuci rambut.
Anak muda bernama Nadir itu sejak jam 9 pagi sudah tercegat di depan Kedai Abu Dhiak. Hatinya mengeluh bimbang, mengapa Abu Dhiak, satu-satunya pencuci rambut lelaki di Pasar Jumaat ini tidak muncul-muncul lagi? Sebentar lagi dia mempunyai temuduga dengan pihak stesen televisyen untuk satu jawatan pegawai keselamatan di sana. Selepas temuduga tersebut, dia mempunyai temujanji pula dengan gadis tercintanya, Maryam. Kedua itu; temuduga dan temujanji amat penting baginya. Rambut adalah satu-satunya aset yang dapat meningkatkan keyakinan dirinya berhadapan dengan orang lain terutama Maryam. ‘Abu Dhiak ke mana kau? Apakah tidur lebih penting daripada mendapat duit?’ hatinya berdecit kecewa. Dia menekan telefon tangannya. Matanya merenung nombor Abu Dhiak yang tertulis di depan kedai. Beberapa kali mendail, baharulah terbit suara si penjawab. “Abu Dhiak, mengapa kedaimu masih berkunci?” “Maaf, Abu Dhiak tiada,” jawab seorang perempuan. “Ke mana perginya orang tua itu? Dia tidak tahukah yang pelanggan sedang menunggunya? Jika tak mahu duit lebih baik jangan buka kedai!” bentak Nadir bawah sedar. Perempuan di sebelah sana mendengus nafas kencang. “Apa? kau panggil bapaku orang tua? Celupar betul mulutmu marah-marahkan bapaku. Jika aku berada di depanmu sekarang sudah tentu kau sudah pengsan!” jerit si perempuan. Nadir tergamam. Dia seperti kenal suara itu. Suara yang selalu dijeritkan oleh teman wanitanya jika dia lambat dalam temujanji mereka. “Aku berjanji inilah kali terakhir aku datang ke kedai bapamu yang pemalas,” balas Nadir. “Kurang ajar kau lelaki, bapaku bukan pemalas tetapi dia telah dijangkiti penyakit gout, dia tak boleh berjalan. Aku mendoakan mulutmu akan ditumbuhi kudis kerana mengejek bapaku yang sakit!” kata si perempuan di sebalik telefon. “Maryam…siapa tu?” seseorang di sebalik telefon yang lain menambah. “Lelaki yang gila ayah!” Sejurus Nadir tidak mendengar apa-apa lagi di sebalik telefonnya. Hatinya gemuruh. Maryamkah tadi? Betullah, bukankah Maryam mempunyai abang bernama Dhiak? Justeru bapanya dipanggil Abu Dhiak. Nadir mengusap mulutnya, tidak lama lagi kudis akan tumbuh di situ.
Maryam tidak puas hati bapanya dihina orang lain. Dia mahu lelaki yang dihina itu pengsan di depannya. Maryam menjengukkan kepalanya ke jalanraya. Kedai mencuci rambut mereka terletak di bahagian bawah rumah sahaja. Dia mahu turun dan mengetuk lelaki yang mengejek bapanya tadi dengan batu pengiling rempah. Maryam memastikan bapanya memejamkan mata terlebih dahulu, jika bapanya tahu tujuannya membalas dendam, bapanya akan mengarahkan ibunya mengunci pintu rumah. Ibu bapanya telah mendapat kepercayaan bahawa gadis yang berusia lewat 20-an, jika didatangi sifat marah, amat membahayakan keadaan sekeliling. Barangkali faktor terlalu memikirkan soal jodoh menyebabkan emosi mereka seperti bom jangka. “Maryam, kau nak ke mana dengan batu pengiling itu?” tegur Ummu Dhiak. “Saya nak pinjamkannya pada Ummu Hakim di bawah sana,” bohong Maryam sebelum ibunya mengangguk. Mariam lekas berlari turun ke depan kedai.
Wanita badwi melihat Nadir berjalan di depannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok sekitar mulutnya. Apabila mata mereka bertemu, Nadir mencebikkan bibirnya. Wanita badwi hanya tersenyum, “Kau pergi cuci rambutmu di bandarlah. Di pasar ini, habis mencuci rambut, bau-bau khoruf (bibir wanita badwi menjuih kepada khoruf-khoruf di depannya) meresap kembali ke rambutmu,” kata wanita badwi. Nadir mengangkat bahu dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Nah! Ini balasan untuk orang yang mengejek bapaku,” kata Maryam mengetuk belakang seorang lelaki kurus yang tinggi lampai. Lelaki itu, tanpa sempat berkata apa-apa jatuh tersepuk seperti kain buruk. Dia pengsan tetapi kelihatan seperti tidur. Orang ramai yang memadati pasar terkejut. Semua mata beralih pada Maryam yang sedang terpaku melihat lelaki kurus terbaring atas kakinya. “Hei budak perempuan, berani kau pukul suamiku!? Kau mempunyai hubungan sulit dengannya ya?” Seorang wanita gemuk bertubuh pendek mendekati suaminya. Tubuh Maryam ditolak. Mata kecilnya dibesarkan. Dia mencapai batu pengiling di tangan Maryam dan tersengih. “Terima kasih, aku baharu saja berniat mengajar suamiku dan nampaknya kau telah mendahuluiku. Engkaukah isteri keduanya?” tanya wanita gemuk itu. Maryam menggeleng kepala. Wajahnya berona kegelian. “Suamimu telah mengejek bapaku. Dia mengatakan bapaku pemalas walhal bapaku sedang sakit,” jelas Maryam. Orang ramai mula mengerumuni mereka. “Gila! Bagaimana suamiku boleh mengejek bapamu sedangkan dia seorang yang bisu?” Wajah Maryam memerah. Dia hampir pengsan mendengar kata-kata si wanita gemuk. Dia telah memukul orang yang salah. Dalam fikiran Maryam ketika itu hanyalah Nadir. Bolehkah Nadir, bakal suaminya membantunya lari dari masalah ini?
“Bumi sudah tua, sudah nyanyuk seperti apa?” badannya ditolak ke kanan, hampir-hampir tertiarap atas bekas jeruk zaitun. Air jeruk memercik ke mukanya. Dia sempat menjilat beberapa titis yang berdekatan bibirnya. “Hush, pergilah. Jangan main di sini!” penjual jeruk zaitun menarik tangannya dan menolak tubuhnya ke kiri pula. “Seperti apa? Kau jawablah!” Dia ketawa. “Seperti kaulah! Pergi!” Penjual jeruk zaitun tidak memandang wajahnya lagi. Dia menggaru-garu kepalanya. Mengapa orang gemar bercakap sopan seperti penjual jeruk itu? Tidak bolehkah mereka bercakap kasar sedikit, “Hai ibu yang manis, rasailah jeruk itu, ia lazat tetapi beracun!” Dia ketawa lagi. Penjual jeruk itu bengang apabila seorang wanita tidak jadi membeli jeruknya sebaik mendengar kata-kata tadi. “Jangan ganggu aku lagi orang gila!” jerkah penjual jeruk.
Dia melompat-lompat di tengah orang ramai. Tiada sesiapa yang menghiraukannya kecuali beberapa orang kanak-kanak. Mereka telah menyorokkan wajah ke dalam jubah ibu masing-masing kerana takutkannya. “Ya hilwa[3], mari sini, kita lumba lari. Siapa menang, dia akan dapat dunia. Siapa kalah, jadi gila sepertiku,” katanya cuba mendekati seorang kanak-kanak perempuan. Belum sempat dia menyentuh, kanak-kanak itu meraung ketakutan. “Tolong..tolong..dia kacau anakku,” jerit si ibu. Dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di situ mencekak kolar bajunya. Dia di heret keluar dari kawasan Pasar Jumaat. “Jangan masuk ke kawasan ini lagi.” Pengawal itu menolaknya di depan pintu Jamik Hanabilah. Dia terduduk di situ.
Ketika dia bangun untuk meneruskan perjuangannya; menyedarkan orang-orang tentang usia dunia. Dia ternampak seorang pemuda, memakai kopiah dan berkaca mata sedang khusyuk mencatat sesuatu. Dia mendapat satu idea untuk berbuat sesuatu terhadap si pemuda. “Masya Allah!” kata si pemuda terkejut apabila lelaki yang kurang siuman itu tiba-tiba mengambil pennya. “Kaulah rupanya ya..” “Pulangkan pen saya wahai saudaraku,” kata pemuda itu. “Tidak, kau akan menulis tentangku nanti,” kata lelaki kurang siuman memusing-musingkan pen tersebut. Pemuda itu menarik nafas. “Baiklah, jika kau tidak mahu memulangkannya, tidak mengapa. Aku masih ada alat yang boleh membaca semua orang. Itu kau tidak boleh mencurinya,” kata si pemuda masuk ke dalam masjid.
“Terima kasih kerana mengambil pen itu. Aku sudah terlambat menunaikan solat fardhu. Fikiranku telah masuk ke dalam orang-orang di pasar itu,” sambung pemuda lagi. Namun, sebelum kakinya melangkah, lelaki kurang siuman itu menggamitnya. “Apakah kau yakin ketika kau sembahyang nanti, akalmu tidak menerobos orang-orang yang kau lihat tadi?” Pemuda itu menggaru-garu kopiahnya. Ya, penulis sepertinya selalu mengalami masalah itu.
India, Indonesia dan Bangladesh antara negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia. Penduduk India berjumlah 1.339 bilion, rakyat Indonesia dengan 267 juta orang dan Bangladesh berpenduduk 168 juta orang. Kesamaan tiga buah negara ini adalah ketiga-tiganya lewat mengisytiharkan ‘shutdown’ selepas pandemik Covid 19 menjarah negara-negara dunia mulai Januari 2020. Indonesia memulakan langkah kawalan pergerakannya di Jakarta mulai 21 Mac 2020 diikuti India pada 24 Mac 2020 dan Bangladesh pada 25 Mac 2020. Sulit mengatakan tiga negara ini ‘menggadaikan’ nyawa ratusan juta rakyat mereka kepada pandemik, kerana isu yang lebih penting sekiranya shutdown atau lockdown dimeritkan lebih awal, separuh penduduk ketiga negara akan kehilangan pekerjaan, seterusnya membawa masalah yang lebih besar iaitu kebuluran.
Fahed bersama anaknya, pengidap Athma
Selain penduduk sendiri yang miskin dan padat, ketiga negara ini menampung ribuan pelarian. Fahed Mohammad Abdullah antara 13000 orang pelarian yang berlindung di bahagian Sumatera, Indonesia. Beliau berasal dari Somalia dan telah melarikan diri dari negaranya sejak 2013 bersama isteri dan dua anak. Selain tidak dibenarkan bekerja secara legal di Indonesia, Fahed dan para pelarian lain ditanggung oleh International Organisation for Migration(IOM). Menurutnya, adalah sukar mendapatkan perubatan hospital sebelum Covid 19 wujud walaupun anak-anaknya mengidap penyakit athma, tambahan selepas pandemik tiba, rawatan di hospital adalah hak rakyat Indonesia, bukan para pelarian. Nasib yang sama menimpa hampir 1 juta pelarian Rohingya di Tenggara Bangladesh. Pemotongan jaringan internet di kawasan kem pelarian menyebabkan para pelarian tiada maklumat tentang pandemik Covid 19.
Bayangkan, dalam kawasan kediaman kem yang berhimpitan, sesak dan tidak mempunyai fasiliti kebersihan, para pelarian seolah-olah sedang dibiarkan untuk menerima jangkitan dan mati secara perlahan-lahan. Golongan tua dan bayi merupakan kumpulan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti pandemik. Menurut tinjauan Al-Jazeera pada 30 Mac 2020, kebanyakan penghuni kem pelarian mendengar tentang pandemik Covid 19 dari cerita-cerita mulut di kawasan kem. Mereka tidak mendapat maklumat yang tepat walaupun dunia memperbaharui fakta berkaitan Covid 19 hampit setiap saat. Yang membimbangkan adalah sebahagian besar warga pelarian khususnya lelaki yang keluar-masuk dari kem ke bandar untuk mencari rezeki, tanpa alatan keselamatan mereka mendedahkan diri kepada jangkitan pandemik, kemudian menularkannya ke dalam kem. Hakikat ini terpaksa ditelan kerana para pelarian tidak mempunyai ‘kerajaan yang sah’ untuk memikirkan keselamatan mereka dan cara menangani konflik harian sepanjang lockdown Covid 19.
Mereka dan Kita
Satu kem biasa menempatkan 9 hingga 10 ahli keluarga
Kita telah melalui kehidupan di dalam rumah lebih 20 hari dengan pelbagai keadaan. Ada yang tinggal di rumah besar, apartment, flat dan setinggan. Bagaimana sekalipun keadaan rakyat Malaysia, kerajaan memperuntukkan bantuan khusus sepanjang PKP dan usaha-usaha berterusan daripada kerajaan negeri, pihak NGO dan agama untuk membantu keluarga miskin dan gelandangan. Sekurangnya, masih ada beras dan tepung selama tempoh PKP di rumah setiap rakyat Malaysia. Bagi para pelarian, tersekatnya hubungan dunia bermakna terputusnya bantuan pihak luar. Usaha-usaha pengekangan wabak seperti membasuh tangan secara kerap dan penjarakkan sosial amat sukar dilaksanakan di kem pelarian. Air bersih terhad untuk keperluan minuman dan kawasan padat tidak membantu para pelarian untuk berjarak. Yang ada pada kebanyakkan pelarian Muslim cumalah iman. Keyakinan kepada Tuhan Yang Maha Esa menyebabkan mereka terus melangsungkan kehidupan yang setiap hari tidak berubah.
Anak-anak kecil berlarian tanpa kasut, tangan yang berkudis terus bermain tanah dengan hingus meleleh di hidung. Tiada siapa mempedulikan wajah-wajah comot ini, selagi mereka berlari, itu tanda mereka sihat. Ibu-ibu tidak kira muda dan tua, bergilir-gilir mengangkut air dari tangki yang dikongsi dengan ratusan keluarga lain. Para ibu menanti suami-suami mereka membawa pulang makanan, setidaknya untuk sekali makan pada hari itu. Ada NGO yang membekalkan makanan untuk menghadapi musim pandemik, agihan NGO mungkin untuk 400-500 keluarga sedangkan kem pelarian mempunyai ratusan ribu keluarga. Mereka yang bernasib baik sahaja boleh mendapat bekalan. Justeru, ketakutan tidak mendapat makanan lebih dahsyat daripada Covid 19. Di India, Ledakan Islamopobhia oleh kerajaannya memberi kesan besar kepada pelarian Rohingya di negara tersebut. Bukan sahaja mereka dinafikan hak dalam pekerjaan malah diancam pembunuhan; sesuatu yang lebih bahaya daripada pandemik itu sendiri.
Saat kita membilang hari untuk bebas bergerak di luar rumah, terfikirkah kita tentang jutaan manusia pelarian (majoritinya Muslim) yang tidak pernah bebas, baik di dalam rumah (tidak seperti rumah biasa tetapi khemah atau bangsal) atau di luar. Seperti kata Abdullah (mungkin dipersetujui ribuan pelarian lain), sebenarnya kematian itulah yang dapat membebaskan kami dari ketakutan, ancaman dan kesengsaraan yang dihadapi setiap hari.
Gandakan syukur kita dengan bersedekah kepada mereka
Kita teruji satu kali, mereka teruji dua atau lebih berganda daripada kita.