Kehidupan sebagai Muslim sering menuntut kita menoleh ke belakang, sekalipun sudah berada di baris paling depan. Itulah uniknya agama kita. Menoleh adalah perbuatan melihat kembali jejak-jejak yang ditinggalkan, bukan terus memadam masa lalu dan terus bergerak tanpa melihat kembali tapak-tapak sejarah, tapak-tapak asal usul diri.
Saya membelek kembali makna Sastera Islam setelah menekuninya dari tahun 2012 sehingga kini. Kebanyakan konsep dan teori yang dikemukakan para sarjana menyuruh para sasterawan Islam untuk ‘menoleh’ dan tidak ada masalah jika berundur semula ke belakang, ke akar tradisi.
Kata moden dan tradisi sangat subjektif. Jika dua perkataan tersebut dianggap sebagai tanda ‘kemajuan’ dan ‘kemunduran’, ianya bertentangan dengan amalan ilmu dalam Islam. Antara sarjana yang konsisten tidak bersetuju dengan cara penjajah ini adalah Syed Naquib Al-Attas. Beliau mengatakan cara yang dibawa barat ke alam Melayu khususnya Malaysia dan Indonesia sangat rakus; merobek inti pemikiran dan falsafah sebenar kebudayaan Islam termasuk sastera. Penjajah melekakan orang Melayu bahawa moden itu adalah barat, dan mundur atau istilah tradisional itu adalah adat Melayu Islam.
Justeru, kembali kepada konsep sastera Islam, ianya adalah perbincangan yang membawa transisi dan juga tradisi. Menghubungkan antara masa lalu dengan masa depan. Masa lalu adalah teras yang mendasari ilmu sastera iaitu tauhid dan iman. Masa kini adalah ilmu-ilmu yang berkembang dalam masyarakat dari abad ke 7 sehingga sekarang. Saya tertarik dengan tulisan Adli Hj Yaacob yang mengatakan sastera dalam Islam adalah adab. Apabila menyebut kata adab sudah menampakkan perbezaan cirinya dengan sastera lain. Adab mengandungi nilai akhlak, nilai pujangga yang tinggi, keagungan intelektual yang luhur dan berprinsip. Bukan semata keinginan dan bakat seni. Kata Adli lagi, perkataan sastera Islam hanya muncul setelah negara-negara Islam dijajah barat. Ianya muncul akibat kesedaran para penulis dan sarjana menoleh kembali ke akar tradisi dan keinsafan untuk menggabungkan dengan jaluran sastera barat yang telah ‘dinikmati’ sekian lama.
Begitulah akhirnya sastera Islam berkembang. Seperti juga hidup manusia Muslim. Solat adalah asas untuk kita kembali menyedari hakikat kita sebagai hamba Allah SWT di dunia walaupun kita adalah ‘seseorang’ dalam masyarakat. Transisi kita adalah tradisi untuk menoleh dan melihat ke hadapan secara imbang!
Apabila membelek buku-buku baharu di pasaran, hati berasa kagum kepada sang penulis, sekalipun belum membaca kandungannya. Tambahan jika penulis dapat menghasilkan 2-3 buku baharu dalam tahun yang sama. Hanya yang luar biasa mampu melakukannya!
Menulis buku; genre ilmiah atau kreatif akan melalui ‘proses berat’ yang sama. Proses ini dinamakan sebagai ‘Proses Kreatif’ dengan dua elemennya iaitu sensitiviti dan kreativiti. Ianya tentang bagaimana idealisme yang berada di otak, diterjemahkan menjadi ‘bentuk dan bait’ yang boleh dinikmati pula orang lain.
Ramai sarjana membahagikan proses penulisan kreatif kepada dua; dalaman dan luaran. Jika direnungkan proses-proses yang berlaku ia berkaitan dengan psikologi manusia iaitu kebiasaan-kebiasaan penulis/ calon penulis menyediakan diri mereka sebelum, ketika dan selepas berkarya. Sudah tentunya tidak akan sama seorang penulis dengan penulis yang lain cara dan kaedah pengkaryaan mereka. Di sinilah keunikan yang dapat dipelajari oleh calon-calon penulis sehingga mereka nanti memiliki pula kebiasaan sendiri.
Dalam tulisannya di Majalah Dewan Sastera ( April 2021), Zaen Kasturi menuliskan tentang bagaimana proses penulisan kreatif berfungsi kepada penulis dan pembacanya. Zaen menekankan bahawa seorang penulis tidak boleh mengabaikan ‘proses penukangan’ tulisannya bermula dari hal sekecil mendapatkan idea sehingga proses yang lebih rumit, menulis dan menyunting karya. Hanya penulis ‘teruk’ yang memiliki sikap menulis (apa sahaja) kemudian membiarkan tulisannya nanti disunting atau dibaiki orang lain.
Ada banyak ‘teladan mulia’ ditunjukkan para penulis di seluruh dunia tentang gaya dan cara menulis mereka. Kebiasaan saya sendiri membaca pengalaman menulis para penulis Malaysia, antara terawal ialah Buku Kuras-Kuras Kreatif karya Allahyarham Azizi Abdullah. Beliau adalah penulis yang serius dengan ‘ruang prosesnya’ sehingga akan melarikan diri ke bilik hotel untuk berkarya. Malah pernah menjerkahi anaknya yang mengganggu meja menulisnya. Aminah Mokhtar banyak mendapat ilham di bilik pembedahan, katil pesakit dan ruang hospital tempat beliau menjadi jururawat. SM Zakir berkongsi pengalaman kembali ke lubang ingatan zaman kanak-kanak dalam Cerpen Paya Purnama. Zakir menggunakan teori Carl Gustav Jung tentang kejadian-kejadian zaman infatile yang samar-samar dalam ingatan atau kata lainnya bentuk psikiprimitif yang hilang daripada diri manusia. Teori itu membawanya menulis cerpen bertemakan kanak-kanak yang menarik.
Saya ingin berkongsikan kutipan Zaen Kasturi tentang proses kreatif penulis dunia yang ditekuninya.
Jacques Hadamard
Penulis ini memfokuskan ‘rasa’ dalam diri sebagai punca utama proses kreatif. Lazimnya, rasa indah terhadap sesuatu atau cinta membuatkan penulis berkarya. Menerusi tulisan, penulis ingin memenuhi kehendak sebenarnya yang dilihat ‘belum terisi’ di dunia nyata.
2. Jalaluddin Rumi
Tokoh penyair sufi ini akan duduk menulis ditemani kucing kesayangannya. Kucing ini amat rapat dengan Rumi sehingga dia juga mati selepas seminggu Rumi meninggal dunia.
3. Samuel Johnson
Pengarang ini juga memerlukan seekor kucing berdengkur, kulit buah limau dan teh yang banyak untuk berkarya. Tanpa semua itu, beliau tidak dapat menulis dengan baik.
4. Honore de Balzac
Pengarang ini hanya boleh menulis pada waktu malam dan memerlukan beberapa cawan kopi O pekat. Beliau dapat menulis sehingga 15-16 jam sehari dengan bercawan-cawan kopi O sebagai ‘baterinya’. Beliau juga sangat mementingkan kesempurnaan pada karyanya.
5. Emile Zola
Penulis ini hanya boleh berkarya pada waktu siang, tetapi menurunkan semua tirai tingkap kerana bergantung kepada cahaya buatan.
6. Thomas Carlyle
Penulis ini membuat bilik yang kalis bunyi untuk berkarya.
7. Friedrich Schiller
Penulis ini hanya menulis selepas lacinya dipenuhi epal busuk. Bau dari laci yang busuk memberikannya ilham. Antara karya besarnya yang dikatakan dipengaruhi tabiat pelik ini adalah naskah drama pentas ‘William Tell’, ‘Mary Stuart’, ‘Wallenstein’ dan ‘Ode to Joy’.
8. Hart Crane
Penulis ini tidak boleh menulis puisi selain berada di bilik yang bising dan bermuzik. Perasaan marah kepada ‘Keadaan hingar-bingar’ akan membantunya untuk berkarya dengan ‘tepat’
Zaen Kasturi membuat kesimpulan bahawa tiada satu pun cara yang salah atau benar untuk menulis karya yang baik. Walau bagaimanapun, sikap penulislah yang menentukan keberkesanan karya. Penulis tidak boleh mengambil jalan mudah, jalan pintas, serta mempunyai banyak dalil untuk berkarya. Jika sikap-sikap ‘hodoh’ ini dikekalkan, maka perangai itulah mencerminkan dirinya.
Sebenarnya kerja menulis adalah mulia dan sempurna ‘Kecuali Diri Kita Sendiri…’ (sambung sendiri).
Sudah berminggu-minggu saya ingin menulis sesuatu di sini; khusus sempena ulangtahun pertama laman web drummihani.com. Saya menemukan beberapa judul entry yang ‘mewah maklumat’ tetapi semuanya terkalung indah di fikiran. Sahaja.
Tetapi saya tidak mahu dikalahkan oleh alasan lagi. Saya teruja membaca proses-proses kreatif para sasterawan di seluruh dunia, dan saya ingin menulis di sini sebagai rujukan diri. Akhir-akhir ini, topik proses menulis kreatif sangat mengujakan. Apa yang berlaku dalam fikiran, dalam hati dan emosi seorang penulis sehingga dia berjaya menghasilkan karya hebat? Soalan yang hanya dapat dijawab melalui pembacaan, temubual dan pengalaman diri (jika diri adalah seorang penulis).
Yang mengganggu ruang diri adalah masa. Sungguh kepentingannya dalam hidup manusia telah disebutkan dalam Surah Al-Asr. Masa adalah harta paling asas yang kita ada.
Satu saat masa bila nak diagihkan ia akan berkait dengan seluruh yang kita ada; misalnya jika saya berikan masa saya kepada anak ketiga, saya akan mengenepikan seketika anak pertama dan kedua. Itu contoh yang mudah. Norma baharu mencarik-carikkan ‘susunan masa’ kita. Jadual dan diari kita berubah. Tanggungjawab orang lain menjadi tanggungjawab kita, tanggungjawab kita yang sedia ada bertambah-tambah.
Ada ujian datang dan pergi. Ada kos yang menurun dan meningkat. Ia akan menarik masa untuk menghadapinya. Masa bekerja menjadi masa mengajar anak-anak, masa mengajar anak-anak menjadi masa rehat, masa rehat menjadi masa menulis dan berfikir dan putarannya begitu.
Sehingga saya mengakui dalam hati. Masa akan berlalu tanpa perancangan. Meletakkan keutamaan pada setiap perkara menjadikan masa terisi. dan akhirnya, kita mendapat masa kita sendiri apabila sesuatu berjaya disempurnakan.
“Senyum pada awan” adalah ayat pertama saya dalam Novel Baromkeh, Matamu di Mataku (2008). Pertengahan Disember 2005, saya dan dua rakan terbang ke Damsyik, Syria untuk belajar Bahasa Arab selama dua bulan. Syria ketika itu belum terlibat dalam konflik perang saudara. Kembara di Damsyik adalah permulaan ‘ketagihan’ saya untuk melihat awan dan memaknai hikmah musafir.
Ramai bertanyakan saya bagaimanakah mendapatkan wang untuk mengembara di banyak negara? Jawapannya adalah dengan menulis. Pada usia 27 tahun, saya telah melawat 9 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Myanmar, Syria, Jordan, Arab Saudi, Bangladesh dan United Kingdom. Sebahagian besar perjalanan didanai wang kemenangan sayembara sastera, wang menulis skrip drama televisyen serta buku kisah benar. Tulisan kali ini saya ingin berkongsikan pengalaman menjejaki Tanah Haramain sehingga memunculkan cerpen Teman, Cukuplah Kami yang telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 kategori cerpen remaja.
Dhaka Yang Duka
Awal tahun 2008, saya menyertai perjalanan umrah dengan menaiki Pesawat Biman Air milik negara Bangladesh. Dalam jadual sebenar, tidak ada rancangan akan bermalam di Dhaka, ibu negara Bangladesh. Gara-gara kelewatan penerbangan, saya dan rombongan umrah berkesempatan melihat Kota Dhaka lebih dekat. Sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, kami dimaklumkan akan bermalam di salah sebuah hotel tiga bintang di tengah Kota Dhaka. Yang menyambut kami di luar lapangan terbang adalah ratusan tangan peminta sedekah dari kalangan kanak-kanak, wanita dan orang tua. Saya dan ahli rombongan mampu memerhatikan mereka dengan pandangan simpati dan doa, kerana begitu ramai yang menagih wang dan makanan.
Dhaka mempunyai 17 juta penduduk, kepadatannya menyebabkan pemandangan dipenuhi manusia. Saya melihat kanak-kanak peminta sedekah sebagai golongan paling malang. Bayangkan untuk makan seharian mereka perlu meminta sedekah, bagaimana pula dengan keperluan lain seperti pendidikan dan tempat tinggal yang baik? Perjalanan ke hotel menghidangkan tinggi rendahnya status ekonomi bangsa Bengali melalui tempat tinggal. Golongan kaya dan pertengahan tinggal di apartment dan teres, manakala golongan miskin tinggal di kawasan kotor dan sesak. Mata saya terarah ke rumah-rumah seperti bangsal yang hanya ditutupi papan dan kain. Kelihatan suami isteri dengan anak-anak tinggal di dalamnya.
Sepetang di Dhaka, saya dan seorang rakan mengambil kesempatan mengitari kota padat ini dengan beca. Kayuhan si pengayuh beca membuatkan pesona Bangladesh muncul. Bayangkan, tiada siapa dapat menahan pengayuh beca melaju di jalanraya walaupun anda seorang pemandu kereta atau lori. Saya dan rakan terawang-awang gayat. Mungkin inilah beca paling ekspres pernah kami nikmati di dunia! Namun, perasaan seronok itu pudar tatkala kaki memasuki sebuah pasaraya besar. Beberapa lelaki berpakaian tentera dengan tangan memegang senapang berdiri di pintu masuk. Rupanya, mereka ditugaskan untuk menghalang para peminta sedekah masuk ke dalam pasaraya. Begitu sekali golongan miskin dianak-tirikan di sebuah negara yang memiliki 145 juta orang Islam. Perasaan sedih itu saya gambarkan dalam cerpen:
Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?
Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.
Wajah Yang Sama, Karakter Berbeza
Warga Bangladesh sering saya temui di mana-mana di Malaysia, namun tidak pernah membaca sejarah mereka. Kunjungan ‘tanpa sengaja’ ke Tanah Banggala Timur membuka sedikit pengetahuan tentang mereka. Bangladesh adalah wilayah bangsa yang menerima ‘air tangan’ British-India dan Pakistan sebelum mandiri sebagai negara. Walaupun penduduknya memiliki raut fizikal yang mirip dengan penduduk India Muslim dan Pakistan, tetapi budaya hidup dan bahasa mereka berbeza. Penduduk Pakistan Barat lebih berorientasikan pengaruh dari Timur Tengah, penduduk Bangladesh pula terdedah kepada pengaruh Hindu-Buddha, Islam dan Bristish.
Pengaruh luar ini menjadikan rakyat Bangladesh cepat beradaptasi dengan dunia luar. Sebahagian besarnya telah berhijrah ke seluruh dunia termasuk Malaysia untuk bekerja profesional atau buruh. Seperti bumi alaminya yang indah, orang-orang Bangladesh memiliki pesona kecantikan khususnya kaum wanitanya. Saya berkesempatan membeli –belah dan melihat sisi kemodenan Bangladesh di dalam pasaraya besar, restoran dan hotel. Dek jurang ekonomi golongan miskin dan kaya yang luas, menjadikan hati turut berduka.
Bangladesh adalah negara berdelta luas yang dicorakkan Sungai Gangga dan Brahmaputra. Setiap tahun, apabila banjir besar meletus, ianya mengorbankan ribuan penduduk. Kepadatannya menyebabkan penduduk miskin tidak mempunyai pilihan selain tinggal di kampung-kampung bersebelahan tebing sungai. Fakta menyebutkan sebanyak 700 aliran sungai dari pelbagai penempatan yang berarus ke Teluk Benggala di selatan Bangladesh. Panjang aliran sungai di Bangladesh adalah 15,000 batu menjadikannya antara terpanjang di dunia. Dari atas pesawat, kita dapat mengesani bahawa sungai adalah pancaran jiwa warga Bangladesh.
Rumah Allah
Kedamaian utama negara Bangladesh adalah banyaknya masjid di seluruh negara. Di Dhaka, terdapat 27 buah masjid utama dan puluhan masjid kecil melambangkan 90 peratus penduduknya beragama Islam. Masjid juga menjadi tarikan pelancong luar datang ke Bangladesh antaranya Masjid Mukarram, salah satu daripada 10 masjid terbesar di dunia. Masjid tersebut dapat menampung jumlah jemaah seramai 40 ribu orang dalam satu-satu masa. Azan bertalu-talu dari menara masjid ketika masuk waktu solat. Sebagai penulis, saya cuba mengaitkan keadaan kemiskinan dengan sesuatu yang dapat menyembuhkan jiwa.
Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang. Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.”
Perjalanan umrah saya begitu mengharukan dengan ‘jodoh’ tanpa sengaja ini. Walaupun kurang 10 jam saya berada di Dhaka, namun kesan perasaannya melekat sehingga kini. Saya berbual dengan beberapa pemuda Bangladesh yang pernah bekerja di Malaysia. Kesusahan mengajar seseorang untuk berubah dengan apa cara sekalipun. Misalnya, ramai warga Bangla yang menjual tanah sebagai cagaran bekerja di luar negara. Dalam perjalanan ke Jeddah, saya dan rombongan berada dalam pesawat yang penuh buruh-buruh Bangladesh. Mereka antara kumpulan yang berterusan diambil bekerja oleh Kerajaan Arab Saudi untuk membangunkan Mekkah dan Madinah. Ianya salah satu cara membantu penduduk Bangla keluar dari warisan kemiskinan.
Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami. Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda Bangladesh lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama Kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan Kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah.
Menggali Hikmah
Hari-hari terakhir di Mekah, saya mengambil kesempatan mengunjungi kedai aksesori yang terletak di Abraj Al-Bait Towers. Salah-satu kedai dimiliki anak muda berusia 20-an dari India. Dalam perbualan kami, si pemuda mengatakan dia datang ke Arab Saudi sebagai buruh binaan pada usianya 15 tahun. Hasil wang simpanan, pemuda ini nekad membuka perniagaan berdekatan Masjidil Haram dengan kadar sewa RM15000 sebulan.
“Mekah adalah satu-satunya tempat di dunia yang menerima kunjungan pelancong sepanjang tahun terutama di musim haji dan umrah. Justeru, saya tidak takut menyewa dengan kadar tinggi kerana pulangannya berbaloi,” jalas si pemuda. Semangat tersebut saya kaitkan dengan peristiwa yang saya temui di Bangladesh. Kemiskinan bukanlah warisan. Sebaliknya kemiskinan adalah titik-tolak seseorang untuk mengerah potensi dirinya menjadi manusia berjaya. Saya menutup cerpen tersebut dengan kata-kata ini:
“Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami di Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya
Begitulah kembara memberikan ‘kehidupan’ lain kepada para penulis. Dengan meletakkan diri sebagai bahagian menusia yang ditemui sepanjang perjalanan, baharulah penulis menikmati pengajaran dan menuangkan semula kepada para pembaca. Sungguhpun telah 10 tahun berlalu, saya menantikan jika ada jodoh lagi dengan negara Bangladesh yang kini menumpangkan jutaan pelarian Rohingya di negaranya. Walau negara ini padat dengan golongan miskin, keterbukaan mereka menerima saudara pelarian membuatkan negara ini dipandang kaya dan mulia.
Di dalam rumah 24 jam. Fikiranku terbang. Ke daerah-daerah yang pernah kulalui dalam takah umurku 23 tahun.
Aku rindukan lorong-lorong di Jaddat Salamiyeh, Suq Jum’ah dan Pekan Baromkeh. Tempat tersusah untuk aku berangan-angan ke sana lagi. Bumi Damascus yang menyambutku akhir tahun 2005. Sejuk anginnya. Ya Allah.. aku mahu ke sana..bawalah aku ke sana lagi..
Di sana aku bagai tersihir oleh pengalaman. Alangkah luar biasanya kejadian Tuhan, menciptakan manusia pelbagai bangsa, bahasa dan perangai. Yang selama ini, aku terkurung dalam diri yang sempit. Aku sembuh dari kejahilanku sendiri mentafsir ujianNya padaku. Aku bersyukur Dia memberiku ubat dengan cara keluar dari posisi enakku.
Di saat melihat salji memenuhi jabal Beludan, aku bertanya lagi, Betulkah yA Allah aku berada di bumi Syria yang indah?
Aku seperti nampak keriuhan anak-anakku, anak-anak jiranku berlarian di halaman surau depan rumah. Bermain girang, bergaduh dan menangis, main semula.
Mereka datang ke rumahku, meminta air. Hanya air sejuk menghilang penatnya berlari dan mengejar. Dua anakku mengambil cawan untuk teman-temannya. Cawan dengan air kosong sahaja, tetapi mereka bahagia. Mereka sambung main di halaman rumahku pula. Sehingga tiba-tiba ada yang menangis, bola yang disepak terkena dahi atau pipi.
rindu..
Dan jika berlaku hal cemas begitu, memberi tanda permainan akan tamat segera. Masing-masing pulang ke ‘sarang’. Dua anakku masuk ke rumah.
Aku lalu berleter, “Mengapa main kasar sangat?” “Habis baju kotor (atau seluar yang koyak).”
Aku menutup jendela.
Itu hanyalah peristiwa semalam, sebelum kita semua digelapkan oleh sang virus tanpa belas kasihan.
Halaman surau depan rumah sunyi amat.
Halaman sendiri meriah dengan rumput yang mula meninggi.
Akhirnya, aku telah bertemu perasaan ‘orang-orang’ yang memejamkan mata mereka terhadap ‘angka umur’. Aku juga tidak silu lagi mengatakan, ‘Ah, umur hanyalah angka..’ Hampir tidak percaya, aku jadi gembira kepalang, seakan mendapat hadiah apabila rakan baikku ‘tersalah’ angka ketika mengucapkan ‘Selamat hari lahir Ummu yang ke 35..’ pagi tadi. Seperti jasad fizikal yang menghampiri ke takah ‘serius’, satu fasa peringatan akan hakikat perjalanan ke akhirat, begitu jugalah umur. Sedikit tetapi ‘sangat laju’ meninggalkan masa lalu, menjadi kepingan memori dan kenangan.
Tahun ini, kuusung juga amanah-amanah ‘tahun lepas’ yang tidak kulunasi. Ada perkara yang kita mahu, tetapi belum tentu baik. Begitu juga sebaliknya. Masa kita semua sama. Tidak cukup masa bukanlah alasan ‘luar biasa’ lagi, malah menjadi kebodohan jika mengucapkannya. Yang sebenarnya adalah ‘masa adalah keutamaan’. Jika sesuatu amanah atau tugas diberi keutamaan, maka ia akan selesai sekalipun memakan masa yang lama. Soal memberi keutamaan telah dibincangkan dalam bidang Fekah iaitu Fiqh Awlawiyat dalam hidup seorang Muslim.
Untuk umurku yang telah bergerak laju ini..Semoga Allah SWT selalu memberi taufiq dan hidayahNya. Banyak kelekaan yang menyebabkan diriku gusar dan gelisah. Semoga Allah jugalah yang mengampuni masa laluku, dan membimbing aku untuk memperbaiki masa kini dan akan datang, dengan didatangkan orang-orang yang disebut dalam Surah Al-Asr; berpesan kepada kebaikan dan berpesan kepada kesabaran.
Wahai diri, kuhadiahkan padamu sebuah senyum yang menyalakan semangat umur..!!!