Untuk kesekian kalinya, diriku tidak pernah menyesal untuk memulai semula yang bernama tulisan. Yang menjadi sulit untuk menulis bukanlah masa dan rutin, tetapi sikap yang berangkat dari sifat mazmumah. Ku katakan kepada diri, masa tidak pernah berubah konsep kerjanya, tetapi manusia dengan perubahan yang paling sulit dijelaskan, akan mencipta pelbagai alasan melindungi kekaburan diri terhadap waktu.
Aku telah meninggalkan banyak jendela pengalaman tanpa tulisan. Ini bertentangan dengan cita-cita awalku membangunkan laman sesawang ini. Menyimpan emosi, fikiran dan hal-hal yang dialami cuma dalam diri, belum tahu lama bertahannya. Sehinggalah kelmarin aku menemukan satu kata-kata yang membuatkan aku menulis sekarang. ‘Seseorang itu adalah … choice made by other people construct our identities, and our own choices in turn construct and transform our identities. Our day to day activities continue this process of construction (Homi K Bhabha)
Kita adalah kehidupan kita sendiri. Ada yang boleh kita pilih dan tidak boleh. Kita boleh memilih negara untuk kita bekerja dan tinggal, tetapi kita tidak boleh memilih ibubapa dan bangsa yang telah diputuskan olehNya kepada kita. Kita boleh memilih waktu tetapi tidak boleh menyanggahi waktu yang telah berlalu dan belum datang. Begitulah uniknya kita berubah-ubah sehingga kita tidak pasti alasan yang menyebabkan kita berfikiran seperti sekarang dan berasa malu mengapa kita telah melakukan beberapa hal ‘gila’ waktu remaja dulu.
Dan hal yang subjektif juga untuk dituliskan mengapa begitu lama tidak menulis sebarang tulisan di laman ini?
Aku banyak berjalan sejak menghuni Dongdaemon Gu, salah satu kota besar di Seoul. Pernah suatu petang, aku tersesat jalan dan memakan hampir (atau lebih) 5 kilometer untuk sampai ke rumah. Perjalanan petang ini tidak dapat kulupakan dan paling bersejarah sejak aku menetap di Seoul. Aku rupanya dibawa arah ke Gunung Cheongjang dan mendaki gunung tersebut bagai mimpi, dibawah rintik hujan. Ketika berada di puncak gunung, aku menoleh jika kembali ke jalan asal (Hoegi-ro) aku perlu berjalan sejauh 500 meter kemudian mengambil teksi pulang ke rumah dalam 2 kilometer dan jika kuteruskan jalan ke depan, kakiku akan melangkah sejauh 1.7 kilometer untuk sampai di rumah. Akhirnya, kerana ketampawanan alam yang pertama kali kurenung dari puncak, maka kuteruskan perjalanan ke depan.
Gambar di atas adalah ‘penyihir’ yang membawaku pertama kali ‘sesat’ setinggi hari itu; 12 Jun 2023. Aku nampak hutan hijau damai, tidak menggerunkan. Aku kemudiannya nampak laluan kayu, cantik dan berbudaya tinggi serasa di atasnya. Itulah aku akhirnya menjadi penikmat kaki. Saat berjalan pulang, fikiran-fikiranku sempat serabut sebentar. Mengingat anak-anakku saat itu sudah berkumpul di rumah, dengan aku masih mendaki dan menuruni puncak. Aku terbayang juga suamiku yang kewalahan melayan mereka semua, dan aku belum memasak apa-apapun hari itu untuk mereka.
Aku sempat mengembara kembali apa yang telah aku lakukan selama 4 bulan hijrah kedua di Seoul, dan aku temukan diriku dengan banyak watak dan ‘pekerjaan’; bergelar pensyarah, bergelar penulis, bergelar usahawan dan chef. Satu kali seminggu sekurangnya aku mengunjungi Pasar Namdaemon, mendapatkan ‘barang Korea’ untuk dijual ke Malaysia. Pasar itu dengan manusia-manusia peniaganya semacam menjuih bibir padaku, untuk menjadi ‘seperti mereka’ yang begitu ‘penat’ di mataku. Tetapi begitulah cara Tuhan mengajar aku menjadi seorang wanita ibu, dan mungkin wanita yang menanggung banyak amanah ekonomi. Sehingga-hingga aku tidak peduli lagi ‘apa kata orang’ untuk menjadi seseorang yang bermanfaat. Aku mengetap bibir saat fikiranku kembali bersedih, tugas-tugas penulisan yang belum ‘husnul khotimah’. Terutama novelku, kajian akademik dan artikel yang perlu dibaiki.
Aku teringat yang memenangkan kita dengan waktu adalah fokus. Seperti hari ini, aku berlawan dengan kepenatan, ketinggian, hujan dan penyesalan adalah fokus untuk sampai ke rumah secepat mungkin. Jika tentangan fizikal ini kuhadapi cekal, gandaan cekal kuperlukan untuk menyelesaikan semua amanah penulisanku. Fokuslah senjata yang perlu kubeli dari diri sendiri. Sudah berapa lama gunung ini hanya berfokus menjaga dan melindungi manusia-manusia Dongdaemon? Dengan setiap zamannya mengalami perubahan yang memanfaatkan warga alam. Tiba-tiba aku tersedar, aku bakal menuruni cerun gunung dan manusia-manusia yang berselisih denganku mungkin sudah tiba di kaki gunung, sama ada di Hoegi Ro atau Cheongnyang ro. Aku teringin tahu apa wajah jalan yang menghubungkan gunung dengan rumahku; supaya nanti aku datang lagi dengan suami. Alasannya, aku boleh ada seseorang yang mendengar apa yang bertalu-talu di fikiranku, dan seseorang yang boleh mengambil fotoku untuk ruang media sosialku meriah dengan komen : Subhanallah..indahnya.
Oh rupanya di sinilah jalur-jalur lorong yang menjodohkan Universiti Kyung Hee dengan banyak gunung, air bukit, tasik dan bangunan agam sekitar. Bunga-bungaan menjalar dan tumbuh tanpa silu, hanya gangguan cuaca membunuhnya. Sewaktu aku tiba di tanah landai, berjalan menjauhi kaki gunung, aku tidak menoleh lagi dengan mataku ke arah tempat aku berjalan, mendaki dan menuruni tadi. Namun, dalam atmaku, aku nampak Gunung Cheongjang tersenyum dan menyuruh aku ‘tersesat’ lagi.
Sudah kami lalui dua tahap Ramadan menuju ke minggu terakhir, sungguh pantas dan mencemaskan. Kereta KIA Morning yang kami sewa sebulan ini benar-benar kami manfaatkan, sering membawa kami ke laman Masjid Itaewon, mengusir desir dingin yang belum menghilang.
Saya dan suami sebaik mungkin mencermati permintaan Darda’ terutamanya untuk makanan pilihan berbuka puasa. Alhamdulillah, dia kuat jiwa untuk berpuasa penuh walaupun terpaksa ‘ganjil’ di depan guru dan kawan-kawan. Saat semua rakan makan di kantin, dia hanya diam memerhati mereka makan. Waktu berpuasa yang panjang juga mengujikan tetapi syukur Darda’ bertahan. Hadiahnya, kami membawanya ke tempat menarik berbuka puasa antaranya Halal Yellow Chicken, Eid Restaurant , Ankara Kebab, Little India dan Pak India, selain berbuka di Masjid Itaewon dengan rakan Muslim pelbagai negara.
Saya mencermati dan membandingkan Korea yang kami hidupi sekarang dengan lima tahun yang lepas. Perbezaan utamanya adalah harga keperluan dan perkhidmatan naik dua kali ganda mahalnya. Jika dulu (antara tahun 2014-2018) makan di restoran ‘tepi jalan’ (bukan restoran mewah) untuk empat orang dalam 20,000 won ke 30,000 won (kira-kira RM100) kini normal empat orang makan harganya menjadi 50,000 won ke 60,000 won (RM168- 200). Inflasi yang memeluk dunia menyebabkan di Seoul, warganya semakin individualistik. Sifat ini tanpa sedar menghakis nilai-nilai lokal yang selama ini sangat mengambil berat orang lain.
Hidup menjadi ‘nafsi-nafsi’ atau istilah utaranya ‘hang-hang, aku-aku.’ Di kelas, anak-anak murid Korea lebih memilih untuk membuat tugasan secara individu berbanding kumpulan. Tiada masa bertemu, itulah alasannya. Apabila diselidik, baharulah saya tahu bahawa sebahagian besar mahasiswa Korea bekerja sambilan ketika belajar. Ada yang bekerja dari jam 5 petang sehingga 1 pagi, kemudian jam 8 pagi pergi ke universiti untuk kuliah. Dan rutinnya begitu selama 6 hari seminggu. Di peringkat umur 20-an, mereka sudah bergelumang angin keras akibat keadaan ekonomi yang zalim. Bayangkan, kos makanan asas yang mereka cicipi setiap hari antara 10,000-20,000 won (3 kali makan) atau dalam RM nya ialah RM70 sehari! Belum kos keperluan yang lain sehingga fikiran mereka dibelengu untuk bekerja dan hidup atau hidup dan bekerja. Di saat yang seharusnya, mereka hanya perlu fikirkan belajar dan berjaya. Tetapi bukan begitu sekarang di Korea.
Arus keras ini turut merenjat kami. Biaya taska yang tinggi untuk Ahda dan Aminah (800000 won sebulan atau RM2700) membuatkan saya dan suami membuat perniagaan kecil-kecilan (saya menjual brooch dan suami membuat travel guide/ airport tranfer). Pulang dari mengajar, dalam keadaan yang masih penat cepat-cepat pergi ke Pasar Namdaemon mengambil stok brooch yang telah dipesan, kemudian pulang dan menguruskan anak-anak berbuka puasa sehingga malam, mereka tidur. Berjagalah saya dan suami untuk urusan mengepos dan mengirim pesanan.
Suatu hari, suami membawa Dawud menemaninya hantar pelancong Malaysia yang memakai perkhidmatan airport tranfernya. Dalam perjalanan Seoul-Incheon, Incheon-Seoul, Dawud tidur di kereta, belum sempat makan banyak selepas berbuka puasa. Itulah saya berkata kepada suami, bagaimana dulu ibubapa kita berkorban membesarkan kita seluruh upaya mereka, dan kini giliran kita membuat apa sahaja yang halal untuk membesarkan anak-anak di manca negara antara termahal dunia. Semoga nanti, mereka juga akan membesarkan anak-anak dengan seluruh daya dan sepenuh tawakal pada Yang Maha Esa.
Akhir-akhir ini Ahda nampak dikuasai emosi gembira dan marah yang sukar dikawal. Jika gembira, amat gembira dan jika sedih atau marah akan menjerit nyaring. Saya fikir itu proses alami anak-anak perempuan dan tentunya ada yang dia ‘turun’ daripada ibunya (seorang yang emotif). Gara-gara kerap membuat nyaring suara (menjerit), kami disapa dengan satu notis amaran oleh pelajar yang tinggal di sebelah rumah kami. Kami dikatakan mengganggunya dengan suara alarm dan suara anak. Ini benar-benar membuktikan sifat individualistik sangat penuh pada diri orang di kejiranan kami.
Di ambang akhir Ramadan ini, saya membuka buku sejarah Muhammad, Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin. Di bahagian awalnya, beliau membuka tulisannya dengan susur galur Bani Quraisy yang bermula dengan Nabi Ibrahim AS. Pembinaan Kaabah telah menarik penduduk Tanah Arab melakukan ibadah haji dan umrah mengikut peraturan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Malah keturunan Nabi Ishak AS turut memuliakan Kaabah sebagai rumah suci yang dibina bapanya, Nabi Ibrahim AS. Bagi mereka semua itu adalah tempat menyembah Allah SWT. Namun setelah lama, kemurnian ibadah di sekitar Kaabah mulai tercemar apabila keturunan Nabi Ismail AS berkembang terlalu banyak sehingga ke luar Kota Mekah. Ketika mereka berpindah jauh dari bumi Mekah, mereka turut membawa batu-batu dari kawasan Kaabah dan mula melakukan acara tertentu bagi memuliakannya. Bahkan, mereka mulai dipengaruhi tradisi puak penyembah berhala di kawasan kejiranan mereka, sehingga tahap akhirnya, mereka membawa berhala ke Mekah dan diletakkan sekitar Kaabah. Fahaman bahawa berhala menjadi perantara antara manusia dengan Tuhan mula meresapi masyarakat Mekah. Cara ibadah yang terus kepada Allah SWT diganti dengan perantara berhala. Cara ini akhirnya menjadi sebati, dan totalnya mereka semakin menjauhi kebenaran, dan memakai kesesatan dan kebatilan syirik.
Begitulah saya merenung diri bahawa individualistik adalah berhala baharu dunia moden, yang kini amat dirasakan di Seoul. Semua orang hidup dalam dunianya tersendiri, menolak hidup orang lain yang dianggap sebagai gangguan jika menyentuh kehidupan mereka. Terngiang lagi kata-kata seorang pelajar saya bahawa dia sangat merindukan hidup seorang diri dalam kamar selama Covid 19 dan, rindu melihat jalanan Imun-Dong (di HUFS) ini sepi tiada orang. Kini apabila keadaan kembali asal, orang-orang seperti kelkatu di jalanan, dan suara manusia sudah bergema, dia seakan meluat semua itu kerana merampas waktu dirinya sendiri.
Dan doa yang paling kerap kini adalah Allah SWT memberikan kami peluang untuk membina hidup baharu dalam biah Solehah di akhir zaman, serta datangkanlah ‘penyelamat’ umat manusia sebagaimana Nabi Muhammad SAW telah datang mengubah Mekah menjadi tanah suci umat Islam kembali persis di zaman moyang baginda SAW iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS.
Ramadan 2023, antara yang paling ‘kental’ pernah kami jalani dalam hidup. Subhanallah, bunga-bunga menyerikan suram kami untuk terus melekat padaNya.
Kami mulai langkah baharu dengan Bismillah. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Mengapa pergi?
Jawapannya adalah mencari Cinta di atas cinta. Merawat diri dan hati. Mengembara, berkelana dengan tawakal paling dalam.
Sebenarnya, ianya tidak semudah itu. Bilah-bilah hari berlalu antara tahun 2020 hingga akhir 2022 saya lalui dengan payah. Kekuatan pada masa itu adalah melihat orang lain terutama keluarga terdekat, sahabat-taulan dan rakan media sosial yang menerima ujian lebih dahsyat berbanding saya. Misalnya, seorang rakan baik sejak kecil, suaminya meninggal dunia mengejut, pergi selamanya dari sisi sang isteri dan tiga anak lelaki. Saya begitu terkesan dengan kehilangan suami adinda A apabila saya melihat situasi sendiri. Suami saya saat itu kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia kemudian berdikit-dikit berniaga. Justeru, sebahagian besar kewangan kami di ibu kota saya yang menanggung, kadangkala memunculkan rasa berat dan payah. Ujian hebat untuk suami di kala ekonomi negara saat Covid 19 dan pasca Covid 19 mencorot. Saya kuatkan jiwa dengan berkata kepada diri, “Adinda A kehilangan suaminya, tetapi saya masih mempunyai suami yang pekerjaan tetapnya hilang tetapi pasti Allah akan meluaskan rezekiNya dalam bentuk yang pelbagai..”
Jika kalian tinggal di tengah kota Kuala Lumpur, kalian akan faham mengapa begitu berat ujian kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.
Dalam tahun-tahun mengujikan, kami dikurniakan dua anak perempuan, masya Allah; nikmat yang amat besar. Saya kemudiannya bertarung dengan peperangan ‘masa’ yang dahsyat. Antara tuntutan KPI pekerjaaan saya yang tinggi, anak-anak dan perjalanan ke tempat kerja yang mengujikan (kesesakan luar biasa). Saya menjadi bingung dan selalu lelah. Apa-apa yang ingin dilakukan (terutama menulis artikel dan menulis kreatif) padam apabila tiba di rumah. Anak-anak kecil tidak mahu melepaskan saya sehingga ruang (untuk diri sendiri) di rumah tinggal untuk tidur menghilangkan lelah.
KPI akademik menjunam dari 90++ ke 70++ dan kemudian 60++ gara-gara ‘lemah’ mengurus masa. Saya cintakan pekerjaan saya sebagai guru dan penyelidik namun keadaan menghambat saya untuk menyoal diri; wajarkah aku berhenti kerja untuk fokus kepada anak dan penulisan kreatif, di mana masaku sekarang amat terbatas?!
Ketika rencah-rencah hidup mulai berbeza rasa, penyedapnya adalah bermuhasabah, berdoa dan memasang impian. Kerap kali muncul di fikiran untuk berhijrah ke daerah yang memberi ruang lebih baik untuk saya menjadi isteri, ibu, guru dan penulis dengan keadaan yang tidak menekan dan menindas.
Ke Korea semula? Ah..angan-angan.
Impianmu, Doamu
Itulah suratannya. Saat diri hampir dirempuh kawanan resah, saya mendapat tawaran dari ayahanda guruku, Prof Dr Koh Young Hun, “Jika umi mau mengajar di Hufs, saya tidak akan menawarkan kepada orang lain,” katanya. Saya berbincang dengan suami. Serta-merta dia kembali mendapat nyawanya untuk bergerak lebih maju sebagai ketua keluarga. Dia mahu saya memberinya peluang di perantauan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik, untuk keluarga kami yang kini berjumlah 6 orang.
“Jika pilihan kita ke Korea itu baik, semoga Allah SWT permudahkan,” itulah iltizam kami selepas melakukan Istikharah.
Proses itu berlangsung baik, tepat pada waktunya. Saya meninggalkan pekerjaan, rakan-rakan dan pelajar-pelajar di saat semester selesai. SESUATU YANG KAMI ANGAN-ANGANKAN WAKTU GURUH DAN HALINTAR MUNCUL, KINI MENJADI DOA YANG MAKBUL.
PERJALANAN
27 Februari 2023. Jam 6 pagi kami tiba, lebih awal 30 minit. Saya dan suami sudah membuat keputusan, kami akan turun paling lewat (seperti sebelum-sebelum ini kami tiba di Seoul pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dan terakhir 2018). Kedua anak lelaki kami (Dardak dan Dawud) yang dulunya kami kendong dan kejar, kini bergandingan menjaga adik-adiknya Ahda dan Aminah. Beberapa kali suami bercakap kepada saya, “Kita seperti membawa Darda dan Dawud yang dulu” merujuk Ahda dan Aminah sekarang, memang persis, masya Allah!
Tempat pertama kami tuju adalah bilik air (hwajangsil). Suami dan anak-anak lelaki mengambil wudhuk dulu, langsung menunaikan solat Subuh, biarpun bukan kawasan surau. Saya menukar lampin pakai buang Ahda, sementara Aminah yang terkurung dalam baju tebal kelihatan masih mengantuk. Kami perlahan-lahan berjalan ke stesen tren yang akan membawa kami ke ruang imegresen dan ketibaan. Saya melihat lapangan terbang ini sedikit menyusut jumlah pelancongnya berbanding Oktober 2019, bulan terakhir saya mendarat di sini.
Bibir menguntum senyum saat menulis borang-borang wajib untuk masuk ke ruang ketibaan. Tarikh perlu bermula dengan tahun, bulan dan hari (di Malaysia kita bermula dengan hari, bulan dan tahun). Syukurlah urusan di kaunter imegresen mudah. Kali ini terlihat Darda’ lebih matang, membantu ayahnya mengumpulkan semula bagasi-bagasi kami yang berat keseluruhannya 80 kg. Sebelum sampai ke pintu keluar, satu beg kami ditahan dan perlu pemeriksaan teliti. Rupanya telur masin yang dikirim emak menerima lampu amaran. Allahuakbar, telur itu kemudiannya diizinkan masuk ke Korea (berkah ikhlas emak saya mahu kami makan di Seoul).
Desir 0 celcius mulai menyapa. Dawud dan Darda’ yang sudah biasa sebelum ini tersenyum ceria, menghembus-hembus nafas dan teruja melihat asap dari mulut masing-masing. Ahda dan Aminah diam dan pasif, terkejut cuaca. Sahabat kami Nasriah mengirimkan pekerjanya menyambut kami dengan van Starex (dari airport ke rumah dalam 100 ribu won). Sepanjang perjalanan saya merakam video. Saya tidak tahu untuk mengucapkan betapa saya tidak percaya sampai ke sini lagi, dengan suami dan 4 anak. hanya hati bertasbih dan bertahmid. Saat mentari meliuk di atas Sungai Han, saya ingin menangis. Sungai Han..kuatnya jodoh kita lagi.
“Darda’, kita sudah kembali ke Korea, Darda’ ingat tak lagi?” banyak kali saya ulang kepada Darda’. Saya maklum, perasaannya kala itu mungkin tidak terlalu teruja, seperti ibunya. Mungkin masih teringat-ingat keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya di tanah air. Masuk sahaja ke ruang HUFS, suami mula bersuara, mengingati jalan-jalan yang kami tinggal seakan tidak berubah. Saya sudah menerima kata kunci untuk masuk ke unit kediaman kami. Anak-anak murid Korea sudah menanti (Hyunso dan rakan-rakan) untuk membawa barang-barang kami ke rumah, kali ini di lantai 11 (2017-2018 kami dilantai 6).
rumah cinta
Setelah selesai meletakkan barang-barang, saya perlu ke pejabat pentadbiran HUFS untuk urusan sign kontrak dan membuat akaun bank. Kami bercadang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon; biarpun jauh dan perlu mengharungi banjiran manusia dalam subway, tetapi kami mesti pergi untuk menyatakan syukur kami kepada ALLAH SWT di rumahNya.
hari pertama itu, kami tidak sedar yang kami bergerak sehingga jam 11.30 malam, untuk bangun esok pagi dan berkata pada diri; kami sudah menjadi sebahagian yang kami doakan, tinggal menyempurnakan dengan baik segala amanah, segala ujian dan nikmah yang di depannya adalah redha ALLAH SWT dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Kami mahu hijrah kedua kami di sini, akan lebih baik dari sebelumnya dalam hubungan kami sesama manusia, dengan alamNya dan tentunya dengan Pencipta.
Baru-baru ini aku telah membaca sebuah cerpen dari penulis yang aku senangi tulisannya sejak dulu. Cerpen itu berjudul ‘Sekilas…Aku pun Jatuh Cinta.’ Penulisnya, Zainal Rashid Ahmad atau sekarang popular dengan gelar Haji ZRA.
Cerpen ini bertemakan cinta romantik. Namun bila membacanya, aku mahu membaca lagi kerana cinta romantik yang dikemukakan penulis amat sadis. Sadis gila!
Aku kira ini adalah pengalaman Haji ZRA sendiri sebagai seorang wartawan yang telah mengelilingi 27 buah negara dunia termasuk negara-negara Islam berkonflik seperti Afganistan, Kosovo dan Palestin. Untuk menjelaskan kemunculan cinta romantik watak utamanya, penulis menggambarkan dulu latar cerpen yang dapat ditangkap menjadi satu-satunya alasan mengapa ‘cinta romantik aneh’ itu muncul.
Begini permulaan cerpen:
‘Tidaklah mudah berjalan di atas tanah merah yang berdebu pada musim panas yang berbahang. Matahari pada bulan Mac di bumi paling panas di dunia membuatkan tubuh terasa seperti terpanggang bara api.
Di bandar kecil Kebri Dehar – di bumi 100 meter di bawah paras laut dengan sejarah suhu 63 darjah celsius – berjalan kaki di celah-celah bangunan kayu yang disimen dengan lampiran tanah liat – terasa sangat menyeksakan.
Di bumi sempadan paling panas dan paling sunyi – kalau pun aku seekor keldai – aku pun akan mati kalau terus berjalan satu atau dua kilometer lagi.
Di tepi jalan berdebu tebal ini, keldai juga sepertiku; lesu, kumuh dan memaki matahari.’
Kita sebagai pembaca dapat membayangkan ‘bumi paling panas di dunia’ ‘sejarah suhu 63 celcius’ ‘paling sunyi’ ‘keldai pun akan mati’ ‘lesu, kumuh dan panas azab.’
Begitulah yang dialami watak utama, seorang wartawan Melayu yang membuat liputan konflik di negara umat Islam tertindas. Anehnya, apa yang dapat melupakan seketika rasa ‘lunyai’ itu adalah perasaan ‘jatuh cinta kepada gadis tempatan. Hanya perasaan ‘jatuh cinta’ bukan asmara.
Watak kemudiannya teringat juzuk-juzuk pengalaman ngeri yang sama ketika membuat liputan berita di musim dingin paras negatif di Kosovo. Kesejukan, keletihan dan simpati kepada mangsa-mangsa perang di depan mata menyebabkan ‘perasaan untuk jatuh cinta kembali amat penting.’ Terpandang gadis Kosovo bermata biru, menjadikan hati tipa utama ‘jatuh cinta lagi.’ Begitu saat membuat liputan di Lubnan, gadis Arab yang menjadi penerjemah adalah ‘mangsa jatuh cinta’ watak utama. Berkali-kali watak keletihan dan berada dalam perasaan ‘hampir tercabut nyawa’ tetapi disembuhkan oleh perasaan ‘jatuh cinta’.
Dalam cerpen ini, watak berada di Somalia. Berasa diri sudah seperti keldai malang sebaik selesai memburu berita-berita kematian dan kebuluran umat Islam di Sempadan Somalia. Akibat diigau bayangan kematian yang dahsyat, si watak sanggup mengitari kawasan demi perasaan ‘untuk jatuh cinta lagi’ kepada mana-mana gadis Habsyah yang muncul di matanya.
‘Jatuh cinta di Kebri Dehar hanyalah sekadar menikmati pesona seorang gadis Ethiopia. Melihat tubuh di balik gaun dan kerudung putih yang berteduh di bawah payung lebar.’
Dan pendirian penulis amat jelas apabila menyusun semula ‘perasaan pembacanya’ bahawa wataknya bukan lelaki yang mengambil kesempatan. Dia hanya ‘mahu menyelamatkan sepi dan siksa jiwanya’ atas pekerjaan sebagai wartawan perang. Seperti katanya:
Jatuh cinta bukanlah untuk menyintai atau dicintai. Tetapi untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh sepi dan keletihan.
Begitu saya selesai membaca Cerpen Sekilas..Dan Aku pun Jatuh Cinta’ saya pun menghantar mesej Whatsapp kepada Haji ZRA : Abang Zainal, dalam hutan ketika tiada makanan dan terasa nak mati lapar, babi pun halal makan.
Semalam adalah 2 Januari 2023. Semalam adalah ulangtahun hari kelahiranku yang ke 40. Ya Allah, di mana saat itu tiba aku berpesan pada diri; hadiah yang sebenar-benarnya hadiah adalah umur yang bergerak, menandakan aku masih bernyawa untuk mengumpul sebanyaknya amalan untuk bertemu Pemilik umurku. Jadi, aku tidak begitu peduli jika tidak mendapat hadiah dari manusia lain. Allah SWT Maha Pemberi.
Semalam, aku ingin menghadiahkan diriku suatu tulisan di sini. Tulisan yang boleh mengingatkan aku bahawa ada batasnya menjadi manusia hambaNya. Iaitu aku tidak boleh bertindak di luar syariatNya, berfikir di luar garisNya dan meyakini selainNya. Semua itu memerlukan diriku untuk berhati-hati; berkata-kata, menilai-nilai dan membuat keputusan. Sepenuhnya aku berserah dengan ketetapanNya di hari-hari mendatang. Aku hanya mampu berdoa dan menjalani apa yang telah ada untuk dilunasi dengan sebaiknya. Tanggungjawab sedia ada begitu berat; menjadi seorang isteri, ibu, anak, guru, sahabat dan manusia.
Aku teringat pesan suamiku tadi. Katanya kita telah memilih untuk ‘itu’, maka sekarang kita persiapkan mental dan segalanya dengan keyakinan bahawa Allah SWT akan mengaturkan yang terbaik. Usah lagi menoleh dan berfikir yang bukan dari garisNya.
Ada dua buah buku yang perlu kumulai kerana janjiku. Semoga aku tidak lewat mengatur waktu yang akhirnya aku berkata, ‘sepatutnya aku memulainya semalam’.
Kembali ke saat aku merayu-rayu dan Tuhanku memberikan jalur yang lain dari doaku. Dari hari ke hari kurasakan akan jatuh kerana tidak muncul apa yang kudoakan. Sejauh hari yang berlalu, disaat fikiranku beronar-onar dengan salah tafsir pada maksud Tuhanku, terbit pelangi. Bukankah ketenangan, bukankah kekuatan jiwa, bukankah pasangan soleh dan restu ayahbonda, bukankah semuanya itu adalah ‘hadiah’ Tuhanku? sehingga aku boleh terus berkata pada hatiku, “Allah SWT pasti tidak mensia-siakan apa yang diminta hambaNya.”
Lantas kuteringat maksud dari Surah Ad Dhuha ayat 3:
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
Begitu sekali peritnya baginda SAW menangggung ujian dan pengharapan sehingga Allah SWT memujuk baginda bahawa “Allah tidak meninggalkanmu Muhammad dan Allah tidak membencimu..”
Kesakitan yang terlalu parah, bekas sembuhnya akan diingati sampai mati.
Begitulah mendalamnya cinta Allah pada hamba yang terpilih. Ujian yang berat dan kemanisan cinta yang hebat!