Dunia Suami Isteri

Bulan Madu Yang Tertangguh

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Tahun 2020 hadir dengan pelbagai perancangan dan salah-satunya adalah menunaikan umrah dan berkelana ke bumi Istanbul dengan suami. Saya berdoa agar hajat ini dimakbulkan Allah SWT. Mengapa Tahun 2020? Pada 14 Januari 2019, saya telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan luar rahim. Saya telah bernazar, jika pembedahan selamat, saya mahu mengerjakan umrah berdua dengan suami. Allah SWT menyelamatkan saya bahkan selepas enam bulan pembedahan, Dia mentakdirkan saya mengandung kali ketiga. Nikmat yang tidak dapat saya ungkapkan selepas enam tahun saya tidak mengandung. Justeru, waktu terbaik untuk bermusafir jauh adalah sebelum saya bersalin.

Pihak Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya akan mengadakan seminar di Universiti Fateh, Istanbul pada 25 dan 26 Mac 2020. Saya dilantik menjadi sebahagian ahli jawatankuasa. Saya lihat ada susunan cantik jika saya menunaikan umrah dan langsung ke Istanbul menyertai seminar. Maka, saya dan suami membeli tiket secara DIY. Saya menyusun jadual perjalanan, melihat senarai hotel di Madinah dan Mekah, melayari blog-blog pengembara DIY, mencatat petua-petua penting sepanjang perjalanan. Bahkan, sudah mencarikan pengasuh untuk menjaga dua anak yang bakal ditinggalkan selama 17 hari! (umrah 10 hari dan Istanbul 5 hari, perjalanan pergi balik 2 hari).

Saya menangis dalam doa dan munajat. Benar-benar mengharapkan Allah SWT membawa kami ke rumahNya, Baitullah. Saya dan suami menghadiri dua kali kursus umrah. Kami telah membeli tiket serta membuat tempahan hotel, kini tinggal bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Saya yakin, jika belum benar-benar melihat Kaabah dan Masjid Nabawi, maka tidak boleh terlalu gembira. Apa sahaja boleh berlaku dalam ketentuanNya.

Dalam debar menanti tarikh penerbangan pada 12 Mac 2020, saya sudah mengikuti berita tentang Virus Covid 19. Sejak awal Januari 2020, virus ini menjadi percakapan akhbar antarabangsa. Saya baca kolum seorang wartawan CNA (Channel News Asia) menceritakan hari-hari suramnya meraikan Tahun Baru Cina. Perjalanan yang panjang antara wilayah-wilayah negara China dan perintah lockdownyang menyebabkan jutaan rakyat tersekat. Ada yang tidak sempat pulang ke kampung, dan ada yang terkandas di tengah jalan. Penulis sendiri ralat kerana baginya Tahun Baru Cina adalah satu-satunya perayaan yang menghubungkan anak dengan ibubapa yang tinggal berjauhan. Bahkan, dalam budaya kerja di China, adalah sukar mereka mendapat cuti dalam satu-satu tahun kecuali Tahun Baru Cina. Dan tahun ini paling menyedihkan dalam hidupnya.

Saya sekadar simpati kepada si penulis tetapi tidak membayangkan bahawa Malaysia bakal menemui nasib yang sama, atau sekurangnya akan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku saat saya menulis catatan ini. Dalam tempoh akhir Januari dan Februari, hujung minggu kami sibuk pulang ke kampung di Pahang dan Kedah, serta membuat temujanji dengan doktor yang akan menguruskan kelahiran anak ketiga nanti. Salah seorang doktor sangat gembira mendengar perancangan umrah DIY kami. Dia sendiri baharu pulang dari Mekah dan Madinah, memberikan saya tips umrah secara mandiri.

Mac 2020 tiba dengan berita-berita suram. Malaysia sudah mula diterbaki Covid 19, dibawa oleh para pelancong negara China. Tetapi kami tetap optimis menjadi tetamuNya, virus dirasakan tidak sampai membenam perjalanan harian dunia. Saya juga telah menempah penginapan di Istanbul. Seperti merangka perjalanan bulan madu kali kedua dengan suami. Musafir yang saya harapkan dapat memperkukuhkan kasih sayang kami. Walaupun kami telah merantau ke Seoul, hampir lima tahun lamanya, tetapi tidak pernah kami berjalan jauh tanpa anak-anak. Di tanah air, setiap masa luang adalah masa bersama anak-anak. Saya berdoa perjalanan umrah dan trip Istanbul adalah perjalanan cinta kerana Allah. 

Pertambahan pesakit mula terjadi bahkan sudah menjangkiti orang tempatan. Dalam Facebook, ramai menyuarakan agar kerajaan Malaysia menyekat penerbangan dari negara China. Satu catatan di FB begitu menyentak fikiran saya apabila si penulis mencadangkan agar kerajaan memulakan lockdownselama 14 hari. Begitu sekalikah ancaman Covid 19 di Malaysia walaupun jumlah jangkitan belum sebanyak Singapura dan Thailand waktu itu? Pada 28 Februari 2020, Malaysia mencatatkan sebanyak 25 kes jangkitan tanpa ada kematian (dan saat catatan ini ditulis, Malaysia sudah mempunyai 2320 kes dengan 27 kematian). Paling menyuramkan saya awal Mac 2020, Kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan penutupan penerbangan seluruh dunia. Maka, terkuburlah hasrat kami ke tanah suci. 

Teman-teman sekerja masih yakin meneruskan trip ke Istanbul. Pada waktu itu, Turki baru mencatatkan 6 kes positif Covid 19. Ketua rombongan kami mengatakan keadaan di Turki terkawal, malah belum ada sekatan penerbangan. Saya memindahkan rasa sedih tidak dapat menunaikan umrah kepada perasaan ingin beriktikaf di masjid-masjid di Istanbul. Saya begitu berharap ianya menjadi perjalanan yang mengukuhkan rasa cinta kami suami isteri. Namun, Tuhan mempunyai cara yang lain memakbulkan niat saya.

15 Mac 2020, pihak penerbangan menghantar emel bahawa tiada lagi perjalanan ke Istanbul. Kami diminta mengisi borang bagi tujuan mendapatkan semula duit tiket. Saya dan suami berkejaran ke pejabat Emirates Airlines di tengah Kuala Lumpur. Kami tidak menangis, tidak juga tersenyum. Kami pasrah dan yakin itulah yang terbaik. Bukan rezeki untuk bermusafir berdua tahun ini. Malamnya, Perdana Menteri membuat pengumuman perintah PKP, berkuatkuasa 17 Mac 2020.

Saat catatan ini ditulis, selepas hampir dua minggu, penularan pandemik Covid 19 di Turki naik mendadak iaitu 9217 kes dengan 131 kematian. Malah terdapat satu kematian di Malaysia yang berpunca daripada perjalanan ke Turki. Allah ya Allah.

Akhirnya kami akur pada Qada’ dan Qadar Allah SWT.

Rezeki kami adalah menikmati hari-hari penuh cinta di dalam rumah. Pasti ada hikmah!

Loading

Suami Isteri, Jiran Paling Dekat Maka..

Beberapa hari lalu, saya berasa dekat dengan maksud Surah Al-Asr :

‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan  kebaikan, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Tegur-menegur antara kami suami-isteri setiap hari berlaku. Selalunya dalam keadaan tenang, dan selalu juga dalam keadaan emosi yang kemudian disusuli dengan maaf-bermaafan. Saya akui, sebagai anak sulung 11 beradik, dan suami anak bongsu, yang hanya dia seorang lelaki, tentulah saya banyak ‘menegurnya’ bak ‘kakak sulung’ kepada ‘adik bongsu’. Tetapi syukurlah kerana bekalan ilmu agama yang dipelajari sejak kecil hingga ke universiti, saya pohon Allah bantu gantikan ‘keegoan anak sulung’ dengan rasa hormat, takut dan yakin sepenuhnya kepada suami. Ia bukanlah proses yang mudah, tetapi Kalam Allah menjadi ‘maps dan GPS’ yang tidak pernah mengecewakan.

Beberapa hari ini, saya kerap juga menegur suami agar lebih mengambil-berat tentang ibunya. Dia seorang anak yang baik, tetapi kesibukan menyebabkan seorang anak lelaki sering terlupa untuk menghubungi ibunya setiap hari. Lalu saya bertanya, apakah hari itu dia sudah menelefon ibunya, dan biasanya soalan saya akan disusuli nasihat panjang kepadanya, “Abangku, jika kamu mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang apapun, maka jagalah tiga hubungan yang pertama dalam hidup kita 1. Allah 2. Rasul 3. Ibu. Cintailah ibu lebih dari cinta kepada isteri. Tolonglah ambil berat, telefonlah dia setiap hari walau bertanyakan ‘Mak masak apa hari ini?”

Begitulah anak lelaki, sering berasa emak mereka baik-baik sahaja di kampung. Dapat telefon emak sekali dua dalam seminggu dirasakan cukup. Mereka bukan anak derhaka, tetapi seni memahami perasaan wanita tua perlu dibantu oleh isteri. Jiwa keibuaan isteri adalah sama dengan jiwa ibu kepada suami kita.

Dalam hal yang lain, suami pula banyak menegur saya. Dari pengurusan sistem kerja dan belajar sampailah cara berbahasa dengan orang lain. Dua hari lepas, saya mengadu kepada suami tentang sikap-sikap orang yang tidak menyenangi saya (yang saya fikir) di tempat kerja. Lalu suami tidak pula menambah ‘perasa bawang’ bila saya emosi. Dia akan memujuk saya tidak perlu fikir yang negatif. Sebaik saya tenang dia berkata, “Ummi bagilah hadiah kepada kawan yang tidak senang dengan Ummi tu ya..” Ya Allah, saya mahu menangis kerana Allah telah mengirimkan seorang pasangan hidup yang hatinya baik pada orang lain.

Begitulah, waktu saya menasihati suami, saya bukanlah sempurna. Waktu suami memberi nasihat kepada saya, dia pun bukan paling sempurna.

Ianya bunga-bunga kehidupan yang Allah telah terangkan dalam Surah Al-Asr bahawa manusia itu akan terjamin kebahagiaan dan kebaikan mereka hanya sahaja mereka perlu ‘berpesan kepada benda yang baik dan bersabar dalam musibah.

Semoga pasangan kita adalah sahabat kita seperti dalam Surah Al-Asr, menemani kita di dunia untuk Bersama kita di Syurga Firdaus. Amin