Bangladesh

Pandemik: Mereka Yang Teruji Dua Kali Ganda

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

India, Indonesia dan Bangladesh antara negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia. Penduduk India berjumlah 1.339 bilion, rakyat Indonesia dengan 267 juta orang dan Bangladesh berpenduduk 168 juta orang. Kesamaan tiga buah negara ini adalah ketiga-tiganya lewat mengisytiharkan ‘shutdown’ selepas pandemik Covid 19 menjarah negara-negara dunia mulai Januari 2020. Indonesia memulakan langkah kawalan pergerakannya di Jakarta mulai 21 Mac 2020 diikuti India pada 24 Mac 2020 dan Bangladesh pada 25 Mac 2020. Sulit mengatakan tiga negara ini ‘menggadaikan’ nyawa ratusan juta rakyat mereka kepada pandemik, kerana isu yang lebih penting sekiranya shutdown atau lockdown dimeritkan lebih awal, separuh penduduk ketiga negara akan kehilangan pekerjaan, seterusnya membawa masalah yang lebih besar iaitu kebuluran.

Fahed bersama anaknya, pengidap Athma

Selain penduduk sendiri yang miskin dan padat, ketiga negara ini menampung ribuan pelarian. Fahed Mohammad Abdullah antara 13000 orang pelarian yang berlindung di bahagian Sumatera, Indonesia. Beliau berasal dari Somalia dan telah melarikan diri dari negaranya sejak 2013 bersama isteri dan dua anak. Selain tidak dibenarkan bekerja secara legal di Indonesia, Fahed dan para pelarian lain ditanggung oleh International Organisation for Migration(IOM). Menurutnya, adalah sukar mendapatkan perubatan hospital sebelum Covid 19 wujud walaupun anak-anaknya mengidap penyakit athma, tambahan selepas pandemik tiba, rawatan di hospital adalah hak rakyat Indonesia, bukan para pelarian. Nasib yang sama menimpa hampir 1 juta pelarian Rohingya di Tenggara Bangladesh. Pemotongan jaringan internet di kawasan kem pelarian menyebabkan para pelarian tiada maklumat tentang pandemik Covid 19.

Bayangkan, dalam kawasan kediaman kem yang berhimpitan, sesak dan tidak mempunyai fasiliti kebersihan, para pelarian seolah-olah sedang dibiarkan untuk menerima jangkitan dan mati secara perlahan-lahan. Golongan tua dan bayi merupakan kumpulan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti pandemik. Menurut tinjauan Al-Jazeera pada 30 Mac 2020, kebanyakan penghuni kem pelarian mendengar tentang pandemik Covid 19 dari cerita-cerita mulut di kawasan kem. Mereka tidak mendapat maklumat yang tepat walaupun dunia memperbaharui fakta berkaitan Covid 19 hampit setiap saat. Yang membimbangkan adalah sebahagian besar warga pelarian khususnya lelaki yang keluar-masuk dari kem ke bandar untuk mencari rezeki, tanpa alatan keselamatan mereka mendedahkan diri kepada jangkitan pandemik, kemudian menularkannya ke dalam kem. Hakikat ini terpaksa ditelan kerana para pelarian tidak mempunyai ‘kerajaan yang sah’ untuk memikirkan keselamatan mereka dan cara menangani konflik harian sepanjang lockdown Covid 19.

Mereka dan Kita

Satu kem biasa menempatkan 9 hingga 10 ahli keluarga

Kita telah melalui kehidupan di dalam rumah lebih 20 hari dengan pelbagai keadaan. Ada yang tinggal di rumah besar, apartment, flat dan setinggan. Bagaimana sekalipun keadaan rakyat Malaysia, kerajaan memperuntukkan bantuan khusus sepanjang PKP dan usaha-usaha berterusan daripada kerajaan negeri, pihak NGO dan agama untuk membantu keluarga miskin dan gelandangan. Sekurangnya, masih ada beras dan tepung selama tempoh PKP di rumah setiap rakyat Malaysia. Bagi para pelarian, tersekatnya hubungan dunia bermakna terputusnya bantuan pihak luar. Usaha-usaha pengekangan wabak seperti membasuh tangan secara kerap dan penjarakkan sosial amat sukar dilaksanakan di kem pelarian. Air bersih terhad untuk keperluan minuman dan kawasan padat tidak membantu para pelarian untuk berjarak. Yang ada pada kebanyakkan pelarian Muslim cumalah iman. Keyakinan kepada Tuhan Yang Maha Esa menyebabkan mereka terus melangsungkan kehidupan yang setiap hari tidak berubah.

Anak-anak kecil berlarian tanpa kasut, tangan yang berkudis terus bermain tanah dengan hingus meleleh di hidung. Tiada siapa mempedulikan wajah-wajah comot ini, selagi mereka berlari, itu tanda mereka sihat. Ibu-ibu tidak kira muda dan tua, bergilir-gilir mengangkut air dari tangki yang dikongsi dengan ratusan keluarga lain. Para ibu menanti suami-suami mereka membawa pulang makanan, setidaknya untuk sekali makan pada hari itu. Ada NGO yang membekalkan makanan untuk menghadapi musim pandemik, agihan NGO mungkin untuk 400-500 keluarga sedangkan kem pelarian mempunyai ratusan ribu keluarga. Mereka yang bernasib baik sahaja boleh mendapat bekalan. Justeru, ketakutan tidak mendapat makanan lebih dahsyat daripada Covid 19. Di India, Ledakan Islamopobhia oleh kerajaannya memberi kesan besar kepada pelarian Rohingya di negara tersebut. Bukan sahaja mereka dinafikan hak dalam pekerjaan malah diancam pembunuhan; sesuatu yang lebih bahaya daripada pandemik itu sendiri.

Saat kita membilang hari untuk bebas bergerak di luar rumah, terfikirkah kita tentang jutaan manusia pelarian (majoritinya Muslim) yang tidak pernah bebas, baik di dalam rumah (tidak seperti rumah biasa tetapi khemah atau bangsal) atau di luar. Seperti kata Abdullah (mungkin dipersetujui ribuan pelarian lain), sebenarnya kematian itulah yang dapat membebaskan kami dari ketakutan, ancaman dan kesengsaraan yang dihadapi setiap hari.

Gandakan syukur kita dengan bersedekah kepada mereka

Kita teruji satu kali, mereka teruji dua atau lebih berganda daripada kita.

Loading

Teman, Cukuplah Kami

SATU

Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan

pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Abang selalu bertanya pada ibu, mengapa hidup kami sekeluarga miskin? Adakah nenek dan datuk kami yang berasal dari Madras dulu yang mewariskan kemiskinan ini? Ibu mengangguk. Abang kemudian merayu kepada ibu mahu bersekolah. Menurut abang, hanya sekolah yang boleh memberi keajaiban dalam kehidupan kami. Entah dari mana abang mendapat kepercayaan itu. Mungkin dari anak-anak Tuan Syaheed yang kasut mereka dicuci oleh abang setiap hari. “Tidak boleh! Kamu lihat gigi ibu yang berkarat ini. Kita tidak mampu membeli ubat gigi pun, bagaimana kamu mahu membayar yuran sekolah?” jerit ibu. Selepas itu, abang jarang-jarang pulang ke rumah.

Tempat yang kerap dikunjungi ibu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Zia. Kami berasak bersama manusia-manusia hamis lain dengan niat mencari sesuap nasi. Orang yang turun dari tangga kapal terbang tentulah orang berduit. Sekurangnya mereka lebih beruntung dapat terbang di awan daripada kami yang seumur hidup berjalan kaki di tanah. “Tuan yang baik, puan yang baik, tolonglah kami. Anak saya ini perlukan makanan, sudah dua hari (kekadang ibu menyebut tiga hari atau lima hari) tidak  menyentuh makanan,” jerit ibu pada orang-orang yang keluar dari pintu utama lapangan terbang. Yang melilau, menjerit, berlari dan menagih simpati orang bukanlah ibu sahaja. Dalam mata kecil saya, beratus wanita meminta sedekah. Dan beratus-ratus (ataukah beribu) anak-anak kecil seperti saya menjadi kutu-kutu simpati ibu mereka. Jika ada seorang yang bersimpati, maka tangan yang bertuah sahaja dapat mencapai duit. Acapnya, jika tidak mendapat duit, kami akan diberikan pisang oleh orang-orang bermurah hati yang turun dari kapal terbang.

Di rumah, ayah dan ibu jarang bersuara. Masing-masing pulang dengan pandangan yang hambar. Ayah sudah memahami ibu dari riak wajahnya. Ibu memaklumi ayah dari tona matanya. Banyak bercakap atau bertengkar tidak akan membawa kemudahan apatah lagi kekayaan kepada kami. Orang miskin seperti kami biarlah kaya dengan toleransi. Sekurangnya, ayah dan ibu saya tidak pernah bergaduh dan saling memburukkan diri, itu sudah menjadi syurga kepada saya dan abang.

Kadang-kadang, orang seperti ayah yang masa luangnya di kedai teh (yang lebih mirip sebuah bangsal buruk) terdorong juga bercakap tentang isu semasa. Kepada ibulah ayah mensyarahkan semua yang diketahuinya daripada mulut-mulut rambang; pembonceng beca, teman-teman di kedai teh dan Tuan Syaheed. Ibu pula, sebagai seorang isteri solehah yang buta huruf, perkataan yang keluar dari mulut ayah sangat mengagumkan dirinya. Ayahlah yang paling pintar setidakpun daripada abang dan saya sendiri dalam keluarga kami. “Harga minyak di Bangla sudah naik. Aduh..” keluh ayah.

“Bukankah hidup kita tidak bergantung sangat pada minyak? Tengoklah, abang cuma membawa beca bukan kereta,” jawab ibu. Pada saya, jawapan ibu menunjukkan dia boleh menjadi orang pintar jika berpeluang belajar.

“Walaupun ini masalah Tuan Syaheed. Dia pastinya akan memotong gaji saya atau menaikkan sewa beca sehingga upah tinggal 10-20 taka. Apa kita mahu makan? Apabila harga minyak naik, makanan menjadi mahal termasuklah tepung dan kekacang. Aduhh..” ayah memberatkan lagi keluhannya.

“Mengapalah tidak ada sistem yang membezakan antara orang kaya dengan orang miskin?” balas ibu. Saya dan ayah tertanya-tanya. Apakah maksud kata-kata ibu? “Apabila harga barang makanan naik, orang kaya tetap membeli pada harga yang terpaksa dibeli orang miskin. Bayangkan, Tuan Syaheed masih boleh menambah dua pinggan nasi berbanding kita yang miskin, tidak boleh makan nasi langsung akibat mahalnya barang-barang makanan. Ini tidak  adil!” Jerit ibu. Ayah memejamkan matanya. Saya pula terlongo. Memang benar, jika ibu bersekolah dahulu mungkin sekarang ibu sudah menjadi menteri, fikir saya.

“Kita ni ibarat hampas kelapa sahaja. Diperah habis-habisan oleh orang-orangkaya tu,”kata ayah sebaik membuka matanya kembali.Maklum, orang kaya yang dimaksudkan ayah adalah orang tempatan seperti Tuan Syaheed dan orang-orang asing yang ‘membeli’ negara kami dengan kekayaan mereka. “Inilah akibatnya jika negara menjadi lembu yang diikat tanduknya oleh Amerika. Sama seperti negara asal kita di India dan Pakistan, membuka pintu seluasnya kepada pedagang bebas. Entahlah nasib kau nak. Bukan niat ibu mengajar kau jadi peminta sedekah, pintu untuk orang miskin seperti kita telah ditutup.” Ibu mengusap-ngusap rambut saya. Air merenek di mata ibu dan mencambah di mata ayah.

DUA

Negara kami di mata dunia memang sudah terkenal sebagai negara yang mengandungkan orang- orang miskin.

Barangkali kerana penduduk kami terlalu ramai menyebabkan kerajaan sukar mengagihkan bantuan. Barangkali juga kerana ketidakmampuan kami mengeksploit sumber negara, memaksa kerajaan memberi secara bebas kepada orang-orang yang mampu hak dan kuasa ekonomi. Di Utttara, salah satu bandar besar Dhaka, bukan tidak ada hotel dan pasaraya mewah, namun hanya ‘orang-orang terpilih’ boleh mamasukinya.

Saya mengejip mata dan menelan liur sahaja melihatkan orang-orang yang keluar masuk ke pasaraya besar. Usia saya sudah 12 tahun. Kalau dulu, saya dikendong ibu meminta sedekah di lapangan terbang tetapi kini saya betah berdikari menjadi peminta sedekah di seluruh bandar Dhaka. Ruang kami hanya terhad di kawasan jalanan. Dengan badan tanpa pakaian, bau kami sahaja tidak diizinkan menyelinap ke kawasan ‘orang-orang bertuah.’ Acapnya, di depan pasaraya, saya akan menunggu pengunjung keluar kemudian berlari dan merengek (seperti yang ibu tuturkan dulu), 

“Tuan, puan, kasihanilah saya. Sudah beberapa hari saya tidak makan. Tolonglah..tolonglah..kasihanlah,” kata saya sambil menarik sedikit pakaian mereka. Selepas mendapat habuan, saya dan kawan-kawan akan membeli sedikit tepung kemudian kami akan memasaknya sendiri di tepi jalan berhampiran masjid. Ketika azan berkumandang, saya dan kawan-kawan ketawa dengan makanan yang dianugerahkan pada hari itu. Apabila wajah langit mulai kelam, baharulah saya berlari pulang ke pondok buruk menemui ayah dan ibu.

Abang sudah lama pergi dari rumah. Kami sekeluarga tidak tahu sama ada abang masih hidup atau mati. Untuk melegakan hatinya, ayah berkata pemergian abang mungkin ada hikmahnya kerana kuranglah sedikit tanggungannya. Tapi saya tahu, ayah berasa sedih lebih-lebih lagi abang telah mencuri kasut anak Tuan Syaheed menyebabkan ayah dibuang kerja. Sejak itu, saya pula menggantikan tempat abang. Kerja mencuci kasut dan meminta sedekah serta tidur di kaki lima bangunan bersama teman-teman. Wang upahan setiap hari saya berikan kepada ibu dan ayah. Patutlah abang gembira, tidur di kaki lima atau di kerusi taman amat menyeronokkan. Bulan dan bintang menjadi payungan. Kipas kami adalah angin yang berpuput ikhlas tanpa bayaran. Bau hamis ‘air kotor’ tidak menjadi masalah kerana itulah yang kami hidu sejak kami dilahirkan. Kami hanya perlu berfikir, apakah kerjakami esok untuk mendapatkan secebis makanan?

“Keluarga kau agama apa?” tanya seorang teman saya. Kami berbaring tanpa bantal dan tilam empuk. Cukup hanya bertilamkan simen. “Aku orang Islamlah. Namaku sahaja orang sudah tahu Islam, Naseem bin Muslim. Apalah kau ni,” tempelak saya. Teman saya itu tersengih. “Kau pernah lihat ibubapa kau sembahyang?” sambungnya. Saya bangkit dari perbaringan. Berasa terfikir dengan soalan si teman ini. Saya menggeleng kepala.

“Kau? Ibubapa kau sembahyang tak?” Dia juga menggeleng kepala. “Islamkan?” Dia mengangguk. “Kenapa kau tanya soalan tu? Apakah agama penting dalam kehidupan kita? Agama boleh buat kita hidup senang?” Saya bertanya pula. Dia mengangkat bahu. Kami tidak boleh tidur lagi dan memandang sepi bintang-bintang di langit.

“Esok aku mahu ke masjid. Sudah lama aku mendengar suara azan bertalu-talu di bandar ini, sekalipun aku tidak pernah menjejak lantai masjid,” kata si teman. “Perlukah? Orang dewasa pun tak pernah mahu ke masjid, kita budak-budak ni tak payahlah,” balas saya.

“Aku mahu pergi. Terpulanglah pada kau,” teman saya itu kemudiannya berbaringsemula dan memejamkan matanya.

Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang.

Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.”

Suara imam yang menuturkan itu menyebabkan mata saya tidak lagi mengantuk. Perihal ‘orang-orang miskin’ segera menarik perhatian kami. Betulkah khabaran ini? bermakna, kami ini miskin di dunia kerana akan dikayakan di syurga kelak. Wah! Saya tidak sabar berkongsi berita ini kepada ayah dan ibu. Begitu, tidak mengapa kami miskin sepanjang hidup.

“Malang sekali di Tanah Bangla ini, orang-orang miskinnya sangat jahil.

Mereka bukansahaja kebuluran tanpa makanan tetapi menjauhkan diri daripada Penolong sebenar mereka. Orang orang miskin sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Allah. Jika seumur hidup tidak pernah menunaikan sembahyang, hah! Teruslah hidup melarat di dunia kemudian masuklah mana-mana neraka Allah di akhirat,” suara imam bergegar kemarahan. 

Saya berasa takut. Terbayang di mata saya, kami sekeluarga sama-sama terjun dalam api yang membuak-buak panas.

“Aku tak akan meninggalkan sembahyang lagi,” kata saya pada teman.

“Kau mahu masuk ke syurga atau tidak mahu masuk ke neraka?” tanyanya. “Kedua-duanya,” balas saya. Kami keluar dari masjid yang wangi dan kembali menjadi budak-budak peminta sedekah. Nanti waktu Zohor, saya akan kembali ke masjid, azam saya.

“Kau bayangkan, jika banjir dan bencana alam berlaku lagi, beribu-ribu orang akan mati. Entahlah mereka itu ramai yang masuk syurga atau neraka. Orang miskin macam kita patutnya lebih peka untuk bersembahyang. Kata imam tadi, syurga dah pun ada untuk kita di akhirat,” kata saya yang baru mendapat kesedaran pagi ini.

“Sayangnya, ramai yang tidak tahu termasuk ibubapa kitakan Naseem?” balas si teman diiringi anggukan ikhlas saya

TIGA

Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami. Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama Kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan Kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah.

Gadis comel bersama kamera besarnya terhinggut-hinggut menangis. Dia yang sejak tadi setia mendengar kisah hidup bekas si peminta sedekah ini berhenti mencatat. “Kenapa kau menangis pemudi Malaysia?” tanya saya.

“Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya